Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang
Assalamualaikum wbh
Tiga minggu saya tidak menulis di Laman Emjay. Hajat hati untuk menulis tetapi apa kan daya, yang wajib kenalah di dahulukan berbanding yang sunat. Saya menerima gaji bulanan dari UTM dan skop kerja tugas saya meliputi berbagai perkara termasuk sebagaimana yang diarahkan oleh ketua jabatan. Buat pertama kali saya melakukan satu tugasan menyertai pertandingan penyelidikan anjuran UKM semata-mata kerana akur dengan perintah dari ketua jabatan saya. Di dalam kesibukan untuk menanda kertas jawapan pelajar, saya redhakan diri untuk melakukan pelbagai perkara sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan penyelidikan berkaitan pendidikan tersebut yang berlangsung dari 18 Mei hingga 21 Mei di Allson Kelana Resort Seremban. Pelbagai perkara kena disiapkan dari menyiapkan produk, poster, laman web, flyers, guestbook, bookmark dsbnya. Satu perisian baru terpaksa saya pelajari iaitu Dreamweaver 8 untuk membina laman web penyelidikan tersebut. Alhamdulillah dapat juga anugerah pingat perak dalam pertandingan tersebut.
Dalam kesibukan saya (teramat sibuk sebenarnya), seorang bekas pelajar saya yang saya namakan Asiah (bukan nama sebenar) menghantar SMS ingin berjumpa dengan saya. Saya tiada pilihan melainkan mengizinkan pertemuan tersebut. Asiah sewaktu di dalam kelas saya dahulu memang baik orangnya. Banyak perkara yang sudah dipelajarinya. Akhlaknya juga sudah berubah lantaran ilmu yang telah dipelajarinya. Namun Asiah sudah kena tipuan dari syaitan iaitu ia merasakan ilmu yang telah dipelajarinya dari saya sudah mencukupi untuk beliau melayari alam perkahwinan ini.
Saya sudah terasa bahawa Asiah sedang mengalami masalah yang besar apabila setelah sekian lama Asiah menemui saya pada bulan lepas bercerita bahawa beliau sudah berkahwin. Dari penampilan diri menyerlahkan bahawa Asiah sedang mengalami masalah besar. Namun ini semua adalah sekadar telahan saya sahaja. Apabila Asiah mengirim SMS menyatakan hasrat untuk bertemu saya, tekaan saya semakin ternyata benar. Kebenaran tekaan ini terserlah apabila perkara yang dibincangkan antara kami memanglah perkara besar.
Pada permulaan pertemuan, Asiah menceritakan bahawa beliau baru sahaja keguguran. Daripada ilmu yang diajarkan oleh arwah guru, keguguran adalah diakibatkan masalah besar yang selalunya disebabkan pergeseran antara isteri dengan suaminya. Asiah baru sahaja berkahwin belum sampai pun setahun tetapi beliau sudah mengalami pergeseran yang panas. Kini tiba giliran saya untuk mencari apakah sebenarnya punca masalah besar pergeseran antara Asiah dengan suaminya. Hasil dari temubual saya dengan Asiah, berikut adalah kesimpulan temubual tersebut:
- Asiah sangat cemburu dengan suaminya dan amat terasa perasaan cemburu ini apabila suaminya balik lewat atau sedikit lewat dari kebiasaan.
- Perasaan cemburu ini akhirnya menyebabkan pergeseran antara mereka apabila suami balik lewat.
- Perasaan cemburu ini timbul kerana kegusaran di dalam hatinya bahawa suaminya akan terpikat dengan orang ketiga.
Setelah menemui punca masalah Asiah ini, saya mula mengatur langkah mencari pendekatan terbaik untuk mendidik Asiah semoga beliau dapat keluar dari permasalahan yang besar ini. Saya memulakan soalan “apakah hukumnya menolak hanya satu perkataan di dalam Al Quran?”. Asiah bersetuju bahawa penolakan ini akan menjadikan pelakunya rosak akidah kerana ingkar menolak ketetapan Allah SWT sebagaimana yang terdapat di dalam Al Quran. Perkara ini dijelaskan oleh ramai ulamak dan saya copy paste berikut sekali lagi ketetapan sebagaimana yang ditulis oleh Abdullah bin Ibrahim Al Qar’awi (1995) mengenai hal-hal yang menggugurkan Islam.
Ada 10 perkara yang menggugurkan Islam seseorang iaitu:
1. Syirik kepada Allah. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam An Nisaak: 48. Ertinya:
"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni, jika Dia dipersekutukan dengan lain-Nya dan akan mengampuni (dosa) selain itu bagi siapa yang Ia kehendaki". Barang siapa yang menyekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar".
Dalam surah Al Maidah: 72 pula Allah berfirman ertinya:
"Al-Masih putera Maryam berkata: 'Hai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu. Sesungguhnya barang siapa menyekutukan Allah, maka Allah mengharamkan syurga baginya dan tempat tinggalnya di neraka, tiada penolong bagi orang-orang yang aniaya'."
