Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Sunday 29 March 2009

Segala puji hanya bagi Allah dan …….?


Bismillahirrohmanirrahim

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Assalamualaikum wbth
(Updated 28 Disember 2019)

Lama rasanya tidak menulis untuk Laman Emjay. Maklumlah bagaikan kain singkat, di tarik ke atas nampak peha dan di tarik ke bawah nampak kemaluan. Saya masih menjawat jawatan pensyarah di UTM, insya-Allah saya akan pencen lagi 5 tahun. Jadi apabila sibuk dengan pelbagai tugas hakiki, terpaksalah yang ini dberikan keutamaan. Kini makmal-makmal di bawah kawalan saya perlu dikemaskini mengikut 5S, menyebabkan tugas semakin bertambah. Namun saya berdoa agar Allah SWT memberi rahmatNya semoga saya dapat menulis dengan lebih kerap.

Tidak lama dahulu seorang pembaca Laman Emjay diizinkan Allah SWT untuk bertemu dengan saya. Dalam pertemuan tersebut hamba Allah yang saya namakan Ahmad telah meminta izin untuk belajar dengan saya. Bagi saya mudah, ilmu saya tidak banyak namun setiap ilmu yang diberikan Allah kepada saya akan kelak disoal di akhirat “Emjay, apa yang telah kamu buat dengan ilmu yang Aku berikan kepada kamu?”. Beratlah balasannya jikalau saya menjawab “Saya hanya gunakan untuk diri saya sendiri”.

Di dalam pertemuan tersebut saya menceritakan kaedah saya mengajar. Pada waktu dahulu saya mengajar seorang dengan seorang. Alhamdulillah apabila nampak hasilnya, saya lebih berkeyakinan. Selepas bertambah bilangan orang yang ingin belajar, saya usahakan kumpulan yang terdiri kira-kira 5 – 6 orang. Rupanya apabila saya mengajar secara berkumpulan ini, pertemuan hanya dapat berlaku untuk beberapa kali sahaja. Hasil dari setiap pertemuan juga tidak sebagaimana yang diharapkan seperti jika saya mengajar secara berseorangan. Saya dapati apabila mengajar secara berkumpulan, amat kurang pertanyaan yang dikemukakan maklumlah setiap dari mereka malu untuk mengemukakan soalan kerana akan diketahui oleh orang lain.

Kelas yang berlangsung bagi 2 orang juga menemui kegagalan kerana mungkin antara dua orang ini juga malu untuk bertanya, mungkin kerana takut rahsia diri diketahui orang lain.

Setelah memahami kegagalan  kelas secara berkumpulan, kini saya menjalankan kelas secara berseorangan atau secara berkeluarga. Secara berkeluarga, mereka kurang malu untuk bertanya kerana masing-masing pun sudah sedia maklum dengan masalah mereka masing-masing. Belajar secara suami isteri juga kurang bermasalah. Secara berseorangan adalah paling baik kesannya. Perbincangan secara dua hala mudah berlaku tanpa rasa malu diketahui orang lain mengenai masalah peribadi, keluarga atau saudara maranya.

Dalam kaedah berseorangan atau berkeluarga ini saya perlu mengulang setiap isi pelajaran kepada setiap mereka yang belajar. Mula-mula dahulu rasa jemu juga namun inilah sahaja caranya saya mencari keredhaan Allah mengumpul amalan untuk akhirat. Lagi banyak yang belajar lagi baik.

Banyaklah perkara meliputi diri Ahmad, isteri, anak serta ibu bapa dan saudara mara yang dapat dikongsikan antara kami dalam setiap sesi pertemuan tanpa rasa malu diketahui oleh orang lain. Saya pula perlu memegang amanah untuk tidak menceritakan rahsia berkaitan Ahmad kepada orang ramai termasuk isteri dan anak-anak saya. Namun dalam tulisan saya kali ini saya hanya ingin mengupas satu bab yang berkaitan dengan anak Ahmad yang wajar sekali dijadikan iktibar untuk kita semua.

