Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Wednesday 22 August 2007

Perkara-perkara bertentangan Islam dalam majlis Kenduri Kahwin

Perkara-perkara bertentangan Islam dalam majlis Kenduri Kahwin

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum wbh

Sekarang ini adalah musim cuti sekolah dan dalam musim cuti sekolah seperti ini, tauke khemah, tauke ayam, tauke daging, mak andam dan tauke telur ayam selalunya tersenyum lebar kerana pendapatan mereka meningkat maklumlah ramai orang membuat majlis kenduri kahwin.

Dari semasa ke semasa saya juga diminta terlibat apabila saudara mara mengadakan majlis kenduri kahwin. Kini saya merasakan begitu ngeri sekali apabila melihat betapa umat Islam hari ini telah lari jauh dari ajaran Islam dalam menjalankan majlis kenduri kahwin.

Kali ini saya ingin membincangkan perihal majlis perkahwinan ini di kalangan umat Islam di Malaysia.

Perkara 1:

Adakah hantaran belanja termasuk di dalam ajaran Islam?
Setelah merujuk dalil berkenaan perkara ini, sememangnya hantaran belanja tidak termasuk dalam ajaran Islam. Islam hanya meminta seorang lelaki yang ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin sahaja. Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, duit, besi atau sekadar bacaan  dari Al Quran.
Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". (Surah An-Nisaa' - Ayat 4)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Riwayat Bukhari ) 

Dari hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki. 

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
" Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud )
Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
" Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Riwayat Ahmad )

Maskahwin ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulamak tidak boleh diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin ini tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin.
Hantaran belanja yang kini mencecah belasan ribu RM adalah tambahan adat Melayu yang bukan untuk memudahkan proses berkahwin tetapi sebenarnya adalah untuk menyusahkan orang yang ingin berkahwin.

Perkara 2:

Adakah bersanding dan berinai merupakan ajaran Islam?
Setelah dikaji dari sumber yang sahih dari hadis dan sunnah, sememangnya adat ini juga tidak bersumber dari ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan ajaran dari agama Hindu. Malahan adat tepung tawar yang berasal dari ajaran Hindu masih lagi dikekalkan pada hari ini. 

Apa yang saya lihat dari majlis bersanding dan berinai ini lebih kepada pembaziran dan sesungguhnya didalam Al Quran dikatakan orang yang membazir Tuhan mengatakan mereka itu adalah kawan-kawan syaitan.

Disini kita faham, membazir itu sangat dibenci Tuhan, sehingga Tuhan kata “Siapa yang membazir itu adalah kawan syaitan”. Mari kita belajar apa itu membazir? Erti membazir itu ialah menggunakan nikmat Tuhan, bukan kerana Tuhan. Menggunakan nikmat dari Tuhan iaitu wang ringgit untuk disedekahkan kepada anak yatim bukan membazir kerana ia dilakukan kerana Allah.

Menyewa dan memasang peralatan pelamin lengkap dengan pelbagai lampunya bukan dapat RM400. Sudah pastinya ini adalah satu pembaziran.

Perkara 3:

Wajarkah menyediakan tepak sirih dan sirih junjung?
Pada zaman dahulu rombongan pengantin lelaki membawa tepak sirih dan sirih junjung adalah bertujuan semoga semua ahli rombongan dan pihak tuan rumah dapat bersama-sama makan sireh, maklumlah majoriti orang zaman dahulu memang makan sireh. Apa perlunya pada zaman sekarang, beli sireh, upahkan orang menyusunnya, usung ke hulu dan ke hilir sebagai tontonan dan akhirnya ke tong sampah! Adalah jauh lebih baik bawa pizza barang 5 keping yang bersaiz besar untuk sama-sama makan iaitu ahli rombongan pengantin lelaki dan pihak tuan rumah. Kalau tak nak makan, tak payahlah bawa pizza.

Sirih junjung sah barang membazir dan menyusahkan sahaja.

Perkara 4:

Apakah sebenarnya tujuan pengantin perempuan  bermake up di majlis persandingan ini?

Antara jawapannya mungkin ialah:
1.      Supaya aku kelihatan cantik menarik
2.      Supaya orang ramai memuji aku bahawa sesungguhnya aku memanglah cantik
3.      Agar aku dapat menarik perhatian orang ramai dengan kecantikan aku
4.      Mungkin untuk menutup kecacatan  di muka saya seperti jerawat dan jeragat
5.      Engkau ingat aku ni tak cantik ke?
6.      Supaya orang tertawan dengan aku melalui kecantikan wajah aku ni.

