Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Monday 7 March 2011

Hei God, do you really exist?? (Hei tuhan, adakah engkau benar-benar wujud?)

Assalamualaikum wbh

Beberapa bulan lalu pada tahun 2010, saya mengetuai beberapa staf Fakulti Pendidikan menjalankan kerja amal mengadakan gerai jualan di Pesta Konvokesyen UTM untuk meningkatkan tabungan Badan Kebajikan Staf Fakulti Pendidikan. Kami menjual Nasi lemak, ayam goreng, burger, air minuman dan berbagai makanan lain. Selama 4 hari kami bertungkus lumus dari awal pagi hingga ke lewat petang. Saya sendiri bersama beberapa petugas memasak nasi lemak dan sambal ikan bilisnya sebagai bahan jualan utama kami setiap hari.

Setiap malam (kecuali satu malam) saya memasak nasi lemak di rumah untuk terus dibawa ke gerai jualan keesokan harinya. Selalunya saya memulakan urusan berkenaan memasak nasi lemak ini selepas pukul 9.00 malam sesudah solat isyak.  Penat menjual seharian perlu dilupakan. Nasi lemak untuk hari esok kena dibereskan. Sedang saya leka memasak nasi lemak ini kira-kira 9.30 malam, seorang hamba Allah menelefon saya menceritakan bahawa seorang anak perempuannya yang belajar di tingkatan 4 di sebuah sekolah berasrama penuh kerasukan. Tambah parah anak  ini sudah 7 hari tidak boleh tidur. Hamba Allah  ini meminta saya segera menolong datang ke rumahnya membantu masalah anaknya.

Nasi lemak belum boleh ditinggalkan. Penat badan belum pulih namun kini bertambah tanggungjawab untuk dilaksanakan. Saya bertawakal kepada Allah SWT dan meminta kekuatan dariNya. Saya bersetuju untuk pergi ke rumah hamba Allah ini sesudah saya menyelesaikan urusan nasi lemak.

Alhamdulillah kira-kira pukul 10.30 malam saya bertolak ke rumah hamba Allah ini.  Sesampainya saya di rumah hamba Allah ini, hamba Allah ini menunjukkan anak perempuannya terbaring di atas katil sangat keletihan tetapi tidak dapat tidur. Mangsa baring di atas katil keletihan terkebil-kebil matanya tetapi tetap tidak boleh tidur. Hamba Allah ini mengambil anaknya dari sekolah berasrama penuh siang tadi setelah diberitahu oleh pihak sekolah. Anaknya sudah mula kerasukan pada siang hari tadi setelah tidak tidur selama tujuh hari.

Sebagaimana biasa saya melakukan fasa kedua iaitu melakukan pembersihan rumah tersebut dari segala gambar manusia,  haiwan, loceng dan patung. Alhamdulillah beberapa hasil diperolehi termasuk satu patung teddy bear besar kepunyaan mangsa. Kesemuanya saya letakkan di luar rumah untuk dibawa pulang bagi dilupuskan.

Sesudah itu saya masuk ke fasa ketiga iaitu berbincang lanjut dengan hamba Allah untuk mengetahui lebih lanjut masalah berkenaan anak perempuanya. Berbagai-bagai cerita termasuk cerita 3 orang guru agama lelaki di sekolah asrama penuh berkenaan yang mengamalkan berbagai-bagai ilmu songsang. Dua orang dari mereka mampu melakukan scan benda ghaib. Bagi saya 2 orang ustaz ini memang sudah jauh tersasar. Mereka kerap menakut-nakutkan mangsa kononnya dalam badan mangsa ada “saka” setelah melakukan scanning ke atas mangsa. Inilah bahana ajaran songsang ustaz garam.

