Bab
5 - Cara Penerapan Hidayah Tasawuf
Tiada siapa
pun yang membuat kajian ilmiah mengenai tasawuf Islam, dapat mengesan orang
pertama yang dinamakan sufi di kalangan umat Islam, dan orang yang meletakkan
batu asas pertama konsep tasawuf Islam.
Tidak syak
lagi tasawuf itu suatu metodologi akidah, konsep dan suluk yang muncul sejak
sebelum kedatangan agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ianya
terdapat di kalangan bangsa-bangsa dan agama-agama yang wujud pada masa itu
seperti Brahman Hindu, Falsafah Ashraqiah Greek, dan Majusi Parsi, juga pada
agama Yahudi dan Nasrani. Kemudian ia berpindah kepada konsep Islam melalui
kumpulan-kumpulan Zindiq Majusi Parsi dan mula mengambil tempatnya di kalangan
umat Islam serta berkembang pesat sehingga tiba di kemuncaknya di mana
dituliskan sumber-sumbernya, diletakkan dasar-dasar pokoknya dan
pandangan-pandangannya yang muktamad pada abad-abad keempat dan kelima
Hijriah.
Tetapi
sesetengah penulis menyangka bahawa tasawuf itu ada kaitan dengan amalan zuhud.
Kerana itulah tasawuf dikaitkan dengan sesiapa sahaja yang diketahui mengamalkan
zuhud, menolak kehidupan duniawi dan bertumpu kepada amalan bertaqarrub kepada
Allah semata-mata seperti Al Fudhail Bin Iyad, Abdullah Bin Al Mubarak, Basyar
Al Hafi, Ibrahim Bin Adham dan lain-lain ahli ibadat dan zuhud. Faktor yang
membantu ke arah mencampur aduk tasawuf dan zuhud ini ialah penyusun-penyusun
senarai peringkat-peringkat tokoh tasawuf. Kerana mereka inilah menentukan
sedemikian. Bahkan sesetengah mereka bersikap keterlaluan seperti yang dilakukan
oleh As Sha’rani iaitu apabila beliau menganggapkan para khulafa Ar Rasyidin
sebagai tokoh-tokoh utama dalam senarai tokoh-tokoh
tasawuf.
Pada
hakikatnya di sana tiada kaitan langsung antara tasawuf dengan zuhud. Zuhud atau
mengenepikan kehidupan duniawi itu ialah suatu fadilat yang disyarakkan dan
digemari. Ianya akhlak para anbia’ dan hamba-hamba Allah yang soleh yang lebih
mengutamakan apa yang ada di sisi Allah daripada bersenang-senang, berenak-enak
dan bersibuk-sibuk dengan perkara-perkara yang diharuskan. Allah telah berfirman
mengenai orang-orang ini ;
Maksudnya
lebih kurang ; “Dan mereka lebih mengutamakan (orang lain) daripada diri mereka
sendiri walaupun ada sesuatu hajat pada mereka.”
(Surah Al
Hasr ; ayat 9)
Firmannya
lagi ;
Maksudnya
lebih kurang ; “Dan mereka memberi makanan yang disukainya kepada orang miskin,
anak yatim dan tawanan. (Mereka berkata) Sesungguhnya kami memberi kamu makan
itu kerana mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak mahukan balasan dari kamu
dan tidak juga terima kasih”
(Surah Al
Insaan ; ayat 8-9)
Di dalam
kedua-dua Sahih Al Bukhari dan Sahih Muslim tercatit bahawa Sayyidatina Aisyah
r.a telah berkata, “Telah terbit anak bulan, anak bulan dan anak bulan, tiga
anak bulan dalam dua bulan dan tidak dinyalakan api di rumah-rumah Rasulullah.”
Lalu ditanyakan, “Jadi apakah makanan kamu?” Beliau menjawab, “tamar dan air.”
Inilah kesempurnaan zuhud dan penafian terhadap keduniaan.
Sementara
tasawuf pula mempunyai metodologi yang lain di dalam perkara ini. Apabila
seseorang sufi itu telah mencapai kemuncak kesufiannya, aspek zuhud tidak
mempunyai sebarang arti kepadanya. Kerana ia hanya memerlukan zuhud pada
permulaan jalan kesufiannya. Di penghujung jalan itu ia bebas melakukan apa
sahaja yang ia mahu termasuk melakukan perkara-perkara yang haram seperti minum
khamar dan berzina atau liwat, kerana akidah wahdah al wujud pada titik akhirnya
tidak membezakan di antara seseorang zindiq dengan bukan zindiq, di antara
saudara perempuan dengan wanita bukan saudara, di antara malaikat dengan
syaitan, bahkan di antara hamba dengan tuhan sebagaimana yang dimadahkan oleh
Ibni Arabi, Jurutera konsep tasawuf ;
“Hamba
itulah tuhan dan tuhan itulah hamba
Oh! Siapakah
agaknya yang ditaklifkan?
Jika anda
mengatakan hamba, maka dia ialah tuhan dan jika anda katakan tuhan, tentulah dia
tidak ditaklifkan” !.
Jelaslah
bahawa jurang perbezaan amat luas antara zuhud yang merupakan suatu fadilat di
dalam syariat Islam dengan tasawuf yang menjadikan zuhud sebagai syiar bagi
mereka yang baru melangkah ke ambang pintu tasawuf sahaja. Apabila tiba ke titik
akhir bertasawuf itu, mereka tidak lagi memerlukan zuhud dan sebaliknya bebas
menikmati apa sahaja yang mereka mahukan.
Isu Ibrahim
Bin Adham
Seperti mana
yang telah disebutkan, tidak diketahui sama sekali orang pertama yang dinamakan
sufi di kalangan umat Islam. Tetapi apabila membaca buku ‘Tabaqat As Sufiah’
susunan Abu Abdul Rahman As Silmi mengenai Ibrahim Bin Adham, saya mulai terhidu
bibit-bibit permulaan konsep tasawuf Islam. Saya membaca riwayatnya dan
mendapati ada di antara Ulama Al Jar’h Wa ta’dil (para pengkritik) yang mengakui
kebenaran Ibrahim Bin Adham dan ada pula yang mengaitkannya dengan unsur
kekarutan dan juga kejahilan terhadap syariat Allah. Tetapi saya kuat menyangka
bahawa Ibrahim Bin Adham ialah orang pertama yang menyemaikan benih-benih
tasawuf Islam.
Teman-teman
telah menarik perhatian saya kepada sikap Sheikh Al Islam Ibnu Taimiyyah yang
memuji Ibrahim Bin Adham. Saya juga telah membaca tulisan Sheikh Al Islam
Rahimallah itu, dan pada pendapat saya beliau mungkin memuji seseorang kerana
pendiriannya yang betul berhubung dengan akidah, tetapi mungkin tidak
menyetujuinya di dalam pendiriannya yang lain. Malahan Sheikh Al Islam Ibnu
Taimiyyah juga pernah menjadikan kata-kata kaum Nasrani dan kaum Yahudi sebagai
bukti andainya kata-kata itu berpihak kepada kebenaran.
Saya juga
mendapati kata-kata para pengkritik tidak sampai ke peringkat yang boleh
mentohmah Ibrahim Bin Adham terlibat dengan ciptaan-ciptaan baru orang-orang
tasawuf di dalam akidah dan metodologi mereka.
Walaupun
tidak dapat dipastikan dengan tepat orang pertama yang dinamakan sufi di
kalangan umat Islam dan orang pertama yang meletakkan batu asas tasawuf Islam,
namun yang nyata ialah kemunculan tasawuf di kalangan umat Islam telah berlaku
pada permulaan abad kedua Hijriah. Imam As Syafie yang wafat pada tahun 205
Hijriah telah berkata, “Saya meninggalkan kota Baghdad dan golongan zindiq telah
mengadakan di sana sesuatu yang dinamakan As Samak.” Seperti yang disebutkan
terdahulu.
Secara
Rahsia
Golongan
zindiq yang dimaksudkan ialah Ahli-Ahli tasawuf, manakala As Samak ialah
nyanyian dan lagu-lagu yang mereka nyanyikan beramai-ramai. Tidak syak lagi
kemunculan golongan tasawuf dengan perkara bidaah ini bukan berupa hasil setahun
dua itu sahaja. Ia telah wujud bertahun-tahun lamanya sebelum itu, iaitu dalam
tempoh di mana bidaah tasawuf itu berevolusi sehingga akhirnya orang-orang
tasawuf itu mendedahkan bidaah mereka itu kepada umum dengan nyanyian-nyanyian,
pukulan-pukulan gendang dan sebagainya di Kota Baghdad ibu negeri pemerintahan
Islam pada masa itu.
Tidak syak
lagi, fenomena-fenomena dan akidah-akidah yang bertentangan dengan ajaran Islam
itu telah bermula secara rahsia. Kemudian ia berkembang dan semakin menular dan
merebak sehingga akhirnya didedahkan kepada umum oleh para pengamalnya. Kerana
itulah tidak diketahui dengan tepat pelopor konsep tasawuf Islam
itu.
Bukti
kerahsiaan kegiatan tasawuf ini ialah riwayat Imam Ahmad Bin Hanbal bahawa
beliau telah mendengar berita mengenai Al Haris Al Mahasbi dan sekumpulan
pengikutnya berhimpun di sebuah rumah dan menghabiskan waktu malam mereka dengan
menangis dan meratap, memperhitung dosa diri sendiri, membicarakan mengenai
lintasan hati dan apa yang berwas-was di dalam hati mereka. Setelah mencuri-curi
mendengar dari sebuah rumah yang bersebelahan dengan rumah tempat perhimpunan
kumpulan berkenaan, Imam Ahmad bin Hanbal pun berkata, “Jauhkanlah orang ramai
dari Al-Haris Al Mahasbi!!. Kemudian kepada orang yang meminta nasihatnya samada
ia patut menyertai kumpulan itu, Imam Ahmad menasihatkannya dengan berkata,
“Pada pendapatku engkau jangan menyertai mereka.”
Abu Abdul
Rahman As Silmi meninggal dunia pada tahun 412 Hijriah dan yang telah memutar
belitkan cerita-cerita mengenai golongan sufi yang kononnya diperolehi dari
mulut tokoh-tokoh veteran tasawuf, telah menganggapkan Ibrahim Bin Adham sebagai
perintis dan pengasas konsep tasawuf Islam.
Berikut kita
bentangkan cerita-cerita yang disebutkan oleh Abu Abdul Rahman As Silmi dan
membuat ulasan mengenainya agar dengan itu kita dapat melihat kebatilannya di
samping dapat menanggap bagaimana konsep tasawuf itu mulai berkembang
seterusnya.
Cerita
Pertama
Abu Abdul
Rahman As Silmi berkata ; Aku mendengar Abu Al Abbas Bin Al Hasan Al Khashab
menyebut, “Kami telah diberitahu oleh Abu Al Hassan Ali Bin Muhammad Bin Ahmad
Al Masri yang berkata: Aku telah diberitahu oleh Abu Said Ahmad Bin Asi Al
Harraz yang berkata: Kami diberitahu oleh Ibrahim Bin Basyar yang berkata: Aku
telah menemani Ibrahim Bin Adham di Negeri Syam bersama-sama dengan Abu Yusuf Al
Ghasuli dan Abu Abdullah As Sanjari, lalu aku berkata, “Wahai Abu Ishak,
beritahulah kepada aku tentang keadaanmu ini. Bagaimana mulanya?” Jawab Abu
Ishak (panggilan bagi Ibrahim Bin Adham), “Bapaku salah seorang raja negeri
Khurasan. Sewaktu muda aku memburu dengan menaiki tunggangan. Pada suatu hari,
aku keluar dengan tungganganku bersama-sama seekor anjing menjejaki seekor arnab
atau seekor musang. Sedang aku mencari-carinya, tiba-tiba terdengar kepadaku
suatu seruan yang tidak kelihatan penyerunya. Ia menyeru, “Wahai Ibrahim! Adakah
kerana ini engkau dijadikan? Atau inikah yang disuruh engkau lakukan?” Aku
terkejut dan terus berhenti. Kemudian aku meneruskan tunggangan. Seruan itu
kedengaran lagi sehingga tiga kali. Kemudian terdengar lagi suara itu menyeru,
ia datang dari pelanaku, “Demi Allah! Bukan kerana ini engkau dijadikan, dan
bukan ini engkau disuruh lakukan.” Ibrahim meneruskan ceritanya, “Aku pun turun
dari tungganganku dan terserempak dengan pengembala kambing bapaku. Aku
mengambil pakaian jubahnya yang diperbuat dari bulu binatang dan lantas
memakainya serta aku menyerahkan kuda dan segala apa yang ada padaku kepada
pengembala itu. Kemudian aku berjalan menuju ke Mekah. Ketika dalam perjalanan
di gurun pasir, tiba-tiba aku ternampak seorang lelaki berjalan tanpa membawa
sebarang makanan. Apabila tiba waktu maghrib dia mendirikan solat. Selepas itu
ia menggerakkan kedua bibirnya menuturkan sesuatu ucapan yang aku tidak
memahaminya. Tiba-tiba di depannya tersaji hidangan makanan dan bejana berisi
minuman. Aku pun makan dan minum setelah diajaknya. Aku bersamanya selama
beberapa hari. Dia telah mengajarku Asma Allah Al Azim (nama Allah yang
teragung). Kemudian dia menghilangkan diri dan tinggallah aku bersendirian. Pada
suatu hari sedang aku kesunyian kerana keseorangan, aku berdoa kepada Allah
dengan menyebutkan namanya yang teragung itu. Tiba-tiba muncul didepanku seorang
lelaki yang memegang hujung pakaianku dan berkata ; “Pohonlah, nescaya
permohonanmu dikabulkan!” Aku merasa takut dengan kata-katanya itu. Dia berkata
lagi, “Jangan takut! Aku ini saudaramu Al Khadir. Saudaraku Daud telah
mengajarmu Asma Allah Al Azim. Janganlah engkau serukannya kepada sesiapa yang
bermusuh denganmu, nanti seruan itu akan memusnahkan musuhmu di dunia dan di
akhirat. Tetapi serulah Allah supaya diberanikan ketakutanmu, dikuatkan
kelemahanmu, dijinakkan kebuasanmu dan diperbarukan keinginanmu pada setiap
saat! Kemudian dia pergi meninggalkan aku.”
Cerita Yang
Kedua
Abu Abdul
Rahman Al Silmi berkata, “Aku mendengar Muhammad Bin Al Hassan Al Baghdadi
berkata ; Aku mendengar Ali Bin Al Hassan Bin Ahmad Al Masri berkata: Aku
mendengar Ahmad Bin Isa Al Kharraz berkata: Aku diberitahu lebih dari seorang
teman, di antara mereka Said Bin Jaafar Al Waraq, Harun Al Dami dan Usman An
Najar. Mereka berkata, “Kami diberitahu oleh Usman Bin Umarah yang berkata: Aku
diberitahu oleh Ibrahim Bin Adham mengenai seorang lelaki dari kalangan penduduk
Iskandariah bernama Aslam Bin Yazid Al Jahani. Ibrahim berkata ; Aku menemuinya
di Iskandariah dan dia bertanya kepadaku,” Siapa kamu, wahai anak muda?” Aku
menjawab, “Aku seorang pemuda dari negeri Khurasan.” Dia bertanya pula, “Apakah
yang mendorongmu keluar dari kehidupan duniawi?” Aku menjawab, “Aku mahu
berzuhud dan mengharapkan pahala dari Allah taala.” Dia berkata, “Harapan
seseorang untuk mendapatkan pahala dari Allah itu tidak sempurna selagi ia tidak
memikul bebanan kesabaran.” Seorang lelaki yang ada bersamanya bertanya, “Apa
dia kesabaran itu?” Aslam menjawab, “Serendah-rendah darjah kesabaran ialah
seseorang hamba itu melatih diri menanggung bebanan keburukan-keburukan nafsu.”
