Perjudian, pertaruhan, undian dan perlumbaan, ramai yang keliru.
Assalamualaikum
wbt sekelian umat Islam dan laknat Allah SWT kepada iblis serta pengikutnya.
Kekeliruan
umat Islam di Malaysia tentang judi pada hari ini cukup dahsyat sekali.
Kekeliruan ini menjadi bertambah parah apabila kerajaan menambah hukum dalam Islam
dengan mewujudkan istilah “judi haram dan judi halal”. Kerajaan menetapkan
hukum tambahan baru bahawa segala perjudian di pusat judi yang berdaftar dan
membayar cukai kepada kerajaan sebagai judi halal manakala segala pusat judi
yang tidak berdaftar dan tidak membayar cukai kepada kerajaan sebagai judi
haram. Hai apalah nak jadi dengan negaraku Malaysia.
Saya
menulis artikel berkaitan judi pada hari ini setelah didorong oleh pelbagai
kekeliruan dikalangan umat Islam di Malaysia dan setelah setengah pihak di UTM
menambah lagi kekeliruan ini dengan mengistiharkan cabutan bertuah sebagai
haram kerana alasan mereka ia mirip perjudian. Pengistiharan ini adalah melalui
wakil UTM yang di arahkan ke Pejabat Agama Islam Negeri Johor untuk menyertai
taklimat dan sekembalinya pensyarah ini ke kampus, diistiharkan bahawa segala
cabutan bertuah adalah haram menurut keputusan di putuskan di Pejabat Agama
Islam Negeri Johor. Yang peliknya pula adalah perkara yang sangat jelas sebagai
perjudian seperti peraduan memancing termasuk GP Joran anjuran Berita Harian
tidak pula mereka haramkan!!
Artikel
hari ini insyaAllah saya berusaha mengungkap persoalan-persoalan berikut sama
ada ia adalah judi atau tidak dengan bersandarkan nas-nas sahih dalam ajaran
Islam seperti:
- Adakah Loteri Kebajikan Masyarakat judi, mengapa?
- Adakah 4 orang main golf dengan pertaruhan RM50 satu judi, jika judi mengapa?
- Adakah menyertai pertandingan memancing ini http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2_000serbuPulauWarisan/Article/index satu judi?
- Adakah menyertai GP Joran anjuran Berita Harian satu judi, jika judi mengapa?
- Adakah menyertai program memancing di kebanyakan kolam memancing satu judi, jika judi mengapa.
- Adakah stesen minyak Petronas mengendalikan judi apabila mereka menawarkan pelbagai hadiah kereta kepada pemenang yang membeli minyak mereka, jika judi mengapa?
- Adakah cabutan bertuah seperti dalam suatu program mesyuarat atau pertemuan adalah judi?? Jelaskan.
- Adakah main dam haji dengan taruhan siapa kalah kena belanja makan malam satu judi, mengapa?
- Menyertai permainan futsal dengan yuran penyertaan yang mahal dan hadiah kemenangan yang tinggi satu judi?
- Adakah Lee Chong Wei dan rakan-rakan mereka menyertai satu permainan judi apabila menyertai perlawanan Badminton siri dunia dengan hadiah kemenangan menjangkau ratusan ribu ringgit?
- Adakah permainan bola anjoran FAM satu permainan judi memandangkan hadiah bagi juara bernilai ratusan ribu ringgit??
Pada
perancangan awal penulisan artikel ini, saya merancang akan memberikan
penjelasan awal konsep judi tetapi setelah meneliti beberapa artikel berkaitan
judi di internet, tugas saya kelihatan lebih mudah apabila saya terjumpa
artikel judi tulisan sdr Muhammad Haniff Hassan. Artikel tersebut
saya copy paste di bawah dan akan saya rujuk untuk menjawab persoalan-persoalan
berkaitan judi yang saya tuliskan di atas.
Tiket Loteri |
Persoalan
1. Adakah Loteri Kebajikan Masyarakat judi, mengapa?
Mari kita
lihat artikel dibawah yang saya copy paste semula berbunyi:
Dalam
mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan
ciri-ciri berikut;
- Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
- Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
- Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan manfaat yang ia pertaruhkan.
Berdasarkan
ketiga-tiga penjelasan ini, maka menyertai loteri Kebajikan masyarakat adalah
satu judi kerana menepati ketiga-tiga perkara yang dinyatakan. Haramm
Persoalan
2. Adakah 4 orang main golf dengan pertaruhan satu judi, jika
judi mengapa?
Ramai
orang yang bermain golf saling bertaruh sesama mereka. Ada yang bertaruh siapa
kalah kena bayar minum, ada yang bertaruh siapa kalah kena bayar makan malam
dan tak kurang juga bertaruh setiap orang bayar RM50 dan siapa menang dapat
wang pertaruhan. Kalau 4 orang bermain golf dan bertaruh seorang RM50, kalau
menang dapat RM200.
Berdasarkan
penjelasan dari Persoalan 1, permainan golf ini adalah satu perjudian kerana
disertai oleh 4 orang, setiap pihak mempertaruhkan RM50 dan pemenang akan
memperolehi RM150 dari 3 rakannya serta menyimpan semula wang pertaruhannya
sebanyak RM50. Haram permainan seperti ini kerana ia adalah satu perjudian.
Persoalan
3. Adakah menyertai pertandingan memancing ini seperti http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2_000serbuPulauWarisan/Article/index satu
judi?
