Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Monday 9 July 2012

Bolehkah kita amalkan doa "Rabbi Yassir Wala Tuaassir, Ya Karim"


Bolehkah kita amalkan doa "Rabbi Yassir Wala Tuaassir, Ya Karim"
Bismillahirrohmanirrohim (Updated 14 Januari 2020)
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Assamualaikum warohmatullahiwabarokatuh
Hari ini saya sudah menyempurnakan tugasan penting setiap semester iaitu memasukkan markah, Alhamdulillah. Adalah masa untuk mebelek Laman Emjay. Di dalam Guestbook Laman Emjay terdapat soalan berbunyi begini:
“Tuan Emjay.Maaf,sy nk tanya satu soalan.Bolehkah kita amalkan doa "Rabbi Yassir Wala Tuaassir, Ya Karim" utk memudahkan urusan.Caranya dgn di wiridkan doa tsb sebyk mungkin.Sy difahamkan doa ini menjadi amalan kumpulan tarikat tertentu. Atau adakah doa ini sahih dr Rasulullah? Amalan wirid doa ini mmg byk diguna oleh rakyat negara kita.”
Rabbi Yassir Wala Tuaassir, Ya Karim. Wahai tuhanku permudahkanlah dan janganlah kau susahkan
Soalan “adakah doa ini sahih dr Rasulullah?.
Jawapan saya:
Menurut dari seorang yang saya rujukkan soalan ini, beliau berkata bahawa doa ini adalah dari hadith. Menurut beliau lagi dalam Al Quran juga terdapat doa yang mirip doa ini walau pun bukan dalam perkataan yang sama tetapi maksudnya adalah sama.
Kini saya cuba menjawab solan utama daripada penanya soalan ini “Bolehkah kita amalkan doa "Rabbi Yassir Wala Tuaassir, Ya Karim" utk memudahkan urusan. Caranya dgn di wiridkan doa tsb sebyk mungkin
Mengamalkan doa ini adalah dibenarkan kerana terdapat dalam hadis. Sekiranya tidak terdapat dalam hadis pun, doa ini sememangnya boleh di amalkan kerana selari dengan konsep doa. Dalam doa ini, orang yang berdoa meminta segala urusannya dimudahkan dan bukan dipersusahkan oleh Allah SWT.
Namun apa yang penting adalah bahawa orang yang beramal dengan doa ini hendaklah BERDOA dan bukan MEMBACA DOA. TV dan radio boleh membaca doa tetapi tidak boleh berdoa manakala manusia sepatutnya berdoa dan bukannya membaca doa.
Apa yang berlaku dewasa ini di Malaysia, ramai orang membaca doa dan bukannya berdoa. Ramai orang mengamalkan membaca doa "Robbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar"
("Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka".) QS. Al Baqoroh 201.
Sememangnya Allah SWT telah mengajarkan umat manusia untuk beramal dengan doa ini sebagaimana di dalam Al Baqorah 201. Namun kita sebagai umat Islam perlu memahami apakah itu DOA? Doa bererti memohon atau meminta sesuatu yang baik daripada Allah s.w.t yang Maha Pemurah. Allah s.w.t. menyuruh orang-orang Islam berdoa atau meminta sesuatu kepadaNya seperti firman di bawah yang bermaksud:
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kepada Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Al-Mu’min:60)
Dalam ritual doa, pemohon berkomunikasi dengan Allah SWT samaada secara lisan atau didalam hati menggunakan satu bahasa yang difahami untuk memohon sesuatu hajat. Sekiranya seseorang beramal dengan doa Robbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar hanya kerana diajarkan pak ustaz bahawa doa ini amat baik sekiranya diamalkan tanpa memahami apakah maksud sebenar doa ini, maka sesungguhnya pengamal ini telah membaca doa dan tidak berdoa.
Allah SWT melalui Surah Al-Mu’min:60 di atas menyuruh hambaNya berdoa dan bukan membaca doa!! Kalau kita sekadar membaca doa dan tidak berdoa, bagaimana Allah SWT akan memperkenankan doa tersebut??
Untuk memahami lebih lanjut, marilah kita (orang yang tidak memahami bahasa Arab @ tidak mengerti maksud doa Robbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar ) semua berdoa dengan bahasa “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka”. InsyaAllah sesudah kita berdoa dengan doa ini, hati kita akan terasa sayu dan tersentuh. Inilah antara kesan dari berdoa  dan kesan atau impak ini tidak akan diperolehi oleh orang yang sekadar MEMBACA DOA walau pun doa tersebut adalah doa yang baik sama ada dari Al Quran atau Al Hadis. Masalah sebegini tidak akan berlaku kepada orang Arab atau orang yang memahami bahasa Arab kerana sesungguhnya mereka berdoa kerana mereka mamahami apa yang telah mereka perkatakan kepada Allah SWT.
Tambah memudaratkan kepada mereka yang mengamalkan doa bahasa Arab tanpa memahami doa tersebut adalah apabila mereka beriktikad/berkeyakinan bahawa “doa ini amat baik dan boleh memberikan rahmat / perkenan”. Mereka ini sama sekali tidak memahami konsep doa dan menyangkakan bahawa amalan doa ini boleh mendatangkan perkenan bukan dari Allah SWT tetapi dari amalan doa tersebut. Inilah konsep yang diamalkan oleh orang yang membaca mantera seperti “Niat engsoon matakaji .......”. Hanya dengan membaca amalan mantera pembaca beriktikad amalan ini dapat memberikan sesuatu perkenan”. Dalam cerita Harry Porter pun terdapat banyak amalan membaca mantera yang mereka sendiri tidak faham maksudnya namun mereka beriktikad bahawa amalan membaca mantera ini akan memberikan perkenan. Ini adalah suatu perbuatan syirik.
Iblis yang masih hidup dari zaman tok Adam dahulu amat memahami perkara ini. Itulah yang diajarkan kepada rakan-rakan mereka di kalangan manusia untuk mengamalkan banyak sekali amalan sesat seperti umpamanya amalan membaca bismilah 6. 




