Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Tuesday, 25 March 2025

 Sakit, Rawatan Dan Amalan Syirik.

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم

Semua orang mengingini sihat dan jauh dari sakit. Namun hakikatnya Allah Azzawajalla tetap memberikan manusia sakit. Memang mencabar apabila melalui ujian sakit terutama sakit yang memerlukan rawatan doktor sehingga memerlukan kita masuk wad hospital untuk satu tempuh waktu yang panjang. Namun kita semua perlu menghayati hadis berikut; sakit menggugurkan dosa

Daripada Ibnu Mas’ud RA, daripada Nabi SAW bersabda :

 Maksudnya : “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” Sahih al-Bukhari (5660)

Apabila ditimpa penyakit, kita semua perlulah bersabar dan redha dengan ketentuan Allah Azzawajalla kerana firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami akan menguji kamu semua dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, nyawa (penyakit) dan kekurangan hasil mahsul bumi. Beruntunglah bagi mereka yang sabar atas segala dugaan itu." (Surah al-Baqarah, ayat 155.

 Bukankah satu perkara yang baik apabila kita semua dimatikan Allah SWT dalam keadaan yang bersih dari segala dosa semoga kita semua ditempatkan bersama roh roh orang yang beriman terdahulu dan dimasukkan syurga Allah SWT. Nabi Muhammad SAW sebagai manusia terpuji pun Allah SWT berikan sakit, inikan pula kita semua manusia akhir zaman yang amat terdedah dengan pelbagai kemungkaran. Dengan itu marilah kita semua redha dengan apa jua penyakit yang diberikan oleh Allah SWT demi kebaikan dan keuntungan kita semua. Namun menasihati dan bercakap tentang sakit ini mudah, yang berat adalah ketika melalui azab sakit berat, hanya Allah SWT yang tahu.

 Apabila kita diberikan Allah SWT sakit, apakah yang perlu kita lakukan? Adakah berdiam diri sekadar meredhai sakit tersebut? Untuk ini mari kita rujuk hadis hadis berikut: 

‘Ata’ bin Abu Rabah berkata:

Maksudnya: Ibn Abbas berkata kepadaku: “Mahukah engkau aku tunjukkan seorang perempuan penghuni syurga?” Aku berkata: “Baiklah.” Ibn Abbas R. Anhuma berkata: “Dia adalah perempuan berkulit gelap ini yang datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Aku biasa sakit sawan dan kadang-kadang auratku terbuka. Doakanlah kepada Allah SWT untukku.” Baginda SAW bersabda: “Jika engkau mahu, engkau bersabar dan bagimu syurga; dan jika engkau mahu, aku mendoakan kepada Allah SWT agar Dia menyembuhkan mu.” Dia berkata: “Aku (memilih) bersabar.” Dia lalu berkata: “Sesungguhnya aurat ku terbuka (ketika serangan sawan), doakan kepada Allah SWT untuk ku agar aurat ku tidak terbuka (ketika itu).” Maka Baginda SAW mendoakan untuknya.” Muhammad menceritakan kepada kami, Makhlad mengkhabarkan kepada kami, daripada Ibn Juraij, ‘Ata’ mengkhabarkan kepadaku, sesungguhnya dia melihat Umm Zufar seorang perempuan tinggi lagi hitam itu (berada) di kain penutup Ka‘bah.   Riwayat al-Bukhari (5652)

 Mafhum hadis kedua pula dari Daripada Usamah bin Syarik dia berkata:

Mereka bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, apakah ke atas kami kesalahan andai kami tidak berubat (ketika sakit)?” Baginda menjawab: “Berubatlah wahai hamba Allah. Ini kerana sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak menjadi suatu penyakit melainkan menjadikan bersamanya ubat, melainkan penyakit tua.”

Mereka bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, apakah kebaikan yang boleh diberikan (oleh Allah) kepada seorang hamba?” Baginda menjawab: “Akhlak yang mulia.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3427/3499]

 Dari kedua dua hadis di atas ini jelaslah bahawa tidak berubat adalah sunnah dan berubat ketika sakit adalah juga sunnah dan lebih afdhal. Seterusnya saya akan membincangkan ikhtiar berubat. Saya merasakan bahawa perkara ini perlu dibincangkan secara ilmiah semoga ikhtiar rawatan ketika diuji Allah dengan sakit diberikan Allah SWT kesembuhan dan redhaNya serta di bersihkan dari segala dosa. Adalah malang sekali apabila sakit, ikhtiar rawatan yang diambil tidak selari dengan Islam. Bagaimanalah Allah SWT nak mensucikan dari dosa, malahan dosa bertambah tambah.

Mari kita lihat kes 1.

Seorang wanita mula menghadapi masaalah lutut, lalu doktor mengesyorkan untuk mengambil ATHRO-S Powder for oral Solution (RM70 - RM80 untuk 30 sachet). Adakah ikhtiar ini dibenarkan dalam Islam?

 Secara mudah kita boleh katakan bahawa ikhtiar ini adalah dibenarkan dan selari dengan ajaran Islam.

 Namun mari kita lihat ikhtiar yang banyak tersebar di media sosial. Ada ustaz mengajarkan untuk mengamalkan bacaan ayat Al Quran berikut lalu disapukan pada lutut yang sakit iaitu bacaan

وَإِذا بَطَشتُم بَطَشتُم جَبّارينَ

 "wa iza bathastum, bathastum jabbarin" yang berasal dari Surah As-Syu'ara ayat 130, artinya "Dan apabila kamu menyiksa, maka kamu menyiksa dengan kejam". 

(Tafsir: Tetapi apabila mereka menyerang dan menyeksa orang lain, mereka seksa mereka seperti perangai binatang. Sudah tidak ada belas kasihan lagi. Macam harimau yang makan binatang buruannya, memang tidak nampak belas kasihan pun, bukan?