[2,000 serbu Pulau Warisan
Oleh Faizul Azlan Razak
2011/11/19
Oleh Faizul Azlan Razak
2011/11/19
SERAMAI
2,000 kaki pancing dari seluruh negara dijangka berentap merebut hadiah wang
tunai keseluruhan RM58,200 pada karnival memancing pantai sempena Monsoon Cup
2011 di persisiran pantai Pulau Warisan, Kuala Terengganu, Sabtu depan.]
Saya
telah pun menelefon 0322822323 sambungan 4240 sebagaimana yang tertera dalam
iklan tersebut untuk mengesahkan program tersebut serta penyertaan
pemancing. Hamba Allah yang menyambut panggilan saya mengesahkan bahawa hampir
2000 pemancing telah menyertai program joran tersebut. Penyambut panggilan
tersebut juga menjelaskan kepada saya bahawa bayaran bagi satu joran adalah
RM80.
Mari kita
lihat ringkasan andaian perkiraan berikut:
Bilangan
penyertaan anggaran 1950 orang x RM80 = RM156000
Anggaran
penyertaan joran kedua 400 orang x RM60 = RM24000
Jumlah
fee penyertaan adalah sekitar = RM180,000
Jumlah
hadiah wang tunai keseluruhan = RM58,000
Anggaran
kos pengurusan = RM60,000
Keuntungan
kepada Berita Harian =RM62,000
Berdasarkan
kaedah yang sama sebagaimana Persoalan 1 dan 2, program joran ini adalah satu
perjudiaan kerana disertai oleh sekitar 1950 orang pemancing dimana setiap
pemancing mempertaruhkan minima RM80 dan pemenang-pemenang akan memperolehi
sejumlah RM58,000 hadiah wang tunai dan masing-masing pemenang akan mendapat
semula wang pertaruhannya bersama hadiah pertaruhan berupa wang
tunai. Haram program memancing seperti ini kerana ia adalah jelas
satu perjudian.
Dalam
program seperti ini semua pemancing mempertaruhkan RM80 untuk
mendapat hadiah berjumlah RM58,000. Apa yang menarik adalah dalam program
seperti ini timbul pula istilah towke judi. Dalam kes ini, Berita Harian
menjadi Towke judi dan anggaran keuntungan sebagai towke atau penganjur judi
ini adalah sekitar RM62,000.
Penyertaan
penyumbang seperti Coleman dan sebagainya sekadar menambahkan barangan hadiah
yang diterima oleh pemenang. Coleman bukan tauke judi dan syarikat ini
merupakan penderma. Namun disisi Islam Coleman telah bersubahat dalam program
perjudian.
Di atas
alasan yang sama, maka Persoalan 4 dan Persoalan 5 adalah sama hukumnya iaitu
satu perjudian dan harammm hukumnya. Dalam Persoalan 4, Berita Harian menjadi
tauke judi dan dalam Persoalan 5, tuan punya kolam memancing adalah tauke
judinya. Berlumba-lumba mereka menjadi tauke judi membeli saham NERAKA.
Ada orang
menyoal saya dimana judinya kalau dia membayar RM20 untuk satu joran bagi
tempuh memancing selama 2 jam di satu kolam memancing. Sebenarnya dalam kes
ini, mari kita lihat semula ciri perjudian yang dinyatakan
sebagaimana di atas:
- Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih. [Peserta judi dalam kes ini adalah antara para pemancing dengan tauke kolam]
- Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat. [Pemancing mempertaruhkan RM20 manakala tauke kolam mempertaruhkan ikan sebagai harta / manfaat]
- Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan manfaat yang ia pertaruhkan. [Kalau pemancing menang, dia akan memperolehi banyak ikan dan tauke kerugian ikan. Sebaliknya kalau pemancing kalah mereka akan kehilangan RM20 serta tidak dapat ikan dan tauke kolam akan memperoleh RM20 dari setiap pemancing]
Persoalan
4. Adakah menyertai GP Joran anjuran Berita Harian satu judi, jika
judi mengapa?
Di atas
alasan yang sama sebagaimana Persoalan 3 di atas maka Persoalan
4 adalah sama hukumnya iaitu satu perjudian dan harammm hukumnya.
Dalam Persoalan 4, Berita Harian menjadi tauke judi. Para pemancing
mempertaruhkan fee masuk berdasarkan berapa banyak joran yang digunakan. Satu
joran lumrah bayaran yuran adalah RM80.
Kaedah
yang diguna pakai dalam perjudian memancing ini adalah mirip perjudian 4D
(tikam ekor) yang bersepah-sepah disegenap kawasan tak kira kampung atau
bandar. Masing-masing pembeli tiket mempertaruhkan belian tiket 4D untuk mendapatkan
hadiah yang lebih besar. Berlumba-lumba syarikat Magnum, Berjaya dan Genting
menjadi tauke judi. Kerajaan pun tumpang semangkuk bersubahat menjadi tauke
judi yang lebih besar kerana redha dan menggalakkan judi ini berleluasa
menjerat rakyatnya disamping turut mengambil keuntungan dari cukai syarikat
perjudian.
Persoalan
5. Adakah menyertai program memancing di kebanyakan kolam memancing satu judi,
jika judi mengapa.