Kononnya dengan mengamalkan bismillah 6 ini maka mereka akan memperolehi:
Fadhilat dan fungsi bismillah 6


  1. Makbul segala hajat dan cita-cita
  2. Luas rezkinya
  3. Menang dalam peperangan
  4. Penerang hati
  5. Dijauhkan dari segala penyakit.
  6. Dibaca 70 kali tiap-tiap hari aman dari ancaman raja-raja dan pembesar yang zalim yang hendak membunuhnya.
  7. Dibaca ditempat yang suci nescaya dapat melihat malaikat, jin dan syaitan.
  8. Dibaca dimalam jumaat 20 kali boleh melihat orang didalam kubur.
  9. Aman daripada binatang2 buas.
  10. Air laut menjadi tawar.
  11. Terlepas daripada terkena bunuh jika dibaca kepada tubuh badan.
  12. Jika ditulis dan dijadikan azimat atau dibaca pada sawah aman daripada ancaman babi, tikus atau burung.
  13. Terselamat daripada bahaya musuh dan seteru.
  14. Terselamat dari karam dilaut.
  15. Jika dibaca pada minyak malam jumaat tiga kali boleh memudahkan perempuan beranak jika meminumnya.
  16. Orang yang pekak jika dibaca pada telinganya selama 7 hari nescaya mendengar.
  17. Orang gila atau yang dirasuk oleh iblis apabila dibaca ditelinga tiga kali insyaAllah lari iblisnya.
  18. Boleh tawarkan segala jenis bisa termasuk bisa sengat binatang seperti lebah, ular dan ikan.
  19. Boleh tawarkan segala jenis racun dan santau, seperti yang diperbuat daripada miang rebung, ulat buku mati beragan, hempedu katak dan sebagainya.
  20. Terkeluar daripada penjara apabila dibaca bersungguh-sungguh.
  21. Dijadikan jampi untuk menghalau jin dan syaitan.
Sebenarnya apabila ada seseorang menyampaikan sesuatu amalan seperti amalan Bismillah 6 ini, semaklah sama ada amalan ini ada dalilnya atau tidak. Maksudnya ialah adakah ilmu amalan ini sahih diajarkan Oleh Allah SWT melalui Al Quran atau hadis sahih. Jika tidak ada sebarang dalil sahih maka sebenarnya siapakah yang bakal memberikan 20 fadilat sebagaimana senarai fadilat di atas? Fahamilah ayat Al Quran Surah Fussilat [23]
"Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!"

Sesungguhnya mengamalkan bismillah 6 ini hanya akan membawa pengamalnya kepada syirik kerana berharap dan bertawakal bukan kepada Allah tetapi kepada amalan bismillah 6. Inilah apa yang Al Quran maksudkan melantik Tuhan baru selain Allah SWT. Tuhan baru ini ialah amalan bacaan bismillah 6. Fahamilah Al Quran surah Saba' [22] Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu dakwakan sebagai tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi, ...."