Apa yang jelas dari bermake up adalah satu dosa sebagaimana artikel Tabarruj di http://laman-emjay.blogspot.com/2007/02/tabarruj.html dan melakukan sesuatu untuk mendapat pujian adalah riak. Semua perkara ini adalah perbuatan mungkar yang membawa dosa dan musibah dari Allah. Takutilah azab Allah dan sesungguhnya azab Allah itu perit.

Membuat sesuatu perkara semata-mata untuk mendapat dosa dan azab adalah sesuatu kezaliman dan kebodohan.

Tambahan pada 23 Ogos: Saya ada satu tambahan cerita sebagai iktibar. Ayu seorang anak yang baik dan kelihatan baik. Ayu menjaga auratnya serta bercampur dengan kaum lelaki secara sopan. Ayu belajar di sekolah aliran agama hingga tingkatan 5. Sambung pelajaran di luar negara dan berjaya mendapat pekerjaan yang baik. Ayu cukup menjaga sentuhan yang tidak perlu sehingga mengelakkan dari bersalam dengan pakcik sebelah suami adek beradek ibu ayahnya. Namun apa yang sangat saya kesalkan ialah demi untuk kelihatan cantik anggun bergaya dengan berbagai solekan make up terkini, sewaktu berinai dan bersanding, seorang jurusolek khas dari kaum lelaki mengandamkan Ayu. Juru andam lelaki inilah yang menghiaskan Ayu. Waktu ini agaknya bersentuhan dengan kaum lelaki sudah berubah hukum dari haram kepada sunat agaknya!! Begitulah seperti diajarkan oleh arwah guru, satu dosa akan menggamit dosa-dosa yang lain.

Perkara 5:

Apakah tujuan membuat majlis kenduri kahwin ini?

Berdasarkan Islam, sepatutnya majlis perkahwinan ini dilakukan bertujuan:
Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali yang miskin.

Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang fakir miskin sebagaimana mafhum hadis berikut. Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama.”


Namun kini manusia melakukan majlis kenduri kahwin ini dengan pelbagai tujuan antaranya:
1.      Memberitahu masyarakat bahawa aku mampu membuat majlis kenduri dengan penuh kemewahan dengan belanja melebihi RM20,000.00
2.      Aku ini orang berduit. Lihatlah majlis kenduri kahwin ini.
3.      Orang yang lebih miskin dari aku pun berani belanja lebih RM20,000.00 untuk majlis kenduri kahwin. Tak kan aku dengan gaji lebih besar dari dia tak sanggup belanja lebih RM20,000.00 untuk kenduri kahwin!!!
4.      Majlis mewah seperti ini barulah sesuai dengan status saya sebagai orang berduit di kawasan perumahan ini.
5.      Anak aku bukan janda atau minah kilang, kenalah buat majlis yang grand habis.
6.      Biarlah orang asyik bercerita tentang kehebatan majlis kenduri saya ini. Barulah seronok.
7.      Kalau aku keluar belanja RM20,000.00 tetapi dapat sumbangan RM25,000.00 bolehlah dapat keuntungan dari majlis kenduri kahwin ini.

Perkara 6

Mengapa hantaran belanja perlu dibayar dengan  bayaran yang tinggi?
Bayaran hantaran belanja yang tinggi tidak pernah disarankan oleh Islam. Sebagaimana telah saya jelaskan dalam perkara 1 di atas, Islam menggalakkan mahar yang rendah semoga memudahkan proses perkahwinan.

Antara tujuan mengenakan bayaran hantaran belanja yang tinggi mungkin ialah:
1.      Menilai status keluarga dan pekerjaan anak dara yang ingin dikahwini. Lagi tinggi status keluarga, lagi mahal hantaran belanja. Kalau anak dara yang ingin dikahwini ini sekadar minah kilang, murahlah sikit hantaran belanja. Kalau ada degree apatah lagi kalau berjawatan tinggi seperti doktor atau jurutera atau pensyarah, kenalah letak hantaran belanja yang tinggi. Kalau artis kenalah lagi tinggi.
2.      Boleh bermegah dengan masyarakat sekeliling. Maklumlah kalau hantaran belanja sekadar RM5000.00, macam mana nak bermegah.
3.      Lagi tinggi hantaran belanja, lagi mewah majlis kenduri boleh diadakan. Baru ada kelas!!
4.      Boleh beli set bilik tidur yang ada kelas. Nanti kalau orang masuk bilik pengantin, taklah malu atau koman sangat.
5.      Aku sudah membelanjakan sekian banyak duit untuk membesarkan dan mendidik anak perempuan aku. Siapa nak kahwin dengannya kenalah sanggup keluar duit yang tinggi. Nak beli lembu seekor pun sudah lebih dari RM2000 ini kan pula anak aku!

