Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Tuesday, 26 November 2019

Bodoh Tidak Semestinya Kekal Bodoh Selamanya



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَوَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Limpahkanlah selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad SAW dan juga keluarganya sebagaimana engkau limpahkan kepada Ibrahim.
Dengan nama Allah yang tidak ada satu pun yang memudaratkan dengan namanya di bumi mahupun di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Saya merasakan kisah yang bakal saya paparkan kali ini tidaklah membuka aib sesiapa pun. Saya ingin kongsikan kisah benar ini sekadar untuk menjadi iktibar kepada kita semua, insya-Allah.

Saya namakan hamba Allah ini sebagai Kasim, bukan nama sebenar. Kasim sudah ada ramai anak. Kasim berhajat nak belajar agama Islam sekadar yang mampu saya sampaikan.

Kasim belajar di rumah saya sekali seminggu secara berseorangan antara pukul 9.00 mlm hingga 11.00 mlm. Minggu pertama belajar, lebih kepada pengenalan dan peraturan untuk belajar dengan saya. Antara peraturannya ialah:
  1.           Kasim perlu membaca Al Quran berserta terjemahannya bermula dari surah Fatehah pada bila-bila masa minimum 7 muka surat seminggu. Mana-mana terjemahan yang tidak difahami hendaklah di tandakan dan dicatat untuk di ajukan kepada saya sewaktu pertemuan mingguan akan datang.
  2.       Setiap kelas mingguan akan dimulakan dengan semakan mana-mana ayat Al Quran yang tidak dapat difahami oleh Kasim. Dengan cara ini saya dapat memantau kemajuan Kasim dalam istiqamahnya meneruskan membaca Al Quran secara berterusan. Memang pun Kasim tidak pernah membaca terjemahan Al Quran apatah lagi untuk memahaminya sebelum ini.
  3.           Pelajaran agama Islam hanya akan bermula selepas selesai membincangkan perkara 2. di atas.
  4.         Perlu taat dan tekun melaksanakan solat wajib dan tidak boleh meninggalkan mana-mana solat.

Pada pertemuan pertama ini sempatlah juga dimulakan pengajian agama. Kasim kelihatan seperti orang dewasa normal lainnya. Kasim boleh bersoal jawab dengan lancar.

Pada minggu kedua, Kasim tepat datang mengikut waktu, nampaknya dia berminat dan bersungguh-sungguh untuk belajar. Lumrahnya, ramai yang berhajat untuk belajar agama di rumah saya hanya bertahan sekadar pertemuan pertama sahaja. Untuk pertemuan kedua, puas saya menunggu tetapi orangnya tidak kunjung tiba. Memang buruk sekali adab dan akhlak orang seperti ini. Bukankah sopan kalau tak mahu belajar lagi, memadailah dengan kirim SMS atau wasap. Saya menjangkakan ramai yang tidak sanggup sambung belajar selepas pertemuan pertama disebabkan mungkin mereka tidak berminat untuk membaca dan memahami Al Quran.

Al Quran untuk dibaca, difahami, diamalkan dan disampaikan. Ramai orang sekadar melagukannya sahaja.


Apabila membincangkan pengajian agama, Kasim minggu ini sudah mula menunjukkan tanda-tanda sukar memahami konsep-konsep penting. Saya sekadar memperlahankan penyampaian agar Kasim dapat mengikuti setiap kandungan pengajian. Dalam bab tauhid, setiap konsep adalah amat penting. Setiap konsep bakal berhubung dan berkaitan dengan konsep-konsep yang bakal diajarkan.

Minggu ketiga, alhamdulillah Kasim tiba mengikut waktu ditetapkan. Apabila memasuki bab bacaan al Quran, alhamdulillah Kasim banyak kemajuannya. Banyak muka surat yang dibaca dan banyak perkara yang disoal.

