Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Tuesday 8 May 2007

Tasawuf sepintas lalu. Sufi, Tareqat, Wahdatul Wujud dll


(Updated 3 Januari 2020)


Tasawuf Islam Di Atas Neraca Pertimbangan

Oleh Muhammad Labib Ahmad
(Petikan dari Majalah ‘Pengasuh’ dengan sedikit pindaan)

 1. Mukaddimah
 2. Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber aqidah
 3. Al-Quran dan As-Sunnah sebagai jalan dan cara
 4. Tasawwuf Islam sepintas lalu
 5. Cara mendapat hidayat tasawwuf
 6. Syurga dan neraka bukan matlamat
 7. Mengenepikan jalan yang disyarakkan untuk mendapat hidayah 
 8. Konsep wahdatul-wujud
 9. Cara ajaran kebatinan disampaikan
 10. Hakikat Muhammadiah dalam konsep tasawwuf
 11. Nabi Khaidir A.S Dalam Konsep Tasauf
 12. Darihal Kasyfu Tasawwuf


BAB 1- Mukaddimah


Tasawuf Islam sebagai satu cabang ilmu merupakan sesuatu yang tidak boleh dinafi atau diperbalahkan.Yang menimbulkan pertikaian dan menjadi kontroversi ialah kebanyakan amalan, tingkah laku dan dakwaan-dakwaan oleh kalangan yang mengaku bertasawuf. Kerana hal-hal ini sering memperlihatkan cirri-ciri yang bertentangan dengan apa yang disyarakkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah, yang mana mewajarkan golongan berkenaan sering dianggap sebagai golongan yang sesat. 



Sebagai suatu cabang ilmu, Tasawuf Islam sesuai dipelajari dan dikaji untuk mengetahui asal-usulnya, sejarah perkembangannya, unsur-unsur positif dan negatifnya, tokoh-tokohnya dan sebagai lagi. Tentunya boleh mendedahkan banyak perkara yang selama ini kabur dan kurang nyata disebabkan pengetahuan yang terbatas atau tidak berpengetahuan langsung mengenainya. Yang lebih buruknya ialah apabila kepicikan pengetahuan atau kejahilan tentang tasawuf itu mendorong pula setengah pihak menganggapnya sebahagian daripada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah yang sayugia diterokai dan diamalkan melalui tarikat-tarikat dan seloka-seloka tertentu.



Pengaruh Asing

Tidak dinafikan bahawa pengaruh asing ke atas Tasawuf Islam amat ketara dan jelas. Malahan sesetengah tokohTasawuf Islam sendiri mengakui mempelajari tasawuf dari kalangan bukan Islam. Umpamanya Ibrahim bin Idham tokoh tasawuf ulung pada abad kedua Hijrah (Beliau meninggal dunia pada tahun 161 Hijrah) pernah menegaskan telah mempelajari makrifat dari seorang paderi Masihi.

Menurut ceritanya, beliau telah memasuki sebuah biara dan menemui paderi yang bernama Sam’an, lalu beliau bertanya, “Sejak berapa lama anda berada di dalam biara ini Sam’an?” Paderi itu menjawab, “Sejak tujuh puluh tahun!” Ibrahim bertanya lagi, “Beritahu kepada aku, apakah makanan anda?” Jawab Sam’an,” Wahai Hanafi (iaitu orang yang beragama Islam) mengapa bertanya tentang itu?” Ibrahim pula menjawab, “Saya ingin mengetahuinya” Lalu Sam’an pun berkata, “Sebutir kacang kuda setiap malam.” Ibrahim bertanya lagi, “Apakah yang mendorong hati anda sehingga memadai dengan sebutir kacang sahaja?.” Sam’an bertanya balik, “Engkau lihat mereka yang ada didekatmu (ternyata dia bermaksud malaikat)?” Beliau menjawab, “Ya.” Sam’an terus berkata, “Mereka mengunjungiku sehari setiap tahun dan menghiasi biaraku serta bertawaf mengelilinginya kerana menghormatiku. Setiap kali aku merasa berat untuk beribadat aku teringat saat ini. Aku memikul penderitaan setahun untuk kebahagiaan sesaat! Dengan itu bertapaklah makrifat dihatiku.” (Dipetik dari Talbis Iblis oleh Ibnu Jauzi).

Kerana inilah ada pihak yang secara tegas mengatakan tasawuf Islam bukan berasal dari ajaran Islam. Ianya diimport dari peradaban-peradaban sebelum Islam dan warisan peninggalan peradaban-peradaban itu seperti peradaban-peradaban Parsi, Hindu, Greek Purba, Agama Nasrani dan Agama Yahudi. Di kalangan umat Islam, kegiatan-kegiatan tasawuf mula muncul pada pertengahan abad kedua Hijrah dan mencapai kemuncaknya pada penghujung abad ketiga Hijrah iaitu 150 tahun selepas pertama kali kemunculannya. Ianya telah menjadi semacam akidah dan pegangan umum bagi sebilangan besar kaum muslimin pada abad-abad kesembilan, kesepuluh dan kesebelas Hijrah, yang oleh sesetengah ulama dianggap sebagai abad kegelapan dan kejahilan bagi umat Islam.

Oleh kerana tasawuf merupakan sesuatu yang diimport dari luar Islam, maka fenomena zuhud berbeza dengan zuhud yang terdapat di dalam ajaran Islam mengikut yang disarankan oleh Al-Quran dan As Sunnah. Di dalam hal ini tasawuf yang diimport lebih merupakan suatu falsafah dan aqidah baru bertujuan menerokai ilmu-ilmu ghaib secara kashaf dari Allah terus menerus tanpa perantaraan Rasulullah s.a.w menurut sesetengah dakwaan golongan sufi seperti terdapat di dalam ajaran-ajaran sesat


Bukan Tasawuf.

Ada juga sesetengah pihak yang cuba menganggapkan sebagai tasawuf apa yang diperlihatkan atau diperkatakan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. Sedangkan apa yang dipertontonkan oleh para sahabat r.a itu adalah hasil dari kefahaman mereka yang mendalam dan meluas terhadap isi kandungan Al Quran Al Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Sementara amalan-amalan tasawuf yang telah diperkatakan terdahulu adalah hasil dari pengaruh warisan peradaban yang asing sama sekali dari ajaran Islam. Malahan asing dari alam persekitaran Islam sendiri atau ianya berupa tiruan atau taklid terhadap sesetengah aliran falsafah atau mazhab yang tiada hubungan langsung dengan Islam.

 Apa yang dilihat dan ditemui pada amalan-amalan dan tingkah laku para sahabat r.a itu tidak boleh dianggap tasawuf dan para sahabat r.a tidak boleh diberikan julukan orang-orang yang bertasawuf atau ahli sufi. Mereka boleh dinamakan sebagai para mujtahiddin yang bertafaquh atau memahami secara mendalam akan agama Allah dan mereka telah dikurniakan Allah dengan kefahaman dan pengetahuan yang khusus berhubung dengan Al Quran dan As Sunnah dalam segala perkara agama yang mereka berikan pendapat mengenainya. Ini berdasarkan doa Rasulullah s.a.w kepada salah seorang dari mereka iaitu Abdullah bin Mas’ud r.a

Ertinya: “Ya Allah! Berilah kefahaman kepadanya (Abdullah bin Mas’ud) di dalam agama dan ajarkanlah ia akan ta’awil (memberi pengertian kepada ayat-ayat yang tidak jelas pengertiannya)”

Sayyidina Ali Abu Talib r.a sewaktu ditanya adakah Rasulullah s.a.w mengkhususkan untukmu sesuatu ilmu tanpa orang lain? Beliau telah menjawab, “Tidak, demi yang membelah benih dan mengangkatkan manusia, hanya kefahaman yang dikurniakan Allah kepada seseorang terhadap Al Quran.”


Unsur Falsafah

Mengikut takrifnya seperti diutarakan oleh golongan sufi, tasawuf ialah suatu cara berzuhud, menjauhkan diri dari segala bentuk keduniaan semata-mata, melatih diri bercermat dalam tingkah laku, beribadat, berwirid, menahan lapar, berjaga malam dengan ibadat atau berzikir sehingga jasmani menjadi lemah dan rohani menjadi kuat, menguasai dan menundukkan jasad kepadanya. Semua ini dilakukan dengan tujuan untuk mencapai kesempurnaan akhlak dan seterusnya tiba ke tahap ma’rifat zat Ilahi dan kesempurnaan-kesempurnaan atau yang mereka namakan maghrifah hakikat.

 Agama Islam sememangnya menyeru ke arah menundukkan keinginan jasad kepada rohani atau kepada agama dan akal. Tetapi bukan mengikut cara yang diamalkan oleh golongan sufi bahkan dengan jalan beriman kepada Allah, hari akhirat, rasul-rasul dan nabi-nabi dan syariat – syariat Allah yang mereka bawakan, dan beramal dengan syariah Allah terakhir yang disampaikan oleh Sayyidina Muhammad s.a.w setakat yang termampu sesudah menunaikan mana yang diwajibkan dan menjauhi mana yang dilarang.

Tetapi apa yang menjauhkan tasawuf dari ajaran agama Islam ialah pembaharuannya dengan unsur-unsur falsafah yang tiada pertalian langsung dengan ajaran Al-Quran dan As Sunnah.

Islam agama Allah yang maha agung. Agama yang hak dan betul. Tiada sebarang kecacatan dan kelemahan. Ianya jelas, nyata dan syumul. Tidak memerlukan keterangan selain dari Allah atau dari Rasulnya. Allah telah berfirman kepada Rasulnya ;

Maksudnya lebih kurang ; “Dan kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al – Quran yang memberi peringatan supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya semoga mereka memikirkannya”

 (Surah An Nahl ; ayat 44)

Maksudnya lebih kurang ; “Kami telah turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap- tiap sesuatu dan menjadi hidayah, petunjuk, serta membawa rahmat dan berita gembira bagi orang-orang Islam”

 (Surah An Nahl ; ayat 89)

Falsafah selamanya berasas kepada tekaan, sangkaan dan jangkaan manusia. Ianya pasti bertentangan dengan kebenaran, malah bertentangan dengan sesama falsafah itu sendiri terutama yang berhubung dengan aqidah ketuhanan. Allah telah berfirman ;

Maksudnya lebih kurang, “Patutkah mereka (bercakap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al – Quran. Kalaulah Al - Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya”

 (Surah An-Nisa’ ; ayat 82)

Pengaruh falsafah inilah yang dikatakan telah menyesatkan ramai golongan sufi yang ekstremis dan juga golongan Syiah yang menjadikan falsafah sebagai asas di dalam perkara aqidah, perkara kenabian dan kerasulan, perkara kewalian, kekeramatan dan kemukjizatan. Ini ialah kerana mereka menegakkan perkara-perkara agama yang mengikut persoalan akidah dan ketuhanan itu berasas kepada andaian-andaian dan jangkaan-jangkaan falsafah.

Golongan yang berpegang kepada kata-kata para filasuf mengenai persoalan-persoalan agama dan akidah, di samping itu mengharapkan pula kemantapan iman dan kefahaman pada hati, fikiran dan jiwa raga adalah golongan yang bermohon dan bermunajat kepada selain Allah.

Para filasuf sudah pasti tidak akan mampu memperkenankan permohonan mereka. Sebaliknya golongan itu akan berada di tengah-tengah belantara kesesatan yang tiada jalan keluar darinya.

Pengaruh falsafah yang asing dari ajaran agama Islam dan dari alam persekitarannya itulah yang menyebabkan lahirnya takrif tasawuf Islam yang begitu ketat seperti yang disebutkan tadi. Falsafah ini juga telah mencampuradukkan agama Islam dengan selainnya dari segi ibadah dan makrifat. Sedangkan makrifat golongan sufi itu pada umumnya berupa makrifat Ishra qiah (penerimaan alam ghaib dan makrifat ketuhanan dari alam rohani maha tinggi setelah bersuluk), bukan makrifat keimanan hasil berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan As- Sunnah.

 Pada hakikatnya amalan-amalan tasawuf itu memang baik diperkatakan dengan syarat tidak terpesong dari ajaran Al Quran dan As Sunnah. Sebagai suatu ilmu, tasawuf sesuai dipelajari dan dikaji seperti mana yang telah ditegaskan. Yang mencemari kesuciannya ialah sesetengah amalannya yang tidak munasabah dengan timbangan akal yang sihat sehingga boleh memesongkan aqidah dan menjerumuskan pengamalnya ke dalam jurang kesesatan atau menjadikannya guru ajaran sesat atau penghulunya atau pemimpinnya.

Pendedahan mengenai kepincangan-kepincangan tasawuf ini boleh diikuti di dalam buku ‘Al Fakr At Tasawuf Pi Su il Kitab-bi Wa sunnah’ (Konsep tasawuf dari perspektif Al Quran dan As Sunnah) oleh Abdul Rahman Abdul Khaliq Yusuf. Buku ini diterjemahkan untuk tatapan umum. Diharap pendedahan ini akan menyedarkan para pembaca tentang kepercayaan-kepercayaan karut dan khurafat yang dilabelkan sebagai ajaran tasawuf Islam sedangkan ajaran agama Islam tiada kena mengena dengannya sama sekali. Begitu juga diharap ia akan menjadikan para pembaca lebih berhati-hati dan beringat-ingat agar tidak terpengaruh atau tidak terpukau dan terpesona dengan ajaran-ajaran yang sedemikian itu.


Bab 2. Al-Quran Dan Al-Sunnah Sebagai Sumber Aqidah

1. Rasulullah s.a.w. telah diutus Allah pada zaman pupusnya tanda-tanda keimanan kepada Allah Tabaaraka Wata'ala;

1) Bangsa Arab mempercayai kewujudan Allah, dan Dialah Tuhan Pencipta Alam Buana dan yang menurunkan hujan, tetapi pada pandangan mereka, tuhan ini tidak berkuasa menghidupkan mereka selepas mereka mati. Tujuannya mencipta manusia semata-mata supaya mereka menghayati dunia yang diadakan untuk mereka ini. Bagi mereka di sana tiada kiamat dan tiada hisab. Kemudian bagi mereka, Allah itu seperti raja-raja di muka bumi yang memerlukan wasilah seperti malaikat dan golongan solihin yang disayangiNya untuk mendapatkan rezeki dan hujan serta pertolongan bagi menumpaskan musuh-musuh.

2) Di kalangan kaum Nasrani hanya segelintir sahaja yang mengetahui agama yang sebenar. Majoritinya mempercayai Nabi Isa a.s itulah tuhan atau anak Allah, menjadikan paderi-paderi dan pendeta-pendeta sebagai tuhan serta mematuhi dan melaksanakan apa sahaja yang diluahkannya walaupun bertentangan dengan isi kandungan kitab Injil mereka. Mereka telah menjadikan golongan yang soleh di kalangan mereka sebagai sasaran pendewaan dan pemujaan.

3) Kaum Yahudi pula bersikap keterlaluan apabila menyerupakan Allah dengan makhlukNya. Mereka menempelkan kepadaNya segala jenis keburukan dan kecacatan yang terdapat di kalangan makhluk manusia seperti berbohong, bakhil, lalai dan jahil tentang apa yang akan berlaku.

4) Di negeri Parsi dan benua India pula terdapat amat banyak falsafah yang setiap satunya menggambarkan tuhan yang mereka sembah dengan gambaran yang disenangi oleh akal orang yang menggambarkannya. Ada falsafah yang mengatakan alam ini mempunyai dua tuhan, satu tuhan untuk cahaya (kebaikan) dan satu tuhan untuk kegelapan (kejahatan). Ia mendakwa kedua-dua tuhan tersebut sentiasa bertarung. Ia menyerupai manusia supaya menyokong tuhan cahaya dan kebaikan dengan menyalakan api agar yang benar mengalahkan yang batil. Ada falsafah yang menganjurkan kepercayaan kepada tuhan pencipta-pencipta alam buana, dan mengajak manusia bermujahadah dengan berbagai-bagai cara sehingga fana' dan bergabung dengan tuhan itu agar rohnya tidak kembali semula ke alam buana ini selepas mati kelak! Ada pula falsafah yang menganjurkan kepercayaan kepada kewujudan kulli bagi zat yang tunggal, yang berbilang-bilang kewujudannya dengan berbilang-bilang sifatnya. Para penyair dan sasterawan Parsi amat terpesona dengan zat tunggal yang ternampak kepada mereka ada pada segala sesuatu dan pada segala yang wujud.

5) Di Negeri Greek lahir berbagai falsafah yang sebahagian besarnya menganjurkan kepercayaan kepada khaliq alam buana yang mereka namakan wajib untuk kewujudan atau sebab segala sebab, dan darinya lahir dan terbitnya alam. Tetapi falsafah ini berada di tengah-tengah kebingungan dan tidak mampu menentukan matlamat dan tujuan alam buana ini dicipta, dan titik akhir yang dituju manusia

2. Semua falsafah yang telah disebutkan itu merupakan percubaan-percubaan manusia untuk mengetahui alam ghaib atau yang berada di sebalik alam nyata (metafizik). Sudah sewajarnya percubaan-percubaan manusia itu segera berakhir dengan kegagalan dan kekecewaan kerana tiada jalan sama sekali bagi manusia untuk mengetahui perkara ghaib selain dari meneka-neka, mengagak-agak dan menjangka atau melalui bisikan jin dan syaitan-syaitan.

3. Allah telah mengutus rasulNya Muhammad s.a.w. supaya membimbing mereka yang kebingungan lagi sesat itu menuju kepada tuhan pencipta mereka, dan supaya mengajarkan kepada mereka hikmat mereka diciptakan dan tujuan yang patut mereka berjalan ke arahNya, serta cara dan jalan yang disukai dan diredhai Allah untuk hamba-hambaNya dan untuk mereka.

4. Rasulullah s.a.w. telah mengemukakan kepada khalayak ramai bukti yang lengkap tentang dirinya sebagai pesuruh Allah s.w.t. dan tentang wahyu yang diturunkan dari langit, serta menegaskan bahawa wahyu itu ialah Kalam Allah untuk disampaikan kepada manusia, dan andainya mereka tidak percayakannya, maka cubalah mereka buatkan sebuah surah seumpamanya!

5. Rasulullah s.a.w. terpaksa menghadapi timbunan fikiran, aqidah, kepercayaan, mazhab-mazhab dan falsafah-falsafah yang batil itu, serta menegakkan hujah dan bukti yang menunjukkan keburukan dan kebatilannya dan kesahihan ajaran Allah yang disampaikan kepada manusia. Dengan itu bermulalah pertarungan aqidah yang tertumpu kepada dua dasar pokok yang darinya bertunas tumbuh cabang-cabang yang amat banyak:-

1) Dasar pokok yang pertama ialah mentauhidkan Allah semata, iaitu pengakuan bahawa Allah sahajalah Tuhan Pencipta, Dialah sahaja yang disembah, tiada sesiapa menyekutui di dalam sifat-sifatNya dan perbuatan–perbuatanNya. Dia bersifat dengan segala sifat yang sempurna, indah dan agung, dan Dia suci dari segala sifat-sifat yang bertentangan dengan sifat kesempurnaan, keindahan dan keagungan itu.

2) Dasar pokok yang kedua ialah mentauhidkan cara atau jalan menuju kepada keredhaan Allah. Tiada siapa yang menguruskan hal ehwal manusia selain Allah, dan bertaqarrub kepadaNya melainkan mengikut cara yang disyarakkanNya. Inilah ertinya Lailahaillallah Muhammadur Rasullullah. Lailahaillallah ialah dasar pokok yang pertama, manakala Muhammadur Rasullullah ialah dasar pokok yang kedua.


6. Rasulullah s.a.w. telah diperbalahi mengenai kedua-dua dasar pokok ini;

1) Kaum Musyrikin Arab telah menentangnya seperti mana yang difirmankan Allah:

أَجَعَلَ الْآلِهَةَ إِلَهًا وَاحِدًا إِنَّ هَذَا لَشَيْءٌ عُجَابٌ

Maksudnya lebih kurang: Adakah ia menjadikan tuhan-tuhan itu hanya tuhan yang satu? Sesungguhnya itu suatu yang aneh. (Surah Shad, ayat 5)

 Mereka mengatakan mengenai tuhan-tuhan mereka sebagaimana yang difirmankan Allah:

مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى

Maksudnya lebih kurang: “Kami tidak menyembah mereka melainkan untuk menghampirkan kami kepada Allah dengan sehampir-hampirnya.” (Surah al-Zumar, ayat 3)

Mereka menyatakan juga tentang berhala-berhala mereka sebagaimana yang difirmankan Allah:

وَيَقُولُونَ هَـؤُلاء شُفَعَاؤُنَا عِندَ اللّهِ

Maksudnya lebih kurang: “Mereka ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah.” (Surah Yunus, ayat 18)

Jawapan Allah Taala kepada mereka ialah firmannya:

لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا فَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Maksudnya lebih kurang: “Jika sekiranya ada tuhan-tuhan di langit dan di bumi selain Allah, nescaya binasalah kedua-duanya.” (Surah Anbiya, ayat 22)

قُل لِّلَّهِ الشَّفَاعَةُ جَمِيعًا لَّهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya lebih kurang: “Katakanlah (wahai Muhammad!) kepunyaan Allah syafaat-syafaat semuanya.” (Surah al-Zumar, ayat 44)

Mengenai dasar pokok yang kedua, Allah menjawab dengan firmannya yang meruntuhkan sama sekali syariat mereka yang batil tentang halal dan haram serta taqarrub kepada Allah.

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya lebih kurang: “Atau mereka mempunyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan agama bagi mereka sesuatu yang tidak diizinkan Allah.” (Surah as-Syura, ayat 21)

2) Kaum Yahudi dan Nasrani, masing-masing golongan mendakwa jalannya adalah benar, yang disembah masing-masing itulah yang hak dan syurga kepunyaan mereka semata-mata tanpa manusia lain.

Jawapan Allah kepada mereka ialah firmannya:

وَلَن تَرْضَى عَنكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ

Maksudnya lebih kurang: “Katakanlah (wahai Muhammad!) sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya lebih kurang: “Katakanlah (wahai Muhammad!) Jika kamu menyayangi Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah menyayangi kamu.” (Surah al-Imran, ayat 31)

Al-Quran keseluruhan merupakan penerangan mengenai jihad Rasullullah s.a.w. menentang ketiga-tiga golongan tersebut berhubung dengan kedua-dua dasar pokok tadi.


7. Rasullullah s.a.w. telah diimani oleh kaum lelaki yang tulus kepada Allah di dalam agama, dan mereka menyintai Allah serta lebih mengutamakannya dalam segala perkara.

 Mereka menyayangi Rasullullah s.a.w. dan sanggup berkorban nyawa dan harta benda kerananya serta bertungkus lumus mengikuti jejak langkahnya dan mencontohinya dalam segala gerak geri dan tingkah lakunya, disamping mentaqdiskan Allah dan mentanzihkanNya dari segala kelemahan dan kecacatan dan beribadat kepadaNya mengikut seperti mana yang disyarakkannya. Mereka merealisasikan kedua- dua dasar pokok itu dengan sebaik-baik. Allah telah memuji mereka di dalam banyak ayat dan di antaranya firman Allah:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاء عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاء بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

 Maksudnya lebih kurang: “Muhammad itu Pesuruh Allah dan orang-orang yang bersamanya sangat keras terhadap orang-orang kafir, berkasih sayang sesama mereka. Engkau lihat mereka rukuk, sujud mengharapkan kurnia daripada Allah dan keredhaanNya. Tanda mereka adalah di wajah-wajah mereka kerana kesan sujud.” (Surah al-Fatah, ayat 29)

 Allah meredhai mereka dan mereka redha kepadaNya. Mereka mengenal Allah dengan sebenar-benar makrifat dan menegakkan agamaNya dengan sebaik-baik cara.

 Rasullullah s.a.w. telah bersabda:

"خير الناس قرني, ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم” (رواه الشيخان(

 Ertinya: “Sebaik-baik manusia ialah mereka di abadku (para sahabat), kemudian yang menyusul mereka (para tabi'in), kemudian yang menyusul mereka (para tabi'i at-tabi'in).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 Rasullullah s.a.w telah mengutarakan beberapa orang dari kalangan mereka yang akan memasuki syurga dan mendapat kurniaan Allah. Di antara mereka ialah Abu Bakar as-Siddiq r.a. yang disabdakan oleh Rasullullah s.a.w:

وزنت بالأمة فرجحت, ووزن أبو بكر بالأمة لست فيها فرجح, ووزن عمر بالأمة لست فيها وأبو بكر فرجح” (رواه أحمد(

 Ertinya: “Aku ditimbang dengan umatku, maka aku lebih berat, Abu Bakar ditimbang dengan umatku, tanpaku, maka dia lebih berat, Umar ditimbang dengan umatku, tanpa aku dan Abu Bakar, maka dia lebih berat.” (Riwayat Ahmad)

 Sabdanya lagi:

"لو كان نبي بعدي لكان عمر"

Ertinya: “Andainya ada nabi selepas ku, dia adalah Umar.” (Riwayat Ahmad dan Tirmidzi. Hakim mengatakan hadis ini hasan)

 Sabdanya lagi kepada Bilal:

إني سمعت دف نعليك بين يدي في الجنة"

 Ertinya: “Sesungguhnya aku telah mendengar bunyi kasutmu di depanku di syurga.” (Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

 Dan hadis-hadis seumpama itu amat banyak

8. Namun demikian, Rasullullah s.a.w. di sepanjang hayatnya tidak pernah memandang ringan terhadap kedua-dua dasar tauhid yang pokok, iaitu Laailahaillallah Muhammadur Rasulullah agar kedua-duanya tetap segar suci dan luhur. Rasullullah s.a.w tidak mengizinkan sama sekali kedua-duanya dicemari walaupun oleh orang yang paling disayangi dan diutama olehnya di kalangan para sahabatnya.

 Di antara bukti keprihatinan Rasullullah s.a.w. terhadap kedua-dua dasar pokok-pokok keimanan itu ialah:-

 a) Pada suatu hari Rasullullah s.a.w ternampak Umar al-Khatab r.a memegang sekeping kertas yang tercatit dengan beberapa ungkapan dari kitab Taurat, dan Umar kelihatan mengkaguminya. Rasullullah s.a.w merasa marah, lalu menegur dengan sabdanya:

أهذا وأنا بين أظهركم. لقد جئتكم بها بيضاء نقية, والله لو كان موسى حيّاطا وسعه إلآ أن يتبعني"

Ertinya:- “Inikah sikapmu sedangkan aku ada bersama-sama kamu.” Sesungguhnya aku telah membawakannya (agama Allah) kepada kamu dalam keadaan putih bersih. Demi Allah! Andainya Musa masih hidup tentu tiada jalan baginya selain mengikutku.” (Riwayat Ahmad dan Baihaqi)

 Dari Hadis ini difahami;

Pertama, Rasullullah s.a.w. merasa marah jika hidayah bermula tanpa bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah semasa Baginda Rasullullah s.a.w. masih hidup. Antara keperluan beriman kepada al-Quran dan as-Sunnah ialah berikti'kad bahawa hidayah itu hanya terdapat pada al-Quran dan as-Sunnah sahaja.

Kedua, bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah membawa agama Allah di dalam keadaannya yang suci murni, tidak diubahsuai, tidak ditukar ganti dan tidak diselewengkan. Para sahabat menerima ajaran agama Islam itu di dalam keadaannya yang asal, segar, matang dan murni. Mereka tidak pernah meminggirkannya, kerana mahu berpegang kepada ajaran-ajaran yang dicemari penyelewengan, pengubahsuaian, penambahan dan pengurangan!

Ketiga, andainya Nabi Musa a.s. yang telah diturunkan kepadanya kitab Taurat itu masih hidup, maka adalah menjadi haknya mengikuti Rasullullah s.a.w. dan meninggalkan syariat yang pernah ditablighkannya kepada manusia.

 Hadis Rasullullah s.a.w. itu merupakan dasar utama bagi ajaran al- Quran dan as-Sunnah. Seseorang itu tidak boleh perpandu atau berpegang kepada sesuatu ilmu untuk bertaqarrub kepada Allah dan mengislahkan diri sendiri selain dari yang dibawakan oleh Rasullullah s.a.w., walaupun ilmu itu berasal dari syari'at yang diturunkan kepada salah seorang para anbiya sebelum Rasullullah s.a.w.

 b) Rasullullah s.a.w telah terdengar seorang khatib berucap: “Barangsiapa taatkan Allah dan rasulNya, maka sesungguhnya ia telah mendapat hidayah dan barangsiapa bermaksiat kepada kedua- duanya, maka sesungguhnya dia telah sesat!”, lalu Rasullullah s.a.w. pun bersabda:

بئس خطيب القوم أنت, قل: ومن يعص الله ورسوله فقد غوى

Ertinya: “Engkaulah seburuk-buruk khatib kaum, katakanlah: Dan barangsiapa yang bermaksiat kepada Allah dan rasulNa, maka sesungguhnya dia telah sesat!” (Riwayat Muslim)

Khatib itu telah dipotong oleh Rasullullah s.a.w di tengah-tengah ucapannya dan ditegur di hadapan orang ramai. Sebabnya ialah si khatib itu menghimpunkan Allah dan Rasulnya di dalam satu gantinama (هما) (kedua-duanya) di dalam ungkapan (ومن يعصيهما) (dan barangsiapa bermaksiat terhadap kedua-duanya). Rasulullah s.a.w telah menyuruhnya supaya menyebut nama yang jelas “Allah dan Rasul” supaya tidak disangka, walaupun secara tidak langsung, bahawa kedudukan Rasulllullah s.a.w. seperti kedudukan Allah Taala. Keperihatinan Rasullullah s.a.w itu merupakan bukti wajibnya aspek mentauhidkan Allah itu dipelihara dengan secukupnya dan wajibnya diadakan pemisahan yang sepenuhnya di antara mana yang wajib bagi Allah dan mana yang wajib bagi pesuruhNya Muhammad s.a.w.

c) Usman bin Maz'un r.a. adalah salah seorang dari kalangan sahabat pilihan. Apabila beliau meninggal dunia, Rasullullah s.a.w. telah melawat jenazahnya dan terdengar seorang wanita sahabat bernama Ummul ‘Alaa’ berkata: “Aku menjadi saksi, wahai Abu as-Sa'ib (gelaran Usman bin Maz'un), bahawasanya Allah memuliakanmu lalu Rasullullah s.a.w. pun berkata: “Bagaimana anda tahu Allah memuliakannya?"

 Pertanyaan ini merupakan suatu teguran yang berat dari Rasullullah s.a.w. kepada wanita sahabat itu bahawa dia telah menghukumkan suatu yang ghaib. Perbuatan ini tidak dibolehkan kerana tiada siapa yang tahu perkara yang ghaib selain Allah Azzawajalla.

 Ummul ‘Alaa’ telah menjawab: “Maha Suci Allah, wahai Rasulullah! Siapakah yang Allah muliakan kalau bukan dia?” Maksudnya kalau bukan Usman bin Maz'un r.a. di antara mereka yang dimuliakan Allah, siapakah di antara para sahabat yang masih hidup masa itu yang dimuliakan Allah? Jawapan Ummul Alaa’ ini amat dalam pengertian dan fahamannya tetapi Rasullullah s.a.w. telah membalasnya dengan jawapan yang lebih dalam lagi pergertiannya apabila Baginda s.a.w. bersabda:

"والله إني لرسول الله لا أدري ما يفعل بي غدا"

 Ertinya: “Demi Allah! Sesungguhnya aku ini ialah pesuruh Allah, tetapi aku tidak tahu apa yang Dia akan lakukan kepada aku esok.” (Riwayat al-Bukhari)

 Jawapan Rasullullah s.a.w itu adalah tegas dan muktamad. Rasullullah s.a.w sendiri yang mendapat selawat dan salam dari Allah sentiasa merasa takut akan balasan di akhirat dan mengharapkan rahmat dari Allah.

Di sini Ummul Alaa’ menyedari akan hakikat syarak yang agung itu dan beliau pun berkata: “Demi Allah! Aku tidak akan menyanjung sesiapa lagi untuk selamanya.” (Ringkasan dari sepotong hadis panjang riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Dasar pokok ini diikrarkan di dalam syari'at melalui ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang amat banyak. Di antaranya firman Allah:-

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يُزَكُّونَ أَنفُسَهُمْ بَلِ اللّهُ يُزَكِّي مَن يَشَاء وَلاَ يُظْلَمُونَ فَتِيلاً * انظُرْ كَيفَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللّهِ الكَذِبَ وَكَفَى بِهِ إِثْمًا مُّبِينًا

Maksudnya lebih kurang: “Tidakkah engkau tahu orang-orang yang membersihkan dirinya? Bahkan Allah membersihkan siapa yang dia kehendaki dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. Lihatlah, bagaimana mereka mengada-gadakan pendustaan terhadap Allah, dan cukuplah itu sebagai satu dosa yang nyata. (Surah an-Nisa ayat, 49-50)

لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَن يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلاَ يَجِدْ لَهُ مِن دُونِ اللّهِ وَلِيًّا وَلاَ نَصِيرًا

Maksudnya lebih kurang: Bukanlah semata-mata dengan angan-angan kamu dan bukan pula angan-angan ahli kitab, barang siapa melakukan kejahatan, ia di balas dengannya dan dia tidak mempunyai pelindung dan tidak juga penolong selain Allah. (Surah an-Nisa ayat, 123)

Ayat yang akhir ini merupakan jawapan kepada kaum Yahudi yang mendakwa “kami adalah ahli syurga dan kami adalah umat Allah yang terpilih.” Begitu juga jawapan kepada kaum Nasrani yang mendakwa” bahkan kamilah ahli syurga kerana kami pengikut-pengikut anak Allah yang membebaskan manusia dari dosa-dosa mereka.” Juga berupa jawapan kepada kaum muslimin yang berkata “malahan kamilah ahli syurga kerana kami pengikut-pengikut pesuruh Allah Muhammad s.a.w, penamat rasul-rasul dan nabi-nabi dan kamilah ahli tauhid!”

 Firman Allah itu menegaskan bahawa syurga itu bukan diperolehi dengan harapan dan angan-angan semata-mata, tetapi ialah dengan amalan soleh, dan bahawa sesiapa yang melakukan kejahatan, ia di balas setimpal dengannya, dan tidak bermanafaat kepadanya dari golongan mana ia berasal. Sepotong hadis yang sanadnya dhaif berbunyi:-

"من قال أنا في الجنة فهو في النار"

Ertinya: “Barangsiapa berkata “Aku masuk syurga,” maka ia masuk neraka.” (Riwayat at-Tibrani)

 e) Seorang lelaki telah datang menemui Rasullullah s.a.w sambil berkata: “ما شاء الله وما شئت” (berlaku apa yang Allah kehendaki dan yang engkau kehendaki). Lalu Rasullullah s.a.w menjawab dengan sabdanya: “أجعلتني لله ندا؟ قل: ما شاء الله وحده” Ertinya: “Adakah engkau menjadikan aku tandingan bagi Allah? Katakanlah: “Apa yang Allah kehendaki sahaja!” (Riwayat Ahmad) Rasullullah s.a.w menjadikan kemahuan (masyiah) itu sebagai kepunyaan Allah semata, dengan tujuan untuk mengajar kaum muslimin bahawa tidak boleh disamakan kehendak manusia dengan kehendak Allah Taala.

 f) Setengah sahabat r.a sewaktu keluar menuju Hawazin selepas penaklukan kota Mekah, telah bertemu dengan sepohon pokok di mana kaum Musyrikin menggantungkan pedang-pedang mereka dengan kepercayaan siapa yang berbuat demikian akan beroleh kemenangan ke atas musuhnya.

 Para sahabat itu pun meminta Rasullullah s.a.w supaya mengadakan untuk mereka suatu yang seumpamanya untuk mereka gantungkan pedang-pedang mereka.

 Lalu Rasullullah s.a.w pun menjawab dengan sabdanya:-

"قلتم والذى نفسي بيده, كما قال بنو إسرائيل لموسى: أجعل لنا إلها كما لهم آلهة"

Ertinya: “Demi yang nyawaku berada di tangannya! Kamu telah mengucapkan sepertimana yang diucapkan oleh Bani Israel kepada Musa: “Buatkanlah untuk kami satu tuhan sebagaimana mereka mempunyai tuhan-tuhan"! (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

 Rasullullah s.a.w menerangkan bahawa permintaan mereka adalah suatu perbuatan kaum musyrikin. Mengikuti perbuatan kaum musyrikin bererti mensyirikkan Allah, kerana permohonan berkat dan pertolongan kepada selain Allah Azzawajalla adalah perbuatan syirik atau menyekutukan Allah dengan selainnya.

9. Semua bukti yang disebutkan di atas bertujuan menyatakan bahawa Rasullullah s.a.w melarang sama sekali perbuatan menodai kesucian dasar pokok agama Islam iaitu mentauhidkan Allah Azzawajalla. Perbuatan beromong-omong mengenai Allah tanpa pengetahuan dan perbuatan menagih hidayah dari sumber selain Allah dan selain Rasulnya s.a.w.

10. Rasullullah s.a.w. telah menutup pintu tilik menilik, meneguk nasib, kahanah dan dakwaan mengetahui perkara ghaib. Rasullullah s.a.w telah memberitahu bahawa orang yang mendakwa sedemikian adalah kafir, dan siapa yang mempercayai tukang tilik atau kahin, maka sesungguhnya ia telah mengkufurkan apa yang telah diturunkan kepada Nabi s.a.w. Rasullullah s.a.w telah ditanya mengenai tukang-tukang tilik dan Baginda s.a.w telah menjawab: “Mereka tidak ada apa-apa!” dengan menafi dan mengecilkan nilai mereka.

 Para sahabat r.a pernah menyatakan kepada Rasullullah s.a.w. bahawa tukang-tukang tilik itu kadang-kadang memberitahu tentang sesuatu perkara yang kemudiannya ternyata benar. Lalu Rasullullah s.a.w. menerangkan kepada mereka bahawa syaitan-syaitan menunggang satu sama lain sehingga sampai ke langit dan terdengar malaikat bercakap mengenai suatu perkara dari urusan Allah Taala. Syaitan-syaitan itu mempelajarinya daripada malaikat. Allah menghantar tahi-tahi bintang merejam mereka, yang kadang-kadang mengenai mereka dan membakari mereka, dan kadang-kadang mereka sempat mencampakkan kalimah yang didengari mereka kepada syaitan yang berada di bawah sebelum berlaku panahan tahi bintang. Syaitan yang menerima kalimah itu lantas menyadurnya dengan seratus pendustaan.

 Kerana itulah wali-wali syaitan dari kalangan manusia berkata benar satu kali dan berdusta banyak kali. (Ringkasan dari sepotong hadis panjang riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

11. Apabila para sahabat r.a meragui tentang diri Ibnu Sayyad seorang Yahudi yang tinggal di Madinah dan mengganggapnya seorang dajal yang pernah disebut oleh Rasullullah s.a.w, maka Rasullullah s.a.w telah mengajak sekumpulan dari mereka menziarahi Ibnu Sayyad di rumahnya dengan tujuan untuk menduganya.

 Baginda Rasullullah s.a.w. telah bersabda kepada Ibnu Sayyad: “Aku ada menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan mu ………..” Ketika itu Rasullullah s.a.w menyimpan di dalam hatinya surah (ad-Dukhan). Musuh Allah itu menjawab: “ad-Dhukh", tanpa dapat menyebutkan lafaz itu sepenuhnya. Rasullullah s.a.w pun bersabda kepadanya: “Engkau tidak lebih dari seorang kahin yang bertali dengan syaitan.” Rasullullah s.a.w bertanya lagi: “Bagaimana engkau nampak?” Ibnu Sayyad menjawab: “Kadang-kadang ia mendatangi ku dengan membawa yang benar dan yang dusta.”

 Lalu Rasullullah s.a.w. pun bersabda:-

لقد لبس عليه"

 Ertinya:- “Sesungguhnya dia telah dikelirukan oleh syaitan.” (Ringkasan dari sepotong hadis panjang riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 Hadis ini membuktikan bahawa syaitan mungkin berkemampuan meninjau apa yang ada di dalam hati seseorang mukmin dan memberitahukannya kepada pengikut-pengikutnya dari kalangan manusia, tetapi kita kaum muslimin disuruh supaya tidak mempercayai perkara ghaib yang diterima selain dari jalan Allah dan jalan Rasullullah s.a.w.

 Semua bukti yang telah disebutkan itu dan bukti-bukti lain yang tidak terkira banyaknya, adalah untuk memantapkan segi aqidah dan keimanan dalam dakwah Rasullullah s.a.w dan sebagai suatu ketegasan bahawa kepercayaan dan keimanan kepada perkara ghaib itu sumbernya ialah Allah s.w.t, dan seseorang muslim tidak boleh sama sekali menjadikan jalan lain sebagai cara untuk mengetahui perkara ghaib, dan bahawa sesiapa yang berbuat demikian, maka sesungguhnya ia telah terkeluar dari batasan keimanan kepada Allah s.w.t.

 Dari buku (الفكر الصوفى فى ضوء الكتاب والسنة) oleh Abdurrahman Abdul Khalid Yusuf.

BAB 3 - Al-Quran Dan As-Sunnah Sebagai Jalan Dan Cara


Bab 4 - Tasawwuf Islam Sepintas Lalu

Tidak diketahui dengan tepat siapa yang mempelopori kemunculan Tasawwuf di kalangan umat Islam dan siapa yang pertama sekali bertasawwuf di kalangan mereka, walaupun Imam Shafie sewaktu tiba di Negeri Mesir pernah berkata,

“Semasa meninggalkan Kota Baghdad, saya dapati golongan zindiq telah mengadakan di sana sesuatu yang mereka namakan “Assama'“

Golongan zindiq itu dimaksudkan Imam As Shafie itu ialah orang - orang bertasawwuf.

"Assama'“ialah nyanyian, seloka dan gurindam yang mereka lagukan. Seperti yang diketahui, Imam Shafie tiba di Mesir pada tahun 199 H.

Kata - kata beliau itu menyarankan bahawa isu “Assama” merupakan isu yang baru.

Tetapi golongan zindiq ternyata telah wujud sebelum itu lagi, kerana Imam Shafie sendiri telah banyak kali memperkatakannya. Umpamanya beliau menyebut, “Jika seseorang itu bertasawwuf pada awal siang, ia menjadi angkuh sebelum ketibaan waktu zohor.
(Talbis Iblis oleh Al-Jauzi, halaman 370)

Beliau juga telah menyebut, “Seseorang yang merapati golongan sufi selama 40 hari akan kehilangan akal selama - lama” (Talbis Iblis, halaman 370)

Ini menunjukkan bahawa sebelum berakhir abad kedua Hijriah telah terdapat sekumpulan orang yang dinamakan oleh para ulama - ulama Islam kadang - kadang dengan nama golongan zindiq dan kadang - kadang dengan nama golongan bertawassuf.

Sementara Imam Ahmad bin Hanbal yang sezaman dengan Imam Shafie dan telah berguru kepadanya, juga telah mengeluarkan beberapa fatwa supaya mengelak diri dari orang - orang tertentu yang dikaitkan dengan tasawwuf.

Umpamanya beliau berkata kepada seorang lelaki yang meminta fatwa mengenai percakapan Al Harith Al Majlisi.” Pada pendapat ku engkau jangan berada di majlis - majlis mereka.” Iaitu setelah Imam Ahmad menyaksikan sendiri perhimpunan - perhimpunan mereka, di mana mereka duduk menangis dan meratap, yang mereka dakwakan sebagai satu cara bermuhasabah atau memperhitungkan kesalahan diri, serta bercakap - cakap mengenai bisikan - bisikan dan lintasan - lintasan hati. Selain melarang orang itu menyertai majlis - majlis golongan bertasawuf itu, Imam Ahmad juga melarangnya membaca buku - buku mereka dengan berkata, “Jauhilah engkau dari buku - buku mereka kerana isi kandungannya adalah bid'ah dan sesat belaka.”

Imam Ahmad telah menyuarakan pendapatnya itu menjelang abad ke 3 Hijriah, tetapi sebelum abad itu berakhir, tasawwuf telah pun muncul dalam bentuknya yang sebenar dan tersebar luas di kalangan Umat Islam sehingga membolehkan golongan bertasawwuf itu memperlihatkan apa yang dulunya mereka sembunyikan.


Tiba Di Kemuncak

Sesiapa yang meninjau perkembangan tasawwuf dari mula kelahirannya di kalangan umat Islam sehingga ke titik kemunculannya secara terang - terangan akan mendapati pada keseluruhannya tokoh - tokoh konsep tasawwuf pada abad ketiga dan abad keempat Hijriah terdiri dari orang - orang keturunan Parsi.

Tiada seorang pun yang berketurunan Arab. Apabila ditinjau pula agama kesufian itu, didapati tasawwuf merupakan wajah lain bagi Syiah, manakala matlamat - matlamat tasawwuf dan matlamat - matlamat Syiah di bidang politik dan agama hampir serupa.

Yang perlu diingat di sini ialah tasawwuf telah tiba di kemuncaknya dari segi aqidah dan tashri ' pada penghujung abad ketiga Hijriah iaitu waktu Al Husin bin Mansur Al - Hallaj melahirkan iktikadnya kepada khalayak ramai sehingga mendorong para ulama pada masa itu mengeluarkan fatwa mengkafirkannya dan dijatuhkan hukum bunuh ke atasnya.
Dia telah dibunuh pada tahun 309 H dan disalib di atas sebuah jambatan Kota Baghdad. Apabila golongan bertasawwuf lain ditanya sesudah itu mengenai diri mereka, mereka tidak memberikan jawapan seperti yang dilahirkan oleh Al Hallaj. Kepercayaan Al-Hallaj ini akan diperkatakan secara terperinci pada tempatnya yang sesuai kelak.

Di sebalik nasib yang menimpa Al - Hallaj itu, orang - orang yang bertasawwuf kian bertambah ramai dan tersebar di merata tempat, khususnya di Negeri Parsi kemudian Negeri Iraq. Faktor yang membantu penyebarannya di Negeri Parsi ialah seorang lelaki bernama Abu Said Al-Mihni yang telah menubuhkan suatu sistem khas bagi khanat - khanat (rumah - rumah tumpangan percuma) yang kemudiannya menjadi pusat ahli sufi.