Sebenarnya dengan meletakkan hantaran belanja yang tinggi, inilah dia tujuan sebenarnya yang tidak disedari atau dengan disedari:
1.      Agar orang Melayu Islam semakin sukar dan melewatkan untuk berkahwin secara sah.
2.      Menggalakkan maksiat, maklumlah nak kahwin tak mampu
3.      Melatih calon menantu satu latihan yang amat penting iaitu BERHUTANG UNTUK KAHWIN.
4.      Agar anak lelaki lupa tanggung jawab kepada ibu bapanya yang telah membesarkan dan mendidik untuk sekian lama. Tiba-tiba bila baru dapat degree nak kahwin, nak beri duit kepada ibu bapa sudah tiada lagi maklumlah kena menabung untuk membayar kos berkahwin yang gila habis. Bukan cukup RM15,000.00 untuk kahwin. Itu belum masuk lagi duit ansuran kereta, sewa rumah dan potongan PTPTN.
5.      Agar belajar untuk AMBIL RASUAH DAN AMBIL KOMISYEN di tempat kerja agar memudahkan urusan untuk berkahwin
6.      Mendidik anak Melayu dengan budaya BIAR PAPA ASAL BERGAYA
7.      Agar selepas kahwin pasangan ini hidup melarat maklumlah hutang keliling pinggang. Bolehlah kelak selalu berperang suami isteri bila dah bengang.

Perkara 7

Bagaimana untuk mempastikan hari kenduri kahwin cuaca adalah baik tanpa hujan.
Bila kos makanan tetamu sahaja sudah mencecah lebih daripada RM15,000.00, tuan rumah mulalah naik risau kelak kalau waktu majlis kenduri kahwin hujan ribut dari pagi sampai petang, orang ramai tak datang, macam mana dengan makanan yang berlebihan dan paling penting tentunya duit sumbangan pun tak masuk, rugi besarlah. Bagi mempastikan hari kenduri kahwin tidak mengalami hujan ribut maka:
1.      Pergi berurusan dengan bomoh atau dukun yang boleh menahan hujan.
2.      Mengamalkan pelbagai petua orang Melayu seperti membuang pakaian dalam pengantin ke atas bumbung, meletakkan payung secara terbalik lalu meletakkan air ke dalam payung terbalik tersebut
3.      Berbagai amalan karut marut lain

Mudahnya orang Melayu untuk sesat. Allah berikan rahmat dengan diberiNya menantu dibalas pula oleh manusia dengan melakukan pekerjaan syirik. Memanggil bomoh tolak hujan adalah sesat dan mengamalkan pelbagai petua seperti di atas juga adalah sesat.

Baru-baru ini saya menghadiri majlis kenduri kahwin saudara saya.  Pada  pukul 11.45, semua keluarga, saudara mara, penanggah dan tuan rumah makan maklumlah tetamu dijangka akan datang pada pukul 12.00 tgh sebagaimana tertera dalam kada jemputan. Saya turut makan bersebelahan tuan rumah. Cuaca ketika itu memang terang benderang. Tuan rumah dalam keseronokan  dapat menantu  berkata "bagus betullah petua  dari kak chik pakai payung diterbalikkan, cuaca hari ini cukup cantik". 

Astagfirullah... saya berkata-kata dalam hati. Nak dihujah, keadaan tidak sesuai.  Saya berkata-kata di dalam hati "kalau macam ini sunnatullahnya tak lama lagi memang hujan nak turun di majlis ini". Perbuatan tuan rumah ini bagi kata bidalan diberikan susu dibalas tuba.

Dengan kuasa Allah, mulai pukul 1.00 tengahari gerimis halus sudah mula turun.  Kira-kira pukul  1.45 tgh hujan lebat turun sehingga pukul 2.30 ptg. Dalam hati saya berkata "Inilah satu pengajaran yang sangat baik kepada orang yang mensyirikkan Allah. Percaya benar payung terbalik ada kuasa untuk mengelakkan hujan turun. Sama sebiji macam orang kafir berharap kepada patung yang dibuat daripada batu, Astagfirullah...".
Secara mudahnya tetapi sukar untuk dilaksanakan ialah untuk Allah memberikan rahmatNya dengan tidak mengirimkan hujan pada hari kenduri kahwin ialah dengan pelbanyakkanlah solat sunat terutama sekali solat malam. Mintalah kepada Allah secara terus, insya Allah majlis tersebut tidak turun hujan.

Perkara 8

Majlis kenduri kahwin adalah majlis untuk berbuat maksiat, Astagfirullah...
Majlis kenduri kahwin adalah majlis memberi makan kepada orang miskin dan tetamu lain sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Kalau tak mampu buat kenduri besar, buatlah sekadar saranan Islam iaitu sekadar sembelih seekor kambing. Jemputlah orang yang perlu sahaja seperti jiran terdekat dan saudara mara terdekat. Inilah latihan yang baik dari Islam sebagaimana majlis aqiqah apabila dapat anak.

