Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Monday 2 April 2007

SAMBUNGAN CERITA 6 KALI BERANAK ..... KENA TINDIH WAKTU TIDUR

Assalamualaikum wbth

Pada 31 Mac 2007 saya telah upload artikel bertajuk 6 KALI BERANAK, 6 KALI MENGANDUNG, 6 KALI MABUK TERUK dari url http://laman-emjay.blogspot.com/2007/03/6-kali-beranak-6-kali-mengandung-6-kali.html  . Cerita tersebut mengisahkan Puan Masri yang mabuk mengandung setiap kali mengandung dari mengandung anak pertama hingga anak keenam. Kalau Puan Masri membaca artikel ini, sudah tentu beliau tahu siapa yang saya maksudkan. Saya berdoa agar identiti sebenar Puan Masri ini akan dipelihara Allah SWT kerana saya menceritakan kisah iktibar ini semata-mata untuk dijadikan teladan dan bukan untuk memalukan sesiapa. Semoga semua pembaca tidak mengetahui identiti sebenar Puan Masri.

Dari kisah yang lalu, saya menceritakan bahawa Puan Masri menghadapi 4 masalah besar iaitu:
  1. Ditindih sewaktu tidur (oleh jin) setiap kali tidur semenjak anak dara hingga sekarang.
  2. Terlalu kerap bergaduh dengan suami sehingga tidak boleh berbual atau berbincang kerana pastinya akan disudahi dengan pergaduhan.
  3. Perniagaan yang bermasalah.
  4. Benci bila berjimak dengan suami semenjak beranak anak pertama kerana masalah pada suaminya
Semoga Allah memberikan kemudahan kepada saya hari ini untuk menceritakan 4 masalah utama Puan Masri ini. Sebesar-besar dosa dalam Islam ialah dosa mensyirikkan Allah. Dosa ini menyebabkan pelakunya terkeluar dari Islam. Ini dapat diperjelaskan lagi menurut hadis Nabi SAW yang mengatakan bahawa jatuh kafir mempercayai bomoh:
Siapa yang mendatangi arraf, kahin (tukang ramal / bomoh) lalu membenarkannya (menyetujuinya), maka sungguh dia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW. (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi & Abu Daud)
       
Rasulullah bersabda dalam  hadis berikut mafhumnya:
“Sesungguhnya tangkal, azimat dan guna-guna itu adalah syirik”
                              (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
       
Dalam satu hadis lain, mafhumnya:
“Dia (Nabi) masuk kepada orang sakit dengan maksud menziarahinya. Sewaktu menyentuh pundaknya (bahu), maka terasa di dalamnya benang. Maka Nabi bertanya : “Apa ini?” Dijawab : “Sesuatu yang telah dijampi padanya untukku.”
Maka berkata dia: “Kalau kau mati dan objek itu (tangkal) masih pada mu, maka aku tidak akan mensolatkan engkau.”
                                                                                                      (Riwayat Waqi’e)

Dalam hadis terakhir di atas, Nabi tidak ingin mensolatkan orang yang mati dengan menyimpan tangkal kerana sebenarnya orang ini telah terkeluar dari Islam dan orang kafir yang mati sememangnya tidak perlu disolatkan.

Diganggu sewaktu tidur dengan cara ditindih oleh objek ghaib sebenarnya adalah azab  dari Allah dan sebagaimana dinyatakan Allah dalam Asy Syura: 30 di bawah.
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Sebagai perbandingan, apabila seseorang tidur dan Allah memberikan rahmatNya, orang ini akan sentiasa dilindungi dari diganggu oleh jin dan syaitan. Syaitan sentiasa berdoa kepada Allah semoga gangguan mereka terhadap manusia diizinkan dan dibenarkan oleh Allah SWT. Apabila keinginan syaitan ini diizinkan Allah, ia menjadi suatu azab kepada manusia. Apabila Allah tidak mengizinkan keinginan syaitan ini, ia menjadi satu rahmat kepada manusia.