Ahmad diberikan Allah seorang isteri serta beberapa anak dan yang kecilnya adalah seorang perempuan berusia hampir 2 tahun. Isterinya seorang doktor di sebuah hospital kerajaan. Ramai orang beranggapan  bahawa beristeri / bersuami seorang doktor adalah suatu keuntungan yang amat jelas kerana setiap penyakit yang dihadapi oleh sesuatu keluarga akan dapat ditangani dengan mudah. Namun bagi saya adalah tetap sama bagi yang beristeri bersuami doktor atau bukan doktor. Kini doktor pun dalam usia awal empat puluhan pun ada yang mengalami masalah serius dengan buah pinggang serta perlu didialisis setiap beberapa hari. Terdapat juga doktor dengan pelbagai masalah kesihatan kronik lainnya. 

Ahmad sebelumnya sudah diberikan anak lelaki dan apabila Allah memberikan anak perempuan pertama, beliau sangat gembira. Tambahan pula anak perempuannya diberikan Allah rupa paras yang cantik. Apabila melihat anak perempuan yang saya namakan Wati ini, Ahmad sangat senang hati lalu terkeluarlah pujian khas untuk Wati. Semakin hari Wati membesar dan menyerlahkan kecantikannya dan semakin banyak pujian diberikan oleh Ahmad dan juga isterinya. Kedua-dua telinga Wati setiap hari disirami oleh pelbagai pujian oleh Ahmad dan juga isterinya.

Dengan takdir Allah apabila Wati mencecah usia satu tahun, Allah mengurniakan satu penyakit pada kedua-dua telinga Wati sehingga menyebabkan telinganya mengeluarkan cairan seperti nanah dan berbau busuk. Ahmad dan isteri sangat sedih. Wati kerap dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan. Pelbagai diagnosis dilakukan oleh para doktor termasuklah doktor pakar. Ada doktor yang mengatakan penyakit Wati sebagai “Otitis Externa”. Pelbagai rawatan dan ubat yang diberikan namun penyakit telinga Wati masih berterusan. Aduh sungguh sedih perasaan Ahmad dan isteri melihatkan anak kesayangan yang diberikan Allah kelebihan kecantikan tetapi kini menghidap penyakit telinga. Kelebihan isteri Ahmad sebagai seorang doktor tidak dapat dimanfaatkan untuk memulihkan penyakit Wati.

Wati semakin membesar, setiap hari telinga Wati terus menerima pujian dari ayah dan ibunya dan penyakit telinganya masih belum dapat dirawat. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan bertukar bulan namun penyakit telinga Wati masih belum dapat dipulihkan. Sedih Ahmad dan isteri bukan kepalang memikirkan penyakit Wati. Berbagai persoalan bermain di kepala. Adakah Wati akan membesar dan dewasa bersama dengan penyakit telinganya?

Kini penyakit Wati sudah menjangkau enam bulan. Enam bulan yang amat menyedihkan. Kegembiraan menerima Wati hanya sekadar satu tahun sahaja. Kini Ahmad dan isteri tidak sudah-sudah dirundung malang.

Tidak lama selepas itu Ahmad mula belajar di rumah saya. Seminggu sekali Ahmad datang ke rumah saya di waktu malam. Ahmad serius dalam mempelajari ilmu agama yang diajarkan. Kisah anaknya Wati in tidak diceritakan kepada saya. Bila tiba bahagian pelajaran RIAK, saya pun mengajarkan ilmu ini sebagaimana saya ajarkan kepada orang lain. Berikut adalah rumusan pelajaran yang diberikan kepada Ahmad:

1.      Ada pelbagai definisi riak. Antaranya, riak adalah  “perasaan ingin dipuji oleh orang lain”.
2.      Riak / bermegah / suka menunjuk adalah sifat Allah – Al Mutakabbir.
3.      Membuat sesuatu untuk dipuji adalah di larang dalam Islam dan perbuatan ini menggambarkan pelaku mempunyai sifat riak.
4.      Manusia tidak layak dan tidak berhak untuk menerima pujian  kerana sesungguhnya manusia telah berikrar di dalam bacaan fatihahnya pada setiap solat iaitu alhamdulillah hirobbil’alamin  الحمد لله ربّ العالمين yang bererti “Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
5.      Nabi mengajarkan melalui hadisnya bahawa sekiranya ada manusia yang memuji kita, hendaklah kita mengambil pasir lalu melontarkan pasir ini ke muka orang yang memberi pujian ini. Hadis ini sungguh menjelaskan bahawa manusia tidak boleh menerima dan memberi pujian kerana segala pujian HANYA milik Allah SWT semata-mata. Dari Abu Ma’mar, ia berkata, “Ada seorang pria berdiri memuji salah seorang gubernur. Miqdad [ibnul Aswad] lalu menyiramkan pasir ke wajahnya dan berkata,
Kami diperintahkan oleh Rasulullah –shallallahu ‘alaihi wa sallam- untuk menyiramkan pasir ke wajah orang-orang yang memuji.” (HR. Muslim no. 3002)
6.      Manusia tidak boleh memuji manusia atau makhluk lain kerana hanya Allah yang layak menerima pujian.
7.      Melakukan riak hanya merugikan dan mengundang pelbagai masalah. Fahamilah hadis berikut:
“Diriwayatkan daripada Jundub al-Alaqiy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang (melakukan satu amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, Allah akan memperlihatkan kecacatannya”
                                          (Bukhari & Muslim: 1720)
8.      Sekiranya manusia faham hadis berikut, semua manusia tidak akan melakukan riak kerana riak amat merugikan serta menjadikan pelakunya syirik!!  Abu Darda’ Ridzwanullah ‘alaihim meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda mafhumnya:
“Menghindarkan amal dari digembar-gemburkan (diceritakan kepada orang lain), mengerjakannya lebih sukar dari mengerjakan amal itu sendiri. Seseorang mungkin melakukan suatu amal (soleh) lalu dicatat sebagai amal soleh yang dibuat secara “sir” (senyap-senyap). Dengan itu pahala ganjarannya dilipat-gandakan sebanyak tujuh puluh kali ganda. Tetapi syaitan tidak membiarkannya. Syaitan terus merasuknya sehingga ia menceritakan dan menyatakan kepada orang lain. Maka catatan amal itu pun ditukar kepada catatan amal  alaniah (terang-terang). Dengan itu ganjaran pahalanya (sebanyak tujuh puluh kali ganda) dihapuskan. Kemudian syaitan terus mendesak orang tersebut agar menyatakan lagi bagi sekian kalinya tentang amalnya. Maka ia sendiri pun suka kalau disebut-sebut  hal itu dan terus menerus dipuji. (Akibatnya) catatan amalan tersebut sebagai perbuatan amal alaniah dipadamkan dan ditulis sebagai perbuatan riak. Sebab itulah orang yang paling bertakwa ialah orang yang paling melindungi agamanya. Sesungguhnya riak adalah syirik”
                                            (Hadis riwayat Baihaqi)
9.       Perbuatan yang ikhlas adalah amalan yang diterima Allah iaitu perbuatan yang langsung tidak mencari pujian dari manusia dan semata-mata mencari redha di sisi Allah SWT.
10.  Elakkan perbuatan memuji dan suka di puji.
11.  Orang perempuan ramai yang suka dipuji seolah-olah mereka ingin menjadi seperti Allah SWT.

12.  Riak dikategorikan Islam sebagai SYIRIK kerana manusia ingin memiliki sifat Allah iaitu  Al Mutakabbir. Memang Allah sahaja yang berhak dipuji dan memang Allah SWT suka di puji.

