Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Saturday, 18 September 2010

Ramai tidak tahu berniat dan tak faham maksud ikhlas

Ramai tidak tahu berniat dan tak faham maksud ikhlas
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Assalamulaikum WBH saudara seagamaku dan laknat Allah terhadap iblis dan pengikutnya.
Apabila para pembaca Laman Emjay sedang membaca artikel ini sekarang, apa yang boleh saya katakan adalah anda semua sedang membaca dalam hati. Bolehkah anda semua menerima pernyataan ini? Kalau tak boleh, tak payahlah menerus pembacaan anda!! Membaca boleh dilakukan samada dengan mulut atau dengan hati. Membaca dengan mulut boleh didengar oleh orang lain apatah lagi sekiranya dibaca dengan kuat. Membaca dengan hati hanya diri sendiri yang memahaminya selain Alla SWT berdasarkan ayat Al Quran surah  Al- Baqarah ayat 235 :” Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu,” dan banyak ayat-ayat lain.
Adakah membaca dalam hati sama dengan berniat?? Di Malaysia, ramai yang beranggapan bahawa membaca dalam hati adalah sama dengan berniat. Sebentar lagi saya akan mengupas tentang perkara ini.
Menurut Kamus Dewan, niat membawa definisi; maksud atau tujuan sesuatu perbuatan atau ingatan dalam hati. Ada yang menyatakan niat sebagai lintasan dalam hati. Apabila kita mengangkat kaki bergerak ke bilik air, pastinya sudah ada niat di dalam hati sama ada disedari atau tidak. Mungkin kita berniat nak meludah, buang air, mandi atau ingin mengambil wuduk.
Nabi telah bersabda mafhumnya:
“Katakanlah : “Setiap orang itu beramal menurut bentuk kehendaknya”
yang bermaksud seseorang itu membuat sesuatu perkara menurut apa yang menjadi niatnya dan bukan sebaliknya. Apabila seseorang berniat nak duduk, maka ia akan berusaha untuk duduk. Apabila seseorang ingin berjalan maka ia pun berjalan. Pokoknya setiap perbuatan adalah berdasarkan kepada niat .. Adakah terdapat mana-mana perbuatan yang dilakukan tanpa niat?? Sebenarnya setiap perbuatan dimulakan dengan niat, lain dengan perbuatan mengigau waktu tidur dan perbuatan tidak sengaja seperti tersepak kaki orang sewaktu kita berjalan. Mengigau dan tersepak kaki orang ini adalah perbuatan yang dilakukan tanpa niat.

Apabila seseorang mengambil kunci keretanya, pastinya beliau sudah mempunyai niat termasuk ingin ke mana dan hendak buat apa. Inilah yang dinamakan niat dan niat ini keluar dari hati tanpa paksaan. Sekiranya seorang suami dipaksa isteri untuk membeli telur, sang suami apabila mengambil kunci kereta, beliau sudah ada niat untuk pergi ke kedai membeli telur. Niat ini tidak akan hapus sehinggalah sang suami ini sampai ke kedai dan membeli telur. Setelah selesai membeli telur, niat sang suami ini akan berubah pula ingin kembali ke rumah.  

Marilah kita lihat kes-kes berikut:
1.    Apabila seseorang membasuh kereta, ada yang melakukan perbuatan ini kerana ingin menunjukkan kepada saudara mara bagaimana cantiknya kereta barunya. Maka niat orang ini adalah untuk menayang kereta barunya yang cantik kepada saudara maranya.
2.    Ada wanita yang memasak untuk keluarganya dengan harapan semoga suami memuji dan menyayanginya. Maka niat wanita ini memasak adalah untuk dipuji dan disayangi oleh suami.
3.    Ada kakitangan di pejabat melakukan kerja-kerja sebagaimana diarahkan bosnya dengan tujuan agar dirinya disanjung dan dihormati semoga kelak sasaran kerja tahunannya (SKT) cemerlang. Maka niat orang ini melakukan kerja adalah untuk disanjung, dihormati dan untuk SKTnya.
4.    Ada orang melakukan ibadah korban kerana malu kerap diperli dan diajak oleh bapa mertuanya. Maka niat ibadah korban orang ini adalah kerana malu kepada bapa mertua.
5.    Ramai wanita apabila memakai pakaian walaupun menutup aurat adalah dengan tujuan untuk kelihatan cantik anggun dan menawan. Maka niat wanita ini berpakaian sedemikan adalah untuk kelihatan cantik anggun dan menawan.
6.    Ada wanita memakai tudung kepala kerana tidak tahan dengan leteran suami. Maka niat wanita ini memakai tudung itu adalah untuk menyelamatkan dirinya dari leteran suami.
7.    Ada orang menjemput para sahabat berhari raya ke rumahnya kerana ingin menunjukkan rumah barunya yang mahal lengkap dengan perabot mahal serta pinggan mangkuknya yang juga mahal. Maka niat orang ini menjemput tetamu datang adalah untuk menayangkan rumah serta perabot dan pinggan mangkuk yang mahal.
8.    Seorang suami isteri jarang solat di rumah mereka. Apabila balik ke rumah mertua suami ini akan solat lengkap dengan berjemaah bersama isteri.  Apakah niat solat sang suami ini??