Inilah yang dilakukan oleh puak Quraisy yang telah menyeksa para sahabat yang beriman dengan Nabi SAW. Mereka kaya dan mereka rasa mereka boleh buat apa saja. Mereka anggap para sahabat itu lemah, kerana ada antara mereka itu hamba sahaja.

Mereka tangkap dan mereka lakukan berbagai-bagai jenis seksaan terhadap para sahabat itu. Yang terkenal kita semua ingat, bagaimana Bilal dihempapkan batu atas dada beliau. Tapi ada ramai lagi sahabat lain yang telah diseksa.)

 Bolehkah kita beramal dengan amalan ini bila mengalami sakit lutut??

 Memanglah dalam Al Quran Allah SWT ada mengajarkan kita pelbagai doa seperti firman Allah SWT:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” Surah al-Baqarah (201).

Memanglah amat baik sekali kita mengamalkan doa ini dalam kehidupan harian kita. Amat cantik sekali pengertian doa tersebut iaitu permohonan  untuk mendapatkan segala kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sekarang kita perhatikan pula amalan ajaran ustaz sakit lutut di atas dari Surah As-Syu'ara ayat 130. Ayat ini bukan ayat doa manusia kepada Allah SWT. Ayat ini menceritakan kekejaman orang kafir Quraish keatas umat islam. Apa kaitan ayat Al Quran ini dengan penyembuhan sakit lutut?? Seandainya terdapat dalam Al Quran atau hadis sahih untuk beramal dengan amalan ini ketika sakit lutut maka sahihlah amalan ini dan bolehlah diamalkan. Hakikatnya tidak pernah Nabi SAW dan para sahabat mengajarkan untuk mengamalkan ajaran ini.

Sahih amalan bacaan  Surah As-Syu'ara ayat 130 untuk rawatan sakit lutut bukan dari ajaran agama Islam. Jadi siapa sebenarnya yang nak sembuhkan sakit lutut bila ayat Al Quran ini dibacakan. Pelik bin Ajaib Allah tidak pernah menyuruh amalan bacaan  Surah As-Syu'ara ayat 130. Tiba tiba ustaz ini menjanjikan kesembuhan bila ayat Al Quran ini dibacakan. Seolah olah ustaz ini menjadi jurucakap Allah SWT  yang menjanjikan kesembuhan sakit lutut apabila dibacakan ayat Al Quran tersebut. Amalan ini adalah satu fitnah kepada Allah SWT. Jadii tinggalkanlah amalan yang sia sia ini.

Persoalan seterusnya ialah adakah boleh kita beramal dengan bacaan dari Al Quran sebagai ibadah untuk manfaat kepada kita? Mari kita lihat hadis seterusnya.

Diriwayatkan daripada Aisyah R.anha :

أَنَّ النَّبِيَّ صلى اللهُ عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ، جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا: ﴿ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَد وَ﴿ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَق وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاس  ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ، وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ، يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya : “Sesungguhnya Nabi SAW jika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca : Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabil Falaq dan Qul A’uzu birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”  Riwayat Al-Bukhari (5017)

Kalau ingin mengamalkan amalan ini, silakanlah semoga Allah SWT meredai dan memberikan rahmatnya kepada kita semua. Namun jangan pula memandai mandai menokok tambah bahawa amalan ini adalah baik untuk menolak penyakit sekian dan sekian. Ini sudah menjadi fitnah kalau dilakukan.

Namun apa yang paling ditakuti dengan amalan bacaan  Surah As-Syu'ara ayat 130 ini ialah permainan halus dari iblis yang boleh mengarah kepada jatuh syirik kepada pelakunya! Bagaimana mungkin amalan membaca Al Quran yang mulia boleh jatuh syirik?

Mari kita lihat contoh bagaimana amalan ini boleh menjadikan pelakunya syirik. Sekiranya pelaku meyakini bahawa dengan mengamalkan amalan membaca ayat Al Quran ayat 1000 dinar iaitu Surah Al-Talaq : 2-3 setiap hari akan menyebabkan mereka dimurahkan rezeki. Rezeki adalah milik Allah. Akan diberikan mengikut ketentuanNya. Firman Allah SWT: “Dan tidak ada suatu makhluk melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya.” (Surah Hud, 11:6) Ini mengingatkan kita bahawa walau sehebat mana usaha kita, hakikatnya Allah yang menentukan rezeki. Seseorang yang beramal dengan bacaan ayat 1000 dinar 1000 kali setiap hari namun kalau Allah SWT menyekat rezekinya, pastinya tidak akan ada rezeki.

Mana mungkin sekadar membaca ayat 1000 dinar boleh mendatangkan rezeki. Hanya Allah sahaja yang berhak untuk memberikan rezeki atau tidak. Baginda SAW dan para sahabat pun tidak pernah mengajarkan amalan ini.

Meyakini amalan membaca ayat 1000 dinar menyebabkan murah rezeki telah merosak akidah adalah kerana yakin amalan inilah yang menyebabkan dia memperolehi rezeki sedangkan memberikan rezeki adalah hak mutak Allah. Sama hukumnya dengan seseorang meyakini bahawa ubat yang diambilnya adalah punca beliau sembuh. Rosak akidahnya kerana hanya Allah SWT sahaja yang berhak menyembuhkan sesuatu penyakit dengan ikhtiar ubat atau tanpa mengambil ubat.

Begitulah apabila orang mengamalkan bacaan Surah As-Syu'ara ayat 130 dengan yakin boleh memulihkan penyakit lututnya, maka rosaklah akidahnya. Nauzubillahiminzalik.