Saya
ulang semula penjelasan mengapa memancing dikebanyakan kolam memancing adalah
merupakan perjudian. . Sebenarnya dalam kes ini, mari kita lihat
semula ciri perjudian yang dinyatakan sebagaimana di atas:
- Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih. [Peserta judi dalam kes ini adalah antara para pemancing dengan dan pihak satu lagi ialah tauke kolam]
- Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat. [Pemancing mempertaruhkan RM20 manakala tauke kolam mempertaruhkan ikan sebagai harta / manfaat]
- Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan manfaat yang ia pertaruhkan. [Kalau pemancing menang, dia akan memperolehi banyak ikan dan tauke kerugian ikan. Sebaliknya kalau pemancing kalah mereka akan kehilangan RM20 serta tidak dapat ikan dan tauke kolam akan memperoleh RM20 dari setiap pemancing]
Aktiviti
memancing boleh menjadi satu aktiviti yang tidak mendatangkan dosa sekiranya
diubah kaedah seperti berikut:
- Tauke kolam memancing menyediakan prasarana seperti kolam, tempat berteduh, ikan dalam kolam, tandas dan sebagainya.
- Pemancing dikenakan yuran perkhidmatan sebanyak contohnya RM5 sekali masuk.
- Pemancing dibenarkan memancing untuk mendapatkan seberapa banyak ikan.
- Harga setiap jenis ikan dalam kolam diistiharkan harganya sebagai contoh, siakap RM14 / kg, kerapu RM20 / kg dan sebagainya.
- Ikan yang diperolehi oleh pemancing diasingkan mengikut jenis dan ditimbang.
- Pemancing perlu membayar wang mengikut jenis dan timbangan ikan yang dipancing sebagaimana yang telah diistiharkan, contohnya kalau pemancing mendapat 1 ekor ikan siakap seberat 1.5 kg dan harga siakap adalah RM 14 / kg maka pemancing perlu membayar sebanyak RM21 untuk membawa pulang 1 ekor ikan siakap yang berjaya dipancing.
- Sekiranya pemancing tidak berjaya memancing sebarang ikan, pemancing hanya telah membayar RM5 untuk membayar segala kemudahan yang disediakan oleh tauke pemancing.
Judi
mendatangkan kerugian dan pelbagai kesan negatif kepada peserta judi. Namun
sistem kolam memancing sebagaimana yang dicadangkan tidak mendatangkan sebarang
kerugian sama ada kepada pemancing atau kepada tauke kolam, Sekiranya pemancing
memperolehi banyak ikan, mereka perlu membayar lebih banyak duit mengikut
timbangan dan harga setiap jenis. Islam sentiasa menjaga kebajikan kepada
setiap pihak.
Persoalan
6. Adakah stesen minyak Petronas mengendalikan judi apabila mereka menawarkan
pelbagai hadiah kereta kepada pemenang yang membeli minyak mereka, jika judi
mengapa?
Persaingan
antara penjual minyak menjadikan penjual seperti setesen Shell dan Petronas
mengadakan program kreatif untuk menambah jualan. Mari lihat http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PeraduanPetronastawarRM1_8j/Article/index_html
.Petronas menyediakan pelbagai hadiah berjumlah RM1.8 juta
ringgit kepada pembeli setia minyak Petronas. Adakah program ini merupakan satu
perjudian?? Asas takrifan perjudian adalah diulang sekali lagi:
- Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
- Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
- Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan manfaat yang ia pertaruhkan.
Menurut
takrifan ini maka sesungguhnya program ini bukan satu perjudian kerana jelas
bahawa pembeli minyak tidak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat. Setiap
wang yang dibayar kepada stesen minyak Petronas telah memperolehi minyak yang
dibeli dan dengan ini telah sempurna muamalatnya - jual belinya.
Dengan
menggunakan satu analogi, saya ingin menjelaskan perkara ini dengan situasi
begini:
Saya ada
kedai runcit di sebuah kampung. Di kampung saya ini terdapat beberapa kedai
runcit lain. Persaingan adalah sengit. Saya mempunyai banyak pokok rambutan dan
sedang lebat berbuah dan sudah masak ranum. Saya pun membuat iklan besar di
depan kedai saya berbunyai ”Setiap belian di kedai saya melayakkan diri anda
untuk mendapat hadiah buah rambutan. Anda hanya perlu isi maklumat dalam borang
penyertaan. Hadiah akan dihantar terus ke rumah anda”.
Adakah
sistem hadiah berpilih ini merupakan satu perjudian? Jawapannya adalah tidak
sama sekali. Ia bukan perjudian. Tidak ada mana-mana pihak yang mendapat
kerugian. Mereka yang tidak dapat hadiah rambutan telah mendapat barangan yang
dibelinya dan saya sudah mendapatkan wang bagi setiap barang yang saya jual.
Saya mendapat manfaat kerana dapat menderma kepada pemenang-pemenang terpilih.
Pemenang mendapat manfaat tambahan hadiah rambutan dari saya. Maka ia bukan
satu perjudian. Tiada pertaruhan.
Persoalan
7. Adakah cabutan bertuah seperti dalam suatu program mesyuarat agung atau
pertemuan adalah judi?? Jelaskan.
Saya
memulakan penjelasan ini dengan satu senario begini: Saya mengadakan hari
terbuka sempena Aidilfitri di rumah saya. Semua staf fakulti saya serta jiran
tetangga serta saudara mara dijemput. Saya menyediakan pelbagai hadiah untuk
para tetamu namun kerana atas faktor kewangan, saya hanya mampu menyediakan 30
hadiah sahaja. Oleh kerana tetamu pada hari itu adalah ramai melebihi 100
orang, maka saya mengadakan sistem cabutan undi bagi memilih pemenang hadiah
tersebut. Adakah sistem ini merupakan perjudian? Kalau perjudian, siapa yang
bertaruh dan dengan siapa mereka bertaruh?? Maka sesungguhnya in bukanlah satu
perjudian.