Bagi kes 8 di atas ini, pastinya sang suami waktu bersolat ada melafazkan “Usholli fardazuhri arbaarakatin......” serta berniat dalam hati “sahaja aku solat fardhu zuhur empat rakaat menjadi imam tunai kerana Allah Taala”. Saya ingin bertanya kepada para pembaca sekelian, apakah niat sebenar sang suami solat berjemaah bersama isteri di depan mertua?? Adakah niatnya ikhlas kerana Allah Taala? Kalau ikhlas kerana Allah Taala, mengapa apabila di rumah mereka tidak solat??

Sebenarnya apa yang dilakukan oleh sang suami ini ialah membaca dalam hati “sahaja aku solat fardhu zuhur empat rakaat menjadi imam tunai kerana Allah Taala” dan niat sebenar sang suami adalah sekadar untuk menunjuk-nunjuk kepada keluarga mertua bahawa beliau juga ada mengerjakan solat.

Itulah sebabnya di atas, saya ada mempersoalkan samaada membaca dalam hati adalah sama dengan niat!. Sebenarnya membaca dalam hati adalah bukan niat. Membaca dalam hati adalah satu bacaan yang dilakukan sama seperti apa yang anda semua sedang lakukan sekarang iaitu membaca artikel saya ini di dalam hati. Apabila orang yang sedang solat berkata / membaca dalam hati “sahaja aku solat fardhu zuhur empat rakaat menjadi imam tunai kerana Allah Taala”, mereka sebenarnya bukan sedang berniat. Niat seseorang sewaktu melakukan solat adalah tujuan sebenar mengapa mereka solat dan dalam kes 8 di atas, niat sebenar solat sang suami tersebut adalah untuk menunjuk-nunjuk kepada keluarga mertua bahawa beliau juga ada melakukan solat.

Adakah kita sedar sebenarnya bahawa niat kita solat mungkin tergolong daripada salah satu perkara berikut:
      I.        Kerana mengelakkan leteran ibu bapa
    II.        Kerana mengelakkan leteran suami / isteri
   III.        Kerana malu dengan jiran.
  IV.        Kerana untuk mendapat sanjungan / perhormatan jiran tetangga / orang ramai
    V.        Kerana malu sebagai ketua pejabat
  VI.        Kerana tanggungjawab terhadap Allah SWT
 VII.        Kerana takut akan azab Allah SWT

Allah SWT insyaAllah hanya akan menerima ibadah solat seseorang apabila ianya dilakukan dengan ikhlas. Niat-niat dari nombor I – V adalah niat yang tidak diterima Allah manakala niat nombor VI – VII insyaAllah diterima oleh Allah.

Itulah sebabnya Nabi Muhamad SAW tidak pernah sama sekali mengajarkan lafaz “Usholli fardazuhri arbaarakatin......” dan bacaan dalam hati “sahaja aku solat fardhu zuhur empat rakaat menjadi imam tunai kerana Allah Taala”. Semua imam besar yang empat termasuk As Syafiee juga tidak pernah mengajarkan lafaz usholli dan bacaan dalam hati yang sedemikan. Saya apabila melakukan solat, niat saya adalah kerana saya ada tanggungjawab sebagai seorang umat Islam, saya wajib untuk solat, saya patuh dengan arahan Islam dan saya takut akan azab Allah SWT. Apabila saya berwuduk, niat saya ini sudah saya tanamkan dalam hati dan niat ini saya hanya akan lepaskan sesudah saya memberikan salam di hujung solat. Sekiranya saya terkentut waktu solat, saya juga melepaskan niat saya tersebut dan saya memasang pula niat baru untu ambil wuduk dan seterusnya berniat untuk ulang solat.