Inisiatifnya itu telah diikuti oleh semua mereka yang bertasawwuf. Dari sini lahirlah bibit - bibit tarikat tasawwuf pada pertengahan abad keempat Hijriah yang secara pesat berkembang di Negeri Iraq, Mesir dan Negeri Afrika sebelah Utara.


Kemunculan Tarikat - Tarikat

Pada abad keenam Hijriah, muncul sekumpulan orang yang bertasawwuf dengan masing - masing mendakwa berasal dari keturunan Rasullullah s.a.w. serta memperkenalkan tarikat tasawwuf masing - masing dengan pengikut pengikutnya. Dari sini lahirlah Tarikat Rifae di Negeri Iraq, Tarikat Badwi di Negeri Mesir yang pemimpinnya dikatakan berasal dari Morroco tanpa diketahui siapa ibu bapanya dan siapa keluarganya malah tidak diketahui samada beliau benar - benar berasal dari Morroco atau tidak, dan Tarikat Shazili di Negeri Mesir yang pemimpinnya berasal dari Morroco juga. Sejak itu muncul pula tarikat - tarikat lain sebagai pecahan dari tarikat - tarikat yang telah disebutkan itu.

Pada abad keenam, ketujuh dan kelapan Hijriah kemelut tasawwuf mencapai kemuncaknya dengan terbentuk kumpulan - kumpulan Darwish (Ahli Zuhud - perkataan ini dari bahasa Parsi yang berarti orang fakir - Penyaring), pembinaan bumbung - bumbung bulat di kubur - kubur di setiap pelusuk Negeri Mesir dan negeri - negeri lain semasa di bawah Pemerintahan Kerajaan Fathimiah Syiah, pembinaan tempat - tempat ziarah kubur - kubur keramat yang palsu seperti kubur Sayyidina Al Hussin bin Ali r.a. dan kubur As Sayyidah Zainab, kedua - duanya di Negeri Mesir, sambutan Perayaan hari-hari Maulid Wali, penciptaan berbagai - bagai perkara bida'ah, karut marut dan khurafat yang sangat banyak bilangannya, dan akhirnya mendewa - dewakan pemerintah Kerajaan Fathimiah Al Hakam Bi Amrillah. Gerakan Syiah Fathimiah ini bermula di Morroco dengan tujuan mengantikan Pemerintahan Abasyiah dari golongan Ahlul Sunnah. Gerakan ini telah berjaya menggembleng kumpulan - kumpulan sufi dan menyerang Dunia Islam dengan angkatan tentera kebathinan yang berperanan besar dalam membolehkan angkatan tentera salib menjejak kaki di Bumi Israel.


Kebangkitan Islam

Akhirnya gejala yang buruk ini merebak dan melimpah ke seluruh dunia Islam pada abad kesembilan, kesepuluh dan kesebelas Hijriah. Pada ketika itu bilangan tarikat - tarikat tasawwuf mencecah angka ribuan, dan syariat tasawwuf telah menular di tengah - tengah masyarakat di seluruh dunia Islam. Keadaan ini berkekalan hingga ke zaman kebangkitan Islam.

Bibit - bibit kebangkitan ini mula kelihatan pada penghujung abad ketujuh Hijriah dan menjelang abad kedelapan Hijriah, di tangan pejuang pembaharuan Imam Ahmad bin Abdul Halim bin Taimiyyah yang telah berinisiatif mengecam aqidah yang menyelewang melalui tulisan - tulisannya dan keterangan - keterangan yang diberikannya. Di antara aqidah - aqidah yang menjadi sasaran kecaman Ibn Taimiyah ialah aqidah golongan tasawwuf dan syariat - syariat ciptaan mereka. Selepas kewafatannya, murid - murid Ibn Taimiyyah seperti Ibn Al Qayyim, Ibn Kathir, Al Hafiz Al Zahabi, Al Hafiz Al Muzni dan lain - lain telah meneruskan perjuangan pembaharuannya itu. Malangnya pada masa itu duri - duri tasawwuf dengan kekarutan dan khurafatnya serta aqidahnya telah begitu menguasai dan mencemari minda umat Islam.

Pada abad kedua belas Hijriah muncuk pula Al- Shaikh Muhammad bin Abdul Wahab yang telah berguru dengan buku - buku dan tulisan - tulisan Ibn Taimiyah, bangkit menentang gejala kebathilan yang sedang tersebar luas di dunia Islam pada masa itu. Perjuangan beliau telah merintis jalan ke arah kebangkitan Islam yang baru. Dakwahnya telah mendapat sambutan dari kalangan mereka yang ikhlas di seluruh pelusuk dunia Islam, dan gemanya dirasakan di Benua India, di Negeri Sudan, Mesir, Syam dan di Negeri - negeri yang lain. Sejak itu gerakan tasawwuf sedikit demi sedikit menjadi lemah. Sementara cahaya aqidah tauhid mula melenyapkan kegelapan ajaran tasawwuf yang bathil itu dan mula menghapuskan dari umat Islam segala kebathilan, karut marut dan khurafatnya.

Namun demikian gerakan tasawwuf itu masih lagi bertuan di banyak kawasan di dunia Islam khususnya di Benua Afrika dan Negeri - negeri Asia dimana bahasa Arab tidak tersebar luas, dan kejahilan tentang tauhid dan ajaran Islam masih berleluasa. Di samping itu juga simbol - simbol tasawwuf masih lagi wujud seperti kubur - kubur yang dipuja, makam - makam yang diziarahi, Tok - tok Guru yang sesat dan akidah - akidah yang bathil. Semua ini memerlukan usaha yang gigih dan berterusan untuk mencabut akar umbinya agar tidak lagi bertapak di dalam diri setiap individu Muslim dan seterusnya tidak bertapak di bumi Dunia Islam.


Aqidah Tasawwuf

Dalam bentuk yang terakhir, aqidah tasawwuf berbeza dari aqidah Al - Quran dan As Sunnah dalam semua aspek penerimaan ajaran Allah dan sumber ma'rifah agama. Di dalam Islam, aqidah bersumberkan Al - Quran dan As - Sunnah. Sementara di dalam tasawwuf, aqidah bersumber ilham, wahyu yang kononnya diterima para wali, perhubungan dengan jin - jin yang mereka namakan orang - orang halus, roh yang naik ke langit, juga bersumberkan kepada Fana ' pada Allah, penyingkapan cermin hati, hingga kelihatan semua perkara yang ghaib kepada wali - wali sufi, perhubungan hati dengan Rasullullah s.a.w. secara langsung di mana ilmu - ilmu diperolehi, pertemuan dengan Rasullullah s.a.w. ketika sedar dan di dalam mimpi ketika tidur dan sebagainya lagi.

Pendek kata sumber - sumber aqidah tasawwuf untuk mengetahui perkara - perkara ghaib terlalu banyak. Ini telah menyebabkan aqidah tasawwuf itu menjadi luas, berubah - ubah dan berbagai - bagai rupa, malahan berbeza - beza diantara aqidah seorang sufi dengan sufi yang lain, yang mana masing - masing mendakwa mengkhabarkan apa yang telah dikashafkan kepadanya atau apa yang telah dibisikkan ke dalam hatinya, atau apa yang telah dikatakan kepadanya oleh Rasullullah s.a.w. atau dicampakkan kepadanya oleh Malaikat atau ditinjau sendiri di Loh Mahfuz!!

Mengenai Al - Quran dan As - Sunnah pula, golongan yang bertasawwuf itu mempunyai tafsiran kebathinan tersendiri terhadap kedua - duanya. Kadang - kadang mereka namakan tafsiran itu tafsir isyarat dan pengertian huruf - huruf. Mereka mendakwa setiap huruf di dalam Al - Quran mengandungi arti yang tidak siapa dapat mengetahuinya selain seorang sufi yang mendalam ma'rifatnya dan yang dikashafkan hatinya!. Berdasarkan kepada dakwaan ini, bolehlah dianggapkan golongan tasawwuf itu mempunyai agama tersendiri yang berbeza dari segi pokok dan cabang - cabangnya dari ajaran yang dibawakan oleh Rasullullah s.a.w.

Di bawah ini dibentangkan secara ringkas aqidah tasawwuf mengenai Allah, Rasullullah s.a.w, wali, syurga dan neraka, Firaun dan Iblis dan Syariat


Mengenai Allah

Golongan bertassawuf mempunyai berbagai - bagai iktikad terhadap Allah di antaranya Al Hulul (Allah bertempat) seperti Mazhab Al Hallaj dan Wahdatul Wujud (Kesatuan wujud) di mana tiada titik pemisah di antara Khaliq dan makhluk.

Aqidah yang akhir ini telah tersiar luas pada abad ketiga Hijriah hingga ke hari ini. Ianya diakui oleh tokoh - tokoh tasawwuf seperti Ibnu Arabi, Ibnu Sab'iin, Altimasaniy, Abd karim Al Jailiy, Abd Ghany Al nabilsiy dan kebanyakan tokoh - tokoh tarikat tasawwuf kebelakangan.


Mengenai Rasullullah S.A.W

Golongan sufi itu juga mempunyai berbagai - bagai iktikad terhadap Rasullullah s.a.w. Di antara mereka ada yang mendakwa Rasullullah s.a.w tidak mencapai martabat dan kedudukan mereka!!. Rasullullah s.a.w. tidak mengetahui ilmu - ilmu ahli tasawwuf sepertimana yang diucapkan oleh Abu Yazid Al Busthami: “Kami mengharungi samudra (ilmu pengetahuan) sementara para Anbiya hanya berdiri di tebingnya.”

Di antara mereka ada pula yang beriktikad bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu bumbung alam buana qubbatul kaun, dialah tuhan yang bertakhta di Arasy, bahawa langit, bumi, Arasy, Kursi dan segala makhluk kejadian diciptakan dari nurnya, dialah yang pertama wujud dan dialah yang bertakhta di Arasy Allah!!. Ini ialah aqidah Ibn Arabi dan golongan sufi yang muncul selepasnya.


Mengenai Wali - Wali

Golongan sufi juga mempunyai berbagai - bagai iktikad berhubung dengan wali - wali. Di antara mereka ada yang lebih mengutamakan wali dari Nabi. Kebanyakan mereka menyamakan wali dengan Allah di dalam segala sifatnya. Wali itu mencipta, memberi rezeki, menghidup dan mematikan dan bertindak sewenang - wenang di alam buana. Mereka membahagikan wibawa kewalian itu kepada beberapa bahagian. Di sana terdapat Al - Ghauth (pengawal) yang mengawal segala - gala yang ada di alam ini.

Kuthub yang empat yang memegang empat penjuru alam dengan perintah Al - Ghauth. Abdal yang tujuh yang setiap masing - masing menjaga sebuah benua dari tujuh benua dunia dengan perintah Al - Ghauta Annujaba (golongan muliawan) yang masing - masing bertugas di bahagian pengawalan nasib, kesudahan makhluk serta mempunyai dewan persidangan di Gua Hira Makkah Al Mukkaramah di mana mereka berhimpun pada setiap malam meneliti nasib - nasib yang sudah ditakdirkan!

Pendek kata mereka ini merupakan wali - wali ilmu khurafat dan karut sepenuhnya! Ini ialah kerana iktikad sedemikian bertentangan secara langsung dengan konsep kewalian yang terdapat di dalam ajaran Islam yang tegak di atas asas agama, ketakwaan, amalan soleh, pengabdian yang sepenuh kepada Allah dan sentiasa berhajat kepadaNya.

Menurut ajaran Islam, seorang wali itu tidak memiliki apa - apa untuk dirinya apatah lagi memiliki sesuatu untuk orang lain.

Allah telah berfirman kepada Rasul-Nya:-

Maksudnya lebih kurang: “Katakanlah (Wahai Muhammad!) aku tidak memiliki sesuatu yang mendatangkan bahaya dan juga kebaikan kepada kamu.” (Surah Al - Jin, ayat 21)


Mengenai Syurga Dan Neraka

Golongan sufi beriktikad bahawa keinginan mendapatkan syurga dari sesuatu amalan soleh itu adalah suatu kekurangan yang besar. Seorang wali itu tidak seharusnya berusaha untuk mencapainya dan tidak juga menuntutnya. Barangsiapa menuntut syurga bererti ia masih lagi kekurangan dan belum sempurna. Yang menjadi tuntutan sufi ialah fana' pada Allah yang mereka sering dakwakan itu, berpengetahuan tentang segala yang ghaib dan bertindak sewenang - wenang di alam buana. Itulah syurga sufi yang sebenar yang didakwakan mereka.

Mengenai neraka pula mereka beriktikad bahawa menjauhkan diri darinya adalah suatu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh sufi yang sempurna. Kerana perasaan takutkan neraka itu adalah tabiat hamba - hamba sahaya, bukan tabiat tuan mas.

Bahkan di antara ahli - ahli tasawwuf itu ada yang bermegah dengan pengakuan bahawa andainya ia meludah api neraka itu, nescaya padamlah api neraka itu! Ini pernah disebutkan oleh Abu Yazid Al Bustami.

Sementara golongan mereka yang berpegang kepada Konsep Wahdatul Wujud (Kesatuan Wujud) pula beriktikad bahawa neraka itu bagi mereka yang memasuki adalah suatu kebahagiaan dan kenikmatan yang tidak kurang dari kenikmatan yang dirasai oleh mereka yang masuk syurga. Ini adalah aqidah Ibnu Arabi seperti yang disebutkan di dalam bukunya 'Al Fushush'


Mengenai Iblis Dan Firaun

Golongan sufi beriktikad bahawa iblis itu hamba Allah yang paling sempurna dan makhluk yang paling utama dari segi mentauhidkan Allah, kerana ia tidak sujud melainkan kepada Allah sahaja mengikut dakwaan mereka, dan Allah telah mengampunkan dosa - dosa dan memasukkannya ke dalam syurga.

Sementara Firaun pula, bagi mereka ialah dari golongan paling utama yang mentauhidkan Allah kerana ia telah menyebut sebagaimana yang difirmankan Allah:-

Maksudnya lebih kurang: “Lalu dia berkata, akulah tuhan kamu yang tertinggi.”
(Surah An-Nazi'at, ayat 24)

Menurut dakwaan mereka, kata - kata Firaun ini menunjukkan ia telah mengenal hakikat kebenaran, kerana setiap yang wujud itu ialah Allah. Kemudian mereka juga mendakwa bahawa Firaun itu telah beriman dan masuk syurga!!.


Mengenai Amalan Peribadatan

Golongan sufi beriktikad bahawa solat, puasa, haji dan zakat itu ialah amalan - amalan peribadatan bagi orang - orang biasa (awam). Mereka menamakan diri mereka sendiri sebagai golongan istimewa (khassah) atau golongan istimewa dari yang istimewa (Khassotul khassah)

Kerana itulah mereka mempunyai amalan - amalan peribadatan yang khusus.

Kumpulan - kumpulan dari golongan sufi itu mengadakan syariat - syariat tertentu untuk masing - masing seperti zikir - zikir tertentu dengan cara dan gerak geri tertentu.

Khalwat tertentu dan makanan tertentu, pakaian tertentu dan halaqat zikir tertentu juga.

Andainya amalan - amalan peribadatan di dalam ajaran Islam itu merupakan pensucian jiwa dan pembersihan masyarakat, maka amalan - amalan peribadatan di dalam tasawwuf menurut dakwaan mereka, bertujuan mengikatkan hati dengan Allah untuk menerima ajaran darinya secara langsung, fana' padanya dan memperolehi ilmu ghaib dari Rasullullah s.a.w dan berakhlak dengan akhlak Allah, sehingga membolehkan seseorang sufi itu menyebutkan 'kun' maka jadilah sesuatu itu! Juga membolehkan mereka melihat rahsia kejadian alam, melihat segala yang ada di dalam Kerajaan Allah dan seterusnya bertindak tanpa batas di alam buana.

Di dalam tasawwuf tidak penting adanya pertentangan di antara syariat tasawwuf dengan amalan - amalan syariat yang dibawakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Candu, dadah, khamar (arak), percampuran lelaki dan wanita di dalam majlis - majlis maulid wali dan di dalam halaqat zikir adalah harus belaka, kerana wali - wali tasawwuf mempunyai syariat - syariat tersendiri yang diterima dari Allah secara langsung seperti yang didakwakan mereka.

Tidak mustahak juga syariat itu bercanggah dengan apa yang disyariatkan oleh Rasullullah s.a.w. kerana masing - masing mempunyai syariat yang tersendiri. Syariat Nabi Muhammad s.a.w. untuk orang biasa (awam). Sementara syariat Sheikh Sufi itu untuk golongan khusus sahaja!.


Mengenai Halal Dan Haram

Golongan bertasawwuf yang berpegang kepada konsep “Wahdatul wujud” tidak mengharamkan sesuatu apa pun, kerana bagi mereka segala sesuatu itu mempunyai entiti yang satu. Kerana itulah ada di antara mereka yang melakukan zina dan hubungan seks yang abnormal malahan ada yang melakukan seks dengan kaldai pada siang hari secara terang - terangan!!!.

Di antara mereka ada yang beriktikad bahawa Allah telah mengugurkan darinya segala taklif atau bebanan tanggungjawab, dan menghalalkan kepadanya apa yang diharamkan kepada orang lain!.

Di bidang politik dan pemerintahan, metodologi golongan bertasawwuf itu berasas kepada tidak harus menentang kejahatan dan pemerintah - pemerintah yang kejam kerana mendakwa Allah telah menciptakan hamba - hambanya mengikut apa yang dikehendakinya!.


Mengenai Pendidikan


Yang paling bahaya di dalam syariat tasawwuf ialah metodologi mereka di dalam pendidikan di mana mereka menguasai minda manusia dan melumpuhkan keupayaannya untuk bergiat cergas. Penguasaan ini dibuat secara beransur - ansur bermula dengan berbaik - baik, kemudian dengan menakut - nakutkan, kemudian dengan menyanjung tasawwuf dan tokoh - tokohnya, kemudian dengan mengelirukan, kemudian dengan dorongan ke arah ilmu - ilmu tasawwuf sedikit demi sedikit, kemudian dengan ikatan kepada tarikat dan akhirnya ditutup semua pintu keluar dirinya.



Bab 5 - Cara Penerapan Hidayah Tasawuf

Tiada siapa pun yang membuat kajian ilmiah mengenai tasawuf Islam, dapat mengesan orang pertama yang dinamakan sufi di kalangan umat Islam, dan orang yang meletakkan batu asas pertama konsep tasawuf Islam.

Tidak syak lagi tasawuf itu suatu metodologi akidah, konsep dan suluk yang muncul sejak sebelum kedatangan agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ianya terdapat di kalangan bangsa-bangsa dan agama-agama yang wujud pada masa itu seperti Brahman Hindu, Falsafah Ashraqiah Greek, dan Majusi Parsi, juga pada agama Yahudi dan Nasrani. Kemudian ia berpindah kepada konsep Islam melalui kumpulan-kumpulan Zindiq Majusi Parsi dan mula mengambil tempatnya di kalangan umat Islam serta berkembang pesat sehingga tiba di kemuncaknya di mana dituliskan sumber-sumbernya, diletakkan dasar-dasar pokoknya dan pandangan-pandangannya yang muktamad pada abad-abad keempat dan kelima Hijriah.

Tetapi sesetengah penulis menyangka bahawa tasawuf itu ada kaitan dengan amalan zuhud. Kerana itulah tasawuf dikaitkan dengan sesiapa sahaja yang diketahui mengamalkan zuhud, menolak kehidupan duniawi dan bertumpu kepada amalan bertaqarrub kepada Allah semata-mata seperti Al Fudhail Bin Iyad, Abdullah Bin Al Mubarak, Basyar Al Hafi, Ibrahim Bin Adham dan lain-lain ahli ibadat dan zuhud. Faktor yang membantu ke arah mencampur aduk tasawuf dan zuhud ini ialah penyusun-penyusun senarai peringkat-peringkat tokoh tasawuf. Kerana mereka inilah menentukan sedemikian. Bahkan sesetengah mereka bersikap keterlaluan seperti yang dilakukan oleh As Sha’rani iaitu apabila beliau menganggapkan para khulafa Ar Rasyidin sebagai tokoh-tokoh utama dalam senarai tokoh-tokoh tasawuf.

Pada hakikatnya di sana tiada kaitan langsung antara tasawuf dengan zuhud. Zuhud atau mengenepikan kehidupan duniawi itu ialah suatu fadilat yang disyarakkan dan digemari. Ianya akhlak para anbia’ dan hamba-hamba Allah yang soleh yang lebih mengutamakan apa yang ada di sisi Allah daripada bersenang-senang, berenak-enak dan bersibuk-sibuk dengan perkara-perkara yang diharuskan. Allah telah berfirman mengenai orang-orang ini ;

Maksudnya lebih kurang ; “Dan mereka lebih mengutamakan (orang lain) daripada diri mereka sendiri walaupun ada sesuatu hajat pada mereka.”
(Surah Al Hasr ; ayat 9)

Firmannya lagi ;

Maksudnya lebih kurang ; “Dan mereka memberi makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan. (Mereka berkata) Sesungguhnya kami memberi kamu makan itu kerana mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak mahukan balasan dari kamu dan tidak juga terima kasih”
(Surah Al Insaan ; ayat 8-9)

Di dalam kedua-dua Sahih Al Bukhari dan Sahih Muslim tercatit bahawa Sayyidatina Aisyah r.a telah berkata, “Telah terbit anak bulan, anak bulan dan anak bulan, tiga anak bulan dalam dua bulan dan tidak dinyalakan api di rumah-rumah Rasulullah.” Lalu ditanyakan, “Jadi apakah makanan kamu?” Beliau menjawab, “tamar dan air.” Inilah kesempurnaan zuhud dan penafian terhadap keduniaan.

Sementara tasawuf pula mempunyai metodologi yang lain di dalam perkara ini. Apabila seseorang sufi itu telah mencapai kemuncak kesufiannya, aspek zuhud tidak mempunyai sebarang arti kepadanya. Kerana ia hanya memerlukan zuhud pada permulaan jalan kesufiannya. Di penghujung jalan itu ia bebas melakukan apa sahaja yang ia mahu termasuk melakukan perkara-perkara yang haram seperti minum khamar dan berzina atau liwat, kerana akidah wahdah al wujud pada titik akhirnya tidak membezakan di antara seseorang zindiq dengan bukan zindiq, di antara saudara perempuan dengan wanita bukan saudara, di antara malaikat dengan syaitan, bahkan di antara hamba dengan tuhan sebagaimana yang dimadahkan oleh Ibni Arabi, Jurutera konsep tasawuf ;

“Hamba itulah tuhan dan tuhan itulah hamba
Oh! Siapakah agaknya yang ditaklifkan?
Jika anda mengatakan hamba, maka dia ialah tuhan dan jika anda katakan tuhan, tentulah dia tidak ditaklifkan” !.

Jelaslah bahawa jurang perbezaan amat luas antara zuhud yang merupakan suatu fadilat di dalam syariat Islam dengan tasawuf yang menjadikan zuhud sebagai syiar bagi mereka yang baru melangkah ke ambang pintu tasawuf sahaja. Apabila tiba ke titik akhir bertasawuf itu, mereka tidak lagi memerlukan zuhud dan sebaliknya bebas menikmati apa sahaja yang mereka mahukan.


Isu Ibrahim Bin Adham

Seperti mana yang telah disebutkan, tidak diketahui sama sekali orang pertama yang dinamakan sufi di kalangan umat Islam. Tetapi apabila membaca buku ‘Tabaqat As Sufiah’ susunan Abu Abdul Rahman As Silmi mengenai Ibrahim Bin Adham, saya mulai terhidu bibit-bibit permulaan konsep tasawuf Islam. Saya membaca riwayatnya dan mendapati ada di antara Ulama Al Jar’h Wa ta’dil (para pengkritik) yang mengakui kebenaran Ibrahim Bin Adham dan ada pula yang mengaitkannya dengan unsur kekarutan dan juga kejahilan terhadap syariat Allah. Tetapi saya kuat menyangka bahawa Ibrahim Bin Adham ialah orang pertama yang menyemaikan benih-benih tasawuf Islam.

Teman-teman telah menarik perhatian saya kepada sikap Sheikh Al Islam Ibnu Taimiyyah yang memuji Ibrahim Bin Adham. Saya juga telah membaca tulisan Sheikh Al Islam Rahimallah itu, dan pada pendapat saya beliau mungkin memuji seseorang kerana pendiriannya yang betul berhubung dengan akidah, tetapi mungkin tidak menyetujuinya di dalam pendiriannya yang lain. Malahan Sheikh Al Islam Ibnu Taimiyyah juga pernah menjadikan kata-kata kaum Nasrani dan kaum Yahudi sebagai bukti andainya kata-kata itu berpihak kepada kebenaran.

Saya juga mendapati kata-kata para pengkritik tidak sampai ke peringkat yang boleh mentohmah Ibrahim Bin Adham terlibat dengan ciptaan-ciptaan baru orang-orang tasawuf di dalam akidah dan metodologi mereka.

Walaupun tidak dapat dipastikan dengan tepat orang pertama yang dinamakan sufi di kalangan umat Islam dan orang pertama yang meletakkan batu asas tasawuf Islam, namun yang nyata ialah kemunculan tasawuf di kalangan umat Islam telah berlaku pada permulaan abad kedua Hijriah. Imam As Syafie yang wafat pada tahun 205 Hijriah telah berkata, “Saya meninggalkan kota Baghdad dan golongan zindiq telah mengadakan di sana sesuatu yang dinamakan As Samak.” Seperti yang disebutkan terdahulu.


Secara Rahsia

Golongan zindiq yang dimaksudkan ialah Ahli-Ahli tasawuf, manakala As Samak ialah nyanyian dan lagu-lagu yang mereka nyanyikan beramai-ramai. Tidak syak lagi kemunculan golongan tasawuf dengan perkara bidaah ini bukan berupa hasil setahun dua itu sahaja. Ia telah wujud bertahun-tahun lamanya sebelum itu, iaitu dalam tempoh di mana bidaah tasawuf itu berevolusi sehingga akhirnya orang-orang tasawuf itu mendedahkan bidaah mereka itu kepada umum dengan nyanyian-nyanyian, pukulan-pukulan gendang dan sebagainya di Kota Baghdad ibu negeri pemerintahan Islam pada masa itu.

Tidak syak lagi, fenomena-fenomena dan akidah-akidah yang bertentangan dengan ajaran Islam itu telah bermula secara rahsia. Kemudian ia berkembang dan semakin menular dan merebak sehingga akhirnya didedahkan kepada umum oleh para pengamalnya. Kerana itulah tidak diketahui dengan tepat pelopor konsep tasawuf Islam itu.

Bukti kerahsiaan kegiatan tasawuf ini ialah riwayat Imam Ahmad Bin Hanbal bahawa beliau telah mendengar berita mengenai Al Haris Al Mahasbi dan sekumpulan pengikutnya berhimpun di sebuah rumah dan menghabiskan waktu malam mereka dengan menangis dan meratap, memperhitung dosa diri sendiri, membicarakan mengenai lintasan hati dan apa yang berwas-was di dalam hati mereka. Setelah mencuri-curi mendengar dari sebuah rumah yang bersebelahan dengan rumah tempat perhimpunan kumpulan berkenaan, Imam Ahmad bin Hanbal pun berkata, “Jauhkanlah orang ramai dari Al-Haris Al Mahasbi!!. Kemudian kepada orang yang meminta nasihatnya samada ia patut menyertai kumpulan itu, Imam Ahmad menasihatkannya dengan berkata, “Pada pendapatku engkau jangan menyertai mereka.”

Abu Abdul Rahman As Silmi meninggal dunia pada tahun 412 Hijriah dan yang telah memutar belitkan cerita-cerita mengenai golongan sufi yang kononnya diperolehi dari mulut tokoh-tokoh veteran tasawuf, telah menganggapkan Ibrahim Bin Adham sebagai perintis dan pengasas konsep tasawuf Islam.

Berikut kita bentangkan cerita-cerita yang disebutkan oleh Abu Abdul Rahman As Silmi dan membuat ulasan mengenainya agar dengan itu kita dapat melihat kebatilannya di samping dapat menanggap bagaimana konsep tasawuf itu mulai berkembang seterusnya.


Cerita Pertama

Abu Abdul Rahman As Silmi berkata ; Aku mendengar Abu Al Abbas Bin Al Hasan Al Khashab menyebut, “Kami telah diberitahu oleh Abu Al Hassan Ali Bin Muhammad Bin Ahmad Al Masri yang berkata: Aku telah diberitahu oleh Abu Said Ahmad Bin Asi Al Harraz yang berkata: Kami diberitahu oleh Ibrahim Bin Basyar yang berkata: Aku telah menemani Ibrahim Bin Adham di Negeri Syam bersama-sama dengan Abu Yusuf Al Ghasuli dan Abu Abdullah As Sanjari, lalu aku berkata, “Wahai Abu Ishak, beritahulah kepada aku tentang keadaanmu ini. Bagaimana mulanya?” Jawab Abu Ishak (panggilan bagi Ibrahim Bin Adham), “Bapaku salah seorang raja negeri Khurasan. Sewaktu muda aku memburu dengan menaiki tunggangan. Pada suatu hari, aku keluar dengan tungganganku bersama-sama seekor anjing menjejaki seekor arnab atau seekor musang. Sedang aku mencari-carinya, tiba-tiba terdengar kepadaku suatu seruan yang tidak kelihatan penyerunya. Ia menyeru, “Wahai Ibrahim! Adakah kerana ini engkau dijadikan? Atau inikah yang disuruh engkau lakukan?” Aku terkejut dan terus berhenti. Kemudian aku meneruskan tunggangan. Seruan itu kedengaran lagi sehingga tiga kali. Kemudian terdengar lagi suara itu menyeru, ia datang dari pelanaku, “Demi Allah! Bukan kerana ini engkau dijadikan, dan bukan ini engkau disuruh lakukan.” Ibrahim meneruskan ceritanya, “Aku pun turun dari tungganganku dan terserempak dengan pengembala kambing bapaku. Aku mengambil pakaian jubahnya yang diperbuat dari bulu binatang dan lantas memakainya serta aku menyerahkan kuda dan segala apa yang ada padaku kepada pengembala itu. Kemudian aku berjalan menuju ke Mekah. Ketika dalam perjalanan di gurun pasir, tiba-tiba aku ternampak seorang lelaki berjalan tanpa membawa sebarang makanan. Apabila tiba waktu maghrib dia mendirikan solat. Selepas itu ia menggerakkan kedua bibirnya menuturkan sesuatu ucapan yang aku tidak memahaminya. Tiba-tiba di depannya tersaji hidangan makanan dan bejana berisi minuman. Aku pun makan dan minum setelah diajaknya. Aku bersamanya selama beberapa hari. Dia telah mengajarku Asma Allah Al Azim (nama Allah yang teragung). Kemudian dia menghilangkan diri dan tinggallah aku bersendirian. Pada suatu hari sedang aku kesunyian kerana keseorangan, aku berdoa kepada Allah dengan menyebutkan namanya yang teragung itu. Tiba-tiba muncul didepanku seorang lelaki yang memegang hujung pakaianku dan berkata ; “Pohonlah, nescaya permohonanmu dikabulkan!” Aku merasa takut dengan kata-katanya itu. Dia berkata lagi, “Jangan takut! Aku ini saudaramu Al Khadir. Saudaraku Daud telah mengajarmu Asma Allah Al Azim. Janganlah engkau serukannya kepada sesiapa yang bermusuh denganmu, nanti seruan itu akan memusnahkan musuhmu di dunia dan di akhirat. Tetapi serulah Allah supaya diberanikan ketakutanmu, dikuatkan kelemahanmu, dijinakkan kebuasanmu dan diperbarukan keinginanmu pada setiap saat! Kemudian dia pergi meninggalkan aku.”


Cerita Yang Kedua

Abu Abdul Rahman Al Silmi berkata, “Aku mendengar Muhammad Bin Al Hassan Al Baghdadi berkata ; Aku mendengar Ali Bin Al Hassan Bin Ahmad Al Masri berkata: Aku mendengar Ahmad Bin Isa Al Kharraz berkata: Aku diberitahu lebih dari seorang teman, di antara mereka Said Bin Jaafar Al Waraq, Harun Al Dami dan Usman An Najar. Mereka berkata, “Kami diberitahu oleh Usman Bin Umarah yang berkata: Aku diberitahu oleh Ibrahim Bin Adham mengenai seorang lelaki dari kalangan penduduk Iskandariah bernama Aslam Bin Yazid Al Jahani. Ibrahim berkata ; Aku menemuinya di Iskandariah dan dia bertanya kepadaku,” Siapa kamu, wahai anak muda?” Aku menjawab, “Aku seorang pemuda dari negeri Khurasan.” Dia bertanya pula, “Apakah yang mendorongmu keluar dari kehidupan duniawi?” Aku menjawab, “Aku mahu berzuhud dan mengharapkan pahala dari Allah taala.” Dia berkata, “Harapan seseorang untuk mendapatkan pahala dari Allah itu tidak sempurna selagi ia tidak memikul bebanan kesabaran.” Seorang lelaki yang ada bersamanya bertanya, “Apa dia kesabaran itu?” Aslam menjawab, “Serendah-rendah darjah kesabaran ialah seseorang hamba itu melatih diri menanggung bebanan keburukan-keburukan nafsu.” Aku bertanya, “Kemudian apa pula?” Aslam menjawab, “Andainya ia telah berjaya memikul keburukan-keburukan nafsu itu, maka Allah mewariskan hatinya dengan nur.” Aku bertanya, “Apa dia nur itu?” Aslam menjawab, “Pelita di hati yang membolehkannya membezakan di antara yang hak dengan yang batil, yang nasakh dan yang samar-samar pengertiannya.” Aku berkata, “Ini adalah sifat wali-wali Allah Rabbil Alamin.” Aslam menjawab, “Astaghfirullah, benarlah Isa Bin Maryam a.s. apabila berkata: Janganlah kamu meletakkan hikmah kepada yang tidak berhak ke atasnya, nescaya mereka akan mensia-siakannya.. Dan janganlah kamu menghalanginya dari yang berhak ke atasnya nescaya kamu menganiayainya.”

Ibrahim berkata, “Aku pun tertarik kepadanya dan menuntut dengannya disertai teman-temannya. Pada ketika itu Aslam berkata kepadaku, “Wahai anak muda! Apabila engkau menemani golongan yang baik-baik atau bercakap dengan mereka, janganlah menimbulkan kemarahan mereka. Ini ialah kerana hukama (pendita) itulah ulamak. Mereka rela kerana Allah jika dibenci manusia, dan merekalah teman-teman Allah besok bersama-sama para anbia’ dan golongan Siddiqin. Wahai anak muda! Ingatlah apa yang aku ajarkan dan fahamkanlah! Pikullah bebanan kepayahan dan janganlah bersikap gopoh! Sikap berhati-hati mengandungi kesabaran dan rasa malu, manakala kebodohan itu mengandungi sikap melampau dan berpandangan serong.” Ibrahim berkata ; air mataku mengalir dan akupun bertanya,” Demi Allah! Tiada yang mendorongkan aku meninggalkan kedua ibu bapaku dan harta bendaku melainkan kerana kecintaan mengutamakan Allah serta berzuhud dari kehidupan duniawi dan berkeinginan berada di sisi Allah Taala.”

Aslam berkata pula kepadaku, “Engkau jauhilah sifat bakhil.” Aku bertanya, “Apa dia bakhil itu?” Aslam menjawab, “Di kalangan ahli dunia, bakhil itu bererti lokek mengeluarkan harta. Adapun di kalangan ahli akhirat, ianya bererti lokek mendekatkan diri kepada Allah. Ingatlah! Seseorang hamba itu andainya ia bermurah hati kepada Allah nescaya Allah mewariskan hatinya dengan hidayah dan takwa, ketenangan, kesabaran, penghormatan, ilmu pengetahuan yang tepat dan akal yang sempurna. Di samping itu dibukakan kepadanya pintu-pintu langit dan ia melihat dengan hatinya bagaimana pintu-pintu itu terbuka, walaupun di jalan duniawi ia terlantar.” Salah seorang teman lalu berkata, “Pukullah dia! Biar dia sakit. Sesungguhnya kami mendapatinya seorang anak muda yang telah diberi taufik menjadi wali Allah.”

Aslam kelihatan kagum dengan kata-kata teman itu, lalu dia berkata kepadaku, “Wahai anak muda! Sesungguhnya engkau akan menemani golongan yang baik-baik. Oleh itu, jadilah engkau sebagai bumi tempat mereka berpijak! Andainya mereka memukulmu, mengancammu, menghalaumu, memperdengarkanmu dengan kata-kata yang tidak sopan, andainya mereka melakukan semua itu kepadamu, maka fikirkanlah tentang dirimu ; Dari mana engkau datang?. Andainya engkau berbuat demikian, nescaya Allah membantumu dengan pertolongannya dan menjadikan hati mereka menerimamu. Ketahuilah bahawa seseorang hamba itu jika dibenci golongan yang baik-baik dan dipulau golongan yang warak serta dimarahi golongan yang zuhud, maka itu sebenarnya adalah tindakan Allah meredhainya. Andainya Allah telah meredainya, maka Dia menerimanya bersama-sama dengan hati mereka. Andainya ia menderhaka kepada Allah, nescaya diwariskan hatinya dengan kesesatan, di samping pengharaman rezeki keatasnya, kedinginan sikap keluarga terhadapnya, kemarahan para malaikat kepadanya, para rasul berpaling darinya dan Allah tidak peduli di lembah mana ia dibinasakan!!

Ibrahim berkata ; Aku pun berkata kepadanya, “Semasa berjalan di antara Kufah dan Mekah, aku menemani seorang lelaki yang apabila tiba waktu petang ia bersembahyang dua rakaat yang lama. Kemudian ia bercakap dengan amat perlahan seolah-olah dia bercakap dengan dirinya sendiri. Tiba-tiba di sebelah kanannya ada selonggok makanan dan segelas air. Ia makan dan mengajakku makan bersama-samanya.” Ibrahim berkata, “Tiba di sini Aslam menangis dan orang-orang yang bersamanya juga turut menangis. Kemudian Aslam berkata, “Wahai anakku! (atau wahai saudaraku!) ; Itulah saudaraku Nabi Daud. Tempat tinggalnya selepas baligh berhampiran dengan kampung yang dipanggil Al Bardatul Tayyibah, tempat itu berbangga dengan adanya Daud di situ. Wahai anak muda! Apakah katanya kepadamu? Apakah yang diajarkannya kepada mu?” Kata Ibrahim ; aku menjawab, “Dia mengajarku Asma Allah Al Azim.” Lalu Aslam pun bertanya kepadaku, “Apa dia?” Aku menjawab, “Terlalu agung bagiku untuk menuturkannya. Sesungguhnya pada suatu kali aku telah memohon dengan menyebutkannya. Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang lantas memegang-megang hujung pakaianku dan berkata ; Pohonlah! Nescaya permohonanmu dimakbulkan! Aku merasa takut, lalu lelaki itu berkata ; Janganlah takut! Aku ini saudaramu Al Khadir. Saudaraku Daud telah mengajarkannya kepadamu. Janganlah engkau memohon dengannya kecuali pada perkara yang baik! Kemudian ia berkata ; Wahai anak muda! Sesungguhnya orang-orang yang berzuhud dari kehidupan duniawi telah menjadikan keredaan Allah itu sebagai pakaiannya, kecintaan kepada Allah sebagai bajunya dan mengutamakan Allah itu syiarnya. Allah memberi kurniaan kepada mereka melebihi kurniaan yang diberikan kepada selain mereka. Kemudian ia pun meninggalkan aku.” Sheikh Aslam merasa kagum dengan kata-kataku, kemudian beliau berkata, “Sesungguhnya Allah akan menyampaikan kepada sesiapa yang sepertimu dan mengikuti jejak langkahmu dari kalangan orang-orang yang mendapat hidayah.” Kemudian Sheikh Aslam berkata kepadaku, “Wahai anak muda! Sesungguhnya kami telah bermanafaat kepadamu, merintiskan jalanmu dan telah pun mengajarkanmu suatu ilmu.” Kemudian sesetengah mereka yang ada pun menyeru, “Wahai tuhan kami! Hijabkanlah ia dari kami dan hijabkanlah kami darinya.” Ibrahim berkata ; tiba-tiba mereka menghilang diri dan aku tidak tahu ke mana mereka pergi! (dipetik dari Thabaqat As Silmi).

Orang yang telah mengadakan kedua-dua cerita di atas meletakkan asas tasawuf yang darinya konsep tasawuf tumbuh berkembang dan bercabang-cabang. Marilah kita tinjau asas-asas konsep tasawuf itu secara lebih dekat dan mengujinya ;

1) Menurut Abu Abdul Rahman As Silmi, penyusun buku ‘Tabaqat As Sufiah’ yang telah disebutkan itu bahawa pada permulaannya hidayah datang kepada Ibrahim bin Adham dari suatu suara seruan kepadanya. Kemudian dari suatu percakapan yang lahir dari pelana kuda yang ditungganginya. Tujuan di sini bukan untuk membincangkan kesahihan atau kepalsuan dakwaan itu. Hanya yang mahu ditekankan ialah cara memperolehi hidayah seperti ini bertentangan dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Hidayah di dalam ajaran Islam bersumberkan Al Quran yang diturunkan Allah sebagai petunjuk dan cahaya penyuluh. Dakwah ke arah keimanan di dalam syariat yang dibawakan Rasulullah s.a.w. adalah berasaskan hujah dan cara yang meyakinkan di samping penonjolan bukti kemukjizatan Al Quran dan kebenaran Rasulullah s.a.w.

2) Hidayah yang didakwakan oleh Abu Abdul Rahman As Silmi sebagai telah mendorong Ibrahim bin Adham meninggalkan ibu bapanya, tanah tumpah darahnya, meninggalkan pakaiannya dan meninggalkan kehidupan duniawi, memakai pakaian dari bulu binatang (Suf), yang dipakai oleh pengembala kambing yang mana dipercayai dari sinilah berasalnya nama ‘Tasauf’ (berpakaian bulu) itu. Di dalam ajaran Islam, di antara syarat-syarat bagi seseorang itu mendapat hidayah ialah tidak termasuk meninggalkan kehidupan duniawi, melarikan diri dari ibu bapa dan tanah tumpah darah dengan membawa sama agama pegangannya, kecuali jika menghadapi penindasan atau larangan dalam menunaikan syiar-syiar agama atau kerana berada di negeri yang bergelumang dengan maksiat, lalu ia pun berhijrah ke negeri lain di mana ada terdapat lebih ramai orang yang soleh dan baik. Negeri Balagh yang ditinggalkan oleh Ibrahim Bin Adham itu bukan negeri yang bersifat negatif, kerana menurut cerita itu sendiri, negeri balagh ialah tempat tinggal Nabi Daud a.s. dan kawasan-kawasan sekitarnya berbangga dengan adanya Nabi Daud a.s. di situ. Begitulah mengikut pengakuan penyalin cerita itu. Oleh yang demikian, bagaimanakah Ibrahim Bin Adham sanggup meninggalkan kawasan yang baik dan kampong halaman yang dinamakan Al Bardatul Tayyibah (yang dingin lagi nyaman) yang diduduki oleh Nabi Daud a.s., lalu keluar menuju ke kawasan gurun pasir yang tandus dan kering kontang? Tidak terdapat sama sekali motif syarie dalam penghijrahan itu.

3) Tersebut di dalam cerita itu, Ibrahim Bin Adham telah bertemu dengan seorang lelaki sedang berjalan di gurun pasir tanpa membawa sebarang bekalan. Ibrahim telah menemaninya dan orang itu mengajaknya makan makanan yang tiba-tiba menjelma di depan. Lelaki itu telah mengajarnya “Asma Allah Al Azim.” Kemudian Ibrahim memberitahu bahawa lelaki itu ialah Nabi Daud a.s. dan apabila ia berdoa dengan menyebut “asma Allah Al Azim” tiba-tiba Nabi Al Khadir menjelma di depannya dan menanya kepada Ibrahim apa-apa yang mahu dipohonnya.

Secara syarak saya tidak tahu apakah yang menyebabkan Nabi Daud a.s. kembali semula ke dunia sesudah wafat (andainya beliau berkuasa melakukan demikian) dan melampaui batas tugas kerasulan dan kenabiannya yang telah selesai, untuk mengajar seorang lelaki dari kalangan umat nabi Muhammad s.a.w. mengenai “Asma Allah Al Azim” , sedangkan Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada Sayidina Umar Bin Al Khattab:

Ertinya: “Demi Allah, andainya Nabi Musa hidup nescaya tiada jalan baginya selain mengikutiku.” (Riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Begitu jugalah jika Nabi Daud a.s. kembali hidup semula. Maka adalah menjadi kewajipannya mengikut Rasulullah s.a.w. dan sudah tentulah beliau tidak mengajarkan sesuatu mengenai agama yang tidak diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Sepotong hadis sahih menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. telah terdengar seorang lelaki berdoa dengan membaca:

Lalu Baginda s.a.w. bersabda:

Ertinya: Sesungguhnya dia telah memohon kepada Allah dengan namanya yang teragung yang jika ia meminta sesuatu dengannya dia memberi dan apabila diseru dengannya dia menjawab. (Riwayat Ahmad Abu Daud)


Rasulullah s.a.w. telah memberitahu bahawa “Asma Allah Al Azim” itu terdapat di dalam bacaan doa tersebut, dan bahawa jika Allah diseru dengan nama itu dia menjawab dan jika diminta sesuatu dengan nama itu permintaan tersebut dikabulkan. Rasulullah s.a.w. tidak bersabda jika nama ini diserukan maka nabi Al Khadir akan muncul dengan tiba-tiba di depan orang yang menyerukannya sambil berkata: Mintalah nescaya engkau diberikannya. Seolah-olah dikatakan: Pintalah apa saja yang telintas dihatimu! Kata ini sama dengan cerita dongeng yang menyebutkan kononnya Nabi Sulaiman as memakai sebentuk cincin hikmat yang andainya beliau menggerakkannya saja maka akan menjelma seorang jin ifrit mengadapnya!!