Di Johor
ini ada pihak yang mengharamkan cabutan bertuah dengan alasan amalan ini
menyerupai perjudian. Ingatlah bahawa dalam sebuah hadits riwayat Al-Bukhari
dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w apabila ingin bermusafir
mengundi isteri-isterinya untuk menentukan siapa yang akan mengikutinya.
Sekiranya kita mengharamkan cabutan bertuah maka amalan Nabi SAW mencabut undi
ke atas isteri-isteri baginda bukan islamik??
Persoalan
8. Adakah main dam haji dengan taruhan siapa kalah kena belanja makan malam
satu judi, mengapa?
Apabila
dua pihak berlawan bolasepak dengan setiap pihak mempertaruhkan RM1000 dan
pemenang akan membawa pulang wang pertaruhan berjumlah sebanyak RM2000 adalah
suatu perjudia ia adalah jelas kerana setiap pihak ada mempertaruhkan sesuatu.
Begitulah
juga apabila dua orang bermain dam haji dengan mempertaruhkan wang RM10 setiap
orang dan pemenang akan bawa pulang RM20 adalah suatu perjudian. Setiap orang
ada taruhannya iaitu RM10. Berdasarkan konsep ini terdapat setengah orang
menyatakan bermain dam haji dengan ditetapkan oleh kedua-dua pemain bahawa yang
kalah kena bayar makan malam adalah bukan suatu perjudiaan kerana setiap pemain
tidak mempertaruhkan sesuatu melainkan yang kalah sahaja kena bayar makan
malam. Adalah jelas salah pendapat sebegini.
Apabila
dua pemain dam haji tersebut main dam haji dengan ketetapan yang kalah kena
bayar makan malam, sebenarnya mereka telah pun berjudi. Penjelasannya adalah
seperti berikut. Katakanlah makan malam tersebut adalah di KFC dengan kos makan
malam bagi dua orang adalah RM20. Yang kalah kena mengeluarkan wang sebany ak
RM20 untuk makan malam berdua bersama pemenang dam haji tersebut. Dalam kes ini
sebenarnya setiap pemain telah mempertaruhkan sebanyak RM10 secara tidak langsung.
RM10 setiap pemain dan jumlah pertaruhan ini adalah RM20. Sebenarnya pemenang
akan memperolehi semula RM10 pertaruhannya dan pemain yang kalah perlu membayar
RM20 untuk membayar makan malam. Inilah sebabnya bermain dam haji dengan
mempertaruhkan siapa yang kalah kena bayar makan malam adalah suatu permainan
judi dan harammmm hukumnya.
Inilah
juga apa yang dikatakan di atas sebagai setiap pihak mempertaruhkan sesuatu
harta atau manfaat. Yang menang mendapat manfaat makan malam percuma.
Persoalan
9. Menyertai permainan futsal dengan yuran penyertaan yang mahal dan hadiah
kemenangan yang tinggi adakah satu judi?
Dalam
bahasa mudah judi adalah mempertaruhkan sesuatu dalam apa bentuk sekali pun
sama ada wang atau manfaat.
Kalau
dalam pertandingan futsal atau segala permainan lain, duit yuran penyertaan
digunakan untuk membeli atau sebagai hadiah dan hadiah tersebut
direbut oleh peserta atau pihak yang bertanding, maka ia adalah satu perjudian
dan harammm hukumnya.
Seandainya
dalam satu program pertandingan futsal, setiap pasukan perlu membayar RM50 yang
digunakan oleh penganjur untuk membiayai kos pengurusan program seperti untuk
membayar sewa tapak, minuman, alat tulis, bayaran pengadil dan segala kos
pengurusan lainnya sahaja manakala hadiah kepada pemenang adalah diperolehi
daripada penaja seperti Panasonic, Proton atau Petronas maka program
pertandingan futsal seperti ini bukanlah satu perjudian dan diharuskan.
Banyak
dalil penjelasan tentang perkara ini di dalam artikel dibawah yang di tulis
oleh Muhammad Haniff Hassan. Bacalah.
Persoalan
10. Adakah Lee Chong Wei dan rakan-rakan mereka menyertai satu permainan judi
apabila menyertai perlawanan Badminton siri dunia dengan hadiah kemenangan
menjangkau ratusan ribu ringgit?
Jawapan
kepada persoalan 10 ini adalah sama seperti jawapan bagi persoalan 9.
Sekiranya
setiap pemain perlu membayar yuran penyertaan yang mahal dan yuran mahal ini
bukan dibayar oleh pemain itu sendiri dan mungkin dibayar oleh penaja dan
hadiah kemenangan pula adalah diperolehi oleh pemain, maka ia bukan satu
perjudian kerana ini bukan satu pertaruhan. Bayaran yuran bukan dari
pemain tetapi sekiranya Lee Chong Wei sendiri yang membayar yuran penyertaan
dan hadiah adalah diberikan menggunakan duit yuran penyertaan dari Le Chong Wei
dan para pemain lainnya, maka ia adalah satu perjudian.
Persoalan
11. Adakah permainan bola anjoran FAM satu permainan judi memandangkan hadiah
bagi juara bernilai ratusan ribu ringgit??
Samalah
juga dengan pertandingan bolasepak anjuran FAM yang menawarkan hadiah ratusan
ribu ringgit kepada pemenang bukanlah satu perjudian sekiranya para pemain atau
pasukan mereka tidak mempertaruhkan sebarang wang atau manfaat untuk mendapat
hadiah dari wang yuran penyertaan yang disatukan. Ingatlah bahawa kalau duit
yuran penyertaan digunakan untuk membeli atau sebagai hadiah dan
hadiah tersebut direbut oleh peserta atau pihak yang bertanding, maka ia adalah
satu perjudian dan harammm hukumnya dan sekiranya sebaliknya, ia adalah harus.