Setelah memperolehi cukup bahan berkenaan mangsa dari hambaAllah, saya meminta izin untuk memanggil mangsa keluar untuk diajak berbincang. Hasil perbincangan antara saya dengan mangsa dapat disimpulkan sebagai berikut:


  1. Mangsa memang sangat mengantuk setelah 7 hari tidak boleh tidur
  2. Hari ketujuh, mangsa kerasukan
  3. Mangsa lemah ilmu tauhidnya.
  4. Kedua-dua ustaz garam di sekolahnya banyak kali menakut-nakutkan mangsa dengan melakukan “scanning” dan seterusnya memberitahu bahawa dalam badan mangsa ada saka.
  5. Kedua-dua ustaz serta ustaz ketiga sering menawarkan bantuan untuk membantu buang saka dari badan mangsa. Mangsa tambah ketakutan.
  6. Mangsa sering kali didedahkan oleh ketiga-tiga ustaz tentang cerita hantu, saka, syaitan, jin dan sebagainya dimana ini menambahkan lagi ketakutan pada diri mangsa.
  7. Pelajar lain juga ditakutkan oleh ustaz-ustaz ini tentang cerita hantu, jin syaitan dan sebagainya. Apabila pelajar bersembang sesama mereka cerita menakutkan ini selalu berkisar antara mereka dan ini menambahkan lagi ketakutan pada diri mangsa.
  8. Mangsa ada mengalami masalah berkaitan keluarganya.
  9. Kegelisahan sekian lama akibat cerita karut-marut dari ustaz-ustaz dan rakan-rakan menjadikan diri mangsa semakin tertekan dan ketakutan. Klimak dari tekanan, ketakutan serta masalah yang tidak berpenghujung membuahkan satu hasil yang amat mengejutkan. Mangsa tersasul berkata dalam bahasa Inggeris menyoal “Hei God, do you really exist??” Dalam bahasa Melayu  membawa maksud “Hei  tuhan, adakah engkau benar-benar wujud?”
  10. Selepas mangsa menyoal soalan tersebut, mangsa terus tidak dapat tidur sehingglah selama 7 hari berterusan.

Alhamdulillah terima kasih Ya Allah, segala pujian hanya untuk Allah SWT yang mengurniakan rahmatNya sehingga dapat dikenalpasti punca masalah sebenar mangsa. Dalam fasa berikut ini, saya menjelaskan punca permasalahan yang  melanda diri mangsa sebagai:


  1. Kurang ilmu tauhid
  2. Tiga ustaz di sekolah mangsa kerjanya berkempen untuk iblis menakutkan pelajar dengan ilmu tak senonoh.
  3. Akibatnya mangsa takut benda bukan-bukan seperti syaitan, hantu, sihir, saka, gangguan syaitan dan sebagainya. Sesungguhnya takut hantu melebihi takut Allah SWT adalah syirik. Orang seperti ini sudah luput takut dan harapannya kepada Allah. Allah macam tak wujud dan perkara besar dalam minda mereka hanya hantu syaitan.
  4. Ditambah rumit masalah diri mangsa dengan sedikit masalah keluarganya.
  5. Mempersoal kewujudan Allah SWT sudah sama sekali menggugurkan keimanan dan menjadikan mangsa sudah terkeluar dari agama Islam dan menjadilah mangsa sebagai seorang orang kafir. Layaklah si mangsa menerima balasan azab dari Allah SWT.
  6. Allah SWT apabila diajukan soalan dari mangsa “Hei God, do you really exist??”, sebenarnya seolah-olah Allah SWT terus menjawab soalan tersebut secara sinis kepada mangsa berbunyi “kalau engkau tidak percaya kewujudan ALLAH selama ini yang memberikan engkau pelbagai rahmat seperti tidur dsbnya, engkau tadbirlah diri engkau sendiri untuk tidur”. Sesungguhnya tidur adalah satu rahmat besar dari Allah SWT yang memberikan rahmat dan mentadbir segala sesuatu. Tanpa rahmat dari Allah serta pentadbiranNya, kita semua tidak akan mampu untuk tidur atau melakukan sesuatu apa pun.
  7. Allah SWT sahajalah yang menjadi pelindung kepada kita semua dari gangguan syaitan. Di dalam Al Quran disebutkan dalam banyak ayat seperti Al Baqarah [257]:
        Allah Pelindung (Yang melindungi dan menolong) orang-orang yang beriman.
Apabila Allah SWT melindungi kita maka terhindarlah kita dari gangguan syaitan. Selama ini mangsa tidak pernah kena kerasukan kerana Allah SWT sentiasa melindunginya. Apabila mangsa mempersoal kewujudan Allah yang selama ini melindunginya, Allah menarik balik satu rahmat iaitu perlindungan dari syaitan lalu mangsa kena kerasukan akibat diganggu oleh syaitan.