Aku bertanya, “Kemudian apa pula?” Aslam menjawab, “Andainya ia telah berjaya
memikul keburukan-keburukan nafsu itu, maka Allah mewariskan hatinya dengan
nur.” Aku bertanya, “Apa dia nur itu?” Aslam menjawab, “Pelita di hati yang
membolehkannya membezakan di antara yang hak dengan yang batil, yang nasakh dan
yang samar-samar pengertiannya.” Aku berkata, “Ini adalah sifat wali-wali Allah
Rabbil Alamin.” Aslam menjawab, “Astaghfirullah, benarlah Isa Bin Maryam a.s.
apabila berkata: Janganlah kamu meletakkan hikmah kepada yang tidak berhak ke
atasnya, nescaya mereka akan mensia-siakannya.. Dan janganlah kamu
menghalanginya dari yang berhak ke atasnya nescaya kamu
menganiayainya.”
Ibrahim
berkata, “Aku pun tertarik kepadanya dan menuntut dengannya disertai
teman-temannya. Pada ketika itu Aslam berkata kepadaku, “Wahai anak muda!
Apabila engkau menemani golongan yang baik-baik atau bercakap dengan mereka,
janganlah menimbulkan kemarahan mereka. Ini ialah kerana hukama (pendita) itulah
ulamak. Mereka rela kerana Allah jika dibenci manusia, dan merekalah teman-teman
Allah besok bersama-sama para anbia’ dan golongan Siddiqin. Wahai anak muda!
Ingatlah apa yang aku ajarkan dan fahamkanlah! Pikullah bebanan kepayahan dan
janganlah bersikap gopoh! Sikap berhati-hati mengandungi kesabaran dan rasa
malu, manakala kebodohan itu mengandungi sikap melampau dan berpandangan
serong.” Ibrahim berkata ; air mataku mengalir dan akupun bertanya,” Demi Allah!
Tiada yang mendorongkan aku meninggalkan kedua ibu bapaku dan harta bendaku
melainkan kerana kecintaan mengutamakan Allah serta berzuhud dari kehidupan
duniawi dan berkeinginan berada di sisi Allah Taala.”
Aslam
berkata pula kepadaku, “Engkau jauhilah sifat bakhil.” Aku bertanya, “Apa dia
bakhil itu?” Aslam menjawab, “Di kalangan ahli dunia, bakhil itu bererti lokek
mengeluarkan harta. Adapun di kalangan ahli akhirat, ianya bererti lokek
mendekatkan diri kepada Allah. Ingatlah! Seseorang hamba itu andainya ia
bermurah hati kepada Allah nescaya Allah mewariskan hatinya dengan hidayah dan
takwa, ketenangan, kesabaran, penghormatan, ilmu pengetahuan yang tepat dan akal
yang sempurna. Di samping itu dibukakan kepadanya pintu-pintu langit dan ia
melihat dengan hatinya bagaimana pintu-pintu itu terbuka, walaupun di jalan
duniawi ia terlantar.” Salah seorang teman lalu berkata, “Pukullah dia! Biar dia
sakit. Sesungguhnya kami mendapatinya seorang anak muda yang telah diberi taufik
menjadi wali Allah.”
Aslam
kelihatan kagum dengan kata-kata teman itu, lalu dia berkata kepadaku, “Wahai
anak muda! Sesungguhnya engkau akan menemani golongan yang baik-baik. Oleh itu,
jadilah engkau sebagai bumi tempat mereka berpijak! Andainya mereka memukulmu,
mengancammu, menghalaumu, memperdengarkanmu dengan kata-kata yang tidak sopan,
andainya mereka melakukan semua itu kepadamu, maka fikirkanlah tentang dirimu ;
Dari mana engkau datang?. Andainya engkau berbuat demikian, nescaya Allah
membantumu dengan pertolongannya dan menjadikan hati mereka menerimamu.
Ketahuilah bahawa seseorang hamba itu jika dibenci golongan yang baik-baik dan
dipulau golongan yang warak serta dimarahi golongan yang zuhud, maka itu
sebenarnya adalah tindakan Allah meredhainya. Andainya Allah telah meredainya,
maka Dia menerimanya bersama-sama dengan hati mereka. Andainya ia menderhaka
kepada Allah, nescaya diwariskan hatinya dengan kesesatan, di samping
pengharaman rezeki keatasnya, kedinginan sikap keluarga terhadapnya, kemarahan
para malaikat kepadanya, para rasul berpaling darinya dan Allah tidak peduli di
lembah mana ia dibinasakan!!
Ibrahim
berkata ; Aku pun berkata kepadanya, “Semasa berjalan di antara Kufah dan Mekah,
aku menemani seorang lelaki yang apabila tiba waktu petang ia bersembahyang dua
rakaat yang lama. Kemudian ia bercakap dengan amat perlahan seolah-olah dia
bercakap dengan dirinya sendiri. Tiba-tiba di sebelah kanannya ada selonggok
makanan dan segelas air. Ia makan dan mengajakku makan bersama-samanya.” Ibrahim
berkata, “Tiba di sini Aslam menangis dan orang-orang yang bersamanya juga turut
menangis. Kemudian Aslam berkata, “Wahai anakku! (atau wahai saudaraku!) ;
Itulah saudaraku Nabi Daud. Tempat tinggalnya selepas baligh berhampiran dengan
kampung yang dipanggil Al Bardatul Tayyibah, tempat itu berbangga dengan adanya
Daud di situ. Wahai anak muda! Apakah katanya kepadamu? Apakah yang diajarkannya
kepada mu?” Kata Ibrahim ; aku menjawab, “Dia mengajarku Asma Allah Al Azim.”
Lalu Aslam pun bertanya kepadaku, “Apa dia?” Aku menjawab, “Terlalu agung bagiku
untuk menuturkannya. Sesungguhnya pada suatu kali aku telah memohon dengan
menyebutkannya. Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang lantas memegang-megang
hujung pakaianku dan berkata ; Pohonlah! Nescaya permohonanmu dimakbulkan! Aku
merasa takut, lalu lelaki itu berkata ; Janganlah takut! Aku ini saudaramu Al
Khadir. Saudaraku Daud telah mengajarkannya kepadamu. Janganlah engkau memohon
dengannya kecuali pada perkara yang baik! Kemudian ia berkata ; Wahai anak muda!
Sesungguhnya orang-orang yang berzuhud dari kehidupan duniawi telah menjadikan
keredaan Allah itu sebagai pakaiannya, kecintaan kepada Allah sebagai bajunya
dan mengutamakan Allah itu syiarnya. Allah memberi kurniaan kepada mereka
melebihi kurniaan yang diberikan kepada selain mereka. Kemudian ia pun
meninggalkan aku.” Sheikh Aslam merasa kagum dengan kata-kataku, kemudian beliau
berkata, “Sesungguhnya Allah akan menyampaikan kepada sesiapa yang sepertimu dan
mengikuti jejak langkahmu dari kalangan orang-orang yang mendapat hidayah.”
Kemudian Sheikh Aslam berkata kepadaku, “Wahai anak muda! Sesungguhnya kami
telah bermanafaat kepadamu, merintiskan jalanmu dan telah pun mengajarkanmu
suatu ilmu.” Kemudian sesetengah mereka yang ada pun menyeru, “Wahai tuhan kami!
Hijabkanlah ia dari kami dan hijabkanlah kami darinya.” Ibrahim berkata ;
tiba-tiba mereka menghilang diri dan aku tidak tahu ke mana mereka pergi!
(dipetik dari Thabaqat As Silmi).
Orang yang
telah mengadakan kedua-dua cerita di atas meletakkan asas tasawuf yang darinya
konsep tasawuf tumbuh berkembang dan bercabang-cabang. Marilah kita tinjau
asas-asas konsep tasawuf itu secara lebih dekat dan mengujinya
;
1) Menurut
Abu Abdul Rahman As Silmi, penyusun buku ‘Tabaqat As Sufiah’ yang telah
disebutkan itu bahawa pada permulaannya hidayah datang kepada Ibrahim bin Adham
dari suatu suara seruan kepadanya. Kemudian dari suatu percakapan yang lahir
dari pelana kuda yang ditungganginya. Tujuan di sini bukan untuk membincangkan
kesahihan atau kepalsuan dakwaan itu. Hanya yang mahu ditekankan ialah cara
memperolehi hidayah seperti ini bertentangan dengan apa yang diajarkan oleh
Rasulullah s.a.w. Hidayah di dalam ajaran Islam bersumberkan Al Quran yang
diturunkan Allah sebagai petunjuk dan cahaya penyuluh. Dakwah ke arah keimanan
di dalam syariat yang dibawakan Rasulullah s.a.w. adalah berasaskan hujah dan
cara yang meyakinkan di samping penonjolan bukti kemukjizatan Al Quran dan
kebenaran Rasulullah s.a.w.
2) Hidayah
yang didakwakan oleh Abu Abdul Rahman As Silmi sebagai telah mendorong Ibrahim
bin Adham meninggalkan ibu bapanya, tanah tumpah darahnya, meninggalkan
pakaiannya dan meninggalkan kehidupan duniawi, memakai pakaian dari bulu
binatang (Suf), yang dipakai oleh pengembala kambing yang mana dipercayai dari
sinilah berasalnya nama ‘Tasauf’ (berpakaian bulu) itu. Di dalam ajaran Islam,
di antara syarat-syarat bagi seseorang itu mendapat hidayah ialah tidak termasuk
meninggalkan kehidupan duniawi, melarikan diri dari ibu bapa dan tanah tumpah
darah dengan membawa sama agama pegangannya, kecuali jika menghadapi penindasan
atau larangan dalam menunaikan syiar-syiar agama atau kerana berada di negeri
yang bergelumang dengan maksiat, lalu ia pun berhijrah ke negeri lain di mana
ada terdapat lebih ramai orang yang soleh dan baik. Negeri Balagh yang
ditinggalkan oleh Ibrahim Bin Adham itu bukan negeri yang bersifat negatif,
kerana menurut cerita itu sendiri, negeri balagh ialah tempat tinggal Nabi Daud
a.s. dan kawasan-kawasan sekitarnya berbangga dengan adanya Nabi Daud a.s. di
situ. Begitulah mengikut pengakuan penyalin cerita itu. Oleh yang demikian,
bagaimanakah Ibrahim Bin Adham sanggup meninggalkan kawasan yang baik dan
kampong halaman yang dinamakan Al Bardatul Tayyibah (yang dingin lagi nyaman)
yang diduduki oleh Nabi Daud a.s., lalu keluar menuju ke kawasan gurun pasir
yang tandus dan kering kontang? Tidak terdapat sama sekali motif syarie dalam
penghijrahan itu.
3) Tersebut
di dalam cerita itu, Ibrahim Bin Adham telah bertemu dengan seorang lelaki
sedang berjalan di gurun pasir tanpa membawa sebarang bekalan. Ibrahim telah
menemaninya dan orang itu mengajaknya makan makanan yang tiba-tiba menjelma di
depan. Lelaki itu telah mengajarnya “Asma Allah Al Azim.” Kemudian Ibrahim
memberitahu bahawa lelaki itu ialah Nabi Daud a.s. dan apabila ia berdoa dengan
menyebut “asma Allah Al Azim” tiba-tiba Nabi Al Khadir menjelma di depannya dan
menanya kepada Ibrahim apa-apa yang mahu dipohonnya.
Secara
syarak saya tidak tahu apakah yang menyebabkan Nabi Daud a.s. kembali semula ke
dunia sesudah wafat (andainya beliau berkuasa melakukan demikian) dan melampaui
batas tugas kerasulan dan kenabiannya yang telah selesai, untuk mengajar seorang
lelaki dari kalangan umat nabi Muhammad s.a.w. mengenai “Asma Allah Al Azim” ,
sedangkan Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada Sayidina Umar Bin Al
Khattab:
Ertinya:
“Demi Allah, andainya Nabi Musa hidup nescaya tiada jalan baginya selain
mengikutiku.” (Riwayat Ahmad dan Baihaqi)
Begitu
jugalah jika Nabi Daud a.s. kembali hidup semula. Maka adalah menjadi
kewajipannya mengikut Rasulullah s.a.w. dan sudah tentulah beliau tidak
mengajarkan sesuatu mengenai agama yang tidak diajarkan oleh Rasulullah
s.a.w.
Sepotong
hadis sahih menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. telah terdengar seorang lelaki
berdoa dengan membaca:
Lalu Baginda
s.a.w. bersabda:
Ertinya:
Sesungguhnya dia telah memohon kepada Allah dengan namanya yang teragung yang
jika ia meminta sesuatu dengannya dia memberi dan apabila diseru dengannya dia
menjawab. (Riwayat Ahmad Abu Daud)
Rasulullah
s.a.w. telah memberitahu bahawa “Asma Allah Al Azim” itu terdapat di dalam
bacaan doa tersebut, dan bahawa jika Allah diseru dengan nama itu dia menjawab
dan jika diminta sesuatu dengan nama itu permintaan tersebut dikabulkan.
Rasulullah s.a.w. tidak bersabda jika nama ini diserukan maka nabi Al Khadir
akan muncul dengan tiba-tiba di depan orang yang menyerukannya sambil berkata:
Mintalah nescaya engkau diberikannya. Seolah-olah dikatakan: Pintalah apa saja
yang telintas dihatimu! Kata ini sama dengan cerita dongeng yang menyebutkan
kononnya Nabi Sulaiman as memakai sebentuk cincin hikmat yang andainya beliau
menggerakkannya saja maka akan menjelma seorang jin ifrit
mengadapnya!!
Kemudian
mengapa pula Nabi Al Khadir berkata kepada Ibrahim Bin Adham seperti yang
disebutkan oleh cerita itu, “Engkau telah mempelajari Asma Allah Al Azim. Oleh
itu janganlah berdoa dengannya ke atas seseorang yang bermusuhan denganmu,
nescaya doa itu akan membinasakannya di dunia dan di akhirat” ? Demikianlah
halnya, sedangkan Ibrahim Bin Adham bukan seorang yang maksum. Dia mungkin
mempunyai musuh dari kalangan orang Islam dan jika dia berdoa dengan Asma Allah
Al Azim ke atas orang Islam yang menjadi musuhnya itu, maka binasalah orang
Islam tersebut di dunia dan di akhirat. Ia diharamkan dari memasuki syurga Allah
dan dihumbankan ke dalam neraka. Kesalahannya cuma kerana bermusuh dengan
Ibrahim Bin Adham semata-mata!! Ini amat jauh berbeza daripada apa yang terdapat
pada diri Rasulullah s.a.w.. Baginda s.a.w. tidak mempunyai kuasa sedemikian
rupa, malahan baginda saw sentiasa mendoakan kebaikan bagi manusia. Allah juga
telah berfirman:
Maksudnya
lebih kurang: Tidak ada bagimu sesuatu dari urusan
(mereka).
(Surah Al
Imran: ayat 128)
Bererti
Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan nasib
orang-orang yang menentangnya. Perlu juga diingatkan bahawa permusuhan yang
berlaku di antara Rasulullah s.a.w. dengan musuh-musuhnya adalah berkisar di
sekitar akidah dan agama, bukan seperti permusuhan yang berlaku sesama manusia
di dunia ini.