Namun apa
yang banyak berlaku dalam pertandingan bolasepak anjuran FAM di Malaysia ini
ialah ramai penonton berjudi menentukan pemenang yang bertanding dan jumlah gol
setiap pasukan. Yang ini adalah jelas perjudian dan tidak ada sebarang
kesamaran. Setiap penjudi mempertaruhkan wang untuk mendapatkan pulangan hadiah
lumayan yang diperolehi dari gabungan wang taruhan dari setiap penjudi ini.
Ingatlah
bahawa judi adalah salah satu dosa besar dan pastinya mengundang azab pedih
yang amat berat kepada pelakunya. Inilah perlunya belajar sejarah
dalam erti kata sebenar seperti contohnya kajilah sejarah mereka yang terlibat
dengan judi dalam satu tempuh yang panjang. Salah seorang saudara saya dibuang
kerja dan kehilangan banyak faedah yang diberikan dari majikannya termasuk
rumah. Wang pejabat yang diamanahkan kepadanya telah diperjudikan dan Allah
tetapkan ia kalah judi. Beliau tidak dapat memulangkan semula wang pejabat
dalam waktu yang ditetapkan. Anak isteri termasuk kenderaan jadi mangsa. Hilang
rumah hilang kereta melarat jadi papa. Itulah bahananya berjudi.
Seorang
lagi saudara rapat saya sebagai satu kajian sejarah saya ceritakan sebagai
iktibar. Allah telah memberikan rezeki yang agak lumayan kepada hambaAllah ini.
Rumah ada, kereta ada, tanah pun luas dengan pelbagai taaman. Tiba-tiba dek
terpengaruh dengan desakan kawan hambaAllah ini memulakan satu bisnes baru
iaitu menjadi tauke judi dengan menyediakan khidmat kolam memancing disalah
satu tanahmya yang luas. Pelbagai mesin dibawa masuk untuk memulakan bisnes
judi memancing.
Setelah
bermula, pemancing kena membayar RM20 bagi tempuh memancing selama 2 jam. Ramai
jugalah orang yang datang berjudi. Pendek kata rezekinya jelas nampak bertambah
banyak. Saya menasihatinya bahawa usahanya tersebut adalah satu perjudian.
HambaAllah ini menempelak saya dengan berkata bahawa usahanya ini adalah bukan
satu perjudian malahan dia berkata ramai ustaz datang memancing di kolamnya dan
tidak ada seorang pun yang mengatakan aktiviti ini sebagai satu perjudian.
Rezeki
hambaAllah terus menigkat sehingga mampu mengupah orang gaji untuk menguruskan
keluarganya. Dari semasa kesemasa hambaAllah ini mengadakan pesta memancing
dengan menyediakan hadiah lumayan termasuk seperti motorsikal Jaguh, peti
televisyen yang besar serta pelbagai hadiah menarik lainya. Jumlah hadiah
sahaja sudah menjangkau belasan ribu ringgit.
Pesta
demi pesta memancing dilaksanakan demi meningkatkan lagi pulangannya. Dengan
takdir Allah, beberapa pesta judi besar memancing anjurannya tidak dikunjungi
pemancing sedangkan hadiah sudah disediakan. Akibatnya ialah kos membeli hadiah
serta kos memasukkan ikan ke dalam kolam jauh melebihi kos yuran penyertaan
para pemancing yang sedikit bilangannya. Inilah namanya JUDI, kalau tidak tauke
yang tambah kaya maka penjudi pulalah yang tambah kaya. Akibat dari pesta
memancing besar-besaran anjuran hambaAllah ini berturut-turut kalah judi amat
besar maka segala kekayaan terdahulu sudah hilang lesap. Beberapa keping tanah
sudah terjual untuk membayar hutangnya. Apabila anak-anak mengetahui beberapa
keping tanah sudah terjual, anak menyorokkan geran tanah dan pertengkaran
antara anak dengan bapa pula berlaku. Pendek kata berbagai azab pedih yang
Allah berikan sehingga nak bayar ansoran kereta pun sudah tidak mampu. Itulah
bahananya menjadi tauke judi. Nak kaya tetapi hakikatnya bertambah kayap
(bankrap).
Fahamilah
konsep judi sebagaimana telah saya jelaskan diatas. Main dam atau badminton
dengan menetapkan siapa kalah kena belanja makan adalah satu judi. Judi adalah
haram. Selain dapat dosa pastiya dapat balasan azab didunia selain di akhirat.
Judi adalah salah satu dari dosa besar. Mudahnya, jauhilah segala bentuk judi
kerana ia hanya sekadar menambah azab dan bukannya menambah rahmat.
Apa yang
Allah benarkan jangan pula diharamkan. Bijak pandai di UTM ini sepatutnya bukan
menjadi “yes man” apabila ada pihak yang kononnya berkuasa dan berilmu
menyatakan bahawa cabutan undi bertuah adalah haram kerana mirip perjudian.
Lainlah dengan judi TOTO dimana nombor-nombor untuk dimenangi dicabut secara
cabutan “bertuah”. Di sini jelas ada pertaruhan antara para pemain judi dengan
tauke judi.
Sekian
untuk kali ini. Wallahauqlam
Emjay
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Islam Mencela Judi
© Muhammad Haniff Hassan
Judi Adalah
Haram
Di sisi
para fuqaha, judi dikenali sebagai Al-Maisir dan Al-Qimar.