13. Mati syahid berjihad berperang di jalan Islam pun boleh tersasar dari syurga lalu ke neraka akibat riak. Dari Abi Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya manusia pertama yang diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah. Dia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatan (yang diberikan di dunia), lalu ia pun mengenalinya. Allah bertanya kepadanya : ‘Amal apakah yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Ia menjawab : ‘Aku berperang semata-mata karena Engkau sehingga aku mati syahid.’ Allah berfirman : ‘Engkau dusta! Engkau berperang supaya dikatakan seorang yang gagah berani. Memang demikianlah yang telah dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret orang itu atas mukanya (tertelungkup), lalu dilemparkan ke dalam neraka. Berikutnya orang (yang diadili) adalah seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca al Qur`an. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengakuinya. Kemudian Allah menanyakannya: ‘Amal apakah yang telah engkau lakukan dengan kenikmatan-kenikmatan itu?’ Ia menjawab: ‘Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya, serta aku membaca al Qur`an hanyalah karena engkau.’ Allah berkata : ‘Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar dikatakan seorang ‘alim (yang berilmu) dan engkau membaca al Qur`an supaya dikatakan (sebagai) seorang qari’ (pembaca al Qur`an yang baik). Memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka. Berikutnya (yang diadili) adalah orang yang diberikan kelapangan rezeki dan berbagai macam harta benda. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengenalinya (mengakuinya). Allah bertanya : ‘Apa yang engkau telah lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab : ‘Aku tidak pernah meninggalkan shadaqah dan infaq pada jalan yang Engkau cintai, melainkan pasti aku melakukannya semata-mata karena Engkau.’ Allah berfirman : ‘Engkau dusta! Engkau berbuat yang demikian itu supaya dikatakan seorang dermawan (murah hati) dan memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeretnya atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka.’” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam perjalanan ke rumah, Ahmad bertaubat dan  bertekad untuk tidak lagi memuji anaknya Wati. Apabila bertemu isteri, beliau terus menasihati isterinya agar jangan lagi memuji anak perempuan kesayangan mereka iaitu Wati. Isterinya menerima nasihat tanpa bantahan.

Sebaik-baik Ahmad dan isteri tidak lagi memuji Wati, satu keajaiban telah berlaku melalui rahmat Allah iaitu telinga Wati tidak lagi mengeluarkan cairan. Telinga Wati telah pulih dengan begitu sahaja. Itulah Allah SWT Tuhan yang berkuasa, mencipta dan mentadbir sekelian alam. Dengan kuasaNya, apabila lubang telinga Wati tidak lagi menerima pujian dari ibu ayahnya, terus sahaja Allah memberikan rahmatNya lalu sembuh. Selama tujuh 7 bulan Ahmad dan isteri menanggung azab melalui penyakit telinga bernanah yang dialami Wati kini menjadi sejarah. Wati sembuh dan ubatnya ialah “jangan lagi memberikan pujian kepadanya”.

Sesungguhnya Allah memang berkuasa, mengambil ubat yang terbaik namun kalau Allah tidak mengizinkan, pastinya penyakit tidak akan sembuh. Diantara mereka yang berurusan mengenai masalah atau penyakit mereka dengan saya, ada yang selesai atau pulih dalam masa yang singkat tetapi ada yang amat sukar untuk keluar dari masalah atau pulih. Ini semua adalah kehendak Allah SWT dan pastinya ada sebabnya Allah menetapkan sedemikian. Itulah sebabnya dalam kebanyakan hal seperti masalah/musibah atau penyakit, saya amat gemar sekali mengingatkan bahawa kembali kepada mencari keredaan Allah dengan melaksanakan suruhanNya serta menjauhi laranganNya adalah perkara terpenting.

Ada terdapat kes keluarga yang amat bermasalah dari segi kewangan, apabila mereka yang terlibat menyedari kesilapan mereka dan mula kembali kepada Allah, dengan mudah sahaja masalah kewangan yang kronik ini pun selesai dengan izin Allah. Ada yang sudah menghidap kencing manis untuk belasan tahun  dengan mudah dapat pulih dengan izin Allah. Begitulah Allah SWT dengan kekuasaanNya mentadbir manusia dan alam ini.