Kemudian mengapa pula Nabi Al Khadir berkata kepada Ibrahim Bin Adham seperti yang disebutkan oleh cerita itu, “Engkau telah mempelajari Asma Allah Al Azim. Oleh itu janganlah berdoa dengannya ke atas seseorang yang bermusuhan denganmu, nescaya doa itu akan membinasakannya di dunia dan di akhirat” ? Demikianlah halnya, sedangkan Ibrahim Bin Adham bukan seorang yang maksum. Dia mungkin mempunyai musuh dari kalangan orang Islam dan jika dia berdoa dengan Asma Allah Al Azim ke atas orang Islam yang menjadi musuhnya itu, maka binasalah orang Islam tersebut di dunia dan di akhirat. Ia diharamkan dari memasuki syurga Allah dan dihumbankan ke dalam neraka. Kesalahannya cuma kerana bermusuh dengan Ibrahim Bin Adham semata-mata!! Ini amat jauh berbeza daripada apa yang terdapat pada diri Rasulullah s.a.w.. Baginda s.a.w. tidak mempunyai kuasa sedemikian rupa, malahan baginda saw sentiasa mendoakan kebaikan bagi manusia. Allah juga telah berfirman:

Maksudnya lebih kurang: Tidak ada bagimu sesuatu dari urusan (mereka).
(Surah Al Imran: ayat 128)

Bererti Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan nasib orang-orang yang menentangnya. Perlu juga diingatkan bahawa permusuhan yang berlaku di antara Rasulullah s.a.w. dengan musuh-musuhnya adalah berkisar di sekitar akidah dan agama, bukan seperti permusuhan yang berlaku sesama manusia di dunia ini.

4) Cerita itu juga menyebut bahawa Ibrahim Bin Adham telah menamakan jalan yang dilaluinya itu tarikat suluknya ialah ‘keluar dari kehidupan duniawi’. Akibatnya Ibrahim meninggalkan pakaian yang dipakainya dan menggantikannya dengan pakaian bulu, meninggalkan kampung halaman dan tanahair dan mengembara di gurun pasir. Terdapat juga di dalam cerita tersebut dakwaan bahawa Ibrahim telah diberitahu oleh Aslam Bin Yazid Al Jahani di Iskandariah: Jika Ibrahim Bin Adham benar-benar mencari balasan pahala dari Allah, maka ia hendaklah menanggung bebanan kesabaran. Jika ia telah berbuat demikian, nescaya Allah mewariskan hatinya dengan cahaya yang membolehkannya membezakan di antara yang hak dengan yang batil yang nasakh dengan yang samar-samar pengertiannya.

Cerita ini meletakkan asas konsep tasawuf yang lain, yaitu amalan bermujahadah dan bersabar akan memperolehi cahaya yang dengannya boleh dikenali mana yang hak dan yang batil, mana ayat-ayat yang nasikh dan ayat-ayat yang samar pengertiannya. Sedangkan yang sedia dimaklumi, biar betapa besar sekalipun mujahadah dan kesabaran itu, ia tidak boleh mengajari manusia mengenal ayat-ayat Al Quran yang nasikh dan yang mansukh, yang tepat dan yang samar-samar pengertiannya, juga tidak boleh menjadikan manusia membezakan di antara yang benar dengan yang salah. Sebaliknya ia mesti mempelajari semua itu, kerana Rasulullah saw telah bersabda:

Ertinya: Sesungguhnya ilmu itu diperolehi dengan pembelajaran) (Riwayat Al Bukhari)

Baginda saw tidak bersabda:
“Sesungguhnya ilmu itu diperolehi dengan bersabar” !

Adapun Allah taala mentaufikkan orang yang beramal dengan ilmunya dan yang bertakwa kepadanya dengan hidayah dan ilmu pengetahuan itu memanglah benar, yaitulah dengan memudahkan sebab-sebab memperolehi pengetahuan yang baru.

Allah berfirman:

Maksudnya lebih kurang: “Dan bertakwalah kamu kepada Allah dan Allah mengajarkan kamu, dan Allah maha mengetahui segala sesuatu.”
(Surah Al Baqarah: ayat 282)

Ini ialah penghujung ayat yang paling panjang di dalam Al Quran. Ia diturunkan berhubung dengan hutang piutang, pencatitannya dan penyaksian ke atasnya. Ada pengajaran tentulah ada pembelajaran. Jadi maksud ayat ini ialah pembelajaran apa yang telah diturunkan Allah kepada pesuruhnya Muhammad s.a.w. Adalah mustahil dari sudut syarak dan akal, seseorang Islam itu akan mencapai ilmu pengetahuan melalui sikap bersabar atau melalui amalan berpuasa umpamanya, tanpa usaha yang menyampaikannya kepada ilmu pengetahuan itu. Ilmu syariat hanya boleh dicapai melalui pembelajaran. Ilmu duniawi juga demikian. Ilmu-ilmu itu sama sekali tidak boleh diwarisi dengan amalan bersabar dan bermujahadah.

Tidak syak lagi ilmu yang disebutkan oleh cerita itu ialah ilmu yang lain dari ilmu-ilmu yang diketahui umum. Ia menyebut melalui lisan Aslam Bin Yazid bahawa para hukama itulah ulamak. Maksudnya ialah satu golongan lain yang mempunyai tradisi-tradisinya, adat-adatnya, mujahadah-mujahadahnya dan ilmu-ilmunya yang tersendiri belaka. Bukan para ulama syariah yang mengajarkan Al Quran dan As Sunnah kepada umum, kerana ilmu ulamak syariah ini hanya boleh dicapai dengan cara belajar, menyalin, menulis, menghafaz, bermohon kepada Allah agar diberikan kefahaman, dia mengamal dan taufik. Adapun cara golongan tasawuf di dalam cerita itu ialah bermujahadah dengan tatacara tertentu, adat tertentu, metodologi tertentu sehingga seseorang dari kalangan mereka tiba kepada ilmu yang tertentu, fahaman yang tertentu dan perasaan hati yang tertentu yang mana semua ini tidak dapat dicapai sedikit pun oleh para ulamak syariah biar bagaimana luas sekali pun ilmu pengetahuan mereka. Ilmu tertentu yang dimaksudkan di dalam cerita itu ialah yang dinyatakan oleh Aslam Bin Yazid dengan katanya, “Dan sesungguhnya jika seseorang hamba itu bermurah hati kepada Allah nescaya Allah mewariskan hatinya dengan hidayah dan ketakwaan dan mengurniakannya ketenangan, kesabaran dan penghormatan, ilmu pengetahuan yang tepat dan akal yang sempurna.” Di samping itu dibukakan kepadanya pintu-pintu langit dan ia melihat dengan hatinya bagaimana pintu-pintu itu terbuka, walaupun di jalan dunia ia terlantar!!.

Pintu ilmu tertentu itu ialah langit. Ahli-ahli ilmu ini melihat dengan hati mereka bagaimana pintu-pintu itu terbuka walaupun mereka terlantar di jalan duniawi!!

5) Titik akhir bagi suluk tasawuf yang terdapat di dalam cerita tersebut ialah kata-kata Ibrahim Bin Adham, “Demi Allah! Tiada yang mendorongku meninggalkan kedua-dua ibu bapa dan harta benda melainkan cinta mengutamakan Allah di samping berzuhud dari kehidupan duniawi dan keinginan berada di sisi Allah swt.”

Mengikut dakwaan penulis cerita, Aslam Bin Yazid telah menerangkan kepada Ibrahim Bin Adham mengenai orang yang bakhil dengan katanya, “Seorang yang tidak menghampirkan diri kepada Allah taala.”

Mengutamakan Allah seperti yang terdapat di dalam cerita itu sebenarnya bukan cintakan Allah, bukan mengutamakan keredhaanNya, bukan tamakkan syurganya dan takutkan api neraka, tetapi sepertimana yang dilihat pada nas-nas dan catitan-catitan golongan sufi itu sendiri, ianya adalah fana’ dengan Allah bukan dengan selainNya dan beribadat kepadaNya tanpa mengharapkan balasan pahala dan tanpa takutkan balasan siksa. Konsep ini terus berkembang sehingga menghasilkan konsep ‘Wahdatul wujud’ dan bahawa abid (penyembah) itulah ma’bud (yang disembah).

6) Di antara perkara-perkara aneh di dalam cerita itu ialah Ibrahim Bin Adham menyebut bahawa teman-teman Aslam Bin Yazid Al Jahani telah berkata kepada Aslam, “Pukullah dia, biar dia sakit. Sesungguhnya kami mendapatinya seorang anak muda yang telah ditaufikkan menjadi wali Allah.” Seolah-olah Ibrahim telah menemui harta yang tidak pernah ditemui sesiapa pun sebelumnya, yaitulah menjadi wali Allah, sedangkan Allah telah menyatakan dia sendiri wali orang-orang yang beriman. Firmannya,

Maksudnya lebih kurang: Allah ialah wali orang-orang yang beriman.

Imam Al Bukhari telah menukilkan sepotong hadis Qudsi yang bermaksud;

“Barangsiapa memusuhi hambaKu maka Aku izinkannya diperangi. Seseorang hambaKu tidak bertaqarrub kepada Aku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada apa yang Aku wajibkan ke atasnya. Dan hambaKu terus bertaqarrub kepadaKu dengan amalan-amalan sunat sehinggalah Aku menyintainya. Apabila Aku telah menyintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang ia mendengar dengannya dan penglihatannya yang ia melihat dengannya….”

Allah taala telah menerangkan tentang cara untuk menjadi walinya iaitu menunaikan segala yang diwajibkan kemudian ditambah dengan amalan-amalan sunat. Allah tidak menyebut kewalian itu berlaku melalui seruan dari pelana kuda, kemudian pertemuan dengan Nabi Daud a.s. di gurun pasir yang mengajarkan Asma Al Azim!!

7) Di dalam cerita itu disebutkan juga bahawa Aslam Bin Yazid Al Jahani telah menasihati Ibrahim Bin Adham dengan berkata, “Wahai anak muda! Sesungguhnya engkau akan menemani golongan yang baik-baik, oleh itu engkau hendaklah menjadi bumi tempat mereka berpijak. Andainya mereka memukulmu, mencemuhmu, menghalaumu dan mendengarkan kepadamu kata-kata yang kurang sopan…..”

Di sini timbul pertanyaan adakah perbuatan berkawan dengan orang yang baik-baik boleh menghasilkan demikian? Kerana biasanya apabila anda menjadikan orang yang baik-baik sebagai kawan, mereka akan menghormati anda, bersikap toleransi terhadap anda, akan mengajar anda dan merapati anda serta memaafkan anda kerana kesalahan yang anda lakukan kepada mereka.

8) Cerita itu juga menyebut bahawa Aslam Bin Yazid Al Jahani telah berkata kepada Ibrahim, “Sesungguhnya Allah akan menyampaikan kepada sesiapa yang seumpamamu dan sesiapa yang mengikutimu dari kalangan yang menerima hidayah.” Ia juga berkata kepada Ibrahim, “Wahai anak muda. Sesungguhnya kami telah bermanafaat kepadamu, merintiskan jalanmu dan telahpun mengajarkanmu suatu ilmu.”

Semua ini membayangkan bahawa di sana ada jalan lain dan lorong-lorong baru yang telah disediakan untuk golongan sufi bagi sesuatu perkara yang tertentu, serta mereka telah diarahkan ke sesuatu hala yang tertentu dan akan disampaikan kepada mereka apa yang tidak disampaikan kepada orang-orang sebelum mereka dari kalangan generasi Islam yang pertama iaitu dari kalangan para sahabat dan para tabiin Ridhwan Allah Alaihim

9) Cerita itu berakhir seperti mana ia bermula iaitu salah seorang daripada kalangan mereka yang berada di sekeliling Sheikh Aslam Bin Yazid Al Jahani berkata, “Wahai tuhan kami! Hijabkanlah ia dari kami dan hijabkanlah kami darinya.” Dengan tiba-tiba itu juga mereka hilang dan Ibrahim tidak tahu ke mana mereka menghilang!! Ini samalah seperti pada mula beliau dikatakan mendengar seruan ghaib yang berkata, “Bukan kerana ini engkau dijadikan dan bukan dengan ini engkau disuruh.”

Dengan ini ternyatalah kepada kita sembilan faktor yang menjadi asas konsep tasawuf yang didakwa oleh golongan sufi. Intisari faktor-faktor ini ialah jalan untuk memperolehi hidayah ialah dengan seruan ghaib. Hidayah ini mendorong seseorang itu meninggalkan kehidupan duniawi, ibu bapa dan mengembara di padang pasir tandus. Orang yang berhidayah dengan cara ini boleh melihat nabi-nabi dan berbual dengan mereka dan memakan makanan yang terhidang dari alam ghaib. Nabi Al Khadir as ialah khadam Asma Allah Al Azim, iaitu nama yang amat berat disebut oleh seorang yang arif. Tarikat atau jalan yang dilalui oleh seseorang sufi itu menghubungkannya dengan langit yang membolehkannya mempelajari berbagai ilmu. Tarikat atau jalan ini ialah satu-satunya cara untuk mencapai darjah wali Allah. Mereka yang telah mendapat hidayah sufi itu hendaklah bersabar bersama-sama mereka yang telah lebih dahulu mengikuti jalan ini, tidak boleh mengingkari mereka, bahkan hendaklah ia menjadi bumi tempat mereka berpijak. Mereka yang telah mendapat hidayah sufi ini telah dihantar untuk suatu tugas khas. Mereka menerima dari Allah secara langsung tanpa perantaraan dan mereka disampaikan ilmu yang khas,dan bahawa doa salah seorang daripada mereka boleh menyebabkan yang ada jadi tiada dan yang tiada jadi ada!!

Ternyata semua ini bertentangan apa yang terdapat di dalam Al Quran dan As Sunnah.


Bab 6 - Syurga Dan Neraka Bukan Matlamat.

Dari siri yang lalu kita maklumi bahawa pada permulaan kemunculannya, tasawuf bertujuan menjadikan amalan mengutamakan Allah Subhahu Wa Ta’ala yang disarankan oleh Ibrahim bin Adham itu sebagai matlamat terakhir. Untuk mencapainya, perlulah ditinggalkan dan diketepikan sama sekali kehidupan berbentuk duniawi. Berdasar kepada konsep inilah lahirnya amalan tidak berkahwin dan tidak berusaha mencari makan! Kerana kedua-duanya merupakan faktor-faktor yang menghalang tercapainya matlamat tersebut. Golongan bertasawuf ini mendakwa generasi mereka yang pertama dan yang menyusulinya kemudian tidak mengenali tuhan yang mereka utamakan itu dan tidak mengenali zatnya serta perbuatannya melalui al-Qur'an dan as-Sunnah, tetapi mengenalinya melalui jalan pembukaan pintu-pintu langit dengan cara bermujahadah dan suluk tasawuf, serta dengan tersingkapnya kepada mereka wajah al-Haq. Dengan itu kenallah mereka akan tuhan dengan pengenalan yang sebenar-benarnya!

Apabila disuruti aqidah tasawuf ini bermula dari saat kemunculannya sehinggalah ia menjadi sempurna dalam bentuknya yang muktamad dengan batas-batasnya yang terakhir, kita akan temui gambar-gambaran lengkap aqidah tasawuf mengenai Allah Subhahu Wa Ta’ala, syurga dan neraka, perutusan-perutusan Allah dan perkara-perkara ghaib seluruhnya.


Beribadat Kepada Allah Untuk Zat-Nya Semata-Mata.

Golongan bertasawuf mendakwa bahawa ibadat yang sebenar ialah yang dilakukan tanpa meminta balasan dari Allah, serta mengakui segala perbuatan dalam ibadat itu perbuatan Allah – bukan perbuatan hamba-Nya. Barangsiapa mengakui perbuatan ibadat itu sebagai perbuatannya, ia telah bersikap kufur! Mereka mengemukakan dalil-dalil dakwaan mereka itu sebagai berikut:

1. Abu Bakar al-Kalabazi di dalam bukunya “Al-Ta’aruf Li Mazhabi Ahli al-Tasawuf” (mengenal mazhab golongan tasawuf) yang dianggap buku tertua mengenai ilmu tasawuf dan tokoh-tokohnya, telah menegaskan, “Bukan hak orang sufi untuk mendapatkan balasan kerana beribadat. Balasan ialah apa yang ada bagi Allah ke atas mu di dalam amalan sebagaimana firman-Nya:

إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم

(Surah Al-Taubah, ayat 111)

Maksudnya lebih kurang: “Sesungguhnya Allah membeli diri dan harta orang-orang yang beriman.” Beliau menyebutkan sambungan ayat selanjutnya, tetapi berkata: “Agar kamu beribadat kepadanya dengan sepenuh perasaan perhambaan, bukan perasaan tamakkan balasan. Bagi golongan sufi, memandang syurga itu adalah suatu maksiat, dan menuntutnya pula adalah suatu kekurangan bagi hak abid.” (Al-Ta’aruf Li Mazhabi Ahli al-Tasawuf, halaman 141).

Kerana itulah al-Kalabazi menceritakan bahawa sekumpulan orang datang melawat Rabi’atul al-‘Adawiyah yang sedang sakit untuk menanyakan keadaannya. Rabi’atul al-‘Adawiyah telah menjawab, “Demi Allah! Aku tidak tahu punca penyakitku selain daripada kerana ditawarkan syurga kepadaku, dan aku menoleh kepadanya dengan hatiku. Aku sangka tuhanku mencemburui perbuatanku itu, lalu Dia mencelaku dengan celaan yang sungguh-sungguh.” (Halaman 155).

Ini bererti dengan kecenderungan hati kepada syurga itu sahaja sudah dianggap oleh golongan bertasawuf itu sebagai suatu dosa yang patut ditimpakan balasan siksaan ke atasnya! Untuk menegakkan aqidah yang batil seperti inilah golongan bertasawuf itu memutar belitkan pengertian ayat–ayat al-Qur'an dan hadith-hadith agar sesuai dengan kehendak mereka. Sebagai contohnya ialah ayat 111 di dalam surah al-Taubah yang telah disebutkan di atas. Selain daripada menyebutkan ertinya “Allah membeli diri dan harta orang-orang yang beriman” itu agar mereka beribadat kepadanya dengan penuh perasaan perhambaan, bukan dengan perasaan tamak kepada balasan syurga, al-Kalabazi telah tidak menyebutkan sambungan ayat berkenaan iaitu: “بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ

Bermaksudnya lebih kurang: “Sesungguhnya bagi mereka ialah syurga.”

Yang mana apabila dibaca keseluruhannya ia akan bererti bahawa pembelian Allah terhadap diri orang-orang mukmin dan harta benda mereka sesungguhnya ialah dengan gantian, iaitulah syurga. Amalan orang-orang yang beriman itu adalah menjadi sebab yang menyampaikan mereka ke syurga. Walaupun jika tidak dibalas dengannya, namun orang yang beriman itu tidak dilarang berkeinginan kepada kurniaan Allah dan rahmat-Nya dan kepada syurga. Ia perlu berusaha untuk mencapainya, inilah ta’abud yang sebenar mengikut pengertian yang betul.

2. Firman Allah:

كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئاً بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الْأَيَّامِ الْخَالِيَةِ

Maksudnya lebih kurang: Makanlah kamu dan minumlah dengan seenak-enaknya kerana apa yang telah kamu dahulukan pada hari-hari yang silam.”

(Surah Al-Haaqah, ayat 24)

Tetapi Al-Kalabazi telah memberikan pengertian yang berbeza sama sekali daripada apa yang sepatutnya difahami dari ayat ini. Katanya “al-khaliah” itu ialah kosong dari zikir kepada Allah, agar kamu sedari bahawa dengan kurniaan-Nyalah kamu telah memperolehi balasan, bukan kerana amalan kamu (halaman 142). Beliau telah mentafsirkan lafaz “al-khaliah” (bererti yang silam) dengan pengertian “kosong dari zikir kepada Allah” iaitu kerana manusia tidak berzikir kepada Allah pada beberapa hari, maka perbuatan ini berhak bagi Allah memasukkannya ke dalam syurga supaya manusia tahu sesungguhnya ia masuk syurga itu adalah dengan kurniaan Allah, bukan kerana amalan yang dilakukannya!

Ini adalah tafsiran yang salah lagi bertentangan dengan pengertian sebenar ayat tersebut. Tafsiran yang tepat bagi ayat berkenaan ialah Allah telah berfirman kepada orang-orang yang beriman pada hari qiamat kelak, “Makanlah kamu dan minumlah dengan seenak-enaknya hasil dari apa yang telah kamu dahulukan pada masa-masa yang silam semasa hidup di dunia.” Perkara yang mereka dahulukan itu ialah amalan-amalan soleh.

3. Al-Kalabazi telah menggunakan sepotong hadith Qudsi sebagai bukti untuk menegakkan aqidahnya. Hadith Qudsi tersebut ialah: “الصيام لي وانا أجزي به” Ertinya: “Puasa itu kepunyaan-Ku dan Aku lah yang membalasnya.”

(Riwayat al-Bazar dari Abu Hurairah)

Menurut Al-Kalabazi, salah seorang pembesar tasawuf mengatakan maksudnya ialah: “Akulah balasannya.” (Al-Ta’aruf Li Mazhabi Ahli al-Tasawuf” halaman 143)

Yang dimaksudkan dengan “salah seorang pembesar tasawuf” itu ialah al-Hallaj. Pengertian yang diberikan daripada hadith Qudsi ini jauh berbeza dari pengertian yang sebenar. Ini sengaja dibuat semata-mata bertujuan menyesuaikannya dengan aqidah kepercayaan yang batil yang menjadi pegangan golongan sufi seumpama al-Hallaj dan al-Kalabazi.

Mungkin juga ada orang-orang Islam pada zaman ini menyangka aqidah seperti itu aqidah yang luhur murni kerana Allah, bukan untuk mendapatkan balasan syurga dan bukan kerana takutkan api neraka. Tetapi sangkaan ini salah sama sekali kerana aqidah tersebut adalah bertentangan dengan aqidah yang diajarkan oleh al-Qur'an dan as-Sunnah.

Allah telah menerangkan keadaan para anbia’ semasa beribadat dan bertaqarrub kepada Allah serta berdoa kepada-Nya dengan firman-Nya:

فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَى وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَباً وَرَهَباً وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ

(Surah Anbia, ayat 90)

Maksudnya lebih kurang: “Dan mereka berdoa kepada Kami dengan pengharapan dan ketakutan, dan mereka berkhusyuk terhadap Kami.”

“Al-Raghbu” ialah pengharapan dan keinginan mendapatkan syurga Allah dan keredhaan-Nya. Manakala “al-Rahbu” ialah ketakutan terhadap balasan Allah. Perlulah diingat bahawa para anbia’ itu ialah manusia-manusia paling sempurna dari segi aqidah, keimanan dan keadaan. Namun demikian, begitulah sifat mereka ketika menunaikan ibadat dan berdoa kepada Allah sebagaimana yang digambarkan oleh Allah sendiri.

Allah juga telah mensifatkan orang-orang mukmin yang sempurna aqidahnya dengan firman-Nya:

- إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا سُجَّداً وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

- تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفاً وَطَمَعاً وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

- فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاء بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

(Surah as-ٍٍSajdah, ayat 15-17)

Maksudnya lebih kurang: “Hanya yang beriman kepada ayat-ayat Kami ialah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat itu, mereka meniarap sujud dan bertasbih dengan memuji tuhan mereka dan mereka tidak bersikap sombong. Lambung mereka terjatuh dari tempat berbaring (kurang tidur pada malam hari), mereka memohon kepada tuhan mereka dengan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seseorang itu tidak mengetahui apa yang disimpankan untuk mereka di antara berbagai-bagai kesenangan sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan.”

Orang-orang yang Allah simpankan untuk mereka apa yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, tidak dapat didengar oleh telinga dan tidak terlintas di dalam hati manusia itu, tidak syak lagi merupakan orang-orang yang paling sempurna dari segi keimanan dan keadaannya. Namun demikian mereka masih tetap berdoa kepada Allah dengan perasaan takut dan penuh harapan; takut terhadap azab siksaan-Nya dan harapan untuk mendapatkan syurga-Nya. Ayat-ayat al-Qur'an yang membawa pengertian seperti ini amatlah banyak.

Hadith mengenai hal ini juga banyak. Di antara yang paling berkesan dan mendalam pengertiannya ialah ketika seorang Arab dusun berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak pandai berdoa sepertimu dan seperti Muaz. Tetapi aku hanya menyebut: “Ya tuhan ku! Sesungguhnya aku memohon syurga dari-Mu dan aku berlindung dengan-Mu dari api neraka!” Rasulullah s.a.w telah menjawab dengan sabdanya: “ولها ندندن”. Ertinya: “Di sekitarnya juga lah Kami gemakan doa!” (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Andainya Rasulullah s.a.w menggemakan doa agar diberi balasan syurga dan dijauhkan dari neraka seperti itu, maka adakah termasuk di akal adanya seorang lelaki atau wanita lebih sempurna daripada Rasulullah s.a.w dan berdoa kepada Allah serta berdoa kepada-Nya tanpa keinginan mendapatkan syurga dan tanpa ketakutan kepada api neraka?

Gagasan beribadat kepada Allah tanpa keinginan kepada balasan syurga dan tanpa takut kepada azab siksaan neraka ini telah menjerumuskan golongan bertasawuf itu ke jurang berbagai-bagai kesesatan lagi seperti fana’ dengan Allah, al-Hulul dan konsep Wahdatul Wujud (kesatuan wujud).

Terdahulu telah diceritakan bagaimana Rabi’atul al-‘Adawiyah, apabila mengadu sakit dan diziarahi beberapa orang yang bertasawuf, telah mendakwa bahawa penyakitnya itu berpunca dari kecemburuan Allah kepadanya kerana hatinya cenderung ke arah syurga!

Di sini penulis ingin bertanya: Dari manakah Rabi’atul al-‘Adawiyah tahu kecintaan Allah kepada-Nya dan penerimaan Allah terhadap amalan-amalannya, lebih dari itu kecemburuan Allah kepadanya pula? Sedangkan Allah telah mengemukakan keadaan orang-orang yang beriman dengan firmannya:

إِنَّ الَّذِينَ هُم مِّنْ خَشْيَةِ رَبِّهِم مُّشْفِقُونَ وَالَّذِينَ هُم بِآيَاتِ رَبِّهِمْ يُؤْمِنُونَ وَالَّذِينَ هُم بِرَبِّهِمْ لَا يُشْرِكُونَ وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوا وَّقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَى رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ أُوْلَئِكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُونَ

(Surah al-Mukminun, ayat: 57)

Maksudnya lebih kurang; “Sesungguhnya orang-orang yang takut kerana takut (azab) tuhan mereka, dan orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat tuhannya, dan orang-orang yang tidak mempersekutukan tuhannya, dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan (zakat, sedekah dan sebagainya) Sedangkan hati mereka takut kerana mereka akan kembali kepada tuhannya, mereka itulah orang-orang yang benar bersegera membuat kebaikan dan merekalah yang mendahuluinya.”

Sayyidatuna Aisyah r.a. telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai firman Allah di dalam ayat di atas:

يؤتون ما اّتوا وقلوبهم وجلة” Maksudnya lebih kurang: “Mereka memberikan apa yang mereka berikan sedangkan hatinya mereka takut…….” Katanya: “Wahai Rasulullah s.a.w! Adakah kerana mereka mencuri, berzina dan gerun?

Rasulullah s.a.w menjawab:

لا يا إبنة الصديق! ولكن يصومون ويصلون ويخفون أنه لايتقبل منهم

(Riwayat Ahmad, tirmidzi dan Ibnu Majah)

Ertinya: “Tidak, wahai puteri as-Siddiq! Tetapi mereka berpuasa dan bersolat dan takut amalan mereka tidak diterima.”

Andainya keadaan orang yang beriman itu ialah sentiasa takut kepada Allah di samping mematuhi dan mentaati segala perintah dan pantang larangnya, maka dari manakah Rabiatul Adawiyah tahu bahawa Allah cemburu kepadanya semata-mata kerana hatinya condong kepda syurga? Bukankah kata-kata Rabiatul Adawiyyah itu kalau benarlah seperti mana yang dikaitkan kepadanya menurut cerita tadi, merupakan kata-kata mengenai Allah tanpa pengetahuan? Ini adalah perbuatan mengikuti jejak syaitan yang sangat dilarang Allah dengan firmannya:

-يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي الأَرْضِ حَلاَلاً طَيِّباً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

-إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاء وَأَن تَقُولُواْ عَلَى اللّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

(Surah al-Baqarah ayat 168-169)

Maksudnya lebih kurang: “Wahai manusia! Makanlah apa yang di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata. Sesungguhnya syaitan itu menyuruh kamu melakukan kejahatan dan kekejian dan supaya kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”



Bab 7 - Mengenepikan Jalan Yang Disyariatkan Untuk Mendapat Hidayah.

Oleh kerana menerokai jalan tasawwuf itu tidak disyaratkan berpandu kepada al-Qur'an dan as-Sunnah, malah taufik dari Allah s.w.t. yang kadang-kadang datang dari bisikan halus atau melalui cara yang lain, maka golongan bertasawwuf sejak dari mula-mula lagi telah beranggapan bahawa ilmu yang mereka perolehi adalah lebih utama daripada al-Qur'an dan as-Sunnah. Malahan setiap mereka berpendapat bahawa ilmu al-Qur'an dan as-Sunnah itu menjadi suatu gangguan kepada tarekat dan suluk mereka. Berikut ialah beberapa pendapat mereka dalam perkara ini:-

 1. Abu Yazid al-Bistami (meninggal dunia tahun 261 Hijriah) sewaktu melahirkan kekecewaan terhadap para ulama ilmu syariat dan berbangga dengan para ahli tasawwuf telah berkata kepada para ulamak syariat itu: “Kamu mengenal ilmu kamu dari si mati melalui si mati, sementara kami mengambil ilmu kami dari yang hidup yang tidak mati-mati. Orang-orang seperti kami berkata: Hatiku memberitahu ku dari tuhanku. Sementara kamu berkata: Aku diberitahu oleh si fulan dari si fulan. Apabila ditanya: Di mana si fulan? Mereka menjawab: Sudah Mati. Apabila ditanya: Dari si fulan yang mana? Mereka menjawab: Si fulan itu juga sudah mati.” (Al-Futuhatul Al-Makkiah, Jilid 1, Halaman 365).

 2. Al-Junaid bin Muhammad (meninggal dunia pada tahun 297 Hijriah) telah berkata: Kami tidak mengambil tasawwuf dari cerita yang disampaikan oleh si fulan dari si fulan (Tabaqaat al-Sulami, halaman 158).

 3. Al-Junaid juga berkata: “Saya suka bagi seorang yang baru mula bertasawwuf agar hatinya tidak memikirkan tiga perkara dan tidak berubah keadaan; mencari mata pencarian, menuntut ilmu hadits dan berkahwin. Saya suka seseorang sufi itu tidak membacanya dan tidak menulis. Dengan itu ia bertumpu kepada tujuannya semata-mata.” (Qut al-Qulub jilid 3, halaman 135).

 4. Abu Sulaiman Al-Darani berkata: “Jika seseorang itu menuntut ilmu hadits atau bermusafir untuk mencari mata pencarian atau berkahwin. Maka sesungguhnya ia telah condong kepada keduniaan.” (Al-Futuhatul Al-Makkiah, Jilid 1, Halaman 37).

Demikian sebahagian dari kata-kata yang dikaitkan dengan golongan sufi mengenai keperluan mengenepikan ilmu syariat dan mengikuti jalan mereka yang khusus untuk mendapatkan ilmu dan kasyaf.

Bagi seseorang yang insaf dan bertaqwa kepada Allah serta menyanjung kebenaran, kata-kata seperti ini sudah memadai untuk memusnahkan syariat Islam, malah meruntuhkan pembangunan umat seluruhannya, kerana peradaban manusia, walaupun di bidang material, tidak ditegakkan kecuali dengan tiga perkara; ilmu pengetahuan, usaha mencari rezeki dan berkeluarga. Peradaban Islam khususnya tegak di atas ketiga-tiga perkara ini. Islam menyuruh menuntut ilmu akhirat iaitu ilmu al-Qur'an dan as-Sunnah, juga menyuruh menuntut ilmu dunia, iaitu segala ilmu yang manfaat bagi kehidupan manusia dan kemakmuran di muka bumi. Islam juga mengalakkan pembiakkan zuriat keturunan melalui pernikahan yang sah.


Cuba Memusnahkan Keunggulan Ilmu Hadith.

Tidak memada dengan mengenepikan syariat dan hadits, golongan bertasawwuf ini telah menjadikan kasyaf yang bagi mereka bererti penyingkapan tabir hati yang membolehkannya melihat segala yang ghaib dan sebagai ilmu yang diterima terus menerus dari Allah Taala itu sebagai kriteria yang menilai sanad (rangkaian rawi-rawi) hadits. Dengan demikian mereka sewenang-wenang mensahihkan mana-mana hadits yang mereka mahu, walaupun hadits itu dhaif di sisi ulamak hadits dan as-Sunnah, dan mendhaifkan mana-mana yang mereka mau walaupun hadits itu sahih mengikut pengiktirafan para ulamak hadits dan mustalahnya, iaitu satu cabang ilmu Islam yang menjadi kebanggaan umat Islam kerana ianya tidak terdapat di kalangan umat manusia lain di muka bumi sejak dahulu hingga ke hari ini, yang terbukti ketepatannya dari segi penentuan hadits sahih, hadits dhaif dan hadits-hadits lain dan seterusnya ia telah menyelamatkan agama Islam dari pencemaran pendapat kaum zindiq dan mulhid.

Penulis suka menegaskan bahawa para pemimpin tasawwuf memang sengaja mahu memusnahkan unsur sanad (rangkaian rawi) hadits dengan menentukan sahih tidaknya sesebuah hadits melalui ilmu mereka yang tertentu. Ibn Arabi di dalam risalahnya berkata:

“Mereka (iaitu ulamak syariat) mungkin berkata apabila ditemui ulamak tasawwuf akan bercakap dengan perasaan mereka bersama-sama teman mereka; agama tersembunyi, agama yang dicela, dan mereka tidak mengetahui aspek-aspek agama. Sebenarnya mereka bukan sahaja merahsiakan mengenai agama, tetapi juga merahsiakan hasil-hasilnya dan apa-apa yang dikurniakan oleh Yang Maha Haq ketika mereka mematuhinya. Dan apa yang sah di sisi mereka dari hadits-hadits hukum yang telah disepakati oleh ulamak syariat akan kedaifannya dan kecacatan nukilannya, para ulamak tasawwuf mengambilnya melalui kasyaf terus dari pengucapnya yang sebenar, lalu mereka berta’abud dengannya tanpa mengikuti apa yang telah ditetapkan oleh para ulamak rasmi. Kerana itu para ulamak syariat telah menganggap ulamak tasawwuf terkeluar dari agama. Para ulamak syariat tidak menyedari bahawa Yang Maha Haq itu ada beberapa wajah yang boleh ditujui, di antaranya ialah cara kasyaf. Ini mungkin sebab hadits itu telah disepakati kesahihannya oleh ulamak syariat, tetapi ia tidak dianggap sahih di sisi ulamak tasawwuf mengikut cara kasyaf, lalu mereka tidak mengamalkan hadits ini.” (Rasaail Ibn Arabi, halaman 4)

“Kasyaf” yang dimaksudkan oleh Ibn Arabi ialah hubungan secara langsung dengan Rasulullah s.a.w dan memperolehi terus hadits darinya.

Kenyataan ini menunjukkan golongan tasawwuf itu mempunyai hukumnya tersendiri tentang sanad hadits-hadits. Melalui kasyaf mereka telah mensahihkan sesebuah hadits atau mendaifkannya! Dengan pencerobohan ke atas kaedah-kaedah ilmu hadits, maka as-Sunnah akan menjadi mainan di tangan orang-orang yang menentukan nilai-nilainya mengikut sesuka hati, tanpa sebarang asas pegangan yang boleh menjadi rujukan dan tanpa kayu pengukur sebenar bagi menilai hadits-hadits. Oleh kerana kasyaf itu dianggap mereka sebagai suatu ilmu ghaib, maka kasyaf untuk sesuatu mungkin tidak sesuai untuk sesuatu yang lain.


Memusnahkan Ilmu-Ilmu Syariat

Dengan meletakkan asas pemusnah sanad hadits-hadits, golongan bertasawwuf itu bertujuan untuk memusnah dan melenyapkan sama sekali ilmu-ilmu syariat. Selanjutnya mereka berusaha menghalang penyebaran ilmu-ilmu Islam yang lain, malahan menjadikan apa jua yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan itu sebagai sejenis aurat yang patut dilindungi dan disembunyikan. Umpamanya, salah seorang sheikh tasawwuf yang ternampak bekas tinta anak muridnya terjatuh, pernah menyuruhnya dengan berkata: “Sembunyikan auratmu!” (Talbis Iblis oleh Ibn Qayyim Al-Jauzi, halaman 370).

Selepas meletakkan kaedah dan asas untuk melenyapkan ilmu-ilmu syariat dan mengelak diri darinya, golongan bertasawwuf itu menyeru orang ramai ilmu ke arah batin yang mereka namakan ilmu hakikat. Mereka menyatakan bahawa jalan untuk sampai kepada ilmu hakikat itu ialah kasyaf dan pembukaan Rabbani serta limpahan Rahmani. Ini jelas menunjukkan bahawa maksud mereka dengan ilmu batin atau alam hakikat itu bukan ilmu untuk pembaikan keadaan hati seperti dakwaan sesetengah mereka, tetapi yang mereka maksudkan ialah ilmu tertentu yang dengannya mereka dapat menyingkap hakikat-hakikat yang mereka dakwa dapat melihat dan mencapainya. Mereka telah keterlaluan menyanjungi ilmu dan memperhebat kecaman ke atas sesiapa yang menidakkan atau menentangnya. Pada mulanya mereka mneyembunyikan ilmu batin dan kasyaf ciptaan mereka serta menjadikannya sebagai rahsia-rahsia keistimewaan mereka. Tetapi mereka segera mendedahkannya kepada umum setelah mendapat sokongan orang ramai terhadap kegiatan mereka.


Konsep Al-Hulul

Menurut dakwaan golonggan bertasawwuf oleh kerana mengejar syurga dan menyelamatkan diri dari api neraka bukan matlamat mereka, tetapi matlamat manusia biasa, maka mereka itulah menjadikan suatu perkara lain sebagai matlamat mereka, yaitu setiap seorang dari mereka menjadi tuhan yang mengetahui segala perkara yang ghaib sepertimana Allah s.w.t mengetahui dan bertindak di segenap alam buana! Inilah yang mereka maksudkan dengan hulul, yaitu Allah berada dalam diri mereka!!

Pada peringkat pertama matlamat sufi itu ialah sampai ke makam kenabian (nubuwah), kemudian terus meningkat sehingga setiap seorang dari mereka tiba ke makam ketuhanan dan rububiah.

Umpamanya Abu Yazid al-Bistami, salah seorang pemimpin dan pemuka golonggan sufi abad ketiga hijrah telah menyebutkan mengenai dirinya dengan berkata:

“Pada suatu kali Dia mengangkatku dan meletakkan daku di tempat-Nya sambil berkata kepadaku: “Wahai Abu Yazid! Sesungguhnya makhluk-Ku suka melihatmu. Akupun berkata: Hiasilah aku dengan keesaan-Mu! Pakaikan daku keegoan-Mu! Angkatkan daku kepada ketunggalan-Mu, sehingga apabila makhluk-Mu melihatku mereka akan berkata: Kami telah melihat-Mu. Engkau menjadi Dia! Dan aku bukan yang berada di sini!” (Al-Luma’, halaman 461).

Ucapan seperti ini tidak memerlukan kepada tafsiran dan ta’wil. Memaafkan tuannya bererti menyertai di dalam kebatilan yang dianutinya. Penghulu gerakan tasawwuf pada waktu itu, iaitu al-Junaid pula, telah mengulas ucapan rakannya Abu Yazid al-Bistami di atas dengan berkata:

“Ini ialah ucapan orang yang tidak diselubungi hakikat kesatuan tafrid di dalam kesempurnaan hak ketauhidan. Dengan demikian ia tidak memerlukan kepada apa yang menyelubunginya tentang kejadian apa yang dimintanya. Permintaannya itu menunjukkan ia mendekati apa yang ada di sana. Orang yang mendekati sesuatu tempat tidak berada di tempat itu. Katanya: Pakaikan aku, dan hiasilah aku serta angkatkan daku, menunjukkan kepada hakikat yang diperolehinya sekadar yang ada padanya saja. Dan ia tidak mendapat bahagian kecuali mengikut apa yang diminta terangkan saja.” (Al-Luma’, halaman 461).

Sudah tentu tiada sesiapa yang memahami ulasan al-Junaid terhadap ucapan rakannya, Abu Yazid al-Bistami itu, melainkan sesiapa yang memahami aqidah golongannya bertasawwuf itu dan mengetahui isi kandungannya mengenai hakikat. Walau bagaimanapun penulis akan cuba menghuraikan agar para pembaca dapat menangkapnya sekadar yang diperlukan. Insya’ Allah.

Al-Junaid telah menghukumkan rakannya Abu Yazid al-Bistami sebagai orang belum lagi sampai kepada kesempurnaan hakikat tafrid (iaitu kepercayaan seseorang sufi bahawa tiada yang sempurna di dalam hidup kecuali individu yang tunggal, iaitu lah Allah, yang kewujudannya berbilang-bilang mengikut yang kelihatan pada mata manusia tetapi yang Maha Hak itu ialah satu). Kerana itulah al-Junaid mensifatkan Abu Yazid sebagai seorang yang tidak diselubungi Allah dengan hakikat-hakikat kesatuan tafrid, iaitu Abu Yazid belum lagi tiba di peringkat tidak melihat selain Allah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hallaj. Kerana itu jugalah al-Junaid mengatakan, jika Abu Yazid melihat tafrid itu dengan sebenarnya, nescaya ia tidak mengemukakan permohonan-permohonannya itu. Abu Yazid al-Bistami telah memohon kepada tuhan supaya memakaikan keegoan-Nya dan mengangkatnya kepada ketunggalan-Nya! Andainya ia menyakini konsep Wahdatul Wujud (kesatuan wujud), nescaya ia tidak memohon demikian dan tidak memintanya, kerana dia tau dengan sepenuh keyakinan bahawa dialah Allah!! Kerana itulah al-Junaid menganggapnya, dengan permohonannya itu, sebagai orang yang menghampiri hakikat tasawwuf yang terakhir, tetapi belum lagi tiba kepadanya!! Al-Junaid berkata: “Permintaannya itu menunjukkan ia mendekati apa yang ada di sana.” Kemudian al-Junaid menghuraikan ulasannya ini dengan menegaskan kata-katanya: “Pakaikan daku! Hiasilah aku dan angkatkan daku” , menunjukkan hakikat yang diperolehi sekadar yang padanya sahaja. Dan ia tidak mendapat bahagian selain mengikut kadar yang dipohonnya saja.” Ini bererti, menurut Al-Junaid setakat itu sahajalah kedudukan Abu Yazid al-Bistami di dalam memahami hakikat tasawwuf, dan ia belum lagi tiba kepada fahaman yang sebenar.

 Dari ulasan ini ternyata Al-Junaid telah mengenepikan isu mentauhidkan Allah seperti yang ditekankan oleh ajaran Islam mengikut yang diperakukan oleh para ulamak syariat.

Hukuman yang dijatuhkan oleh al-Junaid ke atas Abu Yazid al-Bastami tidak sendirian, tetapi juga dijatuhkan oleh as-Syibli yang dianggap oleh kalangan sufi sebagai paling tunggal keadaannya.

Penyusun buku “Al-Luma’” telah merakamkan peristiwa berikut diceritakan dari as-Syibli rahmatullah bahawa dia ditanya mengenai Abu Yazid al-Bastami rahmatullah serta didedahkan kepadanya cerita mengenai itu, lalu as-Syibli rahmatullah pun menjawab: “Andainya Abu Yazid rahmatullah berada di sini nescaya ia akan memeluk agama Islam di depan beberapa kanak-kanak kami kemudian beliau berkata lagi: “Andainya seseorang itu faham apa yang aku kata nescaya aku ikatkan pinggang.” (al-Luma’, halaman 741).

Ternyata al-Syibli menganggapkan Abu Yazid al-Bistami tidak layak menjadi muridnya, bahkan andainya Abu Yazid ada bersama-samanya ketika itu sudah tentu ia memeluk agama Islam di depan anak-anak murid as-Syibli. Penulis tegaskan di sini bahawa maksudnya dengan memeluk atau menganut agama Islam itu ialah mengajarnya bahawa tiada wujud di alam buana selain Allah kerana itu as-Syibli berkata kemudiannya: “Andainya seseorang itu faham apa yang aku kata nescaya aku ikatkan pinggang.” Erti ikatkan pinggang ialah memakai pakaian ahli az-Zimmah dari kalangan orang-orang Yahudi, Nasrani dan Majusi, kerana beliau percaya tiada siapa dari kalangan yang sezaman dengannya memahami apa yang dibayangkan dengan kata-kata itu. Ini memang benar kerana golongan sufi sering mengelirukan orang ramai di dalam seruan mereka ke arah kebaikan dan ketaqwaan serta cintakan Allah dan rasul-Nya.

Al-Junaid juga telah menghukumkan Abu Yazid al-Bistami sebagai seorang yang baru di bidang tasawwuf dengan berkata: “Sesungguhnya di sebalik kebesaran hal keadaan dan ketinggian maksud isyaratnya, Abu Yazid masih lagi berada di tahap permulaan bertasawwuf. Aku belum lagi mendengar darinya sepatah kata menunjukkan kesempurnaan penghujung.” (Al-Luma’, halaman 479).