Ia bermaksud permainan yang mengandung unsur taruhan dan orang yang menang
dalam permainan itu berhak mendapat taruhan tersebut.[ Dr. Aziz Dahlan,
Ensiklopedi Hukum Islam, PT Ickhtiar Baru, Jakarta, 1997, jld 3, ms 1053]
Judi
adalah haram dalam Islam. Ini berdasarkan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah.
Allah taala berfirman yang bermaksud
“Mereka
bertanya kepadamu tentang khamar dan judi (Al-Maisir), katakanlah bahawa pada
keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa
keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Al-Baqarah : 219)
“Hai
orang-orang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi (Al-Maisir),
(berkorban untuk) berhala, mengundi nasib adalah rijs (najis, perbuatan keji)
termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu
mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan
permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum khamar) dan berjudi
itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan solat, maka berhentilah kamu
(dari mengerjakannya).” (Al-Maidah : 90 – 91)
Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud
“Barangsiapa
berkata kepada saudaranya marilah kita bermain judi, maka hendaklah dia
bersedekah.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Berdasarkan
dalil-dali di atas dapat disimpulkan bahawa Islam menjadikan judi sebagai satu
kesalahan yang serius dan memandang hina apa jua bentuk judi. Ini dapat dilihat
dari petunjuk-petunjuk berikut;
- Judi disebut dan diharamkan bersama dengan perbuatan minum arak, berkorban untuk berhala (syirik) dan menenung nasib. Kesemua ini adalah dosa besar di dalam Islam.
- Judi disifatkan sebagai najis untuk menggambarkan kekejiannya.
- Kehinaan judi diperkuatkan dengan pernyataan bahawa ia adalah amalan syaitan.
- Allah menggunakan perkataan ‘Jauhilah’ untuk menunjukkan pengharamannya. Perintah menjauhi judi lebih keras dari mengatakan bahawa ia adalah haram. Ertinya umat Islam bukan hanya dituntut untuk tidak berjudi tetapi juga tidak mendekatinya atau apa jua jalan kepadanya. Ini sama seperti larangan dari mendekati zina.
- Allah sertakan dalam ayat pengharaman itu, akibat-akibat buruk dari berjudi.
- Akibat buruk yang dinyatakan berkaitan dengan perkara yang dianggap penting dalam Islam iaitu menjaga kesatuan, persaudaraan dan mendirikan solat. Oleh kerana perkara ini adalah penting dalam Islam, maka apa jua yang boleh merosakkannya adalah suatu yang dipandang berat.
- Dalam Al-Maidah : 90-91, Allah bukan hanya perintah agar menjauhi judi bahkan Ia memperkuatkan perintah tersebut dengan seruan agar meninggalkannya sebagai penegasan.
- Siapa yang mengajak saudaranya berjudi sahaja, diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w bersedekah sebagai kafarah terhadap dosanya apa lagi jika melakukannya.
Oleh itu,
pengaharaman judi adalah sesuatu yang tsabit dengan dalil qat’ii sama seperti
pengharaman ke atas babi. Ertinya dalam apa jua keadaan dan tempat, judi adalah
haram sehingga hari Kiamat. Larangan terhadapnya tidak dapat ditafsirkan dengan
pengertian lain.
Apa yang
tidak tsabit secara qat’ii ialah bentuk-bentuk permainan yang dikategorikan
sebagai judi. Dalam aspek ini sememangnya terdapat khilaf dikalangan ulama
kerana permainan selalunya berkembang dari masa ke semasa dan berbeza-beza
antara dahulu dan sekarang dan antara kalangan kaum.
Cukup Bagi Kita
Al-Quran
Oleh
kerana itu pendirian seorang muslim dalam persoalan judi ialah untuk menerima
ketentuan Allah taala dengan yakin akan keburukan judi. Walau pun terdapat
pelbagai hujah dan kajian saintifik yang dibuat oleh pelbagai pihak bagi
menjustifikasikan judi samada untuk tujuan ekonomi, sosial dan lain-lain.
Babi
tidak akan boleh menjadi halal walau pun para saintis dapat membuktikan faedah
yang ada padanya. Begitulah juga judi.
Seorang
muslim wajib menolak judi dan membanterasnya walau pun ia tidak lihat atau
belum lihat tanda-tanda negatif dari perbuatan judi.
Keimanan
kita terhadap Allah taala dan kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah cukup bagi
menolak judi samada sikit atau banyak, untuk tujuan peribadi atau manfaat
sosial. Ini sejajar dengan firman Allah taala yang bermaksud
“Alif Lam
Mim, (Al-Quran) itu adalah kitab yang tiada keraguan padanya dan petunjuk bagi
orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah : 1-2)
“Demi
tuhankau (Muhammad), sesungguhnya mereka belum beriman sehingga mereka
menjadikan kau sebagai hakim dalam perkara yang mereka berselisih dan tidak
merasa keberatan atas apa yang kamu putuskan dan menerima dengan sepenuhnya”
(An-Nisa’ : 65)
Walau pun
begitu, ini tidak bermaksud untuk menghalang umat Islam dari membuat pelbagai
kajian berkaitan judi secara objektif. Seperti kajian mengenai kesan judi
terhadap masyarakat, individu dan psikologi penjudi.
Hari ini
judi sudah menjadi satu amalan sosial yang biasa. Ia bahkan menjadi satu
industri tersendiri yang memberi pekerjaan pada ratusan tenaga manusia,
pendapatan bilion dolar bagi pemerintah dan syarikat judi, sumbangan bilion
dolar juga kepada kerja kemasyarakatan. Begitu besar manfaat ini, sehingga ia
mengaburi mata dan menggoncang keyakinan adakah benar judi itu hina dan tidak
baik?