Apa yang dapat dirumuskan disini ialah kena tindih dengan makhluk ghaib ini adalah satu azab Allah dimana Allah mengizinkan syaitan yang mungkin terdiri dari jin jantan menggomol wanita atau pun jin betina menggomol manusia lelaki. Pembaca boleh membaca artikel saya bertajuk INGAT ALLAH DAPAT RAHMAT, INGAT AYAT KURSI AZAB BERTAMBAH di http://laman-emjay.blogspot.com/2007/03/ingat-allah-dapat-rahmat-ingat-ayat.html .

 Puan Masri sentiasa ditindih setiap kali tidur semenjak anak dara sehingga beliau mula belajar dengan saya. Kadang kala belum tertidur lagi dan mata belum terpejam sudah kena tindih jin. Azab ini membuatkan Puan Masri benci tidur kerana pastinya kelak beliau akan ditindih oleh syaitan. 

Apakah yang menyebabkan Puan Masri diazab setiap kali tidur dengan ditindih syaitan?? Jawapan persoalan ini tidak lain tidak bukan kerana Puan Masri telah mengutip banyak sekali tangkal azimat semenjak kecil lagi. Ingatlah bahawa setiap kali kita melakukan dosa ke atas Allah, Allah menganugerahkan syaitan yang menjadi pendamping kita sesuai dengan ayat surah Az Zukhruf: 36 
Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

Kemungkinan besarnya, syaitan yang dianugerahkan Allah melalui tindakannya menyimpan tangkal inilah yang menindih Puan Masri setiap kali beliau hendak tidur. Menyimpan tangkal sememangnya menjauhkan pelakunya dari rahmat Allah dan ini dinyatakan Nabi SAW melalui hadis berikut:
“Barangsiapa menggantungkan azimat (tangkal) maka Allah tidak menyempurnakan kehendaknya dan barangsiapa menggantung “wada’ah1” (sebagai tangkal), maka Allah tidak memberikan  perlindungan kepadanya”
(Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan Hakim dari Uqbah bin Amir)

Mungkin kita semua pernah mendengar cerita orang dipindahkan dari tempat tidur asalnya. Ini juga adalah satu bentuk azab Allah dan pastinya setiap azab Allah adalah kerana pelakunya melakukan dosa terhadap Allah SWT.

Satu ketika saya memberikan ceramah untuk pelajar baru di Fakulti Alam Bina UTM. Saya ada menyentuh persoalan kena tindih waktu tidur dan beberapa pelajar turut sama mengongsikan pengalaman mereka. Salah seorang pelajar yang kena pernah tindih waktu tidur adalah seorang pelajar lelaki. Beliau tidak bersetuju bila saya mengatakan bahawa beliau ada melakukan kesyirikan terhadap Allah kerana beliau tidak menyimpan sebarang tangkal. Setelah diselidiki, memang pelajar lelaki ini tidak menyimpan sebarang tangkal dan azimat namun mengapa pelajar ini diganggu syaitan waktu tidur dengan cara ditindih oleh jin syaitan?? Jawapannya ialah kerana beliau takut hantu dan mempercayai bilik-bilik tertentu ada hantu yang boleh mengganggu manusia. Beliau sudah bersangka buruk terhadap Allah dan takut hantu juga adalah syirik kerana pelakunya sudah kurang mempercayai kehebatan dan kekuasaan Allah. Dengan itu pelajar lelaki ini layak menerima azab Allah kena tindih waktu tidur.

Perlu kita semua menerima hakikat bahawa kita mendiami bumi Allah ini bersama syaitan dan jin. Jin juga adalah makhluk Allah. Dalam bilik air dan tandas di rumah memang banyak syaitan dan jin dan itulah sebabnya Nabi mengajarkan umatnya agar berdoa dari gangguan syaitan jantan dan betina sewaktu kita semua memasuki tandas. Kita tidak boleh menghalau jin kerana itu memang antara tempat tinggal mereka namun apa yang diajarkan ialah kita berdoalah agar Allah melindungi kita dari gangguan syaitan jantan dan betina. Ingatlah bahawa ramai orang yang dirangsang nafsu seks mereka apabila sahaja mamasuki tandas / bilik air kerana tidak mendapat rahmat Allah dan diazab Allah menerima gangguan syaitan kerana tidak berdoa kepada Allah.   