Di sini pembaca boleh melihat dan merasa yakin bahawa golongan bertasawwuf itu sendiri mengaku Abu Yazid al-Bistami, salah seorang pemukanya, belum lagi melewati titik permulaan bertasawwuf di sebalik beliau mengeluarkan pendapat-pendapat yang telah disebutkan tadi. Kata-kata As-Syibli itu memang tepat memandangkan beliau pernah berkata kepada Abu Abdullah bin Jaban yang menziarahinya, kemudian meninggalkannya bersama-sama dengan beberapa orang rakannya, “Berlalulah! Aku bersama-sama kamu di mana jua kamu berada, kamu di dalam naunganku dan di dalam peliharaanku!” (Al-Luma’, halaman 479)

Tetapi di sebalik ucapannya itu, kedudukan as-Syibli dikatakan tidak setinggi kedudukan al-Junaid, kerana al-Junaid diakui lebih dahulu tiba ke kemuncak aqidah tasawwuf di kalangan mereka yang bertasawwuf dan dialah yang paling mengetahui mengenainya. As-Syibli pernah bertanya kepada al-Junaid berhubung dengan seorang yang menganggapkan Allah memada baginya dari segi kata-kata dan hakikat, dan al-Junaid telah menjawab, “Wahai Abu Bakar! (gelaran as-Syibli) Di antaramu dan di antara pembesar-pembesar tasawwuf di dalam pertanyaanmu itu ada sepuluh ribu maqam, yang pertama ialah melenyapkan apa yang telah engkau mulakan dengannya.” (Al-Luma’, halaman 487). Maksud al-Junaid ialah as-Syibli masih jauh untuk tiba ke kemuncak tasawwuf. As-Syibli perlu melalui sepuluh ribu maqam untuk tiba ke kemuncak itu, dan maqam yang pertamanya ialah dengan melenyapkan hakikat syara’ yang dipersoalkan oleh as-Syibli kepadanya itu. Sedangkan, sepertimamn yang diketahui oleh setiap muslim yang sejati, hakikat syara’ itu wajib dipertahankan dan ditegakkan dengan apa cara sekali pun. Mengatakan bahawa Allah itu adalah memada bagi setiap diri adalah sesuatu yang sememangnya dituntut. Allah telah berfirman: “اليس الله بكاف عبده ويخوفونك بالذين من دونه” Maksudnya lebih kurang: Bukankah Allah mencukupi bagi hambanya (Muhammad)? Mereka menakut-nakutkan mu dengan yang selain darinya.

Rasulullah s.a.w sendiri sewaktu dikatakan kepadanya bahawa kaum Quraisy berazam untuk terus menghapuskan kaum Muslimin selepas kekalahannya di dalam peperangan Uhud, telah bersabda: “حسبنا الله و نعم الوكيل”. Ertinya memadalah Allah bagi kami, Dialah sebaik-baik pembela dan Dialah sebaik tempat berpegang.

Tetapi bagi al-Junaid hakikat syara’ inilah yang perlu dihapuskan sebagai maqam pertama untuk mencapai kemuncak tasawwuf!!



Bab 8: Konsep Wahdatul Wujud (Kesatuan Wujud) 

Setelah mencipta dan melahirkan konsep al-Hulul dan matlamatnya seperti yang telah disebutkan di dalam siri yang lalu, para sufi mula mengusahakan suatu matlamat lain dalam bertasawuf, iaitu matlamat mempunyai sifat-sifat yang serupa dengan sifat-sifat Allah, sebagaimana yang mereka dakwakan, sehinggalah seseorang dari mereka berada di martabat ketuhanan di mana ia mengetahui segal-segala dan bertindak sewenang-wenang pada segala perkara. Usaha ini berterusan sehingga mendorong mereka mencipta apa yang dikenali sebagai “Wahdatul Wujud”.

Menurut aqidah tasawuf, Wahdatul Wujud bererti tiada yang wujud di alam buana ini selain Allah. Segala bentuk rupa makhluk yang kelihatan hanyalah gambaran luaran bagi hakikat yang satu iaitulah hakikat Allah (تعالى الله عن ذلك علوا كبيرا). Kewujudan rupa bentuk hakikat ini di alam buana yang kelihatan itu adalah berbagai-bagai aneka. Tetapi alam buana ini, menurut aqidah batil yang mereka dakwakan itu, adalah Allah sendiri (تعالى الله عن ذلك).

Al-Hallaj umpamanya telah meluahkan aqidah ini secara terus terang seperti yang telah disebutkan di dalam siri yang lalu. As-Syibli juga telah menyebutkannya secara tidak langsung dan berputar belit. Sementara Al-Junaid pula telah menyebutnya dengan lebih berhati-hati dan cermat.

Pada mulanya aqidah ini tinggal tetap di dalam pengetahuan segolongan manusia tertentu yang dikatakan telah tiba di penghujung tarekat tasawwuf, tetapi mereka ini tidak mempernyatakannya kecuali melalui ungkapan–ungkapan yang berputar belit lagi kabur dan samar-samar pengertiannya, yang tidak difahami selain orang-orang yang sejalan dan sealiran dengan mereka, atau sama seperasaan dengan mereka dan yang berkebolehan menyingkap rahsia-rahsia kekaburan percakapan mereka!


Ibnu Arabi Dan Dakwaannya.

Penghujung abad ke-enam hijriyah dan penjelangan abad ke-tujuh telah menyaksikan kemunculan seorang tokoh luar biasa yang telah menggubah aqidah ini dalam suatu bentuk yang lengkap dengan membawakan beribu-ribu contoh, menghasilkan cabang-cabangnya yang berlainan di dalam i’ktiqad dan fahaman, dan menyusun berpuluh-puluh buah buku mengenainya. Tokoh tersebut ialah Mahyuddin bin Arabi yang meninggal dunia pada tahun 638 hijriyah. Beliau dibesarkan di Andalusia dan menetap di negeri Syam. Walaupun beliau telah dilabelkan sebagai kafir, mulhid, zindiq dan pendusta, namun aqidahnya dan mazhabnya telah mengangkat Ibnu Arabi sebagaimana beliau mengangkatkan dirinya sendiri ke martabat kewalian, malahan ke martabat penamat wali-wali dan martabat syeikh tasawuf teragung yang menghidupkan agama!!

Ibnu Arabi mendakwa beliau telah menaqal ilmunya dan kitab-kitabnya secara langsung dari Rasulullah s.a.w, dan menulis dari Luh Mahfuz tanpa perantaraan (wasitah). Beliau menggubah aqidah Wahdatul Wujud secara berani dan tanpa sebarang keraguan, tetapi dengan menyembunyikan kecacatan–kecacatan dan dengan keterangan-keterangan yang berputar belit. Beliau telah menyelewengkan pengertian ayat-ayat al-Qur'an dengan dakwaannya bahawa kaum Nabi Hud yang kafir itu mengikuti jalan yang lurus dan mereka sebenarnya bukan kafir ; Firaun adalah seorang mukmin yang sempurna keimanannya ; kaum Nabi Nuh yang menolak dakwah nabi mereka itu adalah orang-orang yang beriman dan Allah telah memberi balasan kepada mereka dengan menengelamkan mereka di dalam lautan banjir wahdah, serta memasukkan mereka ke dalam api neraka kecintaan ilahi agar mereka memperolehi kenikmatan bersenang lenang di dalamnya! Nabi Harun telah melakukan kesalahan kerana melarang Bani Israel menyembah patung anak lembu yang mereka buat, sedangkan patung anak lembu itulah tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya, atau satu daripada bentuk-bentuk ma’bud yang sebenar!! Kaum Nabi Nuh adalah betul apabila mereka terus menyembah berhala Wad, Suwa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr, kerana berhala-berhala itu ialah bentuk-bentuk luaran bagi tuhan yang satu! Api neraka itu suatu kenikmatan bukan siksaan! Setiap manusia itu dirahmati dan diredhai belaka tanpa pengecualian! Dan bahawa Allah tidak mengetahui apa-apa sebelum kewujudan-Nya kerana kewujudan sesuatu itu ialah kewujudan alam, bahkan kewujudan segala sesuatu adalah terjemahan bagi kewujudan Allah!!

Di sebalik dakwaan-dakwaan Ibnu Arabi yang karut dan biadap ini, dan di sebalik pendustaannya yang mendakwa bahawa beliau telah menaqal semua itu tanpa tambahan dan pengurangan dari Rasulullah s.a.w yang konon menyuruhnya sampaikan kepada manusia sekalian, anehnya beliau telah berjaya menarik ramai para penyokong dan pengikut sejak zaman penonjolannya hinggalah ke hari ini dari kalangan umat Islam yang setiap hari berkali-kali mengucapkan dua kalimah syahadah. Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang amat memalukan!


Buku Fususul Hikam.

Di dalam bukunya Fususul Hikam yang merupakan penamat karya-karyanya dan penghimpun seluruh aqidah kepercayaannya, Ibnu Arabi merakamkan di dalam kata-kata pendahuluannya sebagai berikut:

Amma Ba’du, Sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah s.a.w berwajah gembira. Aku mimpikannya pada sepuluh terakhir bulan Muharram tahun 627 di Mahrusah, Damsyik, dan di tangannya ada sebuah kitab. Baginda berkata: “Ini ialah kitab Fususul Hikam. Ambillah dan terbitkanlah kepada orang ramai supaya mereka manfaatkannya.” Aku menjawab: “Kami dengar dan kami patuh kepada Allah dan rasul-Nya serta ulil amri dari kalangan kami seperti mana yang diperintahkan kepada kami.”

Kemudian Ibnu Arabi berkata lagi, “Lalu aku laksanakan harapan itu, aku tuluskan niat dan aku betulkan tekad dan tujuan untuk menonjolkan kitab ini seperti mana yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w tanpa tambahan dan kekurangan.” (Fususul Hikam, halaman 47, Cetakan Beirut).

Di halaman lain selepas menyebut maudu’–maudu’ kitab itu, Ibnu Arabi berkata: “Aku berpada menyebut hikmah di dalam kitab ini mengikut yang telah sabith di dalam Ummul Kitab (al-Qur'an–penulis). Aku mengikuti mana yang telah digariskan kepadaku dan aku berhenti setakat mana yang telah ditetapkan kepadaku. Andainya aku mahu menambahkan lebih dari itu nescaya aku tidak bermaya melakukannya kerana hadhrat menahanku berbuat demikian.” (Fususul Hikam, halaman 58)

Di dalam bab “فص حكمة علوية في كلمة موسوية” (Permata Hikmah Tertinggi Pada Kata-Kata Nabi Musa), Ibnu Arabi berkata: “Insya Allah, aku akan menyebutkan sebahagian darinya di dalam kitab ini mengikut sekadar perintah Ilahi yang terlontar di dalam hatiku. Ia adalah yang pertama sekali di pertuturkan kepada ku di dalam bab ini.” (Fususul Hikam, halaman 58)

Petikan-petikan dari Muqadimmah buku “Fususul Hikam” ini, juga dari celah-celah lembaran yang lain, menyarankan kepada kita ketegasan Ibnu Arabi yang mendakwa bahawa beliau telah menaqal secara langsung dari Allah bahkan secara mulut, terus dari Luh Mahfuz dan dari Rasulullah s.a.w yang menyuruhnya, di dalam mimpi yang didakwanya itu, supaya menerbitkan buku tersebut kepada orang ramai.


Antara Isi Kandungan Fususul Hikam.

Seperti mana yang telah disebutkan, buku “Fususul Hikam” merupakan himpunan seluruh aqidah kepercayaan Ibnu Arabi. Ia menyentuh hal-hal mengenai Allah, agama-agamanya, hidayah serta nur yang diperolehi oleh Ibnu Arabi secara langsung dari sumbernya yang asal menurut dakwaannya. Di bawah ini diperturunkan sebahagian dari dakwaan-dakwaannya yang terkandung di dalam bukunya itu.

Ibnu Arabi mendakwa bahawa kaum Nabi Nuh a.s. telah memberikan jawapan yang betul dan benar kepada Nabi Nuh apabila mereka mengatakan Nabi Nuh a.s. telah memperdayakan mereka, lalu mereka memperdayanya balik, dan bahawa pegangan mereka kepada berhala–berhala sembahan mereka itu adalah pegangan yang hak mahu di hapuskan oleh Nabi Nuh a.s! Di antara ungkapan Ibnu Arabi mengenai hal ini ialah:

“Orang yang berilmu mengenai Allah tahu apa yang diisyaratkan Nabi Nuh a.s. mengenai hak-hak kaumnya dengan memuji mereka melalui kata-kata celaan ke atas mereka. Nabi Nuh a.s. tahu bahawa mereka tidak menyahut dakwahnya disebabkan mengandungi Furqan (pemisah di antara haq dan batil) sedangkan perintah itu ialah al-Qur'an bukan Furqan. Barang siapa yang telah ditegakkan dengan al-Qur'an tentunya ia tidak mendengar kepada Furqan, walaupun Furqan itu terdapat di dalam al-Qur'an. Nabi Nuh a.s. menyeru mereka dengan tujuan untuk mengumpulkan mereka bukan untuk mendedahkan kesalahan mereka, dan mereka memahaminya. Kerana itu mereka meletakkan jari di telinga masing-masing dan menutup kepala mereka dengan kain. Semua ini merupakan gambaran perlindungan yang diserukan Nabi Nuh a.s. kepada kaum nya, dan mereka telah menjawab seruannya itu dengan perbuatan bukan dengan lafaz Labaik (Ya! Kami menyahut seruan mu! – penulis).

“Nabi Nuh a.s. berkata di dalam pesanan hikmatnya kepada kaumnya: “يُرْسِلِ السَّمَاء عَلَيْكُم مِّدْرَاراً” iaitu “Dia mengutuskan langit kepada kamu dengan makrifat makrifat aqliah di dalam pengertian dan pengamatan.” “وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ” iaitu “Dia membekalkan kamu dengan apa yang mencorakkan kamu kepadaNya.” Barang siapa berkhayal telah melihat-Nya, ia sebenarnya tidak tahu. Adapun siapa di antara kamu yang tahu ia telah melihat dirinys sendiri, maka ia itulah yang mengetahui atau yang arif.” (Fususul Hikam, halaman 71).

Di sini ternyata Ibnu Arabi secara berani mentafsirkan … مِّدْرَاراً… yang bererti hujan dan kesuburan yang merupakan hasil amalan soleh, ketaqwaan, keimanan dan istighfar itu sebagai makrifat, aqliah, dan mentafsirkan “أَمْوَالٍ” bererti iaitu harta benda sebagai sesuatu yang mencederungkan kaum Nabi Nuh a.s. kepadanya, lalu mereka dapat melihat bentuk mereka padanya! Inilah konsep Wahdatul Wujud. Kerana itulah kemudian Ibnu Arabi berkata “Maka barangsiapa di antara kamu berkhayal telah melihatnya, ia sebenarnya tidak tahu. Adapun sesiapa di antara kamu yang telah melihat dirinya sendiri, maka ia itulah yang mengetahui atau yang arif!”

 Kemudian Ibnu Arabi berkata lagi mengenai firman Allah “وَمَكَرُوا مَكْراً كُبَّاراً” (Dan mereka telah menipu daya tipuan yang besar”). Ini adalah sesuatu penipuan terhadap pihak yang didakwah. Nabi Nuh a.s. berkata: “Aku menyeru kepada Allah, ini adalah suatu tipu daya dalam keasliannya. Lalu mereka menjawap Nabi Nuh a.s. dengan suatu tipu daya juga seperti mana ia menyeru mereka.” (Fususul Hikam, halaman 72)

Di sini pembaca dapat menanggap bagaimana Ibnu Arabi telah menjadikan dakwah kepada Allah itu suatu cara tipu daya terhadap pihak-pihak yang didakwah, bahkan ianya tipudaya yang sejati! Kemudian Ibnu Arabi menerangkan pula jenis tipu daya yang dibalas oleh kaum Nabi Nuh a.s. kepada nabi mereka itu dengan berkata: “Lalu mereka pun berkata di dalam tipu daya mereka: Janganlah kamu tinggalkan tuhan-tuhan kamu! Dan janganlah kamu tinggalkan Wad, Suwa’ Yaghuts, Ya’uk, Nasr! Sesungguhnya jika mereka meninggalkan tuhan-tuhan mereka bererti mereka jahil tentang al-Haq mengikut kadar mereka meninggalkannya. Kerana sesungguhnya al-Haq itu ada wajahnya pada semua ma’bud (yang disembah) yang diketahui oleh sesiapa yang mengetahui, dan dijahili oleh sesiapa yang jahil ……. Tidak disembah selain Allah pada setiap ma’bud.” (Fususul Hikam, halaman 73)

Ini menunjukkan Ibnu Arabi telah menjadikan berhala-berhala yang disembah oleh kaum Nabi Nuh a.s. itu sebagai tuhan-tuhan yang sebenar kerana menurutnya berhala–berhala itu merupakan satu daripada wajah–wajah Allah Yang Maha Haq. Dengan itu mereka sebenarnya adalah menyembah Allah!!


Menukar Pengertian Sebenar Ayat–Ayat Al-Qur'an

Kelancangan Ibnu Arabi menukar pengertian sebenar ayat–ayat al-Qur'an berterusan tanpa tanda–tanda yang menunjukkan bahawa beliau melakukannya tanpa disengajakan. Mengenai firman Allah: “وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا ضَلَالاً” (Janganlah engkau tambahkan kepada orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan – Surah Nuh ayat 24), Ibnu Arabi mentafsirkannya sebagai “orang-orang yang zalim itu tidak menambahkan bagi diri mereka melainkan kehairanan.” (Fususul Hikam halaman 73)

Pada ayat seterusnya “مِمَّا خَطِيئَاتِهِمْ أُغْرِقُوا” (Surah Nuh, ayat 25, maksudnya lebih kurang: “Oleh kerana kesalahan–kesalahan mereka, lalu mereka ditenggelamkan”), Ibnu Arabi mentafsirkannya: “Dari yang telah digariskan bagi mereka, lalu kaum Nabi Nuh a.s. tenggelam di dalam samudera ilmu mengenai Allah.” (Fususul Hikam, halaman 33)

فَلَمْ يَجِدُوا لَهُم مِّن دُونِ اللَّهِ أَنصَاراً” (Surah Nuh, Ayat 25) Maksudnya lebih kurang: “Maka mereka tidak memperolehi penolong-penolong selain Allah.” Ibnu Arabi mentafsirkan: “Allah itulah penolong mereka, lalu mereka musnah padanya selama-lama.” (Fususul Hikam, halaman 33).

Mengenai doa Nabi Nuh a.s. seperti mana firman Allah: “إِنَّكَ إِن تَذَرْهُمْ يُضِلُّوا عِبَادَكَ” (Surah Nuh, Ayat 27). Maksudnya lebih kurang: “Sesungguhnya Engkau, jika meningggalkan mereka, nescaya mereka menyesatkan hamba-hamba Mu…….” Ibnu Arabi mentafsirkannya: “Jika engkau tinggalkan mereka, nescaya mereka membingungkan hamba-hamba Mu dan mengeluarkan mereka dari keadaan ‘Ubudiah kepada keadaan berada di tengah-tengah rahsia Rububiah, lalu mereka melihat diri mereka sendiri sebagai tuhan-tuhan selepas menjadi sebagai hamba-hamba. Dengan itu mereka ialah hamba-hamba dan juga tuhan-tuhan. (Fususul Hikam, halaman 74)

Tafsiran Ibnu Arabi ini semakin memperlihatkan betapa jauhnya kesesatan dan kefasikan beliau kerana menjadikannya kesesatan kaum Nabi Nuh a.s. itu sebagai kebingungan sahaja, sebab mereka sebenarnya, menurut dakwaan Ibnu Arabi, mengetahui rahsia-rahsia ketuhanan dan bahawa setiap yang wujud itu ialah Allah, dan dengan itu mereka sendiri menjadi tuhan-tuhan!!

Ayat terakhir surah Nuh iaitu:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِناً وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَاراً” .
(Surah Nuh Ayat 28)

Maksudnya lebih kurang: “Wahai Tuhanku! Ampunilah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku dan bagi sesiapa yang memasuki rumahku sebagai orang mukmin, dan bagi orang mukmin lelaki dan perempuan, dan janganlah engkau tambahkan kepada orang-orang yang zalim itu kecuali kebinasaan.” Ibnu Arabi telah mentafsirkannya dengan berkata: “Ianya kata-kata Nabi Nuh a.s. selebihnya yang bererti: “Wahai tuhanku! Lindungilah aku, dan bagi akal dan tabiatku, bagi hatiku, bagi akal, bagi diri dan jiwa, dan janganlah engkau tambahkan kepada ahli-ahli ghaib itu melainkan kebinasaan sebab mereka tidak mengenal diri-diri mereka kerana penyaksian mereka terhadap wajah al-Haq di depan mereka.” Kemudian Ibnu Arabi berkata pula selepas itu, “Barang siapa mahu mengetahui rahsia-rahsia Nabi Nuh a.s., maka ia hendaklah menaiki bahtera Nabi Nuh. Bagi kami ianya berada di tanah rendah Maushul, dan Allah mengatakan yang benar.” (Fususul Hikam, Ayat 210-211)


Orang Kafir Dikatakan Beriman

Untuk mendedahkan lagi kemungkarannya, Ibnu Arabi mengakui pula kebenaran kaum Nabi Nuh a.s. yang sesat lagi berdosa itu, bahkan beliau menganggapkan semua orang kafir di muka bumi sebagai orang-orang yang beriman dan mentauhidkan Allah, juga sebagai golongan ‘arifin yang berhubungan secara langsung dengan Allah. Sebaliknya pula beliau mendakwa orang-orang mukmin itu hanya beriman kepada sebahagian kebenaran sahaja dan kufur pada bahagian-bahagian yang lain. Ibnu Arabi juga tidak melupakan Firaun yang dikenali oleh dunia sebelum Ibnu Arabi sebagai manusia paling kafir dan paling zalim, tetapi Ibnu Arabi memasukannya di dalam golongan orang-orang mukmin yang mentauhidkan Allah serta memperolehi syurga. Mengenai hal ini Ibnu Arabi berkata antara lain:

“Oleh kerana Firaun memegang jawatan pemerintah maka dialah pemilik waktu. Dia seorang khalifah dengan kekuatan mata pedang walaupun ia jahat mengikut kebiasaan undang-undang, kerana itu ia berkata: “Aku tuhan kamu yang tertinggi.” Andainya segala-gala itu merupakan tuhan-tuhan berdasarkan kepada sesuatu, tetapi aku adalah tuhan kamu yang tertinggi dari kalangan mereka, kerana pada lahirnya aku telah memberinya kuasa pemerintahan ke atas kamu, dan apabila ahli-ahli sihir mengetahui kebenarannya di dalam kata-katanya itu dan mereka tidak mengingkarinya bahkan menyetujuinya dengan berkata: “Sesungguhnya engkau memerintah kehidupan dunia ini, maka hukumlah apa yang engkau mahu hukumkan! Kerajaan itu kepunyaan mu” , maka betullah kata-kata itu: “Aku ialah tuhan kamu yang tertinggi.” (Fususul Hikam,halaman 210-211).

Kata-kata Ibnu Arabi ini setara dengan kata-kata al-Hallaj mengenai Firaun seperti mana yang telah disebutkan di dalam siri yang terdahulu. Ini membuktikan bahawa aqidah yang didakwakan oleh golongan bertasawuf itu adalah sama saja. Selain dari itu, seperkara lagi yang harus disedari pembaca ialah tentang keceluparan Ibnu Arabi menyebut bahawa Firaun itu khalifah dengan kekuatan mata pedang. Beliau telah menqiaskan Firaun sebagai “Khalifah” dengan lafaz khalifah di dalam firman Allah kepada Nabi Daud a.s.: “يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ” (Surah Shad, Ayat 26) Maksudnya lebih kurang: “Wahai Daud! Sesungguhnya kami telah menjadikan engkau khalifah di muka bumi.”

Sedangkan Khalifah Nabi Daud a.s. itu ialah khalifah kenabian dari kurniaan Allah, sementara Firaun ialah seorang raja yang terkenal zalim dan jahat di dalam sejarah pemerintahan negeri Mesir! Di samping itu Ibnu Arabi telah melebihkan syariat Nabi Musa a.s. itu sebagai “uruf” iaitu apa yang diketahui oleh Nabi Musa a.s. sahaja, tidak lebih dari itu. Kerana itulah sesetengah golongan bertasawuf menuduh Nabi Musa a.s. bersifat jahil, sebaliknya menganggapkan Firaun sebagai berilmu dan bermakrifat!

Berdasarkan kepada aqidah yang batil itu jugalah Ibnu Arabi membenari sikap as-Samiri dan tindakannya membuat patung anak lembu yang telah mempersonakan Bani Israel sehingga mereka menyembahnya sebagai ganti menyembah Allah! Ibnu Arabi telah menyalahkan Nabi Harun a.s. kerana dikatakan tidak mengenal al-Haq dan mengingkari perbuatan Bani Israel itu. Ibnu Arabi mendakwa bahawa Nabi Musa a.s. telah mengenal al-Haq dan mengancam as-Samiri kerana membataskan tuhan hanya kepada satu benda sahaja, Sedangkan ain sesuatu itu ialah ain tuhan itu sendiri, iaitulah Ain al-Haq! Mengenai ini Ibnu Arabi menegaskan:

“Kemudian Harun telah berkata kepada Nabi Musa a.s.: Sesungguhnya aku takut engkau akan berkata kepada aku: Engkau telah memecahbelahkan Bani Israel (seperti mana firman Allah di dalam surah Thoha, ayat 94 -penulis) dan engkau menjadikan aku sebagai penyebab pecah belah mereka. Sebenarnya penyembahan terhadap patung anak lembu itulah yang telah memecahbelahkan mereka. Di antara mereka ada yang menyembahnya mengikuti perbuatan as-Samiri dan menirunya. Ada yang tidak menyembahnya sehingga Nabi Musa a.s. datang semula kepada mereka dan mereka menanyakannya mengenai perkara itu. Harun a.s takut pecah belah mereka dikatakan berpunca darinya. Nabi Musa a.s. lebih mengetahui perkara itu daripada Harun, kerana tahu apa yang disembah oleh penyembah-penyembah patung anak lembu itu. Sebab menurut pengetahuannya, Allah telah memerintahkan supaya tidak disembah melainkan Dia… Allah tidak memerintahkan dengan sesuatu melainkan ianya berlaku… kecaman Nabi Musa a.s. ke atas saudaranya Harun itu ialah kerana pengingkaran Harun terhadap perbuatan Bani Israel menyembah patung anak lembu dan kerana kekurangan pengetahuannya. Sesungguhnya orang yang arif itu ialah siapa yang melihat al-Haq pada segala sesuatu, bahkan melihatnya pada ain setiap sesuatu.” (Fususul Hikam, halaman 192).

Di sini jelas kepada para pembaca bahawa Ibnu Arabi mendakwa Nabi Musa a.s. mengetahui penyembah-penyembah patung anak lembu itu sebenarnya menyembah Allah kerana Allah telah berfirman: “وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ” (Surah Al-Isra’, Ayat 23) Maksudnya lebih kurang: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan jangan kamu menyembah melainkan Dia.” Ibnu Arabi telah menjadikan perintah ini sebagai suatu perintah menyembah seluruh alam buana mengikut yang telah ditetapkan, dan bahawa Allah tidak memerintahkan dengan sesuatu melainkan ianya tetap berlaku. Menurut Ibnu Arabi, ini bererti bahawa setiap ma’bud (yang disembah) di muka bumi ialah Allah, dan manusia tidak menyembah sesuatu seperti batu atau sebagainya melainkan ia menyembah Allah dengan berdasarkan kepada lafaz “qada” yang bererti “telah memerintahkan” yang mana ini adalah hukum syarak!

Ibnu Arabi mengakhiri ungkapannya tadi dengan menyebut: “Orang yang arif ialah yang melihat al-Haq pada segala sesuatu bahkan melihatnya pada ain setiap sesuatu.” Inilah kemuncak aqidah tasawuf. Istilah “al-Haq” menurut dakwaan Ibnu Arabi dan konco-konconya ialah Allah sendiri!

Ibnu Arabi telah menghuraikan aqidahnya yang salah itu dengan menyelewengkan maksud firman Allah Ta’ala: “فَمَا خَطْبُكَ يَا سَامِرِيُّ” (Surah Thoha, 95) Maksudnya lebih kurang: “Bagaimana halmu, wahai Samiri?” Menurut Ibnu Arabi erti ayat ini ialah mengapa engkau khususkan anak lembu saja sebagai tuhan, sedangkan aqidah ini menganjurkan bahawa segala-gala itu ialah Allah? Kerana itulah Nabi Musa a.s. membakar patung anak lembu itu agar gambaran tuhan tidak terbatas pada satu benda sahaja! Nabi Musa a.s. telah berkata kepadanya: “وَانظُرْ إِلَى إِلَهِكَ” (Surah Thoha, ayat 97) Maksudnya lebih kurang: “Dan lihatlah kepada tuhanmu!” Nabi Musa a.s. menamakan patung anak lembu itu tuhan untuk menyedarkan as-Samiri dengan tujuan mengajarnya bahawa patung anak lembu itu ialah sebahagian dari gambaran-gambaran nyata Ilahi.” (Fususul Hikam, halaman 192)

Selepas memberikan tafsiran yang salah lagi menyesatkan mengenai cerita Nabi Musa a.s. dengan saudaranya Harun dan as-Samiri dengan patung anak lembu ciptaannya itu, Ibnu Arabi menyentuh pula perbuatan dan amalan kaum musyrikin Quraisy yang menyembah berhala dan patung-patung di Kota Mekah. Orang-orang kafir Quraisy itu telah memberi alasan terhadap perbuatan mereka tersebut seperti mana yang difirmankan oleh Allah: “مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى” (Surah az-Zumar, Ayat 3) Maksudnya lebih kurang: “Kami tidak menyembahnya melainkan supaya menghampirkan kami kepada Allah dengan sehampir-hampirnya.” Ibnu Arabi mendakwa kaum musyrikin Quraisy itu tidak mengingkari Allah, sebaliknya mengkagumi-Nya. Kerana mereka berdiri tegak bersama-sama dengan gambaran-gambaran dan rupa-rupa bentuk yang mereka namakan tuhan-tuhan. Beliau juga mendakwa Rasulullah s.a.w datang menyeru kaum musyrikin Quraisy itu menyembah tuhan yang dikenali dengan sifat-sifatnya sahaja, bukan yang boleh disaksikan dengan mata kepala! Kata Ibnu Arabi: “Dia (iaitu Rasulullah s.a.w) telah menyeru supaya disembah tuhan yang menjadi tumpuan segala permohonan dan yang diketahui secara ringkas, tidak boleh disaksikan dan tidak ditanggap pandangan. Ia halus dan mengalir pada ain segala benda, tidak dapat ditanggap penglihatan. Ianya maha halus, lagi maha mengetahui. Pengetahuan itu adalah citarasa, dan citarasa itu ialah Tajalli (keserlahan), dan tajalli dalam rupa-rupa bentuk itu adalah suatu kemestian. Siapa yang melihatnya mesti menyembahnya dengan sepenuh keberahian, jika anda faham ………..” Kemudian dengan mengejek mereka yang tidak memahami kata-katanya itu Ibnu Arabi berkata: “Kepada Allah segala tujuan.” (Fususul Hikam, halaman 192)



Seksaan Neraka Suatu Kenikmatan!

Setiap orang yang beriman tentu takutkan seksaan api neraka dan merasa gerun mendengar mengenainya. Tetapi ternyata ianya tidak mendatangkan sebarang kesan kepada Ibnu Arabi yang bukan sahaja tidak mengendahkannya, sebaliknya menganggapnya suatu kenikmatan yang disediakan oleh Allah kepada mereka setaraf dengan kenikmatan syurga!! Api neraka itu adalah sebagai kulit yang menyembunyikannya, di belakangnya kenikmatan yang berkekalan bagi ahli neraka (Fususul Hikam, halaman 94).

Tetapi Ibnu Arabi juga ada menyebut,” Di antara hamba-hamba Allah ada yang mengalami kepedihan-kepedihan di dalam kehidupan yang lain di tempat yang dinamakan Neraka Jahanam. Namun begitu tiada seorang pun di kalangan ahli ilmu yang mengetahui perkara tersebut dapat mempastikan hamba-hamba Allah itu tidak mengalami kenikmatan yang di khususkan kepada ahli neraka, samada dengan kehilangan kepedihan yang mereka alami yang diangkat dari mereka, dan dengan itu kenikmatan mereka ialah kerehatan dari merasai kepedihan itu, atau kenikmatan itu suatu tambahan yang berasingan seperti nikmat ahli syurga. (Fususul Hikam, halaman 114)

Bagi Ibnu Arabi, api neraka itu adalah sejuk dan selamat bagi penghuni-penghuninya persis seperti api besar yang dinyalakan oleh Namrud untuk membakar Nabi Ibrahim a.s, tetapi menjadi sejuk dan selamat bagi Nabi Ibrahim a.s. Mengenai hal ini Ibnu Arabi menegaskan: “Adapun ahli-ahli neraka itu, maka nasib mereka adalah kenikmatan tetapi di dalam api neraka. Kerana tentunya api neraka itu selepas tamat tempoh azab seksanya, ia menjadi sejuk dan selamat bagi sesiapa yang berada di dalamnya. Inilah kenikmatan mereka, iaitu kenikmatan selepas menyempurnakan hak-hak. Ahli neraka itu menghayati kenikmatan yang dirasai Nabi Ibrahim Khalilullah ketika dicampakkan ke dalam api yang sedang marak menyala. Ketika melihatnya, Nabi Ibrahim a.s. merasa terseksa berdasarkan pengetahuannya bahawa api itu suatu rupa bentuk yang menyakitkan bagi sesiapa saja yang mendekatinya dari kalangan yang hidup.” (Fususul Hikam, halaman 161)


Aqidah Falsafah

Ibnu Arabi telah mengukuhkan aqidahnya yang batil ini dengan dalil-dalil dan hujah-hujah yang ternyata mudah dipatahkan. Tetapi beliau dan kuncu-kuncunya sering mengelirukan orang ramai dengan mendakwa percakapan mereka tidak dapat difahami kecuali oleh sesiapa yang mempunyai perasaan dan citarasa yang sama serta mengenal makrifat mereka. Sedangkan apa yang diperkatakan oleh Ibnu Arabi dan kuncu-kuncunya itu tidak lebih dari aqidah falsafah yang terdapat di dalam berpuluh-puluh buah buku falsafah. Seperti mana yang diketahui umum, aqidah falsafah itu mengandungi ajaran-ajaran yang boleh mengubah aqidah sebenar kaum muslimin mengenai Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bersifat sempurna di dalam segala-galanya yang tidak diserupai oleh sesiapa dari kalangan makhluk-Nya, bahkan Dialah Allah Yang Maha Esa Lagi Tunggal, yang menjadi tumpuan segala permohonan, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tiada suatu pun yang setanding dengan–Nya!

Sewaktu menjelaskan aqidahnya yang salah itu, Ibnu Arabi telah menggunakan sepotong hadith maudu’ “من عرف نفسه فقد عرف ربه” (barang siapa telah mengenal dirinya maka sesungguhnya ia telah mengenal tuhannya), dengan berkata: “Nabi a.s. telah bersabda: “Barang siapa mengenal dirinya, maka ia mengenal tuhannya! Baginda adalah orang yang paling mengetahui tentang Allah. Para hukama’ dan Abu Hamid telah mendakwa mengenai tuhan tanpa melihat kepada alam ini adalah salah. Ya, anda telah mengenal zat Qadim yang azali. Anda tidak mengenal ianya tuhan melainkan sehingga dikenali yang dituhankan. Itulah dalilnya. Kemudian selepas ini, di dalam hal yang kedua, anda dikasyafkan bahawa al-Haq sendiri itulah yang menjadi dalil bagi dirinya dan ketuhanannya. Alam ini hanyalah keserlahannya dalam bentuk-bentuk ain yang tetap yang mustahil berlaku kewujudannya tanpa keserlahannya itu. Keserlahannya berbagai-bagai dan berupa-rupa mengikut hakikat ain-ain tersebut dan keadaannya. Ini selepas kita tahu bahawasanya ia adalah tuhan bagi kita. Kemudian datang pula kasyaf yang lain yang melahirkan kepada anda bentuk-bentuk rupa kita pada-Nya. Maka lahirlah kita sesetengah kita pada pandangan setengah yang lain di dalam al-Haq, dan dengan itu kenallah kita satu sama lain.” (Fususul Hikam, halaman 81-82)

Di sini Ibnu Arabi telah menyangkal Imam al-Ghazali dan sesetengah ahli tasawwuf yang lain yang mengatakan bahawa mengenal al-Haq itu tidak disyaratkan memandang kepada alam buana, bahkan ia datang secara langsung melalui kasyaf tanpa bergantung kepada alam buana yang kelihatan di depan mata sebagai bukti Allah Subhanahu Wa Ta’ala penciptanya. Ibnu Arabi mengatakan cara ini hanya untuk mengenal zat Qadim yang azali sahaja. Untuk mengenal al-Haq, perlulah melalui perbuatan memandang alam buana, agar anda mengetahui apa yang anda saksikan itu ialah al-Haq. Bentuk-bentuk rupa yang disaksikan di alam buana itulah sebenarnya al-Haq atau Allah, dan itulah buktinya, menurut Ibnu Arabi. Kemudian timbullah kasyaf yang lain di mana manusia itu sendiri merasakan dirinya sebagai satu daripada bentuk-bentuk rupa al-Haq. Pada ketika itu ia mengenal dirinya dan seterusnya mengenal tuhannya. Ia tahu dirinya itulah Allah dan seterusnya mengetahui Allah itu ialah setiap yang wujud!! Demikian kesimpulan Ibnu Arabi.

Selain dari itu Ibnu Arabi juga telah menjadikan kambing kibas yang diturunkan Allah untuk disembelih Nabi Ibrahim a.s. menggantikan anaknya Nabi Ismail a.s. itu sebagai Allah. (Fususul Hikam, halaman 84) Ini berdasarkan kepada aqidah wahdatul wujud yang batil itu. Bahkan ketelanjuran dan kebiadapan Ibnu Arabi begitu menjolok sehingga beliau tidak teragak-agak mendakwa bahawa al-Haq tidak dapat disaksikan dengan sepenuhnya dan tidak diketahui dengan sepenuhnya makrifat kecuali pada diri wanita ketika dalam kelazatan dan syahwat!! (Fususul Hikam, halaman 217-218)

Pendedahan mengenai aqidah Ibnu Arabi yang salah ini dibuat memandangkan kuncu-kuncunya dan penyokong-penyokongnya masih terus terdapat pada masa kini dengan menganggapkan penyeru-penyerunya sebagai wali-wali dan mengkafirkan sesiapa yang menentangnya. Adalah dibimbangkan mereka ini berjaya menyusup masuk di pusat-pusat yang bertanggungjawab dengan dakwah Islamiah di sesetengah negara Islam dan mencemari fikiran orang ramai dengan aqidah yang batil itu tanpa disedari.



BAB 9: Cara Ajaran Kebatinan Disampaikan

Cara Ajaran Kebatinan Disampaikan

Menjelang abad ke-tiga hijriyyah, golongan bertasawwuf mula meluahkan secara terus terang sebahagian daripada ilmu kebatinan mereka. Hal ini telah menimbulkan gejala kecam-mengecam sesama mereka sendiri, umpamanya al-Junaid menyebut mengenai as-Syibli: “Kami memperindahkan ilmu ini dengan secukupnya, kemudian menyembunyikannya di kolong-kolong, tetapi engkau datang dan mendedahkannya kepada umum!” As-Syibli lantas menjawab: “Aku berkata dan aku mendengar. Adakah selainku di dunia dan akhirat?” (At-Ta’arruf ‘Ala Mazhabi at-Tasawwuf, halaman 145). Kata-kata as-Syibli ini merupakan perintis jalan ke arah kemunculan konsep wahdatul wujud.

 Selepas itu sekumpulan orang-orang yang bertasawwuf mula berterus-terang mengenai sebahagian daripada ilmu kebatinan yang pada hakikatnya ialah konsep al-hulul dan fana’ di dalam zat tuhan yang menjadi ‘aqidah hinduisma brahmanisma dan konsep wahdatul wujud. Ini berlaku pada penghujung abad ke-tiga dan abad ke-empat hijriyyah. Ungkapan-ungkapan yang lahir dari mulut golongan ini mengandungi aqidah tersembunyi yang mereka dakwakan sebagai paling sempurna dan paling tinggi di dalam peribadatan Islam:

1. Abu Nasr as-Siraj at-Thusi penyusun buku Alluma’ fi at-Tasawwuf menyebut Abi Hamzah as-Sufi telah masuk ke dalam rumah al-Harits al-Muhasabi, lalu kambing Harits pun mengembek. Abu Hamzah tersentak dan berkata: “Ya! Aku menyahut seruanMu, wahai Tuhanku!! Al-Harits al-Muhasabi segera mengecam perbuatannya itu, tetapi Abu Hamzah menjawab: “Kecamanmu ke atasku itu sama seperti keadaan murid-murid yang baru mula belajar.” (Alluma’ fi at-Tasawwuf, halaman 495), maksudnya ialah mereka yang belum lagi tiba ke tahap meyakini wahdatul wujud.

2. Abu Husain al-Fauri sewaktu mendengar seekor anjing menyalak telah menjawab: “Ya! Aku menyahut seruanMu! Dan berbahagialah Engkau!” (Alluma’ fi at-Tasawwuf, halaman 492)

3. As-Syibli juga telah berkata kepada salah seorang yang menziarahinya, ketika orang itu berangkat pulang, “Aku bersama-samamu di mana juga kamu berada. Kamu di bawah ri’ayahku dan naunganku.” (Alluma’ fi at-Tasawwuf, halaman 478)

4. Yang paling berani dari kalangan yang berterus-terang meluahkan ilmu kebatinan ini ialah al-Hallaj. Di sini ada baiknya dibentangkan data ringkas mengenai dirinya bagi pengetahuan para pembaca yang mungkin kurang mengenalinya;

 Namanya ialah Husain bin Mansur, lebih terkenal dengan panggilan al-Hallaj. Beliau hidup pada abad ke-tiga hijriyyah hingga menjelang abad ke-empat. Beliau berasal dari Baida’- sebuah bandar di negeri Parsi (Iran) dan dibesarkan di Wasith, negeri Iraq. Beliau bersahabat dengan al-Junaid yang dianggap penghulu golongan sufi dan Abu Hasan an-Nuri. Beliau telah dihukum bunuh dan disalibkan di kota Baghdad pada hari Selasa, 6 haribulan Zulqaedah 309 hijriyyah, setelah mengumumkan aqidahnya yang bathil itu. Rata-rata golongan bertasawwuf merestui pegangan Hallaj walaupun sesetengahnya menafikannya selepas al-Hallaj dibunuh kerana mahu menyelamatkan nyawa masing-masing. Namun demikian pendapat dan kata-kata al-Hallaj sering terungkap di dalam banyak karya tasawwuf terdahulu tanpa disebutkan namanya. Umpamanya ada yang menyebut: “Salah seorang pembesar sufi telah menegaskan…” , maksudnya ialah al-Hallaj tanpa didedahkan namanya seperti yang dilakukan oleh dua orang sufi terkemuka pada abad ke-empat hijriyyah di dalam karya-karya mereka iaitu Abu Bakar Muhammad al-Kalabazi yang meninggal dunia pada tahun 380 hijriyyah dan Abu Nasr as-Siraj at-Thusi yang meninggal dunia pada tahun 378 hijriyyah. Sesetengah golongan sufi telah menyanjung Hallaj sebegitu tinggi sehingga mereka pernah menamakannya “Al-Husain bin Mansur ‘Alim Rabbani” seperti yang disebut oleh Muahammad bin Khafif (Thabaqat as-Sufiyyah, halaman 308)

 Pada abad ke-lima hijriyyah, golongan bertasawwuf mula menggunakan nama Hallaj secara terang-terangan ketika menyebut ajarannya dan hasil-hasil karyanya seperti memperakui keutamaan dan keluasan ilmunya. Abu Hamid al-Ghazali, Ibnu ‘Arabi, Abdul Ghaniy an-Nablusi dan semua ahli tasawwuf pada abad itu telah menyanjungi Hallaj. Pada zaman moden ini pula telah diterbitkan sebuah buku berjudul “Al-Hallaj Syahid At-Tasawwuf Al-Islami” (Hallaj Korban Syahid Tasawwuf Islam) oleh Thaha Abdul Baqi Sarwar yang menyifatkan al-Hallaj sebagai penentang kefasidan, reformis masyarakat dan pendakwah Islam yang menyeru manusia kembali kepada ajaran Allah Ta’ala.

 Di sana memang terdapat ramai tokoh tasawwuf lain yang sebulu dengan aqidah Hallaj, tetapi mereka menyembunyikannya. As-Syibli pernah berkata: “Aku dan al-Husain bin Mansur menganut perkara yang sama. Cuma dia melahirkannya dan aku menyembunyikannya.” (Al-Hallaj, karya Abdul Baqi Sarwar, halaman 104)

Di antara ajaran kebatinan Hallaj yang terdapat di dalam bukunya at-Thawasiin ialah:

1) Makhluk yang paling beribadah ialah Iblis dan Rasulullah s.a.w. Iblis telah diperintah sujud kepada Nabi Adam a.s, tetapi ia enggan. Yang mendorongnya bersikap demikian ialah kehendak dan paksaan tuhan ke atasnya, serta keyakinan bahawa tiada yang wujud melainkan Dia. Kejauhannya dari tuhan dan kehampiran kepadanya adalah sama sahaja, kerana tiada yang sebenar melainkan Allah. Di langit Iblis menyeru malaikat kepada perkara-perkara yang baik, manakala di bumi ia menyeru kepada perkara-perkara yang tidak baik. Sebenarnya Iblis hanya menjalankan tugas mengikut kehendak (masyii’ah) tuhan! Sementara Rasulullah s.a.w telah diperintah Allah di langit supaya memandangnya, tetapi baginda tidak berbuat demikian. Kesimpulan ini dibuat oleh Hallaj berdasar kepada tafsirannya terhadap firman Allah: “ما زاغ البصر وما طغي” (سورة النجم: اية 17). Maksudnya lebih kurang: “Tidak salah pandangan Muhammad dan tidak pula melampauinya.” Ayat ini menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w telah melihat Jibril dalam rupa bentuknya yang asal seperti mana yang diciptakan Allah. Semasa memandang Jibril itu, pandangan Baginda s.a.w tidak menyimpang dan tidak melewatinya. Tetapi Hallaj telah mentafsirkan ayat ini bahawa Baginda s.a.w tidak memandang kepada Allah, kerana menurutnya Allah tidak mempunyai zat tersendiri, sebaliknya zat Allah itu ialah zat yang terdapat pada segala yang wujud!