Kini dalam majlis kesyukuran majlis kenduri kahwin sudah menjadi pesta maksiat dan antaranya ialah seperti berikut:
1.      Membayar wang yang banyak kepada DJ, PA system, sistem karaoke, kugiran dan penyanyi. Ini namanya mengeluarkan duit untuk membeli dosa. Sila baca artikel  berkaitan muzik bertajuk Hukum bermain muzik dan nyanyian menurut Islam di http://emjayjb.multiply.com/journal/item/40 . Membazir sudah satu dosa. Bermain muzik dan nyanyian apatah lagi nyanyian oleh orang perempuan adalah juga dosa. Tak takut sungguh manusia dengan dosa.
2.      Bergilir-gilir anak dara belajar buat dosa iaitu menyanyi secara karaoke. Inilah platform yang amat cantik untuk menjadi penyanyi macam Siti Nurhaliza, tok guru buat dosa dengan menyanyi.
3.      Orang lelaki pula seronok mendengar nyanyian secara karaoke oleh anak dara. Redha dengan perbuatan ini adalah dosa dan kelak di akhirat Allah tuang besi cair ke telinga.
4.      Inilah masa bagi anak dara menayang body dengan pasang badan agar dapat menarik perhatian lelaki dan lebih baik lagi kalau dapat boyfriend. Mereka pakai pakaian yang ketat, tidak menutup aurat, bermake up, berminyak wangi dengan lengang lengguk badan dan punggung untuk mendapatkan perhatian. Astagfirullah....
5.      Bagi wanita yang sudah berkahwin, ada yang menjadikan majlis ini untuk menunjukkan bahawa badannya masih cantik walaupun sudah ada anak dengan memakai pakaian pelbagai fesyen yang jauh dari kehendak Islam.
6.      Menjadikan majlis kenduri kahwin sebagai majlis pesta fesyen pakaian. Ada yang terbelah mendedah peha, ada yang low cut mendedahkan buah dada yang membulat dan sebagainya.
7.      Pesta bagi wanita menunjukkan kekayaan dengan memakai pelbagai barang kemas yang mahal-mahal untuk menjadi kayu pengukur kemewahan masing-masing. Allah membenarkan barang kemas tetapi bukan untuk tontonan semua orang!!!! Ada wanita yang sanggup meminjam barang kemas untuk hadir ke majlis kenduri kahwin keran takut dimalukan.
8.      Kalau dikampung dimana masak memasak diadakan secara gotong royong, inilah satu pesta yang amat seronok iaitu PESTA KATA MENGATA DAN MENGUMPAT terutama sekali dikalangan orang perempuan, Astagfirullah....
9.      Tidak cukup dengan muzik dan nyanyian, diadakan pula majlis tari menari joget lambak. Yang muda dan yang tua tak sedar diri berjoget antara lelaki dan wanita, Astagfirullah....
10.  Disetengah tempat, majlis kenduri kahwin adalah majlis mengajar kanak-kanak lelaki untuk merokok kerana tuan rumah memang menyediakan banyak rokok secara percuma untuk semua penanggah. Hisaplah seberapa banyak yang diingini asalkan sanggup menjadi penanggah.

Saya mengalu-alukan pandangan balas lain dari pembaca agar isu ini dapat ditangani dengan sewajarnya berlandaskan Islam.

Islam menyarankan majlis kenduri kahwin tetapi realitinya majlis kenduri kahwin kini menjadi satu majlis yang mengundang pelbagai dosa, bagaimanalah Allah nak memberikan rahmatNya kepada pengantin yang baru berkahwin ini.

Sekian wassalam wallahualam

Emjay

44 comments:

  1. if !supportLists]-->9. Tidak cukup dengan muzik dan nyanyian, diadakan pula majlis tari menari joget lambak. Yang muda dan yang tua tak sedar diri berjoget antara lelaki dan wanita, masyaAllah.......MENGIKUT PANDANGAN SAYA,TAK WAJAR MENGUCAPKAN MASYAALLAH.CUKUPLAH SEKADAR KITA BERISTIGFAR,MAHU MENYATAKAN KEBENCIAN KITA PADA KELAKUAN TERSEBUT

    ReplyDelete
  2. MasyaAllah adalah untuk perkara yang indah

    ReplyDelete
  3. betul kata muaz dan merahkuning tu.

