Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Sunday 25 July 2010

WANITA KALAU NAK MASUK SYURGA MEMANG SENANG……NAK MASUK NERAKA LAGI SENANG!


Assalamualaikum wrh. Wrh


Bismillahirrahmanirrahim

Pada minggu lepas seorang hamba Allah telah mengirimkan artikel http://laman-emjay.blogspot.com/2010/07/wanita-kalau-nak-masuk-syurga-memang.html  untuk tatapan kita semua. Pada kali ini, hamba Allah yang sama telah mengirimkan kepada artikel tersebut.

Dengan ini saya mempersilakan pembaca semua membaca artikel kedua hamba Allah ini sebagai iktibar kita semua.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

WANITA KALAU NAK MASUK SYURGA MEMANG SENANG……NAK MASUK NERAKA LAGI SENANG!

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wrh. Wrh

Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan Nabi tercinta Muhammad saw. Saya berdoa agar hidup ini sentiasa mendapat redha Allah swt. ….dan itulah yang paling utama dan sentiasa kita cari-cari. Artikel ini ditulis setelah berbincang dengan guru agar dapat berkongsi dengan para pembaca. Apabila hendak menulis sesuatu artikel, perkara yang paling menggusarkan saya sebagai hamba Allah yang lemah ini adalah olahan bahasa agar dapat difahami. Maklumlah bidang tugas penulis tiada kaitan langsung dengan bidang penulisan mahupun penerbitan. Kisah yang akan dipaparkan ini adalah kisah benar dan pengalaman amat berharga untuk dikongsi. Tiada lain tujuan melainkan menjadi bahan dakwah kerana Allah swt semata-mata.

Genap seminggu selepas ayahanda saya dipanggil Allah swt (meninggal), saya menerima panggilan telefon dari ibu yang masih sugul bersedih berikutan kematian arwah, memberitahu akan kematian seorang hamba Allah jiran di belakang rumah. Maha suci engkau ya Allah yang meminjamkan nyawa dan mengambilnya kembali. Tidak sesaat dicepatkan dan tidak sesaat dilewatkan. Untuk pengetahuan pembaca, hamba Allah ini pada masa hayatnya merupakan bekas tentera berpangkat Mejar. Orangnya berbadan tegap dan kelihatan gagah. Setelah berpencen pun masih digelar orang dengan panggilan Mejar(B) ……..

Setelah bersara, hamba Allah ini memilih untuk bergiat aktif dalam politik melalui parti  xxx. . Maka banyaklah program ceramah politik yang disertai merata tempat. Kalau setakat usrah dengan Ustaz2, Dato al ustaz ni biasalah dijemputnya untuk berusrah. Dalam parti xxx ini beliau berjawatan Bendahari Bahagian. Isteri simati pula pada awalnya tidak berminat dengan kerja-kerja parti tapi apabila berkawan dengan ibu mertua saya jadi minat pula. Untuk makluman pembaca, bapa mahupun ibu mertua saya ini memang bergiat aktif dalam parti xxx ni.

Saya pun tanpa berlengah lagi terus  menelefon isteri memaklumkan berita kematian tersebut. Setelah berbincang saya mengambil keputusan untuk pulang seorang diri sahaja memandangkan kami ada anak-anak yang masih kecil dan ada yang bersekolah. Saya melafazkan innalillahiwainnailaihirajiuun . Niat saya hanyalah untuk melaksanakan sunnah Nabi yang menyuruh dan menggalakkan umat Islam menziarahi jenazah. Hikmahnya, apabila menziarahi jenazah, kita akan ingat mati, bila ingat mati kita akan buat persediaan amal soleh, menghindari maksiat. Mudah-mudahan amanlah dunia ini.

Lebih kurang jam 2.30 petang saya tiba di rumah dan menziarahi ibu dan bersiap-siap untuk pergi ke rumah jiran.....tapi diberitahu oleh ibu, jenazahnya tiada di rumah. Warisnya telah membuat keputusan untuk mengebumikan si mati di kampung asal yang terletak amat jauh dari rumahnya. Astaghfirullah...... maka saya pun meminta adik lelaki yang masih lagi bercuti kerana menemankan ibu untuk memandu ke pekan R......... Sudahlah begitu, Allah menguji kami dengan kesukaran mencari kampung asal si mati. Dalam kereta banyaklah yang saya bualkan dengan adik dan menimbulkan beberapa pertanyaan. Antaranya “mengapa dikebumikan di tempat yang jauh??? Hingga menyukarkan orang kampung untuk datang berziarah”. Ada anak, tapi pihak hospital yang mengurus jenazah?? (diswastakan). Sakit apa?? ...dan pelbagai persoalan. 