 Bukti lain yang dikemukakan oleh Hallaj mengenai Rasulullah s.a.w sebagai makhluk yang paling beribadah ialah kononnya Baginda s.a.w telah bersabda: اللهم بك اصول وبك اجول وبك اقول"“yang bermaksud: “Ya tuhanku! DenganMu aku menerkam, denganMu aku berangkat dan denganMu aku berkata.” Sebenarnya ungkapan ini dari ciptaan Hallaj sendiri yang diceduk dan diubah suai dari sepotong hadits riwayat Abu Daud di dalam Sunannya dari Anas bin Malik. Lafaz asal hadits ini ialah:

"كان رسول الله صلي الله عليه وسلم أذاغزا قال: اللهم انت عضدي ونصري. بك اجول, وبك اصول وبك اقاتل".

Ertinya: Apabila Rasulullah s.a.w berghuzwah, baginda bersabda: “Ya Tuhanku! Engkau lenganku dan Engkau pembantuku, denganMu aku berangkat keluar, denganMu aku menerkam dan denganMu aku berjuang!”

 Maksud Rasulullah s.a.w di sini ialah sama dengan ungkapan “لآ حول ولا قوة الا بالله”. Tetapi Hallaj telah menyelewengkannya untuk disesuaikan dengan akidahnya yang batil dengan mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda demikian kerana Baginda yakin bahawa Dia itulah Dia, iaitu Dia ialah Allah!

2) Berguru kepada Iblis dan Fir’aun untuk mengumumkan akidahnya yang batil. Fenomena ini beliau namakan “maqam al-futuwwah”. Menurut katanya, seperti yang terdapat di dalam karyanya ‘at-Thawaasiin’, beliau telah berbincang dengan Iblis dan Fir’aun mengenai ‘futuwwah’ iaitu keberanian memaparkan akidah kepercayaannya kepada umum secara terus terang, dan Iblis telah menjawab: “Andainya aku sujud kepada Adam nescaya gugurlah dariku nama al-futuwwah!” Fir’aun pula menjawab: “Andainya aku menarik balik dakwaanku dan kata-kataku nescaya aku gugur dari persada al-futuwwah!” Iblis berkata: “Aku lebih baik daripada Adam apabila mendapati yang lain lebih baik daripadanya.”

 Fir’aun pula berkata: “Aku tidak tahu kamu mempunyai tuhan selainku” apabila mendapati tiada sesiapa dari kalangan kaumnya yang boleh membezakan di antara yang haq dengan yang batil. Aku pula berkata: “Andainya kamu tidak mengenalinya maka kenalilah kesan-kesannya, dan aku itulah kesannya. Akulah al-Haq kerana aku sentiasa kekal benar dengan al-Haq!! Sahabatku dan guruku ialah Iblis dan Fir’aun. Iblis telah diancam dengan api neraka, tetapi dia tetap tidak berpatah balik dari dakwaannya. Fir’aun pula telah ditenggelamkan di dalam lautan, tetapi dia tetap tidak menarik balik dakwaannya dan tidak memperakui wasithah sama sekali. Andainya aku dibunuh dan disalibkan atau dipotong kedua belah tangan dan kedua belah kakiku, aku tetap tidak akan menarik balik dakwaanku.” (At-Thawasiin, halaman 52)

 Hallaj sentiasa berusaha untuk mendapatkan sokongan dari golongan bertasawwuf yang lain supaya mengikuti jejak langkahnya mengumumkan secara terus terang akidah tasawwuf yang dipeloporinya itu. Di dalam ar-Risalatu al-Qusyairiyyah ada disebutkan beliau telah menemui Ibrahim al-Khawwas dan bertanya: “Apakah yang engkau buat di dalam pengembaraan dan penjelajahanmu di bumi-bumi yang kering kontang itu?” Ibrahim al-Khawwas menjawab: “Aku sentiasa bertawakkal dan sentiasa memperbetulkan diriku di dalam pengembaraanku itu.” Lalu Hallaj berkata: “Engkau telah musnahkan usiamu di dalam kemakmuran batinmu. Di manakan fana’ di dalam mentauhidkannya?”

 Di dalam Akhbaru al-Hallaj ada disebutkan bahawa pada suatu ketika Hallaj memasuki sebuah masjid di kota Baghdad dan mendapati Junaid sedang berkhutbah di atas mimbar. Junaid ialah penghulu golongan sufi pada masa itu tetapi Hallaj telah menegurnya: “Wahai Abu al-Qasim! Sesungguhnya Allah tidak meredhai ilmu orang alim sehinggalah ia menemuinya di dalam ilmunya itu. Andainya engkau berilmu, maka berdirilah di tempatmu itu. Jika tidak, turunlah dari situ!” Junaid lantas turun tanpa mengucapkan sepatah kata pun, dan telah membisu selama sebulan!

 Teguran Hallaj itu merupakan suatu tamparan kepada Junaid dan suatu cabaran supaya melahirkan kepada umum akidah kebatinan yang dipegangnya itu. Maksud dari kata-katanya “andainya engkau berilmu, maka berdirilah di tempatmu itu” , ialah jika Junaid telah benar-benar sampai kepada hakikat akidah tasawwuf maka bolehlah ia meneruskan ucapannya di mimbar dan mengumumkan akidahnya itu! Di sini Hallaj tidak mengecam Junaid kerana kesalahannya yang nyata itu, tetapi mengecamnya kerana memaparkan ilmu-ilmu syariat kepada umum yang bertentangan dengan akidah tasawwuf yang telah diketahui Junaid. Kerana itulah selepas peristiwa tersebut Junaid telah menyembunyikan diri dari orang ramai dan tidak bercakap-cakap dengan mereka selama satu bulan. Junaid tidak melahirkan kepada umum apa yang telah dilahirkan oleh Hallaj, kerana dia menyedari akan akibatnya yang buruk kelak.

Abu Abdurrahman as-Salimi di dalam bukunya “Thabaqat as-Sufiyyah” telah menyebut kata-kata Junaid kepada Syibli: “Jika engkau pulangkan perkaramu kepada Allah nescaya engkau merasa lega.” Jawab Syibli; “Wahai Abu al-Qasim, andainya Allah pulangkan kepadamu perkaramu nescaya engkau merasa lega.” Junaid pun berkata: “Mata pedang Syibli mengalirkan darah.” (Thabaqat as-Sufiyyah, halaman 343)

 Maksud kata-kata Junaid ialah jika Syibli menyerah bulat kepada Allah tanpa berikhtiar dan berusaha, nescaya Syibli akan merasa lega dan tenteram. Sementara maksud ungkapan balas Syibli pula adalah lebih jelas dari ungkapan Junaid, kerana itulah Junaid menjawab “mata pedang Syibli mengalir darah” (maksudnya, dengan berterus terang tentang akidah kepercayaan itu bakal mendedahkan dirinya kepada hukuman bunuh!!)

 Sebagai buktinya, ketika Hallaj diheret untuk dibunuh dan disalibkan, orang-orang bertasawwuf telah dihimpunkan dan dipaksa menyumpah dan menyeranahnya. Di antara yang dibawa ke perhimpunan itu ialah Syibli. Mereka telah menarik kain yang terbalut di leher Syibli dan mengheretnya ke depan Hallaj supaya mengutuknya. Apabila Syibli kelihatan enggan melakukannya, askar-askar yang berkawal memintanya supaya menyuruhkan orang lain mewakilinya berbuat demikian. Syibli pun menyuruh seorang wanita yang bertasawwuf supaya berkata kepada Hallaj, “Sesungguhnya Allah telah mengamanahkan kepadamu satu daripada rahsia-rahsiaNya. Tetapi engkau telah menyebarkannya. Oleh itu rasalah akibat perbuatanmu itu!!” (Akhbar al-Hallaj)


Jalan Sampai Ke Ilmu Kebatinan

 Ramai orang menyangka ilmu kebatinan itu hasil dari amalan soleh, ketakwaan dan sentiasa bertasbih dan berzikir. Dengan berbuat demikian secara berterusan, mereka menyangka telah mengikuti jejak langkah golongan sufi dan akan memperolehi apa yang telah diperolehi golongan tersebut. Sedangkan pada hakikatnya mereka tidak memperolehi sedikitpun apa yang mereka inginkan itu. Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin ada menyebut perkara ini dengan berkata: “Diceritakan bahawa pada suatu hari seorang saksi lelaki yang berkedudukan dari kalangan orang-orang terkemuka penduduk Bastam yang sentiasa mengikuti majlis ilmu Abu Yazid al-Bastami telah berkata kepada gurunya itu,” Sejak tiga puluh tahun lalu, hamba sentiasa mengamalkan puasa dan tidak berbuka. Hamba berjaga malam kerana beribadah dan tidak tidur. Tetapi hamba tidak memperolehi sedikitpun ilmu yang tuan guru sebutkan itu. Sedangkan hamba mempercayainya dan menyintainya.” Abu Yazid menjawab: “Andainya engkau berpuasa 300 tahun sekalipun dan engkau berjaga pada malam-malamnya dengan beribadat, engkau tidak akan memperolehinya walau sebesar debu! Lelaki itu bertanya: “Mengapa?” Jawab Abu Yazid: “Kerana engkau terhijab dengan dirimu.” Bertanya lagi lelaki itu: “Adakah penawarnya?” Jawab Abu Yazid: “Ya.” Lelaki itu berkata: “Sebutkanlah supaya hamba mengamalkannya.” Jawab Abu Yazid: “Engkau tidak akan sanggup menerima.” Lelaki itu mendesak, “Sebutkanlah supaya hamba mengamalkannya.” Jawab Abu Yazid: “Pergilah kepada tukang gunting. Cukur kepalamu dan dagumu. Tanggalkan pakaianmu ini dan pakailah baju kubung. Gantungkan di lehermu uncang berisi kacang kemudian himpunkan kanak-kanak di sekelilingmu dan katakanlah kepada mereka, “Sesiapa yang menamparku satu kali aku akan memberinya sebiji kacang.” Masuklah ke pasar dan kelilinglah pasar-pasar semuanya di depan mata orang dan sesiapa yang mengenalimu dan engkau dalam keadaan demikian. Lelaki itupun berkata: “Subhanallah! Tuan guru mengatakan demikian kepada hamba.” Jawab Abu Yazid: “Ucapanmu Subhanallah itu adalah suatu syirik.” Lelaki itu bertanya: “Mengapa pula?” Jawab Abu Yazid: “Kerana engkau telah menyanjung dirimu dan mensucikan dirimu dari perbuatan jahat dan tidak mensucikan tuhanmu.” Lelaki itu berkata: “Hamba tidak dapat berbuat demikian. Tunjukkanlah kepada hamba amalan selain itu.” Jawab Abu Yazid: “Mulakanlah dengan apa yang telah aku sebutkan itu dahulu.” Kata lelaki itu: “Hamba tak berdaya melakukannya.” Jawab Abu Yazid: “Sudah aku katakan padamu. Engkau tidak akan sanggup menerimanya.” (Ihya’ Ulumuddin, jilid 4 halaman 358)

Cerita ini menunjukkan di sebalik amalan berpuasa sepanjang masa dan berjaga malam hari kerana beribadat dengan harapan akan sampai kepada ilmu golongan bertasawwuf, lelaki yang soleh itu telah tidak didatangi sebarang lintasan dan bisikan mengenainya. Ia merasa hairan dan bingung dengan keadaannya itu lalu ia mengadukan jalan kepada Abu Yazid yang terus menjawab, “Engkau tidak akan memperolehinya walau sebesar debu.” Ini ialah kerana lelaki tersebut melakukan semua ibadat itu dengan menganggapkan dirinya seorang abid kepada Allah, sedangkan mengikut akidah golongan bertasawwuf, Allah itulah yang membangunkan anda beribadat dan Dialah yang memilihkan ibadat untuk anda. Itulah iradatNya. Anda tidak mempunyai sebarang iradat dengannya, sebaliknya pula anda hendaklah percaya bahawa Allah telah membangunkan pemaksiat-pemaksiat melakukan kemaksiatan, orang-orang kafir melakukan kekufuran dan iblis melakukan kegodaan! Apabila lelaki itu menyebut “Subhanallah!” , Abu Yazid menegaskan sebutannya itu suatu syirik! Apabila lelaki itu menanyakan sebabnya, Abu Yazid menjawab: “Kerana engkau telah mensucikan dirimu dari perbuatan jahat dan engkau tidak mensucikan Allah yang mengadakan kejahatan dan menghendakinya serta membangunkan manusia melakukannya. Menurut akidah Abu Yazid al-Bastami, lelaki tersebut menyanjung dirinya sendiri apabila ia enggan melakukan amalan yang Allah lakukan, yang dikehendakinya dan yang disukainya!! Kerana itulah Abu Yazid menyuruh lelaki itu melakukan perkara-perkara yang menyusahkannya jika ia mahu sampai kepada hakikat tasawwuf. Dengan wasilah yang dianggap mujahadah itu, akan tercapailah dengan sepenuh keyakinan ilmu kebatinan tersebut!



Isu Fuqaha’ Dan Qadar

 Tidak syak lagi salah faham mengenai isu qada’ dan qadar telah menimbulkan banyak angkara dan kekacauan di kalangan orang ramai. Puncanya ialah tidak dapat membezakan di antara ilmu Allah yang azali dan segala ketetapan yang telah dibuatnya mengikut ilmunya itu di alam buana ini serta Allah mengetahui apa yang akan berlaku dan bagaimana ia berlaku, dengan ikhtiar serta pilihan dan kehendak hamba-hambanya yang telah dijadikan oleh Allah sebagai asas dan dasar bagi tanggungjawab serta hisab kelak. Hamba Allah mempunyai kemahuan tertentu di mana ia melakukan perbuatan yang ia mahu tetapi bukan melakukannya kerana paksaan dari Allah tanpa ia sendiri yang menghendakinya.

 Ketaatan dan kepatuhan kepada Allah adalah dengan taufik dan hidayah dari-Nya. Kemaksiatan pula adalah dengan keizinan dan masyiah-Nya kerana tiada suatu yang berlaku melainkan dengan masyiah-Nya atau kehendak-Nya belaka. Allah s.w.t itulah yang berkuasa menghalang orang kafir dari berkufur dan orang jahat dari melakukan kejahatan. Tetapi di sana ada ujian, ada ikhtiar dan pilihan, dan ada tanggungjawab.

 Gollongan bertasawwuf tidak memahami akidah syar’i yang telah diterangkan. Allah di dalam al-Quran dengan secukupnya dan yang telah dihuraikan Rasulullah s.a.w dengan selengkapnya. Mereka menyangka kejahatan, maksiat dan kedurjanaan itu adalah dikehendaki Allah kerana sukakannya, sedia menerimanya dan meredhainya. Mereka tidak tahu semua perkara itu tunduk kepada kehendak dan masyiah Allah semata-mata, tetapi bukan bererti pelakunya terpaksa melakukannya kerana Allah menghendakinya melakukan demikian dan tidak berupaya menahan dan menghalang dirinya dari melakukannya. Iradat Allah itu ialah iradat berlakunya sesuatu perkara itu, dan masyiah-Nya ialah keizinan dan kebenaran berlakunya. Di sebalik itu ada pula balasan kepada pelakunya di dunia dan di akhirat, ada celaan, ada kutukan dan ada larangan supaya menjauhi kejahatan dan maksiat.

 Kerana tidak memahami akidah syar’i inilah golongan bertasawwuf berpendapat perbuatan orang-orang kafir dan orang-orang jahat secocok dengan kehendak dan kesukaan Allah!! Demikianlah Hallaj mendakwa Iblis dan Firaun telah mengenal hakikat dan kedua-duanya bertindak dengan perintah Allah! Kerana itulah Iblis enggan sujud hormat kepada Nabi Adam a.s, dan Firaun enggan beriman kerana mendakwa dirinya itulah tuhan dan seterusnya enggan berpatah balik dari dakwaannya itu!!

 Lebih aneh lagi golongan bertasawwuf yang salah faham terhadap isu qada’ dan qadar sehingga terseret kepada akidah yang batil itu telah mendakwa pula bahawa fahaman mereka adalah hasil dari kasyaf dan “ilmu ladunni” serta limpahan amalan, dan bahawa Allah s.w.t telah mewahyukan kepada mereka mengenainya!! “Ilmu ladunni” yang mereka dakwakan itu adalah diceduk dari firman Allah Taala mengenai Nabi Khaidir a.s iaitu: “وعلمناه من لدنا علما” (surah al-Kahfi ayat 65). Maksudnya lebih kurang: “…….. Dan Kami ajarkannya ilmu dari sisi Kami.” Lafaz “لدنا” yang bererti “sisi Kami” itulah yang dijadikan istilah ilmu ladunni oleh golongan bertasawwuf, yang mereka maksudkan sebagai penyingkapan ilmu ghaib dan hakikat dunia dan akhirat kepada mereka!!


Ilmu Kebatinan Syeikh An-Nablusi

Andainya generasi bertasawwuf lama telah mentaqdiskan ilmu kebatinan sedemikian rupa dengan menjadikan ilmu syariat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai ilmu khusus untuk orang ramai dan ilmu kebatinan sebagai ilmu yang khusus bagi golongan khawas atau golongan pilihan yang memperolehinya secara langsung dari Allah melalui penyingkapan hijab kelalaian yang mereka dakwakan, maka generasi bertasawwuf kebelakangan pula mengambil sikap yang lebih keterlaluan dengan menjadikan ilmu syariat sebagai satu peringkat bagi ilmu kebatinan serta dengan menegaskan bahawa barangsiapa berhenti setakat ilmu syariat dan terikat dengan gambaran luarannya sahaja nescaya ia tidak akan terselamat di akhirat, bahkan ia dianggap seorang yang lalai dari agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Keadaannya sama dengan keadaan orang kafir!!

Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi seorang pemuka tasawwuf telah berkata: “Setiap orang yang sibuk dengan ilmu-ilmu lahiriyah dan tidak percaya di sebalik ilmu-ilmu feqah, hadits dan tafsir yang dipelajarinya ada tersembunyi hakikat-hakikat dan ilmu-ilmu kebatinan yang dibayangkan secara simbolik oleh tuhan di belakang ilmu-ilmu yang nampak atau kelihatan itu, sedangkan yang tersembunyi itulah yang dimaksudkannya kerana ianya penyelamat di sisi Allah, maka dia adalah seorang yang lalai terhadap Allah dan jahil tentang agama yang dibawakan oleh Nabi Muhammad s.a.w, serta termasuk di dalam firman Allah: “يعلمون ظاهرا من الحياة الدنيا وهم عن اللأخرة هم غافلون” (surah ar-Rum ayat 7), maksudnya lebih kurang; “Mereka mengetahui yang nyata dari kehidupan duniawi dan tentang akhirat mereka lalai.” (Buku al-Fathu ar-Rabbani wa al-Faidhu ar-Rahmani, halaman 133).

Kata-kata Syeikh an-Nablusi menunjukkan ilmu-ilmu feqah, hadits dan tafsir itu adalah ilmu-ilmu mengenai kehendak dunia nyata. Leka dengan ilmu-ilmu ini sehingga lalai terhadap ilmu kebatinan bererti leka dengan ilmu-ilmu dunia dan perhiasannya sehingga lalai terhadap hakikat-hakikat akhirat!!

Syeikh an-Nablusi di dalam muqaddimah bukunya telah menulis mengenai dosa menurut ilmu kebatinan. Katanya: “Ketahuilah bahawasanya dosa itu mempunyai hakikat. Apabila diketahui hakikatnya, diketahuilah rahsianya. Apabila diketahui rahsianya yang tersembunyi, diketahuilah yang zahirnya. Ia mempunyai hal dan maqam, dan mempunyai bahagian-bahagian. Aku memperkatakan kepadamu sekarang mengenainya menurut yang tiba kepadaku sebagai suatu terjemahan terhadap lontaran rahmani.” (al-Fathu ar-Raabbani wa al-Faidhu ar-Rahmani, halaman 51)

Syeikh an-Nablusi mendakwa apa yang dituliskannya mengenai pengertian dosa itu semata-mata merupakan terjemahan terhadap lontaran rahmani kepadanya secara langsung tanpa perantaraan, yang mana beliau mengungkapkannya sebagai wahyu atau ilham atau kasyaf.

Menurutnya lagi, ilmu-ilmu syariat semata-mata tidak boleh menyelamatkan manusia dari siksaan di akhirat, andainya ia tidak menyelami hakikat-hakikat dan ilmu-ilmu kebatinan yang terdapat di dalam ilmu-ilmu syariat secara simbolik tanpa dinaskan itu. Setelah menyelaminya barulah ia terselamat dari azab Allah pada hari qiamat kelak!! Beliau mendakwa juga bahawa pernyataannya ini sebenarnya merupakan terjemahan terhadap lontaran rahmani kepadanya!! (al-Fathu ar-Rabbani wa al-Faidhu ar-Rahmani, halaman 133). Beliau menolak sama sekali ianya sebagai hasil ijtihad dan pandangan sendiri!!

Syeikh an-Nablusi juga turut memperjuangkan konsep wahdatul wujud yang dipelopori oleh Ibnu Arabi. Ini jelas apabila beliau menegaskan bahawa seseorang itu dianggap berdosa apabila menyangka ia mempunyai kewujudan yang berasingan dari kewujudan Allah! Kerana barangsiapa yang menyangka demikian bererti ia telah melakukan suatu kejahatan dan kekejian dan mengatakan sesuatu yang ia jahil mengenainya. Lebih dari itu, beliau mendakwa bahawa melakukan dosa itu bererti menghampirkan diri kepada Allah, bukan berjauhan darinya!! Menurutnya, orang yang berdosa semasa melakukan dosa adalah lebih hampir kepada Allah daripada keadaannya semasa mentaatinya. (al-Fathu ar-Rabbani wa al-Faidhu ar-Rahmani, halaman 49).


Antara Zindiq Dan Siddiq

Untuk menjelaskan lebih jauh tentang ilmu kebatinan, Syeikh an-Nablusi menyediakan satu bab berasingan yang panjang di dalam bukunya itu dengan membandingkan di antara orang yang zindiq dan orang yang siddiq (yang membenari). Intipati isi kandungannya ialah orang zindiq ialah orang yang menganggapkan kekufurannya dan kefasikannya lahir dari dirinya sendiri sahaja dan ia bersendirian dengan kekufuran itu. Sementara orang siddiq pula ialah orang yang beranggapan bahawa semua pelaku hamba-hamba Allah adalah terbit dari Allah s.w.t, dan bahawa orang yang beriman, orang yang kafir, yang fasiq dan yang baik itu semuanya merupakan gambaran luar yang berlainan bagi hakikat tuhan yang maujud semata-mata. Buktinya ialah firman Allah: “ما ترى فى خلق الرحمن من تفاوت” (surah al-Mulk ayat 3). Maksudnya lebih kurang:

“Engkau tidak melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah itu sebarang percanggahan.”

Menurut Syeikh an-Nablusi, orang yang beriman dan orang yang kafir itu adalah dari ciptaan Allah, tiada beza antara kedua-duanya. Barangsiapa mengetahui hakikat ini maka ianya dianggap seorang siddiq. Barangsiapa yang jahil tentangnya dan menyangka orang kafir itulah yang melakukan kekufurannya dan mengadakan sendiri perbuatannya serta bebas mengurusi dirinya maka ia adalah seorang zindiq! Syeikh an-Nablusi kemudian menegaskan: “Ketahuilah bahawa semua agama di alam ini, bagi mereka yang beragama di kalangan makhluk, adalah terbahagi kepada dua; agama sebenar yang satu, iaitulah agama Islam, dan agama-agama yang lain semuanya batil. Bagi Khaliq s.w.t pula semuanya agama yang benar dan yang batil itu adalah makhluknya belaka. Dialah yang menciptanya.” (Syeikh an-Nablusi telah menerangkan hal ini dengan panjang lebar di dalam bukunya itu di halaman 85-86)

Berhubung dengan ayat di dalam surah al-Mulk di atas, ternyata Syeikh an-Nablusi menggunakan sebahagian sahaja dari ayat sepenuhnya iaitu:

الذى خلق سبع سماوات طباقا ما ترى فى خلق الرحمان من تفاوت فارجع البصر هل ترى من فطور

Maksudnya lebih kurang: “Yang telah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat, engkau tidak melihat pada ciptaan ar-Rahman Yang Maha Pemurah itu sebarang percanggahan. Maka ulanglah melihatnya, adakah engkau lihat di sana percanggahan?”

Maksud “تفاوت” (percanggahan) ialah percanggahan atau ketidaksesuaian di dalam penciptaan langit dan bumi, bukan percanggahan pada perbuatan manusia seperti yang difahami oleh Syeikh an-Nablusi. Kerana setiap orang yang berakal tahu bahawa perbuatan manusia itu berbeza-beza, dan berlainan. Kekufuran dan keimanan tentunya tidak sama!

Pendeknya, dari keterangan Syeikh an-Nablusi di dalam bukunya itu, tergambarlah di depan mata kita dengan jelas akan akidah kebatinan yang cuba di tanam dan disuburkan oleh golongan bertasawwuf di kalangan umat Islam. Menurut dakwaan mereka, akidah kebatinan itu merupakan suatu keyakinan bahawa yang wujud di alam buana ini ialah gambaran luar bagi hakikat yang satu, iaitulah Allah! Segala perbuatan dan perilaku tidak saling bertentangan dan berlebihan melainkan dari kacamata makhluk. Bagi Allah sebagai Khaliq, semua itu adalah benda yang satu yang menunjukkan kepada Zat Yang Satu!

Melalui akidah kebatinan, golongan bertasawwuf telah memusnahkan agama dan syariat serta menghalalkan segala yang haram. Perlu diingatkan bahawa akidah atau ilmu kebatinan ini sebenarnya membawa kepada penamaan kufur dan iman, malahan menjadikan zuhud yang merupakan peringkat pertama di dalam amalan tasawwuf tulin sebagai syirik tersembunyi terhadap Allah!

Mungkin ada pihak yang menyangka bahawa ilmu kebatinan ini tidak lebih daripada akidah berupa teori sahaja. Sebenarnya ia adalah suatu realiti yang diamalkan di dalam kehidupan seharian golongan bertasawwuf sejak dahulu hingga ke hari ini. Umat Islam diingatkan supaya berwaspada dalam perkara ini.



Bab 10: Hakikat Muhammadiah Dalam Konsep Tasawwuf

Untuk memahami maksud hakikat Muhammadiah yang diperkatakan oleh golongan bertasawwuf, kita perlu mengetahui akidah mereka mengenai Allah. Pada penghujung abad ke tiga hijriah, teori tasawwuf falsafah telah sampai ke tahap mengatakan Allah itulah kewujudan yang sentiasa berubah-ubah dan bertukar baru iaitulah langit, bumi, Arsy, Kursi, malaikat, manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Dialah zaman azali dan zaman abadi.

Ungkapan kata-kata mereka mengenainya mungkin berbeza. Kadang-kadang mereka mengatakan dialah roh yang mengalir di dalam semua yang wujud seperti pengaliran bau bunga mawar di dalam bunga mawar dan kewujudan roh di dalam jasmani. Ada kalanya mereka mengatakan kewujudan segala yang wujud itulah kewujudan Allah, kerana di dalam wujud tiada dwalisma khaliq dan makhluk bahkan makhluk itulah ‘ain khaliq dan khaliq itu jugalah makhluk!

Pembesar-pembesar golongan bertasawwuf yang terdiri dari para zindiq dan mulhid beriktiqad demikian dan menyebarkannya di kalangan orang ramai sepertimana yang dibuat oleh Ibnu Arabi, al-Hallaj, al-Jiili, Ibnu Sab’in dan kuncu-kuncu mereka. Di dalam karya-karya mereka terdapat kenyataan-kenyataan yang menolak sesiapa yang mengakui Allah berdiri dengan sendiri lagi beristiwa’ di Arsy dan berbeza dari segala makhluknya, iaitulah iktiqad kaum muslimin umumnya dan juga sesetengah pihak yang bertasawwuf. Ibnu Arabi telah memperhebat kecamannya ke atas golongan yang bertasawwuf yang beriktiqad demikian serta mempersalahkan mereka dan menyifatkannya sebagai kurang berilmu dan tidak faham. Di dalam bukunya “التجليات", Ibnu Arabi mendakwa telah menemui tokoh-tokoh tasawwuf terdahulu di alam barzakh dan telah berbincang mengenai kepercayaan tauhid mereka. Beliau telah mendedahkan kepada mereka tentang kesalahan mereka dan beliau pada akhirnya telah memperkenalkan kepada mereka bahawa tiada yang wujud melainkan Allah dan bahawa Allah dan hamba–hambaNya adalah benda yang satu. Dan mereka semuanya mengakui perkara tersebut!!

Golongan bertasawwuf yang menyalin teori wahdah al-wujud dari falsafah Aflatun (Plato) dan beriktiqad dengannya serta menjadikannya sebagai hakikat tasawwuf, telah juga menyalin teori para filosof Greek purba mengenai permulaan segala kejadian. Menurut teori ini, benda pertama dalam kejadian ialah atom, dan yang pertama wujud ialah akal pertama yang mereka namakan “عقل فعال". Dari akal pertama inilah terjadi alam tinggi iaitu langit dan bintang-bintang, kemudian disusuli dengan kejadian alam rendah iaitu bumi…..dan seterusnya.

Ibnu Arabi telah memindahkan teori falsafah lama ini kepada konsep tasawwufnya dengan menukarkan istilah “عقل فعال” kepada “حقيقة محمّدية” dan mendakwa bahawa kejadian yang pertama sekali ialah atom atau debu, dan wujud yang pertama sekali ialah hakikat Muhammadiah yang dikatakan bersemayam di Arsy Illahi! Ini bererti bahawa kedudukan hakikat Muhammadiah itu sama dengan Allah tuhan pencipta segala makhluk yang bersemayam di Arsy!! Ibnu Arabi telah memutarbelitkan keterangannya sehingga mengelirukan kaum muslimin. Beliau telah memindahkan teori para filosof mulhid itu dengan menggunakan ungkapan-ungkapan baru yang disalutkan dengan pakaian keislaman dan ayat al-Qur’an. Menurutnya, zat Muhammad itulah zat yang pertama-tama sekali terjadi dari atom, dan zat itulah yang bertakhta di Arsy Illahi. Dari nur zat inilah Allah kemudiannya mencipta seluruh kejadian. Para malaikat, langit dan bumi semuanya diciptakan dari nur zat yang pertama iaitulah zat Muhammadiah menurut pendapat Ibnu Arabi, atau “عقل فعال” menurut konsep falsafah. Demikianlah Ibnu Arabi telah berjaya menyeludupkan ketelanjuran-ketelanjuran, kesilapan-kesilapan, dan khayalan-khayalan kosong para filosof ke dalam dunia kehidupan kaum muslimin dan ke dalam akidah mereka. Malahan sesudah itu beliau menjadikan akidah ini sebagai akidah asas bagi kosep tasawwuf seluruhnya.

Bagi Ibnu Arabi dan para syeikh tasawwuf yang muncul selepasnya, Nabi Muhammad s.a.w. ialah Allah yang menyerlah di atas Arsy atau gambaran mini bagi Allah, dan darinyalah segala yang wujud itu memperolehi kewujudannya dan daripadanyalah terpancar seluruh nur dan segala kejadian serta segala yang wujud!! Maksud Ibnu Arabi, Nabi Muhammad s.a.w ialah bibit pertama bagi setiap yang wujud. Ianya seolah-olah sebiji benih bagi sepohon pokok yang berbatang, dahan-dahan, daun-daun, buah-buahan dan duri-duri. Dari nur Nabi Muhammad s.a.w itu kemudian diciptakan Arsy, Kursi, langit, bumi, Nabi Adam dan zuriatnya!! Segala kewujudan itu adalah benda yang satu, yang bercabang-cabang dari asal yang satu atau sepohon pokok yang berdahan-dahan dan bercabang-cabang berasal dari sebiji benih (Syarah al-Qasyani ‘ala al-Fusus halaman 266-267)

Ibnu Arabi telah menerangkan mengenai kepercayaannya itu dengan menyebut; “Permulaan kejadian itu ialah debu. Kewujudan yang pertama sekali pada debu itu ialah hakikat Muhammadiah Rahmaniah yang disifatkan bertakhta di Arsy Rahmaniah iaitulah Arsy Illahi.” (Al-Futuhat al-Makkiyyah,halaman 152)


Siraman Demi Siraman Nur

Sementara itu, Ahmad bin Mubarak as-Salajmasi di dalam bukunya “al-Ibriz” telah menghuraikan akidah hakikat Muhammadiah ciptaan Ibnu Arabi itu yang didengari dari gurunya Syeikh Abdul Aziz ad-Dibagh. Secara ringkas huraian tersebut seperti berikut:

Makhluk pertama yang diciptakan Allah Taala ialah Nur Muhammad s.a.w. Kemudian, dari nur ini diciptakan Qalam, hijab yang tujuh puluh dan malaikat-malaikatnya. Kemudian diciptakan Luh Mahfuz. Tetapi sebelum kesempurnaannya dan sebelum digunakan, diciptakan Arsy, roh-roh, syurga dan alam barzakh. Adapun Arsy diciptakan dari suatu nur, dan nur ini diciptakan dari nur yang mulia iaitulah Nur Muhammad s.a.w. Arsy dicipta sebagai sebiji permata delima yang besar yang tidak boleh diukur dan ditentukan saiz dan nilainya. Di tengah-tengah permata delima itu diciptakan sebutir permata yang lain. Kedua-dua permata delima dan permata yang lain itu adalah seperti sebiji telur. Putihnya ialah permata delima dan kuningnya batu permata yang satu lagi. Kemudian Allah membekalkan batu permata yang berada di tengah-tengah permata delima itu dengan siraman Nur Muhammad s.a.w yang menelusi permata delima dan menyirami batu permata yang di tengah-tengahnya dengan siraman demi siraman sebanyak tujuh kali. Dengan izin Allah batu permata itu menjadi cair dan mengalir sebagai air dan turun ke bawah batu delima dan iaitulah Arsy. Nur mulia yang menembusi Arsy hingga sampai ke batu permata yang mengalir sebagai air itu tidak kembali ke tempatnya. Tetapi daripadanya Allah mencipta malaikat yang delapan iaitulah pembawa-pembawa Arsy. Allah menciptakan mereka dari kejernihannya, dan dari keberatannya diciptakan angin yang mempunyai kekuatan tenaga yang perkasa. Allah memerintahkannya supaya turun dibawa air dan menetap di situ. Kesejukan mula kuat di dalam air, lalu air mahu kembali kepada asalnya dan menjadi beku. Tetapi angin tidak membiarkannya, dan mula memecahkan keretakan-keretakan yang beku itu dan menjadikan keretakan itu rosak dan berbau busuk. Keretakan itu semakin retak, kemudian ia mula membesar dan melebar serta menuju ke arah yang tujuh dan ke tempat yang tujuh. Darinya Allah menciptakan bumi yang tujuh dan air masuk di antaranya dan juga laut-laut, wap-wap mula naik dari air dengan kekuatan tenaga angin, kemudian mula bertimbun, lalu darinya Allah ciptakan langit yang tujuh. Kemudian angin mula memberikan khidmatnya yang besar seperti kebiasaannya pada permulaan dan penghujungnya. Api mula bertambah besar di udara dari tenaga pembakaran angin terhadap air dan udara. Setiap kali api menjilat, malaikat-malaikat mengambilnya dan membawanya ke tempat neraka jahanam hari ini. Itulah puncanya api neraka jahanam. Keretakan-keretakan yang darinya terbentuk lapisan-lapisan bumi mereka biarkan dalam keadaannya. Wap-wap yang darinya terjadi langit, juga mereka biarkan dalam keadaanya. Api yang menjilat ke udara mereka mengambilnya dan memindahkan ke tempat lain, kerana jika mereka biarkannya nescaya ia akan membakar retakan-retakan yang mana darinya terjadi bumi yang tujuh, dan wap-wap yang darinya terjadi langit yang tujuh. Bahkan ia membakar air dan menghirupnya semua sekali dengan kekuatan tenaga angin. Kemudian Allah Taala menciptakan para malaikat bumi dengan Nur Muhammad s.a.w. dan memerintahkan mereka supaya mereka menyembahnya di atas bumi, dan menciptakan para malaikat langit dari Nur Muhammad s.a.w serta memerintah mereka menyembahnya di langit. Adapun roh dan syurga, kecuali beberapa bahagiannya, adalah diciptakan dari nur yang dicipta dari Nur Muhammad s.a.w. Adapun alam barzakh, maka separuh bahagiannya sebelah atas ialah dari Nur Muhammad s.a.w. Adapun Qalam, Luh Mahfuz, separuh bahagian alam barzakh, hijab yang tujuh puluh dan semua malaiktanya dan semua malaikat langit dan bumi adalah diciptakan dari Nur Muhammad s.a.w tanpa wasithah (perantaraan). Arsy, air, syurga dan roh telah diciptakan dari Nur Muhammad s.a.w. Selepas itu makhluk-makhluk ini disirami pula dengan Nur Muhammad s.a.w. Qalam disirami tujuh kali dengan siraman yang besar kerana ia sebesar-sebesar makhluk yang andainya disingkapkan nurnya kepada jirim bumi nescaya bumi akan bergegar dan menjadi reput. Air disirami dengan nur itu sebanyak tujuh kali, tetapi bukan seperti siraman ke atas Qalam. Hijab yang tujuh puluh disirami secara berterusan. Arsy disirami dengan nur itu sebanyak dua kali. Kali pertama pada permulaan ciptaannya. Kali kedua apabila ia sempurna diciptakan agar zatnya bertaut rapat dan kukuh. Syurga juga disirami sebanyak dua kali sama seperti siraman ke atas Arsy.

Para anbiya’ ‘alaihimus solatu was salam dan seluruh orang-orang yang beriman dari kalangan umat-umat yang terdahulu dan dari umat ini telah disirami dengan nur itu sebanyak tujuh kali. Kali pertama ialah di alam roh, ketika Allah menciptakan nur roh-roh sekaligus. Kali kedua disirami ketika roh-roh dibentuk. Setiap satu roh dibentuk ia disirami dengan Nur Muhammad s.a.w. Kali ketiga pada hari Allah menanyakanألست بربكم (bukankah Aku tuhan kamu?), maka siapa yang menjawab, Ya!, dari kalangan roh-roh orang-orang yang beriman dan para anbiya’ ‘alaihimus solatu wassalam ia disirami dengan Nur Muhammad s.a.w. Di antara mereka ada disirami dengan banyak dan ada yang disirami dengan sedikit sahaja. Di sinilah letaknya perbezaan di kalangan mereka; di antara mereka ialah wali dan bukan wali. Adapun roh orang-orang kafir, ianya tidak sukakan nur itu dan enggan menerimanya. Tetapi apabila roh-roh yang disirami dengan nur itu menikmati kebahagiaan abadi dan peningkatan sarmadi (yang kekal) tanpa awalan dan tanpa akhiran, roh orang-orang kafir itu menyesal dan minta supaya disiramkan dengan nur itu. Lalu mereka disirami dengan kegelapan. Kali keempat ketika pembentukan janin dalam rahim ibu dan penyusunan sendi-sendinya serta dibelahkan penglihatannya, maka zatnya disirami dengan nur yang mulia itu agar sendi-sendinya menjadi lembut, pendengaran dan penglihatannya terbuka. Tanpa siraman itu, sendi-sendinya tidak menjadi lembut, manakala pendengaran dan penglihatannya tertutup. Kali kelima ketika kelahiran bayi. Ia disirami dengan nur itu untuk diilhamkan makan dengan mulutnya. Tanpa siraman itu nesaya ia tidak akan dapat makan dengan mulutnya sama sekali. Kali keenam ketika bayi menghisap susu ibunya pada kali pertama penyusuannya. Kali ketujuh ketika ditiupkan roh ke dalamnya. Andainya zat tidak disiramkan dengan nur yang mulia itu nescaya roh tidak memasukinya. Kemasukan roh ke dalam zat itupun berlaku dengan amat susah payah….! (Al-Ibriz, halaman 224-225).

Demikianlah karutnya huraian mengenai hakikat Muhammadiah yang menjadi akidah pegangan golongan bertasawwuf. Mereka menganggapkan hakikat Muhammadiah itu sebagai zat pertama yang darinya lahir zat-zat lain, kejadian-kejadian dan makhluk-makhluk yang wujud seluruhnya!!

Ahmad bin Mubarak menambah lagi dengan mengatakan beliau telah mendengar gurunya, Syeikh Abdul Aziz ad-Dibagh menyebut: “Apabila para anbiya’ alaihimussolatu wassalam disirami dengan Nur Muhammad s.a.w, mereka tidak menghirupnya dengan sepenuh, tetapi setiap seorang menghirup sekadar yang patut untuknya sahaja mengikut yang telah dituliskan baginya. Nur yang mulia itu mempunyai warna yang banyak, keadaan yang berbagai-bagai dan jenis-jenis yang juga banyak. Setiap seorang menghirup satu warna yang khusus dan jenis yang tertentu. Nabi Isa a.s. menghirup sebahagian dari nur yang mulia itu, yang meletakkannya di makam ghurabah, iaitu makam yang membawa tuannya merantau, tidak menetap di sesuatu tempat. Nabi Ibrahim a.s menghirup sebahagian dari nur yang mulia itu yang meletakkannya di makam rahmat dan tawaddu’ disertai musyahadah yang penuh. Apabila berbicara dengan seseorang, Nabi Ibrahim a.s kelihatan bercakap kepadanya lemah lembut dan amat merendah diri. Orang yang ditujukan percakapannya menyangka Nabi Ibrahim a.s merendah diri dan bertawaddu’ kepadanya pada hal beliau sebenarnya bertawaddu’ kepada Allah kerana kekuatan musyahadahnya. Nabi Musa a.s meminum sebahagian dari nur yang mulia itu yang meletakkannya di maqam musyahadah Allah s.w.t pada nikmat-nikmatnya, kebaikan-kebaikannya yang tidak dapat dinilaikan itu. Begitulah halnya dengan seluruh para anbiya’ alaihimus solatu was salam dan para malaikat yang mulia. Wallahua’lam.” (Al-Ibriz, halaman 226).



Tasawwuf Falsafah

Huraian mengenai hakikat Muhammadiah mengikut fahaman tasawwuf falsafah itu kelihatan sedikit sebanyak berbeza di antara satu sama lain. Namun kesimpulannya adalah sama, iaitu Rasullullah s.a.w ialah yang pertama sekali wujud! Ada di antara mereka mengatakan Nur Muhammad s.a.w itulah yang pertama wujud! Ada yang mengatakan zat nuraninya itulah yang bertakhata di Arsy dan kewujudannya dalam bentuk manusia hanyalah suatu pengenalan dan penjelmaan baru bagi zat Rasullullah s.a.w! Sesetengah mereka pula menjadikan ‘ain Rasullullah s.a.w dan zatnya sebagai ‘ain Allah dan zatNya, dan sana tiada hakikat Ilahiah, yang ada ialah hakikat Muhammadiah! Ada yang menegaskan zat Ilahiah itulah yang telah mencipta Nabi Muhammad s.a.w sebelum penciptaan makhluk-makhluk lain yang semuanya dicipta kemudian dari Nur Muhammad s.a.w! Golongan bertasawwuf kebelakangan pula mengganggapkan zat Rasullullah s.a.w dan hakikat Muhammadiah itu ialah hakikat Ilahiah juga. Mereka menjadikan Rasullullah s.a.w dalam bentuk kemanusiaannya sebagai suatu gambaran yang lengkap atau yang lebih sempurna bagi hakikat Ilahiah. Begitu juga mereka menganggapkan bentuk kemanusiaan Nabi Muhammad s.a.w itu sebagai satu daripada bentuk-bentuk yang berkemungkinan bagi Rasullullah s.a.w, dan mereka beriktiqad bahawa Rasullullah s.a.w boleh menjelma dalam banyak bentuk mengikut yang dia mahu!! (Al-Insanu al-Kamil oleh Abdul Karim al-Jiili).

Secara ringkas, penganut-penganut tasawwuf falsafah yang mendewa-dewakan hakikat Muhammadiah terbahagi kepada tiga golongan:

1. Golongan yang berpegang kepada konsep wahdah al-wujud yang mengatakan Allah itulah zat segala yang wujud. Golongan ini menganggapkan Rasullullah s.a.w sebagai makhluk yang pertama sekali. Darinya dan melaluinya lahir semua yang wujud. Dialah tuhan yang bersemayam di Arsy! Ini ialah kepercayaan Ibnu Arabi dan kuncu-kuncunya.

2. Golongan yang mengatakan bahawa Nur Rasullullah s.a.w ialah yang mula-mula sekali sebenarnya wujud, dan darinya terpancar nur-nur lain dan tercipta segala makhluk! Tetapi mereka ini tidak mengatakan zat Rasullullah s.a.w bersemayam di Arsy.

3. Golongan yang mengatakan bahawa nur Rasullullah s.a.w ialah yang mula-mula sekali wujud. Ia adalah makhluk paling mulia dan kerananya Allah mencipta alam buana seluruhnya. Mereka ini tidak menyatakan alam yang wujud dicipta dari nur Rasullullah s.a.w, tetapi mengatakan semua diciptakan kerananya!!