Dalam hal
ini suka dipertegaskan bahawa Islam tidak menafikan kewujudan manfaat dari
judi. Namun judi tetap diharamkan bukan kerana ia tidak ada faedah tetapi
kerana mudarat yang timbul dari berjudi lebih besar dari faedah yang boleh
diraih. Ini dengan jelas dinyatakan dalam Al-Baqarah : 219.
Ini tidak
akan berubah walau pun pada hari ini ramai yang berjudi secara suka-suka atau
kecil-kecilan dan judi yang diinstitusikan tidak pula mencetus permusuhan,
pergaduhan dan ibadah kepada Allah taala.
Antara Permainan
& Judi
Dalam
mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah
mensyaratkan ciri-ciri berikut;
- Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
- Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
- Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan manfaat yang ia pertaruhkan.
Berdasarkan
ini, para ulama berpendapat bahawa mana-mana permainan yang mana pemenangnya
memperolehi manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga, bukan dari pihak-pihak
yang terlibat dalam permainan itu. Permainan seperti ini dinamakan sebagai
pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah.
Satu
permainan juga tidak dianggap sebagai judi sekiranya manfaat yang diperolehi
berasal dari satu pihak seperti sekiranya seorang berkata kepada temannya “Jika
kamu boleh mengalahkan saya, saya akan memberimu hadiah. Akan tetapi jika kamu
kalah, tiada kewajipan atas kamu terhadap saya.” Ini berdasarkan kepada sebuah
hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang mana Rasulullah s.a.w diajak oleh
seorang kafir Quraisy bernama Rukanah untuk bergusti dengan hadiah beberapa
kambing, jika Rasulullah s.a.w menang. Rasulullah s.a.w menerima cabaran itu
dan beliau menang dalam pertandingan. [Ibid, jld, ms 1055]
Di dalam
sebuah hadits juga diriwayatkan dari Anas
“Ditanyakan
kepada Anas Apakah kamu bertaruh di masa Rasulullah s.a.w? Apakah Rasulullah
s.a.w bertaruh? Anas menjawab Ya, beliau telah mempertaruhkan seekor kuda yang
dinamakan Sabhah, lalu taruhan itu dimenangkan oleh Rasulullah s.a.w. Beliau
senang terhadap hal itu dan mengaguminya.” (Riwayat Ahmad)
Apa jua
permainan yang apabila seorang di antara yang bertaruh menang lalu mendapatkan
taruhan itu sedang bila kalah maka dia berhutang kepada temannya dianggap
sebagai judi yang diharamkan. [Sayid Sabiq, Fiqh Sirah, PT
Al-Ma`arif, Bandung, 1987, jld 14, ms 141.]
Loteri Adalah
Judi
Berkaitan
dengan loteri dan permainan 4D atau TOTO pada hari ini, Muhammad Abduh
berpendapat bahawa walau pun permainan seperti ini mempunyai ciri-ciri
· Tidak
menimbulkan permusuhan, kebencian dan tidak menghalangi pembelinya dari
perbuatan mengingat Allah taala dan mendirikan solat kerana para pembeli
permainan-permainan ini tidak berkumpul di satu tempat, bahkan mereka berada
dijarak yang jauh dan berlainan dari tempat perlaksanaan permainan.
· Dalam
bermain permainan ini juga, pembeli tidak terhalang dari berzikir dan bersolat
berbeza dengan mereka yang menghadap meja judi kerana berjudi.
· Para
pembeli tidak mengetahui orang yang memakan hartanya berbeza dengan judi biasa.
Namun,
mengikut Muhammad Abduh, dalam pelaksanaannya undian loteri ( juga 4D dan TOTO
– penulis) ini terdapat akibat-akibat buruk seperti yang juga terdapat pada
jenis judi yang lain adalah kenyataan bahawa perlaksanaan undian loteri ini
merupakan salah satu cara untuk mendapatkan harta orang lain secara tidak sah
iaitu tanpa balasan yang jelas seperti pertukaran harta itu dengan benda lain
atau dengan satu jasa. Cara-cara ini diharamkan oleh Islam. [ Dinukil dari Dr
Aziz Dahlan, Ensiklopedi Hukum Islam, PT Ichtiar Baru, Jakarta, 1997, jld 3, ms
1055. Lihat Muhammad Abduh, Tafsir Al-Manar, juz 2.
]
Prof. Dr.