Terjemahan bacaan Bismillah 6 hanya menjelaskan sifat Allah dan tiada sebarang doa pun di dalam bacaan tersebut. Amalan ini bukan diajarkan oleh Nabi Muhamad SAW tetapi diajarkan oleh Iblis. Kalau benarlah manfaat membaca bismillah 6 sebagaimana tulisan di atas, umat Islam hari ini sudah menguasai dunia kerana tidak ada musuh yang dapat membunuh, semua umat Islam kaya raya, sihat walafiat, sentiasa menang peperangan, bijak pandai kerana terang hatinya dsbnya. Perlulah diingat bahawa umat Islam termasuk umat Islam di Malaysia adalah sangat lemah. Nak bersaing dengan bangsa Cina dalam ekonomi pun tak terkejar.
Amalan membaca doa yang salah adalah ibarat mengamalkan bismillah 6. Kedua-dua amalan adalah syirik kerana melantik tuhan baru iaitu berharap / berdoa / bertawakal kepada amalan. Samalah dengan beramal puasa 40 hari PATIGENI dimana pengamal berharap / berdoa / bertawakal kepada amalan untuk selain Allah SWT.

Selain amalan sesat Bismillah 6 ini, terdapat pelbagai varian lain diciptakan iblis seperti Bismillah 5. Cukuplah. Tinggalkanlah segala amalan sesat syirik ini. Berat dosanya. Lebih berat apabila dihumbankan ke Neraka dan kekal abadi di sana.


Amalan berikut ada dalil sahihnya;


بِسْمِ اللَّهِ الَّذِى لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَىْءٌ فِى الأَرْضِ وَلاَ فِى السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Artinya:
“Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan berbahaya, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Dibaca 3 x)
Faedah: Barangsiapa yang mengucapkan dzikir tersebut sebanyak tiga kali di pagi hari dan tiga kali di petang hari, maka tidak akan ada bahaya yang tiba-tiba memudaratkannya. 
(HR. Abu Daud no. 5088, 5089, Tirmidzi no. 3388, dan Ibnu Majah no. 3869. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahwa sanad hadits ini hasan.)
Memandangkan hadis ini adalah hadis hasan maka bolehlah beramal dengannya. InsyaAllah semoga Allah menunaikan janjiNya apabila seseorang beramal dengannya.
Amalan sebagaimana hadis  ini terkandung di dalam bismillah 5.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Dengan nama Allah Yang Menyembuhkan
Dengan nama Allah Yang Mencukupkan
Dengan nama Allah Yang Memberikan kesihatan yang baik
Dengan nama Allah yang tidak memberi kemudaratan dengan namanya akan sesuatu pun di dunia dan di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
Mari kita lihat Bismillah 5 serta fadilat yang diyakini oleh orang ramai.
Bismillah 5 adalah pendinding dan ayat penyembuh (syifa) segala penyakit serta amat bermanfaat dan amat baik dijadikan sebagai amalan seharian.


Fadhilat Bismillah 5


Kelebihan dan kebaikan ‘Bismillah 5’ adalah seperti berikut:


1. Menghalang jin dan syaitan

2. Terpelihara dari bahaya dan musuh

3. Penawar pelbagai racun dan bisa.

4. Penawar penyakit gila meroyan.

5. Melegakan bengkak dan benjol.

6. Penawar kepada penyakit bisa-bisa tulang

7. Mengubati penyakit bisa-bisa di dalam badan.

8. Penawar segala jenis racun, santau dan bisa binatang

9. Boleh digunakan untuk mengubati penyakit yang tidak diketahui puncanya.


Komen saya berkenaan Bismillah 5 ini ialah ;
1. Meyakini Bismillah 5 adalah pendinding adalah merosak akidah. Pendinding atau pelindung bagi manusia hanyalah Allah SWT. Fahamilah Al Quran Az Zumar ayat 3; Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. 
Mengharapkan bantuan daripada sesuatu yang mana hal tersebut merupakan hak Allah semata-mata adalah syirik!! Orang Hindu dan Budha juga mengharapkan perlindungan  dan pertolongan daripada berhala.