Kami tiba di kampong asal si mati lebih kurang jam 3.45 petang. Maka kelihatanlah orang-orang bertahlil dan membaca yasin dibawah pimpinan kenalan si mati barangkali. Saya lalu bersalam dengan anak kedua si mati dan mengambil tempat dikaki si mati untuk berdoa. Doa saya agar rohnya ditempatkan dikalangan orang mukmin. Setelah selesai berdoa, saya meminta adik lelaki membuka kain penutup muka untuk melihat wajah jenazah. Entah mengapa dengan izin Allah, saya jadi gerun untuk membukanya. Padahal baru seminggu lepas ayahanda saya meninggal. Untuk pengetahuan pembaca, saya bukanlah kasyaf, bomoh atau memiliki ilmu ladunni yang boleh meramal sesuatu perkara dan sewaktu dengannya. Sebaik dibuka, dapatlah saya tatap wajah jenazah. Kelu dan pilu, wajahnya seakan menanggung azab sengsara. Jenazah masih mengetap bibir seakan menahan sakit. Ada terbit kesan lebam di dahi. Maha suci engkau ya Allah. Amat berbeza wajahnya ketika masih hidup!. Ampunilah dosanya ya Allah…bisik saya didalam hati.

Saya mengajak adik pulang ke rumah. Tiba-tiba terbit cadangan dari beberapa individu untuk menyembahyangkan jenazah sekali lagi walaupun telah disembahyangkan pada waktu zohor di rumah asalnya. Jenazah meninggal lebih kurang jam 10 pagi. Saya membatalkan niat untuk pulang dan turut serta bersolat. Apatah lagi bapa mertua akan tiba menziarah sebentar lagi…jadi dapatlah kami berjumpa. Sekali lagi, ketika mengangkat takbir…..lantai rumah kayu tersebut patah!..tangan kami ketika mengangkat takbir pun terangkat sama, terkejut yang amat! …kejadian yang sama berlaku pada takbir yang ke 2, dan ke 3. Saya menjangkakan lantai rumah kayu itu akan terbolos bila-bila masa..tapi bagaimana dengan jenazah??.Alhamdulillah sehingga solat selesai tiada apa-apa yang berlaku. Kami pun pulang…..dalam kereta saya dan adik hanya berpandangan antara satu sama lain. Balik ke rumah, saya mendapat berita-berita berkenaan jenazah seperti berikut  :

1)     Arwah menanggung azab 3 hari sebelum kematiannya hingga terbuang air kecil dan besar merata-rata di hospital.

2)     Dibawa ke hospital oleh adiknya yang paling rapat. Isterinya gagal memujuk.

3)     Tulang rusuknya patah ditekan oleh Pegawai Perubatan dan staf hospital untuk menyelamatkan nyawanya.

4)     Ketika berdepan azab sakaratul maut, isteri si mati masih boleh ke mesyuarat Parti xxx

5)     Ketika hayatnya, kerap ditinggal isteri kerana menjalankan kerja-kerja parti seluruh Malaysia termasuk sebagai perayu undi.

6)     Isteri pernah menunaikan umrah tanpa suami.....balik umrah maklumkan pada kawan-kawan wanita seronok buat ibadah tanpa suami. Ada suami leceh, penat, asyik melayan kerenah suami seperti sakit, cerewet dan lain-lain urusan.

7)     Si mati juga ketika hidupnya kurang bergaul dengan penduduk kerana perbezaan parti politik dan pernah bermasalah silaturrahim dengan jiran tetangga.

Wallaua'lam.

Emjay

Saturday 17 July 2010

KEMATIAN BAPA, PENGAJARAN BUAT YANG HIDUP….& BERSIAP-SIAP MENGHADAPINYA

Assalamualaikum wrh. Wbt

Baru-baru ini saya menerima kiriman tulisan dari seorang hamba Allah. Berikut adalah artikel yang telah ditulis oleh hamba Allah tersebut untuk renungan kita semua.

  ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


KEMATIAN BAPA, PENGAJARAN BUAT YANG HIDUP….& BERSIAP-SIAP MENGHADAPINYA

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wrh. Wbt

Saya terdetik untuk menulis artikel berkaitan kematian ayahanda tercinta dan berdoa agar diberi kelapangan masa dan kekuatan untuk melaksanakannya. Tiada daya upaya kita sebagai manusia ini hanyalah melainkan berdoa kepada Allah agar diberi pertolongan. Mudah-mudahan dengan rahmatNya dapatlah saya siapkan artikel ini untuk perkongsian dan manfaat buat pembaca yang dirahmati Allah swt.