Kembali kepada persoalan Puan Masri yang kena tindih waktu tidur, selepas beliau belajar asas tauhid, rububiah, uluhiyah, tangkal, azimat, berhala, syirik, bomoh dsbnya, alhamdulillah pelbagai tangkal, azimat dan air jampi telah diserahkan kepada saya. Adakah kesemua tangkal azimat Puan Masri tersebut diserahkan kesemuanya sekali gus dalam satu waktu? Jawapannya adalah tidak.

Saya ingin mengongsikan pengalaman saya berhadapan dengan pelbagai manusia yang menyimpan tangkal ini bahawa PROSES MENYERAHKAN SEMUA TANGKAL DALAM SIMPANAN ADALAH SUATU PROSES YANG BERAT YANG SANGAT DIBENCI OLEH SYAITAN. Syaitan akan menggunakan pelbagai usaha dan ilmu sihir mereka semoga tangkal ini akan kekal disimpan oleh mereka dan kalau pun diserahkan kepada saya sekadar serahkan sebahagian sahaja terutama sekali tangkal kuasa rendah dan jika boleh tangkal yang paling berkuasa terus disimpan sampai mati kerana inilah janji syaitan.

Dalam satu hadis Nabi saw berkata bahawa mengutip satu tangkal ibaratnya adalah seperti membebaskan  satu hamba abdi. Sememangnya nabi mempunyai kehebatan anugerah Allah kerana hadis yang disebutkan diatas ini memanglah sangat tepat sekali. Sebenarnya apabila manusia menyimpan tangkal, manusia ini telah menjadi kafir dan menjadi hamba abdi bodoh bertuankan jin syaitan. Apabila tangkal ini dibebaskan dari manusia ini, sebenarnya ia telah membebaskan dirinya dari terus menjadi hamba abdi bodoh bertuankan syaitan. Marah sungguhlah segala jin syaitan kerana hamba abdi bodoh mereka sudah bebas dan menjadi pandai dan semoga mereka ini menjadi manusia yang beriman. Namun syaitan tidak redha dan akan memulakan gendang perang memerangi orang yang ingin bebas dari tangkal ini. Itulah sebabnya Nabi mengibaratkan perang melawan syaitan dan tangkal azimat ini lebih besar berbanding perang jihad Perang Badar.

Puan Masri memulakan peperangan memurnikan akidahnya dengan melawan syaitan dan membersihkan tangkal dari persekitarannya dengan menyerahkan beberapa tangkal kepada saya. Saya mengucapkan alhamdulillah dan menyuruh beliau bertaubat.

Selepas Puan Masri menyerahkan beberapa tangkal kepada saya, alhamdulillah Allah membuka pintu rahmat dan tidur malamnya aman dari gangguan syaitan. Namun harapan panas sampai ke petang rupanya hujan ditengah hari. Selepas kira-kira 3 – 4 minggu pengalaman ngeri lampau ditindih waktu tidur berulang semula. Datanglah Puan Masri menemui saya untuk menyambung pelajaran agama disamping mengadukan hal bahawa beliau sudah kena tindih semula. Saya pun berkata kepada puan Masri “Agaknya ada lagi tangkal azimat di rumah tu. Berdoalah bersungguh-sungguh agar Allah SWT tunjukkan dimana tangkal dan azimat di rumah tu. Kalau dah jumpa, masukkan ke dalam beg plastik dan letakkan diluar rumah. Bila datang ke JB, bawa barang-barang tu semuanya.”

Selang beberapa minggu kemudian, Puan Masri datang lagi menambah pelajaran agama disamping membawa sebeban bekas plastik berisi tangkal pelbagai jenis. Beliau mengucapkan syukur kerana sekali lagi selepas menemui pelbagai tangkal azimat dan menyerahkan kepada saya, tidurnya kembali aman.

Beberapa minggu kemudian, Puan Masri datang lagi menyambung pelajaran. Sebelum pelajaran bermula, Masri mengadu bahawa tidur malamnya kena ganggu lagi kena tindih. Sebagaimana biasa saya menyuruh Masri berdoa, solat taubat agar Allah pertemukan segala tangkal azimat sehingga akhirnya rumah Masri bersih seratus peratus dari pelbagai tangkal. Pelajaran agama disambung dan pelbagai soalan dilontarkan Puan Masri dalam usaha memahami akidah murni dalam Islam.