Mari kita lihat kes 2

Apabila sakit, masih ramai yang mencari jalan singkat untuk sembuh dengan berikhtiar melalui ustaz/dukun. Selepas berurusan, bawa balik berbagai air jampi dan tangkal. Ada air jampi yang perlu diminum, ada air jampi yang perlu digunakan untuk mandi. Adakah ikhtiar seperti ini dibenarkan dalam Islam? Aapabila ditegur mereka memberikan pelbagai alasan seperti;

1. Ustaz tu gunakan ayat Al Quran, apakah dilarang dalam Islam.

2. Ustaz tu gunakan air yang mengandungi  kertas tertulis ayat yang terdapat dalam Al Quran.

3. Ustaz tu gunakan garam untuk perlindungan diri dari gangguan syaitan.

4. Ustaz tu gunakan air yang telah dibacakan ayat Al Quran 30 juzuk. Bukankah itu dibenarkan dalam Islam

5. Ustaz tu gunakan minyak wangi yang sudah dijampi dengan ayat Al Quran. Ustaz ini sekadar ikhtiar.

6. Ustaz ini gunakan air bidara yang sudah jampi. Mufti pun tak riuh, kenapa engkau sibuk melarang berikhtiar dengan kaedah ini.

 Untuk menjawab persoalan persoalan ini, mari kita lihat hadis berikut;

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya jampi-jampian, tangkal dan permainan sihir adalah syirik. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3530]

 Namun pengecualian diberikan berdasarkan hadis berikut:

A’isyah, isteri Rasulullah menjelaskan:

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ketika baginda sakit yang membawa kepada kewafatannya, biasa meniup kepada diri baginda dengan al-Mu'awwidzat (dua surah terakhir dalam al-Qur’an: al-Nas dan al-Falaq). Tatkala sakit baginda semakin parah, sayalah yang meniup dengan kedua surah tersebut dan saya mengusapnya dengan tangan baginda sendiri kerana mengharapkan keberkatannya. [Shahih al-Bukhari, no: 5294/5735] Caranya ialah membaca kedua-dua surah tersebut, meniup ke kedua-dua tangan dan kemudian mengusap tangan ke muka.

Dibenarkan menjampi dengan ayat Al Quran dari dua surah terakhir dari Al Quran. Inilah yang dicontohkan oleh baginda Rasulullah SAW. Boleh juga beramal dengan hadis bacaan Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabil Falaq dan Qul A’uzu birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”  Riwayat Al-Bukhari (5017).

Diwaktu akhir zaman ini saya memperingatkan diri saya dan pembaca semua agar berpegang teguhlah dengan sunnah Rasulullah SAW ini. Elakkan penambahan kerana penambahan / ubahsuai dalam urusan agama adalah bidaah dan bidaah akan menjerumuskan ke neraka. Bila lupa peringatan dari Rasulullah SAW mulalah pelbagai ikhtiar air jampi sehingga dijadikan perniagaan yang menjual pelbagai air jampi. Ada air jampi yang telah dibacakan surah Yaasin, ada air jampi yang telah dibacakan oleh pelajar tahfiz, ada air jampi yang dibacakan oleh alat pembesar suara Al Quran 30 juzuk dan pelbagai air jampi lainnya. Kalau hebat sangat air jampi yang dijual tu, cubalah berikan kepada orang Cina belum Islam minum, adakah mereka akan selepas itu masuk Islam???

Teringat saya akan seorang hamba Allah sahabat baik rapat arwah kononnya “perawat Islam” terkenal di Malaysia. Dia membuka kilang pembotolan drinking water. Besar modalnya lebih RM1 juta ketika itu. Didalam kilang pembotolan air minum tersebut, sentiasa dibacakan ayat Al Quran 30 juzuk dari sistem pembesar suara. Ironinya, selepas kira kira setahun perniagaan ini terpaksa ditutup. Tuan punya kilang pembotolan air minum ini yang dulu amat kaya kerana ada bermacam macam perniagaan, kini sudah layu tak bermaya. Isteri sudah 3 kali bercerai dan tidak boleh dirujuk lagi. Memang begitulah kesudahan mengamalkan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Tok gurunya yang sudah arwah tu memang amat terkenal dengan penggunaan garam untuk menghalau hantu syaitan. Sesungguhnya garam dalam rawatan menghalau hantu syaitan ini adalah merupakan tangkal yang amat dilarang dalam Islam.

Begitulah juga penggunaan pelbagai minyak wangi dalam menghalau  hantu syaitan dan pendinding adalah sebenarnya tangkal dan diharamkan. Begitu jugalah penggunaan tulisan tulisan ayat dari Al Quran yang dituliskan pada kertas dan ada yang direndam dalam air untuk diminum, ia adalah tangkal dan diharamkan. Nabi dan para sahabat baginda tidak pernah mengajarkan perkara ini. Begitu jugalah dengan dengan penggunaan air daun bidara.

Bagi mereka yang membangkang dan mempersoalkan penjelasan ini, saya nasihatkan agar melakukan eksperimen berkenaan perkara ini ke atas diri sendiri. Kemudian boleh tunggu dan lihat apa balasan Allah ke atas anda. Bolehlah eksperimen dengan melakukan perkara seperti berikut;

1. Apabila anda sakit lutut terutama yang sudah berusia 40an ke atas, cuba amalkan bacaan dan sapuan  Surah As-Syu'ara ayat 130. Adakah semakin pulih atau semakin sakit dan mula mendapat pelbagai gangguan.

2. Apabila sakit carilah perawat yang kononnya merawat secara Islam untuk mencari air penawar dsbnya. Selepas itu lihatlah sendiri adakah sakit semakin pulih. Perhatikan adakah bermula pelbagai gangguan seperti mimpi binatang buas, gangguan pelbagai bunyi pelik dalam rumah, tengkuk meremang bila berada di bahagian tertentu rumah. Lihatlah juga sama ada anak kecil bawah 2 tahun kerap menangis terutamanya waktu senja dan maghrib, lihat juga sama ada hubungan suami isteri semakin akrab dan harmoni atau pun semakin kerap bertegang urat. Perlu diingat bahawa lumrahnya apabila benda tidak diredhai Allah SWT dibawa masuk rumah, ia bakal membawa kepada kesan negatif.