Ada setengah orang mengatakan bahawa isu lafaz “usholli...” dan bacaan “sahaja aku solat fardhu .....”  ini adalah kes membesarkan perkara kecil yang akan memecah belahkan masyarakat. Bagi saya perkara ini bukan satu perkara kecil malahan perkara yang boleh merosak akidah.

Kita lihat sahaja panduan solat di Malaysia hari ini. Ramai orang mengajar  bahawa lafaz  “usholli...” dan bacaan “sahaja aku solat fardhu .....” adalah sunat hukumnya. Kalau perbuatan ini sunat hukumnya, pastinya Nabi Muhamad SAW pernah mengajarkannya dan terdapat dalam kitab hadisnya. Seandainya kita menyatakan bahawa “usholli...” dan bacaan “sahaja aku solat fardhu .....” adalah sebahagian Islam, maka kita telah membuat fitnah kepada Allah SWT dan rasulNya Muhamad SAW. Apabila Nabi tidak pernah mengamalkan amalan lafaz “usholli...” dan bacaan “sahaja aku solat fardhu .....(dalam bahasa arab)” bagaimana boleh jatuh hukum sunat untuk melakukan perbuatan ini?? Maka dengan itu bacaan “usholli...” dan bacaan “sahaja aku solat fardhu .....” di dalam hati adalah satu bidaah dan sesungguhnya setiap bidaah adalah neraka balasannya.

Kesan buruk yang lebih parah dari amalan “usholli...” dan bacaan “sahaja aku solat fardhu .....” di dalam hati kini ialah umat Islam tidak pandai lagi untuk berniat apatah lagi untuk niat yang ikhlas. Ingatlah bahawa Allah hanya akan menerima amal ibadah yang dilakukan oleh hambaNya, yang dilakukan dengan niat yang ikhlas dan dengan kaedah yang betul. Lihatlah mafhum hadis berikut:

Dalam Al Bayan Hadis Nombor 1128 pula Nabi bersabda mafhumnya:

Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka Hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya maka Hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya. (Niat yang bagaimana di terima Allah SWT?)

Daripada Abi Musa ‘Abdullah bin Qais al-Asy‘ari r.a., berkata: “Rasulullah s.a.w. ditanya tentang seorang lelaki yang berperang kerana keberanian, seorang lagi kerana fanatik perkauman dan yang ketiga kerana menunjuk-nunjuk; yang mana satukah di jalan Allah? Rasulullah s.a.w. menjawab: Sesiapa yang berperang agar kalimah Allah menjadi yang tertinggi, maka dialah yang berjihad di jalan Allah”. Riwayatnya disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim.

Dari hadis daripada Abi Musa ‘Abdullah bin Qais al-Asy‘ari r.a di atas, niat-niat ketiga lelaki tersebut sewaktu berperang tertolak kerana tiada keikhlasan di sisi Allah SWT.

Sudah banyak kali kita bercakap tentang ikhlas tetapi apakah maksud sebenar ikhlas? Kamus Dewan menjelaskan maksud ikhlas sebagai  hati suci, tidak berpura-pura, tidak mengharapkan balasan. Dalam kontek Islam, pengertian sebagaimana dijelaskan Kamus Dewan tidak memuaskan. Apabila saya mengajukan soalan yang sama kepada para pelajar saya di UTM, jelas bahawa mereka juga kabur tentang maksud sebenar ikhlas di dalam Islam. Saya cuba mencari di internet maksud ikhlas, tetapi masih belum berjumpa dengan pengertian ikhlas yang sejajar dengan kehendak Islam. Islam mengajarkan bahawa segala amal ibadah yang tidak ikhlas sebagai amal ibadah yang sia-sia.

Sekiranya kita mengambil perngertian sebagaimana di dalam Kamus Dewan iaitu tidak mengharapkan balasan, adakah saya dikira tidak ikhlas apabila mengajarkan ilmu agama dengan tidak mengharap balasan dari pelajar saya tetapi dalam masa yang sama mengharapkan balasan dari Allah SWT? Menurut Islam perlakuan seperti ini adalah dikira sebagai ikhlas.