Maka sesungguhnya Allah telah menjawab persoalan yang dikemukakan oleh mangsa ini dengan tidak memberikan rahmat tidur selama 7 hari dan tidak lagi melindungi mangsa sehingga beliau kena kerasukan iaitu satu bentuk gangguan oleh syaitan.

Hamba Allah cukup terkejut dengan soalan gila yang dikemukakan oleh anak perempuan kesayangannya. Inilah bahananya mempersoalkan kewujudan Allah SWT. Namun disebalik azab perit ini terselindung satu pengajaran amat berharga kepada mangsa dan keluarganya agar jangan sekali-kali mempersoal kewujudan Allah SWT.

Setelah selesai menceritakan punca permasalahan dan Alhamdulillah sudah jelas difahami oleh mangsa, saya pun beredar ke fasa berikutnya iaitu pelan tindakan yang saya ringkaskan sebagai berikut:


  1. Mangsa perlu mengucap syahadah semula kerana sesungguhnya beliau telah terkeluar dari Islam.
  2. Ambil wuduk
  3. Mangsa perlu terus melaksanakan solat taubat dikuti dengan istigfar serta pengakuan kesalahan-kesalahan beliau terutama sekali kesalahan mempersoal kewujudan Allah SWT. Mangsa perlu minta ampun diatas segala keterlanjuran dosa berat yang telah dilakukan olehnya.
  4. Saya menganjurkan istigfar, tasbih, tahmid, takbir, ucapan  haukalah iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH (TIDAK ADA DAYA DAN UPAYA KECUALI DENGAN PERTOLONGAN ALLAH), selawat lalu diikuti permohonan doa mangsa terutama sekali minta semula rahmat tidur serta perlindungan Allah dari kerasukan. Ulangkan semula bermula dari istigfar. Buat sebanyak-banyak sehingga tidur.
  5. Mangsa serta hambaAllah perlu belajar ilmu tauhid di rumah saya.
Alhamdulillah saya meninggalkan mangsa pada awal pukul dua belas malam. Esok saya ada tugas berat menunggu menguruskan gerai jualan Fakulti Pendidikan saya. Keesokan harinya saya menelefon hambaAllah bertanyakan hal anaknya. Alhamdulillah tidak lama selepas saya balik, anak beliau sudah dapat tidur. Pada waktu saya menelefon, anaknya pun sedang tidur lena selepas solat subuh maklumlah kepenatan tidak tidur  selama 7 hari.

Malamnya Hamba Allah dan mangsa datang ke rumah saya belajar ilmu asas tauhid. Alhamdulillah kerasukan tidak lagi berulang dan rahmat nikmat tidur sudah diberikan semula oleh Allah kepada mangsa. Malam berikutnya mangsa dan hamba Allah meneruskan belajar ilmu tauhid.

Setelah beberapa hari belajar ilmu tauhid, keadaan diri mangsa sudah semakin stabil dan pada hari Sabtu, hamba Allah menghantar anaknya kembali semula ke sekolah asrama penuh untuk menyambung pelajarannya setelah satu minggu cuti.

Alhamdulillah begitulah kisah remaja yang mempersoal kewujudan Allah SWT. Kini setelah lebih 6 bulan berlalu, 3 hari lepas saya bertemu semula dengan hambaAllah. Keadaan mangsa sudah normal, Alhamdulillah. Semoga Allah SWT terus memberkati merahmati diri hambaAllah dan anaknya.

Semoga kisah benar ini menjadi iktibar untuk kita semua.

Wallahuaqlam

Emjay