    ReplyDelete
  4. Salaam...
    masyarakat sekarang banyak keliru antara adat dan ajran Islam... jadi... kite yang faham ni, cubelah untuk menyedarkan masyarakat dan kitalah yang akan menjadi agen perubahan supaye generasi seterusnye tidak mengikuti segale adat2 yang tak perlu dan yang bertenatangan denagn ISlam..
    Istighfar banyak2..dan memohon kekuatan dariAllah supaye kite dapat menghindari dari segale kebatilan..
    media massa memainkan peranna yang sangat penting dalam memmainkan peranan dalam mencorakkan pemikiran dan pandangan masyarakat... kalu bace kat suratkhabar..banyak yang ditulis besar2 tentang wang hantaran, segale perbelanjaan dan artis2 yang datang menyanyi di majlis kahwin...padahal yang wajibnye sewakktu nikah, tak sebut pun name wali or name tok kadi..

    ReplyDelete
  5. "Untuk upacara seterusnya...majlis aqad nikah..Dengan ini dipersilakan tok kadi kita hari ini.... ustaz ........gedung..gedung..gedung..gedung..(suspend..bunyi drum)...ustaz ahmad..!!!!! Dipersilakn ustaz ahmad untuk melangsungkan aqad nikah." - Tak ke buruk kalau nama tok kadi dilaungkan dalam dewan majlis perkahwinan..

    Tajuk Berita Utama: Tok Kadi Ahmad.....bla2... tak sedap gak kalau nama tok kadi diwar-warkan.

    Yang pentingnya tak payah la buat perkara yang Islam tegah... adat boleh diikut selagi ia tidak bertentangan dengan Islam dan tidak menyusahkan.

    ReplyDelete
  6. Salam...

    Alhamdulillah...nota yg baik dari emjay.

    Saya setuju dgn teguran sahabat2 ttg "masyaAllah" tu. Harap MJ dapat edit kpd "astaghfirullah" agar kempen2 di laman maya ini lebih sempurna.

    Komen2 MJ di atas adalah yg bersifat negatif... boleh tak MJ menulis nota baru yg mengandungi sifat positif... apa yg MJ sarankan kpd bakal pengantin atau bakal tuan rumah kenduri.

    Dalam setiap manual ada DOs & DON'Ts.. harap MJ dapat listdown DOs pulak.

    Wassalam

    ReplyDelete
  7. Ya betul mienyak.... Bantahan kena ada cadangan.... Menghalang orang buat yang salah kena tunjukkan yang baik untuk orang ikut..

    ReplyDelete
  8. ikut ajelah sunnah nabi.. kan cantik...

    Tapi...

    Orang kita.. mana boleh tak buat grand2, benda ni dah jadi wajib, mesti buat, sebab suma org memandang, mesti buat semeriah habis, maklum la seumur hidup sekali..., tak best la kalau org tak puji pelamin, khemah, barang hantaran, pengantin, sampaikan bilik pengantin pun org nak tengok...

    Kadang2 si pengantin tak nak sanding2, tapi ibu bapa/sedara mara pulak yg keras suruh bersanding, sesetengah tu boleh kene histeria kalau kita pi langgar adat ni...

    ReplyDelete
  9. akukesal... ramai yang nak ikut sunah nabi. Tapi sunah nabi tu macam mana? Tu yg saya minta di"table"kan dalam bentuk komen positif... ala, macam kita tgk drama la... sebelum jadi drama tu kena ada skrip. Skrip tu la yg kita nak skrg ni... kena per"inci"kan satu demi satu, baru lah betul... lepas tu kalo pelakon buat benda diluar skrip baru la pengarah boleh bantai...betul tak?

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum wbh

    Saya mengaku tersilap menggunakan perkataan tersebut.

    Saya sudah perbetulkan.

    Kepada yang menegur saya ucapkan alhamdulillah terima kasih

    Emjay

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum wbh

    Kepada semua yang memberikan reply saya ucapkan alhamdulillah terima kasih.

    Kepada saranan sdr mienyak supaya memberikan saranan berbentuk positif, memang itulah maksud sebenar saya dan itulah sebabnya dalam srtikel tersebut di atas saya telah menuliskan "Saya mengalu-alukan pandangan balas lain dari pembaca agar isu ini dapat ditangani dengan sewajarnya berlandaskan Islam."

    Semoga forum ini menjadi sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada kita semua. InsyaAllah kita semua akan mengalami saat seperti ini. Saya pun sedang mencari model yang sesuai.

    Sekian wassalam wallahualam

    Emjay

    ReplyDelete
  12. Assalamualaikum wbt..

    Sebenarnya, hiburan semasa majlis perkahwinan juga adalah dibenarkan dalam Islam. Dan ia sangat di tuntut. Umumnya tiada nas sahih yang menyatakan tidak boleh berhibur. Cuma fokus dan batasan hiburan itu perlu diberi perhatian.