Sekiranya saya membaca surah Al Kahfi dengan mengharapkan dosa-dosa saya diantara dua Jumaat diampunkan serta mengharapkan dielakkan dari segala fitnah selama lapan hari, adakah amalan saya membaca surah Al Kahfi tersebut tidak ikhlas?? Menurut Islam perlakuan seperti ini adalah dikira sebagai ikhlas. Untuk memahami perkara ini, fahamilah dua hadis berikut:

Mafhum Hadis 1.
Daripada Umar berkata: Nabi SAW telah bersabda:
"Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya dihari kiamat dan diampunkannya antara dua jumaat" (HR. Ibnu Katsir)

Mafhum Hadis 2.
Daripada Mandzur Ibnu Zaid, Ibnu Khalid Al Juhani dari Ibnu Al Hussein dari bapanya daripada Ali Marfu'an:
"Sesiapa membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat maka dia dihindari daripada segala fitnah selama lapan hari, dan jika Al-dajjal muncul, maka terhindar dia daripadanya" (HR. Ibnu Katsir)
Ramai pelajar saya menjawab pengertian ikhlas sebagai semata-mata kerana Allah SWT.  Namun apabila saya menyoal mereka apa maksud “semata-mata kerana Allah SWT”, mereka gagal menjelaskannya. Ini bermakna mereka tahu tetapi tidak faham. Jawapan ini adalah merupakan jawapan yang paling banyak tetapi rata-rata mereka tidak faham apakah maksudnya “semata-mata kerana Allah SWT”.


Saya dengan ini menyarankan pengertian ikhlas yang selaras dengan kehendak Islam sebagai:

1.    Segala perlakuan yang dibuat dengan niat selari mengikut kehendak Islam
2.    Segala perlakuan yang dibuat semata-mata kerana Allah SWT.

Apabila saya memberikan sedekah kepada anak yatim dengan niat melaksanakan suruhan Nabi Muhamad SAW, adakah perbuatan ini dikira sebagai ikhlas? Mengikut definisi pertama di atas, ia dikira sebagai ikhlas kerana perbuatan ini adalah mengikut kehendak Islam. Mengkut definisi kedua pula perbuatan tersebut dikira sebagai ikhlas kerana apabila saya menuruti suruhan Nabi Muhamad SAW maka saya sebenarnya melakukan perbuatan tersebut kerana mengikut perintah Allah SWT kerana Nabi Muhamad SAW menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Mentaati perintah Nabi Muhamad SAW sebenarnya adalah mentaati perinah Allah SWT.

Apabila saya makan dan minum  dengan tangan kanan dengan niat akur perintah Nabi Muhamad SAW, insyaAllah amalan ini diterima oleh Allah SWT sebagai satu ibadah kerana menepati kedua-dua definisi tersebut.

Apabila kita membaca Al Quran, adalah satu perkara yang sangat digalakkan agar kita berniat mana-mana satu dari berikut atau kesemua sekali iaitu:

1.    Niat untuk mendapatkan ilmu
2.    Niat sebagai satu amal ibadah
3.    Niat untuk bermunajat (berdialog dan berbisik seorang hamba terhadap Tuhannya)
4.    Niat untuk mendapatkan ganjaran pahala dari Allah SWT
5.    Mencari ubat

Mana-mana niat yang dipilih sewaktu kita membaca Al Quran tidak perlu dimulakan dengan lafaz “Usholli..” atau “Nawaitu....” atau dengan bacaan dalam hati “sahaja aku.......”. Ia adalah lintasan dalam hati atau tujuan maksud satu-satu perbuatan.

Dalam kes nombor 8 di atas iaitu seorang suami isteri jarang solat di rumah mereka. Apabila balik ke rumah mertua suami ini akan solat lengkap dengan berjemaah bersama isteri.  Niat sebenar sang suami ini adalah sekadar untuk menunjuk-nunjuk kepada keluarga mertua bahawa beliau juga ada melakukan solat. Bacaan dalam hati “sahaja aku solat fardhu zuhur empat rakaat menjadi imam tunai kerana Allah Taala” adalah sebenarnya satu bacaan yang dipaksakan di dalam hati yang bukan terbit dengan suci dari hati nurani. Bacaan ini seolah-olah satu perlakuan untuk menipu Allah SWT yang kononnya ia solat berjemaah bersama isteri adalah sesuatu yang ikhlas. Namun itulah yang diajarkan oleh ustaz ustazah kita di sekolah.