Tanggal 30 Jun 2010 bersamaan hari Rabu, saya menerima panggilan telefon dari ibu tercinta memaklumkan ayahanda telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 11.15 pagi. Ketika itu saya sedang menduduki Bimbingan Peperiksaan PTK disebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam. Dada rasa sebak, tubuh seperti melayang di awang-awangan dan saya lafazkan ucapan Innalillahi wa inna ilaihirajiuun. (Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan sesungguhnya kepada­Nya kami dikembalikan. Ya Allah, berilah aku ganjaran pahala karena musibahku ini dan berilah aku balasan yang lebih baik dari musibah ini).

Buat pengetahuan pembaca, Ayahanda saya tidak mengalami sebarang penyakit kronik sama ada kencing manis, lemah jantung, buah pinggang dan lain-lain. Kalau adapun sakit gout itupun telah Allah tarik balik sakitnya. Pendek kata sihat wal afiat. Kakak saya yang belajar di luar Negara, adik-adik yang bertugas di Penang, Kuala Lumpur, Kuala Terengganu semua menelefon saya mahukan kepastian KERANA MEREKA TAHU ayahanda saya memang sihat, malahan boleh bertukang, menjahit, mengurus kebun kelapa sawit, mengemas rumah dan ada kemahiran dalam hiasan dalaman rumah. Majlis perkahwinan kami adik beradik diuruskan sepenuhnya ayahanda kerana kemahiran bertukang tersebut. Jadi kos pun dapat dijimatkan. Kemahiran-kemahiran itu tidak seorang pun anak-anaknya yang mewarisi.

Adik beradik saya adalah seramai 7 orang terdiri dari 3 lelaki dan 4 perempuan. Dua minggu sebelum kematiannya ayah sempat mengadakan Majlis Perkahwinan adik perempuan saya yang bongsu. Kini semua adik beradik perempuan saya telah berumahtangga.Teringat saya kenangan dulu-dulu bersama ayahanda sejak dari kecil hinggalah saat kematiannya. Garangnya bukan main, kalau kami adik beradik bergaduh akan dihadiahkannya sebatan tiap-tiap orang dengan tiga sebatan, disuruhnya kami saling bermaafan dan kena cium antara satu sama lain!. Kalau lewat solat, siaplah akan diupah juga!. Kalau berhari raya di rumah nenek, kami adik beradik kena WARNING jangan makan gelojoh, ambil sekadarnya sahaja. Jeling mata ayahpun kami dah tahu balik dari rumah nenek confirm kena bedal dengan rotan!  

Saya menelefon isteri untuk bersiap balik ke Batu Pahat. Sebelum itu, kami singgah di Sekolah Rendah Islam Hidayah untuk mengambil anak sulong. Saya sempat menelefon guru saya untuk memaklumkan kematian ayahanda. Nasihat guru saya ialah redha dan semoga taubatnya Allah terima. “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam”(Ali Imran:102). Ketika perasaan saya tenteram seketika saya menelefon beliau kembali beberapa minit kemudiannya bagi meminta panduan menguruskan jenazah sebagaimana yang Nabi suruh.

Dengan izin Allah saya tiba di Batu Pahat jam 1.45 petang. Saya berpesan kepada isteri dan anak-anak untuk menunaikan solat zohor sebelum melaksanakan apa-apa urusan. Ramai sekali orang berziarah, entah datang dari mana saya pun tak pasti. Ada yang mengaji Al Quran, ada yang menangis teresak-esak, ada yang sekadar berbual-bual di luar, ada yang berziarah lepas tu keluar rumah dan menghisap merokok dan pelbagai ragam manusia. Saya berteleku di kepala jenazah, membuka kain putih yang menutupi wajahnya, saya cium jenazah ayah dan berdoa kepada Allah swt dengan titisan airmata. Wajahnya putih bersih seperti orang tidur, malah lebih bersih dan tampak tenang berbanding ketika hidupnya. Saya lalu menemui Imam surau yang berziarah meminta izin untuk saya mengimamkan solat jenazah. Beliau amat mengalu-alukan permintaan saya katanya memang itulah yang afdal. Alhamdulillah, satu urusan selesai!

Ibu saya amat gembira atas kesediaan saya untuk mengimamkan solat jenazah. Katanya itulah wasiat arwah iaitu:
1)     jenazah diuruskan oleh ahli keluarga,
2)     anak sendiri  imamkan solat
3)     tidak usah diadakan tahlil arwah.