2. Meyakini  Bismillah 5 adalah ayat penyembuh merosak akidah kerana syirik. Berubat dibenarkan tetapi ia adalah sekadar usaha. Hanya Allah sahaja yang berhak memberikan kesembuhan. Fahamilah ayat Al Quran surah 
Asy-Syu'araa' [80] "Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;.
Mengharapkan bantuan kesembuhan daripada Bismillah 5 yang mana hal tersebut merupakan hak Allah semata-mata adalah syirik!! Orang Hindu dan Budha juga mengharapkan kesembuhan daripada berhala mereka.
3. Sembilan (9) fadilat sebagaimana diatas adalah sesuatu tafsiran yang melampau untuk menceritakan hadis Abu Daud dan Tirmizi diatas iaitu segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan berbahaya kepada pengamalnya. Sekiranya ingin beramal dengan hadis ini, silakanlah tetapi elakkanlah dengan meyakini 9 fadilat tersebut.
Begitulah juga didalam Kitab Sesat Mujarrobat sebagai satu contoh diajarkan bahawa sesiapa yang membaca doa nabi Ibrahim ........ maka akan diselamatkan dari fitnah dunia seperti kebakaran, tenggelam, diserang musuh, kecurian atau sakit. Kalau berhutang akan selesai hutang. Kitab sesat ini mengajarkan kita membaca “mantera” dimana pengamal akan membaca doa mantera tanpa mengerti pun maksud bacaannya. Mereka berharap / bertawakkal kepada amalan ini dan mereka sama sekali tidak berdoa kepada Allah sebagaimana diajarkan Islam.
Untuk memahami lebih lanjut duduk perkara yang dipersoalkan, marilah kita memahami mengapa JAKIM menetapkan peraturan persilatan sebagaimana di http://www.silatmelayu.org/profiles/blogs/garis-panduan-silat-menurut , rujuk perkara 3.2.1 :
(a)    Semua perkara yang wajib dilakukan atau ditinggalkan oleh seorang Islam, yang mukallaf tidak boleh dijadikan syarat di dalam silat seperti sembahyang, puasa, jangan durhaka kepada ibubapa, sehingga mendatangkan anggapan bahawa perkara wajib tersebut menjadi wajib hanya apabila dijadikan syarat.  
Pada zaman dahulu ramai  tok guru silat kerap berkata “wahai anak murid, kalau tidak mahu amalan silat kamu merosot, kamu semua kamu hendaklah menjaga solat, puasa dan segala amal ibadah lain”. Akibat dari nasihat tok guru silat ini ramai anak muridnya menjaga solat, puasa dan ibadah lainya kerana mereka takut ilmu silat mereka merosot. Maka mereka semua ini telah melakukan solat, puasa dan ibadah lainnya bukan kerana Allah SWT tetapi semata-mata kerana menjaga ilmu persilatan. Syiriklah mereka. Kalau pun mereka mengamalkan solat, puasa serta ibadah lain untuk Allah serta menjaga ilmu persilatan mereka, mereka juga sudah pun SYIRIK kerana mengamalkan ibadah untuk selain Allah atau dalam bahasa lain melantik tuhan baru.
Islam juga telah menetapkan bahawa segala ibadah HANYA untuk Allah. Amalan Puasa PATIGENI selama 40 hari adalah puasa bukan untuk Allah tetapi untuk mendapatkan ilmu tertentu. Allah tidak pernah memerintahkan amalan ibadah puasa patigeni 40 hari. Melakukan sebarang ibadah untuk selain Allah SWT telah ditetapkan ulamak sebagai sebagai perbuatan merosak akidah.
Orang-orang yang jahil seperti ini akan tercari-cari sepanjang hidup mereka doa-doa khas untuk tujuan tertentu seperti berjaya dalam temuduga, doa untuk mencari pasangan hidup, doa untuk sembuh penyakit, doa untuk melindung harta dari kecurian, doa untuk menggunakan kenderaan yang baru dibeli dsbnya. Pada mereka doa mesti dalam bahasa Arab seolah-olah Allah SWT hanya memahami bahasa arab sahaja!
Mengamalkan doa "Rabbi Yassir Wala Tuaassir, Ya Karim" bagi orang Arab atau orang Melayu yang memahami bahasa Arab atau yang mengerti terjemahannya tidak menjadi kesalahan atau diharuskan. Juga tidak menjadi kesalahan bagi orang Melayu beramal dengan doa “Wahai tuhanku permudahkanlah dan janganlah Kau susahkan, Ya Karim”. Namun bagi saya, lebih menyarankan berdoa dalam bahasa Melayu iaitu “Wahai tuhanku permudahkanlah dan janganlah Kau susahkan, Ya Karim” kerana ianya lebih tepat dipanggil sebagai doa iaitu komunikasi antara hamba dengan tuhannya menggunakan bahasa yang difahami oleh orang yang berdoa. Kaedah ini juga dapat membantu kita mengelakkan diri dari mengamalkan doa dengan kaedah yang salah dan juga mengelakkan berdoa dengan doa sesat seperti minta kepada wali, malaikat dan nabi-nabi.
Semoga menjawab pertanyaan
Wallahu’alam
Emjay