4) Cerita
itu juga menyebut bahawa Ibrahim Bin Adham telah menamakan jalan yang dilaluinya
itu tarikat suluknya ialah ‘keluar dari kehidupan duniawi’. Akibatnya Ibrahim
meninggalkan pakaian yang dipakainya dan menggantikannya dengan pakaian bulu,
meninggalkan kampung halaman dan tanahair dan mengembara di gurun pasir.
Terdapat juga di dalam cerita tersebut dakwaan bahawa Ibrahim telah diberitahu
oleh Aslam Bin Yazid Al Jahani di Iskandariah: Jika Ibrahim Bin Adham
benar-benar mencari balasan pahala dari Allah, maka ia hendaklah menanggung
bebanan kesabaran. Jika ia telah berbuat demikian, nescaya Allah mewariskan
hatinya dengan cahaya yang membolehkannya membezakan di antara yang hak dengan
yang batil yang nasakh dengan yang samar-samar
pengertiannya.
Cerita ini
meletakkan asas konsep tasawuf yang lain, yaitu amalan bermujahadah dan bersabar
akan memperolehi cahaya yang dengannya boleh dikenali mana yang hak dan yang
batil, mana ayat-ayat yang nasikh dan ayat-ayat yang samar pengertiannya.
Sedangkan yang sedia dimaklumi, biar betapa besar sekalipun mujahadah dan
kesabaran itu, ia tidak boleh mengajari manusia mengenal ayat-ayat Al Quran yang
nasikh dan yang mansukh, yang tepat dan yang samar-samar pengertiannya, juga
tidak boleh menjadikan manusia membezakan di antara yang benar dengan yang
salah. Sebaliknya ia mesti mempelajari semua itu, kerana Rasulullah saw telah
bersabda:
Ertinya:
Sesungguhnya ilmu itu diperolehi dengan pembelajaran) (Riwayat Al
Bukhari)
Baginda saw
tidak bersabda:
“Sesungguhnya
ilmu itu diperolehi dengan bersabar” !
Adapun Allah
taala mentaufikkan orang yang beramal dengan ilmunya dan yang bertakwa kepadanya
dengan hidayah dan ilmu pengetahuan itu memanglah benar, yaitulah dengan
memudahkan sebab-sebab memperolehi pengetahuan yang baru.
Allah
berfirman:
Maksudnya
lebih kurang: “Dan bertakwalah kamu kepada Allah dan Allah mengajarkan kamu, dan
Allah maha mengetahui segala sesuatu.”
(Surah Al
Baqarah: ayat 282)
Ini ialah
penghujung ayat yang paling panjang di dalam Al Quran. Ia diturunkan berhubung
dengan hutang piutang, pencatitannya dan penyaksian ke atasnya. Ada pengajaran
tentulah ada pembelajaran. Jadi maksud ayat ini ialah pembelajaran apa yang
telah diturunkan Allah kepada pesuruhnya Muhammad s.a.w. Adalah mustahil dari
sudut syarak dan akal, seseorang Islam itu akan mencapai ilmu pengetahuan
melalui sikap bersabar atau melalui amalan berpuasa umpamanya, tanpa usaha yang
menyampaikannya kepada ilmu pengetahuan itu. Ilmu syariat hanya boleh dicapai
melalui pembelajaran. Ilmu duniawi juga demikian. Ilmu-ilmu itu sama sekali
tidak boleh diwarisi dengan amalan bersabar dan
bermujahadah.
Tidak syak
lagi ilmu yang disebutkan oleh cerita itu ialah ilmu yang lain dari ilmu-ilmu
yang diketahui umum. Ia menyebut melalui lisan Aslam Bin Yazid bahawa para
hukama itulah ulamak. Maksudnya ialah satu golongan lain yang mempunyai
tradisi-tradisinya, adat-adatnya, mujahadah-mujahadahnya dan ilmu-ilmunya yang
tersendiri belaka. Bukan para ulama syariah yang mengajarkan Al Quran dan As
Sunnah kepada umum, kerana ilmu ulamak syariah ini hanya boleh dicapai dengan
cara belajar, menyalin, menulis, menghafaz, bermohon kepada Allah agar diberikan
kefahaman, dia mengamal dan taufik. Adapun cara golongan tasawuf di dalam cerita
itu ialah bermujahadah dengan tatacara tertentu, adat tertentu, metodologi
tertentu sehingga seseorang dari kalangan mereka tiba kepada ilmu yang tertentu,
fahaman yang tertentu dan perasaan hati yang tertentu yang mana semua ini tidak
dapat dicapai sedikit pun oleh para ulamak syariah biar bagaimana luas sekali
pun ilmu pengetahuan mereka. Ilmu tertentu yang dimaksudkan di dalam cerita itu
ialah yang dinyatakan oleh Aslam Bin Yazid dengan katanya, “Dan sesungguhnya
jika seseorang hamba itu bermurah hati kepada Allah nescaya Allah mewariskan
hatinya dengan hidayah dan ketakwaan dan mengurniakannya ketenangan, kesabaran
dan penghormatan, ilmu pengetahuan yang tepat dan akal yang sempurna.” Di
samping itu dibukakan kepadanya pintu-pintu langit dan ia melihat dengan hatinya
bagaimana pintu-pintu itu terbuka, walaupun di jalan dunia ia
terlantar!!.
Pintu ilmu
tertentu itu ialah langit. Ahli-ahli ilmu ini melihat dengan hati mereka
bagaimana pintu-pintu itu terbuka walaupun mereka terlantar di jalan
duniawi!!
5) Titik
akhir bagi suluk tasawuf yang terdapat di dalam cerita tersebut ialah kata-kata
Ibrahim Bin Adham, “Demi Allah! Tiada yang mendorongku meninggalkan kedua-dua
ibu bapa dan harta benda melainkan cinta mengutamakan Allah di samping berzuhud
dari kehidupan duniawi dan keinginan berada di sisi Allah
swt.”
Mengikut
dakwaan penulis cerita, Aslam Bin Yazid telah menerangkan kepada Ibrahim Bin
Adham mengenai orang yang bakhil dengan katanya, “Seorang yang tidak
menghampirkan diri kepada Allah taala.”
Mengutamakan
Allah seperti yang terdapat di dalam cerita itu sebenarnya bukan cintakan Allah,
bukan mengutamakan keredhaanNya, bukan tamakkan syurganya dan takutkan api
neraka, tetapi sepertimana yang dilihat pada nas-nas dan catitan-catitan
golongan sufi itu sendiri, ianya adalah fana’ dengan Allah bukan dengan
selainNya dan beribadat kepadaNya tanpa mengharapkan balasan pahala dan tanpa
takutkan balasan siksa. Konsep ini terus berkembang sehingga menghasilkan konsep
‘Wahdatul wujud’ dan bahawa abid (penyembah) itulah ma’bud (yang
disembah).
6) Di antara
perkara-perkara aneh di dalam cerita itu ialah Ibrahim Bin Adham menyebut bahawa
teman-teman Aslam Bin Yazid Al Jahani telah berkata kepada Aslam, “Pukullah dia,
biar dia sakit. Sesungguhnya kami mendapatinya seorang anak muda yang telah
ditaufikkan menjadi wali Allah.” Seolah-olah Ibrahim telah menemui harta yang
tidak pernah ditemui sesiapa pun sebelumnya, yaitulah menjadi wali Allah,
sedangkan Allah telah menyatakan dia sendiri wali orang-orang yang beriman.
Firmannya,
Maksudnya
lebih kurang: Allah ialah wali orang-orang yang beriman.
Imam Al
Bukhari telah menukilkan sepotong hadis Qudsi yang
bermaksud;
“Barangsiapa
memusuhi hambaKu maka Aku izinkannya diperangi. Seseorang hambaKu tidak
bertaqarrub kepada Aku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada apa yang Aku
wajibkan ke atasnya. Dan hambaKu terus bertaqarrub kepadaKu dengan amalan-amalan
sunat sehinggalah Aku menyintainya. Apabila Aku telah menyintainya, maka Aku
menjadi pendengarannya yang ia mendengar dengannya dan penglihatannya yang ia
melihat dengannya….”
Allah taala
telah menerangkan tentang cara untuk menjadi walinya iaitu menunaikan segala
yang diwajibkan kemudian ditambah dengan amalan-amalan sunat. Allah tidak
menyebut kewalian itu berlaku melalui seruan dari pelana kuda, kemudian
pertemuan dengan Nabi Daud a.s. di gurun pasir yang mengajarkan Asma Al
Azim!!
7) Di dalam
cerita itu disebutkan juga bahawa Aslam Bin Yazid Al Jahani telah menasihati
Ibrahim Bin Adham dengan berkata, “Wahai anak muda! Sesungguhnya engkau akan
menemani golongan yang baik-baik, oleh itu engkau hendaklah menjadi bumi tempat
mereka berpijak. Andainya mereka memukulmu, mencemuhmu, menghalaumu dan
mendengarkan kepadamu kata-kata yang kurang sopan…..”
Di sini
timbul pertanyaan adakah perbuatan berkawan dengan orang yang baik-baik boleh
menghasilkan demikian? Kerana biasanya apabila anda menjadikan orang yang
baik-baik sebagai kawan, mereka akan menghormati anda, bersikap toleransi
terhadap anda, akan mengajar anda dan merapati anda serta memaafkan anda kerana
kesalahan yang anda lakukan kepada mereka.
8) Cerita
itu juga menyebut bahawa Aslam Bin Yazid Al Jahani telah berkata kepada Ibrahim,
“Sesungguhnya Allah akan menyampaikan kepada sesiapa yang seumpamamu dan sesiapa
yang mengikutimu dari kalangan yang menerima hidayah.” Ia juga berkata kepada
Ibrahim, “Wahai anak muda. Sesungguhnya kami telah bermanafaat kepadamu,
merintiskan jalanmu dan telahpun mengajarkanmu suatu
ilmu.”
Semua ini
membayangkan bahawa di sana ada jalan lain dan lorong-lorong baru yang telah
disediakan untuk golongan sufi bagi sesuatu perkara yang tertentu, serta mereka
telah diarahkan ke sesuatu hala yang tertentu dan akan disampaikan kepada mereka
apa yang tidak disampaikan kepada orang-orang sebelum mereka dari kalangan
generasi Islam yang pertama iaitu dari kalangan para sahabat dan para tabiin
Ridhwan Allah Alaihim
9) Cerita
itu berakhir seperti mana ia bermula iaitu salah seorang daripada kalangan
mereka yang berada di sekeliling Sheikh Aslam Bin Yazid Al Jahani berkata,
“Wahai tuhan kami! Hijabkanlah ia dari kami dan hijabkanlah kami darinya.”
Dengan tiba-tiba itu juga mereka hilang dan Ibrahim tidak tahu ke mana mereka
menghilang!! Ini samalah seperti pada mula beliau dikatakan mendengar seruan
ghaib yang berkata, “Bukan kerana ini engkau dijadikan dan bukan dengan ini
engkau disuruh.”
Dengan ini
ternyatalah kepada kita sembilan faktor yang menjadi asas konsep tasawuf yang
didakwa oleh golongan sufi. Intisari faktor-faktor ini ialah jalan untuk
memperolehi hidayah ialah dengan seruan ghaib. Hidayah ini mendorong seseorang
itu meninggalkan kehidupan duniawi, ibu bapa dan mengembara di padang pasir
tandus. Orang yang berhidayah dengan cara ini boleh melihat nabi-nabi dan
berbual dengan mereka dan memakan makanan yang terhidang dari alam ghaib. Nabi
Al Khadir as ialah khadam Asma Allah Al Azim, iaitu nama yang amat berat disebut
oleh seorang yang arif. Tarikat atau jalan yang dilalui oleh seseorang sufi itu
menghubungkannya dengan langit yang membolehkannya mempelajari berbagai ilmu.
Tarikat atau jalan ini ialah satu-satunya cara untuk mencapai darjah wali Allah.
Mereka yang telah mendapat hidayah sufi itu hendaklah bersabar bersama-sama
mereka yang telah lebih dahulu mengikuti jalan ini, tidak boleh mengingkari
mereka, bahkan hendaklah ia menjadi bumi tempat mereka berpijak. Mereka yang
telah mendapat hidayah sufi ini telah dihantar untuk suatu tugas khas. Mereka
menerima dari Allah secara langsung tanpa perantaraan dan mereka disampaikan
ilmu yang khas,dan bahawa doa salah seorang daripada mereka boleh menyebabkan
yang ada jadi tiada dan yang tiada jadi ada!!
Ternyata
semua ini bertentangan apa yang terdapat di dalam Al Quran dan As
Sunnah.
Bab
6 - Syurga Dan Neraka Bukan Matlamat.
Dari siri
yang lalu kita maklumi bahawa pada permulaan kemunculannya, tasawuf bertujuan
menjadikan amalan mengutamakan Allah Subhahu Wa Ta’ala yang disarankan oleh
Ibrahim bin Adham itu sebagai matlamat terakhir. Untuk mencapainya, perlulah
ditinggalkan dan diketepikan sama sekali kehidupan berbentuk duniawi. Berdasar
kepada konsep inilah lahirnya amalan tidak berkahwin dan tidak berusaha mencari
makan! Kerana kedua-duanya merupakan faktor-faktor yang menghalang tercapainya
matlamat tersebut. Golongan bertasawuf ini mendakwa generasi mereka yang pertama
dan yang menyusulinya kemudian tidak mengenali tuhan yang mereka utamakan itu
dan tidak mengenali zatnya serta perbuatannya melalui al-Qur'an dan as-Sunnah,
tetapi mengenalinya melalui jalan pembukaan pintu-pintu langit dengan cara
bermujahadah dan suluk tasawuf, serta dengan tersingkapnya kepada mereka wajah
al-Haq. Dengan itu kenallah mereka akan tuhan dengan pengenalan yang
sebenar-benarnya!
Apabila
disuruti aqidah tasawuf ini bermula dari saat kemunculannya sehinggalah ia
menjadi sempurna dalam bentuknya yang muktamad dengan batas-batasnya yang
terakhir, kita akan temui gambar-gambaran lengkap aqidah tasawuf mengenai Allah
Subhahu Wa Ta’ala, syurga dan neraka, perutusan-perutusan Allah dan
perkara-perkara ghaib seluruhnya.
Beribadat
Kepada Allah Untuk Zat-Nya Semata-Mata.
Golongan
bertasawuf mendakwa bahawa ibadat yang sebenar ialah yang dilakukan tanpa
meminta balasan dari Allah, serta mengakui segala perbuatan dalam ibadat itu
perbuatan Allah – bukan perbuatan hamba-Nya. Barangsiapa mengakui perbuatan
ibadat itu sebagai perbuatannya, ia telah bersikap kufur! Mereka mengemukakan
dalil-dalil dakwaan mereka itu sebagai berikut:
1. Abu Bakar
al-Kalabazi di dalam bukunya “Al-Ta’aruf Li Mazhabi Ahli al-Tasawuf” (mengenal
mazhab golongan tasawuf) yang dianggap buku tertua mengenai ilmu tasawuf dan
tokoh-tokohnya, telah menegaskan, “Bukan hak orang sufi untuk mendapatkan
balasan kerana beribadat. Balasan ialah apa yang ada bagi Allah ke atas mu di
dalam amalan sebagaimana firman-Nya:
إِنَّ اللّهَ
اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم
(Surah
Al-Taubah, ayat 111)
Maksudnya
lebih kurang: “Sesungguhnya Allah membeli diri dan harta orang-orang yang
beriman.” Beliau menyebutkan sambungan ayat selanjutnya, tetapi berkata: “Agar
kamu beribadat kepadanya dengan sepenuh perasaan perhambaan, bukan perasaan
tamakkan balasan. Bagi golongan sufi, memandang syurga itu adalah suatu maksiat,
dan menuntutnya pula adalah suatu kekurangan bagi hak abid.” (Al-Ta’aruf Li
Mazhabi Ahli al-Tasawuf, halaman 141).