Namun demikian, ketiga-tiga golongan penganut tasawwuf falsafah tersebut hampir sepakat mengatakan; dari zat Rasullullah s.a.w itulah melimpahkan segala alam dan turunnya semua perutusan, dan wahyu yang turun kepada rasul-rasul datangnya dari Rasullullah s.a.w. Ini mereka nyatakan dengan menyebut para rasul dan para wali seluruhnya tidak dituruni dan tidak dilimpahi ilmu-ilmu Ilahi melainkan dari zat Rasullullah s.a.w di azali dan di abadi lagi, iaitu sebelum didapati zat tanah Rasullullah sa.w di bumi dan selepas didapati zat tanah tersebut kemudian keluar selepas zat tanah Rasullullah s.a.w dari bumi!! Sesetengah mereka mempercayai bahawa Rasululullah s.a.w mengetahui segala perkara yang ghaib dan tiada sesuatu pun samada di bumi atau di langit yang tersembunyi dari pengetahuannya!!

Namun di sebalik kekaburan dan kesukaran untuk dijadikan bukti yang boleh diterima akal, di samping bertentangan dengan akidah Islam yang jelas dan mudah itu, golongan bertasawwuf tersebut berjaya menyebarkan kepercayaan mereka yang batil itu di kalangan orang ramai serta mempengaruhi mereka melalui ungkapan-ungkapan yang mudah dalam bentuk puisi-puisi yang menarik yang mereka gubahkan, umpamanya ungkapan yang berbunyi:

"لولاك لولاك ما خلقت الأفلاك"

Ertinya: Andainya bukan keranamu! Andainya bukan keranamu, nescaya cakerawala tidak tercipta!

Pada suatu hari dalam tahun 1960, bersamaan tahun 1381 Hijrah, sedang penulis buku ini berkhutbah di masjid Nabawi, Madinah, mengenai akidah yang wajib dipegang berhubung dengan diri Rasullullah s.a.w, salah seorang pendengar agak lanjut usianya dan telah menunaikan fardhu haji bertanya: “Bukankah Allah telah berfirman:

"لولاك لولاك ما خلقت الأفلاك؟", penulis telah menjawab: “Itu bukan ayat al-Qur’an. Bukan juga hadits. Mempercayainya demikian adalah syirik terhadap Allah!"

Di sini jelas menunjukkan bahawa kepercayaan sesat yang disebarkan melalui ungkapan-ungkapan puisi yang indah itu boleh mengelirukan orang ramai sehingga mereka menyangkanya sebagai ayat-ayat al-Quran!!

Begitu juga kata-kata yang terdapat di dalam munajat kepada Rasullullah s.a.w seperti “Ya Awwalu Khalqillah, Ya Nur Arsyillah” yang bererti: “Wahai yang pertama-tama ciptaan Allah, wahai nur Arsy Allah!” Kata-kata ini masih lagi dikumandangkan oleh sesetengah muazzin di masjid-masjid di beberapa buah negara Islam khususnya sebelum azan solat subuh. Bagi kaum muslimin biasa, kata-kata ini merupakan kata-kata yang biasa sahaja. Tetapi bagi mereka yang bertasawwuf, ungkapan-ungkapan ini benar-benar dihayati pengertiannya sehingga menjadi pegangan yang teguh bahawa Rasullulullah sa.w itulah yang mula-mula wujud dan darinya terpancar nur segala yang wujud, Dialah Arsy, kursi, langit, bumi, malaikat, jin dan manusia, dan Allah tidak menciptakan semua makhluk ini melainkan kerananya dan Dialah yang bersemayam di Arsy alam buana!!

Andainya kaum muslimin membaca al-Qur’an dan memahami isi kandungannya serta mempelajari hadits-hadits Rasullullah s.a.w dan mengkaji riwayat hidup Baginda s.a.w nescaya mereka berjaya menjauhkan diri dari berbagai bidaah dan khurafat yang disebarkan oleh ajaran yang batil ini. Malangnya ramai pula di kalangan kaum muslimin yang telah terperangkap dengan dakwaan golongan bertasawwuf itu bahawa al-Qur’an seluruhnya adalah rahsia belaka! Rahsianya terletak pada surah al-Fatihah. Rahsia surah al-Fatihah terletak pada Bismillah iaitu Bismillahirrahmanirrahim. Dan rahsia Bismillah terletak pada huruf ba’ dan rahsia huruf ba’ terletak pada titik “ba’"!! Barangsiapa yang dapat membuka simpulan titik pada huruf “ba’” itu, ia mengetahui rahsia al-Qur’an!!

Begitu juga golongan bertasawwuf itu menjadikan pembacaan hadits-hadits Rasulullah s.a.w sebagai suatu amalan untuk mendapatkan berkat tanpa cuba memahaminya, kerana barangsiapa cuba memahami hadits bererti ia seorang yang berijtihad sedangkan pintu ijtihad sudah tertutup selepas zaman imam mazhab yang empat itu, menurut dakwaan mereka!!

Sementara pembacaan sejarah hidup Rasullullah s.a.w. pula bagi golongan bertasawwuf itu tidak lebih daripada mengumandangkan ungkapan-ungkapan puisi yang penuh dengan kandungan yang berunsur kekufuran, kesyirikan, keterlaluan dan pemujaan terhadap kedua mata Baginda s.a.w yang bercelak, pipinya yang kemerahan, susuk badannya yang sasa dan sebagainya. (Adapun sejarah hidupnya yang sebenar, jihadnya, kehidupan dan pengalaman-pengalaman pahitnya fisabilillah, mereka abaikan dan seterusnya mengabui mata orang ramai dengan gambaran-gambaran yang lebih remeh-temeh dan khurafat-khurafat yang disebutkan tadi. Dengan demikian lenyaplah hakikat sebenar sirah Rasullullah s.a.w dari tengah-tengah masyarakat kaum muslimin dan tempatnya diambil alih oleh akidah tasawwuf yang sesat itu).


Iktikad Yang Wajib Terhadap Rasul

Sebagaimana yang diketahui, kepercayaan atau keimanan kepada rasul-rasul ialah satu daripada rukun-rukun iman yang enam seperti yang tersebut di dalam sepotong hadits sahih mengenai pertanyaan Jibrail kepada Nabi s.a.w dan Baginda telah menjawab:

"أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الأخر وتؤمن بالقضاء والقدر خيره وشره من الله تعالى"متفق عليه

Ertinya: “Hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatnya, kitab-kitabnya, rasul-rasulnya, hari akhirat dan engkau beriman kepada qada dan qadar, baik dan buruknya dari Allah Taala."

Di dalam al-Qur’an, Allah mensifatkan rasul-rasulNya sebagai manusia yang telah dipilih untuk menyeru manusia beribadah kepadanya. Para Rasul itu makan dan minum, menghadapi dan menangani persoalan-persoalan hidup serta berusaha di muka bumi seperti manusia-manusia lain. Tiada seorang pun di antara mereka yang mengetahui perkara-perkara ghaib atau bertindak sewenang-wenang dalam alam buana mengikut sesuka hati atau membawakan makanan dari alam ghaib pada bila-bila masa yang mereka mahu, kecuali pada suatu mukjizat yang dianugerahkan Allah kepada Nabi Isa a.s selepas Allah mengancam dan berjanji menimpakan mala petaka ke atas sesiapa yang kufur setelah makanan itu diturunkan dari langit, iaitu Allah akan menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah ditimpakan ke atas sesiapa di alam semesta ini. Perkara itu ada tersebut di dalam surah al-Maidah ayat-ayat 112-115.

Mukjizat ini merupakan bukti kerasulan dan kebenaran Nabi Isa a.s. sebagai pemimpin seruan agama Allah kepada kaumnya dan dia adalah hamba Allah dan pesuruhnya. Sejarah hidup para rasul menunjukkan dengan jelas bahawa mereka semua adalah manusia-manusia yang telah mengalami apa yang telah dialami manusia-manusia lain seperti sakit, pedih, derita, fitnah, ujian dan dugaan. Mereka bermohon kepada Allah, berdoa kepadaNya, takut kepadaNya, menyintaiNya dan meminta pertolongan dan bantuan dariNya. Penamat rasul-rasul dan nabi-nabi, iaitu Nabi Muhammad s.a.w adalah rasul yang paling sempurna dalam merealisasikan ubudiah kepada Allah s.w.t. Baginda s.a.w bersolat pada malam hari hingga kedua tapak kakinya menjadi bengkak. Baginda s.a.w dianiaya dengan seberat-berat penganiayaan semasa beribadat. Baginda s.a.w disingkir dari Kota Mekah, bumi tempat kelahirannya, oleh kaum musyrikin Quraisy. Baginda s.a.w dimusuhi dengan seketat-ketat permusuhan oleh golongan munafik di Madinah, dan dimaki hamun dengan seburuk-buruk perkataan. Golongan munafik telah memfitnahkan isterinya dengan seburuk-buruk fitnah. Baginda s.a.w hidup dalam keadaan serba tidak kecukupan. Sayyidatina Aisyah pernah berkata seperti tersebut di dalam Sahih al Bukhari: “Datang anak bulan dan anak bulan dan anak bulan. Tiga anak bulan dalam dua bulan, dan rumah-rumah Rasullullah s.a.w tidak dinyalakan api!” Lalu beliau ditanya, “Apakah makanan kamu?” Beliau berkata: “(ألأسودان)", iaitu tamar dan air."

Rasullullah s.a.w pernah mengikatkan dua biji anak batu diperut Baginda untuk menahan lapar. Baginda s.a.w pernah berlapar bersama-sama sahabatnya dan bersabar bersama-sama mereka menahan kelaparan. Ketika sakit, Baginda s.a.w kelihatan keletihan dan mengaduh kesakitan seperti keadaan pesakit-pesakit lain di kalangan kaum muslimin. Pendeknya kehidupan Baginda s.a.w adalah terdedah dan tidak tersembunyi dari pengetahuan umum. Urusan-urusannya berhubung dengan hal ehwal agama sudah sememangnya mesti diketahui ramai. Namun yang lebih jelas lagi, Baginda s.a.w tidak pernah meminta sesiapa pun dari kalangan para sahabat manyanjungi Baginda atau memberinya sesuatu yang hanya Allah berhak menerimanya seperti memberinya penghormatan dengan cara rukuk atau sujud atau bangun beramai-ramai ketika Baginda s.a.w datang kepada mereka. Anas Bin Malik telah menegaskan bahawa sahabat-sahabat Rasullullah s.a.w amat menyintai Baginda, tetapi mereka tidak pernah bangun berdiri menghormatinya kerana mereka takut Baginda amat benci perbuatan sedemikian. Apa yang telah disebutkan ini merupakan sebahagian sahaja daripada bukti-bukti yang menunjukkan Baginda s.a.w seorang manusia biasa yang mengecapi asam garam kehidupan seperti mana manusia-manusia yang lain.

Rasul-rasul dan nabi-nabi yang lain juga demikian. Sepertimana manusia-manusia yang lain, para rasul dan nabi juga tidak mengetahui perkara-perkara ghaib sebagaimana yang difirmankan Allah:

"قل لا يعلم من في السماوات والأرض الغيب إلا الله وما يشعرون أيان يبعثون” (النمل، اية 65(

Maksudnya lebih kurang: “Katakanlah, wahai Muhammad! Sesiapa yang ada di langit dan di bumi tidak mengetahui perkara ghaib melainkan Allah, dan mereka tidak sedar bila mereka akan dibangkitkan."

Begitu juga doa para anbiya’ dan rasul itu bukan semua dikabulkan. Nabi Nuh a.s telah berdoa kepada Allah memohon syafaat untuk anaknya, tetapi Allah telah menolak sebagaimana tersebut di dalam al-Qur’an:

"ونادي نوح ربه! فقال إن ابني من أهلي وإن وعدك الحق وأنت أحكم الحاكمين. قال يا نوح إنه ليس من أهلك، إنه عمل غير صالح فلا تسئلن ما ليس لك به علم إني أعظك أن تكون من الجاهلين” (سورة هود، اية 45- 46(

Maksudnya lebih kurang: “Dan Nuh menyeru tuhannya, lalu katanya: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku, sesungguhnya janjiMu itu benar dab Engkau seadil-adil hakim.” Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukan dari keluargamu, kerana ia mengerjakan pekerjaan yang tidak baik. Sebab itu janganlah engkau minta kepada Aku sesuatu yang engkau tidak ketahui, sesungguhnya Aku mengajarimu supaya engkau tidak termasuk di dalam golongan orang-orang yang jahil!"

Nabi Ibrahim a.s telah menyeru bapanya agar turut menganut agama Allah yang ditablighkannya, tetapi bapanya Azar menolak seruannya itu. Di dalam sahih al-Bukhari terdapat hadis yang menyebut bahawa Nabi Ibrahim a.s pada hari kiamat kelak akan menemui bapanya yang ketika itu berpakaian bergetah dan wajahnya berlumuran debu dan gelap. Lalu Nabi Ibrahim a.s pun berkata kepadanya: “Wahai ayahku! Bukankah anakanda telah meminta agar ayahanda tidak menolak seruan anakanda!?” Azar menjawab: “Wahai anakku! Sekarang ini ayahanda tidak lagi menolak seruanmu"! Lalu Nabi Ibrahim a.s pun berdoa kepada Allah: “Wahai Tuhanku! Engkau telah menjanjikan kepadaku bahawa engkau tidak akan menghinaku pada hari manusia dibangkitkan semula. Tiada kehinaan yang lebih besar daripada keadaan bapaku.” Lalu dikatakan kepada Nabi Ibrahim a.s: “Wahai Ibrahim! Sesungguhnya aku telah mengharamkan syurga kepada orang-orang kafir. Lihatlah di bawah kedua kakimu! Nabi Ibrahim a.s pun melihat ke bawah dan mendapati bapanya telah menjadi seekor binatang buas yang berlumuran dengan darah. Ia diangkat dengan keempat-empat kakinya dan dicampakkkan ke dalam api neraka!.

Begitu juga isteri Nabi Nuh a.s dan isteri Nabi Luth a.s. Kedua-dua mereka adalah kafir, dan semata-mata menjadi isteri kepada seorang nabi tidak boleh menukarkan kedudukannya sebagai seorang kafir. Nabi Muhammad s.a.w telah memohon syafaat bagi bapa saudaranya Abu Talib, tetapi Allah tidak menyahut permohonannya selain mengeluarkannya dari tempatnya di dalam neraka dan dipindahkan ke tempat lain yang berhampiran dengan api neraka dan kepalanya menggelegak kepanasan. Baginda s.a.w juga telah bersabda, maksudnya: “Aku telah meminta izin dari tuhanku untuk menziarahi kubur ibuku, dan Allah telah mengizinkan. Aku telah meminta izinNya untuk beristigfar bagi ibuku, tetapi Allah tidak mengizinkan.” Baginda s.a.w telah bersabda kepada puterinya Fatimah yang ertinya: “Aku tidak dapat mengelakkanmu sedikitpun dari siksaan Allah, pintalah aku seberapa yang engkau mahu dari hartaku!"

Apabila Baginda s.a.w bersabda yang ertinya: “Tiada seorang kamu pun akan masuk syurga dengan amalannya", para sahabat bertanya: “Walaupun anda, wahai Rasullullah?” Baginda s.a.w menjawab: “Aku juga tidak, selagi Allah tidak mencurahiku dengan nikmat dan kurniaan dariNya."

Hadits-hadits itu terhimpun di dalam kedua-dua kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Ayat al-Qur’an yang menerangkan tentang hal ehwal para rasul dan keperluan mereka kepada tunjuk ajar dari Allah serta teguran dan celaan Allah ke atas mereka kerana perbuatan mereka yang bertentangan dengan perbuatan yang lebih utama adalah amat banyak, seperti firman Allah kepada Rasulnya Muhammad s.a.w yang bermaksud lebih kurang: “Kalau tidaklah kerana Kami tetapkan pendirianmu, sesungguhnya engkau hampir condong kepada mereka, jika demikian nescaya Kami rasakan kepadamu hukuman berlipat ganda semasa hidup dan berlipat ganda semasa mati. Kemudian engkau tidak memperolehi penolong menentang kami.” (Surah Isra’ ayat 74-75)

Begitu juga Allah Taala berfirman yang bermaksud lebih kurang: “Kalau tidaklah kerana kurniaan Allah dan rahmatNya ke atasmu, nescaya bercita-citalah satu golongan di antara mereka itu untuk menyesatkanmu. Pada hal mereka tidak menyesatkan melainkan diri mereka sendiri, dan mereka tidak membahayakanmu sedikitpun. Allah telah menurunkan Kitab dan hikmat kepadamu dan mengajarmu apa yang engkau tidak tahu. Kurniaan Allah ke atasmu itu adalah amat besar.” (Surah An-Nisa’, ayat 113)

FirmanNya lagi yang maksudnya lebih kurang: “Allah telah memaafkan engkau kerana engkau mengizinkan mereka.” (Surah at-Taubah ayat 43)

Begitu juga firmanNya yang bermaksud lebih kurang: “Dia bermasam muka dan berpaling, ketika didatangi seorang buta.” (Surah ‘Abasa ayat 1-2). “Dan engkau sembunyikan dalam dirimu apa yang Allah telah nyatakan dan engkau takutkan manusia sedangkan Allah lebih berhak engkau takuti.” (surah al-Ahzab ayat 37).

Begitu juga terdapat banyak ayat al-Quran di mana Allah menerangkan tentang kurniaanNya ke atas hambaNya dan rasulNya Muhammad s.a.w. Di antaranya firman Allah yang maksudnya lebih kurang: “Tidakkah Dia menemuimu seorang anak yatim lalu diberi tempat tinggal, dan mendapatimu kesesatan lalu Dia memberi hidayah.” (Suran ad-Dhuha ayat 6-7).

Andainya Allah telah menyebutkan demikian, maka bagaimana pula golongan bertasawwuf itu boleh mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah wujud sebelum kewujudan makhluk-makhluk lain seluruhnya, dan dari nurnya seluruh para anbiya’ memperolehi ilmu-ilmu mereka? Allah juga telah berfirman yang bermaksud lebih kurang: “Engkau tidak tahu apakah Kitab dan apakah iman itu? Tetapi Kami jadikannya (al-Quran) sebagai nur yang memberi petunjuk dengannya siapa yang Kami mahu dari kalangan hamba-hamba Kami.” (Surah as-Syura ayat 52).

Yang pentingnya, barangsiapa menatapi al-Quran dan mengetahui dengan sebenar ajaran agama Islam serta mempelajari riwayat hidup Rasulullah s.a.w, dia pasti tahu bahawa Nabi Muhammad s.a.w seorang hamba Allah dan pesuruhNya, dan Baginda s.a.w wujud di muka bumi sebagai seorang manusia, sama seperti manusia-manusia lain, dan Baginda s.a.w tidak sedikitpun tahu apa yang berlaku di Mala’il-A’laa’ seperti mana firman Allah:

قل هو نبأ عظيم, أنتم عنه معرضون, ما كان لي من علم بالملأ الأعلى إذ يختصمون, إن يوحي إلي إلا أنما أنا نذير مبين, إذ قال ربك للملائكة إني خالق بشرا من طين, فإذا سويته ونفخت فيه من روحى فقعوا له ساجدين. (سورة صو اية 67-72(

Maksudnya lebih kurang: “Katakanlah wahai Muhammad! Ia iaitu al-Quran, adalah berita yang agung. Tetapi kamu berpaling darinya. Aku tidak mempunyai pengetahuan tentang ‘Al-Mala’il-A’laa’ (alam malaikat), ketika mereka berbalah, tidaklah diwahyukan kepadaku melainkan aku seorang pemberi ingat yang nyata. Ketika tuhanmu berkata kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku menciptakan manusia dari tanah dan apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya dari ruhKu, maka meniarap sujudlah kepadanya."

Di dalam ayat di atas, Allah telah memerintahkan rasulNya Muhammad s.a.w supaya mengatakan yang Baginda s.a.w tidak mengetahui sedikitpun apa yang berlaku di Mala’il-A’laa’ ketika Allah memerintahkan para malaikat sujud kepada Adam a.s, lalu mereka pun sujud kecuali Iblis.

Malahan apabila didatangi Jibril di Gua Hira’ pada kali yang pertama, Rasulullah sa.w tidak mengenalinya dan Baginda s.a.w menyangkanya syaitan! Keadaan ini telah menyebabkan Baginda s.a.w tergesa-gesa pulang ke rumah dengan seluruh tubuh badannya menggeletar sambil meminta isterinya Sayyidatina Khadijah r.a. menyelimutkannya sambil menyatakan kebimbangannya terhadap kemungkinan sesuatu yang buruk bakal menimpa dirinya.

Baginda s.a.w menyangka malaikat Jibril yang mendatanginya di Gua Hira’ itu sebagai syaitan yang merasuk kahin-kahin) tukang nujum) dan tukang-tukang sihir. Andainya Jibril a.s. itu makhluk yang diciptakan dari nur Rasulullah s.a.w seperti yang didakwakan oleh golongan bertasawwuf itu, maka tentulah Rasulullah s.a.w akan mengalu-alukan kedatangannya kerana Jibril diciptakan dari nur Baginda s.a.w sendiri! Dan tentulah Baginda s.a.w tidak merasa takut dan gementar ketika itu.


Golongan Filosof

Penulis percaya, sesiapa yang menatapi riwayat hidup Rasulullah s.a.w dan kuat berpegang kepada akidah Islam yang diajarkan oleh Baginda s.a.w tidak akan mudah terpengaruh dengan kepercayaan karut golongan bertasawwuf mengenai diri Rasulullah s.a.w. Sebenarnya golongan bertasawwuf itu lebih berupa golongan filosof yang percayakan kekarutan-kekarutan dan dongengan-dongengan Greek purba. Mereka telah mengenepikan ajaran Islam dan akal fikiran yang sihat. Mereka telah memperkenalkan kepada umat Islam khurafat-khurafat dan perkara–perkara yang karut marut dengan cara menyelitkannya di celah-celah ajaran Islam yang suci murni itu. Mereka telah berjaya menyebarkan aqidah Hakikat Muhammadiah yang bathil sesat itu dengan menggunakan hadits-hadits maudhu’ atau palsu sebagai bukti dakwaan mereka. Di antara hadits-hadits maudhu’ itu yang berbunyi: “كنت أول النبيين في الخلق وأخرهم في البعث” Ertinya: “Aku ialah pertama-tama Nabi diciptakan, dan yang terakhirnya diutus.” Hadits ini telah disebutkan oleh as-Syaukani di dalam bukunya “الأحاديث الموضوعة” (hadits-hadits palsu). Sepotong hadits lagi yang menjadi hujjah golongan bertasawwuf itu ialah yang berbunyi:

"كنت نبيا وأدم بين الروح والجسد” Ertinya: ““Ertinya: “Aku telah menjadi Nabi ketika Adam berada di antara ruh dan jasad.” Menurut as-Son’aani dan Ibnu Taimiyyah, hadits ini juga hadits maudhu’. Jika diandaikan hadits ini bukan hadits maudhu’, maka itupun tidak boleh dianggap sebagai hujjah kerana maksudnya ialah Allah telah mentakdirkan Muhammad s.a.w menjadi Nabi keika Adam diciptakan.

Pendek kata, apa yang disebutkan oleh golongan tasawwuf falsafah itu mengenai Hakikat Muhammadiah hanyalah berupa khurafat dan khayalan para filosof dan kahin. Ianya tiada sebarang kaitan dengan agama Islam.

Dari Buku “الفكر الصوفى في الكتاب والسنة” Oleh Abdurrahman Abdul Khaliq Yusuf.



Bab 11: Nabi Khaidhir A.S Dalam Konsep Tasawwuf

Cerita mengenai Nabi Khaidhir a.s yang tercatat di dalam al-Quran dan yang tersebut di dalam as-Sunnah seperti yang tertera di dalam Sahih al-Bukhari dan lain-lainnya, telah diselewengkan pengertiannya dan tujuannya oleh golongan bertasawwuf. Mereka menjadikannya salah satu tiang seri akidah tasawwuf dan sebagai bukti adanya syariat yang zahir dan hakikat tasawwuf yang tersembunyi yang berlainan daripada yang zahir itu. Mereka menganggapkan penolakan ulama’ syariat terhdap ulama’-ulama’ hakikat sebagai suatu perkara yang aneh (Nabi Musa membantah perbuatan Nabi Khaidhir, sedangkan masing-masing berpegang kepada syariat-syariat yang berlainan!) Golongan bertasawwuf telah menjadikan Nabi Khaidhir a.s sebagai sumber wahyu, ilham, akidah dan syariat. Segolongan besar daripada mereka mendakwa menemui Nabi Khaidhir a.s dan memperolehi darinya ilmu yang mereka sendiri cipta!!

Cerita Nabi Khaidhir a.s di dalam surah al-Kahfi terdapat pada ayat 60 hingga ayat 82. Menurut ceritanya, Nabi Musa telah menyatakan kepada budak yang menemaninya bahawa beliau tidak akan berhenti berjalan sehingga tiba di tempat pertemuan dua laut. Setelah jauh berjalan dan merasa letih, Nabi Musa a.s pun meminta budak itu mengeluarkan makanan. Tetapi budak itu menjawab yang dia terlupa memberitahu Nabi Mua a.s bahawa ikan mereka telah melompat dari bakul dan terjun ke dalam laut di tempat pertemuan dua laut yang telah mereka lewati. Budak itu menyatakan syaitanlah yang telah menyebabkannya terlupa memberitahu hal tersebut kepada Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s pun mengatakan itulah tempat yang mereka cari. Maka mereka pun berpatah balik menuju ke tempat itu di mana mereka bertemu dengan Nabi Khaidhir a.s………dan seterusnya hingga ke akhir ayat 82.

Di dalam Sahih al-Bukhari terdapat dua riwayat utama yang menyebutkan pertemuan di antara Nabi Musa a.s dengan nabi Khaidhir a.s ini;

Dari Abu Syihab bahawa Ubaidillah bin Abdullah memberitahu dari Ibnu Abbas bahawa dia dan al-Hurru bin Qais al-Ghazari telah bertikai mengenai rakan Nabi Musa a.s. Ibnu abbas berkata: “Dia adalah Nabi Khaidhir.” Sedang mereka bertikai itu, tiba-tiba lalu di hadapan mereka Ubai bin Kaab. Ibnu Abbas memanggilnya dan memberitahu: “Kami berdua sedang pertikaikan mengenai rakan Nabi Musa a.s yang beliau mencari jalan untuk menemuinya. Adakah engkau mendengar Rasulullah s.a.w menyebut tentangnya?” Ubai bin Ka’ab menjawab: “Ya, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Ketika Musa berada di tengah-tengah kumpulan Bani Israil, seorang lelaki menemuinya dan bertanya: “Tahukah engkau seorang yang lebih berilmu daripadamu?” Jawab Musa: “Tak tahu!” Maka Allah pun mewahyukan kepada Musa: “Bahkan dia ialah hamba kami al-Khaidhir.” Lalu Musa bermohon agar ditunjukkan jalan untuk menemuinya. Allah menjadikan ikan sebagai tanda serta dikatakan kepada Musa, andainya ikan itu hilang maka kembalilah ke tempat ia hilang nescaya beliau akan menemui al-Khaidhir. Musa pun menjejaki tempat di mana ikannya terjun ke dalam laut. Budak yang menemani Nabi Musa a.s telah berkata kepadanya: “Ingat tak semasa kita berada di atas batu besar tadi? Aku lupa memberitahu, ikan itu melompat terjun ke dalam laut di situ, dan tiada yang melupakanku melainkan syaitan.” Musa pun berkata: “Itulah tempat yang kita cari.” Kedua-dua mereka pun kembali berjalan ke tempat itu sambil bercerita, dan mereka pun menemui al-Khaidhir. Mengenai merekalah yang diceritakan Allah dalam kitabnya itu."

Ali bin Abdullah memberitahu bahawa dia diberitahu oleh Sufyan, katanya: “Kami diceritakan oleh Umar bin Dinar yang berkata: “Aku telah diberitahu oleh Sa’id bin Jubair yang berkata: “Aku telah berkata kepada Ibnu Abbas bahawa Nauf al-Bukali mendakwa Musa rakan al-Khaidhir bukanlah Musa Bani Israil, tetapi Musa yang lain.” Ibnu Abbas lalu menjawab: “Musuh Allah telah berdusta. Kami telah diberitahu oleh Ubai bin Ka’ab dari Nabi s.a.w bahawa Musa telah bangun berucap kepada Bani Israil lalu ditanya: “Siapakah manusia yang paling berilmu? Musa menjawab: “Aku.” Lalu Allah mencelanya kerana tidak mengatakan Allah lebih mengetahui tentangnya serta berfirman kepadanya: “Bahkan aku ada seorang hamba di tempat pertemuan dua laut yang lebih berilmu darimu!” Musa pun berkata: “Wahai Tuhanku bagaimanakah aku boleh menemuinya?” Allah berfirman: “Engkau bawalah seekor ikan di dalam bakul, di mana ikan itu hilang, di situlah dia berada.” Musa pun membawa seekor ikan di dalam bakul dan berjalan bersama-sama budaknya Yusya’ bin Nun, sehingga tiba ke sebuah batu besar dan menyandarkan kepala mereka kepadanya. Musa telah tertidur dan ikan itu bergerak dan melompat keluar dari bakul dan terjatuh ke dalam laut serta meluncur berenang. Tetapi Allah menahannya mengikuti arus air menyebabkannya terapung seperti pelampung. Kedua-dua mereka kemudiannya meneruskan perjalanan sepanjang hari dan malam. Pada keesokan hari, Nabi Musa meminta budaknya mengeluarkan makanan kerana mereka lapar setelah berjalan jauh. Tetapi budak itu menjawab: “Ingatkah tuan ketika berada di batu besar? Ikan itu melompat keluar dari bakul dan saya terlupa memberitahu tuan, dan tidak ada yang melupakan saya melainkan syaitan. Ikan itu telah menuju ke laut dengan cara yang aneh!” Musa pun berkata: “Itulah tempat yang kita cari.” Lalu kedua-duanya berpatah balik sambil bercerita, hinggalah sampai ke batu besar tadi. Tiba-tiba di situ ada seorang lelaki yang berpakaian labuh. Nabi Musa memberi salam kepadanya, dan lelaki itu menjawabnya dan berkata: “Dari bumi mana salam mu itu?” Nabi Musa pun menjawab: “Aku Musa.” Lelaki itu bertanya: “Musa Bani Israil?” Nabi Musa menjawab: “Ya. Aku mengunjungimu agar engkau mengajar ilmu yang betul yang telah diajarkan kepadamu.” Lelaki itu berkata: “Wahai Musa! Sesungguhnya aku mengetahui dari ilmu Allah yang diajarkannya kepadaku yang engkau tidak mengetahuinya. Dan engkau mengetahui dari ilmu Allah yang diajarkannya yang aku tidak mengetahuinya!” Nabi Musa lalu bertanya: “Bolehkah aku mengikutimu?” Lelaki itu menjawab: “Engkau tidak akan dapat bersabar. Bagaimanakah engkau boleh bersabar melihat sesuatu yang engkau tidak tahu menahu tentangnya?” Nabi Musa berkata: “Insya-Allah engkau akan mendapatiku bersabar dan aku tidak akan membantah.” Lelaki itu berkata: “Jika engkau mengikutku, janganlah engkau tanyakan kepadaku tentang apa-apa pun sehingga aku terangkan kepadamu sebabnya.” Lalu kedua-duanya pun berjalan ke pantai dan menemui sebuah perahu. Mereka meminta orang-orang di perahu itu membawa mereka bersama-sama. Orang-orang itu kenal akan al-Khaidhir dan bersetuju membawa mereka tanpa upah. Apabila kedua-dua mereka berada di atas perahu itu, datang seekor burung dan bertenggek di tepi perahu itu sambil mematuk air laut sekali atau dua kali. Al-Khaidhir pun berkata: “Wahai Musa! Ilmuku dan ilmumu tidak mengurangkan ilmu Allah sedikit pun sama seperti burung itu tidak mengurangkan air laut dengan patukan muncungnya!” Ketika itu al-Khaidhir mengambil sebilah kapak dan mengopak sekeping papan perahu tersebut. Musa pun bertanya: “Apakah yang engkau lakukan? Orang itu menumpangkan kita dengan percuma, tetapi engkau merosakkan perahu mereka supaya mereka tenggelam lemas. Engkau telah melakukan sesuatu yang merbahaya!” Al-Khaidhir menjawab: “Bukankah sudahku katakan engkau tidak akan dapat bersabar bersama-samaku?” Musa pun berkata: “Janganlah engkau menyalahkanku kerana suatu yang aku lupa dan janganlah menyusahkan aku dengan sesuatu yang sukar!” Setelah mendarat mereka temui pula seorang anak muda yang sedang bermain-main dengan kanak-kanak. Al-Khaidhir lalu memegang leher anak muda itu dan memulas begini…(Sufyan menunjukkan dengan jarinya seolah-olah memetik sesuatu). Nabi Musa berkata: “Patutkah engkau membunuh seorang yang tidak berdosa? Sesungguhnya engkau telah melakukan sesuatu yang mungkar.” Al-Khaidhir menjawab: “Bukankah sudah aku kata, engkau tidak akan dapat bersabar bersama-samaku?” Musa berkata: “Andainya aku menyatakan sesuatu lagi selepas ini, maka janganlah engkau berkawan lagi denganku. Sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan dariku.” Kedua-duanya pun meneruskan perjalanan mereka hingga tiba di sebuah kampung. Mereka meminta penduduknya memberi mereka makanan, tetapi orang-orang kampung itu menolak permintaan mereka. Kemudian kedua-duanya mendapati sebuah dinding condong yang hampir roboh, al-Khaidhir lalu menahannya dengan tangannya begini…….(Sufyan memberi isyarat seolah-olah menyapu sesuatu dari bawah ke atas). Musa pun berkata: “Kaum ini kita datangi dan mereka tidak memberi kita makanan dan tidak juga menjadikan kita sebagai tetamu, tetapi engkau menyandarkan diri ke dinding mereka yang condong, agar ia tidak runtuh. Sedangkan kalau engkau mahu, engkau boleh meminta upah dari mereka kerana pertolongan itu.” Al-Khaidhir berkata: “Inilah bandingan antara aku dengan engkau. Sekarang aku akan memberitahumu pengertian yang tersembunyi dari perbuatan-perbuatanku yang engkau tidak dapat bersabar melihatnya itu…."


Faktor- Faktor Penting

Di sana terdapat beberapa faktor penting di dalam cerita pertemuan Nabi Musa a.s dengan Nabi Khaidhir a.s seperti yang disebutkan oleh al-Quran dan yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari. Faktor-faktor tersebut ialah:

Allah s.w.t mahu mengajar Nabi Musa a.s yang mengaku dirinya paling berilmu di atas bumi. Sepatutnya beliau mengatakan Allah itulah yang Maha Mengetahui tentang segala-galanya. Allah s.w.t menyatakan kepadanya bahawa di sana ada seorang hamba Allah yang tidak dikenali Nabi Musa a.s dengan yang memperolehi ilmu dari Allah yang tidak diketahui oleh Nabi Musa a.s. Inilah punca pertemuan di antara Nabi Musa a.s dengan Nabi Khaidhir a.s.

Setelah bertemu, Nabi Musa a.s diberitahu oleh Nabi Khaidhir a.s bahawa ilmu kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang erti dibandingkan dengan ilmu Allah, dan ilmu-ilmu mereka tidak sedikitpun mengurangkan ilmu Allah sama seperti air laut yang tidak kurang sedikitpun kerana diminum burung.

Syariat yang dianuti oleh Nabi Khaidhir a.s pada hakikatnya tidak berbeza dari syariat yang dibawakan oleh Nabi Musa a.s. Hanya yang tidak diketahui oleh Nabi Musa a.s ialah dorongan di sebalik perbuatan-perbuatan Nabi Kahidhir a.s. yang kelihatan ganjil itu. Kerana itulah apabila Nabi Khaidhir a.s. menerangkan sebab-sebab yang mendorongnya merosakkan perahu, membunuh seorang anak muda dan menegakkan dinding yang hampir roboh, Nabi Musa tidak membantah sedikitpun kerana semua alasan itu dibenarkan oleh syariat yang dibawanya. Merosakkan sebahagian harta benda dan menyelamatkan sebahagian yang lain adalah diharuskan. Umpamanya anda mewakilkan seseorang menjaga harta anda, kemudian datang perompak untuk menyamun semua harta itu, manakala orang yang anda wakilkan supaya menjaganya tidak mempunyai jalan mempertahankannya selain menyerahkan sebahagian harta itu agar tidak disamun seluruhnya. Maka perbuatan itu tidak dianggap salah dari segi syarak dan orang itu tidak dikecam bahkan perbuatannya dianggap bijak dan betul. Apa yang dilakukan oleh Nabi Khaidhir a.s terhadap perahu tersebut tidak melebihi daripada itu. Beliau telah merosakan sebahagian perahu itu agar kelihatan kepada pembantu-pembantu raja yang kejam bahawa perahu tersebut tidak sesuai untuk digunakan dan seterusnya ditinggalkan. Dengan demikian terselamatlah perahu itu dari dirampas. Tidak syak lagi perbuatan Nabi Khaidhir a.s itu merupakan suatu kebaikan kepada tuan punya perahu kerana Allah memperlihatkan kepadanya apa yang berlaku kelak, iaitu raja yang zalim itu akan merampas perahu-perahu yang baik keadaannya.

Pembunuhan ke atas anak muda itu juga tidak bertentangan dengan syariat, kerana anak muda itu akan menjadi seorang penganiaya kepada kedua ibubapanya yang mukmin dan memaksa kedua-duanya supaya menjadi kafir. Inilah yang telah diperlihatkan Allah kepada Nabi Khaidhir a.s. Oleh itu pembunuhan terlebih dahulu ke atas anak muda itu diharuskan, kerana syariat mengizinkannya, walaupun syariat tidak menyuruh penjahat dibunuh kecuali apabila dia telah menceroboh dan bertindak ganas. Anak muda itu tidak melakukan sebarang pencerobohan pada ketika itu, tetapi pembunuhan ke atasnya dilakukan atas perintah Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui akan apa yang telah berlaku dan yang akan berlaku. Perintah Allah ini merupakan suatu rahmat dariNya ke atas dua orang hambaNya yang soleh yang tidak mahu didedahkan kepada angkara anak mereka yang menderhaka itu sehingga mereka mengalami dua kepiluan. Pertama pilu kerana anak mereka menderhaka kepada mereka, dan pilu yang kedua ialah kerana kemungkinan mereka menjadi kafir dengan paksaan si anak. Tetapi Allah menghimpun kedua-dua kepiluan itu menjadikannya satu kepiluan sahaja iaitulah kehilangan anak tersebut. Ini merupakan satu kebaikan kepada kedua ibubapa itu. Tidak syak lagi kesabaran kedua-duanya terhadap kehilangan anak mereka juga merupakan sesuatu yang baik bagi mereka. Allah Maha Mengetahui akan hal tersebut dan menyampaikannya kepada Nabi Khaidhir a.s yang kemudiannya telah melaksanakan perintah Allah itu. Semua ini selaras dengan syariat yang dibawakan oleh Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad s.a.w dan syariat para anbiya’ a.s seluruhnya. Kerana itulah apabila ditanyakan kepada Ibnu Abbas mengenai perkara ini;” Haruskah anak-anak dibunuh?", beliau menjawab: “Jika anda tahu sebagaimana diketahui oleh Nabi Khaidhir, maka lakukanlah!” Ini bererti perbuatan demikian diharuskan oleh syarak. Tetapi siapakah manusia yang diperlihatkan oleh Allah perkara-perkara ghaib sepertimana yang diperlihatkan kepada Nabi Khaidhir a.s?

Menegakkan dinding yang hampir runtuh di sebuah kampung kepunyaan kaum yang kedekut yang enggan memberi makanan dan layanan yang sepatutnya kepada tetamu adalah suatu tindakan berbudi kepada yang tidak berbudi. Ini ialah satu daripada akhlak yang dianjurkan oleh syariat Islam, Masihi dan Yahudi. Di dalam al-Quran terdapat firman Allah:

ولا تستوى الحسنة ولا السيئة، ادفع بالتى هى احسن فاذا الذى بينك وببينه عداوة كانه ولى حميم

Maksudnya lebih kurang: “Tidak sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah kejahatan dengan cara yang sebaik-baik. Apabila engkau berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah teman yang rapat."

Di dalam Injil ada tersebut perkataan: “Perlakukan kebaikan kepada sesiapa yang menyakitimu dan berkatilah orang-orang yang mengutukmu.” Allah telah berfirman menceritakan kata-kata Nabi Musa a.s kepada kaumnya: “للناس حسنا وقولوا” Maksudnya lebih kurang: “Dan katakanlah kamu kepada manusia perkataan yang baik."

Perbuatan Nabi Khaidhir itu ialah perbuatan ihsan kepada suatu kaum yang bersikap buruk terhadapnya. Dinding yang diselamatkan ialah dinding rumah dua orang anak yatim yang bapa mereka adalah seorang lelaki yang soleh. Mereka tinggal di sebuah kampung yang penduduknya kejam lagi kedekut. Andainya dinding rumah mereka roboh, nescaya terbongkarlah harta yang tersembunyi di bawahnya. Dan sudah tentu ia akan menjadi rebutan penduduk kampung yang kedekut itu, menyebabkan kedua-dua anak yatim tersebut tidak dapat mewarisinya. Tindakan Nabi Khaidhir a.s menegakkan dinding itu sememangnya disuruh oleh syariat, yang dibawakan oleh para anbiya’ a.s yang menganjurkan supaya kebaikan, ihsan dan perlindungan diberikan kepada anak-anak yatim dan hak-hak mereka dipelihara dengan baik.

Tindakan Nabi Khaidhir a.s itu tidak sepatutnya menimbulkan kehairanan kepda sesiapa. Hakikat yang diperlihatkan kepada Nabi Khaidhir a.s yang tindakan zahirnya kelihatan bertentangan dengan syariat Nabi Musa a.s sebenarnya adalah selaras dengan syariat itu, begitu juga selaras dengan syariat yang dibawakan oleh Nabi Muhammad s.a.w, bahkan selaras dengan semua syariat Allah yang diturunkan kepada para rasul dan nabi. Perkara ini perlu difahami dengan sebaik-baiknya.

Pegangan Nabi Khaidhir kepada bukan syariat Nabi Musa a.s adalah sesuatu yang harus kerana ia merupakan satu daripada sunnah-sunnah atau undang-undang Allah sebelum perutusan Nabi Muhammad s.a.w. Setiap nabi pada masa itu diutus khusus untuk kaumnya sahaja. Nabi Musa a.s merupakan rasul bagi Bani Israil, bukan sebagai pesuruh Allah untuk penduduk alam sejagat. Kerana itulah apabila Nabi Musa a.s memberi salam kepadanya, lantas Nabi Khaidhir a.s bertanya: “Dari bumimu yang mana engkau membawa salam?” Nabi Musa a.s menjawab: “Aku ini Musa.” Nabi Khaidhir a.s pun bertanya: “Musa Bani Israil?” Maksudnya: Engkau diutus kepada Bani Israil dan engkau dari kalangan mereka? Nabi Musa menjawab: “Ya.” Ini menunjukkan syariat Nabi Musa a.s tidak wajib dipegang oleh Nabi Khaidhir a.s dan tidak juga manusia-manusia lain pada zaman itu. Adapun selepas perutusan Nabi Muhammad s.a.w, maka menurut syarak, tidak sepatutnya ada sesiapa yang keluar dari syariat yang dibawakannya, kerana Baginda s.a.w adalah pesuruh Allah kepada seluruh alam jagat hingga ke akhir zaman. Nabi Khaidhir atau sesiapa jua pun yang hidup pada zaman Nabi Muhammad s.a.w atau selepas zamannya, mesti beriman kepadanya dan mesti mematuhi segala ajaran agama Allah yang dibawakannya. Kerana itulah selepas perutusan Nabi Muhammad s.a.w, Nabi Khaidhir atau sesiapa yang seumpamanya tidak wujud sama sekali.

Tindakan-tindakan Nabi Khaidhir a.s adalah hasil wahyu sebenar dari Allah s.w.t, bukan cuma khayalan atau ilham. Ini ialah kerana pembunuhan ke atas seseorang tidak boleh dilakukan sewenang-wenang kerana sangkaan buruk. Sebab itulah Nabi Khaidhir a.s berkata: “Apa yang telah aku lakukan itu bukan kehendakku sendiri.” Ini bererti beliau hanyalah menjalankan perintah Allah yang sebenar dan wahyunya yang qath’i. Perintah dan wahyunya qath’i dari Allah sudah terputus sejak kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Barang siapa mendakwa adanya lagi wahyu selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w bererti dia telah kufur, kerana dakwaannya itu bertentangan dengan keterangan al-Quran. Allah telah berfirman:

"ما كان محمد أبا أحد من رجالكم ولكن رسولالله وخاتم النبيين وكان الله بكل شيء عليما"
)سورة الأحزاب: اية 40(

Maksudnya lebih kurang: “Muhammad bukan bapa sesiapapun dari kalangan kamu, tetapi pesuruh Allah dan penamat nabi-nabi. Allah adalah Maha Mengetahui segala sesuatu."

Dari keterangan-keterangan di atas ternyata kepada kita gambaran sebenar cerita Nabi Khaidhir a.s dan iktikad yang wajib mengenainya berdasarkan keterangan al-Quran dan as-Sunnah. Tetapi golongan bertasawwuf telah menjadikan cerita ini sesuatu yang berlainan sama sekali. Mereka mendakwa, Nabi Khaidhir a.s hidup sepanjang masa! Beliau adalah tuanpunya suatu syariat dan ilmu kebatinan yang berbeza dari ilmu-ilmu syariat yang zahir! Beliau seorang wali dan bukan nabi! Manakala ilmunya ialah “ilmu ladunni” yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya tanpa melalui wahyu yang diterima para anbiya’! Ilmu-ilmu ini diturun kepada semua para wali sepanjang masa sebelum dan selepas perutusan Nabi Muhammad s.a.w! Menurut mereka, ilmu ladunni dan kebatinan ini lebih besar dan lebih agung daripada ilmu-ilmu yang ada kepada para anbiya’! Bahkan ilmu-ilmu para anbiya’ itu tidak dapat menandinginya dan tidak setaraf dengannya! Oleh kerana Khaidhir itu seorang wali dan bukan nabi, maka dia adalah lebih berilmu dari Nabi Musa a.s! Begitu jugalah halnya dengan para auliya’ dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w; mereka lebih berilmu daripada Nabi Muhammad s.a.w sendiri kerana Nabi Muhammad s.a.w mengetahui syariat-syariat yang zahir sahaja. Sementara wali mengetahui hakikat tasawwuf yang batin! Para ulama’ hakikat adalah lebih berilmu daripada para ulama’ syariat! Demikian dakwaan mereka.

