Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Monday, 25 November 2019

Heart Attack / Serangan Jantung, Satu Perkongsian Pengalaman



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى  مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Segala puji bagi Alla tuhan sekelian alam. Limpahkanlah selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad SAW dan juga keluarganya sebagaimana engkau limpahkan kepada Ibrahim.
Dengan nama Allah yang tidak ada satu pun yang memudaratkan dengan namanya di bumi mahupun di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Ya Allah, lamanya saya tidak menulis di Laman Emjay ini. Kali terakhir saya menulis adalah pada 10 Jun 2014.  Maknanya sudah lebih 5 tahun saya tidak menulis. Sudah banyak perkara tentang pengendalian Blogspot ini yang saya sudah lupa, namun Alhamdulillah sekarang sedang mengejar semula ilmu ilmu lama. Semoga Allah mempermudah  dan merahmati dan memberkati usaha ini.

Apabila angin ribut, kita carilah tempat berteduh dan apabila cuaca kembali pulih, kita lakukanlah perkara yang biasa kita lakukan. Pada tarikh tersebut, lumrahnya saya kerja hampir 7 hari seminggu dari awal pagi hingga malam baharu dapat pulang ke rumah. Di samping kerja hakiki, saya memimpin Koperasi UTM dan terlibat juga dengan Koperasi Iskandar. Kerja meletihkan tetapi seronok. Namun menjelang penghujung tahun 2015 bulan Disember, kerja yang berat di Koperasi Iskandar menjadi bertambah rumit dan buntu. Itulah akibatnya apabila bekerja dengan orang yang tidak faham agama malahan menentang sesi mentadabbur Al Quran seminggu sekali dengan para staf. Dia ni memang bangsa yang tidak solat.

Apabila menyedari situasi yang amat rumit ini saya berkata kepada 2 rakan baik saya “situasi ini amat tidak baik sekali untuk kesihatan jantung saya. Alangkah seronoknya kalau saya dapat bercuti 5 bulan”.

Saya banyak menasihati orang untuk mengelakkan situasi runsing keterlaluan  atau bahasa lainnya STRESS. Ia akan menjadi bertambah parah sekiranya turut mengalami situasi buntu iaitu situasi yang tidak nampak jalan keluar. Namun inilah yang saya lalui.

Sempena cuti Tahun Baharu Cina 2016, saya berkunjung ke rumah anak menantu saya di Puchong Selangor. Berjumpa dan bermain dengan cucu-cucu dapat menghilangkan kerinduan. Pada 8 Feb 2016, menantu ajak makan malam di Bangi makan sup lembu geabox. Sedap juga. Pada hari Selasa 9 Februari 2016 hari Selasa kira-kira pukul 10.30 pagi saya dan isteri kembali semula ke Johor Bahru memandu kereta.

Setelah memandu kira-kira 10 minit, saya merasakan sakit di uluhati, sila lihat rajah. 



Saya menjangkakan ini sakit akibat angin mungkin salah makan. Tetapi sakitnya amat luar biasa, tidak pernah saya mengalaminya sebelum ini. Saya teruskan memandu. Sampai di hentian sebelah Kulai, kami berhenti untuk solat jamak qasar zohor dan asar. Saya terasa bahawa saya semakin lemah. Sewaktu berdiri solat saya hampir pitam. Tidak pernah saya mengalami situasi seperti ini.

Apabila masuk kereta, saya minta isteri saya memandu kerana saya semakin lemah. Sampai di rumah saya terus berehat kerana semakin lemah. Saya menjangkakan bahawa saya ada masalah angin, agaknya insya-Allah esok sembuhlah. Selera makan sudah amat  berkurang.

Keesokan harinya saya terus semakin lemah dan saya terus berehat. Makan pun tak lalu. Terbaring saja di kerusi rehat. Meyakini bahawa sakit saya sekadar sakit angin biasa. Menjelang malam keadaan saya semakin lemah dan mula muntah. Anak sulung saya datang menjenguk. Melihat situasi saya yang amat lemah, anak dan isteri saya membawa saya ke Hospital Columbia tak jauh dari rumah.

Apabila masuk ke unit kecemasan Hospital Columbia, doktor memasang berbagai bagai alat ke tubuh saya, selepas selesai diagnosis, doktor berkata “anda perlu dipindahkan ke hospital lain. Anda ingin ke Hospital Sultanah Aminah atau mana-mana hospital lain. Anda kena heart attack”. Terperanjat sekali saya mendengar kata-kata doktor.

