Assalamualaikum wbh
Beberapa bulan lalu pada
tahun 2010, saya mengetuai beberapa staf Fakulti Pendidikan menjalankan kerja
amal mengadakan gerai jualan di Pesta Konvokesyen UTM untuk meningkatkan
tabungan Badan Kebajikan Staf Fakulti Pendidikan. Kami menjual Nasi lemak, ayam
goreng, burger, air minuman dan berbagai makanan lain. Selama 4 hari kami
bertungkus lumus dari awal pagi hingga ke lewat petang. Saya sendiri bersama
beberapa petugas memasak nasi lemak dan sambal ikan bilisnya sebagai bahan
jualan utama kami setiap hari.
Setiap malam (kecuali satu
malam) saya memasak nasi lemak di rumah untuk terus dibawa ke gerai jualan
keesokan harinya. Selalunya saya memulakan urusan berkenaan memasak nasi lemak
ini selepas pukul 9.00 malam sesudah solat isyak. Penat menjual seharian perlu
dilupakan. Nasi lemak untuk hari esok kena dibereskan. Sedang saya leka memasak
nasi lemak ini kira-kira 9.30 malam, seorang hamba Allah menelefon saya
menceritakan bahawa seorang anak perempuannya yang belajar di tingkatan 4 di sebuah sekolah
berasrama penuh kerasukan. Tambah parah anak ini sudah 7 hari tidak boleh
tidur. Hamba Allah ini meminta saya segera menolong datang ke rumahnya
membantu masalah anaknya.
Nasi lemak belum boleh
ditinggalkan. Penat badan belum pulih namun kini bertambah tanggungjawab untuk
dilaksanakan. Saya bertawakal kepada Allah SWT dan meminta kekuatan dariNya.
Saya bersetuju untuk pergi ke rumah hamba Allah ini sesudah saya menyelesaikan
urusan nasi lemak.
Alhamdulillah kira-kira
pukul 10.30 malam saya bertolak ke rumah hamba Allah ini. Sesampainya
saya di rumah hamba Allah ini, hamba Allah ini menunjukkan anak perempuannya
terbaring di atas katil sangat keletihan tetapi tidak dapat tidur. Mangsa
baring di atas katil keletihan terkebil-kebil matanya tetapi tetap tidak boleh
tidur. Hamba Allah ini mengambil anaknya dari sekolah berasrama penuh siang
tadi setelah diberitahu oleh pihak sekolah. Anaknya sudah mula kerasukan pada
siang hari tadi setelah tidak tidur selama tujuh hari.
Sebagaimana biasa saya
melakukan fasa kedua iaitu melakukan pembersihan rumah tersebut dari segala
gambar manusia, haiwan, loceng dan patung. Alhamdulillah beberapa hasil
diperolehi termasuk satu patung teddy bear besar kepunyaan mangsa. Kesemuanya
saya letakkan di luar rumah untuk dibawa pulang bagi dilupuskan.
Sesudah itu saya masuk ke
fasa ketiga iaitu berbincang lanjut dengan hamba Allah untuk mengetahui lebih
lanjut masalah berkenaan anak perempuanya. Berbagai-bagai cerita termasuk
cerita 3 orang guru agama lelaki di sekolah asrama penuh berkenaan yang
mengamalkan berbagai-bagai ilmu songsang. Dua orang dari mereka mampu melakukan
scan benda ghaib. Bagi saya 2 orang ustaz ini memang sudah jauh tersasar.
Mereka kerap menakut-nakutkan mangsa kononnya dalam badan mangsa ada “saka”
setelah melakukan scanning ke atas mangsa. Inilah bahana ajaran songsang ustaz
garam.
Setelah memperolehi cukup
bahan berkenaan mangsa dari hambaAllah, saya meminta izin untuk memanggil
mangsa keluar untuk diajak berbincang. Hasil perbincangan antara saya dengan
mangsa dapat disimpulkan sebagai berikut:
- Mangsa memang sangat mengantuk setelah 7 hari tidak boleh tidur
- Hari ketujuh, mangsa kerasukan
- Mangsa lemah ilmu tauhidnya.