Seterusnya pengajian disambung dengan pelajaran tauhid Rububiah. Kasim sudah menunjukkan ciri tidak boleh memahami komunikasi. Apabila disoal tentang pelajaran yang baru disampaikan, Kasim terpinga-pinga tidak dapat menjawab. Puaslah saya mengulang pelajaran lalu menyoal semula, Kasim gagal menjawab. Apabila berulang kali Kasim tidak dapat menjawab, suara saya mula tinggi dan keras. Namun Kasim tetap tidak mampu menjawab walau pun sudah dipermudahkan. Saya seolah-olah bercakap dengan tembok. Kasim seperti hilang kemampuan berfikir. Kemampuan belajar Kasim jauh lebih rendah daripada cucu saya yang ketika itu berusia 6 tahun.

Saya ambil masa bertenang memikirkan bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk saya mengajar Kasim. Panjang doa dan zikir saya buat memohon bantuan dari Allah swt. Setelah mengambil masa rehat ini saya mulakan semula untuk mengajar ilmu yang sama semoga Kasim dapat menerima dan memahaminya. Apabila dia faham insya-Allah nanti dia boleh menjawab soalan berkaitannya.

Saya ulang pelajaran dan kembali menyoal soalan yang sama , tetapi malangnya Kasim seperti kepalanya kosong tidak mengandungi otak yang mampu berfikir. Ulang pelajaran lagi dan ulang soalan yang sama, dipermudahkan, masih tetap tidak mampu menjawab. Kalau bahasa mudah Kasim adalah tersangat bodoh yang tidak ada kemampuan untuk berfikir. Kalau guna skala 1 hingga 10 di mana 1 adalah paling bodoh dan 10 adalah paling pandai, Kasim berada pada skala 1. Saya tidak pernah berjumpa seseorang di sepanjang tempuh kehidupan saya yang sebegitu bodoh.

Sabar ada hadnya dan saya bertanya kepada diri sendiri “adakah ini adalah kegagalan saya untuk menyampaikan ilmu agama Islam kepada Kasim?” Memang berat ujian saya kali ini. Saya meninggalkan Kasim lalu masuk ke rumah menemui isteri saya mengadu masalah saya. Isteri saya pun pastinya tertanya-tanya mengapa kali ini saya banyak menggunakan suara kuat, keras dan tinggi tidak seperti kebiasaannya.

Setelah mengambil sedikit masa untuk bertenang dan terus berdoa dan berzikir, saya kembali keluar rumah memasuki bilik studi untuk usaha seterusnya ke arah menjadikan Kasim sebagai orang yang berilmu, beriman dan mengerjakan amal soleh. Kali ini saya ubah topik dan bertanya kepada Kasim “kat rumah engkau ada tak sebarang objek atau tangkal dan air jampi pemberian sesiapa pun hatta ustaz?”

Kasim menjawab “ada juga”.

Mendengar jawapan ini saya amat bersyukur dan gembira sekali lalu berkata “engkau balik ke rumah sekarang juga, ambil semua objek atau tangkal azimat dan segala macam air jampi. Lepas tu balik semula ke sini segera”. Dalam perjalanan balik saya ajarkan zikir tasbih, tahmid dan takbir dan berdoa agar Allah swt tolong dan mudahkan segala urusannya. Pada ketika itu jam sudah menunjukkan sekitar pukul 11.00 malam.

Sebaik sahaja Kasim menaiki keretanya balik ke rumahnya untuk projek besar membersihkan kediamannya daripada segala macam benda syirik, saya perbanyakan zikir dan doa agar urusan Kasim dipermudahkan Allah swt. Saya terus masuk ke rumah dan stor untuk mencari kayu yang sesuai dijadikan kayu api, pisau, parang dsbnya untuk membuat unggun api. Saya potong kayu yang saya temui menjadi potongan kecil kayu untuk memudahkan saya membuat unggun api.  Lalu saya susun kesemuanya di tepi jalan berhadapan rumah saya.

Alhamdulillah setelah jam melewati sedikit dari pukul 12.00 mlm, Kasim sampai semula ke rumah saya sambil menyerahkan bungkusan yang mengandungi pelbagai tangkal termasuk kayu setanggi. Gembira saya bukan kepalang. Terima kasih ya Allah di atas pertolongan Mu ini. Saya segera menyalakan unggun api lalu memasukkan pelbagai tangkal ke dalamnya. Air jampi saya buang ke lubang tandas.