Bagi kes Wati, apabila telinganya menerima sesuatu yang bukan haknya iaitu pujian dari kedua ibu bapanya, Allah berikan penyakit telinga. Begitulah juga apabila kemaluan yang Allah berikan digunakan di tempat yang diharamkan, janganlah sedih apabila Allah mengurniakan pelbagai penyakit kelamin seperti AIDS, siplis dan gonorea.

Sesungguhnya tentang tajuk artikel kali ini iaitu mengenai ayat kedua surah Al Fatihah, hendaklah kita semua redha dan berikrar sesungguhnya “segala puji hanya untuk Allah” dan bukanlah “segala puji hanya untuk Allah dan anak aku dan isteri aku dan diri aku dan .....”. Kita semua manusia sebagai hamba Allah sesungguhnya tidak layak untuk menerima pujian. Sekiranya seseorang isteri berjaya masak makanan yang cukup enak dimakan oleh ahli keluarga, ianya berlaku bukanlah kerana kehebatan isteri tersebut namun adalah kerana anugerah rahmat dari Allah-lah yang menjadikan masakan tersebut enak dimakan. Hujah ini adalah selari dengan maksud ayat An nisaak 79 “apa jua kebaikan (Nikmat kesenangan) Yang Engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana Yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.

Manusia sebagai hamba Allah diajarkan di dalam Islam sebagai lemah dan digalakkan sekali untuk  berikrar mengesahkan bahawa dirinya adalah lemah melalui kalimah Lahawlawala Quwatailla Billahil Aliyil Azim – “tiada daya dan upaya kecuali daripada Allah belaka?

Sesungguhnya Emjay adalah tiada daya dan upaya kecuali apa yang dikurniakan daripada Allah.

Sekian wassalam wallahuaqlam

Emjay

Sunday 8 March 2009

Persoalan arak haram dan tapai halal


Pada pukul 9.30 malam 8 Mac 2009 saya telah membuka Tranungkite Online (TKO) dan telah menemui persoalan di dalam forumnya yang bertajuk ada cikgu sains tuh tanya soalan...

kenapa arak diharamkan sedangkan tapai tak haram?.. sedangkan kandungan kedua2nya ada alkohol (?ethanol) yang formula kimianya adalah sama?..kenapa kandungan alkohol dari anggur haram tapi kandungan alkohol dari tapai atau lain2 tak haram sedangkan formula molekulnya sama?....

boleh sapa2 jawab?...

sama2lah kita berkongsi ilmu...

Berikut adalah penjelasan saya berkenaan persoalan yang dikemukakan.

Assalamualaikum wbth


Izinkan saya menegur sdr cingkoi tentang definisi araknya sebagaimana didalam laman TKO tersebut  iaitu:

Arak ialah Alkohol dlm bentuk ethyl alcohol dan merupakan sejenis dadah yang bertindak ke atas otak manusia dan seringkali menyebabkan ketagihan. Ia dihasilkan oleh sel2 ragi atau yeast yg bertindak ke atas karbohidrat yang terdpt dlm buah2an atau biji2an.

Definisi arak sebenarnya ialah: Sesuatu yang mengandungi alkohol yang memabukkan dan dikenali juga dengan panggilan minuman keras.

Penjelasan dari sdr cingkoi di atas tidak boleh diterima kerana semua arak memanglah mengandungi alkohol dalam kadar peratus yang berbeza disamping ia juga mengandungi air, glukos, vitamin dan garam mineral. Semua arak mengandungi alkohol dari jenis ethyl alkohol atau pun nama lainnya etanol tetapi etanol semata-mata adalah bukan arak kerana tidak ada pun arak yang terdiri semata-mata hanya etanol. Tambahan pula etanol selain boleh dihasilkan dari proses penapaian ragi / yeast , ia juga boleh dihasilkan di dalam makmal tanpa melibatkan langsung proses penapaian.

Secara umumnya, arak boleh di kategorikan kepada:
  1. Bir mengandungi 6% alkohol etanol
  2. Wain yang mengandungi 10-20% alkohol etanol
  3. Wiski yang mengandungi 35% alkohol etanol

Apa yang diharamkan oleh Islam adalah arak yang mana arak ini terdiri daripada air, karbohidrat (glukos), mineral, vitamin dan etanol iaitu sejenis alkohol.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada Ibn Umar mafhumnya:
“Daripada Ibn Umar, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda; semua yang memabukkan adalah arak, dan semua yang memabukkan adalah haram”.