- Kedua-dua ustaz garam di sekolahnya banyak kali menakut-nakutkan mangsa dengan melakukan “scanning” dan seterusnya memberitahu bahawa dalam badan mangsa ada saka.
- Kedua-dua ustaz serta ustaz ketiga sering menawarkan bantuan untuk membantu buang saka dari badan mangsa. Mangsa tambah ketakutan.
- Mangsa sering kali didedahkan oleh ketiga-tiga ustaz tentang cerita hantu, saka, syaitan, jin dan sebagainya dimana ini menambahkan lagi ketakutan pada diri mangsa.
- Pelajar lain juga ditakutkan oleh ustaz-ustaz ini tentang cerita hantu, jin syaitan dan sebagainya. Apabila pelajar bersembang sesama mereka cerita menakutkan ini selalu berkisar antara mereka dan ini menambahkan lagi ketakutan pada diri mangsa.
- Mangsa ada mengalami masalah berkaitan keluarganya.
- Kegelisahan sekian lama akibat cerita karut-marut dari ustaz-ustaz dan rakan-rakan menjadikan diri mangsa semakin tertekan dan ketakutan. Klimak dari tekanan, ketakutan serta masalah yang tidak berpenghujung membuahkan satu hasil yang amat mengejutkan. Mangsa tersasul berkata dalam bahasa Inggeris menyoal “Hei God, do you really exist??” Dalam bahasa Melayu membawa maksud “Hei tuhan, adakah engkau benar-benar wujud?”
- Selepas mangsa menyoal soalan tersebut, mangsa terus tidak dapat tidur sehingglah selama 7 hari berterusan.
Alhamdulillah terima kasih
Ya Allah, segala pujian hanya untuk Allah SWT yang mengurniakan rahmatNya
sehingga dapat dikenalpasti punca masalah sebenar mangsa. Dalam fasa berikut
ini, saya menjelaskan punca permasalahan yang melanda diri mangsa
sebagai:
- Kurang ilmu tauhid
- Tiga ustaz di sekolah mangsa kerjanya berkempen untuk iblis menakutkan pelajar dengan ilmu tak senonoh.
- Akibatnya mangsa takut benda bukan-bukan seperti syaitan, hantu, sihir, saka, gangguan syaitan dan sebagainya. Sesungguhnya takut hantu melebihi takut Allah SWT adalah syirik. Orang seperti ini sudah luput takut dan harapannya kepada Allah. Allah macam tak wujud dan perkara besar dalam minda mereka hanya hantu syaitan.
- Ditambah rumit masalah diri mangsa dengan sedikit masalah keluarganya.
- Mempersoal kewujudan Allah SWT sudah sama sekali menggugurkan keimanan dan menjadikan mangsa sudah terkeluar dari agama Islam dan menjadilah mangsa sebagai seorang orang kafir. Layaklah si mangsa menerima balasan azab dari Allah SWT.
- Allah SWT apabila diajukan soalan dari mangsa “Hei God, do you really exist??”, sebenarnya seolah-olah Allah SWT terus menjawab soalan tersebut secara sinis kepada mangsa berbunyi “kalau engkau tidak percaya kewujudan ALLAH selama ini yang memberikan engkau pelbagai rahmat seperti tidur dsbnya, engkau tadbirlah diri engkau sendiri untuk tidur”. Sesungguhnya tidur adalah satu rahmat besar dari Allah SWT yang memberikan rahmat dan mentadbir segala sesuatu. Tanpa rahmat dari Allah serta pentadbiranNya, kita semua tidak akan mampu untuk tidur atau melakukan sesuatu apa pun.
- Allah SWT sahajalah yang menjadi pelindung kepada kita semua dari gangguan syaitan. Di dalam Al Quran disebutkan dalam banyak ayat seperti Al Baqarah [257]:
Allah Pelindung (Yang melindungi dan menolong) orang-orang yang beriman.