Saya bertanya kepada Kasim, “kat rumah ada lagi tak barang-barang seperti ini? Berdoalah bersungguh-sungguh agar Allah mudahkan engkau untuk membersihkan rumah kau dari segala macam benda syirik”.

Kasim menjawab “sudah bersih tak ada lagi. Semuanya sudah saya bawa”.

Saya menasihati Kasim bahawa apa yang dibuatnya selama ini berjumpa bomoh dan juga perawat yang kononnya merawat secara Islam adalah syirik dan besar sekali dosanya. Saya mengajarkan Kasim bagaimana untuk bertaubat iaitu dengan mengucapkan “astaghfirullah, aku mohon ampun atas dosa-dosa ku mensyirikkan Mu ya Allah. Ampunilah dosa-dosa ku ya Allah”. Saya juga menasihati beliau agar terus tekun membaca Al Quran serta terjemahannya dan berusaha memahaminya. Saya amat berdoa berharap kepada Allah SWT semoga dengan taubatnya itu Allah SWT memudahkan Kasim untuk belajar agama dengan saya.

Minggu berikutnya amat saya nantikan dengan harapan menggunung semoga Kasim akan berubah. Kasim datang tepat pada masanya. Walau pun minggu sebelumnya banyak sekali perkataan kuat keras dan kasar yang saya sampaikan kepadanya, Kasim tetap datang. Alhamdulillah saya mulakan dengan Al Quran dan seterusnya dengan pelajaran tauhid. Apabila soalan diberikan alhamdulillah segala puji bagi Allah yang memberikan rahmatNya, Kasim hari ini sudah tidak seperti Kasim minggu lepas. Gembiranya saya Allah SWT sahaja yang tahu. Terima kasih ya Allah.

Minggu berganti bulan Kasim terus tekun datang belajar. Bacaan Al Qurannya semakin banyak dalam tempuh seminggu. Kasim kelihatan semakin seronok datang belajar dan membaca Al Quran. Saya juga makin seronok mengajarnya. Kalau tak silap saya dalam tempuh 4 bulan Kasim telah dapat menyelesaikan membaca keseluruhan Al Quran berserta terjemahannya di samping dapat memahaminya.

Walaupun Kasim adalah pemegang rekod sebagai anak murid saya yang pernah paling bodoh, tetapi kini Kasim mencipta rekod baharu bagi pelajar saya iaitu rekod terpantas menghabiskan bacaan Al Quran berserta terjemahan dan memahaminya. Terima kasih Ya Allah.

Seterusnya saya meminta duit sekitar RM80 (saya lupa jumlah sebenar) untuk saya belikan buku hadis SAHIH MUSLIM. Di samping nasihat saya agar Kasim meneruskan membaca Al Quran berserta terjemahan, kini bacaan kitab bagi Kasim sudah bertambah, Kasim perlu membaca kitab hadis ini, yang penting faham apa yang Nabi SAW nak sampaikan. Mana-mana hadis yang tidak difahami, tandakan untuk dibincangkan di awal setiap kelas. Jadi sesi membincangkan Al Quran di awal kelas digantikan dengan membincangkan mana-mana hadis yang tidak dapat difahami oleh Kasim. Setelah perbincangan ini baharulah pelajaran agama disambung.


Buku hadis seperti ini menakutkan dek tebalnya. jika bersungguh-sungguh insya-Allah habis dibaca dan difahami.

Begitulah rutin mingguan Kasim dan saya. Dua jam seminggu Kasim datang belajar di rumah saya. Dimulakan dengan perbincangan hadis. Kemudian sambungan pengajian ilmu. Mana-mana soalan tambahan oleh Kasim juga dibincangkan.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Kasim menunjukkan kesungguhan dalam membaca hadis-hadis dan memahaminya. Cepat Kasim memahaminya. Mana yang kurang jelas difahaminya pun dapat mudah difahami Kasim selepas dibincangkan. Dengan takdir Allah Kasim berjaya mencipta satu lagi rekod baharu iaitu paling pantas menghabiskan keseluruhan Kitab Hadis Sahih Muslim di kalangan semua anak murid saya. Kalau tak silap saya dalam tempuh empat atau lima bulan.