    Sekadar untuk bagi pandangan dengan menukilkan pandangan Dr Yusof Qardawi terhadap Perkara 8 - Majlis kenduri kahwin adalah majlis untuk berbuat maksiat. Hiburan yang macam mana sebenarnya yang dibenarkan dalam Islam apabila majlis kenduri kahwin diaadakan. Ikutilah penjelasan ini yang bersumberkan hadith nabi s.a.w.


    ~~~~~~~~~
    Di antara hiburan yang dapat menghibur jiwa dan menenangkan hati serta mengenakkan telinga, ialah nyanyian. Hal ini dibolehkan oleh Islam, selama tidak dicampuri omong kotor, cabul dan yang kiranya dapat mengarah kepada perbuatan dosa. Dan tidak salah pula kalau disertainya dengan muzik yang tidak membangkitkan nafsu. Bahkan disunatkan dalam situasi gembira, guna melahirkan perasaan riang dan menghibur hati, seperti pada hari raya, perkawinan, kedatangan orang yang sudah lama tidak datang, saat walimah, aqiqah dan di waktu lahirnya seorang bayi.

    Dalam hadis diterangkan:

    "Dari Aisyah r.a, bahwa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat laki-laki Ansar, maka Nabi bertanya: Hai Aisyah! Apakah mereka ini disertai dengan suatu hiburan? Sebab orang-orang Ansar gemar sekali terhadap hiburan." (Riwayat Bukhari)

    Dan diriwayatkan pula:

    "Dari Ibnu Abbas r.a. ia berkata: Aisyah pernah mengawinkan salah seorang kerabatnya dengan Ansar, kemudian Rasulullah s.a.w. datang dan bertanya: Apakah akan kamu hadiahkan seorang gadis itu? Mereka menjawab: Betul! Rasulullah s.a.w. bertanya lagi. Apakah kamu kirim bersamanya orang yang akan menyanyi? Aisyah menjawab: Tidak! Kemudian Rasulllah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya orang-orang Ansar adalah suatu kaum yang merayu. Oleh karena itu alangkah baiknya kalau kamu kirim bersama dia itu seorang yang mengatakan: kami datang, kami datang, selamat datang kami, selamat datang kamul" (Riwayat Ibnu Majah)

    "Dan dari Aisyah r.a. sesungguhnya Abubakar pernah masuk kepadanya, sedang di sampingnya ada dua gadis yang sedang menyanyi dan memukul gendang pada hari Mina (Idul Adha), sedang Nabi s.a.w. menutup wajahnya dengan pakaiannya, maka diusirlah dua gadis itu oleh Abubakar. Lantas Nabi membuka wajahnya dan berkata kepada Abubakar Biarkanlah mereka itu hai Abubakar, sebab hari ini adalah hari raya (hari bersenang-senang)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Imam Ghazali dalam Ihya'nya27 setelah membawakan beberapa hadis tentang bernyanyinya dua orang gadis itu, permainannya orang-orang Habasyah di dalam masjid Nabawi yang didukungnya oleh Nabi dengan kata-katanya: karena kamu, aku melihat hai Bani Arfidah, dan perkataan Nabi kepada Aisyah: engkau senang ya Aisyah melihat permainan ini; dan berdirinya Nabi bersama Aisyah sehingga dia sendiri yang bosan serta permainan Aisyah dengan boneka bersama kawan-kawannya itu, kemudian Ghazali berkata: Bahwa hadis-hadis ini semua tersebut dalam Bukhari dan Muslim dan merupakan nas yang tegas, bahwa nyanyian dan permainan, bukanlah haram.
    Dan dari situ juga menunjukkan dibolehkannya bermacam-macam permainan:

    1.Bermain anggar sebagaimana yang biasa dilakukan oleh orang-orang Habasyah.

    2.Permainan boleh dilakukan di masjid.

    3.Sabda Nabi kepada orang-orang Habasyah: karenamu aku melihat hai Bani Arfidah, adalah suatu perintah dan anjuran untuk bermain. Oleh karena itu bagaimana mungkin permainan itu diharamkannya?

    4.Dilarangnya Abubakar dan Umar dengan alasan, bahwa hari itu adalah hari raya dan hari gembira, sedang bernyanyi adalah salah satu daripada jalan untuk bergembira.

    5.Berdirinya Nabi yang begitu lama sambil menyaksikan dan mendengarkan nyanyian yang disetujui Aisyah, adalah cukup sebagai bukti, bahwa metode yang baik untuk menghaluskan budi perempuan dan anak-anak dengan cara menyaksikan permainan adalah lebih baik darip

    ReplyDelete
  13. menghadiri pada setiap jemputan adalah Wajib...
    so mcm mana kalau majlis walimatulurus tersebut bercampur gaul dengan perkara yang terlarang...
    kalau x hadir boleh mengecilkan hati saudara kita...
    kadang2 serbasalah jg.....