Urusan berkaitan dengan alam ghaib seperti jin perlulah berpegang teguh dengan ajaran dari Rasulullah SAW. Syariat dan ajaran Islam telah disempurnakan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah mengajarkan perkara seperti ini. Insaflah bahawa lebih banyak perkara perkara bertentangan ajaran Islam yang murni, lebih banyak penyakit diberikan oleh Allah SWT. Kembalilah dengan berikhtiar hanya melalui usaha yang dibenarkan oleh Islam. Jauhi rawatan  pelik pelik yang kebanyakannya di sampaikan oleh pelbagai “USTAZ” kononnya merawat secara Islam.

Wallahuaklam

Emjay

Saturday, 1 March 2025

 NORMALISASI TABARRUJ; BALASAN AKIBAT BERTABARRUJ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ

Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran kepada Allah Azzawajalla kerana dengan limpah kurnia rahmatNya diizinkan saya menulis lagi. Semoga Allah SWT permudahkan saya menulis artikel ini sebagai amal jariah saya.

 

Bila kita buat semakan makna tabarruj di media sosial, ada berbagai bagai penjelasan. namun saya lebih suka penjelasan sebagaimana berikut ini. Tabarruj secara mudahnya ialah tiga pengertian; pertama, tindakan memperlihatkan kecantikan wajahnya dan bahagian-bahagian tubuhnya yang mengundang berahi laki-laki yang bukan mahram. Kedua, memperlihatkan keindahan pakaian dan perhiasannya kepada laki-laki yang bukan mahram. Ketiga, memperlihatkan dirinya melalui cara berjalan, kegenitan, dan kesombongannya kepada mereka.

 

Melalui penjelasan ini, berikut adalah antara contoh contoh tabarruj;

1. Berhias untuk bukan mahram

2. Memakai lipstik, faundation, eyeliner untuk bukan mahram

3. Mencabut bulu kening. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah SWT melaknat para pembuat tatu dan mereka yang meminta untuk dibuatkan tatu untuknya, para wanita yang mencukur bulu kening serta wanita yang meminta untuk dibuang bulu keningnya, dan orang yang menjarangkan gigi-gigi mereka yang mengubah ciptaan Allah.”

 Riwayat Muslim (2125)

4. Mengasah gigi. Rujuk hadis Muslim di atas.

5. Mendedahkan aurat untuk bukan mahram

6. Tidak melabuhkan tudung melepasi buah dada. An Nur 31 : Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya,

7. Memakai pakaian yang ketat untuk bukan mahram

8. Berjalan menggoyangkan punggung

9. Memakai bau bauan, minyak wangi , sabun wangi, bedak wangi dsb

10. Memakai krim pemutih muka

11. Memakai pengilat wajah

12. Berpakaian tetapi telanjang. Lihat penjelasan hadis di nombor 14. dibawah.

13. Bercakap dengan gaya manja dan mengada ngada kepada bukan mahram. Firman Allah SWT: "Maka janganlah kamu (wanita) berkata-kata dengan lembut manja (semasa berbicara dengan lelaki yang bukan mahram) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)." (Surah al-Ahzab: 32)

14. Bertudung tetapi ada sanggul dibelakang kepala seperti punuk unta.  Maksud hadis: Dua golongan daripada penghuni neraka yang belum pernah aku melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti seperti ekor lembu untuk mereka memukul manusia dengannya dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna), yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya (mengoda lelaki ke arah melakukan zina). Kepala mereka mempunyai sanggul seperti bonggol unta yang senget (supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan dapat masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu dari jarak perjalanan tertentu.    Riwayat Muslim (2128)

15. Wanita memakai gelang kaki kemudian menghentak-hentakkan kakinya bagi memperdengarkan kepada lelaki di sekelilingnya perhiasan yang terdapat di kakinya seperti perlakuan wanita di zaman jahiliyah

 

Saya menyeru diri saya dan anda semua agar patuhilah segala perintah Allah Azzawajalla semoga kehidupan kita sentiasa dirahmati dan diberkati Allah. Jika merujuk Al Quran surah At Talaq ayat 2 dan 3, Firman Allah SWT yang bermaksud :

{2}……dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

{3} Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Kehidupan setiap kita dipenuhi berbagai perkara menyusahkan sebagai ujian dari Allah. Namun Allah Azzawajalla berjanji akan memberikan jalan keluar kepada apa jua masaalah kita. Syaratnya ialah hendaklah kita semua bertakwa iaitu mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Sudahlah diberikan Allah Azzawajall jalan keluar atas apa jua perkara yang menyusahkan, malah diberikan lagi rezeki. Menarik sungguh janji Allah ini. Ingatlah bahawa Allah Azzawajalla tidak akan mungkir janji.


BALASAN AKIBAT BERTABARRUJ

Kini wanita bertabarruj seolah olah sudah dinormalisasikan di Malaysia. Ramai berlumba lumba mencari saham jariah neraka dengan menggalakkan wanita bertabarruj. Ayah ibu mengajarkan anak anak perempuan bertabarruj. Majikan atau pihaknya mempengaruhi pekerja mereka agar bertabarruj. Terdapat kakitangan kerajaan yang menghadiri kursus wajib bina insan dipengaruhi agar bertabarruj dan paling kurang pakailah lipstick agar nampak presentable kononnya. Televisyen mendidik penonton agar bertabarruj. Bagi artis wanita, bertabarruj seolah olah sudah menjadi kewajipan, tidak boleh tidak bertabarruj. Dengan kewujudan media sosial hari ini, ramai yang berlumba lumba menormalisasikan budaya tabarruj. Nauzubillahiminzalik.