Saya memilih untuk dihantar ke Hospital Sultanah Aminah. Saya dihantar dengan menggunakan ambulance kerana menurut doktor, situasi saya adalah kritikal. Saya menuruti tanpa membantah.
Setibanya saya di Hospital Sultanah Aminah (HSA), berbagai bagai soalan diajukan oleh doktor kepada saya. Kemudian dengan nada tegas doktor berkata “Mengapa lewat datang ke HSA? Sekiranya awak datang dalam tempuh 12 jam setelah kena serangan jantung, awak akan terus dibawa ke dewan pembedahan untuk menjalani prosedur Coronary Bypass. Sekarang sudah melewati tempuh 36 jam dan sekiranya dibedah ditakuti banyak komplikasinya. Maka saya tidak dibedah dan terus dipasang dengan pelbagai peralatan untuk memantau situasi saya.

Saya dimasukkan ke wad khas pesakit jantung. Saya semakin lemah dan reda dengan apa jua yang dibuat oleh doktor dan stafnya. Rupanya saya mengalami serangan jantung atau heart attack. Saya diberitahu akan menjalani prosedur angiogram dan kemudian akan melalui prosedur Magnetic resonance imaging (MRI).

Hasil dari diagnosis Angiogram dan MRI, dua salurnadi koronari saya telah tersumbat dan satu lagi adalah pada tahap separuh tersumbat. Ini adalah kes berat. 

Pelawat tidak dibenarkan masuk beramai-ramai. Barulah saya sedar bahawa kes saya adalah serius. Apabila pelawat datang, ada ketikanya saya pengsan / tak sedar diri. Saya pun semakin terasa lemah. Ujian berat ialah untuk solat. Saya menjamakkan setiap solat. Isteri menyapu anggota saya untuk berwuduk.

Selepas 3 hari duduk di hospital baharulah terasa saya semakin bertenaga. Duduklah saya di hospital selama 6 hari. Berbagai bagai ubat perlu saya ambil. Handphone saya pun tidak dibenarkan untuk digunakan. Isteri saya yang mengawasinya. Sebenarnya saya pun tidak mampu melihat screen handphone,  pening melihatnya.

Dihospital, berbagai bagai persoalan seperti peperiksaan pelajar, Koperasi UTM dan Koperasi Iskandar bermain di kepala. Menambahkan kerungsingan. Kasihan juga melihat staf Koperasi Iskandar yang datang untuk mendapatkan pelbagai tanda tangan saya kena halau oleh staf hospital. Saya perlu direhatkan dan tidak boleh diganggu, itu kata staf hospital.

Dalam memikirkan pelbagai permasalahan ini, saya mengambil keputusan untuk membebaskan diri saya daripada Koperasi Iskandar kerana pokok permasalahan saya adalah berakar umbi di sini. STRESS dan buntu dengan pelbagai kerenah manusia. Setelah memaklumkan perletakkan jawatan saya, baharulah terasa kepala ini seolah-olah menjadi ringan, terbebas dari pelbagai tekanan.

Setelah saya keluar dari HSA, saya diberikan cuti selama 6 minggu. Saya pula bakal bersara pada 6 Julai 2016. Setelah ditolak dengan baki cuti tahunan saya yang agak banyak juga, saya hanya perlu datang bertugas ke UTM selama 2 hari sahaja. Apabila saya datang bertugas untuk 2 hari tersebut, staf UTM menyuruh saya balik berehat kerana saya masih amat lemah. Jadi saya dapat cuti rehat sebenarnya hingga bulan Julai 2016 iaitu kira-kira 5 bulan. Lima Bulan???? Diawal kisah saya di atas saya ada berhajat untuk dapat cuti rehat selama 5 bulan!!! Begitulah Allah mentadbir. Saya berhajat untuk berehat selama 5 bulan, Alhamdulillah diberikan Allah.

Antara usaha memulihkan kesan serangan jantung ialah untuk hadir proses rehabilitasi di HSA. Alhamdulillah memang banyak membantu merawat kesan serangan jantung saya. Alhamdulillah saya perlu datang berjumpa doktor setiap beberapa bulan. Alhamdulillah pada tahun lepas 2018 saya tidak perlu lagi berjumpa doktor. Terima kasih Allah. Segala pujian hanya layak bagiNya sahaja.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah jagalah jantung anda dengan antara yang penting  ialah tidak mengambil margarine, kuih muih mengandungi margarine, krimer bukan tenusu seperti dalam produk 3 in 1 serta makanan yang banyak mengandungi lemak terutama sekali lemak lembu. Pada malam sebelum saya kena heart attack, saya memang dibawa menantu makan sup lembu gearbox.