Golongan bertasawwuf itu juga mendakwa al-Khaidir telah bertemu dengan para wali dan mengajar mereka tentang hakikat-hakikat tasawwuf dan mengikat mereka dengan perjanjian-perjanjian sufi!! Hakikat-hakikat tasawwuf berlainan daripada hakikat-hakikat syariat yang dibawakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Kerana itulah setiap wali mempunyai syariatnya tersendiri!! Apa yang dianggap maksiat menurut syariat seperti minum khamar, berzina dan liwat, maka ia adalah hakikat tasawwuf dan taqarrub kepada Allah menurut ilmu kebatinan! Begitu juga berhubung dengan akidah dan persoalan-persoalan kebatinan; masing-masing wali ada kasyafnya yang khusus mengenai perkara-perkara tersebut yang berbeza dari wahyu nabawi!!

Demikianlah golongan bertasawwuf menjadikan kisah Nabi Khaidhir a.s ruang yang luas untuk memasukkan segala jenis kekarutan, kezindikan, kejahilan dan pembohongan. Kekarutan ini tiba di kemuncaknya apabila ada di antara mereka mendakwa bahawa Nabi Khaidhir a.s masih hidup dan bersolat mengikut syariat yang khusus baginya! Ada pula yang mendakwa, Nabi Khaidhir bersolat mengikut peraturan solat mazhab Hanafi! Sementara sufi yang lain mendakwa dia telah melihat Nabi Khaidhir a.s bersolat mengikut peraturan mazhab Syafi’e! Malah lebih daripada itu ada yang mendakwa Nabi Khaidhir a.s itulah yang mengajarnya zikir dan wirid tarikat-tarikat Idrisiyyah dan Sanusiyyah!!

Demikianlah Nabi Khaidhir menjadi mainan golongan bertasawwuf. Mereka tidak berpada dengan itu sahaja, malahan mereka menjadikan hampir di setiap tempat di muka bumi ini suatu sudut yang mereka dakwa Nabi Khaidhir duduk di situ atau telah dilihat oleh seorang sufi berada di situ!

Kerana itulah banyak tempat di bumi dunia Islam yang menjadi tempat lawatan atau makam di mana binatang-binatang disembelih dan kurban-kurban dipersembahkan. Kononnya Nabi Khaidhir pernah dilihat berada di tempat-tempat tersebut!

Pendeknya, kisah sebenar Nabi Khaidhir a.s di dalam al-Quran dan as-Sunnah itu telah bertukar kepada cerita-cerita dongeng dan khurafat yang mana dikatakan beliau mensyarakkan orang ramai mengadakan berbagai-bagai jenis ibadat dan qurban, mengajarkan zikir-zikir, mengadakan tarikat, tasawwuf, merestui wali-wali dan qutub-qutub, melantik dan memecat sesiapa sahaja yang dia mahu dari kalangan wali-wali itu!! Bagi golongan bertasawwuf itu, andainya anda mahu menemui Nabi Khaidhir, memadailah bagi anda membacakan sekumpulan zikir tertentu ciptaan mereka, nanti akan muncullah Nabi Khaidhir di depan anda dengan serta merta; dia akan membawa kepada anda berbagai-bagai berita gembira yang anda mahukan dan melantik anda sebagai wali serta menganugerahkan kepada anda ilmu-ilmu ladunni yang tidak diketahui oleh rasul-rasul, bahkan yang tidak terlintas di hati mereka mengenainya!!


Pencipta Cerita Al-Khidhir Tasawuf

Tokoh pertama yang mengada-adakan cerita al-Khidhir tasawwuf ialah Muhammad bin Ali bin al-Hasan al-Tirmidzi, yang terkenal dengan panggilan “al-Hakiim” di kalangan golongan bertasawwuf. Beliau hidup dan meninggal dunia pada abad ketiga Hijrah. Di dalam bukunya “Khatamul Wilayat” (Penamat Kewalian), iaitu buku tasawwuf yang dianggap paling bahaya, beliau telah menjawab pertanyaan-pertanyaan mengenai tanda-tanda para wali dengan menyebut bahawa Nabi Khidhir a.s. sendiri yang menyelia urusan-urusan para wali sejak mula kejadian lagi, mengenali mereka sejak takdir dituliskan dan suka menemui mereka. Untuk hal-hal seperti inilah maka beliau dihidupkan sehingga ke zaman umat Nabi Muhammad s.a.w! Nabi Khidhir a.s. telah ada sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. dan ada pada zaman Zul Qarnain yang telah berjuang dan mengembara untuk mencari mata air hayat yang barang siapa meminumnya ia tidak akan mati untuk selama-lamanya! Zul Qarnain gagal menemuinya, tetapi sebaliknya Nabi Khidhir a.s. yang bersama –sama berjuang dengannya berjaya menemuinya, dan kerana itulah ia hidup untuk selama-lamanya!! (Khatamul Wilayat, Halaman 326)

Cerita ini jelas diada-adakan. Ianya suatu khurafat, suatu kejahilan dan dongengan yang disalin dari khurafat dan dongengan Yahudi yang mengatakan Nabi Adam a.s. ketika diciptakan Allah di surga telah memakan buah pohon Makrifat, lalu ia menjadi seperti Allah yang mengetahui segala kebaikan dan kejahatan. Kemudian Allah takut dia memakan buah dari pohon hayat yang boleh menyebabkan hidup selama-lamanya dan tidak mati, lalu Allah menghalaunya dari syurga! (Kitab Taurat al-Ashah Ketiga).

Dari jenis-jenis dogengan Yahudi ini, Muhammad bin Ali al-Tirmidzi telah menggubah cerita mengenai Nabi Khidhir a.s. yang kemudiannya dikutip oleh golongan bertasawwuf dengan menambahkan kepadanya apa saja yang mereka mahu! Yang pentingnya di sini ialah dakwaan bahawa Nabi Khidhir a.s. hidup selama-lama dan turut berjuang bersama-sama dengan Zul Qarnain!! Kita tidak tahu di mana Nabi Khidhir a.s. berada selama ia masih hidup mencari rezeki hingga ke akhir hayat. Adakah Nabi Khidhir a.s. telah menyaksikan peperangan- peperangan Badar, Uhud, Khandaq dan peperangan-peperangan jihad yang lain? Mengapakah dia tidak menyertai dalam penaklukan kota Qadisiah dan Yarmuk? Mengapakah dia tidak bertemu dengan Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq dan Sayyidina Umar bin al-Khatab? Mengapakah dia tidak bertemu dengan Rasulullah s.a.w. andainya dikatakan dia hidup selama-lama dan meninjau segala hal – ehwal wali-wali sejak mula kejadian lagi? Bahkan mengapakah dia hanya bertemu dengan para pendusta sesat seperti Muhammad bin Ali al-Tirmidzi yang mendakwa isterinya telah didatangi wahyu dan memberitahunya dia akan menjadi penamat wali- wali sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w menjadi penamat nabi-nabi!! Muhammad bin Ali al-Tirmidzi ini juga mendakwa wali-wali berkuasa menggulung bumi, berjalan di atas air dan berwawancara dengan Nabi Khidhir a.s. yang dia dakwa seluruh bumi, darat, laut, lembah dan gunung-ganang melipatkan diri bagi memudahkan Nabi Khidhir a.s. menjadi wali yang dia sangat rindukan!! (Khatamul Wilayat, Halaman 361).

Sejak tersebar cerita Nabi Khidhir a.s. ciptaan Muhammad bin Ali al-Tirmidzi dengan segala pendustaan dan kepalsuannya ini, golongan bertasawwuf telah menokok tambah pada cerita tersebut dengan berbagai-bagai lagi khurafat dan kekarutan yang telah mempengaruhi akal fikiran orang ramai yang alpa dengan keterangan –keterangan al-Qur'an dan as-Sunnah.



Nabi Khidhir A.S. Bermazhab Syafie

Di antara cerita-cerita paling aneh mengenai Nabi Khidhir a.s. ialah yang disebutkan oleh Ahmad al-Faruqi as-Sarhindi di dalam bukunya “al-Muntakhabat Min al-Maktubat". Ahmad al-Faruqi mendakwa, beliau telah melihat Nabi Khidhir a.s. dan Nabi Ilyas a.s. di dalam suatu kelas pengajian, dan Nabi Khidhir a.s. memberitahunya bahawa kedua-dua mereka datang dari alam arwah dan mereka menjelma di dalam berbagai bentuk mengikut yang mereka mahu dan as-Sarhindi telah bertanya kepada Nabi Khidhir a.s: “Adakah kamu bersolat mengikut mazhab Syafie?” Nabi Khidhir a.s. menjawab: “Kami tidak ditaklifkan dengan syariah- syariah!! Tetapi oleh kerana Qutub al-Zaman itu bermazhab Syafie, kami telah bersolat berimamkannya mengikut mazhab Syafie.” Berdasar kepada jawapan ini, Ahmad al- Faruqi as-Sarhindi mengumumkan bahawa kesempurnaan kewalian dikhususkan mengikut mazhab Syafie. Adapun kesempurnaan kenabian, maka ia adalah dari keistimewaan mazhab Hanafi!! Kerana itulah apabila Nabi Isa bin Mariam a.s. turun kelak, ia bersolat dan beramal mengikut mazhab Hanafi! (al-Muntakhabat al- Maktubat, halaman 19, Cetakan Turki).


Nabi Khidhir A.S. Bermazhab Hanafi.

Ternyata Ahmad al-Faruki al- Sarindi yang bergelar “alim rabbani” di kalangan golongan bertasawwuf melalui kasyafnya yang merendahkan martabat mazhab Syafie dan meninggikan martabat mazhab Hanafi dengan mengatakan mazhab Syafie untuk para auliya' dan mazhab Hanafi untuk para anbia' itu, tidak mengetahui kasyaf al- Sya'rani yang mendakwa bahawa Nabi Khidhir a.s. bermazhab Hanafi, bukan bermazhab Syafie! Menurut al-Sya' rani, Nabi Khidhir a.s. telah menghadiri kuliah fekah Imam Abu Hanifah pada setiap hari selepas solat Subuh dan mempelajari syariah darinya. Apabila Abu Hanifah meninggal dunia, Nabi Khidhir a.s. telah memohon kepada tuhan supaya dikembalikan roh Abu Hanifah ke kuburnya agar ia dapat meneruskan pengajian dalam ilmu syariah. Nabi Khidhir a.s. datang menemui Abu Hanifah di kuburnya seperti biasa pada setiap hari dan belajar ilmu syariah darinya. Keadaan demikian berlangsung selama lima belas tahun sehingga sempurna pengajian!! (Maarij al- Albab, halaman 44).

Anda pembaca bolehlah melihat betapa palsu dan dustanya cerita-cerita ini! Mengapakah Nabi Khidhir a.s. yang mereka dakwakan hidup pada zaman Rasulullah tidak mempelajari ilmu syariah dari Baginda s.a.w? Mengapakah ia tidak menjadi murid kepada para Khulafah Rasyidin pada hal para Khulafah Rasyidin itu merupakan manusia yang paling alim dalam ilmu syariah? Imam Abu Hanifah sendiri pernah berkata: “Ketepikan kata-kataku dan utamakan kata-kata para sahabat Rasulullah s.a.w. kerana mereka lebih mengetahui tentang ilmu Tanzil al-Qur'an.” Andainya Imam Abu Hanifah sendiri telah menyuruh kita mengetepikan kata-katanya dan mengutamakan kata-kata para sahabat Rasulullah s.a.w, maka bagaimanakah Nabi Khidhir a.s. dakwaan golongan bertasawwuf itu boleh mengetepikan pengajian ilmu syariah dari Rasulullah s.a.w. dan dari para sahabatnya, tetapi sebaliknya terus hidup menanti kemunculan Imam Abu Hanifah untuk mempelajari ilmu syariah darinya? Adakah Khidhir tasawwuf yang mereka dakwakan itu seorang murid yang bebal hingga menyebabkannya berguru kepada Imam Abu Hanifah sepanjang hayatnya, tanpa dapat menguasai keseluruhan ilmu syariah, sehingga terpaksa pula bermohon kepada Allah agar diteruskan Abu Hanifah hidup di dalam kuburnya supaya ia dapat menyempurnakan pengajian dengan berulang -alik ke kuburnya selama lima belas tahun lagi?!! Kemudian bagaimanakah al-Khidhir yang mereka dakwakan seperti ini boleh membekali para aulia' dengan ilmu pengetahuan dan menjadikan guru mereka sedangkan ia sendiri bebal dan kurang hafalan?

Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan cerita al-Khidhir tasawwuf ini tidak menyedari kenyataan-kenyataan ini, kerana mereka tidak mempunyai akal yang sihat. Imam Syafie rahimahullah pernah berkata: “Seseorang yang bertasawwuf pada awal siang akan menjadi angkuh pada akhir siang.” Katanya lagi: “Seseorang yang menemani orang sufi selama empat puluh hari tidak akan berakal untuk selama-lama.”

Lebih aneh lagi, khurafat–khurafat dan kekarutan-kekarutan seperti ini masih wujud dan tersebar luas hingga ke hari ini. Di antaranya ialah yang terdapat di dalam buku “Ad- Darr al- Mukhtar” (Mutiara Pilihan) di mana penyusunnya, al- Hasfiki al-Hanafi, mendakwa bahawa al-Khidhir telah meletakkan kertas–kertas ajaran mazhab Hanafi di Sungai Jimun (terletak di Asia Tengah) sehingga waktu turunnya Nabi Isa a.s. yang akan mengambil kertas-kertas tersebut dan mempelajari mazhab Hanafi darinya dan beliau akan memerintah dengan hukum-hukumnya pada akhir zaman!!.


Al-Khaidhir Mengajar Zikir Tasawuf

Al-Khaidhir tasawuf yang didakwakan itu hampir berada di semua sudut tasawuf. Dialah ampunya kasyaf! Dialah penghulu wali! Dialah penerima segala perjanjian! Dialah mursyid sekalian makhluk dan dialah guru segala zikir!! Ahmad bin Idris berkata, “Aku telah bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w. dalam sebuah pertemuan bayangan dan bersama-sama Nabi Khidhir a.s. Lalu Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh al-Khaidhir a.s. mengajarkanku zikir-zikir tarekat Syaziliah. Dia pun mengajarkanku dengan kehadiran Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. berkata kepada al-Khaidhir a.s: “Wahai al-Khaidhir! Ajarkanlah kepadanya yang mengandungi kebaikan semua zikir, solawat dan istighfar serta lebih utama pahalanya!!” (Mafatihu Kunuz as-Samawat Wa al-Ardha - oleh Soleh Muhammad al-Ja'fari, halaman: 8)

Patut disebutkan bahawa zikir-zikir tarekat Syaziliah mengandungi pengertian-pengertian yang boleh membawa kepada kesyirikan dan kekufuran. Di antara zikir-zikirnya ialah selawat Ibnu Masyisy yang berbunyi: “اللهم انشلن من اوحال التوحيد وأغرقني في عين بحر الوحدة
Ertinya: Ya Allah! Tariklah aku keluar dari lopak-lopak ketauhidan dan tenggelamkanlah aku di dalam mata air lautan kesatuan wujud!.

Di dalam selawat itu juga disebutkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. asal segala kewujudan dan makhluk yang pertama sekali di dalam kewujudan dan darinya terpancar semua nur dan lahir semua yang wujud!!

Yang pentingnya al-Khaidhir tasawuf itu bukan Nabi Khidhir a.s. yang disebutkan Allah di dalam al-Qur'an al-Karim dan yang terdapat keterangan di dalam as-Sunnah. Nabi Khidhir a.s. yang terdapat ceritanya di dalam al-Qur'an dan yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah seorang nabi yang mentauhidkan Allah s.w.t, seorang mukmin yang diajarkan Allah dari ilmu-Nya melalui wahyu, seorang yang hidup dan mati pada zamannya dan seorang yang membawa dan bertindak mengikut syariah dan ajaran Allah. Adapun al-Khaidhir tasawuf itu, seperti mana yang telah kita lihat, merupakan sumber khurafat, kekarutan, kejahilan dan kesyirikan. Di dalam tulisannya: “رسالة زيارة القبور واستنجاد بالمقبور” (Risalah lawatan ke kubur dan memohon pertolongan dari si mati)

Imam Ibnu Taimiyyah menegaskan: “Nabi Musa tidak kenal Nabi Khidhir a.s. dan Nabi Khidhir a.s. tidak kenal Nabi Musa a.s.. Bahkan apabila Nabi Musa a.s. memberi salam kepadanya, Nabi Khidhir a.s. segera bertanya: “Dari bumi mu yang mana salammu itu?” Nabi Musa a.s. menjawab: “Aku Musa!” Nabi Khidhir a.s. bertanya lagi: “Musa Bani Israel?” Jawab Musa: “Ya.”

Nama dan berita mengenai Nabi Musa a.s. telah tiba kepada Nabi Khidhir a.s. tetapi dia tidak mengenali orangnya. Barang siapa mengatakan Nabi Khidhir a.s. itu penghulu wali-wali dan menjadi guru mereka, maka sesungguhnya ia telah mengatakan perkara yang batil. Yang betulnya mengikut para penyelidik ialah Nabi Khidhir a.s. telah wafat dan tidak menemui agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Andainya ia ada pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. nescaya wajib baginya beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan berjihad bersama-samanya sebagaimana yang diwajibkan Allah ke atas Baginda s.a.w. dan ke atas selainnya, dan nescaya Nabi Khidhir a.s. berada di Mekah dan Madinah bersama-sama para sahabat untuk berjihad bersama-sama mereka. Membantu mereka menegakkan agama Allah adalah lebih utama baginya daripada berada bersama-sama orang-orang kafir untuk menyelamatkan perahu mereka dan menyembunyikan diri dari sebaik-baik umat manusia. Nabi Khidhir a.s. pernah berada di tengah-tengah kaum Musyrikin dan tidak tersembunyi dari mereka. Sementara itu kaum muslimin tidak berhajat kepadanya untuk mempertahankan agama Allah dan kehidupan dunia mereka. Mereka mengambil ajaran agama dari Rasulullah s.a.w yang ummi yang mengajar mereka al-Qur'an dan hikmah. Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda kepada mereka:

لو كان موسى حيا ثم اتبعتموه وتركتموني لضللتم

Ertinya: “Andainya Musa hidup, kemudian kamu mengikutinya dan meninggalkan aku, nescaya kamu menjadi sesat!"

Andainya Nabi Isa bin Maryam a.s. turun dari langit, nescaya ia akan menghukum manusia mengikut al-Qur'an dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Kaum muslimin tidak memerlukan Nabi Khidhir a.s. atau orang lain dalam perkara ini. Nabi Muhammad s.a.w. telah memberitahu mereka mengenai turunnya Nabi Isa a.s. dari langit dan kehadirannya bersama-sama kaum muslimin. Baginda s.a.w. telah bersabda:

كيف تهلك أمة أنا أولها وعيسى أخرها"

Ertinya: “Bagaimana umat boleh binasa, sedangkan aku berada di permulaannya dan Isa berada di akhirnya?"

Andainya kedua-dua nabi yang mulia ini bersama-sama dengan Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s. dan Nabi Nuh a.s. yang semuanya merupakan semulia-mulia rasul di samping Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan penghulu sekalian anak Adam dan mereka tidak menghilangkan diri dari umat manusia, samada manusia biasa atau manusia yang khawash (khas), maka bagaimana orang yang tidak semartabat dengan mereka boleh menghilangkan diri sedemikian rupa? Andainya Nabi Khidhir a.s. hidup selama-lama, mengapakah Nabi Muhammad s.a.w. tidak ada menyebutkan tentang halnya, dan tidak juga disebutkan oleh para Khulafah Rasyidin selepasnya?

Mengenai kata-kata bahawa Nabi Khidhir a.s. itu penghulu wali-wali, maka bolehlah dinyatakan kepada orang yang mengatakannya: “Siapakah yang melantiknya sebagai penghulu wali-wali?” Sebaik-baik wali ialah para sahabat Rasulullah s.a.w. dan di kalangan mereka tidak terdapat Nabi Khidhir a.s.

Kesimpulan dari cerita-cerita Nabi Khidhir a.s. ini ialah sesetengahnya dusta, sesetengah yang lain pula berdasarkan sangkaan orang umpamanya seseorang itu ternampak seorang lelaki yang disangkanya Nabi Khidhir a.s, lalu ia mengatakan orang itu Nabi Khidhir a.s, sama seperti golongan Syiah Rafidhah yang ternampak seorang yang mereka sangkakan imam yang ditunggu-tunggu lagi maksum atau mereka mendakwa demikian. Diriwayatkan dari Imam Ahmad bin Hanbal bahawa apabila disebutkan kepada beliau mengenai Nabi Khidhir a.s, beliau telah menjawab barangsiapa yang memberitahu mu mengenai perkara-perkara yang ghaib, bererti ia tidak berlaku jujur kepadamu. Tiada yang melontar perkara sedemikian kepada mulut orang melainkan syaitan.” Demikian menurut kata Ibnu Taimiyyah.



Bab 12: Darihal Kasyfu Tasawwuf

Di antara ajaran pokok agama Islam dan kaedah keimanan ialah anda mempercayai bahawa perkara-perkara ghaib itu hanya diketahui Alah Taala semata-mata dan Allah sendiri yang memperlihatkan mana-mana perkara ghaib yang dikehendaki kepada mana-mana nabi dan rasul yang dikehendakinya sahaja. Para anbiya’ dan rasul tidak mengetahui perkara ghaib kecuali mana-mana yang diberitahukan Allah kepada mereka. Allah telah berfirman kepada Rasulullah s.a.w:

قل لا املك لنفسي نفعا ولا ضرا الا ما شاء الله ولو كنت أعلم الغيب لاستكثرت من الخير وما مسني السوء إن أنا الا نذير وبشير لقوم يؤمنون".

Maksudnya lebih kurang: “Katakanlah wahai Muhammad! Aku tidak memiliki bagi diriku sesuatu yang bermanfaat dan yang membahayakan kecuali yang dikehendaki Allah. Andainya aku tahu perkara ghaib, nescaya aku perbanyakkan kebaikan dan tidaklah aku sentuhi keburukan. Sesungguhnya aku hanyalah pemberi ingat dan pembawa berita baik bagi kaum beriman.”

Allah juga telah memerintahkan RasulNya Muhammad s.a.w supaya memberitahu orang ramai bahawa baginda bukan malaikat, tidak memiliki khazanah-khazanah Allah dan tidak mengetahui perkara ghaib, seperti mana firman Allah:

قل لا أقول لكم عندى خزائن الله ولا أعلم الغيب، ولا أقول لكم إني ملك إن اتبع إلا ما يوحى إلي، قل هل يستوي الأعمى والبصير افلا تتفكرون” .

Maksudnya lebih kurang: “Katakanlah wahai Muhammad! Aku tidak mengatakan kepada kamu bahawa ِaku mempunyai khazanah-khazanah Allah dan aku tidak mengetahui perkara ghaib, dan aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawa aku ini malaikat, aku hanyalah mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku. Katakanlah wahai Muhammad! Adakah sama orang yang buta dan orang yang celik? Tidakkah kamu berfikir?”

Nabi Nuh a.s juga telah menyebutkan demikian sebagaimana firman Allah:

ولا أقول لكم عندي خزائن الله ولا أعلم الغيب، ولا أقول إني ملك، ولا أقول للذين تزدري أعينكم لن يؤتيهم الله خيرا، الله أعلم بما فى أنفسهم إني إذا لمن الظالمين".

Maksudnya lebih kurang: “Aku tidak mengatakan kepada kamu; di sisiku ada khazanah-khazanah Allah. Dan aku tidak mengetahui yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku malaikat, dan tidak mengatakan kepada mereka yang kamu pandang hina bahawa Allah tidak akan mendatangkan kebajikan kepada mereka. Allah mengetahui apa yang di dalam hati mereka. Jika aku katakan demikian nescaya aku termasuk orang-orang yang zalim.”

Di dalam sahih al-Bukhari ada diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a, bahawa Baginda s.a.w telah bersabda yang bererti: “Anak-anak kunci perkara ghaib itu lima, tidak diketahuinya melainkan Allah; Tidak diketahui apa yang dikandungkan rahim, melainkan Allah. Tidak diketahui apa yang akan berlaku esok melainkan Allah. Tidak diketahui bila hujan akan turun melainkan Allah. Sesuatu diri tidak mengetahui bila dia akan mati melainkan Allah. Dan tidak diketahui bila akan berlaku qiamat melainkan Allah.” Hadits ini selaras dengan firman Allah:

إن الله عنده علم الساعة وينزل الغيث ويعلم ما في الأرحام وما تدري نفس ماذا تكسب غدا وما تدري نفس بأي أرض تموت إن الله عليم خبير” .

Maksudnya lebih kurang: “Sesungguhnya Allah berpengetahuan mengenai qiamat, dan dia menurunkan hujan, dan dia mengetahui apa yang ada di dalam rahim, dan sesuatu diri itu tidak mengetahui apa yang akan diperolehinya esok, dan sesuatu diri itu tidak tahu di bumi mana dia akan mati, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mengerti.”

Di dalam Sahih al-Bukhari juga terdapat riwayat dari Sayyidatina A’isyah r.a yang berkata: “Barang siapa memberitahu anda bahawa Nabi s.a.w telah melihat tuhannya, maka dia telah berdusta, kerana Allah telah berfirman: “لا تدرك الأبصار” (Dia tidak ditangkap penglihatan). Dan barangsiapa memberitahu anda bahawa Nabi s.a.w mengetahui apa yang akan berlaku esok, maka sesungguhnya dia telah berdusta kerana Allah telah berfirman: “قل لا يعلم من فى السموات وللأرض الغيب إلا الله” (Katakanlah wahai Muhammad! Tiada siapa di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah).

Ayat-ayat al-Quran dan hadits-hadits seperti yang telah disebutkan di atas amat banyak. Ia secara tegas menunjukkan bahawa tiada sesiapapun yang berada di langit dan di bumi yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib selain Allah. Bahkan malaikat yang hampir kepada Allah dan juga nabi atau rasul tidak mengetahuinya, kecuali mana yang diperlihatkan oleh Allah Taala kepadanya. Sewaktu Allah mencipta Adam, para malaikat sama sekali tidak tahu hikmah dari ciptaan tersebut. Allah telah memaparkan kepada mereka benda-benda tertentu dan meminta mereka menamakannya andainya mereka sememangnya benar di dalam dakwaan mereka. Tetapi mereka menjawab: “Maha Suci Mu, kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya hanyalah Engkau, Engkau yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Allah mengajarkan nama-nama itu kepada Nabi Adam yang kemudiannya mengajarkannya pula kepada para malaikat.

Seperti yang telah disebutkan di atas, tiada seorang pun dari kalangan para nabi dan rasul yang mengetahui perkara ghaib kecuali yang diperlihatkan Allah s.w.t kepadanya. Nabi Nuh a.s tidak tahu anaknya bukan dari keluarganya dan isterinya tidak menganut agama yang didakwahkannya. Nabi Ibrahim a.s tidak tahu beliau dikurniakan seorang anak lelaki melalui isterinya Sarah melainkan setelah didatangi malaikat yang memberitahunya perkara itu. Pada suatu kali, malaikat-malaikat di dalam bentuk manusia mendatangi Nabi Ibrahim a.s, dan mereka telah dijamu oleh Nabi Ibrahim a.s dengan menyembelih seekor anak lembu, tanpa beliau mengetahui hakikat mereka, sehinggalah mereka sendiri memperkenalkan diri. Nabi Ibrahim a.s juga tidak tahu tujuan kedatangan mereka sehinggalah mereka memberitahunya bahawa kedatangan mereka ialah untuk memusnahkan perkampungan kaum Nabi Luth. Sementara Nabi Luth a.s pula tidak senang dengan kedatangan mereka, kerana tidak tahu mereka ditugaskan untuk menyelamatkannya dari kebinasaan yang menimpa kaumnya. Nabi Luth a.s tidak mempunyai kasyaf yang khas yang membolehkannya mengetahui hakikat mereka dan tujuan kedatangan mereka.

Nabi Muhammad juga telah mengalami banyak peristiwa yang dengan jelas menunjukkan bahawa Baginda s.a.w tidak mengetahui perkara-perkara ghaib kecuali mana yang diwahyukan Allah kepadanya. Ketika buat pertama kali baginda didatangi malaikat Jibril di gua Gunung Hira’, Baginda s.a.w menyangkanya iblis. Lalu beliau menyatakan kepada isterinya Khadijah bahawa beliau bimbang terjadi sesuatu yang buruk ke atas dirinya. Adalah di luar pengetahuannya sama sekali bahawa yang mendatangainya itu malaikat Jibril, sehinggalah Waraqah bin Naufal, sepupu isterinya Khadijah, memberitahunya dan menegaskan percakapan yang dibawakan oleh Jibril kepadanya itu serupa dengan percakapan yang diturunkan kepada para rasul dan nabi sebelumnya. Begitu juga tidak terlintas di dalam hati Baginda s.a.w yang ianya akan disakiti dan terhalau keluar dari Kota Mekah, bumi tempat kelahirannya, sedangkan Baginda s.a.w telah berta’abbud di Gua Hira’ itu sejak beberapa tahun lamanya. Tetapi bagi kalangan yang bertasawwuf, sesiapa yang membalut kepalanya dengan kain dan duduk di tempat gelap gelita, akan melihat Allah dan mengetahui segala yang ghaib serta boleh menyaksikan alam buana di atas dan di bawahnya!

Nabi Muhammad s.a.w berdakwah di Kota Mekah, bumi kelahirannya selama tiga belas tahun, tanpa mengetahui ke mana Baginda s.a.w akan berhijrah kelak. Kemudian selepas berhijrah ke Madinah, Baginda s.a.w pada suatu hari keluar untuk menemui Abu Sufyan, tetapi gagal, sebaliknya bertembung dengan sepasukan tentera musyrikin dan Nabi s.a.w tidak mengetahui terlebih dahulu pertemuan ini. Beberapa orang kaum musyrikin terkemuka telah datang ke Kota Madinah dan mendakwa telah beriman dan meminta Baginda s.a.w menghantar ke Mekah orang-orang yang boleh mengajarkan al-Quran. Baginda s.a.w pun menghantarkan qari-qari yang terbaik, tetapi malangnya mereka telah diserang hendap di tengah jalan dan dibunuh. Mula-mulanya empat puluh orang qari dibunuh oleh kaum musyrikin ini. Pada kali yang keduanya pula seramai tujuh orang yang dibunuh. Andainya Rasulullah s.a.w mengetahui urusan Allah atau mengetahui terlebih dahulu orang-orang arab kafir itu berdusta dan akan mengkhianatinya, nescaya sudah tentu Baginda s.a.w tidak menghantar sahabat-sahabatnya untuk mereka dibunuh.

Peristiwa-peristiwa seperti ini dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang lain menunjukkan dengan jelas bahawa Rasulullah s.a.w, yang merupakan semulia-mulia makhluk Allah itu sendiri, tidak mengetahui sesuatu pun tentang perkara ghaib kecuali mana yang diperlihatkan Allah kepadanya berdasar kepada kenabiannya.


Hijab Diangkat

Sejak bermula kemunculan mereka di tengah-tengah umat Islam pada zaman dahulu hingga ke hari ini, golongan bertasawwuf telah memberi tumpuan kepada perkara ghaib yang merupakan satu dari ajaran pokok agama Islam, dan cuba memusnah dan mencabut akar umbinya dari hati orang-orang yang mengikuti jalan mereka dan menuruti agenda mereka. Sedangkan Allah telah menjadikan keimanan kepada perkara ghaib itu sifat pertama orang-orang yang bertaqwa seperti firmanNya di dalam surah al-Baqarah:

الم, ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين, الذين يؤمنون بالغيب” .

Maksudnya lebih kurang: “Alif Laam Miim, itulah kitab yang tiada keraguan, di dalamnya ada petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa, yang beriman dengan perkara ghaib.”

Allah telah menjadikan keimanan kepada perkara ghaib itu sebagai sifat orang-orang yang bertaqwa, yang berpandu kepada al-Quran dan as-Sunnah, ialah agar orang-orang yang beriman itu bersatu dalam cara penerimaan, iaitu mereka tidak menerima khabar mengenai perkara-perkara ghaib melainkan dari Allah yang mewahyukannya kepada rasul-rasul dan nabi-nabiNya sahaja. Golongan bertasawwuf merupakan orang-orang pertama yang meruntuhkan ajaran pokok agama Islam ini dengan mengadakan apa yang mereka namakan “kasyfu tasawwuf” yang menurut mereka bererti diagkatkan hijab dari hati dan pandangan seseorang yang bertasawwuf supaya dia dapat melihat segala-gala yang ada di langit dan di bumi!! Tiada sehelai daun yang gugur melainkan dia ada melihatnya!! Dan tiada setitik air yang jatuh dari langit melainkan dia mengetahuinya!! Tiada bayi yang lahir, tiada ikatan yang terikat, tidak bergerak sesuatu yang diam atau tidak berdiam sesuatu yang bergerak melainkan semuanya ada di dalam pengetahuan orang yang bertasawwuf belaka.

Di dalam hasil-hasil karya golongan bertasawwuf terdapat ungkapan-ungkapan yang menandakan bahawa di depan seseorang yang bertasawwuf tiada hijab dan tiada pintu yang tertutup rapat!! Ia tidak mengalami sebarang kesukaran untuk mengetahui sesuatu yang ada di bumi dan di langit!! Bahkan ia tahu apa yang dituliskan di Luh Mahfuz setiap saat, tahu dengan bahasa apa yang dituliskan dan dengan qalam mana digunakan, tahu segala rahsia isi kandungan al-Quran dan tahu apa yang ada sejak azali dan apa yang akan berlaku pada zaman abadi!!

Golongan bertasawwuf mendakwa seseorang yang bertasawwuf, dikasyafkan kepadanya pengertian-pengertian al-Quran dan hadits-hadits yang tidak diketahui ulama’ syariat, yang mereka namakan ulama’ zahir, ulama’ kertas dan atsar yang disalin dari orang-orang yang telah meninggal dunia.

Golongan bertasawwuf menerima ilmu-ilmu itu terus menerus dari Rasulullah s.a.w, kadang-kadang dalam keadaan sedar dan kadang-kadang dalam keadaan tidur! Mereka bertanya kepada Baginda s.a.w dan memperolehi banyak ilmu darinya secara langsung!! Lebih daripada itu mereka mendakwa mempunyai ilmu-ilmu yang tidak terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah, dan memperolehinya dari Nabi Khaidhir a.s yang berpegang kepada syariat kebatinan dan yang membekalkannya kepada para wali!! Nabi Musa dan seluruh nabi-nabi yang lain, termasuk Nabi Muhammad s.a.w, berpegang kepada syariat yang zahir!! Nabi Khaidhir mengikut syariat kebatinan yang menghalalkan mana yang haram di sisi syariat yang zahir!! Kerana itulah Nabi Khaidhir membunuh seorang budak muda tanpa sebarang dosa, merosakkan perahu orang yang menumpangkannya secara percuma dan menegakkan dinding yang hampir roboh di kampung penduduk yang tidak berbudi kepadanya!! Perbuatan-perbuatan itu telah disangkal dan ditolak oleh pemegang-pemegang syariat yang zahir seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Musa a.s! Golongan bertasawwuf itu mendakwa berpegang kepada syariat kebatinan yang kononnya dipegang oleh Nabi Khaidhir, dan dari Nabi Khaidhir juga mereka mempelajari ilmu-ilmu yang khusus yang disangkal oleh pengikut-pengikut syariat yang zahir kerana kejahilannya!!

Yang anehnya di antara ajaran-ajaran ilmu kebatinan yang mereka dakwa telah mempelajarinya ialah berzina, berhubungan seks dengan keldai, liwat, minum khamar, berbogel, terpekik-pekik di jalan-jalan, memaki hamun muazzin-muazzin sewaktu masuk waktu solat, mencemuh dan menghina nabi-nabi, mendakwa setiap makhluk ialah Allah, memberi salam kepada anjing dan babi, bersimpati kepada iblis dan cuba mencapai martabatnya, menjadikan Firaun lebih mengetahui tentang Allah daripada Nabi Musa a.s, membersihkan kaum Nabi Nuh dari tuduhan syirik dan mendakwa Nabi Muhammad bersemayam di Arasy!

Ini adalah sebahagian kecil daripada ajaran-ajaran kebatinan yang diperolehi golongan bertasawwuf melalui kasyaf, iaitu penyingkapan hijab dari penglihatan mata dan hati untuk melihat hakikat dalam keadaan yang sebenar. Mereka mendakwa Nabi Khaidhir itulah yang mengajarkannya kepada mereka! Bahkan sesetengah mereka melangkah lebih jauh lagi dalam pembohongan dan pendustaan hingga ke tahap yang paling rendah dengan mendakwa mereka menerima ilmu-ilmu itu daripada malaikat pembawa ilham sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w menerima ilmu-ilmunya daripada malaikat pembawa wahyu! Sementara yang lain pula mendakwa mereka menerima ilmu-ilmu mereka daripada Allah secara langsung tanpa perantaraan dan ilmu-ilmu itu tercetak di dalam jiwa mereka! Kepada mereka diperlihatkan segala perkara di dalam azali dan segala hal pada zaman abadi melalui roh-roh mereka, juga tanpa perantaraan! Keazaman mereka tiba di langit dan apa yang di atas langit, dan tiba di bumi dan apa yang di bawah bumi!

Malahan golongan bertasawwuf itu telah meluaskan skop kasyaf mereka dengan mendakwa bahawa melalui kasyaf itu mereka mengetahui rahsia-rahsia huruf terputus di permulaan sesetengah surah al-Quran. Mereka boleh meriwayatkan kisah-kisah sebenar para anbiya’ dan boleh bertemu dan berhimpun dengan mereka serta menanyakan cerita-cerita terperinci mengenai diri dan pengalaman masing-masing! Mereka mendakwa telah memperolehi lebih banyak daripada apa yang termaktub di dalam al-Quran! Mereka mendakwa telah melihat syurga dan neraka dengan mata kepala sendiri! Malahan bagi mereka neraka tidak mempunyai sebarang nilai kerana menurut mereka api neraka itu akan padam andainya salah seorang daripada mereka meludahnya sepertimana yang disebutkan oleh Abu Yazid al-Bastami dan tokoh-tokoh mereka yang lain! Bagi mereka memandang kepada syurga itu suatu perbuatan syirik dan kotor kerana mereka hanya memandang kepada Allah semata-mata! Seorang dari mereka apabila membaca firman Allah: “منكم من يريد الدنيا ومنكم من يريد الأخرة” yang bermaksud lebih kurang: “Di antara kamu ada yang mahukan dunia, dan di antara kamu ada yang mahukan akhirat” telah mencemuh para sahabat dengan berkata: “Cis! Tiadakah di antara kamu yang mahukan Allah?!!” Begitu juga seorang yang lain dari kalangan mereka, sewaktu membaca firman Allah: “إن أصحاب الجنة اليوم في شغل فاكهون” yang maksudnya lebih kurang: “Sesungguhnya penghuni-penghuni syurga pada hari itu bersenang-lenang dalam pekerjaannya”, telah berkata: “Penghuni-penghuni syurga itu telah dilekakan daripada mengingati Allah!”

Pendek kata golongan bertasawwuf itu menganggapkan diri mereka telah dapat menyingkap pengertian-pengertian al-Quran yang didakwanya berbeza daripada apa yang diketahui oleh para-para sahabat Rasulullah s.a.w dan para ulama’ di sepanjang zaman! Bagi mereka, kitab suci al-Quran mengandungi pengertian-pengertian yang lain daripada yang diketahui umum kaum muslimin, dan mengandungi banyak ilmu yang hanya diketahui oleh mereka sahaja!

Sedangkan sebenar-benar ilmu yang mereka dakwakan itu tidak termaktub sama sekali di dalam al-Quran kerana ilmu yang mereka maksudkan itu ialah falsafah-falsafah lama, khurafat, dan kepercayaan-kepercayaan karut yang diperkenalkan oleh filosof-filosof Greek purba, kahin-kahin Hinduisma, syaitan-syaitan Majusi, konsep penghalalan segala-gala dari ajaran mani dan mazdak dan berbagai-bagai jenis dongeng yang dijadikan oleh golongan bertasawwuf itu sebagai kasyaf dan hakikat tasawwuf, juga sebagai pengertian-pengertian al-Quran dan pengertian-pengertian hadits Rasulullah s.a.w! Ada pula di antara mereka yang pernah mendabik dada mengaku dengan berkata: “Kami mengharungi samudera, sementara para nabi hanya berdiri di tebingnya sahaja!” untuk menunjukkan dirinya lebih banyak berpengetahuan dan makrifat seperti pencapaian ilmu daripada yang terdapat pada diri para nabi!


Kasyaf Dalam Buku “Al-Insanu Al-Kamil”

Salah seorang tokoh dari kalangan yang bertasawwuf, iaitu Abdul Karim al-Jili, telah menghasilkan sebuah karya yang diberi judul “al-Insanu al-Kamil fi Makrifati al-Awakhiri wa al-Awa’ili. Menurut dakwaan al-Jili, isi kandungan bukunya itu diperolehi dari Allah dan Allah telah menyuruhnya supaya diterbitkan untuk tatapan orang ramai dan ianya didokong keterangan-keterangan dari al-Quran dan as-Sunnah! Sedangkan pada hakikatnya isi kandungan buku ini tidak sedikitpun sejalan dengan keterangan-keterangan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w, bahkan lebih berupa himpunan ajaran-ajaran sesat dan zindik! Di antara isi kandungannya ialah dakwaan bahawa hanya Allah semata-mata yang ada di dalam wujud ini! Dialah yang telah menciptakan kewujudan dari diriNya untuk diriNya! Di sana tiada sesuatupun melainkan Dia dan Dialah tuhan, hamba, syaitan, rahib, langit, bumi, kegelapan, cahaya, anak kambing, serigala yang ganas, dan sebagainya!

Dari mula hingga akhir, tulisan-tulisan di dalam buku di dalam buku tersebut berkisar di sekitar pengertian yang satu iaitu menyempitkan Allah dengan sifat-sifat makhluk serta mendakwa makhluk itulah sebenarnya ‘ain khaliq! Di samping itu penulis menambah pula bahawa Nabi Muhammad s.a.w ialah manusia yang sempurna dan tuhan yang sempurna yang bersifat dengan semua sifat Allah! Menurutnya, huruf “Ha” yang terdapat pada lafaz “Huwa” di dalam ayat “قل هو الله أحد” adalah kembali kepada Muhammad. Dengan demikian erti ayat tersebut ialah “Katakanlah, wahai Muhammad! Dia, iaitu engkau, ialah Allah Yang Maha Esa.” (al-Insanu al-Kamil fi Makrifati al-Awakhiri wa al-Awa’ili, halaman 31). Inilah antara kasyaf yang telah diperolehi Abdul Karim al-Jili dari alam ghaib yang jelas bertentangan dengan keterangan al-Quran dan as-Sunnah.


(Teks ini dipetik daripada majalah pengasuh tanpa ada pindaan atau perubahan)
Pusat Sumber Darul Kautsar
Lot PT 1499, Taman Seri Demit, Kubang Kerian,
16150, Kota Bharu.

57 comments:

  1. pak kaji u bisanya njiplak qur 'an ja??? klo situ tahu q kasih pertanyaan,
    maha pengasih maha penyayang, sapa itu??

    ReplyDelete
  2. tasawwuf adalah bahagian dari ajaran ISLAM.ia mengajar muslim untuk membersihkan hati dari buruk sangka dan sifat-sifat yang tak terpuji.
    carilah sumber-sumber yang boleh dipercayai sebelum memberi "hukum" tentang sesuatu

    ReplyDelete
  3. Itu semua fitnah yang tidak berasas terhadap Kaum Sufi.Apa Kaum Sufi bukan sebahagian dari Umat Islam?

    ReplyDelete
  4. Sdr nash697

    Kalau tulisan ini dikatakan ditulis secara fitnah, cubalah berhujah secara akademik untuk melawan "fitnah tersebut??"

    Emjay

    ReplyDelete
  5. Dlm sebuah hadis ada mengatakan tentang Tiga Aspek KeIslaman yaitu Islam,Iman dan Ihsan.di mana letaknya ihsan di dalam kehidupan seharian kita?
    Tariqat buahnya adalah Tasawwuf dan Tariqat adalah dari Ihsan.
    Ibn Taymiyya dan Ibn Qayyim mereka walaupun menolak doktrine Ahlus-Sunnah tetapi mereka menerima Tasawwuf kerana akarnya adalah begitu dalam di Al-Qur'an,Sunnah dan Shari'ah.
    Tasawwuf adalah membersihkan hati dari segala penyakit Hati dan membuat seorang itu merasa rendah diri terhadap Saudara Islam yang lain.
    Tariqat ada Silsilanya yang sampai ke Rasulullah s.a.w yang sohih sebagaimana adanya Silsila Rasul 25 yang dari Rasulullah s.a.w hingga ke NabiAllah Adam a.s.

    ReplyDelete
  6. Sdr nash697

    Saya tahulah sdr nash697 adalah ahli tarekat. Dua hari berturut-turut yang lalu alhamdulillah seorang bekas ahli tarekat wahdatul wujud berkunjung ke rumah saya di taman perling. Saya jangkakan penguasaan ilmu tarekat hamba Allah ini jauh lebih hebat dari sdr nash697. Sembahyangnya entah ke mana (dahulu) dan berbagai ilmu ghaib diperolehi. Namun bagi orang sufi/tarekat mereka memandang seolah-olah perkara ini adalah satu karomah sedangkan perkara-perkara yang bukan-bukan ini adalah hasil kerja syaitan.

    Janganlah berkempen untuk mencari rekrut tarekat di laman emjay ini kerana sesungguhnya saya adalah menolak habis fahaman tarekat.