    ReplyDelete
  14. mmg la wajib hajiloh oii.. tp kalau dh ada pesta maksiat dlm majlis tu..maka GUGUR LA KEWAJIPAN TERSEBUTTTTT..

    sekian..wassalam

    ReplyDelete
  15. assalamualaikum wmt....

    sekadar pandangan
    setahu saya sesetengah ulama' fikh ada menyatakan haram menghadiri kenduri yang didalamnya terdapat maksiat atau unsur2 maksiat....
    tetapi sekiranya ada kemasalahatan umum atau adat adalah terpulang kepada individu tersebut....
    sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha pengampun....
    sekian

    ReplyDelete
  16. Selemah-lemah iman adalah hati....jika tidak mampu menahan, tegur, halang, maka cukuplah menahan dengan hati...(agar tidak meredahi apa yang berlaku)....Wallahualam..

    ReplyDelete
  17. sokong anda semua...kecuali mj.... ada yang saya tidak sokong.

    ReplyDelete
  18. Assalamualaikum?

    Isu garam masih berlanjutan. saya tidak ada ilmu untuk memberi komen tentang ini cuma saya teringatkan satu kisah lama ketika saya masih bersekolah dahulu. ketika itu persatuan pengakap sering mengadakan perkhemahan di dalam hutan.
    Kami di sarankan mengunakan garam atau belerang untuk di taburkan di sekeliling kawasan kami, agar dapat menghindarkan daripada serangan binatang buas seperti ular, kala jengking dan sebagainya.(namun tidak pula dinayatakan untuk menghalau hantu dan syaitan)

    Kami di hutan juga mengunakan garam untuk masakan, untuk pemulihan tenaga (dengan menjamah sedikit garam ketika keletihan bagi mengekalkan semula tenaga yang hilang) dan banyak lagi.

    Saya fikir, tentu daripada peristiwa ini ramai yang mengunakan garam untuk menghalau atau menghindarkan hantu padahal fungsi asalnya cuma menjauhkan binatang buas yang merayap. (merayap, mengelunsur, menyusur dan sbgnya) atau mungkin ada yang beranggapan selain daripada fungsi tersebut, ianya juga mampu untuk menghalau energi-energi jahat. Wallahualam....

    Saya ada terbaca mengenai garam yang dikemukan oleh para saintis bahawa terdapat satu energi iaitu gelombang supersonic yang terhasil di dalamnya menyebabkan ianya ditakuti oleh sesetangah binatang dan sebahagiannya. Mereka ini (saintis) percaya bahawa wujud satu kesan sampingan iaitu gelombang yang tidak kedengaran yang hanya boleh didengari dan dialami oleh mahkluk lain selain manusia seperti anjing yang mampu mendengar siulan kecil yang memekakkan telinga. (Namun tidak kedengaran pula oleh manusia) Wallahualam....

    ReplyDelete
  19. Betul kata pena tumpul..... jangan sampai jdkan garam sbg tangkal.

    ReplyDelete
  20. Bagaimana nak elakkan perkara-perkara macam ni berlaku kalau dah ayah sendiri nak dan mak pun tak kisah terutama kalau ayahnya kaki karaoke dan mempunyai kawan2 yang seangkatan dgnnya. kalau bertegas di takuti nikah tak disetujui terus.lagi haru..

    Sekadar meminta penjelasan dan panduan menangani situsi begini.

    ReplyDelete
  21. Assalamualaikum wbh qusyairy

    Bukan mudah untuk menjadi orang beriman. Antara syaratnya ialah kena kuat istiqamahnya. Masuk syurga memang bukan percuma. Setiap rahmat dari Allah juga bukan percuma. Ia perlukan pengorbanan.

    Semoga qusyairy diberikan Allah SWT kekuatan kesabaran dan istiqamah dalam mengharungi ujian yang berat ini.

    Emjay

    ReplyDelete
  22. salam, ustaz boleh berikan panduan mengadakan walimatul urus mengikut sunnah, sy lebih rela dpt redha ALLAH drpd dpt redha manusia...xde berkuasa pun manusia dlm mberikan manfaat.