Namun apa yang lebih berbahaya berbanding makanan ini ialah elakkanlah
  • 1        Stess, tekanan atau runsing
  • 2.       Buntu iaitu masalah yang tidak nampak sebarang penyelesaian atau jalan keluar.
  • 3.       Marah
  • 4.       Dengki
  • 5.       Irihati
  • 6.       Sakit hati
  • 7.       Risau
  • 8.       Dan perkara lain yang sewaktu dengannya

Kira kira tak sampai 40 hari saya mengadu dengan dua orang rakan karib saya bahawa situasi di Koperasi Iskandar ini tidak sihat bagi jantung saya akibat STRESS dan buntu, saya telah Allah hadiahkan HEART ATTACK. Berat sungguh pengalaman melalui penyakit ini.

Sebagai orang Islam perlulah kita meyakini dengan janji Allah sebagaimana ayat Surat Al-Insyirah Ayat 6 berikut:

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Terjemah : Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

Memanglah berat pengalaman menempuhi Heart Attack namun nikmat terbebas dari belenggu Koperasi Iskandar adalah sebenarnya amat indah sekali. Alhamdulillah terima kasih Allah kerana memberikan saya heart attack.

Mari kita belajar serba sedikit tentang heart attack. Sila rujuk rajah dibawah.


Terdapat dua jenis salurdarah iaitu salurnadi dan pembuluh. Salurnadi adalah salurdarah yang dibungkus oleh tisu yang kuat dan elastik. Apabila mengambilan kolesterol tidak sihat, lemak, serta bahan-bahan lain, secara perlahan akan terjadi timbunan bahan-bahan ini pada bahagian dalam salurnadi dan dinamakan plak salurdarah. Plak ini akan menjadikan rongga saluran salurnadi semakin sempit dan dinding salurnadi yang asalnya elastik akan hilang keanjalannya.

Semakin hari plak akan semakin menimbun sekiranya terus mengamalkan gaya hidup yang kurang sihat seperti kurang bersenam disertai pengambilan makanan yang kurang seimbang apatah lagi kalau mengambil makanan tinggi lemak dan kolesterol. Pada peringkat ini, blood pressure atau tekanan darah akan meningkat akibat halangan kepada sistem aliran darah tubuh badan. Pantaulah tekanan darah anda  agar berada dalam lingkungan bacaan yang sihat.

Plak yang semakin banyak dan menebal akan terus menyempitkan salur darah. Plak yang pecah atau tanggal akan dihanyutkan oleh aliran darah. apabila plak yang hanyut melalui saluran yang sempit maka plak ini bagaikan empangan yang menghalang aliran darah. Jika halangan plak ini berlaku didalam salurdarah koronari, maka akan ada tisu jantung yang terputus bekalan darah dan dengan ini fungsi jantung akan terjejas dalam mengepam darah keseluruh tubuh. Inilah yang dipanggil heart attack atau serangan jantung.

Sekiranya halangan plak didalam salurnadi ini berlaku di otak maka akan ada bahagian otak yang tidak mendapat bekalan darah menyebabkan fungsi otak terjejas dan kejadian ini dinamakan angin ahmar atau dalam bahasa Inggeris dinamakan STROKE.


Melalui penjelasan ringkas ini dapatlah dirumuskan bahawa pengambilan makanan yang tidak seimbang seperti tinggi pengambilan kolesterol dan lemak akan menyebabkan penempelan atau mendapan yang dipanggil PLAK di permukaan dalam salurnadi darah. ini akan menyebabkan peningkatan tekanan darah atau blood pressure. Penempelan plak ini juga akan sangat aktif apabila faktor STRESS, runsing, marah, risau, dll memainkan peranannya. Apabila kedua-dua faktor diet dan perasaan hati ini bergabung maka tunggulah perintah Allah samaada mendapat STROKE atau HEART ATTACK.

APA APA PUN, USAHLAH BERSEDIH, SESUNGGUH DISEBALIK KEBURUKAN ADA KEBAIKAN.

Sekian untuk kali ini.

وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

 والله أعلم 

Emjay

1 comment:

  1. salam
    boleh tahu x apa amalan encik utk sembuh masalah salur darah tersumbat?? dan encik ada buat stant utk salur darah tu x?

    ReplyDelete