Kita semua perlu sedar bahawa undang undang Islam bukan semata mata untuk orang Islam zaman 1400 tahun dahulu. Undang undang Islam adalah untuk kita semua mengamalkannya sebagai satu cara hidup sejak zaman dahulu kala sehingga kiamat. Apa yang kita semua perlu sedar ialah hukum tabarruj bukanlah untuk menyusahkan umat Islam semua malahan ia adalah untuk menyelamatkan umat Islam dari pelbagai masaalah kehidupan. Apalah yang nak dibanggakan dengan kehidupan penduduk Amerika misalnya yang mana tabarruj sudah menjadi budaya dan sudah dinormalisasikan. Anak luar nikah, zina, perceraian dan seks bebas, adakah budaya kehidupan sebegini yang perlu diidam idamkan oleh kita semua? Nauzubillahiminzalik.

Marilah kita lihat antara sunnatullah balasan dari Allah akibat perbuatan tabarruj.

 

1. Zina


Mari kita sama sama fikirkan apakah tujuan sebenar wanita bertabarruj. Tujuan akhir tabarruj adalah zina. Mungkin ada yang tidak bersetuju namun mari kita lihat hujah hujah berikut.

Apabila seorang wanita sudah beristeri sudah beranak hanya memakai bau bauan wangi di pejabat, apakah implikasinya? Saya sebagai seorang lelaki, bila berurusan atau berhampiran dengan wanita bukan mahram yang memakai wangian, memanglah syaitan akan membawa minda saya jauh kearah negatif. Alhamdulillah sedar bahawa ini adalah ujian Allah Azwajalla. Saya perlu banyakkan istigfar. Allah SWT yang menjadikan manusia amat mengetahui kelemahan kelemahan lelaki. Maka diharamkan wanita memakai wangian bila keluar rumah. Seorang wanita yang memakai wangian, sebenarnya apakah yang mereka cari? Sebenarnya wanita yang memakai wangian mereka ingin mendapatkan perhatian dari lelaki bukan mahram. Jangan salahkan Allah apabila wanita seperti ini menerima gangguan seksual dipejabat. Sendiri cari pasal. Apabila terzina nak salahkan lelaki. Siapa suruh memakai wangian??

 Apabila seorang wanita sudah beristeri sudah beranak memakai lipstick di pejabat, apakah implikasinya? Kita semua perlu memikirkan apa tujuan sebenar iblis mengajarkan wanita bertabarruj dengan menggunakan lipstick. Iblis tahu bahawa proses zina adalah bermula dengan ringan ringan dahulu seperti bertepuk tampar dan usik mengusik. apabila melepasi tahap awal ini, iblis akan memujuk agar mereka melakukan pula babak seterusnya iaitu bercium. Mula cium pipi lepas tu cium mulut. Bila tahap ini sudah dilepasi maka tahap zina bakal berlaku bila bila masa. Wanita apabila bertabarruj dengan memakai liptick seolah olah menyediakan permaidani merah kepada lelaki bukan mahram untuk “berurusan dengannya”. Nauzubillahiminzalik.

 Apatah lagi bila wanita bukan sekadar berlipstick namun serba serbi ber make up sempurna. Ada eyeliner, eye shadow, ada faundation, ada pipi merah dan ada wangian. Ya Allah ya tuhanku aku berlindung diri kepada Mu daripada fitnah wanita. Pengalaman bekerja di UTM banyak mendewasakan saya. Seorang wanita bersuami dan beranak 3 pernah mengadu kepada saya bahawa seorang kawan lelakinya, sudah beristeri dari Kuala Lumpur sedang dalam perjalanan ke Johor Bahru untuk bertemu dengan wanita ini dihotel. Inilah matlamat terakhir iblis mengajak para wanita bertabarruj.

Seorang wanita sudah bersuami dan ada anak dari Putrajaya pernah mengadu dengan saya melalui telefon bahawa beliau terzina dengan suami orang. Setelah panjang lebar perbualan saya dengan wanita ini, saya pun menyoal beliau, “adakah puan memakai lipstick?”. Agak-agak apa jawapan wanita ini. Memang benar bahawa beliau memang ada memakai lipstick.

Seorang wanita yang memakai lipstick, apatah lagi kalau bermake up lainnya sebenarnya apakah yang mereka cari? Sebenarnya wanita ini ingin mendapatkan perhatian dari lelaki bukan mahram. Jangan salahkan Allah apabila wanita seperti ini menerima gangguan seksual dipejabat dan terzina. Sendiri cari pasal. Apabila terzina nak salahkan lelaki. Siapa suruh memakai pakai lipstick serta make up lainnya??

Lumrahnya apabila berlipstick dan bermake up lainnya, bilakah balasan Allah bakal diterima, tak usahlah tanya saya. Tak usah mencampuri urusan Allah. Ada orang menerima balasan dalam tempuh yang pendek dan ada juga yang menerima balasan setelah 30 tahun. Namun sedarlah bahawa azab Allah adalah sahih. Kalau berani buat, tunggulah azab dari Allah. Zina bukannya rahmat tetapi adalah azab pedih dari Allah.