Jumhur ulamak mengelaskan arak sebagai najis. Apabila arak ini dikategorikan sebagai najis, apa yang najis bukanlah etanol sahaja yang terkandung di dalam botol arak tetapi apa yang dihukumkan najis adalah juga keseluruhan arak yang terdiri daripada air, karbohidrat, mineral, vitamin dan etanol. Air di dalam arak adalah najis dan begitulah juga vitamin yang terkandung di dalam arak. Sekiranya diasingkan air daripada minuman arak yang 100% terdiri hanya air, ia adalah tetap di katakan najis kerana air ini berasal dari najis arak. Sekiranya etanol dari arak ini diasingkan lalu menjadi 100% etanol, ia tetap najis kerana berasal dari najis arak. Namun sebarang etanol yang diperolehi selain daripada arak, ia adalah tidak najis. Kebanyakan alkohol di makmal tidak diperolehi daripada arak.

Nasi yang dimasak pada tengahari atau petang apabila dibiarkan semalaman lalu di makan keesokan harinya, ia sudah mengandungi sedikit alkohol. Alkohol di dalam nasi ini boleh diasingkan melalui proses penyulingan. Persoalannya adakah nasi yang berusia hampir 24 jam ini dihukum sebagai haram kerana mengandungi etanol?? Hukumnya tetap halal dan masih harus dimakan kerana nasi ini tidak memabukkan hatta kalau dimakan sebanyak 3 pinggan.

Tapai pulut dan tapai ubi sangat sedap  sekali. Ia dibuat dengan memasak pulut atau ubi sehingga masak dan setelah masak ia disejukkan pada suhu bilik. Selepas sejuk ia dicampurkan dengan ragi yang sudah ditumbuk halus. Kemudian ia dibungkus atau dibiarkan dalam periuk atau sebarang bekas selama 2 atau 3 hari. Menjadilah makanan ini tapai pulut atau tapai ubi. Amat manis sekali dan sungguh menyegarkan.

Proses membuat tapai ini dinamakan Proses Penapaian di mana yeast atau ragi tersebut menukarkan karbohidrat kanji di dalam pulut atau ubi menjadi glukos di samping pembebasan air, karbon dioksida dan pelbagai vitamin lain sebagai hasil sampingan.  Proses penukaran karbohidrat kepada glukos ini tidak terhenti disitu kerana ragi /yeast akan terus menukarkan glukos yang terbentuk kepada etanol.

Daripada penjelasan ini bermakna, tapai ubi / pulut yang telah diperam selama 2 atau 3 hari tersebut telah mengandungi  air, glukos, etanol selain vitamin dan produk lain. Persoalannya ialah adakah tapai ini haram dan najis kerana kandungan di dalamnya adalah menyamai dengan minuman bir??

Jawapan kepada persoalan ini ialah tapai pada usia 2 atau 3 hari ini adalah halal  kerana ia bukan sesuatu yang memabukkan. Kalau minum / makan tapai dengan kuantiti banyak  pun memang ia tidak memabukkan. Tapai pada usia ini iaitu 2 atau 3 hari hanya mengandungi sedikit kandungan alkohol etanol namun kandungan etanol dalam tapai ini adalah lebih tinggi daripada nasi yang sudah berumur hampir 24 jam.

Apabila tapai pulut atau tapai ubi ini dibiarkan pada suhu bilik untuk beberapa hari lagi, lebih banyak karbohidrat kanji ditukarkan kepada glukos dan etanol. Tapai yang sudah berusia 6 hari rasanya walaupun manis namun terdapat rasa yang tidak enak dan rasa ini sebenarnya adalah disebabkan rasa etanol. Pada usia tapai 6 hari ini, kandungan etanol di dalam tapai boleh menjangkau lebih daripada 6 atau 7 peratus iaitu menyamai kandungan etanol di dalam bir. Sekiranya kita makan tapai ini bersama airnya dalam kuantiti satu gelas besar, insya-Allah muka akan menjadi warna kemerahan dan kepala mula pening dan inilah yang dikatakan MABUK. Pada tahap ini tapai yang asalnya adalah harus telah menjadi haram kerana ia memabukkan.