Kerana
itulah al-Kalabazi menceritakan bahawa sekumpulan orang datang melawat Rabi’atul
al-‘Adawiyah yang sedang sakit untuk menanyakan keadaannya. Rabi’atul
al-‘Adawiyah telah menjawab, “Demi Allah! Aku tidak tahu punca penyakitku selain
daripada kerana ditawarkan syurga kepadaku, dan aku menoleh kepadanya dengan
hatiku. Aku sangka tuhanku mencemburui perbuatanku itu, lalu Dia mencelaku
dengan celaan yang sungguh-sungguh.” (Halaman 155).
Ini bererti
dengan kecenderungan hati kepada syurga itu sahaja sudah dianggap oleh golongan
bertasawuf itu sebagai suatu dosa yang patut ditimpakan balasan siksaan ke
atasnya! Untuk menegakkan aqidah yang batil seperti inilah golongan bertasawuf
itu memutar belitkan pengertian ayat–ayat al-Qur'an dan hadith-hadith agar
sesuai dengan kehendak mereka. Sebagai contohnya ialah ayat 111 di dalam surah
al-Taubah yang telah disebutkan di atas. Selain daripada menyebutkan ertinya
“Allah membeli diri dan harta orang-orang yang beriman” itu agar mereka
beribadat kepadanya dengan penuh perasaan perhambaan, bukan dengan perasaan
tamak kepada balasan syurga, al-Kalabazi telah tidak menyebutkan sambungan ayat
berkenaan iaitu: “بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ”
Bermaksudnya
lebih kurang: “Sesungguhnya bagi mereka ialah syurga.”
Yang mana
apabila dibaca keseluruhannya ia akan bererti bahawa pembelian Allah terhadap
diri orang-orang mukmin dan harta benda mereka sesungguhnya ialah dengan
gantian, iaitulah syurga. Amalan orang-orang yang beriman itu adalah menjadi
sebab yang menyampaikan mereka ke syurga. Walaupun jika tidak dibalas dengannya,
namun orang yang beriman itu tidak dilarang berkeinginan kepada kurniaan Allah
dan rahmat-Nya dan kepada syurga. Ia perlu berusaha untuk mencapainya, inilah
ta’abud yang sebenar mengikut pengertian yang betul.
2. Firman
Allah:
كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئاً بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي
الْأَيَّامِ الْخَالِيَةِ
Maksudnya
lebih kurang: Makanlah kamu dan minumlah dengan seenak-enaknya kerana apa yang
telah kamu dahulukan pada hari-hari yang silam.”
(Surah
Al-Haaqah, ayat 24)
Tetapi
Al-Kalabazi telah memberikan pengertian yang berbeza sama sekali daripada apa
yang sepatutnya difahami dari ayat ini. Katanya “al-khaliah” itu ialah kosong
dari zikir kepada Allah, agar kamu sedari bahawa dengan kurniaan-Nyalah kamu
telah memperolehi balasan, bukan kerana amalan kamu (halaman 142). Beliau telah
mentafsirkan lafaz “al-khaliah” (bererti yang silam) dengan pengertian “kosong
dari zikir kepada Allah” iaitu kerana manusia tidak berzikir kepada Allah pada
beberapa hari, maka perbuatan ini berhak bagi Allah memasukkannya ke dalam
syurga supaya manusia tahu sesungguhnya ia masuk syurga itu adalah dengan
kurniaan Allah, bukan kerana amalan yang dilakukannya!
Ini adalah
tafsiran yang salah lagi bertentangan dengan pengertian sebenar ayat tersebut.
Tafsiran yang tepat bagi ayat berkenaan ialah Allah telah berfirman kepada
orang-orang yang beriman pada hari qiamat kelak, “Makanlah kamu dan minumlah
dengan seenak-enaknya hasil dari apa yang telah kamu dahulukan pada masa-masa
yang silam semasa hidup di dunia.” Perkara yang mereka dahulukan itu ialah
amalan-amalan soleh.
3.
Al-Kalabazi telah menggunakan sepotong hadith Qudsi sebagai bukti untuk
menegakkan aqidahnya. Hadith Qudsi tersebut ialah: “الصيام لي وانا أجزي به” Ertinya: “Puasa itu kepunyaan-Ku dan Aku lah yang membalasnya.”
(Riwayat
al-Bazar dari Abu Hurairah)
Menurut
Al-Kalabazi, salah seorang pembesar tasawuf mengatakan maksudnya ialah: “Akulah
balasannya.” (Al-Ta’aruf Li Mazhabi Ahli al-Tasawuf” halaman
143)
Yang
dimaksudkan dengan “salah seorang pembesar tasawuf” itu ialah al-Hallaj.
Pengertian yang diberikan daripada hadith Qudsi ini jauh berbeza dari pengertian
yang sebenar. Ini sengaja dibuat semata-mata bertujuan menyesuaikannya dengan
aqidah kepercayaan yang batil yang menjadi pegangan golongan sufi seumpama
al-Hallaj dan al-Kalabazi.
Mungkin juga
ada orang-orang Islam pada zaman ini menyangka aqidah seperti itu aqidah yang
luhur murni kerana Allah, bukan untuk mendapatkan balasan syurga dan bukan
kerana takutkan api neraka. Tetapi sangkaan ini salah sama sekali kerana aqidah
tersebut adalah bertentangan dengan aqidah yang diajarkan oleh al-Qur'an dan
as-Sunnah.
Allah telah
menerangkan keadaan para anbia’ semasa beribadat dan bertaqarrub kepada Allah
serta berdoa kepada-Nya dengan firman-Nya:
فَاسْتَجَبْنَا
لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَى وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ إِنَّهُمْ كَانُوا
يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَباً وَرَهَباً وَكَانُوا لَنَا
خَاشِعِينَ
(Surah
Anbia, ayat 90)
Maksudnya
lebih kurang: “Dan mereka berdoa kepada Kami dengan pengharapan dan ketakutan,
dan mereka berkhusyuk terhadap Kami.”
“Al-Raghbu”
ialah pengharapan dan keinginan mendapatkan syurga Allah dan keredhaan-Nya.
Manakala “al-Rahbu” ialah ketakutan terhadap balasan Allah. Perlulah diingat
bahawa para anbia’ itu ialah manusia-manusia paling sempurna dari segi aqidah,
keimanan dan keadaan. Namun demikian, begitulah sifat mereka ketika menunaikan
ibadat dan berdoa kepada Allah sebagaimana yang digambarkan oleh Allah
sendiri.
Allah juga
telah mensifatkan orang-orang mukmin yang sempurna aqidahnya dengan
firman-Nya:
-
إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا
سُجَّداً وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
-
تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفاً
وَطَمَعاً وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
-
فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ
جَزَاء بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
(Surah
as-ٍٍSajdah, ayat
15-17)
Maksudnya
lebih kurang: “Hanya yang beriman kepada ayat-ayat Kami ialah orang-orang yang
apabila diperingatkan dengan ayat-ayat itu, mereka meniarap sujud dan bertasbih
dengan memuji tuhan mereka dan mereka tidak bersikap sombong. Lambung mereka
terjatuh dari tempat berbaring (kurang tidur pada malam hari), mereka memohon
kepada tuhan mereka dengan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami berikan
kepada mereka. Seseorang itu tidak mengetahui apa yang disimpankan untuk mereka
di antara berbagai-bagai kesenangan sebagai balasan terhadap apa yang telah
mereka lakukan.”
Orang-orang
yang Allah simpankan untuk mereka apa yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar,
tidak dapat didengar oleh telinga dan tidak terlintas di dalam hati manusia itu,
tidak syak lagi merupakan orang-orang yang paling sempurna dari segi keimanan
dan keadaannya. Namun demikian mereka masih tetap berdoa kepada Allah dengan
perasaan takut dan penuh harapan; takut terhadap azab siksaan-Nya dan harapan
untuk mendapatkan syurga-Nya. Ayat-ayat al-Qur'an yang membawa pengertian
seperti ini amatlah banyak.
Hadith mengenai hal ini juga banyak. Di
antara yang paling berkesan dan mendalam pengertiannya ialah ketika seorang Arab
dusun berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak
pandai berdoa sepertimu dan seperti Muaz. Tetapi aku hanya menyebut: “Ya tuhan
ku! Sesungguhnya aku memohon syurga dari-Mu dan aku berlindung dengan-Mu dari
api neraka!” Rasulullah s.a.w telah menjawab dengan sabdanya: “ولها ندندن”. Ertinya: “Di sekitarnya juga lah Kami gemakan doa!” (Riwayat
Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Andainya Rasulullah s.a.w menggemakan doa
agar diberi balasan syurga dan dijauhkan dari neraka seperti itu, maka adakah
termasuk di akal adanya seorang lelaki atau wanita lebih sempurna daripada
Rasulullah s.a.w dan berdoa kepada Allah serta berdoa kepada-Nya tanpa keinginan
mendapatkan syurga dan tanpa ketakutan kepada api neraka?
Gagasan beribadat kepada Allah tanpa
keinginan kepada balasan syurga dan tanpa takut kepada azab siksaan neraka ini
telah menjerumuskan golongan bertasawuf itu ke jurang berbagai-bagai kesesatan
lagi seperti fana’ dengan Allah, al-Hulul dan konsep Wahdatul Wujud (kesatuan
wujud).
Terdahulu telah diceritakan bagaimana
Rabi’atul al-‘Adawiyah, apabila mengadu sakit dan diziarahi beberapa orang yang
bertasawuf, telah mendakwa bahawa penyakitnya itu berpunca dari kecemburuan
Allah kepadanya kerana hatinya cenderung ke arah syurga!
Di sini penulis ingin bertanya: Dari
manakah Rabi’atul al-‘Adawiyah tahu kecintaan Allah kepada-Nya dan penerimaan
Allah terhadap amalan-amalannya, lebih dari itu kecemburuan Allah kepadanya
pula? Sedangkan Allah telah mengemukakan keadaan orang-orang yang beriman dengan
firmannya:
إِنَّ الَّذِينَ هُم مِّنْ خَشْيَةِ رَبِّهِم مُّشْفِقُونَ وَالَّذِينَ
هُم بِآيَاتِ رَبِّهِمْ يُؤْمِنُونَ وَالَّذِينَ هُم بِرَبِّهِمْ لَا يُشْرِكُونَ
وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوا وَّقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَى
رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ أُوْلَئِكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا
سَابِقُونَ
(Surah al-Mukminun, ayat:
57)
Maksudnya lebih kurang; “Sesungguhnya
orang-orang yang takut kerana takut (azab) tuhan mereka, dan orang-orang yang
percaya kepada ayat-ayat tuhannya, dan orang-orang yang tidak mempersekutukan
tuhannya, dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan (zakat,
sedekah dan sebagainya) Sedangkan hati mereka takut kerana mereka akan kembali
kepada tuhannya, mereka itulah orang-orang yang benar bersegera membuat kebaikan
dan merekalah yang mendahuluinya.”
Sayyidatuna Aisyah r.a. telah bertanya
kepada Rasulullah s.a.w mengenai firman Allah di dalam ayat di
atas:
“يؤتون ما اّتوا وقلوبهم
وجلة” Maksudnya lebih
kurang: “Mereka memberikan apa yang mereka berikan sedangkan hatinya mereka
takut…….” Katanya: “Wahai Rasulullah s.a.w! Adakah kerana mereka mencuri,
berzina dan gerun?
Rasulullah s.a.w
menjawab:
“لا يا
إبنة الصديق! ولكن يصومون ويصلون ويخفون أنه لايتقبل منهم”
(Riwayat Ahmad, tirmidzi dan Ibnu
Majah)
Ertinya: “Tidak, wahai puteri as-Siddiq!
Tetapi mereka berpuasa dan bersolat dan takut amalan mereka tidak diterima.”
Andainya keadaan orang yang beriman itu
ialah sentiasa takut kepada Allah di samping mematuhi dan mentaati segala
perintah dan pantang larangnya, maka dari manakah Rabiatul Adawiyah tahu bahawa
Allah cemburu kepadanya semata-mata kerana hatinya condong kepda syurga?
Bukankah kata-kata Rabiatul Adawiyyah itu kalau benarlah seperti mana yang
dikaitkan kepadanya menurut cerita tadi, merupakan kata-kata mengenai Allah
tanpa pengetahuan? Ini adalah perbuatan mengikuti jejak syaitan yang sangat
dilarang Allah dengan firmannya:
-يَا
أَيُّهَا النَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي الأَرْضِ حَلاَلاً طَيِّباً وَلاَ
تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
-إِنَّمَا
يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاء وَأَن تَقُولُواْ عَلَى اللّهِ مَا لاَ
تَعْلَمُونَ
(Surah al-Baqarah ayat
168-169)
Maksudnya lebih kurang: “Wahai manusia!
Makanlah apa yang di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikuti
langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.
Sesungguhnya syaitan itu menyuruh kamu melakukan kejahatan dan kekejian dan
supaya kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”
Bab 7 - Mengenepikan Jalan Yang Disyariatkan Untuk Mendapat
Hidayah.
Oleh kerana menerokai jalan tasawwuf itu tidak disyaratkan
berpandu kepada al-Qur'an dan as-Sunnah, malah taufik dari Allah s.w.t. yang
kadang-kadang datang dari bisikan halus atau melalui cara yang lain, maka
golongan bertasawwuf sejak dari mula-mula lagi telah beranggapan bahawa ilmu
yang mereka perolehi adalah lebih utama daripada al-Qur'an dan as-Sunnah.
Malahan setiap mereka berpendapat bahawa ilmu al-Qur'an dan as-Sunnah itu
menjadi suatu gangguan kepada tarekat dan suluk mereka. Berikut ialah beberapa
pendapat mereka dalam perkara ini:-
1. Abu Yazid al-Bistami
(meninggal dunia tahun 261 Hijriah) sewaktu melahirkan kekecewaan terhadap para
ulama ilmu syariat dan berbangga dengan para ahli tasawwuf telah berkata kepada
para ulamak syariat itu: “Kamu mengenal ilmu kamu dari si mati melalui si mati,
sementara kami mengambil ilmu kami dari yang hidup yang tidak mati-mati.
Orang-orang seperti kami berkata: Hatiku memberitahu ku dari tuhanku. Sementara
kamu berkata: Aku diberitahu oleh si fulan dari si fulan. Apabila ditanya: Di
mana si fulan? Mereka menjawab: Sudah Mati. Apabila ditanya: Dari si fulan yang
mana? Mereka menjawab: Si fulan itu juga sudah mati.” (Al-Futuhatul Al-Makkiah,
Jilid 1, Halaman 365).
2. Al-Junaid bin Muhammad
(meninggal dunia pada tahun 297 Hijriah) telah berkata: Kami tidak mengambil
tasawwuf dari cerita yang disampaikan oleh si fulan dari si fulan (Tabaqaat
al-Sulami, halaman 158).