Banyak pengalaman lalu berurusan dengan penzina. Lumrahnya wanita penzina akan berlipstick dan ber make up penuh.ada yang berusia dah senja usia 50an masih berzina. Bertaubatlah dan sesungguhnya Allah Azzawajalla Maha Pengampun

 

2. Suami jadi gatal dan miang.


Mungkin anda semua tidak pernah sedar dengan kenyataan ini iaitu isteri bertabarruj menyebabkan suami jadi gatal miang. Apabila Allah Azzawajalla izinkan saya aktif dalam kelab permotoran kuasa besar, amat geli melihat geng motor sudah tua, isteri ada dua namun gatal miang seolah olah tak pernah jumpa wanita selama 10 tahun. Bila berhenti di-gerai tepi jalan, pantang jumpa wanita penjual tak kira anak dara atau bini orang. Sewaktu saya di UTM pun Allah tunjukkan betapa pensyarah sudah beristeri sudah ada ramai anak menggatal miang sehingga tahap menggosok punggung anak dara. Cuba kita lihat isteri pensyarah ini dan geng motor saya tersebut, isteri isteri mereka ber lipstick. Dalam satu kes, seorang lelaki sudah beristeri, isteri gemar mia (missing in action) di pejabat tiada kerana bercuti, rupanya beritahu suami ada kerja outstation tetapi sebenarnya ada private project dengan jantan lain. Suami dia punya gatal miang sehingga sanggup memeluk orang gaji  tuan rumah yang diziarahi.

Orang lelaki bujang tidak ramai yang ada penyakit gatal miang. Namun apabila sudah berkahwin mengapa mereka menghidap penyakit gatal miang? Pantang jumpa wanita baik anak dara atau bini orang apatah lagi kalau janda. Gatal miangnya ada yang ditahap yang tidak boleh dibayangkan. Ada yang sudah 4 kali kahwin, satu diceraikan, beristeri tigalah. Adakah orang ini sudah bebas dari penyakit gatal miang? Jawapannya insyaAllah tidak. Orang lelaki gatal miang macam ini bukannya boleh disembuhkan dengan kahwin lagi. Banyak contoh saya sudah lihat. Bacalah seterusnya untuk mengetahui jawapannya.

Untuk memahami fenomena lelaki gatal miang ini, marilah kita mempelajari salah satu sifat Allah iaitu Al-Muntaqim yang bermaksud Allah SWT Maha Pembalas dengan menimpakan azab terhadap orang yang melampaui batas. Ingatlah bahawa kita semua akan dibalas di akhirat nanti. Buat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas keburukan.Namun adakah kita sebagai manusia dapat mengelakkan diri dari balasan atas perbuatan jahat kita di muka bumi ini? Didunia ini lagi Allah insyaAllah akan balas setiap kejahatan kita. Kita menipu orang, orang lain Allah swt tadbirkan bakal menipu kita. Kita mencuri harta orang, Allah SWT tadbirkan orang lain mencuri harta kita. Bila seorang suami berzina, mungkin Allah tadbirkan isterinya berzina atau anak perempuannya berzina. Allah Al Muntaqim lah yang mentadbir balasan azab atas perbuatan melampaui batas suami ini.Bab balasan azab Allah SWT jenis ini mungkin agak mudah untuk difahami. Cuba fikirkan pula apa sunnatullah balasan azab dari Allah SWT Al Muntaqim keatas suami yang membenarkan dan meredhai malahan ada yang memaksakan isteri untuk bertabarruj???

Inilah satu ilmu mahal yang saya perolehi dan amat bersalah dan zalim bagi saya sekiranya saya tidak menyebar luaskan ilmu ini iaitu suami yang membiarkan isteri bertabarruj sunnatullahnya Allah swt insyaAllah berikan azab pedih sang suami ini menjadi gatal miang. Bagi saya yang amat lemah ini merasakan amat wajar sekalilah Allah SWT memberikan balasan sebegini. Isteri disuruh atau dibiarkan bertabarruj bila keluar rumah. Wanita bertabarruj bila keluar rumah sebenarnya menggamet lelaki yang ada penyakit dalam hatinya untuk menggoda wanita tersebut untuk matlamat akhirnya tidak lain tidak bukan untuk berzina. Sebagai balasan azab dari Allah Al Muntaqim, bila suami ini keluar rumah ditadbirkan wanita lain yang bertabarruj untuk menggoda memikat sang suami ini. Baru adil dan sememangnya Allah SWT adalah Al ‘Adl Maha Adil. Lagi hebat tabarruj sang isteri lagi hebat gatal miang sang suami.

 

3. Tabarruj merosakkan institusi keluarga.


Ramai sang suami berfikiran hanya beliau sahaja yang boleh melakukan kemungkaran seperti zina namun isterinya dan anak anaknya tidak boleh berzina. Mana mungkin begini, boleh pilih pilih  pulak.

Fahamilah pusingan tabarruj dan zina ini. Ia bermula dengan tabarruj. Bila sang isteri tabarruj, mulalah sang suami menghidapi penyakit gatal miang. Selepas ini lumrahnya sang suami akan berzina. Selepas itu isteri pula berzina. Bila rumah tangga sudah dilanda penyakit tabarruj dan zina ini, mulalah pergaduhan suami isteri dan akhirnya berkesudahan dengan perceraian. Tabarruj dan zina ini ibarat penyakit merokok, mudah untuk memulakan dan amat sukar untuk dihentikan. Bercerai dan kahwin lagi dengan pasangan lainnya namun penyakit ini hanya akan membarah semakin parah. Tabarruj semakin buruk dan zina juga semakin seronok. Apabila ibu bapa menjadi penzina, penyakit barah ini pula akan merebak dimana anak anak juga bertabarruj dan berzina. Akhirnya tabarruj dan zina sudah jadi lumrah dan sudah dinormalisasikan sebagaimana di negara barat.

Untuk membasmikan gejala zina, hentikanlah tabarruj. Inilah pokok pangkal gejala zina dan keruntuhan institusi keluarga.

 

4. Mereka yang bersekongkol dengan tabarruj bakal mendapat balasan yang sama.

 

Fahamilah hadis berikut ini. Rasulullah saw melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah, yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya.” Riwayat al-Tirmizi ( 1295).

Bagi seorang suami yang mebenarkan isteri bertabarruj memang haram hukumnya dan berdosa dan ini adalah salah satu perbuatan melampaui batas yang bakal mengundang balasan azab dari Allah SWT.