Pusingan kena tindih dan tidak kena tindih waktu tidur Puan Masri ini berlanjutan sehingga lebih dari 1 tahun. Ada pusingan yang agak lama hingga kira-kira sebulan lebih dan ada pusingan yang hanya kira-kira 2 minggu. Selepas jumpa beberapa tangkal, amanlah tidurnya buat seketika sebelum diganggu semula seperti sebelumnya. Apa yang ingin saya perjelaskan di sini ialah Allah sentiasa hebat dan cantik. Sekiranya belajar sekali sahaja, tidur malam Masri aman selamanya, pastinya kesemua tangkal dalam rumahnya tidak akan dapat dibersihkan. 

Satu perkara lagi ialah mengapa Allah merehatkan Puan Masri dari gangguan kena tindih untuk satu tempuh waktu tertentu? Mungkin antara sebabnya ialah Allah ingin menunjukkan kebesaranNya dan agar memaksa yang paling penting sekali agar Puan Masri terus belajar mendalami ilmunya dengan saya. 

Begitulah, Allah memang paling hebat dalam merancang dan melaksakana sesuatu. Berlanjutanlah sesi belajar agama Puan Masri dengan saya bertahun-tahun lamanya dan selepas segala tangkal azimat dapat dibersihkan dari rumah Puan Masri, alhamdulillah masalah gangguan kena tindih waktu tidur Puan Masri pun selesai.

Setelah beberapa tahun aman dari kena tindih waktu tidur, satu ketika Puan Masri menelefon saya memberitahu bahawa beliau kena tindih lagi. Setelah berbincang dan menyelidiki apa punca azab Allah ini, terbukti bahawa punca kena tindih kali ini ialah suami Puan Masri telah mula mengumpul tangkal semula.  

Begitulah pengalaman mengendalikan kes Puan Masri sebagai tatapan iktibar teladan semoga kita semua jangan mensyirikkan Allah.

Kisah puan Masri akan disambung lagi dikesempatan lain insyaAllah.

Sekian wassalam wallahua'lam.

Emjay

6 comments:

  1. terima kasih profesor emjay.
    sebenarnya sy nak tahu mengenai hal masalah jimak puan masri.
    ramai kenkawan yg menghadapi masalah tu.
    xpe saya sabar menanti.
    prof,di rumah sy sebenarnya ade satu paku besi yg dilekatkan di atas pintu rumah.
    ayah sy yg lekatkan.
    sy penah nak tanggalkan paku tu dulu lagi sblm sy kenal dgn prof.
    tapi ayah sy larang kerana paku tu sudah dijampi dgn ayat quran.
    sy x tahu fungsi paku tu utk apa.
    mohon pertolongan prof mengenai masalah saya.
    terima kasih prof.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikumu wbh.

    Nabi Ibrahim kalau sewaktu beliau memecahkan patung-patung berhala dahulu minta izin terlebih dahulu, jawabnya kepala Nabi Ibrahim yang pecah dipecahkan oleh orang kafir.

    Gunakan helah Nabi Ibrahim dalam kes ini, cabut saja paku tu bila semua orang tiada di rumah, teruskan poskan kepada saya di JB. Dapatkan alamat saya dengan email saya di kangmasjb@hotmail.com. Kalau ada orang bising, jawab sebagaimana jawapan Nabi Ibrahim atau pun jawab "kalau paku tersebut tidak dapat menghalang orang dari mencabutnya dan membuangnya, bagaimana paku tersebut dapat melindungi dan memberikan rahmat kepada penghuni di dalam rumah ini?"

    Perkara yang saya sebut di atas nampak mudah namun memerlukan teknik dan persediaan sewajarnya.
    1. Anda kena solat hajat bersungguh-sungguh untuk melakukannya dan minta pertolongan dari Allah untuk memudahkannya.
    2. Kena banyak berzikir dan berdoa agar Allah memudahkan pekerjaan tersebut.
    3. Bila dah yakin hendak melakukannya, ambil wuduk, solat sunat 2 rakaat minta Allah permudahkan .Seterusnya dengan terus berzikir dan berdoa, ambil saja penukul, cabut paku tersebut, sorokkan di luar rumah dan kalau dapat terus poskan ke JB.
    4. Jangan ajak orang lain untuk membantu dan elakkan orang lain dari mengetahui rancangan pekerjaan anda walaupun isteri anda.
    5. Sesudah selesai, bersyukur dan sujud syukur kepada Allah.
    6. Jangan ceritakan pengalaman anda ini kepada sesiapa melainkan saya.