3. Al-Junaid juga berkata:
“Saya suka bagi seorang yang baru mula bertasawwuf agar hatinya tidak memikirkan
tiga perkara dan tidak berubah keadaan; mencari mata pencarian, menuntut ilmu
hadits dan berkahwin. Saya suka seseorang sufi itu tidak membacanya dan tidak
menulis. Dengan itu ia bertumpu kepada tujuannya semata-mata.” (Qut al-Qulub
jilid 3, halaman 135).
4. Abu Sulaiman Al-Darani
berkata: “Jika seseorang itu menuntut ilmu hadits atau bermusafir untuk mencari
mata pencarian atau berkahwin. Maka sesungguhnya ia telah condong kepada
keduniaan.” (Al-Futuhatul Al-Makkiah, Jilid 1, Halaman
37).
Demikian sebahagian dari kata-kata yang
dikaitkan dengan golongan sufi mengenai keperluan mengenepikan ilmu syariat dan
mengikuti jalan mereka yang khusus untuk mendapatkan ilmu dan
kasyaf.
Bagi seseorang yang insaf dan bertaqwa
kepada Allah serta menyanjung kebenaran, kata-kata seperti ini sudah memadai
untuk memusnahkan syariat Islam, malah meruntuhkan pembangunan umat
seluruhannya, kerana peradaban manusia, walaupun di bidang material, tidak
ditegakkan kecuali dengan tiga perkara; ilmu pengetahuan, usaha mencari rezeki
dan berkeluarga. Peradaban Islam khususnya tegak di atas ketiga-tiga perkara
ini. Islam menyuruh menuntut ilmu akhirat iaitu ilmu al-Qur'an dan as-Sunnah,
juga menyuruh menuntut ilmu dunia, iaitu segala ilmu yang manfaat bagi kehidupan
manusia dan kemakmuran di muka bumi. Islam juga mengalakkan pembiakkan zuriat
keturunan melalui pernikahan yang sah.
Cuba Memusnahkan Keunggulan Ilmu
Hadith.
Tidak memada dengan mengenepikan syariat
dan hadits, golongan bertasawwuf ini telah menjadikan kasyaf yang bagi mereka
bererti penyingkapan tabir hati yang membolehkannya melihat segala yang ghaib
dan sebagai ilmu yang diterima terus menerus dari Allah Taala itu sebagai
kriteria yang menilai sanad (rangkaian rawi-rawi) hadits. Dengan demikian mereka
sewenang-wenang mensahihkan mana-mana hadits yang mereka mahu, walaupun hadits
itu dhaif di sisi ulamak hadits dan as-Sunnah, dan mendhaifkan mana-mana yang
mereka mau walaupun hadits itu sahih mengikut pengiktirafan para ulamak hadits
dan mustalahnya, iaitu satu cabang ilmu Islam yang menjadi kebanggaan umat Islam
kerana ianya tidak terdapat di kalangan umat manusia lain di muka bumi sejak
dahulu hingga ke hari ini, yang terbukti ketepatannya dari segi penentuan hadits
sahih, hadits dhaif dan hadits-hadits lain dan seterusnya ia telah menyelamatkan
agama Islam dari pencemaran pendapat kaum zindiq dan
mulhid.
Penulis suka menegaskan bahawa para
pemimpin tasawwuf memang sengaja mahu memusnahkan unsur sanad (rangkaian rawi)
hadits dengan menentukan sahih tidaknya sesebuah hadits melalui ilmu mereka yang
tertentu. Ibn Arabi di dalam risalahnya berkata:
“Mereka (iaitu ulamak syariat) mungkin
berkata apabila ditemui ulamak tasawwuf akan bercakap dengan perasaan mereka
bersama-sama teman mereka; agama tersembunyi, agama yang dicela, dan mereka
tidak mengetahui aspek-aspek agama. Sebenarnya mereka bukan sahaja merahsiakan
mengenai agama, tetapi juga merahsiakan hasil-hasilnya dan apa-apa yang
dikurniakan oleh Yang Maha Haq ketika mereka mematuhinya. Dan apa yang sah di
sisi mereka dari hadits-hadits hukum yang telah disepakati oleh ulamak syariat
akan kedaifannya dan kecacatan nukilannya, para ulamak tasawwuf mengambilnya
melalui kasyaf terus dari pengucapnya yang sebenar, lalu mereka berta’abud
dengannya tanpa mengikuti apa yang telah ditetapkan oleh para ulamak rasmi.
Kerana itu para ulamak syariat telah menganggap ulamak tasawwuf terkeluar dari
agama. Para ulamak syariat tidak menyedari bahawa Yang Maha Haq itu ada beberapa
wajah yang boleh ditujui, di antaranya ialah cara kasyaf. Ini mungkin sebab
hadits itu telah disepakati kesahihannya oleh ulamak syariat, tetapi ia tidak
dianggap sahih di sisi ulamak tasawwuf mengikut cara kasyaf, lalu mereka tidak
mengamalkan hadits ini.” (Rasaail Ibn Arabi, halaman 4)
“Kasyaf” yang dimaksudkan oleh Ibn Arabi
ialah hubungan secara langsung dengan Rasulullah s.a.w dan memperolehi terus
hadits darinya.
Kenyataan ini menunjukkan golongan
tasawwuf itu mempunyai hukumnya tersendiri tentang sanad hadits-hadits. Melalui
kasyaf mereka telah mensahihkan sesebuah hadits atau mendaifkannya! Dengan
pencerobohan ke atas kaedah-kaedah ilmu hadits, maka as-Sunnah akan menjadi
mainan di tangan orang-orang yang menentukan nilai-nilainya mengikut sesuka
hati, tanpa sebarang asas pegangan yang boleh menjadi rujukan dan tanpa kayu
pengukur sebenar bagi menilai hadits-hadits. Oleh kerana kasyaf itu dianggap
mereka sebagai suatu ilmu ghaib, maka kasyaf untuk sesuatu mungkin tidak sesuai
untuk sesuatu yang lain.
Memusnahkan Ilmu-Ilmu
Syariat
Dengan meletakkan asas pemusnah sanad
hadits-hadits, golongan bertasawwuf itu bertujuan untuk memusnah dan melenyapkan
sama sekali ilmu-ilmu syariat. Selanjutnya mereka berusaha menghalang penyebaran
ilmu-ilmu Islam yang lain, malahan menjadikan apa jua yang berkaitan dengan ilmu
pengetahuan itu sebagai sejenis aurat yang patut dilindungi dan disembunyikan.
Umpamanya, salah seorang sheikh tasawwuf yang ternampak bekas tinta anak
muridnya terjatuh, pernah menyuruhnya dengan berkata: “Sembunyikan auratmu!”
(Talbis Iblis oleh Ibn Qayyim Al-Jauzi, halaman 370).
Selepas meletakkan kaedah dan asas untuk
melenyapkan ilmu-ilmu syariat dan mengelak diri darinya, golongan bertasawwuf
itu menyeru orang ramai ilmu ke arah batin yang mereka namakan ilmu hakikat.
Mereka menyatakan bahawa jalan untuk sampai kepada ilmu hakikat itu ialah kasyaf
dan pembukaan Rabbani serta limpahan Rahmani. Ini jelas menunjukkan bahawa
maksud mereka dengan ilmu batin atau alam hakikat itu bukan ilmu untuk pembaikan
keadaan hati seperti dakwaan sesetengah mereka, tetapi yang mereka maksudkan
ialah ilmu tertentu yang dengannya mereka dapat menyingkap hakikat-hakikat yang
mereka dakwa dapat melihat dan mencapainya. Mereka telah keterlaluan menyanjungi
ilmu dan memperhebat kecaman ke atas sesiapa yang menidakkan atau menentangnya.
Pada mulanya mereka mneyembunyikan ilmu batin dan kasyaf ciptaan mereka serta
menjadikannya sebagai rahsia-rahsia keistimewaan mereka. Tetapi mereka segera
mendedahkannya kepada umum setelah mendapat sokongan orang ramai terhadap
kegiatan mereka.
Konsep Al-Hulul
Menurut dakwaan golonggan bertasawwuf
oleh kerana mengejar syurga dan menyelamatkan diri dari api neraka bukan
matlamat mereka, tetapi matlamat manusia biasa, maka mereka itulah menjadikan
suatu perkara lain sebagai matlamat mereka, yaitu setiap seorang dari mereka
menjadi tuhan yang mengetahui segala perkara yang ghaib sepertimana Allah s.w.t
mengetahui dan bertindak di segenap alam buana! Inilah yang mereka maksudkan
dengan hulul, yaitu Allah berada dalam diri mereka!!
Pada peringkat pertama matlamat sufi itu
ialah sampai ke makam kenabian (nubuwah), kemudian terus meningkat sehingga
setiap seorang dari mereka tiba ke makam ketuhanan dan
rububiah.
Umpamanya Abu Yazid al-Bistami, salah
seorang pemimpin dan pemuka golonggan sufi abad ketiga hijrah telah menyebutkan
mengenai dirinya dengan berkata:
“Pada suatu kali Dia mengangkatku dan
meletakkan daku di tempat-Nya sambil berkata kepadaku: “Wahai Abu Yazid!
Sesungguhnya makhluk-Ku suka melihatmu. Akupun berkata: Hiasilah aku dengan
keesaan-Mu! Pakaikan daku keegoan-Mu! Angkatkan daku kepada ketunggalan-Mu,
sehingga apabila makhluk-Mu melihatku mereka akan berkata: Kami telah
melihat-Mu. Engkau menjadi Dia! Dan aku bukan yang berada di sini!” (Al-Luma’,
halaman 461).
Ucapan seperti ini tidak memerlukan
kepada tafsiran dan ta’wil. Memaafkan tuannya bererti menyertai di dalam
kebatilan yang dianutinya. Penghulu gerakan tasawwuf pada waktu itu, iaitu
al-Junaid pula, telah mengulas ucapan rakannya Abu Yazid al-Bistami di atas
dengan berkata:
“Ini ialah ucapan orang yang tidak
diselubungi hakikat kesatuan tafrid di dalam kesempurnaan hak ketauhidan. Dengan
demikian ia tidak memerlukan kepada apa yang menyelubunginya tentang kejadian
apa yang dimintanya. Permintaannya itu menunjukkan ia mendekati apa yang ada di
sana. Orang yang mendekati sesuatu tempat tidak berada di tempat itu. Katanya:
Pakaikan aku, dan hiasilah aku serta angkatkan daku, menunjukkan kepada hakikat
yang diperolehinya sekadar yang ada padanya saja. Dan ia tidak mendapat bahagian
kecuali mengikut apa yang diminta terangkan saja.” (Al-Luma’, halaman
461).
Sudah tentu tiada sesiapa yang memahami
ulasan al-Junaid terhadap ucapan rakannya, Abu Yazid al-Bistami itu, melainkan
sesiapa yang memahami aqidah golongannya bertasawwuf itu dan mengetahui isi
kandungannya mengenai hakikat. Walau bagaimanapun penulis akan cuba menghuraikan
agar para pembaca dapat menangkapnya sekadar yang diperlukan. Insya’
Allah.
Al-Junaid telah menghukumkan rakannya Abu
Yazid al-Bistami sebagai orang belum lagi sampai kepada kesempurnaan hakikat
tafrid (iaitu kepercayaan seseorang sufi bahawa tiada yang sempurna di dalam
hidup kecuali individu yang tunggal, iaitu lah Allah, yang kewujudannya
berbilang-bilang mengikut yang kelihatan pada mata manusia tetapi yang Maha Hak
itu ialah satu). Kerana itulah al-Junaid mensifatkan Abu Yazid sebagai seorang
yang tidak diselubungi Allah dengan hakikat-hakikat kesatuan tafrid, iaitu Abu
Yazid belum lagi tiba di peringkat tidak melihat selain Allah sebagaimana yang
disebutkan oleh al-Hallaj. Kerana itu jugalah al-Junaid mengatakan, jika Abu
Yazid melihat tafrid itu dengan sebenarnya, nescaya ia tidak mengemukakan
permohonan-permohonannya itu. Abu Yazid al-Bistami telah memohon kepada tuhan
supaya memakaikan keegoan-Nya dan mengangkatnya kepada ketunggalan-Nya! Andainya
ia menyakini konsep Wahdatul Wujud (kesatuan wujud), nescaya ia tidak memohon
demikian dan tidak memintanya, kerana dia tau dengan sepenuh keyakinan bahawa
dialah Allah!! Kerana itulah al-Junaid menganggapnya, dengan permohonannya itu,
sebagai orang yang menghampiri hakikat tasawwuf yang terakhir, tetapi belum lagi
tiba kepadanya!! Al-Junaid berkata: “Permintaannya itu menunjukkan ia mendekati
apa yang ada di sana.” Kemudian al-Junaid menghuraikan ulasannya ini dengan
menegaskan kata-katanya: “Pakaikan daku! Hiasilah aku dan angkatkan daku” ,
menunjukkan hakikat yang diperolehi sekadar yang padanya sahaja. Dan ia tidak
mendapat bahagian selain mengikut kadar yang dipohonnya saja.” Ini bererti,
menurut Al-Junaid setakat itu sahajalah kedudukan Abu Yazid al-Bistami di dalam
memahami hakikat tasawwuf, dan ia belum lagi tiba kepada fahaman yang
sebenar.
Dari ulasan ini ternyata
Al-Junaid telah mengenepikan isu mentauhidkan Allah seperti yang ditekankan oleh
ajaran Islam mengikut yang diperakukan oleh para ulamak
syariat.
Hukuman yang dijatuhkan oleh al-Junaid ke
atas Abu Yazid al-Bastami tidak sendirian, tetapi juga dijatuhkan oleh as-Syibli
yang dianggap oleh kalangan sufi sebagai paling tunggal
keadaannya.
Penyusun buku “Al-Luma’” telah merakamkan
peristiwa berikut diceritakan dari as-Syibli rahmatullah bahawa dia ditanya
mengenai Abu Yazid al-Bastami rahmatullah serta didedahkan kepadanya cerita
mengenai itu, lalu as-Syibli rahmatullah pun menjawab: “Andainya Abu Yazid
rahmatullah berada di sini nescaya ia akan memeluk agama Islam di depan beberapa
kanak-kanak kami kemudian beliau berkata lagi: “Andainya seseorang itu faham apa
yang aku kata nescaya aku ikatkan pinggang.” (al-Luma’, halaman
741).
Ternyata al-Syibli menganggapkan Abu
Yazid al-Bistami tidak layak menjadi muridnya, bahkan andainya Abu Yazid ada
bersama-samanya ketika itu sudah tentu ia memeluk agama Islam di depan anak-anak
murid as-Syibli. Penulis tegaskan di sini bahawa maksudnya dengan memeluk atau
menganut agama Islam itu ialah mengajarnya bahawa tiada wujud di alam buana
selain Allah kerana itu as-Syibli berkata kemudiannya: “Andainya seseorang itu
faham apa yang aku kata nescaya aku ikatkan pinggang.” Erti ikatkan pinggang
ialah memakai pakaian ahli az-Zimmah dari kalangan orang-orang Yahudi, Nasrani
dan Majusi, kerana beliau percaya tiada siapa dari kalangan yang sezaman
dengannya memahami apa yang dibayangkan dengan kata-kata itu. Ini memang benar
kerana golongan sufi sering mengelirukan orang ramai di dalam seruan mereka ke
arah kebaikan dan ketaqwaan serta cintakan Allah dan
rasul-Nya.