Kini sudah semakin banyak pengusaha Melayu Islam sudah tercebur dalam industri kosmetik. Mereka turut menjual lipstick, krim pemutih dsbnya. Mereka juga sama terlibat dalam dosa tabarruj.

Dalam dunia moden kini sudah ada pekerjaan jurusolek yang jelas memantapkan perbuatan tabarruj. Mereka ini jugalah yang patut dilaknat sebagaimana hadis diatas kerana menyuburkan perbuatan tabarruj.

Production house yang menghasilkan pelbagai video wanita bertabarruj juga turut sama bertanggung jawab. Disini saya ingin kongsikan kisah seorang suami yang memproduksi video wanita bertabarruj. Ingatlah dosa wanita tabarruj dengan dosa menghasilkan video wanita bertabarruj ini adalah sama. Antara kesannya, suami kena penyakit gatal miang. Sang suami ini membela sugar mummy dimana isteri orang amat tergila gilakan dia. Nak tuduh zina tak nampak tak boleh tuduh. Namun apabila bertahun tahun keluar bersama makan bersama dan berurusan bersama, amat mustahil kedua hambaAllah ini dapat mengelakkan dari perbuatan berzina. Ditakdirkan Allah akhirnya sang isteri juga terlibat dengan zina. Lumrahnya dalam bab sebegini, perbuatan zina bermula dari sang suami. Kesudahan cerita pasangan suami isteri ini bercerai. Berat balasan azab Allah swt akibat bersekongkol dengan industri yang tidak boleh merdeka dari gejala tabarruj.

5. Tabarruj ibarat penghisap rokok.

Orang lelaki yang merokok terus terang saya katakan adalah manusia yang bodoh. Dihabiskan sekian banyak wang ringgit untuk membeli kemusnahan terhadap kesihatan perokok. Membazirkan rezeki satu kezaliman. Memudaratkan kesihatan satu lagi kezaliman. Tak perlu tunggu akhirat, didunia Allah swt berikan pelbagai azab. Manakala perokok yang mengetahui haramnya merokok tetapi tidak mahu bertaubat maka fasiklah orang tersebut.

Begitulah juga dengan wanita bertabarruj. Mereka seronok dengan janji janji dari blis. Tidak mengapa bergelumang dosa setiap hari. Sampai tua pun tak sedar diri nak terus menerus bertabarruj. Sekian banyak duit dihabiskan setiap hari tidak mengapa, untuk tabarruj aku akan terus berusaha. Menjadi fasik tidak mengapa.

6. Tabarruj ibarat lukah. Ikan hanya boleh masuk tak boleh keluar.

Belajar tentang tabarruj memang mudah namun untuk bertaubat dari amalan tabarruj bukan mudah. Sebagaimana perokok yang sukar untuk bertaubat, wanita tabarruj adalah amat sukar untuk bertaubat. Bila ada wanita tabarruj dengan lipstick ingin bertaubat, antara halangannya ialah;

A. Tidak seronok kerana tidak lagi menjadi objek perhatian lelaki

B. Menjadi sindiran wanita bertabarruj lainnya

C. Wanita syaitan berkata ‘’eh engkau ni nampak pucat macam mayat. Ohh padanlah sebab kau tak pakai lipstick lagi”

D. Wanita syaitan berkata “tak menariklah rupa engkau ni. Nah pakai dulu lipstick aku ni. Ini majlis penting”

E. Wanita syaitan berkata “kasihan engkau. Tak mampu lagi beli lipstick. Nah ambil lipstick aku ni. Tak payah bayar. Aku belanja”

Janganlah perbodohkan diri sendiri. Berdoalah kepada Allah Azzawajalla untuk dikuatkan kesungguhan untuk bertaubat dari amalan bertabarruj.


7. Tabarruj adalah senjata penting iblis untuk merosakkan seorang lelaki yang baik.


Daripada perbincangan diatas, jelas tabarruj adalah ujian berat bagi lelaki dan semua lelaki wajib lulus ujian ini. Elakkan menjadi lelaki dayus yang membenarkan isteri dan anak anak bergelumang dengan dosa tabarruj.

Iblis telah menyedari fitnah wanita ini dan sentiasa membisikkan kepada wanita agar bertabarruj. Kini mengelakkan isteri dari bertabarruj seolah olah memindahkan sebuah bukit batu. Lihatlah sahaja ujian berat sebagaimana dibawah ini;

A. Sang lelaki adalah penghafal Al Quran. Dapat jodoh isteri adalah ustazah. Namun kini sanggupkah majlis pertunangan dan resepsi perkahwinan mereka ini bebas dari tabarruj?? Sanggupkah ingkar ibu bapa, tok nenek, makcik pakcik untuk meninggalkan budaya jahiliyyah bertabarruj? Tepuk dada tanyalah iman.

B. Kini majlis resepsi perkahwinan seolah olah menjadi majlis untuk bersaing siapa yang paling bertabarruj. Sanggup pinjam barang kemas untuk dipakai dimajlis tersebut. Nak beli faundation muka jenama apa? Blusher macam mana nak gunakan. Lipstick warna apa. Kena matching dengan baju yang nak dipakai. Eye shadow warna apa pula. Aduhai. Majlis apa sebenarnya ini. Takutilah azab Allah. Suami perlahan lahan menjadi dayus dengan perbuatan zalim isteri. Perlahan lahan sang suami menjauhi rahmat Allah Azzawajalla dan semakin menghampiri iblis. Dahulu sang suami waktu bujang jadi contoh teladan dalam penghayatan Islam tetapi sesudah berkahwin semakin jauh dari rahmat Allah swt.