    ReplyDelete
  23. Saya pernah pergi ke majlis resepsi kenduri kahwin yg dibuat di sebuah dewan. Tuan rumah memang kaya, dan agak moden, selepas memotong kek, pasangan pengantin telah berkucupan mulut ke mulut dan semua orang bertepuk tangan dan saya masa tu teramat confuse. Boleh ke camni? dalam pada saya duk confuse tu, ibu pengantin yang berdiri di sebelah meja saya tersenyum lebar dan bercakap pada para tetamu, "takpelah...diorang dah kawin"...hmph...caner tu?? kalau cium pipi tu saya selalu la tengok lepas akad nikah tapi cium mulut dalam majlis perkahwinan orang2 melayu ni, itulah kali pertama saya tengok..memang dah terlalu moden...entahlah....

    ReplyDelete
  24. Begitulah, ramai antara kita mengikuti orang kafir sedikit demi sedikit sehingga akhirnya mereka masuk lubang biawak pun kita ikut juga (begitulah maksud sebuah hadis)

    ReplyDelete
  25. Sama2lah kita sebarkan kepada masyarakat supaya di jauhikan Perkara-Perkara Bertentangan Islam dalam Majlis Kenduri Kahwin.
    Dalam nak cari redha Allah, jgn sampai mendapat murkaNya..

    ReplyDelete
  26. Majlis kita, tanggungjawab kita. Pastikan tidak di cemari dgn maksiat. Sekian.

    ReplyDelete
  27. Memang betullah sebagai kata-kata sdr adamiqdad

    Emjay

    ReplyDelete
  28. Jazakallah... topik yang mmbuka minda! semoga kita akan ditetapkan hati dalam menuju jalan keredhaan Nya jua.

    ReplyDelete
  29. Majlis Kenduri Kahwin di Johor...mengapa menyusahkan kami susah sangat nak ikut agama?

    ReplyDelete
  30. salam, sy stuju dgn artikel ni, mmg dh lame nk cari guideline majlis kawin yg mengikut sunnah, harap ade sape2 yg tau dan beri tunjuk ajar..wsalam

    ReplyDelete
  31. Mengadakan majlis kahwin yang benar2 mengikut lunas2 islam amat sukar di zaman sekarang. Jika si anak berkeinginan untuk mengikut cara yang betul tapi belum tentu lagi dipersetujui oleh mak ayahnya. Jadi satu pelaksanaan kesedaran menyeluruh buat seisi keluaga amat perlu agar islam di dalam perkahwinan itu nampak cantik.

    ReplyDelete
  32. Salam

    Interesting article to share. Saya minta izin copy/paste ke blog saya.

    ReplyDelete
  33. masyarakat hari ini....adat lebih di utamakan dari sunnah......masing2 berlumba untuk kemewahan semata2.....nauzubillah..

    ReplyDelete
  34. masyarakat hari ini...adat di dahulukan...kemewahan di utamakan

    ReplyDelete
  35. Memang betullah tu ucuaja

    Emjay

    ReplyDelete
  36. Assalamualaikum. Saya pelajar lulusan degree dan bekerja sbg jurutera, dan ingin berkahwin utk mengelakkan maksiat. Tapi masalahnya adalah keluarga yang mahu membuat besar besaran, hantaran y mahal2, bersanding dan bertepung tawar dan dipenuhi adat walaupun saya menolak. jadi saya nak minta pendapat mcmmana nak bincang dgn keluarga supaya majlis dapat dilalukan dengan sempurna? Saya hargai mereka mahu mendapatkan y terbaik, tetapi saya xbersetuju dgn adat y saya rasakan menyesatkan, dan membazir dengan hutang dan lain lain. Sebarang pendapat didahului dgn terima kasih, :)

    ReplyDelete
  37. Waalaikumussalam wbh

    Menyentuh perkara sebagaimana sdr sebutkan adalah bagaikan perang Badar di zaman Nabi. Sekadar menyuarakan pendapat kepada ayah ibu untuk menentang adat-adat ini, pada pendapat saya adalah membazir dan sdr akan kalah.

    Untuk menang dalam pertempuran ini, sdr kena minta kekuatan dari Allah SWT. Caranya ialah lakukan ibadah mana-mana yang sdr mampu dan paling penting sekali Solat Malam tahajud 8 rakaat dan witir 3 rakaat. Buatlah beberapa malam kalau dapat seminggu, berdoa bersu ngguh dan barulah berbincang dengan ibu ayah. Mudah-mudahan Allah SWT memudahkan urusan sdr.

    Emjay

    ReplyDelete
  38. fazila:
    assalamualaikum..saya inigin bertanya adakah hiburan seperti berzanji,marhaban dan seangkatan dengannya termasuk dlm haram sekiranya majlis kahwin seperti ini kita hadiri

    ReplyDelete
  39. bang aji ni kadang kadang cakap x serupa bikin

    ReplyDelete
  40. jangan sampai kain sendiri yang terlondeh

    ReplyDelete