Al-Junaid juga telah menghukumkan Abu
Yazid al-Bistami sebagai seorang yang baru di bidang tasawwuf dengan berkata:
“Sesungguhnya di sebalik kebesaran hal keadaan dan ketinggian maksud isyaratnya,
Abu Yazid masih lagi berada di tahap permulaan bertasawwuf. Aku belum lagi
mendengar darinya sepatah kata menunjukkan kesempurnaan penghujung.” (Al-Luma’,
halaman 479).
Di sini pembaca boleh melihat dan merasa
yakin bahawa golongan bertasawwuf itu sendiri mengaku Abu Yazid al-Bistami,
salah seorang pemukanya, belum lagi melewati titik permulaan bertasawwuf di
sebalik beliau mengeluarkan pendapat-pendapat yang telah disebutkan tadi.
Kata-kata As-Syibli itu memang tepat memandangkan beliau pernah berkata kepada
Abu Abdullah bin Jaban yang menziarahinya, kemudian meninggalkannya bersama-sama
dengan beberapa orang rakannya, “Berlalulah! Aku bersama-sama kamu di mana jua
kamu berada, kamu di dalam naunganku dan di dalam peliharaanku!” (Al-Luma’,
halaman 479)
Tetapi di sebalik ucapannya itu,
kedudukan as-Syibli dikatakan tidak setinggi kedudukan al-Junaid, kerana
al-Junaid diakui lebih dahulu tiba ke kemuncak aqidah tasawwuf di kalangan
mereka yang bertasawwuf dan dialah yang paling mengetahui mengenainya. As-Syibli
pernah bertanya kepada al-Junaid berhubung dengan seorang yang menganggapkan
Allah memada baginya dari segi kata-kata dan hakikat, dan al-Junaid telah
menjawab, “Wahai Abu Bakar! (gelaran as-Syibli) Di antaramu dan di antara
pembesar-pembesar tasawwuf di dalam pertanyaanmu itu ada sepuluh ribu maqam,
yang pertama ialah melenyapkan apa yang telah engkau mulakan dengannya.”
(Al-Luma’, halaman 487). Maksud al-Junaid ialah as-Syibli masih jauh untuk tiba
ke kemuncak tasawwuf. As-Syibli perlu melalui sepuluh ribu maqam untuk tiba ke
kemuncak itu, dan maqam yang pertamanya ialah dengan melenyapkan hakikat syara’
yang dipersoalkan oleh as-Syibli kepadanya itu. Sedangkan, sepertimamn yang
diketahui oleh setiap muslim yang sejati, hakikat syara’ itu wajib dipertahankan
dan ditegakkan dengan apa cara sekali pun. Mengatakan bahawa Allah itu adalah
memada bagi setiap diri adalah sesuatu yang sememangnya dituntut. Allah telah
berfirman: “اليس الله بكاف عبده ويخوفونك بالذين من دونه” Maksudnya lebih kurang: Bukankah Allah mencukupi bagi hambanya
(Muhammad)? Mereka menakut-nakutkan mu dengan yang selain
darinya.
Rasulullah s.a.w sendiri sewaktu
dikatakan kepadanya bahawa kaum Quraisy berazam untuk terus menghapuskan kaum
Muslimin selepas kekalahannya di dalam peperangan Uhud, telah bersabda:
“حسبنا
الله و نعم الوكيل”. Ertinya memadalah
Allah bagi kami, Dialah sebaik-baik pembela dan Dialah sebaik tempat
berpegang.
Tetapi bagi al-Junaid hakikat syara’
inilah yang perlu dihapuskan sebagai maqam pertama untuk mencapai kemuncak
tasawwuf!!
Bab 8: Konsep Wahdatul Wujud
(Kesatuan Wujud)
Setelah mencipta dan melahirkan konsep
al-Hulul dan matlamatnya seperti yang telah disebutkan di dalam siri yang lalu,
para sufi mula mengusahakan suatu matlamat lain dalam bertasawuf, iaitu matlamat
mempunyai sifat-sifat yang serupa dengan sifat-sifat Allah, sebagaimana yang
mereka dakwakan, sehinggalah seseorang dari mereka berada di martabat ketuhanan
di mana ia mengetahui segal-segala dan bertindak sewenang-wenang pada segala
perkara. Usaha ini berterusan sehingga mendorong mereka mencipta apa yang
dikenali sebagai “Wahdatul Wujud”.
Menurut aqidah tasawuf, Wahdatul Wujud
bererti tiada yang wujud di alam buana ini selain Allah. Segala bentuk rupa
makhluk yang kelihatan hanyalah gambaran luaran bagi hakikat yang satu iaitulah
hakikat Allah (تعالى الله عن ذلك علوا كبيرا). Kewujudan rupa
bentuk hakikat ini di alam buana yang kelihatan itu adalah berbagai-bagai aneka.
Tetapi alam buana ini, menurut aqidah batil yang mereka dakwakan itu, adalah
Allah sendiri (تعالى الله عن ذلك).
Al-Hallaj umpamanya telah meluahkan
aqidah ini secara terus terang seperti yang telah disebutkan di dalam siri yang
lalu. As-Syibli juga telah menyebutkannya secara tidak langsung dan berputar
belit. Sementara Al-Junaid pula telah menyebutnya dengan lebih berhati-hati dan
cermat.
Pada mulanya aqidah ini tinggal tetap di
dalam pengetahuan segolongan manusia tertentu yang dikatakan telah tiba di
penghujung tarekat tasawwuf, tetapi mereka ini tidak mempernyatakannya kecuali
melalui ungkapan–ungkapan yang berputar belit lagi kabur dan samar-samar
pengertiannya, yang tidak difahami selain orang-orang yang sejalan dan sealiran
dengan mereka, atau sama seperasaan dengan mereka dan yang berkebolehan
menyingkap rahsia-rahsia kekaburan percakapan mereka!
Ibnu Arabi Dan
Dakwaannya.
Penghujung abad ke-enam hijriyah dan
penjelangan abad ke-tujuh telah menyaksikan kemunculan seorang tokoh luar biasa
yang telah menggubah aqidah ini dalam suatu bentuk yang lengkap dengan
membawakan beribu-ribu contoh, menghasilkan cabang-cabangnya yang berlainan di
dalam i’ktiqad dan fahaman, dan menyusun berpuluh-puluh buah buku mengenainya.
Tokoh tersebut ialah Mahyuddin bin Arabi yang meninggal dunia pada tahun 638
hijriyah. Beliau dibesarkan di Andalusia dan menetap di negeri Syam. Walaupun
beliau telah dilabelkan sebagai kafir, mulhid, zindiq dan pendusta, namun
aqidahnya dan mazhabnya telah mengangkat Ibnu Arabi sebagaimana beliau
mengangkatkan dirinya sendiri ke martabat kewalian, malahan ke martabat penamat
wali-wali dan martabat syeikh tasawuf teragung yang menghidupkan
agama!!
Ibnu Arabi mendakwa beliau telah menaqal
ilmunya dan kitab-kitabnya secara langsung dari Rasulullah s.a.w, dan menulis
dari Luh Mahfuz tanpa perantaraan (wasitah). Beliau menggubah aqidah Wahdatul
Wujud secara berani dan tanpa sebarang keraguan, tetapi dengan menyembunyikan
kecacatan–kecacatan dan dengan keterangan-keterangan yang berputar belit. Beliau
telah menyelewengkan pengertian ayat-ayat al-Qur'an dengan dakwaannya bahawa
kaum Nabi Hud yang kafir itu mengikuti jalan yang lurus dan mereka sebenarnya
bukan kafir ; Firaun adalah seorang mukmin yang sempurna keimanannya ; kaum Nabi
Nuh yang menolak dakwah nabi mereka itu adalah orang-orang yang beriman dan
Allah telah memberi balasan kepada mereka dengan menengelamkan mereka di dalam
lautan banjir wahdah, serta memasukkan mereka ke dalam api neraka kecintaan
ilahi agar mereka memperolehi kenikmatan bersenang lenang di dalamnya! Nabi
Harun telah melakukan kesalahan kerana melarang Bani Israel menyembah patung
anak lembu yang mereka buat, sedangkan patung anak lembu itulah tuhan yang
disembah dengan sebenar-benarnya, atau satu daripada bentuk-bentuk ma’bud yang
sebenar!! Kaum Nabi Nuh adalah betul apabila mereka terus menyembah berhala Wad,
Suwa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr, kerana berhala-berhala itu ialah bentuk-bentuk
luaran bagi tuhan yang satu! Api neraka itu suatu kenikmatan bukan siksaan!
Setiap manusia itu dirahmati dan diredhai belaka tanpa pengecualian! Dan bahawa
Allah tidak mengetahui apa-apa sebelum kewujudan-Nya kerana kewujudan sesuatu
itu ialah kewujudan alam, bahkan kewujudan segala sesuatu adalah terjemahan bagi
kewujudan Allah!!
Di sebalik dakwaan-dakwaan Ibnu Arabi
yang karut dan biadap ini, dan di sebalik pendustaannya yang mendakwa bahawa
beliau telah menaqal semua itu tanpa tambahan dan pengurangan dari Rasulullah
s.a.w yang konon menyuruhnya sampaikan kepada manusia sekalian, anehnya beliau
telah berjaya menarik ramai para penyokong dan pengikut sejak zaman
penonjolannya hinggalah ke hari ini dari kalangan umat Islam yang setiap hari
berkali-kali mengucapkan dua kalimah syahadah. Sesungguhnya ini adalah sesuatu
yang amat memalukan!
Buku Fususul
Hikam.
Di dalam bukunya Fususul Hikam yang
merupakan penamat karya-karyanya dan penghimpun seluruh aqidah kepercayaannya,
Ibnu Arabi merakamkan di dalam kata-kata pendahuluannya sebagai
berikut:
Amma Ba’du, Sesungguhnya aku telah
melihat Rasulullah s.a.w berwajah gembira. Aku mimpikannya pada sepuluh terakhir
bulan Muharram tahun 627 di Mahrusah, Damsyik, dan di tangannya ada sebuah
kitab. Baginda berkata: “Ini ialah kitab Fususul Hikam. Ambillah dan
terbitkanlah kepada orang ramai supaya mereka manfaatkannya.” Aku menjawab:
“Kami dengar dan kami patuh kepada Allah dan rasul-Nya serta ulil amri dari
kalangan kami seperti mana yang diperintahkan kepada kami.”
Kemudian Ibnu Arabi berkata lagi, “Lalu
aku laksanakan harapan itu, aku tuluskan niat dan aku betulkan tekad dan tujuan
untuk menonjolkan kitab ini seperti mana yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w
tanpa tambahan dan kekurangan.” (Fususul Hikam, halaman 47, Cetakan
Beirut).
Di halaman lain selepas menyebut
maudu’–maudu’ kitab itu, Ibnu Arabi berkata: “Aku berpada menyebut hikmah di
dalam kitab ini mengikut yang telah sabith di dalam Ummul Kitab
(al-Qur'an–penulis). Aku mengikuti mana yang telah digariskan kepadaku dan aku
berhenti setakat mana yang telah ditetapkan kepadaku. Andainya aku mahu
menambahkan lebih dari itu nescaya aku tidak bermaya melakukannya kerana hadhrat
menahanku berbuat demikian.” (Fususul Hikam, halaman 58)
Di dalam bab “فص حكمة علوية في كلمة
موسوية” (Permata Hikmah
Tertinggi Pada Kata-Kata Nabi Musa), Ibnu Arabi berkata: “Insya Allah, aku akan
menyebutkan sebahagian darinya di dalam kitab ini mengikut sekadar perintah
Ilahi yang terlontar di dalam hatiku. Ia adalah yang pertama sekali di
pertuturkan kepada ku di dalam bab ini.” (Fususul Hikam, halaman
58)
Petikan-petikan dari Muqadimmah buku
“Fususul Hikam” ini, juga dari celah-celah lembaran yang lain, menyarankan
kepada kita ketegasan Ibnu Arabi yang mendakwa bahawa beliau telah menaqal
secara langsung dari Allah bahkan secara mulut, terus dari Luh Mahfuz dan dari
Rasulullah s.a.w yang menyuruhnya, di dalam mimpi yang didakwanya itu, supaya
menerbitkan buku tersebut kepada orang ramai.
Antara Isi Kandungan Fususul
Hikam.
Seperti mana yang telah disebutkan, buku
“Fususul Hikam” merupakan himpunan seluruh aqidah kepercayaan Ibnu Arabi. Ia
menyentuh hal-hal mengenai Allah, agama-agamanya, hidayah serta nur yang
diperolehi oleh Ibnu Arabi secara langsung dari sumbernya yang asal menurut
dakwaannya. Di bawah ini diperturunkan sebahagian dari dakwaan-dakwaannya yang
terkandung di dalam bukunya itu.
Ibnu Arabi mendakwa bahawa kaum Nabi Nuh
a.s. telah memberikan jawapan yang betul dan benar kepada Nabi Nuh apabila
mereka mengatakan Nabi Nuh a.s. telah memperdayakan mereka, lalu mereka
memperdayanya balik, dan bahawa pegangan mereka kepada berhala–berhala sembahan
mereka itu adalah pegangan yang hak mahu di hapuskan oleh Nabi Nuh a.s! Di
antara ungkapan Ibnu Arabi mengenai hal ini ialah:
“Orang yang berilmu mengenai Allah tahu
apa yang diisyaratkan Nabi Nuh a.s. mengenai hak-hak kaumnya dengan memuji
mereka melalui kata-kata celaan ke atas mereka. Nabi Nuh a.s. tahu bahawa mereka
tidak menyahut dakwahnya disebabkan mengandungi Furqan (pemisah di antara haq
dan batil) sedangkan perintah itu ialah al-Qur'an bukan Furqan. Barang siapa
yang telah ditegakkan dengan al-Qur'an tentunya ia tidak mendengar kepada
Furqan, walaupun Furqan itu terdapat di dalam al-Qur'an. Nabi Nuh a.s. menyeru
mereka dengan tujuan untuk mengumpulkan mereka bukan untuk mendedahkan kesalahan
mereka, dan mereka memahaminya. Kerana itu mereka meletakkan jari di telinga
masing-masing dan menutup kepala mereka dengan kain. Semua ini merupakan
gambaran perlindungan yang diserukan Nabi Nuh a.s. kepada kaum nya, dan mereka
telah menjawab seruannya itu dengan perbuatan bukan dengan lafaz Labaik (Ya!
Kami menyahut seruan mu! – penulis).
“Nabi Nuh a.s. berkata di dalam pesanan
hikmatnya kepada kaumnya: “يُرْسِلِ السَّمَاء عَلَيْكُم مِّدْرَاراً” iaitu “Dia mengutuskan langit kepada kamu dengan makrifat
makrifat aqliah di dalam pengertian dan pengamatan.” “وَيُمْدِدْكُمْ
بِأَمْوَالٍ” iaitu “Dia
membekalkan kamu dengan apa yang mencorakkan kamu kepadaNya.” Barang siapa
berkhayal telah melihat-Nya, ia sebenarnya tidak tahu. Adapun siapa di antara
kamu yang tahu ia telah melihat dirinys sendiri, maka ia itulah yang mengetahui
atau yang arif.” (Fususul Hikam, halaman 71).