    Fahamilah hadis Nabi tentang 3 pemuda yang tidak mahu tidur malam, tidak mahu kahwin dan akan terus berpuasa. Fahaman tarekat adalah bertitik tolak dari fahaman 3 pemuda ini.

    Wallahuaqlam

    Emjay

    ReplyDelete
  7. tariqat bukanlah untuk memiliki berbagai karomah2...biarkanlah apa pihak anti-tariqat mahu berkata tentang para sufi dan ahli tasawwuf tapi sampai qiyamat,tasawwuf akan tetap wujud...saudara cakap saja tentang WaliAllah tapi apakah saudara percaya dengan kewujudan mereka?
    Kalau Nabi s.a.w telah wafat,takkanlah dia s.a.w mahu biarkan ummatnya begitu saja...pada zaman sekarang,WaliAllah lah yang menolong ummat...
    apa Saudara kenal sama Habib Abdullah al-Haddad,Imam Ghazali,Sayyidina Abdul Qadir Jilani dan Ibn Arabi???Mereka adalah orang2 sufi dan ahli tasawwuf di jalan Allah...Wahhabi adalah golongan yang menolak ajaran Tariqat...

    ReplyDelete
  8. Saya ingin memberikan sdr nash697 satu perkara yang bukan fitnah dan amat berguna sekali kepada nash697:

    Imam Ghazali memanglah sebenarnya imam tarekat. Majoriti usianya terlibat sebagai imam sufi. Namun kerana sifatnya yang suka mencari ilmu akhirnya alhamdulillah dipenghujung usia imam Ghazali bertaubat dari tarekat / kesufian dan kembali ke jalan Islam yang Allah diredhai Allah SWT.

    Semoga sdr nash697 juga mengikut jejak langkah imam Ghazali.

    Ibn Arabi memanglah guru tarekat habis. Saya memang tidak respek orang ini.

    Semoga dibuka Allah pintu taubat kepada nash697

    Wallahuaqlam

    Emjay

    ReplyDelete
  9. Setahu saya,Imam Ghazali yang betul2 Ahli Sufi ...jangan nak buat cerita tentang Imam Ghazali...
    Ibn Arabi itu adalah seorang waliallah yang saya sanjungi kerana beliau menggunakan ayat2 qur'an dan hadis dalam kitab2 nya dan berbual dari aspek metafisik...kalau tak tau ape2 tentang Ahli Tasawwuf jangan buat cerita....
    Wahhabi akan tetap jadi Wahhabi dan tidak akan mengaku diri sebagai seorang Wahhabi...
    'La kum di nu kum wa li ya din'...
    wasalam

    ReplyDelete
  10. ko tulis panjang sape nak bace
    memang ini fitnah..tasawuf salah satu cara mendekatkan diri pada Allah.
    Emjay cakap lebey la..
    aku sikit pon tak hormat kat ko..
    Ko nie takot salah bile orang lawan ko n hujah2 dorg betol dan ko takot disalahkan
    ko padam komen dorang!!!
    berani jangan padam la.

    ReplyDelete
  11. Tulah siapa suruh pakai aura chakra semenjak 12 tahun. Tulis akademik yang baik seperti ini pun tidak dapat di digest dengan baik oleh sdr.

    Berdoa-lah banyak2 dan bersungguh-sungguh semoga ditunjukkan jalan yang lurus oleh Allah SWT dan bukannya jalan tarekat.

    Emjay

    ReplyDelete
  12. jika aura chakra itu salah mengapa Allah ciptakan kepada makhluk yang paling mulia di muka bumi?

    ReplyDelete
  13. Allah jadikannya sebagai ujian sebagaimana Allah SWT di dalam Al Quran menjadikan ilmu sihir sebagai ujian kepada manusia. Allah SWT menjadikan yang halal dan yang haram sebagai ujian kepada manusia. Allah menjadikan juga arak sebagai ujian.

    Emjay

    ReplyDelete
  14. itu ilmu sihir.ilmu sihir ilmu yang dipelajari.bukan dari badan kita sendiri..
    baru tadi saya terlihat di tv Dr fadzilah kamsah mengatakan jagalah aura kita dengan melakukan apa yang Diperintah Allah dan kembangkanlah ia.Jangan cari aura tempelan seperti mandi bunga dan lain kerana ia tidak kekal.
    Apakah dr fadzilah kamsah tu salah?Saudara emjay yang betul.?

    ReplyDelete
  15. ilmu setitik tak boleh mduga lautan, dengan akal tak boleh kupas tasauf

    ReplyDelete
  16. Habis tu nak guna apa untuk mengupas tasauf???

    Adakah Nabi Muhamad SAW mengajarkan tasauf????

    Sayriaat Nabi Muhamad SAW dah sempurna, janganlah menambah kurikulum ISLAM dengan memasukkan TASAUF ke dalam kurikulum ini.

    Islam sudah sempurna dan cantik. Jangan dikurangi atau ditambah.

    Elakkan tasauf / tarekat / sufi.

    Emjay

    ReplyDelete
  17. abu yazid dan lainnya mengatakan: Orang alim itu bukan orang yang menghafal buku, tetapi kalau ia sudah lupa isi buku itu, lantas ia menjadi bodoh ; tetapi orang alim itu ialah orang yang mendapat ilmu dari Tuhannya pada waktu mana pun tanpa menghafal dan belajar.

    inilah ilmu rabbani (bersifat ketuhanan).

    "Dan Kami ajarkan ia ilmu daripadaKu"
    (al-Kahf ; 65)

    ReplyDelete
  18. Kalu dah wahhabi tu.....kita cakap apapun tatap dengan wahhabinye la jugak....... bertaubatlah mj....
    kalu nak banding ilu anda dgn ulamk tarikat tu jauh lg tinggi ilmu mrk dgn ko.... si asri tu pun tak leh nak banding dgn ilmu mrk tu....

    ReplyDelete
  19. Dia bukan Wahabi je, dia Wahabi TOTOK!!!

    Dia lupa 3 cabang ilmu tu atau memang gelap hati :

    Iman - Ilmunya Usuluddin/Tauhid
    Islam - Ilmunya Fardhu Ain/Syariat
    Ehsan - Ilmunya tasawuf /Tareqat

    Tasawuf tu utk menghalusi Iman dan Islam...

    Lantak ko la Wahabi TOTOK!!!


    ReplyDelete
  20. Kalau bab iman dan Islam saya boleh setuju tetapi bab ketiga tu Nabi mana yang cakap seperti ini abuafiqah? Adakah Nabi Muhamad pernah menuturkan bab ketiga tentang tasawuf/tareqat tu? Senang je engkau buat fitnah ke atas diri Nabi Muhamad!!

    "Dia lupa 3 cabang ilmu tu atau memang gelap hati :

    Iman - Ilmunya Usuluddin/Tauhid
    Islam - Ilmunya Fardhu Ain/Syariat
    Ehsan - Ilmunya tasawuf /Tareqat"

    Emjay

    ReplyDelete
  21. Muslim,

    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:



    Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada bersama kaum muslimin, datang seorang lelaki kemudian bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Iman? Lalu baginda bersabda: Kamu hendaklah percaya iaitu beriman kepada Allah, para Malaikat, semua Kitab yang diturunkan, hari pertemuan denganNya, para Rasul dan percaya kepada Hari Kebangkitan.

    1) Usuluddin / Tauhid

    Lelaki itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pula yang dimaksudkan dengan Islam? Baginda bersabda: Islam ialah mengabdikan diri kepada Allah dan tidak menyekutukanNya dengan perkara lain, mendirikan sembahyang yang telah difardukan, mengeluarkan Zakat yang diwajibkan dan berpuasa pada bulan Ramadhan.

    2) Syariat / Fardhu ain

    Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya, sekiranya engkau tidak melihatNya, maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu.

    3) ????????

    Lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Bilakah Hari Kiamat akan berlaku? Rasulullah s.a.w bersabda: Sememangnya orang yang bertanyakannya lebih mengetahui dariku. Walau bagaimanapun aku akan ceritakan kepadamu mengenai tanda-tandanya. Apabila seseorang hamba melahirkan majikannya maka itu adalah sebahagian dari tandanya. Seterusnya apabila seorang miskin menjadi pemimpin masyarakat, itu juga sebahagian dari tandanya. Selain dari itu apabila masyarakat yang pada asalnya pengembala kambing mampu bersaing dalam menghiasi bangunan-bangunan mereka, maka itu juga dikira tanda akan berlakunya Kiamat. Hanya lima perkara itulah sahaja sebahagian dari tanda-tanda yang diketahui dan selain dari itu Allah sahaja Yang Maha Mengetahuinya. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca Surah Luqman ayat 34 Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah lebih mengetahui bilakah akan berlaku Hari Kiamat, di samping itu Dialah juga yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim ibu yang mengandung. Tiada seorang pun yang mengetahui apakah yang akan diusahakannya pada keesokan hari iaitu samada baik atau jahat dan tiada seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan menemui ajalnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. Kemudian lelaki tersebut beredar dari situ.



    Rasulullah s.a.w terus bersabda kepada sahabatnya: Sila panggil orang itu kembali. Lalu para sahabat berkejar ke arah lelaki tersebut untuk memanggilnya kembali tetapi mereka dapati lelaki tersebut telah hilang. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki tadi ialah Jibril a.s. Kedatangannya adalah untuk mengajar manusia tentang agama mereka.



    Jadi EHSAN apa ilmunya ??? Kalo ko pandai sangat...

    Aku dan ramai pengikut ko Yg TAKSUB ni nak tau gak...

    ReplyDelete
  22. hehehe..emjay ni mana nk jawab soklan camni..lps ni mesti dia ckp hadis ni hadis maudhuq ke..tak sahihlaa dan bermacam2 lg..yelah..dlm wahabbi ni..bak kata pakcik iklan Astro tu..macam2 ada :)

    ReplyDelete
  23. Apakah persoalan ini terjawab? Apakah masih wujud kesesatan dalam ilmu tasawuf? Sya masih menunggu jawaban daripada saudara emjay.

    ReplyDelete
  24. Tak perlu saya jawab soalan entahapaentah = zamzah

    Saya bawa analogi. UMNO mengatakan bahawa mereka adalah dari pihak benar. Mereka pun mencari penyokong-penyokong mereka untuk memberikan hujah bahawa UMNO adalah dari pihak yang benar. Pada masa yang sama, pihak PAS juga mendakwa bahawa mereka adalah dari pihak benar. Mereka pun mencari penyokong-penyokong mereka untuk memberikan hujah bahawa PAS adalah dari pihak yang benar.

    Bagi kes analogi yang saya bawakan, golongan manakah berada di pihak yang benar. Sesungguhnya sekiranya sdr berdoa bersungguh-sungguh minta Allah berikan petunjuk, nescaya insya_Allah diberikan Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.

    Hujah sdr entahapaentah = zamzah saya tidak perlu melayannya kerana penulisnya adalah golongan yang menyokong tarekat.

    Emjay

    ReplyDelete
  25. Sekadar ingin tahu sahaja. Alamak!, masuk parti la pula. Tolong jangan kait pasal mana-mana parti di sini.Tak tahu la pula sama dengan saudara zamzah he,he,he,he.....

    ReplyDelete
  26. "Ih dinashiratal Mustaqim....." Siapa dan di mana jalan ini Tuan?

    ReplyDelete
  27. Assalamualaikum wbh kepada saudara seagamaku dan laknat Allah ke atas Iblis dan pengikutnya.

    Ini adalah ayat ke 6 dalam surah Al Fatihah. Jika ayat-ayat sebelumnya merupakan puji-pujian bagi Allah maka ayat ke 6 ini adalah merupakan permohonan kita daripada Allah SWT untuk keperluan orang yang membacakannya.

    Tafsir Ibnu Katsir menjelaskan bahawa maksud doa "Tunjukkilah kami jalan yang lurus" adalah sebagai doa permohonan kepada Allah SWT agar memberikan kita taufik, rezeki, ilham atau anugerah kepada manusia.

    Imam Abu Ja'far pula mengatakan bahawa "Tunjukkilah kami jalan yang lurus." bermaksud jalan terang dan lurus.

    Dengan demikian "Tunjukkilah kami jalan yang lurus" bolehlah dijelaskan sebagai satu permohonan doa "Semoga Allah berkenan menunjukki kami di atas jalan yang lurus dan jangan Allah belokkan ke jalan-jalan yang lain"

    Itulah penjelasan saya dan bagaimana pula penjelasan sdr??

    Emjay

    ReplyDelete
  28. BismillahirRahmanirRahim
    Assalamu 'Alaykum

    Kenapa tak nak jawab.?

    Tak nak jawab atau tak tahu jawab. Sebab semua bukti2 itu dari Ulama2 Mu'tabar yang diakui oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

    Masalah emjayb (ini nama apa ye???!!!) :

    1. Tidak mempelajari Ilmu daripada sumber yang asli tapi cedok sana sini. Atau mungkin juga belajar berguru tapi gurunya robot kurang aqal!
    2. Baru belajar ABC, baru belajar tulis 1+1=2 tapi cuba baca buku universiti akhirnya kata 1-2=!??? mustahil dan salah!

    Kalau betul emjayb ni orang berilmu, cuba jawab perkataan Ulama2 Mu'tabar itu.



    Wassalam

    ReplyDelete
  29. BismillahirRahmanirRahim
    Assalamu 'Alaykum

    Kenapa tak nak jawab.?

    Tak nak jawab atau tak tahu jawab. Sebab semua bukti2 itu dari Ulama2 Mu'tabar yang diakui oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

    Masalah emjayb (ini nama apa ye???!!!) :

    1. Tidak mempelajari Ilmu daripada sumber yang asli tapi cedok sana sini. Atau mungkin juga belajar berguru tapi gurunya robot kurang aqal!
    2. Baru belajar ABC, baru belajar tulis 1+1=2 tapi cuba baca buku universiti akhirnya kata 1-2=!??? mustahil dan salah!

    Kalau betul emjayb ni orang berilmu, cuba jawab perkataan Ulama2 Mu'tabar itu.



    Wassalam

    ReplyDelete
  30. rALAT:

    Saya perhatikan semua rujukan tuan tentang tasauf diambil dari ulama yang bersetuju dengan tasauf ini, walaupun mungkin tidak keseluruhan.

    SEBENARNYA:

    Saya perhatikan semua rujukan tuan tentang tasauf diambil dari ulama yang TIDAK bersetuju dengan tasauf ini, walaupun mungkin tidak keseluruhan.

    Harap maaf.

    Wassalam

    ReplyDelete
  31. Sdr shahil63.

    Saya menolak 100% fahaman tarekat.

    Menghabiskan masa dengan golongan ini adalah baik sekiranya saya hanya perlu berdakwah dengan golongan tarekat SAHAJA.

    Namun saya ambil pendirian lebih menguntungkan iaitu saya buat projek dengan orang yang benar-benar mencari jalan yang Allah redha dari golongan bukan tarekat. Ini jugalah pesanan arwah guru saya.

    Saya seorang diri, masa saya sangat mahal. Saya pilih projek yang lebih menguntungkan. Bye shahil63. Saya kategorikan sdr adalah dari golongan prospek paling rendah.

    Emjay

    ReplyDelete
  32. Assalaamualaikum tuan Emjay.

    Untuk pengetahuan tuan, dalam setiap debat saya dengan gulungan Kristen Indonesia saya sentiasa mencari ruang masa untuk menjawab segala persoalan dan cercaan mereka demi Islam dan demi mempertahankan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam. Dan saya sentiasa berusaha melembutkan gaya bahasa walaupun mereka mencerca dengan perkataan yang tak sanggup saya baca. Namun tuan besikap sebaliknya dengan kaum Muslimin sendiri.

    Apakah tujuan tuan membena blog ini? Tuan katakan untuk meluruskan semula kesesatan orang yang tuan katakan sesat. Tuan berkoar-koar (perkataan Indonesia bermaksud menyiarkan sana-sini) mengatakan tidak bertaqlid tetapi setiap perkataan tuan menyandarkan kepada imam Ibn Taimiah, Ibn Qayyim dan Muhammad Abd. Wahab. Apakah ini? Tidak bertaqlidkah? Apakahtuan berittiba' hanya kepada imam tersebut? Jika demikian apa bezanya dengan taqlid yang tuan cela?

    Tuan mengatakan saya berprospek paling rendah. Saya tidak berkecil hati kerana itu persepsi tuan kepada saya. Namun tuan hanya memaksakan pendapat tuan kepada orang lain dan langsung tidak mahu melihat ia sebagai perbezaan sistematika hujah.

    Saya membawakan satu contoh apa yang tuan katakan sesat iaitu tawassul. Ibn Taimiyah memberikan satu prospek tawassul. Apakah tuan ingat saya tidak membaca kitab TAwassul wal wasilahnya? Dan apakah tuan pula telah membaca kitab-kitab tawassul yang disusun oleh ulama sufi?

    Saya menghormati tuan dan apa juga iktiqad tuan. Namun saya lihat tuan jauh dari sikap ulama kaum Muda yang ada. Tuan tidak memberikan hujah tetapi terus menyesatkan tanpa mengambil kira punca perselisihan Syeikh Muhammad abd. Wahab dan Syeih lawannya. Tidak pernahkah tuan membaca kitab bantahan Imam Ramli terhadap Ibn Taimiyah.

    Saya mengambil sikap pertengahan dalam perbantahan ulama kerana saya menganggap itu hanya perselisihan menentukan pegangan berdasarkan dalil yang mereka yakini. Semua itu atas kajian mendalan mereka. Imam Ibn Taimiyah dikatakan amat berlapang dada dalam setiap bantahan terhadapnya. Tuan?

    Islam memerlukan orang yang memahami seperti tuan. Tetapi sikap tuan jauh dari sikap salah seorang idola saya iaitu HAMKA. HAMKA memberikan hujah dan keterangan yang jelas dalam setiap argumentnya. Demikian juga imam yang tuan sesatkan juga memberikan hujah dan keterangan yang juga jelas.

    Apa yang saya hairan, tuan menolak untuk memaparkan wajah tuan. Jauh sekali dengan idola saya juga ustadz Hashim Abd. Ghani dan juga Syeikh Muhammad Hamid Linggi.

    Tuan berkata "sayamenolak 100% fahaman tariqat".Apakah fahaman yang tuan tolak? Cuba tuan jelaskan supaya kita boleh diskusikan di sini untuk tatapan pemabaca sekelian. Apakah istilah kyusu', tawaddu', cinta, bergetar hati mendengar kalimah ALLah itu sesat atau tidak ada dasar dari al-Quran dan Sunnah, atau tidak pernah berlaku kepada Nabi?

    Saya tidak bermasalah untuk meninggalkan apa-apa amalan yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah. Tetapi yang menyesatkan saya silalah berikan hujah samada al-Quran, Sunnah ataupun logika akal. Namun jika tuan gagal, tuan harus menelan semula kesesatan yang tuan tujukan kepada saya dan gulungan sufi yang benar itu. Dan sufi palsu tidak termasuk dalam pegangan saya.

    Maaf kerana saya menulis agak beterus terang. Namun berterus terang lebih baik dan memendam di dalam hati.

    Wassalam

    Saya berrtanya kepada Tuan, sejak bila Tuan berrpegang kepada sikap yang Tuan pegang sekarang? Apakah setelah Tuan belajar dari guru Tuan semua pelajaran yang Tuan pelajari

    ReplyDelete
  33. Ralat:

    Saya bertanya kepada tuan, sejak bila tuan berpegang kepada sikap yang tuan pegang sekarang? Apakah setelah tuan pelajari pegangan sekarang maka semua pelajaran yang tuan pegang sebelumnya disekolah tuan buang ke dalam telaga buta? Apakah solat tuan sebelumnya tuan harus qadha semula?

    Wassalam

    ReplyDelete
  34. Assalamu'alaikum,

    Sedih juga hanya dalam pendapat tertentu digunakan kalam Ulamak seperti Imam Asy Syafie kononnya mencela sehabisnya tasawuf. Tetapi tidak pula mengambil perkataan Imam Syafie yang memuji tasawuf.

    Contoh pernyataan yang diambil oleh Pakcik Emjay :


    Tetapi golongan zindiq ternyata telah wujud sebelum itu lagi , kerana Imam Shafie sendiri telah banyak kali memperkatakannya . Umpamanya beliau menyebut , " Jika seseorang itu bertasawwuf pada awal siang , ia menjadi angkuh sebelum ketibaan waktu zohor .
    ( Talbis Iblis oleh Al-Jauzi, halaman 370 )

    Cuba lihat pernyataan lain Imam Syafie :

    Imam Syafie berkata : Saya telah suhbah (bersahabat) dengan kaum Sufi selama 10 tahun, kemudian hanya mendapatkan pelajaran dua huruf dalam satu riwayat ungkapan :

    1. Waktu itu umpama pedang, jika engkau tidak menggunakannya maka ia akan menebasmu.

    2. Nafsumu jika tidak engkau sibukkan dengan yang haq (benar), maka ia menyibukkanmu dengan yang bathil (salah).

    3. Rasa ketiadaan daya (merasakan wujud kebesaran ALlah) itu keselamatan (terpelihara) dirimu.

    Berkata Imam Syafie lagi : Aku cinta kepada dunia kalian itu tiga :

    1. Tidak berlebih-lebihan (sederhana)
    2. Bergaul kepada orang yang lemah lembut.
    3. Meneladani cara tokoh-tokoh tasawuf

    (Tahqiq Haqiaqah Aliyah, Sheikh Al Hafiz As Suyuti m/s 15) dan (Kasyful Khafa', Imam Al Ajluni jld 1, m/s 341)

    ReplyDelete
  35. Perkataan Imam Ahmad bin Hanbal :


    Sementara Imam Ahmad bin Hanbal yang sezaman dengan Imam Shafie dan telah berguru kepadanya, juga telah mengeluarkan beberapa fatwa supaya mengelak diri dari orang - orang tertentu yang dikaitkan dengan tasawwuf .

    ------

    Memang benar pada awalnya Imam Ahmad sebelum bersuhbah kepada orang sufi, beliau melarang. Namun begitu selepas bersahabat dengan Abu Hamzah al baghdadi as Sufi dan mengetahui keadaan mereka, beliau berkata kepada puteranya : "Wahai puteraku engkau harus bermujalasah (duduk/bersahabat) dengan kaum sufi. Kerana mereka telah menambahkan ilmu, muraqabah, takut kepada Allah, zuhud dan ketinggian semangat kita (Tanwir al Qulub lil 'alamah As syaikh Amin al Kurdi - m/s 405)

    Telah berkata Imam Muhammad as Safaraini al Hanbali daripada Ibrahim bin AbduLlah al Qalansi : Bahawa Imam Ahmad telah berkata tentang kaum Sufi : "Aku tidak mengetahui orang yang lebih utama dari mereka (sufi). Lalu ditanyakan : Mereka itu melantunkan nasyid kemudian saling hanyut diri, beliau menjawab : "Biarkan mereka bergembira sesaat bersama Allah". (Manzumatul Adab, jilid 1, m/s 120)

    ReplyDelete
  36. Sebenarnya banyak pernyataan ulamak tasawuf yang perlu diperhalusi dengan ahlinya (ulamak yang pakar dalam tasawuf juga). Bukan dengan orang yang tidak pakar dalam tasawuf dan kemudian hanya menafsirkan perkataan mereka dengan apa yang zahir.

    Tidak salah jika kita beribadah untuk mendapat kan syurga, dan tidak salah juga jika beribadah semata-mata kerana Allah (tidak mengharapkan syurgaNya). Kerana saya yakin, setiap orang berbeza tahap keimanan masing-masing. Jika para salaf dahulu apabila menerima perintah dari Allah dan RasulNya - mereka pasti akan dengar dan taat. Tak sama pula dengan kebanyakan kita pada hari ini : ada yang inginkan sebab musabab, ada yang inginkan bukti dan sebagainya. Bukankah saidina Abu Bakar adalah orang yang pertama membenarkan perjalanan isra' dan mi'raj RasuluLlah dikala orang kafir musyrikin ketika itu menafikan bahkan menuduh RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam sebagai gila, perkataan kesat yang lain ?

    Pakcik menampalkan pernyataan ahli sufi seperti di bawah ini :

    إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم

    (Surah Al-Taubah, ayat 111)

    Maksudnya lebih kurang: “Sesungguhnya Allah membeli diri dan harta orang-orang yang beriman.“ Beliau menyebutkan sambungan ayat selanjutnya, tetapi berkata: ”Agar kamu beribadat kepadanya dengan sepenuh perasaan perhambaan, bukan perasaan tamakkan balasan. Bagi golongan sufi, memandang syurga itu adalah suatu maksiat, dan menuntutnya pula adalah suatu kekurangan bagi hak abid.” (Al-Ta’aruf Li Mazhabi Ahli al-Tasawuf, halaman 141 ).

    Kerana itulah al-Kalabazi menceritakan bahawa sekumpulan orang datang melawat Rabi’atul al-‘Adawiyah yang sedang sakit untuk menanyakan keadaannya. Rabi’atul al-‘Adawiyah telah menjawab, ”Demi Allah! Aku tidak tahu punca penyakitku selain daripada kerana ditawarkan syurga kepadaku, dan aku menoleh kepadanya dengan hatiku. Aku sangka tuhanku mencemburui perbuatanku itu, lalu Dia mencelaku dengan celaan yang sungguh-sungguh.” (Halaman 155).

    -----

    Sedangkan jika kita bersangka baik dengan ahli sufi bahawa mereka ingin beramal ibadah semata-mata kerana Allah dan tidak mengharapkan imbalan yang lain, dan jika kita menyelidiki sendiri firman Allah banyak yang menyentuh mengenai keikhlasan :



    1. Surah al-Bayyinah: Ayat 5



    وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

    Maksudnya: “Dan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk beribadat kepada Allah dengan hal keadaan mengikhlaskan bagi-Nya agama.”



    2. Surah al-Nisaa’: Ayat 146



    إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَاعْتَصَمُوا بِاللَّهِ وَأَخْلَصُوا دِينَهُمْ لِلَّهِ

    Maksudnya: “Melainkan orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki amal soleh dan mencari keselamatan/perlindungan dengan Allah dan mengikhlaskan agama mereka bagi Allah.”



    3. Surah al-An’am: Ayat 162-163



    قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (162) لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ (163)

    Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad!). Sesungguhnya solatku dan ibadatku dan hidupku dan matiku hanyalah bagi Allah, Tuham Semesta Alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan itulah aku diperintahkan dan akulah orang yang pertama-tama di kalangan orang Islam (yang menyerahkan diri).”

    4. Surah al-Zumar: Ayat 2-3



    فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ (2) أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ

    Maksudnya: “Maka beribadatlah kepada Allah dengan hal keadaan mengikhlaskan agama bagi Allah. Dan tidakkah bagi Allah itu agama yang tulus.”

    WaLlahua'lam

    ReplyDelete
  37. Artikel mengajar ke arah tarekat tidak akan di layan di Laman Emjay

    ReplyDelete
  38. Terpulang kepada tuan untuk melayan atau tidak. Saya tidak apa-apa kerana laman ini hak tuan. Namun dunia ilmiah akan melihat tuan tidak mahu bertanggung jawab atas semua tuduhan tuan.

    Dan tuan hanya mampu copy paste tulisan orang lain dan berkata "tulisan ini saya copy paste dari ulama sekian sekian. Tanyalah mereka atau debatlah mereka". Maka inilah sikap bertaqlid yang sebenarnya dan bukan ittiba' yang dikehendaki oleh manhaj salaf.

    Dan saya siap sedia menunggu tulisan tuan untuk menyatakan zikir tariqat, segala maqam dan ahwalnya itu sesat dan tidak bersumberkan al-Quran dan Sunnah, dan juga ijma'.

    Saya fikir semua pembaca yang menulis di atas ternanti-nanti hujah penyesatan tuan itu, yang keluar dari tangan dan pemikiran tuan sendiri.

    Saya pernah tanyakan tuan guru Tauhid saya (ada saya tuliskan dalam kategori "aku dan hidupku" dalam shahil.wordpress.com), "mengapakah begitu mudah orang zaman ini menyesatkan amalan ulama tahqiq dahulu seperti berzikir dan sebagainya?". Jawab tuan guru saya, "kerana orang sekarang sudah tidak mampu lagi berzikir beribu kali sebagai tuntutan al-Quran, maka jalan yang ada diakal mereka ialah itu sesat"

    Saya berserah diri kepada ALLah atas segala tuduhan penyesatan dari tuan.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  39. AstaghfiruLlah, pemilik blog ini tidak amanah dalam ilmunya. Bila dinyatakan kebenaran terus dipadam.

    ReplyDelete
  40. Ust emjay..,


    Ustaz emjay...moga Allah beri petunjuk. Ulama2 dulu beratus2 guru mereka. Mereka bukan ta'asub pada satu guru kemudian kata yang lain tak betul Mereka mengkaji seluruh Ilmu2 islam.

    Toriqat Sufiyyah adalah amalan Nabi Sallallahu Alayihi Wasallam. Sesiapa nafikan Toriqat Sufiyyah adalah dia menentang Sunnah Nabi dan boleh jadi murtad. Sila baca kata2 Ulama Ahlus Sunnah didalam Kitab Ihya Ulumuddin, Kitab Sirrus Salikin dan banyak kitab2 lagi. Bawalah bertaubat...!

    ReplyDelete
  41. Ust emjay....moga mendapat petunjuk. Kalau ust nak saya boleh petik kata2 Ulama2 Ahlus Sunnah berkenaan Toriqat Sufiyyah.

    Jangan mudah2 nak salahkan Toriqat apalagi menafikannya kerana ia adalah Sunnah Nabi. Bawalah bertaubat.

    Ust ni kan suka baca kitab2 Ibnu Taimiyyah...ini kata2 Ibnu Taimiyyah tentang Toriqat dan Ahli Sufi.



    [quote]

    In a manuscript of the Hanbali 'alim, Shaikh Yusuf bin 'Abd al-Hadi (d. 909H), entitled Bad' al-'ula bi labs al-Khirqa [found in Princeton, Sorbonne and Damascus], Ibn Taymiyya is found in a Sufi spiritual genealogy with other well-known Hanbali scholars, all except one (Say. Jilani) heretofore unknown as Sufis. The links in this genealogy are, in descending order:

    1. 'Abdul Qadir Jilani (d. 561 H.)
    2.a. Abu 'Umar bin Qudama (d. 607 H.)
    2.b. Muwaffaq ad-Din bin Qudama (d. 620 H.)
    3. Ibn Abi 'Umar bin Qudama (d. 682 H.)
    4. Ibn Taymiyya (d. 728 H.)
    5. Ibn Qayyim al-Jawziyya (d. 751 H.)
    6. Ibn Rajab (d. 795 H.)

    Imam Ibn Taymiyya Mentions some Great Shaikhs of Sufism

    And we wish to mention some of the shaikhs which Imam Ibn Taymiyya accepted from the well-known Sufi shaikhs. This is found in his volume entitled 'Ilm as-Sulook [the Science of Travelling the Way to God], which consists of the whole of volume 10 of Majmu'a Fatawa Ibn Taymiyya which is 775 pages in length, all of which is about the knowledge of the ways of true Sufism, the Science of Travelling to God, ['ilm us-sulook].

    On page 516, the third paragraph he says:

    "the great Sufi shaikhs are the best shaiks to be known and accepted, such as:
    Bayazid al-Bistami [a grandshaikh of the Golden Chain of the Naqshbandi Tariqat],
    Shaikh Abdul Qadir Jilani,
    Junayd bin Muhammad [the most well-known Sufi]
    Hasan al-Basri,
    al Fudayl ibn al-Ayyad,
    Ibrahim bin al-Adham [very famous sufi, known as Sultan of the Ascetics],
    Abi Sulayman ad-Daarani,
    Ma'ruf al-Karkhi [a well-known Sufi],
    Siri as-Saqati,
    Shaikh Hammad,
    Shaikh Abul Bayyan."

    And Ibn Taymiyya continues:

    "THOSE GREAT SUFI PEOPLE WERE THE LEADERS OF HUMANITY, AND THEY WERE CALLING TO WHAT IS RIGHT AND FORBIDDING WHAT IS WRONG."

    In Majmu'a Fatawa Ibn Taymiyya, published by Dar ar-Rahmat, Cairo, Vol, 11, page 497. Book of Tassuwuf), Ibn Taymiyya says:

    "You have to know that the rightly-guided shaikhs must be taken as guides and examples in the Din, as they are following in the footsteps of the Prophets and Messengers. And the Way (tariqat) of those shaikhs is to call people to Allah's Divine Presence and obedience to the Prophet."

    Here we find Ibn Taymiyya calling for people to take a guide and mentioning that each guide has his own method (tariqat) in calling people to the Prophet's ways. [quote/]

    ReplyDelete
  42. Assalamualaikum smuaaa..

    Jangan le 'gaduh2' , maksud saya sekali dua berbahas pastu tutp kes..
    masing2 memang berkeras..ikut le jalan masing2 yang diyakini betul
    nanti dah mati hidup semual pandai2lah jawab depan Allah SWT.

    Pasal soal Iman, Islamn dan Ihsan
    jangan disukarkan. Islam itukan memudahkan!
    Penuhi dada dengan keyakinan penuh keimanan berdasarkan rukunnya melalui hati, diucap dengan lidah kemudian dibuktikan denga perbuatan.
    Kemudian penuhi rukun Islam seiring dengan keimanan tadi. Apabila keduanya bergerak secara serentak secara istiqamah maka satu Anugerah akan diperolehi iaitu IHSAN. Ianya satu perasaan yang tidak dibuat2 iaitu kita beribadah (setiap masa walau apa situasi) seolah2 kita nampak Allah itu. Dan paling rendah kita akan sentiasa disedarkan bahawa Allah itu sentiasa memerhatikan kita. Dalam situas inilah orang selalu mengaitkan ianya dengan TASAWUF. Bukankah Tasawuf itu sekadar NAMA SAHAJA.
    Pokoknya lakukanlah dengan sepenuh jiwa SECARA SERENTAK Iman dan Islam itu, Insya Allah ....Allah itu maha melihat dan maha mengetahui akan niat isi hati itu. Seterusnya Allah akan beri 'upah' itu yang berupa anugerah selain daripada ganjaran pahala. Tapi awas, dalam waktu ini juga adanya tipudaya Iblis dan sekutunya. dan disinilah RAMAI AHLI SUFI TERJERUMUS KE DALAM NERAKA (maaf, saya terlupa sama ada ini hadith atau ulama tetapi saya memang tejupa kalimah ini dalam satu kitab). Ini kerana kesilapan dalam menterjemah Islam bila brada pada tahap 'penganugerahan' ini.

    Maaf lagi, harap faham pada penulisan ini.
    Wassalam

    ReplyDelete
  43. Assalamu 'Alaikum wr wb

    saudaraku salamlee,
    Semoga Allah memberi petunjuk kepada saya dan anda.

    Setiap penyampaian llmu wajib berdiri diatas pengetahuan yang diyakini berdasarkan Ilmu yang dipelajari dari seorang Guru yang benar yang mewarisi Ilmu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam zahir dan batinnya. Kebanyakan orang2 yang menda'wa "Ustaz" dan "Ulama" zaman ini adalah kebanyakannya tertipu dan menipu orang lain. Mengapa? Mereka hanya membaca beberapa buku agama kemudian cuba mentafsir ayat Qur'an, Hadis Nabi kemudian senang2 salahkan Ulama2 dahulu...... Atau mereka hanya belajar Agama dengan seorang "ustaz" kemudian menjadi 'fanatik" buta!

    Ulama2 silam berguru dengan ramai orang Guru, menghafal Al-Qur'an, menghafal ratusan ribu hadis dan mahir didalam berbagai bidang Ilmu Islam sebelum mereka berda'wah kepada orang lain. Cuba baca kisah Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anh. Guru beliau tidak kurang dari 100 orang. Beliau mahir didalam semua mazhab dan boleh memberi fatwa dalam mazhab2 tersebut. Beliau terkenal sebagai Ulama Tasawwuf dan Ahli Sufi serta diakui oleh seluruh Ulama2 Ahlus Sunnah (Baca Kitab Qala'id Al-Jawahir - Shaikh Yahya Al-Tadhifi kalau boleh dapatkan yang bahasa Arab dan kitab Bustanul Arifin Imam Nawawi. Dan baca lagi komentar dan pujian Ibnu Kathir kepada Shaikh didalam Tarikh)


    Saya sudah amalkan Toriqat Sufiyyah selama lebih 25 tahun. Tidak satu pun ajaran yang saya pelajari dari Guru saya bercanggah dengan syari'at Nabi. Bahkan seluruh kitab2 Ulama Tasawwuf adalah menganjurkan untuk menta'ati ajaran Al-Qur'an dan Sunnah Nabi.

    Jika ada golongan yang menda'wa ahli Tasawwuf tetapi tak mematuhi syari'at Nabi maka mereka bukan Ahli Tasawwuf.

    Perkataan saudara ..........
    "Tapi awas, dalam waktu ini juga adanya tipudaya Iblis dan sekutunya. dan disinilah RAMAI AHLI SUFI TERJERUMUS KE DALAM NERAKA" ......adalah ini dimaksudkan kepada mereka2 yang menda'wa ahli Sufi padahal mereka itu cuma menyamar dan penipu! Mereka bukan Ahli Sufi dalamerti kata sebenar.

    Saya nasihatkan anak2 muda sekarang baca dahulu kitab2 Ulama2 dahulu sebelum membuat tuduhan2 palsu dan buta terhadap Tasawwuf dan Toriqat Sufiyyah. Kerana ditakuti orang yang membuat tuduhan dan cemuhan ini terhadap Ahli Tasawwuf /Ahli Sufi
    yang benar termasuk menentang para kekasih Allah. Wal Iyazubillah.

    Dan bagi ust emjay, saya nasihatkan hentikan segala pendustaan terhadap Ahli Tasaweuf. Belajar dahulu Ilmu Agama yang benar dari Ulama2 Ahlus Sunnah zaman ini seperti Shaikh Muhammad Madni Ashrafi (India). Shaikh Umar Ben Hafiz (Yemen), Shaikh Radmadhan Al-Buti (Jordan), Shaikh Jahid Sidek (Malaysia) dan ramai lagi Ulama2 Habib keturunan Nabi di Indonesia dan Malaysia.

    Semoga mendapat pentunjuk!

    ReplyDelete
  44. Mana ilmu yang ada kat dada kamu tu dah keluar habis ke, soalan aku tu taklah susah sangat, tak bleh jawab ke? Tanyalah kat guru kau. Dalam 73 golongan, hanya 1 golongan yang pasti masuk ke syurga, ko rasa-rasa muka ko tu ada ciri-ciri tak untuk masuk ke syurga Allah SAW. Cuba tengok muka ko kat cermin. Dah elok jadi orang, nak jadi singa plak, memang padan dengan jambang yang ada, tapi silapnya cuma ekor je kat depan (itu pun pendek).

    ReplyDelete
  45. Wahabi punya emjay....!!!
    Wahabi dulu yang masuk neraka nanti.
    Dia ingat dia je... yang boleh masuk syurga, orang lain semua masuk neraka...
    hahahahahaha.................
    Jgn dilayan emjay ni, nanti semakin banyak yg dia merapu..
    Kalau diikutkan hati, mahu aku lempang je... emjay ni.
    Bye... bye.... wali emjay..

    ReplyDelete
  46. sy memang sokong tu gerakansuci ..kalau di layan makin melarat

    ReplyDelete
  47. edit delete reply
    satunasib wrote on Jun 19
    erti "ketahuilah ,bahwa dengan mengingati Allah , hati menjadi tenteram "

    ketahuilah tempat ilmu adalah hati hati yg halus iaitu yg mengatur segala aanggota tubuh . yg halus inilah yg dilayani oleh segala anggota tubuh
    yang halus ini jika dihubungkan kpd hakikat ilmu adalah cermin dgn dihubungkan dgn warna . maka segala yg berwarna iitu menpunyai bentuk dan keadaan

    ReplyDelete
  48. Imam Malik r.a. berkata:“Barangsiapa berfeqah saja tanpa bertasawuf
    maka ia fasiq dan barangsiapa yang bertasawuf tanpa berfeqah maka ia
    kafir zindik(penyeleweng), dan barangsiapa yang menghimpunkan antara
    keduanya maka jadilah ia muslim yang haqiqi”

    ReplyDelete
  49. Saya berkata, "Sekarang kamu kata ikut Al-Qur'an dan Hadis Nabi sahaja. Kamu tak pakai Ijtihad Ulama Tasawwuf sebab kononnya itu semua rekaan Ulama. Baik sekarang saya tanya satu bab mudah di dalam Islam. Cuba kamu ceritakan bagaimana kamu mengerjakan solat. Bagaimana kamu mengambil wudhu' Berapa rukun wudhu, berapa rukun solat? Apa sah dan batal solat? Cuba huraikan.

    Mereka semua terdiam sejenak. Kemudian salah seorang 'wahabi' menjawab dengan berani, "Apa soalan ni, rukun solat tentulah 13 perkara."

    Saya bertanya, "Mana kamu dapat rukun 13.? Cuba tunjukkan saya di mana didalam AL-Qur'an atau Hadis Nabi menyebut rukun 13 secara syummul dan tafsil.

    Dia menjawab : "Oh ya tentulah didalam Kitab Fiqh"

    Kitab Fiqh karangan siapa?

    Dia menjawab : Ijtihad Ulama Fiqh.

    Jadi kamu ikut Ulama Fiqh....! Kenapa ikut Ulama Fiqh.? Kenapa rujuk kitab Fiqh? Adakah Nabi amalkan Fiqh? Adakah di zaman Nabi terdapat Ilmu Fiqh?

    Jika kalian mendakwa hanya mahu merujuk kepada Qur'an dan Hadis Nabi, saya bertanya berapa banyak ayat Qur'an yang kalian hafal, berapa banyak hadis Nabi yang kalian hafal? Ayat Qur'an adalah Kalamullah, mengandungi makna2 yang sangat tersembunyi. Macamana kalian boleh bezakan ayat Qur'an yang Muhkamat atau Mutashabihat?

    ReplyDelete
  50. sebernay puak wahabi yg bersekonkong dgn yahudi utk menjatuhkan islam dari dalam telah menharamkan tasawuf daripada sebahagian unsur islam .. meraka sengaa mengatakan tarekat - tasawuf itu bidaah utk menhalang UMAT islam mengingati ALLAH S.W.T .>

    ReplyDelete
  51. saya lihat emejy mengagumi Al-Junaid dan al junaid adalah aahli sufi.


    “Sesungguhnya mereka (ahli tasawuf) mempunyai jasa yang besar dalam penyebaran Islam di daerah-daerah yang jauh terpencil yang belum ditakluki oleh tentera-tentera Islam atau yang belum dapat ditundukkan di bawah hukum Islam. Di tangan mereka itulah, Islam tersebar di Afrika, Indonesia, pulau-pulau di Lautan Hindi, China dan India.”

    ReplyDelete
  52. Abu Hasan Ali an-Nadwi pula menukilkan mengenai dakwah Syeikh Abd Qadir al-Jailani dengan katanya :


    Quote
    “Kira-kira 70,000 orang telah menghadiri majlis (ta’limnya). Lebih 5,000 orang Yahudi dan Nasrani telah memeluk Islam menerusi usahanya. Lebih 100,000 orang-orang jahat dan perompak atau pencuri bersenjata yang telah bertaubat menerusi usahanya. Beliau telah membuka pintu taubat dan bai’ah seluas-luasnya, maka orang ramai yang tidak diketahui bilangan mereka itu kecuali Allah sahaja, telah masuk ke dalamnya. Sehingga akhlak mereka menjadi baik dan demikian juga keIslaman mereka itu.”

    ReplyDelete
  53. Kepada satunasib, AMARAN terakhir, engkau kempen lagi tentang TAREQAT, saya terus halang (block) engkau dari Laman Emjay.

    Nak bagi komen boleh tetapi jangan kempen tentang TAREQAT engkau tu.

    Emjay

    ReplyDelete
  54. anda kenal sultan muhammad al fateh
    hadis nabi muhammad
    “Konstantinopel akan jatuh di tangan seorang pemimpin yang sebaik-baik pemimpin, tentaranya sebaik-baik tentara, dan rakyatnya sebaik-baik rakyat.”

    Sultan Murad II sedang membaca Al Quran tepat pada Surat Al Fath ayat 1:
    “Sesungguhnya Kami telah memberikan padamu kemenangan yang nyata.”
    Kelahirannya ada pertanda
    Menjelang kelahirannya, Sultan Murad sebenarnya sedang mempersiapkan penyerbuan ke Konstantinopel (Constantinople), ibu kota Kekaisaran Romawi Timur atau Byzantium. Setelah anaknya Muhammad lahir, datanglah seorang ulama besar Islam ke istana Sultan dan beliau mengatakan bahwa bayi itulah yang nantinya akan menaklukkan Konstantinopel

    Ulama itu bernama Syeikh Syamsuddin Al Wali dari Khurasan (sekarang Uzbekistan). Beliau adalah seorang syeikh tarekat Naqsyabandiyah. Sultan Murad sangat yakin dengan ilham Syeikh Syamsuddin Al Wali sehingga baginda menyerahkan putera mahkota yang masih kecil kepada Syeikh Syamsuddin untuk dididik.

    ReplyDelete
  55. Sultan muhammad al fateh berkata lagi, “Siapa yang sejak baligh hingga hari ini pernah meninggalkan shalat tahajud silakan duduk!” Kali ini seluruh tentara duduk. Yang tinggal berdiri hanya Sultan sendiri. Ternyata sejak usia baligh Sultan belum pernah meninggalkan shalat tahajud sehingga beliaulah yang paling pantas menjadi imam shalat Jum’at. Memang benarlah kata Rasulullah SAW, “Sebaik-baik pemimpin, sebaik-baik tentara dan sebaik-baik rakyat.”

    ReplyDelete
  56. dan tahajud adalah amalan tarekat naqsabandiyah

    ReplyDelete
  57. mengapa sultan muhammad al fateh yg mengamalkan tarekat dapat berjaya menawan kota yg hebat pada zaman dahulu ? persoalan itu saya suruh anda yg menubuh tarekat sesat khusus nya naqsabandiyah sesat ???

    ReplyDelete