Bagi mereka yang ingin sekali minum arak, mereka selalu berhujah “saya tahu bir memabukkan tetapi kalau saya minum sedikit bir pastinya ia tidak memabukkan”. Persoalan seperti ini adalah persoalan yang diajarkan oleh syaitan semoga manusia minum bir.

Jumhur ulamak telah memutuskan bahawa “setiap yang apabila diminum banyak memabukkan, maka sedikit pun adalah diharamkan.” Berdasarkan ketetapan ini maka bir adalah diharamkan sama ada ia diminum sedikit atau pun banyak.

Terdapat minuman bir tanpa alkohol dan adakah minuman ini diharuskan?? Dari penjelasan saya di atas telah dinyatakan bahawa minuman arak adalah najis. Najis ini merangkumi segala komponen arak ini termasuk air, glukos, etanol, vitamin dan segala garam galiannya. Sekiranya arak yang terbentuk ini disuling untuk mengeluarkan segala alkohol etanolnya sehingga tidak ada lagi baki etanol dalam arak ini, umat islam tetap tidak boleh minum arak tiada alkohol ini kerana ia adalah tetap dihukumkan sebagai najis.   

Pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan di Ipoh pada 11-14 April, 1984, Majlis Fatwa telah mcngambil keputusan tentang alkohol iaitu:
1.      Setiap minuman arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol itu daripada arak. Alkohol daripada proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum. Berdasarkan keputusan ini, pembuatan Mousy dan Malt Extract adalah haram.

2.      Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disulingkan adalah haram diminum.

3.      Minuman ringan yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.

4.      Tapai halal dimakan

5.      Alkohol yang terjadi secara sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boIeh dimakan.
6.      Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol hukumnya harus dan dimaafkan.

Apa yang perlu ditegaskan berhubung keputusan majlis fatwa nombor 4 di atas yang mengatakan bahawa tapai halal dimakan adalah tidak mencukupi atau tidak lengkap. Memanglah tapai yang berusia 2-4 hari adalah halal dimakan dan tidak memabukkan tetapi tapai yang dibiarkan pada suhu bilik melebihi 5 atau 6 hari adalah haram dan memabukkan. Namun tapai yang dibeli dan  disimpan di dalam peti sejuk insya-Allah boleh terus dimakan walaupun berusia  seminggu kerana proses penapaian oleh ragi / yeast adalah teramat perlahan apabila disimpan di dalam peti sejuk kerana suhunya yang rendah.

Apa yang menarik sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Islam ialah apabila arak ini telah bertukar kepada cuka, ia menjadi halal semula. Bermula sebagai halal iaitu pulut dan ubi serta tapai, kemudian ia bertukar kepada haram apabila menjadi minuman memabukkan namun apabila ia bertukar kepada cuka, ia kembali halal walau pun di dalam cuka ini mengandungi sedikit etanol yang masih belum sempat bertukar.

Karbohidrat kanji (halal) => glukos (halal) => etanol (sedikit halal banyak haram) => cuka (halal)

Sekian wassalam wallahuaqlam


Emjay

Tuesday 3 March 2009

Tangkal kain persilatan *** di satu IPTA




Assalamualaikum wbh

Pelatih persilatan ini disuruh baring di atas kain putih ini pada satu malam.

Pada kertas tersebut pula terdapat amalan yang perlu di amalkan oleh setiap pelatih. Macam-macam salam termasuk salam kepada nabi Noh, nabi Ibrahim, Musa, Isa dan ibadallah.

Agaknya siapa yang menyuruh dan mengajarkan amalan seperti ini?? Nabi Muhamad????


Emjay