Orang seperti Kasim ini kita boleh nampak jelas betapa Allah memberikan balasan pelbagai rahmatNya semenjak beliau datang ke rumah saya mempelajari Islam. Kehidupannya lebih teratur. Rezekinya bertambah. Anak-anaknya lebih berjaya dalam akademik di samping semakin tekun mereka membaca Al Quran sebagaimana bapa mereka membaca, baca dan faham.

Begitulah manusia, Umar Al Khattab pun bermula jahil tetapi berubah daripada pembenci dan musuh Islam kepada sahabat Nabi SAW yang dijamin syurga. Adalah kerugian yang amat besar seandainya seseorang dilahirkan jahil, membesar sebagai jahil, dewasa sebagai jahil dan berkesudahan dengan mati dalam jahil. Ujian yang dilalui sebelum Kasim datang belajar juga adalah berat namun beruntunglah Kasim dapat merubah kehidupannya dengan mempelajari agama Islam. Semoga Kasim tetap teguh dengan AL Quran dan hadis serta melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya.

Namun orang seperti Kasim tidak ramai. Allah pun mengesahkannya di dalam Al Quran sebagaimana ayat-ayat berikut:
1.    (أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَشْكُرُونَ) “Kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (QS.al-Baqarah:243)
2.    (أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ) “Kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (QS.al-A’raf:187)
3.    (أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يُؤْمِنُونَ) “Kebanyakan manusia tidak beriman.” (QS.Huud:17)

Kebanyakan manusia nak jalan mudah sahaja, susah sedikit tinggalkan. Ramai yang ingin merubah kehidupan untuk keluar dari dunia jahil namun apabila disuruh mulakan dengan membaca AL Quran serta memahami terjemahannya, minggu depan terus tak datang  belajar. Walhal datang belajar di rumah saya bukan kena bayar pun. Kira-kira 2 bulan lepas pun seorang janda 40 tahun yang susah hidupnya datang bersama 2 anaknya ingin sangat nak belajar Islam semoga Allah keluarkan keluarga beliau dari kesempitan hidup. Oleh kerana janda ini tidak pandai membaca Al Quran, kami carikan orang untuk mengajar janda bersama 2 anaknya belajar Iqrak dan seterusnya al Quran dengan bayaran bulanan RM150 ditanggung oleh saya. Saya berikan duit untuk janda ini beli buku Iqrak. Kemudian setiap kali janda datang belajar sekali seminggu, saya akan berikan RM20 insentif. Sedihnya saya minggu hadapan janda ini menghilang terus tiada khabar berita. Langsung tidak mahu hantar whatsapp pun kepada saya.

Marilah kita semua menyedari bahawa sesungguhnya syurga amat mahal dan bukan percuma. Hanya neraka yang mudah dimasuki dan percuma. Tiket untuk memasuki syurga perlu dibayar dengan kesungguhan, tekun, sabar dan istiqamah mempelajari ilmu AL Quran dan hadis. Apabila kita mempunyai ciri-ciri ini, yakinlah bahawa Allah swt akan memudahkan segala urusan.

Sedarlah bahawa Muhammad SAW telah banyak sekali melakukan pengorbanan semata-mata untuk menyampaikan kepada kita semua iaitu Al Quran dan hadis, untuk dibaca, difahami, diamalkan dan seterusnya disampaikan. Saya akhiri tulisan kali ini dengan sebuah hadis H.R. Malik; al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Nashr, Ibnu Hazm, maksudnya;

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnah Rasul-Nya.

Maknanya, kalau al Quran dan hadis ditinggalkan maka sesatlah.

والله أعلم

وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

EMJAY

No comments:

Post a Comment