2. Bagi siapa yang menjadikan perantara antara dia dan Allah. la minta kepada perantara itu syafaat dan menggantungkan diri kepadanya maka kafirlah hukumnya menurut ijma'.
3. Bagi siapa yang tidak mengkafirkan orang-orang musyrik atau meragukan kekafiran mereka atau membenarkan mazhab yang mereka pegang, maka kafirlah ia.
(Sebagai latihan, carilah hukum ke atas diri anda bila ragu-ragu untuk menghukum individu atau golongan orang “Islam” yang menghina Nabi dan Allah seperti menghina hukum hudud dan janggut Nabi.)
4. Bagi siapa yang percaya bahawa selain ajaran Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam lebih sempurna, atau hukum lain lebih baik dari hukum Allah; seperti orang yang mengutamakan hukum thaghut daripada hukum Nabi Muhammad orang tersebut telah kafir.
5. Bagi siapa yang membenci sebahagian ajaran Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam, walaupun ia mengerjakannya, ia telah kafir.
(Sebagai latihan, apakah hukum seseorang yang membenci hukum poligami dalam Islam.)
6. Bagi siapa mengejek sebahagian dari ajaran RasululIah ShallallahuAlaihiwa Sallam atau mengejek pahala, atau seksa yang diajarkan agama Islam, maka kafirlah ia sebagaimana firman Allah dalam surah At Taubah: 65-66. Ertinya
"Katakanlah: Patutkah kamu memperolok-olokkan Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya? Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman".
7. Sihir: seperti sharf dan 'ataf . Barang siapa mengerjakannya atau menyetujuinya, kafirlah ia sebagaimana difirmankan Allah dalam Al Baqarah:102. Ertinya:
“Keduanya (Harut dan Marut) tiada mengajarkan sihir kepada seseorang, melainkan lebih dahulu berkata: Kami ini hanya mendatangkan cubaan, sebab itu janganlah engkau kafir. Lalu mereka mempelajari dari keduanya apa-apa yang akan menceraikan antara suami dengan isterinya...".
8. Mendukung dan membantu golongan musyrik terhadap golongan muslim. Firman Allah:
Al Maidah: 51. Ertinya:
"Barang siapa mengangkat mereka (Yahudi dan Nasrani) di antara kamu, maka ia masuk golongan mereka. Sungguh Allah tidak menunjuki kaum yang aniaya".
9. Barang siapa berkeyakinan bahawa sebahagian manusia boleh tidak mengikuti ajaran Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam, sebagaimana Khidhir tidak wajib mengikuti ajaran Musa, maka ia telah kafir.
10. Berpaling dari agama Allah, tidak mempelajari dan tidak mengamalkannya. Firman Allah:
As Sajjadah: 22. Ertinya:
"Siapakah yang lebih aniaya dari orang-orang yang diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadaNya? Sesungguhnya Kami menyeksa orang-orang yang berdosa".
Pelaku hal-hal di atas tidak ada bezanya antara yang melakukannya dengan main-main, sungguh-sungguh, atau takut, sama (gugur Islamnya) kecuali orang yang dipaksa. Hal-hal di atas semua besar sekali bahayanya, dan sering kali terjadi. Oleh kerana itu setiap muslim, harus berhati-hati dan menjaga diri baik-baik. Kita berlindung kepada Allah dari murka dan seksaan azab-Nya yang pedih.
Seterusnya saya mengemukakan soalan kedua iaitu ”Apakah hukumnya menolak atau membenci hukum potong tangan bagi mereka yang tidak berhak untuk mencuri”. Asiah juga bersetuju bahawa hukumnya adalah rosak akidah.
Seterusnya saya mengemukakan soalan ketiga iaitu “Apakah hukumnya menolak atau membenci hukum poligami dalam Islam?”. Asiah yang sudah diperangkap dengan soalan satu dan dua dengan teragak-agak terpaksa menjawab antara kedengaran dengan tidak iaitu “rosak akidah".
Saya terus menasihati Asiah bahawa sesungguhnya beliau telah membenarkan dirinya menjadi orang yang rosak akidah kerana membenci serta menolak hukum poligami yang dibenarkan dan menjadi satu sunnah dalam Islam. Saya terus menasihati Asiah bahawa saya menjelaskan perkara ini bukan kerana menyuruh suaminya berpoligami tetapi adalah kerana memaksakan Asiah agar redha dengan segala hukum dalam syariaat Islam. Menolak satu hukum atau membencinya menjadikan pelakunya rosak akidah. Perkara ini telah pun saya kupas dalam artikel saya terdahulu bertajuk “Bacaan penting kaum hawa ” di http://laman-emjay.blogspot.com/2008/08/bacaan-penting-kaum-hawa.html
Saya memanjangkan nasihat saya dengan menjelaskan bahawa setiap dosa akan membawa kepada musibah sesuai dengan Asy Syura: 30 di bawah.
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
As Sajjadah: 22. Ertinya:
"Siapakah yang lebih aniaya dari orang-orang yang diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadaNya? Sesungguhnya Kami menyeksa orang-orang yang berdosa".