Apabila Allah SWT
melindungi kita maka terhindarlah kita dari gangguan syaitan. Selama ini mangsa
tidak pernah kena kerasukan kerana Allah SWT sentiasa melindunginya. Apabila
mangsa mempersoal kewujudan Allah yang selama ini melindunginya, Allah menarik
balik satu rahmat iaitu perlindungan dari syaitan lalu mangsa kena kerasukan
akibat diganggu oleh syaitan.
Maka sesungguhnya Allah
telah menjawab persoalan yang dikemukakan oleh mangsa ini dengan tidak
memberikan rahmat tidur selama 7 hari dan tidak lagi melindungi mangsa sehingga
beliau kena kerasukan iaitu satu bentuk gangguan oleh syaitan.
Hamba Allah cukup terkejut
dengan soalan gila yang dikemukakan oleh anak perempuan kesayangannya. Inilah
bahananya mempersoalkan kewujudan Allah SWT. Namun disebalik azab perit ini
terselindung satu pengajaran amat berharga kepada mangsa dan keluarganya agar
jangan sekali-kali mempersoal kewujudan Allah SWT.
Setelah selesai
menceritakan punca permasalahan dan Alhamdulillah sudah jelas difahami oleh
mangsa, saya pun beredar ke fasa berikutnya iaitu pelan tindakan yang saya
ringkaskan sebagai berikut:
- Mangsa perlu mengucap syahadah semula kerana sesungguhnya beliau telah terkeluar dari Islam.
- Ambil wuduk
- Mangsa perlu terus melaksanakan solat taubat dikuti dengan istigfar serta pengakuan kesalahan-kesalahan beliau terutama sekali kesalahan mempersoal kewujudan Allah SWT. Mangsa perlu minta ampun diatas segala keterlanjuran dosa berat yang telah dilakukan olehnya.
- Saya menganjurkan istigfar, tasbih, tahmid, takbir, ucapan haukalah iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH (TIDAK ADA DAYA DAN UPAYA KECUALI DENGAN PERTOLONGAN ALLAH), selawat lalu diikuti permohonan doa mangsa terutama sekali minta semula rahmat tidur serta perlindungan Allah dari kerasukan. Ulangkan semula bermula dari istigfar. Buat sebanyak-banyak sehingga tidur.
- Mangsa serta hambaAllah perlu belajar ilmu tauhid di rumah saya.
Alhamdulillah saya
meninggalkan mangsa pada awal pukul dua belas malam. Esok saya ada tugas berat
menunggu menguruskan gerai jualan Fakulti Pendidikan saya. Keesokan harinya
saya menelefon hambaAllah bertanyakan hal anaknya. Alhamdulillah tidak lama
selepas saya balik, anak beliau sudah dapat tidur. Pada waktu saya menelefon,
anaknya pun sedang tidur lena selepas solat subuh maklumlah kepenatan tidak
tidur selama 7 hari.
Malamnya Hamba Allah dan
mangsa datang ke rumah saya belajar ilmu asas tauhid. Alhamdulillah kerasukan tidak lagi berulang
dan rahmat nikmat tidur sudah diberikan semula oleh Allah kepada mangsa. Malam
berikutnya mangsa dan hamba Allah meneruskan belajar ilmu tauhid.
Setelah beberapa hari belajar ilmu tauhid, keadaan diri mangsa sudah semakin stabil dan pada hari Sabtu, hamba Allah menghantar anaknya kembali semula ke sekolah asrama penuh untuk menyambung pelajarannya setelah satu minggu cuti.
Alhamdulillah begitulah
kisah remaja yang mempersoal kewujudan Allah SWT. Kini setelah lebih 6 bulan
berlalu, 3 hari lepas saya bertemu semula dengan hambaAllah. Keadaan mangsa
sudah normal, Alhamdulillah. Semoga Allah SWT terus memberkati merahmati
diri hambaAllah dan anaknya.
Semoga kisah benar ini menjadi iktibar untuk kita semua.
Wallahuaqlam
Emjay