Di sini ternyata Ibnu Arabi secara berani
mentafsirkan … مِّدْرَاراً… yang bererti hujan
dan kesuburan yang merupakan hasil amalan soleh, ketaqwaan, keimanan dan
istighfar itu sebagai makrifat, aqliah, dan mentafsirkan “أَمْوَالٍ” bererti iaitu harta benda sebagai sesuatu yang mencederungkan
kaum Nabi Nuh a.s. kepadanya, lalu mereka dapat melihat bentuk mereka padanya!
Inilah konsep Wahdatul Wujud. Kerana itulah kemudian Ibnu Arabi berkata “Maka
barangsiapa di antara kamu berkhayal telah melihatnya, ia sebenarnya tidak tahu.
Adapun sesiapa di antara kamu yang telah melihat dirinya sendiri, maka ia itulah
yang mengetahui atau yang arif!”
Kemudian Ibnu Arabi berkata
lagi mengenai firman Allah “وَمَكَرُوا مَكْراً كُبَّاراً” (Dan mereka telah
menipu daya tipuan yang besar”). Ini adalah sesuatu penipuan terhadap pihak yang
didakwah. Nabi Nuh a.s. berkata: “Aku menyeru kepada Allah, ini adalah suatu
tipu daya dalam keasliannya. Lalu mereka menjawap Nabi Nuh a.s. dengan suatu
tipu daya juga seperti mana ia menyeru mereka.” (Fususul Hikam, halaman
72)
Di sini pembaca dapat menanggap bagaimana
Ibnu Arabi telah menjadikan dakwah kepada Allah itu suatu cara tipu daya
terhadap pihak-pihak yang didakwah, bahkan ianya tipudaya yang sejati! Kemudian
Ibnu Arabi menerangkan pula jenis tipu daya yang dibalas oleh kaum Nabi Nuh a.s.
kepada nabi mereka itu dengan berkata: “Lalu mereka pun berkata di dalam tipu
daya mereka: Janganlah kamu tinggalkan tuhan-tuhan kamu! Dan janganlah kamu
tinggalkan Wad, Suwa’ Yaghuts, Ya’uk, Nasr! Sesungguhnya jika mereka
meninggalkan tuhan-tuhan mereka bererti mereka jahil tentang al-Haq mengikut
kadar mereka meninggalkannya. Kerana sesungguhnya al-Haq itu ada wajahnya pada
semua ma’bud (yang disembah) yang diketahui oleh sesiapa yang mengetahui, dan
dijahili oleh sesiapa yang jahil ……. Tidak disembah selain Allah pada setiap
ma’bud.” (Fususul Hikam, halaman 73)
Ini menunjukkan Ibnu Arabi telah
menjadikan berhala-berhala yang disembah oleh kaum Nabi Nuh a.s. itu sebagai
tuhan-tuhan yang sebenar kerana menurutnya berhala–berhala itu merupakan satu
daripada wajah–wajah Allah Yang Maha Haq. Dengan itu mereka sebenarnya adalah
menyembah Allah!!
Menukar Pengertian Sebenar Ayat–Ayat
Al-Qur'an
Kelancangan Ibnu Arabi menukar pengertian
sebenar ayat–ayat al-Qur'an berterusan tanpa tanda–tanda yang menunjukkan bahawa
beliau melakukannya tanpa disengajakan. Mengenai firman Allah: “وَلَا تَزِدِ
الظَّالِمِينَ إِلَّا ضَلَالاً” (Janganlah engkau
tambahkan kepada orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan – Surah Nuh ayat
24), Ibnu Arabi mentafsirkannya sebagai “orang-orang yang zalim itu tidak
menambahkan bagi diri mereka melainkan kehairanan.” (Fususul Hikam halaman
73)
Pada ayat seterusnya “مِمَّا خَطِيئَاتِهِمْ
أُغْرِقُوا” (Surah Nuh, ayat
25, maksudnya lebih kurang: “Oleh kerana kesalahan–kesalahan mereka, lalu mereka
ditenggelamkan”), Ibnu Arabi mentafsirkannya: “Dari yang telah digariskan bagi
mereka, lalu kaum Nabi Nuh a.s. tenggelam di dalam samudera ilmu mengenai
Allah.” (Fususul Hikam, halaman 33)
“فَلَمْ يَجِدُوا لَهُم
مِّن دُونِ اللَّهِ أَنصَاراً” (Surah Nuh, Ayat
25) Maksudnya lebih kurang: “Maka mereka tidak memperolehi penolong-penolong
selain Allah.” Ibnu Arabi mentafsirkan: “Allah itulah penolong mereka, lalu
mereka musnah padanya selama-lama.” (Fususul Hikam, halaman
33).
Mengenai doa Nabi Nuh a.s. seperti mana
firman Allah: “إِنَّكَ إِن تَذَرْهُمْ يُضِلُّوا عِبَادَكَ” (Surah Nuh, Ayat 27). Maksudnya lebih kurang: “Sesungguhnya
Engkau, jika meningggalkan mereka, nescaya mereka menyesatkan hamba-hamba Mu…….”
Ibnu Arabi mentafsirkannya: “Jika engkau tinggalkan mereka, nescaya mereka
membingungkan hamba-hamba Mu dan mengeluarkan mereka dari keadaan ‘Ubudiah
kepada keadaan berada di tengah-tengah rahsia Rububiah, lalu mereka melihat diri
mereka sendiri sebagai tuhan-tuhan selepas menjadi sebagai hamba-hamba. Dengan
itu mereka ialah hamba-hamba dan juga tuhan-tuhan. (Fususul Hikam, halaman
74)
Tafsiran Ibnu Arabi ini semakin
memperlihatkan betapa jauhnya kesesatan dan kefasikan beliau kerana
menjadikannya kesesatan kaum Nabi Nuh a.s. itu sebagai kebingungan sahaja, sebab
mereka sebenarnya, menurut dakwaan Ibnu Arabi, mengetahui rahsia-rahsia
ketuhanan dan bahawa setiap yang wujud itu ialah Allah, dan dengan itu mereka
sendiri menjadi tuhan-tuhan!!
Ayat terakhir surah Nuh
iaitu:
“رَبِّ اغْفِرْ لِي
وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِناً وَلِلْمُؤْمِنِينَ
وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَاراً” .
(Surah Nuh Ayat 28)
Maksudnya lebih kurang: “Wahai Tuhanku!
Ampunilah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku dan bagi sesiapa yang memasuki
rumahku sebagai orang mukmin, dan bagi orang mukmin lelaki dan perempuan, dan
janganlah engkau tambahkan kepada orang-orang yang zalim itu kecuali
kebinasaan.” Ibnu Arabi telah mentafsirkannya dengan berkata: “Ianya kata-kata
Nabi Nuh a.s. selebihnya yang bererti: “Wahai tuhanku! Lindungilah aku, dan bagi
akal dan tabiatku, bagi hatiku, bagi akal, bagi diri dan jiwa, dan janganlah
engkau tambahkan kepada ahli-ahli ghaib itu melainkan kebinasaan sebab mereka
tidak mengenal diri-diri mereka kerana penyaksian mereka terhadap wajah al-Haq
di depan mereka.” Kemudian Ibnu Arabi berkata pula selepas itu, “Barang siapa
mahu mengetahui rahsia-rahsia Nabi Nuh a.s., maka ia hendaklah menaiki bahtera
Nabi Nuh. Bagi kami ianya berada di tanah rendah Maushul, dan Allah mengatakan
yang benar.” (Fususul Hikam, Ayat 210-211)
Orang Kafir Dikatakan
Beriman
Untuk mendedahkan lagi kemungkarannya,
Ibnu Arabi mengakui pula kebenaran kaum Nabi Nuh a.s. yang sesat lagi berdosa
itu, bahkan beliau menganggapkan semua orang kafir di muka bumi sebagai
orang-orang yang beriman dan mentauhidkan Allah, juga sebagai golongan ‘arifin
yang berhubungan secara langsung dengan Allah. Sebaliknya pula beliau mendakwa
orang-orang mukmin itu hanya beriman kepada sebahagian kebenaran sahaja dan
kufur pada bahagian-bahagian yang lain. Ibnu Arabi juga tidak melupakan Firaun
yang dikenali oleh dunia sebelum Ibnu Arabi sebagai manusia paling kafir dan
paling zalim, tetapi Ibnu Arabi memasukannya di dalam golongan orang-orang
mukmin yang mentauhidkan Allah serta memperolehi syurga. Mengenai hal ini Ibnu
Arabi berkata antara lain:
“Oleh kerana Firaun memegang jawatan
pemerintah maka dialah pemilik waktu. Dia seorang khalifah dengan kekuatan mata
pedang walaupun ia jahat mengikut kebiasaan undang-undang, kerana itu ia
berkata: “Aku tuhan kamu yang tertinggi.” Andainya segala-gala itu merupakan
tuhan-tuhan berdasarkan kepada sesuatu, tetapi aku adalah tuhan kamu yang
tertinggi dari kalangan mereka, kerana pada lahirnya aku telah memberinya kuasa
pemerintahan ke atas kamu, dan apabila ahli-ahli sihir mengetahui kebenarannya
di dalam kata-katanya itu dan mereka tidak mengingkarinya bahkan menyetujuinya
dengan berkata: “Sesungguhnya engkau memerintah kehidupan dunia ini, maka
hukumlah apa yang engkau mahu hukumkan! Kerajaan itu kepunyaan mu” , maka
betullah kata-kata itu: “Aku ialah tuhan kamu yang tertinggi.” (Fususul
Hikam,halaman 210-211).
Kata-kata Ibnu Arabi ini setara dengan
kata-kata al-Hallaj mengenai Firaun seperti mana yang telah disebutkan di dalam
siri yang terdahulu. Ini membuktikan bahawa aqidah yang didakwakan oleh golongan
bertasawuf itu adalah sama saja. Selain dari itu, seperkara lagi yang harus
disedari pembaca ialah tentang keceluparan Ibnu Arabi menyebut bahawa Firaun itu
khalifah dengan kekuatan mata pedang. Beliau telah menqiaskan Firaun sebagai
“Khalifah” dengan lafaz khalifah di dalam firman Allah kepada Nabi Daud a.s.:
“يَا
دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ” (Surah Shad, Ayat 26) Maksudnya lebih kurang: “Wahai Daud!
Sesungguhnya kami telah menjadikan engkau khalifah di muka bumi.”
Sedangkan Khalifah Nabi Daud a.s. itu
ialah khalifah kenabian dari kurniaan Allah, sementara Firaun ialah seorang raja
yang terkenal zalim dan jahat di dalam sejarah pemerintahan negeri Mesir! Di
samping itu Ibnu Arabi telah melebihkan syariat Nabi Musa a.s. itu sebagai
“uruf” iaitu apa yang diketahui oleh Nabi Musa a.s. sahaja, tidak lebih dari
itu. Kerana itulah sesetengah golongan bertasawuf menuduh Nabi Musa a.s.
bersifat jahil, sebaliknya menganggapkan Firaun sebagai berilmu dan
bermakrifat!
Berdasarkan kepada aqidah yang batil itu
jugalah Ibnu Arabi membenari sikap as-Samiri dan tindakannya membuat patung anak
lembu yang telah mempersonakan Bani Israel sehingga mereka menyembahnya sebagai
ganti menyembah Allah! Ibnu Arabi telah menyalahkan Nabi Harun a.s. kerana
dikatakan tidak mengenal al-Haq dan mengingkari perbuatan Bani Israel itu. Ibnu
Arabi mendakwa bahawa Nabi Musa a.s. telah mengenal al-Haq dan mengancam
as-Samiri kerana membataskan tuhan hanya kepada satu benda sahaja, Sedangkan ain
sesuatu itu ialah ain tuhan itu sendiri, iaitulah Ain al-Haq! Mengenai ini Ibnu
Arabi menegaskan:
“Kemudian Harun telah berkata kepada Nabi
Musa a.s.: Sesungguhnya aku takut engkau akan berkata kepada aku: Engkau telah
memecahbelahkan Bani Israel (seperti mana firman Allah di dalam surah Thoha,
ayat 94 -penulis) dan engkau menjadikan aku sebagai penyebab pecah belah mereka.
Sebenarnya penyembahan terhadap patung anak lembu itulah yang telah
memecahbelahkan mereka. Di antara mereka ada yang menyembahnya mengikuti
perbuatan as-Samiri dan menirunya. Ada yang tidak menyembahnya sehingga Nabi
Musa a.s. datang semula kepada mereka dan mereka menanyakannya mengenai perkara
itu. Harun a.s takut pecah belah mereka dikatakan berpunca darinya. Nabi Musa
a.s. lebih mengetahui perkara itu daripada Harun, kerana tahu apa yang disembah
oleh penyembah-penyembah patung anak lembu itu. Sebab menurut pengetahuannya,
Allah telah memerintahkan supaya tidak disembah melainkan Dia… Allah tidak
memerintahkan dengan sesuatu melainkan ianya berlaku… kecaman Nabi Musa a.s. ke
atas saudaranya Harun itu ialah kerana pengingkaran Harun terhadap perbuatan
Bani Israel menyembah patung anak lembu dan kerana kekurangan pengetahuannya.
Sesungguhnya orang yang arif itu ialah siapa yang melihat al-Haq pada segala
sesuatu, bahkan melihatnya pada ain setiap sesuatu.” (Fususul Hikam, halaman
192).
Di sini jelas kepada para pembaca bahawa
Ibnu Arabi mendakwa Nabi Musa a.s. mengetahui penyembah-penyembah patung anak
lembu itu sebenarnya menyembah Allah kerana Allah telah berfirman: “وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ
تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ” (Surah Al-Isra’,
Ayat 23) Maksudnya lebih kurang: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan jangan kamu
menyembah melainkan Dia.” Ibnu Arabi telah menjadikan perintah ini sebagai suatu
perintah menyembah seluruh alam buana mengikut yang telah ditetapkan, dan bahawa
Allah tidak memerintahkan dengan sesuatu melainkan ianya tetap berlaku. Menurut
Ibnu Arabi, ini bererti bahawa setiap ma’bud (yang disembah) di muka bumi ialah
Allah, dan manusia tidak menyembah sesuatu seperti batu atau sebagainya
melainkan ia menyembah Allah dengan berdasarkan kepada lafaz “qada” yang bererti
“telah memerintahkan” yang mana ini adalah hukum syarak!
Ibnu Arabi mengakhiri ungkapannya tadi
dengan menyebut: “Orang yang arif ialah yang melihat al-Haq pada segala sesuatu
bahkan melihatnya pada ain setiap sesuatu.” Inilah kemuncak aqidah tasawuf.
Istilah “al-Haq” menurut dakwaan Ibnu Arabi dan konco-konconya ialah Allah
sendiri!