Yusuf Al-Qardhawi menulis bahawa apa yang sekarang ini dinamakan dengan
‘loteri’ adalah semacam cabang dari perjudian juga, yang mana tidak seharusnya
dipandang remeh serat membolehkannya atas nama badan bantuan sosial dan kerana
tujuan-tujuan kemanusiaan. Sebenarnya orang-orang yang membolehkan bermain
loteri kerana tujuan-tujuna yang tersebut seperti orang-orang yang mengumpul
dana sumbangan kerana tujuan-tujuan khairat dnegan mengadakan majlis-majlis
joget dan pertunjukan seni yang haram. Sebaik-baiknya kita katakan kepada orang
ini sebagaimana yang disabdakan oleh nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud
“Sesungguhnya
Allah itu Baik, Dia tidak akan menerima kecuali yang baik-baik sahaja” (Riwayat
Muslim) [Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Halal Dan Haram Dalam
Islam, Pustaka Islamiah, Singapura, 1995, ms 498]
Lumba Kuda
Dalam Islam
Islam
menggalakkan umatnya beriadah dengan berkuda. Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud
“Lemparkanlah
(panah) dan tungganglah (kuda)!” (Riwayat Muslim)
“Kuda itu
ada tiga macam. Kuda yang dimaksudkan untuk Allah, kuda yang dimaksudkan untuk
manusia dan kuda yang dimaksudkan untuk syaitan. Adapun kuda yang dimaksudkan
untuk Allah, ialah kuda yang disediakan untuk berperang pada jalan Allah, maka
makanannya, tahinya, lalu beliau sebut lagi bermacam-macam (semuanya ada
kebaikannya). Adapun kuda yang disediakan untuk syaitan, itulah kuda yang
disediakan untuk berjudi dan untuk pertaruhan. Adapun kuda yang disediakan
untuk manusia, itulah kuda yang dipelihara manusia untuk dibiakkan, maka itu
adalah untuk menutup diri dari kemiskinan.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Dalam
konteks hari ini, permainan Polo dan equestrian sebagai satu
riadah dibolehkan dalam Islam. Perlumbaan menunggang kuda juga dibolehkan jika
sebagai satu pertandingan yang mana pemenangnya mendapat hadiah dari pihak
ketiga bukan dari taruhan para pelumba. Yang haram ialah perbuatan bertaruh dan
menikam / meneka oleh para penonton bagi menentukan kuda yang menang.
Oleh
kerana perlumbaan kuda hari ini diwujudkan tidak lain kecuali untuk menarik
taruhan dari masyarakat umum, maka secara umum perlumbaan kuda hari ini menjadi
haram kerana tujuannya yang menyimpang. Ini sejajar dengan hadits yang
dinyatakan di atas.
Tikam Bola Juga
Judi
Tidak
syak lagi bahawa permainan menikam keputusan pertandingan bola di Liga S juga
adalah judi. Maka ia adalah haram dalam Islam.
Cabutan Bertuah
= Judi?
Cabutan
bertuah yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat bagi menggalak penjualan
barangannya atau yang dianjurkan oleh badan-badan bagi mengumpul dana atau yang
diadakan dalam majlis-majlis tertentu tidak dianggap sebagai judi. Ini kerana
tiada pertaruhan antara pemegang tiket cabutan bertuah berkenaan. Cabutan
bertuah bagi tujuan perdagangan, pembeli telah mendapat manfaat wangnya dengan
memperolehi barangan yang diberi.
Cabutan
bertuah itu hanyalah satu janji peniaga / pengumpul dana untuk memberi hadiah
kepada mereka yang membeli barangannya atau yang telah menderma, sebagai tanda
terima kasih dan bagi galakan. Oleh kerana ramai yang memenuhi syarat bagi
menerima hadiah yang dijanjikan, maka undi dibuat bagi menentukan siapa yang
berhak untuk mendapat hadiah yang terhad jumlahnya.
Cabutan
bertuah melalui undi yang tidak mengandungi kerosakan sama sekali bahkan
mengandungi manfaat seperti cabutan bagi kuiz berhadiah dan promosi perdagangan
dibenarkan. [ Dr. Azis Dahlan, Ensiklopedi Hukum Islam, PT Ickhtiar
Baru, Jakarta, 1997, jld 6, ms 1871]
Membuat
keputusan secara mengundi seperti ini adalah dibenarkan dalam Islam. Dalam
sebuah hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah
s.a.w apabila ingin bermusafir mengundi isteri-isterinya untuk menentukan siapa
yang akan mengikutinya.
Penggunaan Wang
Hasil Judi
Wang
hasil judi haram dimanfaatkan oleh pemenang judi atau sesiapa yang menerima
pemberian dari wang berkenaan. Apa yang boleh dilakukan ialah wang tersebut
hendaklah dimasukkan ke dalam Baitul-Mal. Wang ini menjadi milik Baitul-Mal
untuk digunakan bagi faedah umum kaum Muslimin.
Derma
dari hasil yang sedemikian jika digunakan untuk membina masjid hukumnya adalah
makruh dan amalannya itu tidak merupakan satu kebajikan kerana Rasulullah telah
bersabda, yang bermaksud
"Sesungguhnya
Allah itu Suci, tidak menerima melainkan yang suci.”(Riwayat Muslim)
Akan
tetapi, ibadat seseorang serta fardu jemaahnya di dalam masjid itu adalah sah.
[Fatwa MUIS, rujuk www.muis.gov.sg]
Kesimpulan
Islam
adalah agama yang sejajar dengan fitrah manusia. Oleh itu, Islam mengharuskan
hiburan dan pelbagai permainan. Mengikut prinsip hukum Islam, apa jua hiburan
dan permainan adalah halal kecuali ada dalil yang menjadikannya haram.
Atas
dasar ini, pada hakikatnya terdapat pelbagai hiburan dan permainan yang manusia
boleh menceburinya dibandingkan apa yang tidak dibenarkan. Oleh itu, adalah
satu kesilapan untuk mentohmah Islam sebagai satu agama yang sempit dan jumud
kerana sikap tegasnya terhadap judi.
Islam
melarang judi kerana ia menjadikan manusia menggantungkan harapannya kepada
nasib, keuntungan yang tiba-tiba serta cita-cita kosong bukan kepada pekerjaan
dan usaha melalui sebab musabab yang ditentukan oleh Allah taala.
Islam
bertujuan untuk menjaga harta manusia dari musnah dan diambil secara salah.
Sedangkan judi memusnahkan harta penjudi dan membuka pintu untuk mengambil
harta orang lain melalui untung nasib semata-mata.