    InsyaAllah Allah akan permudahkan pekerjaan anda.

    Wassalam wallahualam

    Emjay

    ReplyDelete
  3. syukran profesor emjay,
    doakan saya prof.

    ReplyDelete
  4. Masalah jimak suami isteri macam perkara mudah namun ia banyak menimbulkan masalah sehingga membawa kepada perceraian. InsyaAllah saya akan bercerita mengenainya dalam beberapa hari ini insya-Allah. Doakan saya.

    Sekian wassalam

    ReplyDelete
  5. "Jawapannya ialah kerana beliau takut hantu dan mempercayai bilik-bilik tertentu ada hantu yang boleh mengganggu manusia. Beliau sudah bersangka buruk terhadap Allah dan takut hantu juga adalah syirik kerana pelakunya sudah kurang mempercayai kehebatan dan kekuasaan Allah."

    Assalamualaikum,

    Melalui kenyataan ustaz seperti tersebut di atas, saya mohon utk mendptkan keterangan lanjut apakah dgn ketakutan kpd makhluk ghaib termasuk hantu syaitan (yg sememangnya bersifat jahat) ini termasuk dlm kategori yg boleh merosakkan akidah, syirik (kecil @ besar) dgn kerana untuk mengelakkan diri kita dari perkara2 yang boleh mendatangkan kesusahan & kemudharatan atau diganggu yg sudah tentunya semua itu sekiranya terjadi adalah dgn izin Allah swt jua.

    Contohnya, kita mengelakkan diri drpd mendekati sebuah rumah usang yg mgkn dihuni oleh makhluk ghaib (spt jin dsbgnya) yg barangkali berniat utk memberikan ketakutan & kemudharatan kpd kita (Sudah pasti kebaikan & keburukan itu hanya datangnya dgn keizinan drpd Allah swt.) Analoginya sptmana kita takut sekiranya berada di hutan kita terserempak dgn seekor harimau yang secara tabiinya sebagai haiwan pemaging mgkn akan membunuh manusia sbg makanannya. Dengan sangkaan baik terhadap Allah supaya kita dijauhi drpd binatang buas, apakah dengan mengelakkan diri atau ada perasaan takut kpd haiwan2 yang boleh membunuh ini boleh menyebabkan kerosakkan kpd akidah kita. Sedangkan dgn adanya perasaan takut @ cemas tersebut akan menggerakkan hati kita utk lebih berwaspada, berhati2 dan berperancangan.

    Analogi lain adalah spt kita mengelakkan diri dari memakan makanan yang beracun, atau merokok yang boleh membahayakan kesihatan. Takut kita kepada benda tersebut adalah sbg mengelakkan diri drpd menerima kemudharatan badan (secara logik akal dan secara semulajadinya). Begitu juga dgn gangguan syaitan & jin yang mengganggu & merasuk kedlm tubuh manusia. Keresahan @ ketakutan kita pada syaitan, yang sekadar utk mengelak drpd diganggui & ditakuti yg sekiranya malang boleh meletakkan kita kpd situasi yg lebih buruk spt perasaan tidak tenteram dsbgnya, bukan kerana keyakinan yang syaitan itu boleh memudaratkan seseorang tanpa keizinan Allah.

    Saya mohon ampun kpd Allah di atas pemahaman saya yang jahil ini. Diharap ust dapat meluangkan masa menjawab persoalan di atas.

    Jazakallah.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum wbh

    Takut adalah satu rahmat dari Allah. Oleh kerana takut gagal dalam peperiksaan, seseorang akan berusaha semoga insya-Allah kelak dia akan lulus dalam peperiksaan. Takut akan miskin, manusia berusaha keras. Inilah sebabnya saya mengatakan bahawa takut adalah satu rahmat.