Dalam bab solat lima waktu ini, memadai niatnya sebagai mana-mana satu dari berikut:

1.    Aku solat kerana menurut perintah Allah SWT
2.    Aku solat kerana diwajibkan kepada aku
3.    Aku solat kerana  aku perlu melaksanakan tanggungjawab aku sebagai seorang Islam
4.    Aku solat sebagai pengesahan bahawa aku adalah hamba kepada Allah SWT
5.    Aku solat kerana aku ingin sekali memasuki syurga Allah SWT.

Mana-mana niat ini adalah selari dengan kedua-dua definisi ikhlas di atas iaitu selari dengan kehendak Islam dan kerana semata-mata untuk Allah SWT.  Semoga amal ibadah yang ikhlas ini diterima oleh Allah SWT.

Saya sewaktu TAKBIRATUL IHRAM iaitu mengucapkan perkataan Allahu Akbar, di dalam hati saya berkata Allah Maha Besar, maha hebat maha berkuasa. Amat lemah dan kerdilnya diri saya ini. Sekiranya pada waktu tersebut saya perlu berkata juga di dalam hati “sahaja aku solat fardhu ...... kerana Allah Taala”, ini sebenarnya adalah satu perkara yang mustahil. Inilah namanya The impossible three in one. Nabi Muhamad SAW sebagai pesuruh Allah SWT pun tidak pernah mengajarkannya dan para sahabat pun tidak pernah mengamalkannya. Imam besar yang empat Hanafi, Maliki, Hambali dan Shafiee pun tidak pernah mengajarkannya. Niat sebenar dalam solat tidak pernah hilang mulai kita mengambil wudhuk. Itulah sebabnya saya telah menjelaskan dibahagian atas bahawa sebenarnya setiap perbuatan dimulakan dengan niat melainkan perbuatan mengigau waktu tidur dan perbuatan tidak sengaja seperti tersepak kaki orang sewaktu kita berjalan. Saya makan nasi kerana saya telah berniat untuk melakukan perbuatan makan nasi tersebut. Apabila telefon saya berbunyi, saya berniat untuk berhenti sementara daripada makan nasi dan bergerak untuk menjawab telefon . Saya terlebih dahulu berniat untuk menjawab telefon tersebut.

Apabila kita memahami maksud sebenar niat, insyaAllah kita dapat memahami dengan mudah mengapa Sayyidina Ali tidak jadi membunuh musuhnya tetapi menarik kembali pedangnya ketika beliau akan menghayun ke leher orang musyrikin, hanya karena si musuh itu meludahinya.

Sayyidina Ali tidak mahu membunuh orang musyrikin ini kerana hawa nafsu, iaitu hanya kerana dirinya yang diperlekehkan, beliau hanya ingin membunuh kerana agama Islam yang dicela, bukan kerana peribadi atau kaumnya. Sekiranya beliau membunuh pada ketika mukanya diludah, maka niat sebenar beliau membunuh adalah disebabkan marah kerana peribadinya yang diperlekehkan dan bukan kerana Allah SWT. Sekiranya ini dilakukan oleh Sayyidina Ali maka perbuatannya itu bukan merupakan perbuatan yang ikhlas.

Sebagai penutup:
1.    "SOLATLAH SEBAGAIMANA KAMU MELIHAT AKU SOLAT" (HR. Muslim) Nabi telah mengajar segala-galanya tentang agama ini. Dengan merujuk hadis-hadis yang sahih kita akan dapat mengamalkan sunnah Nabi yang mulia. Elakkanlah dari melakukan perkara yang Nabi Muhamad SAW tidak melakukannya seperti lafaz “Usholli...”,  “Nawaitu....” dan “sahaja aku ....”. Ia kelihatan menambahbaik solat tetapi sebenarnya merosakkan umat Islam sehingga mereka sukar untuk melakukan solat dan menjadi orang yang tidak pandai berniat dengan ikhlas.
2.    Membaca di dalam hati adalah bukan niat. Niat adalah apa yang terbit dihati tentang maksud atau tujuan sesuatu perbuatan.
3.    Setiap amal ibadah hendaklah ikhlas iaitu dengan niat semata-mata kerana menurut perintah Allah SWT dan selari mengikut kehendak Islam.
4.    Sebelum kita melakukan sebarang amalan seperti membasuh kereta, memasak untuk keluarga, memakai pakaian dan belajar, sertakanlah dengan niat yang ikhlas kerana hanya dengan kesempurnaan ini setiap amalan tersebut insyaAllah dikira oleh Allah SWT sebagai satu amal ibadah.

Sekian wallahuaqlam

Emjay