8. Bermula dengan tabarruj, membiak membesar menjadi riak


Memanglah wanita kurang sudut aqal dan agama itu. Rujuk hadis Sahih al-Bukhari (304), Sahih Muslim (79) dan Sunan Ibn Majah (4003). Nabi Adam jatuh kedunia pun disebabkan wanita. Mari kita lihat apakah sebenarnya punca mengapa wanita gemar bertabarruj? Mungkin ada pelbagai jawapan dari persoalan ini namun saya ingin memfokuskan hanya kepada sudut yang kecil ini sahaja iaitu wanita suka bertabarruj terutama sekali ber make up lengkap agar kelihatan cantik. Mengapa perlu kelihatan cantik? Agar dapat perhatian daripada kaum lelaki? Mengapa perlunya perhatian dari kaum lelaki? Agar dapat sanjungan, pujian dan penghormatan dari kaum lelaki dan seterusnya memikat menggoda lelaki.

Berat dah ni. Menggunakan tabarruj untuk menggoda lelaki bagi seorang anak dara amatlah merugikan. Orang putih kata GIGO bermaksud garbage in garbage out. Maksudnya kalau guna sampah untuk memikat lelaki, insyaAllah bakal mendapat lelaki sampah juga. Lelaki beriman akan memilih wanita yang tidak bertabarruj. Kalau wanita bersuami masih bertabarruj, penghujung yang menanti adalah zina. Wanita bertabarruj sesuai dijadikan pelepas nafsu lelaki sahaja. Wahai wanita, jadikanlah Allah tempat memohon doa mu dan tinggalkanlah tabarruj. InsyaAllah Allah memberikan suami yang baik. Sesuatu yang buruk seperti tabarruj adalah sampah dan perbuatan ini hanya akan menambah kesengsaraan dalam hidup. Inilah GIGO. Sampah masuk, sampah keluar.

Apa yang ingin saya tekankan disini ialah bertabarruj agar dapat sanjungan, pujian dan penghormatan. Secara mudah dan ringkas, sesuatu perbuatan bertujuan untuk mendapatkan sanjungan, pujian dan penghormatan dinamakan riak. Riak ini adalah dosa besar. Ia sejenis syirik yang tersembunyi. Fahamilah hadis berikut ini dan ingatlah betapa ruginya perbuatan riak.

Aku mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam bersabda: Sesungguhnya manusia pertama yang akan diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Beliau akan dibawa dan Allah menunjukkan kepadanya nikmat-nikmat Nya, dan lelaki itu mengakuinya. Lalu Allah bertanya : Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab : Aku telah berperang di jalan Mu sehingga aku mati syahid. Allah menjawab: Engkau bohong! Sebaliknya engkau berperang agar engkau dipanggil pahlawan! Sesungguhnya engkau telah dipanggil dengan gelaran itu. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi, kemudian dilempar ke dalam neraka. [Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, , hadis no : 1905]

Sedih membaca sebahagian hadis ini. Bayangkan lelaki ini telah mati syahid namun dilempar kedalam neraka akibat penyakit riak iaitu menyertai peperangan sekadar untuk mendapatkan sanjungan, pujian dan penghormatan bergelar pahlawan.

Apa bezanya perbuatan tabarruj wanita? Dosa tabarruj sudah pasti dalam tangan. Namun dapat bonus pula dengan dosa riak kerana inginkan sanjungan, pujian dan penghormatan. Bertaubatlah para wanita sekelian dari dosa tabarruj dan jauhilah tabarruj. Lumrahnya tabarruj diiringi dengan dosa riak. Bahaya sekali.

Tentang mengharapkan sanjungan, pujian dan sanjungan ini, fahamilah hadis yang dijanjikan Allah SWT kepadu pelakunya;

“Diriwayatkan daripada Jundub al-Alaqiy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang (melakukan satu amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, Allah akan memperlihatkan kecacatannya”  (Bukhari & Muslim: 1720)

Memang seronok menunjuk nunjuk pipi yang diselaputi berbagai foundation dan blusher merah, bibir pula merah menyala diselaputi liptick warna red chilly. Memang ramai lelaki sampah yang bakal mendekati memuji muji wanita seperti ini. Apa untungnya? Tidak takutkah ancaman Allah untuk menunjukkan aib dan memperlihatkan kecacatan? Itulah sebabnya mengapa saban hari ada sahaja yang Allah buka aib dan cacat seseorang di media sosial. Kena tangkap basah habis heboh satu Malaysia. Kisah bilik tidur heboh satu Malaysia. Kisah bercerai heboh satu Malaysia. Kisah rumah nak kena lelong kerana hutang yang banyak heboh satu Malaysia. Bisnes melingkup pun heboh satu Malaysia. Sedarlah bahawa banyak aib dan cacat setiap orang. Bila Allah lindungi aib dan cacat maka ianya bakal menjadi tersimpan rapi. Bila Allah SWT buka aib dan cacat, aduhai, mana nak letak muka.

Dengan itu belajarlah agama bersungguh sungguh. Carilah jalan lurus yang diredhai Allah. Jangan tabarruj. Elakkan riak. Gabungan tabarruj dan riak insyaAllah membawa azab yang lebih pedih dan parah.

 

PENUTUP


Tabarruj bukan dosa kecil. Tabarruj bagaikan kanser dan bakal menjerumuskan pelakunya ke arah lebih parah seperti zina dan lebih parah lagi kearah riak yang merupakan perbuatan syirik yang tersembunyi. Balasan tabarruj, zina dan riak adalah azab pedih dari Allah dalam berbagai rupa.

Takutilah azab dari Allah Azzawajalla. Jadilah orang yang bertakwa kerana janji Allah Azzawajalla untuk membuka jalan penyelesaian atas apa jua masaalah kita disamping mendapat rezeki dariNya. Hidup lebih bermakna tanpa tabarruj dan dosa dosa lain.

 

Wabillahi taufik wal hidayah. Wassamualaikum warahmatullah hiwabarokatuh.

Wallahuaklam

Emjay.