    Orang yang tidak takut gagal dalam peperiksaan adalah satu azab Allah dan orang ini akan malas belajar dan akibatnya orang ini akan Allah azab lagi dengan gagal peperiksaan.

    Semua orang mempunyai rasa takut dengan malam yang gelap. Takut macam mana yang merupakan rahmat Allah dan takut macam mana adalah azab Allah. Kalau sekadar takut biasa dan selebihnya orang ini bertawakal kepada Allah, ini namanya “takut” rahmat. Orang jenis “takut” rahmat mungkin akan bersedia dengan lampu dan lampu suluh menjelang malam sebagai persediaan.

    Takut jenis satu lagi adalah jenis “takut” azab. Seorang bekas pelajar saya sangat takut dengan malam sehinggakan kalau pukul 8.00 malam sudah tidak berani berjalan dari bilik asrama ke bilik air melainkan ditemani orang lain. Pelajar ini sememangnya seorang pelajar bermasalah dan antara puncanya ialah dia ini adalah pengumpul tangkal setia sejak dari kecil dengan bimbingan penuh dari ibunya. Kalau mendengar berita kematian, pelajar perempuan ini akan macam histeria kerana ketakutan. Ketakutan jenis ini sebenarnya adalah ketakutan jenis yang boleh membawa syirik kerana sebenarnya pelajar ini sudah tidak mempercayai lagi bahawa Allah boleh melindunginya diwaktu malam yang gelap. Tanpa ketakutan ini pun pelajar ini sudah jelas syirik kerana koleksi tangkalnya amat banyak.

    Setelah pelajar ini belajar dengan tekun asas ilmu tauhid termasuk rububiah dan uluhiah, akhirnya pelajar ini menyedari kehebatan Allah dalam mentadbir dunia dan melindungi manusia dan akhirnya pelajar ini berani ke bilik air waktu malam walau pun selepas 12 malam untuk wuduk solat malam. Satu ketika dia sudah mampu tenang melihat seorang mangsa penunggang motorsikal yang terbunuh di jalan raya. Alhamdulillah.

    Berikut adalah pengertian syirik mengikut jumhur ulamak iaitu:
    Syirik “ialah menjadikan sesuatu selain Allah sebagai sekutu atau saingan yang disamakan dan disamakan taraf dengan Allah, Tuhan bagi alam semesta dengan mencintainya seperti mencintai Allah, takut kepadanya seperti rasa takutnya kepada Allah, memohon perlindungan kepadanya, berdoa kepadanya, takut akan siksanya, berharap kepadanya dan bertawakal kepadanya, atau mentaatinya dalam melakukan maksiat atau mengikutinya melakukan hal-hal yang tidak diredai oleh Allah”.
    Dari pengertian ini jelas disebutkan bahawa kalau kita takut kepada hantu sebagaimana kita takut kepada Allah, ia sudah syirik. (takut kepadanya seperti rasa takutnya kepada Allah). Takut pada kadar biasa kepada pencuri adalah rahmat yang boleh mendorong kita berusaha mengunci dan menutup pintu dan tingkap dengan kemas. Ketakutan atau trauma selepas kejadian rumah dipecah masuk pencuri adalah satu ketakutan yang melampau dan ketakutan jenis ini jauh melampaui ketakutan manusia kepada Allah dan dengan ini sudah syirik. Ketakutan melampau kepada pencuri ini akan menghilangkan pelbagai rahmat Allah dan dengan itu selalu tidur tidak lena dan mengigau. Ini adalah tambahan azab dari Allah.

    Takut hantu adalah sesuatu yang lumrah namun takut keterlaluan terhadap hantu adalah syirik dan memang sebenarnya orang dalam keadaan ini sudah tidak yakin lagi dengan kehebatan Allah. Itulah sebabnya dalam artikel di atas saya menyebutkan takut hantu boleh membawa syirik apabila ia sudah melampau. Takutkan pemimpin secara melampau sebagaimana suatu ketika dahulu ramai orang terlalu takutkan Ma**** juga adalah syirik.
    Begitu jugalah dengan orang yang ketakutan dengan surat berantai akan terus mengedarkannya dan rosaklah akidah mereka dan syiriklah mereka.

    Sekian wassalam wallahualam.

    Emjay

    ReplyDelete