An Nisaak:111.
Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Dan seperti yang Allah nyatakan di dalam surah Thaahaa: 124,
Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.
Dan seperti di dalam surah Al An’fal: 25
Ertinya: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.
Dan Allah menekankan lagi betapa setiap kesalahan di dunia akan di balas setimpal dengannya sebagaimana firman Allah swt berikut dalam surah Ghafir: 40-:
Ertinya: Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka dia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh dari lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung.
Dan surah Yunus: 27: Ertinya:
“Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan, balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding / setimpal dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; ........”
Seterusnya saya mengulangi semula rentetan masalah yang telah di lalui oleh Asiah sebagaimana berikut:
1. Asiah melakukan dosa terbesar di dalam Islam iiaitu menolak dan membenci hukum poligami dalam Islam
2. Kebencian ini menyebabkan Asiah sentiasa buruk sangka terhadap suaminya (dzan). Islam telah memperingatkan dengan sekeras-kerasnya tentang buruk-sangka, baik kepada Allah maupun kepada sesama manusia. Dia berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. )Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Hujuraat, ayat 12)
Buruk sangka adalah satu dari penyakit hati yang amat kronik. Ia bukan sahaja menjarah dengan parah hati dan jiwa pengidapnya, tetapi turut melahirkan sifat-sifat zalim dan sebagainya. Akibatnya seseorang insan akan menjadi manusia yang sentiasa resah, gelisah dan tidak tenteram, kerana sentiasa buruk sangka dengan suaminya serta tidak punya masa untuk mengingati Allah SWT. Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya menyatakan, "Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya, ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati." (Hadis Riwayat Al-Bukhari Muslim)
Buruk sangka paling besar bagi Asiah ialah suaminya terpikat dengan perempuan lain.
3. Perasaan buruk sangka ini seterusnya menerbitkan perasaan cemburu atau cemburu buta terhadap suaminya.
4. Buruk sangka dan cemburu ini seterusnya membuahkan pelbagai masalah antara mereka seperti pergeseran dan pergeseran ini adalah hadiah daripada Allah kerana kesilapan Asiah melakukan perkara yang ditegah Islam iaitu menolak poligami, buruk sangka dan cemburu buta.
5. Kemuncak kepada musibah daripada Allah di atas segala kesilapan yang berlaku kepada Asiah serta kesilapan juga kepada suami kerana tidak mendidik isterinya mengikut acuan Islam maka Allah SWT mengurniakan KEGUGURAN.
Sebagai penutup perbincangan saya dengan Asiah, saya menasihati agar sekembalinya Asiah ke rumah, lakukanlah solat taubat 2 rakaat kerana sesungguhnya kesilapan yang dilakukan adalah kesilapan amat besar di dalam Islam. Bertaubatlah dengan sesungguh taubat. Malam ini adukanlah segala kesilapan kepada suami dan mintalah keampunan darinya. Semoga Allah dan suami mengampunkan segala kesalahan dan semoga taubat ini dibalas dengan pelbagai rahmat dari Allah SWT.
(Updated 15 Disember 2019. Asiah telah berjumpa semula dengan saya kira-kira 2 tahun kemudian dan sudah ada anak 1, alhamdulillah.)
(Updated 15 Disember 2019. Asiah telah berjumpa semula dengan saya kira-kira 2 tahun kemudian dan sudah ada anak 1, alhamdulillah.)
Sehubungan dengan cerita Asiah ini saya ada juga mendengar cerita seorang hamba Allah sudah beristeri untuk agak lama namun apa yang dianugerahkan oleh Allah adalah isterinya sekadar keguguran melebihi 10 kali. Hingga sekarang hamba Allah ini masih belum dikurniakan anak. Saya dengar isteri hamba Allah ini bukan main cemburu dan “queen control” terhadap hamba Allah ini. Sampai bilalah hamba Allah dan isterinya ini berjaya memahami mesej yang disampaikan oleh Allah melalui musibah keguguran ini.
(Updated 15 Disember 2019. Berita terakhir saya dengar tentang hamba Allah ini ialah bahawa beliau telah pun bercerai dengan isterinya beberapa tahun lepas. Beliau telah pun selamat berkahwin dengan isteri baharu kira-kira 4 tahun lepas.)
(Updated 15 Disember 2019. Berita terakhir saya dengar tentang hamba Allah ini ialah bahawa beliau telah pun bercerai dengan isterinya beberapa tahun lepas. Beliau telah pun selamat berkahwin dengan isteri baharu kira-kira 4 tahun lepas.)
Kepada semua pembaca Laman Emjay serta diri saya sendiri, terimalah dan redhalah dengan setiap ketetapan hukum dalam syariat Islam. Menolak atau membenci salah satu darinya adalah merosak akidah. Rosak akidah adalah dosa besar dan seandainya tidak bertaubat maka kekal abadilah di neraka. Apatah lagi kalau kita menolak lebih dari satu.
Sekian wassalam wallahuaqlam
Emjay