Jam 3.30 petang jenazah kami mandikan bersama 2 orang adik lelaki dengan penyeliaan bilal yang biasa dengan kerja-kerja pengurusan jenazah. Jam 4 petang jenazah selamat dikafankan. Ketika solat jenazah itulah saat paling hiba. Saya berdoa agar ayahanda tercinta selamat dari azab siksaan kubur, azab api neraka dan dimasukkan dalam golongan hamba yang Allah redha. Ramai yang berjujuran airmata. Setelah selesai solat jenazah saya sebagai ketua keluarga (anak sulung) memberi peluang kepada ibu tercinta, adik beradik dan ipar untuk menatap dan mencium jenazah buat kali terakhir. Dengan izin Allah swt, saya diberi kekuatan untuk bersuara dengan menegah mana-mana perempuan yang bukan mahram dari mencium jenazah. Bagi saya ini bukan majlis suka-suka atau untuk seronok-seronok!


Peristiwa Di Kuburan

Ibu tidak mengikut menghantar jenazah ke kuburan. Saya dan 2 lagi adik lelaki serta seorang lagi sahabat rapat ayahanda turun ke kubur bagi menyambut jenazah. Pilu dan sedih bukan kepalang apabila ayahanda tercinta dimasukkan ke liang lahad dan mencium tanah. Jasad yang tidak akan dapat ditatapi lagi!!!....Ya Allah ampunilah ayahku, ampunilah ayahku….itulah doa didalam hati saya. Tanah dikambus oleh kami 3 beradik dan dibantu beberapa orang lain. Moga engkau ditempatkan di kalangan orang soleh ayah!..itulah doa saya. Setelah selesai tanah dikambus saya mengambil tempat sedikit berjauhan. Ikut amalan biasa akan dibacakan talkin. Untuk apa saya pun tidak pasti kerana pada saya berdoa adalah lebih bermanfaat dan itulah yang diajar oleh Rasulullah. Seorang bilal muda mengambil posisi ditepi kubur ayahanda dan bacaannya amat jelas saya dengar....tiada lagi sesi mengajar jenazah menjawab soalan kubur oleh Malaikat seperti selalu saya dengar. Alhamdulillah, terima kasih Allah!...dan diakhiri dengan DOA yang panjang.

Rindu Melihat Kubur Ayahanda dan Pasca Kematian

Untuk pengetahuan pembaca, suatu ketika dulu antara 7 beradik saya adalah orang paling penakut dengan mayat, amat gusar apabila dengar ada orang mati!, apatah lagi kalau disuruh memandikan, kecut perut. Kubur?? Memang amat takut apatah lagi pada malam hari. Di kampung selalu ditakutkan dengan cerita hantu dan tahyul. Di kubur ada hantu kononnya!. Ayahanda pernah bergurau dengan berkata “Engkau ini penakut sangat, kalau aku mati macam mana nanti??”. Kematian itu lah kursus terbaik buat diri ini. Segala ketakutan itu hilang dengan Izin Allah swt. Kerana rindukan ayahanda saya ziarah kuburnya pada waktu malam dan subuh hari. Ber DOA, ber DOA dan ber DOA. Hadis Nabi mengajarkan kepada kita "Jika seorang hamba meninggal, maka terputuslah semua amalnya kecuali dari tiga hal; sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya."

Saya mengambil cuti selama 7 hari bagi menguruskan beberapa perkara di rumah bagi memudahkan ibu. Dalam tempoh tersebut kami hanya membanyakkan membaca Al Quran dan berdoa. Tiada tahlil tiada kenduri dan sebarang majlis. Moga Allah beri kekuatan kepada kami sekeluarga untuk beramal dengan apa yang Allah dan Nabi perintah.

Moral dari kisah di atas :

1)             Ingatlah bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Ini bersesuaian dengan ayat Al Quran “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati…”(Ali Imran: 185)
2)             Amalan ibadah yang tidak berdasarkan hadis adalah tertolak "Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kami ini yang bukan (bagian) darinya, maka hal itu tertolak."'
3)             Kematian adalah satu kursus terbaik buat yang hidup dan berfikir. Mohon dan berdoalah kepada Allah  agar diberikan hikmah bagi mendapat kefahaman.
4)             Anak-anak  hendaklah kita ajarkan dengan ilmu pengurusan jenazah dan mengenal apakah erti kematian
5)             Berbaktilah kepada anak-anak yatim kerana ia satu perkara yang  Allah perintah dan suruhan Nabi
6)             Ziarahlah jenazah dengan ilmu agar tidak melakukan perkara yang sia-sia
7)             Berdoalah kepada Allah mohon kita dimatikan dalam husnul khatimah.


Hamba Allah