Ibnu Arabi telah menghuraikan aqidahnya
yang salah itu dengan menyelewengkan maksud firman Allah Ta’ala: “فَمَا خَطْبُكَ يَا
سَامِرِيُّ” (Surah Thoha, 95)
Maksudnya lebih kurang: “Bagaimana halmu, wahai Samiri?” Menurut Ibnu Arabi erti
ayat ini ialah mengapa engkau khususkan anak lembu saja sebagai tuhan, sedangkan
aqidah ini menganjurkan bahawa segala-gala itu ialah Allah? Kerana itulah Nabi
Musa a.s. membakar patung anak lembu itu agar gambaran tuhan tidak terbatas pada
satu benda sahaja! Nabi Musa a.s. telah berkata kepadanya: “وَانظُرْ إِلَى
إِلَهِكَ” (Surah Thoha, ayat
97) Maksudnya lebih kurang: “Dan lihatlah kepada tuhanmu!” Nabi Musa a.s.
menamakan patung anak lembu itu tuhan untuk menyedarkan as-Samiri dengan tujuan
mengajarnya bahawa patung anak lembu itu ialah sebahagian dari gambaran-gambaran
nyata Ilahi.” (Fususul Hikam, halaman 192)
Selepas memberikan tafsiran yang salah
lagi menyesatkan mengenai cerita Nabi Musa a.s. dengan saudaranya Harun dan
as-Samiri dengan patung anak lembu ciptaannya itu, Ibnu Arabi menyentuh pula
perbuatan dan amalan kaum musyrikin Quraisy yang menyembah berhala dan
patung-patung di Kota Mekah. Orang-orang kafir Quraisy itu telah memberi alasan
terhadap perbuatan mereka tersebut seperti mana yang difirmankan oleh Allah:
“مَا
نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى” (Surah az-Zumar, Ayat 3) Maksudnya lebih kurang: “Kami tidak
menyembahnya melainkan supaya menghampirkan kami kepada Allah dengan
sehampir-hampirnya.” Ibnu Arabi mendakwa kaum musyrikin Quraisy itu tidak
mengingkari Allah, sebaliknya mengkagumi-Nya. Kerana mereka berdiri tegak
bersama-sama dengan gambaran-gambaran dan rupa-rupa bentuk yang mereka namakan
tuhan-tuhan. Beliau juga mendakwa Rasulullah s.a.w datang menyeru kaum musyrikin
Quraisy itu menyembah tuhan yang dikenali dengan sifat-sifatnya sahaja, bukan
yang boleh disaksikan dengan mata kepala! Kata Ibnu Arabi: “Dia (iaitu
Rasulullah s.a.w) telah menyeru supaya disembah tuhan yang menjadi tumpuan
segala permohonan dan yang diketahui secara ringkas, tidak boleh disaksikan dan
tidak ditanggap pandangan. Ia halus dan mengalir pada ain segala benda, tidak
dapat ditanggap penglihatan. Ianya maha halus, lagi maha mengetahui. Pengetahuan
itu adalah citarasa, dan citarasa itu ialah Tajalli (keserlahan), dan tajalli
dalam rupa-rupa bentuk itu adalah suatu kemestian. Siapa yang melihatnya mesti
menyembahnya dengan sepenuh keberahian, jika anda faham ………..” Kemudian dengan
mengejek mereka yang tidak memahami kata-katanya itu Ibnu Arabi berkata: “Kepada
Allah segala tujuan.” (Fususul Hikam, halaman 192)
Seksaan
Neraka Suatu Kenikmatan!
Setiap orang
yang beriman tentu takutkan seksaan api neraka dan merasa gerun mendengar
mengenainya. Tetapi ternyata ianya tidak mendatangkan sebarang kesan kepada Ibnu
Arabi yang bukan sahaja tidak mengendahkannya, sebaliknya menganggapnya suatu
kenikmatan yang disediakan oleh Allah kepada mereka setaraf dengan kenikmatan
syurga!! Api neraka itu adalah sebagai kulit yang menyembunyikannya, di
belakangnya kenikmatan yang berkekalan bagi ahli neraka (Fususul Hikam, halaman
94).
Tetapi Ibnu
Arabi juga ada menyebut,” Di antara hamba-hamba Allah ada yang mengalami
kepedihan-kepedihan di dalam kehidupan yang lain di tempat yang dinamakan Neraka
Jahanam. Namun begitu tiada seorang pun di kalangan ahli ilmu yang mengetahui
perkara tersebut dapat mempastikan hamba-hamba Allah itu tidak mengalami
kenikmatan yang di khususkan kepada ahli neraka, samada dengan kehilangan
kepedihan yang mereka alami yang diangkat dari mereka, dan dengan itu kenikmatan
mereka ialah kerehatan dari merasai kepedihan itu, atau kenikmatan itu suatu
tambahan yang berasingan seperti nikmat ahli syurga. (Fususul Hikam, halaman
114)
Bagi Ibnu
Arabi, api neraka itu adalah sejuk dan selamat bagi penghuni-penghuninya persis
seperti api besar yang dinyalakan oleh Namrud untuk membakar Nabi Ibrahim a.s,
tetapi menjadi sejuk dan selamat bagi Nabi Ibrahim a.s. Mengenai hal ini Ibnu
Arabi menegaskan: “Adapun ahli-ahli neraka itu, maka nasib mereka adalah
kenikmatan tetapi di dalam api neraka. Kerana tentunya api neraka itu selepas
tamat tempoh azab seksanya, ia menjadi sejuk dan selamat bagi sesiapa yang
berada di dalamnya. Inilah kenikmatan mereka, iaitu kenikmatan selepas
menyempurnakan hak-hak. Ahli neraka itu menghayati kenikmatan yang dirasai Nabi
Ibrahim Khalilullah ketika dicampakkan ke dalam api yang sedang marak menyala.
Ketika melihatnya, Nabi Ibrahim a.s. merasa terseksa berdasarkan pengetahuannya
bahawa api itu suatu rupa bentuk yang menyakitkan bagi sesiapa saja yang
mendekatinya dari kalangan yang hidup.” (Fususul Hikam, halaman
161)
Aqidah
Falsafah
Ibnu Arabi
telah mengukuhkan aqidahnya yang batil ini dengan dalil-dalil dan hujah-hujah
yang ternyata mudah dipatahkan. Tetapi beliau dan kuncu-kuncunya sering
mengelirukan orang ramai dengan mendakwa percakapan mereka tidak dapat difahami
kecuali oleh sesiapa yang mempunyai perasaan dan citarasa yang sama serta
mengenal makrifat mereka. Sedangkan apa yang diperkatakan oleh Ibnu Arabi dan
kuncu-kuncunya itu tidak lebih dari aqidah falsafah yang terdapat di dalam
berpuluh-puluh buah buku falsafah. Seperti mana yang diketahui umum, aqidah
falsafah itu mengandungi ajaran-ajaran yang boleh mengubah aqidah sebenar kaum
muslimin mengenai Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bersifat sempurna di dalam
segala-galanya yang tidak diserupai oleh sesiapa dari kalangan makhluk-Nya,
bahkan Dialah Allah Yang Maha Esa Lagi Tunggal, yang menjadi tumpuan segala
permohonan, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tiada suatu pun yang
setanding dengan–Nya!
Sewaktu
menjelaskan aqidahnya yang salah itu, Ibnu Arabi telah menggunakan sepotong
hadith maudu’ “من
عرف نفسه فقد عرف ربه” (barang siapa telah mengenal dirinya maka sesungguhnya ia telah
mengenal tuhannya), dengan berkata: “Nabi a.s. telah bersabda: “Barang siapa
mengenal dirinya, maka ia mengenal tuhannya! Baginda adalah orang yang paling
mengetahui tentang Allah. Para hukama’ dan Abu Hamid telah mendakwa mengenai
tuhan tanpa melihat kepada alam ini adalah salah. Ya, anda telah mengenal zat
Qadim yang azali. Anda tidak mengenal ianya tuhan melainkan sehingga dikenali
yang dituhankan. Itulah dalilnya. Kemudian selepas ini, di dalam hal yang kedua,
anda dikasyafkan bahawa al-Haq sendiri itulah yang menjadi dalil bagi dirinya
dan ketuhanannya. Alam ini hanyalah keserlahannya dalam bentuk-bentuk ain yang
tetap yang mustahil berlaku kewujudannya tanpa keserlahannya itu. Keserlahannya
berbagai-bagai dan berupa-rupa mengikut hakikat ain-ain tersebut dan keadaannya.
Ini selepas kita tahu bahawasanya ia adalah tuhan bagi kita. Kemudian datang
pula kasyaf yang lain yang melahirkan kepada anda bentuk-bentuk rupa kita
pada-Nya. Maka lahirlah kita sesetengah kita pada pandangan setengah yang lain
di dalam al-Haq, dan dengan itu kenallah kita satu sama lain.” (Fususul Hikam,
halaman 81-82)
Di sini Ibnu
Arabi telah menyangkal Imam al-Ghazali dan sesetengah ahli tasawwuf yang lain
yang mengatakan bahawa mengenal al-Haq itu tidak disyaratkan memandang kepada
alam buana, bahkan ia datang secara langsung melalui kasyaf tanpa bergantung
kepada alam buana yang kelihatan di depan mata sebagai bukti Allah Subhanahu Wa
Ta’ala penciptanya. Ibnu Arabi mengatakan cara ini hanya untuk mengenal zat
Qadim yang azali sahaja. Untuk mengenal al-Haq, perlulah melalui perbuatan
memandang alam buana, agar anda mengetahui apa yang anda saksikan itu ialah
al-Haq. Bentuk-bentuk rupa yang disaksikan di alam buana itulah sebenarnya
al-Haq atau Allah, dan itulah buktinya, menurut Ibnu Arabi. Kemudian timbullah
kasyaf yang lain di mana manusia itu sendiri merasakan dirinya sebagai satu
daripada bentuk-bentuk rupa al-Haq. Pada ketika itu ia mengenal dirinya dan
seterusnya mengenal tuhannya. Ia tahu dirinya itulah Allah dan seterusnya
mengetahui Allah itu ialah setiap yang wujud!! Demikian kesimpulan Ibnu
Arabi.
Selain dari
itu Ibnu Arabi juga telah menjadikan kambing kibas yang diturunkan Allah untuk
disembelih Nabi Ibrahim a.s. menggantikan anaknya Nabi Ismail a.s. itu sebagai
Allah. (Fususul Hikam, halaman 84) Ini berdasarkan kepada aqidah wahdatul wujud
yang batil itu. Bahkan ketelanjuran dan kebiadapan Ibnu Arabi begitu menjolok
sehingga beliau tidak teragak-agak mendakwa bahawa al-Haq tidak dapat disaksikan
dengan sepenuhnya dan tidak diketahui dengan sepenuhnya makrifat kecuali pada
diri wanita ketika dalam kelazatan dan syahwat!! (Fususul Hikam, halaman
217-218)
Pendedahan
mengenai aqidah Ibnu Arabi yang salah ini dibuat memandangkan kuncu-kuncunya dan
penyokong-penyokongnya masih terus terdapat pada masa kini dengan menganggapkan
penyeru-penyerunya sebagai wali-wali dan mengkafirkan sesiapa yang menentangnya.
Adalah dibimbangkan mereka ini berjaya menyusup masuk di pusat-pusat yang
bertanggungjawab dengan dakwah Islamiah di sesetengah negara Islam dan mencemari
fikiran orang ramai dengan aqidah yang batil itu tanpa
disedari.
BAB
9: Cara Ajaran Kebatinan Disampaikan
Cara Ajaran
Kebatinan Disampaikan
Menjelang
abad ke-tiga hijriyyah, golongan bertasawwuf mula meluahkan secara terus terang
sebahagian daripada ilmu kebatinan mereka. Hal ini telah menimbulkan gejala
kecam-mengecam sesama mereka sendiri, umpamanya al-Junaid menyebut mengenai
as-Syibli: “Kami memperindahkan ilmu ini dengan secukupnya, kemudian
menyembunyikannya di kolong-kolong, tetapi engkau datang dan mendedahkannya
kepada umum!” As-Syibli lantas menjawab: “Aku berkata dan aku mendengar. Adakah
selainku di dunia dan akhirat?” (At-Ta’arruf ‘Ala Mazhabi at-Tasawwuf, halaman
145). Kata-kata as-Syibli ini merupakan perintis jalan ke arah kemunculan konsep
wahdatul wujud.
Selepas
itu sekumpulan orang-orang yang bertasawwuf mula berterus-terang mengenai
sebahagian daripada ilmu kebatinan yang pada hakikatnya ialah konsep al-hulul
dan fana’ di dalam zat tuhan yang menjadi ‘aqidah hinduisma brahmanisma dan
konsep wahdatul wujud. Ini berlaku pada penghujung abad ke-tiga dan abad
ke-empat hijriyyah. Ungkapan-ungkapan yang lahir dari mulut golongan ini
mengandungi aqidah tersembunyi yang mereka dakwakan sebagai paling sempurna dan
paling tinggi di dalam peribadatan Islam:
1. Abu Nasr
as-Siraj at-Thusi penyusun buku Alluma’ fi at-Tasawwuf menyebut Abi Hamzah
as-Sufi telah masuk ke dalam rumah al-Harits al-Muhasabi, lalu kambing Harits
pun mengembek. Abu Hamzah tersentak dan berkata: “Ya! Aku menyahut seruanMu,
wahai Tuhanku!! Al-Harits al-Muhasabi segera mengecam perbuatannya itu, tetapi
Abu Hamzah menjawab: “Kecamanmu ke atasku itu sama seperti keadaan murid-murid
yang baru mula belajar.” (Alluma’ fi at-Tasawwuf, halaman 495), maksudnya ialah
mereka yang belum lagi tiba ke tahap meyakini wahdatul
wujud.
2. Abu
Husain al-Fauri sewaktu mendengar seekor anjing menyalak telah menjawab: “Ya!
Aku menyahut seruanMu! Dan berbahagialah Engkau!” (Alluma’ fi at-Tasawwuf,
halaman 492)
3. As-Syibli
juga telah berkata kepada salah seorang yang menziarahinya, ketika orang itu
berangkat pulang, “Aku bersama-samamu di mana juga kamu berada. Kamu di bawah
ri’ayahku dan naunganku.” (Alluma’ fi at-Tasawwuf, halaman
478)
4. Yang
paling berani dari kalangan yang berterus-terang meluahkan ilmu kebatinan ini
ialah al-Hallaj. Di sini ada baiknya dibentangkan data ringkas mengenai dirinya
bagi pengetahuan para pembaca yang mungkin kurang
mengenalinya;
Namanya
ialah Husain bin Mansur, lebih terkenal dengan panggilan al-Hallaj. Beliau hidup
pada abad ke-tiga hijriyyah hingga menjelang abad ke-empat. Beliau berasal dari
Baida’- sebuah bandar di negeri Parsi (Iran) dan dibesarkan di Wasith, negeri
Iraq. Beliau bersahabat dengan al-Junaid yang dianggap penghulu golongan sufi
dan Abu Hasan an-Nuri. Beliau telah dihukum bunuh dan disalibkan di kota Baghdad
pada hari Selasa, 6 haribulan Zulqaedah 309 hijriyyah, setelah mengumumkan
aqidahnya yang bathil itu. Rata-rata golongan bertasawwuf merestui pegangan
Hallaj walaupun sesetengahnya menafikannya selepas al-Hallaj dibunuh kerana mahu
menyelamatkan nyawa masing-masing. Namun demikian pendapat dan kata-kata
al-Hallaj sering terungkap di dalam banyak karya tasawwuf terdahulu tanpa
disebutkan namanya. Umpamanya ada yang menyebut: “Salah seorang pembesar sufi
telah menegaskan…” , maksudnya ialah al-Hallaj tanpa didedahkan namanya seperti
yang dilakukan oleh dua orang sufi terkemuka pada abad ke-empat hijriyyah di
dalam karya-karya mereka iaitu Abu Bakar Muhammad al-Kalabazi yang meninggal
dunia pada tahun 380 hijriyyah dan Abu Nasr as-Siraj at-Thusi yang meninggal
dunia pada tahun 378 hijriyyah. Sesetengah golongan sufi telah menyanjung Hallaj
sebegitu tinggi sehingga mereka pernah menamakannya “Al-Husain bin Mansur ‘Alim
Rabbani” seperti yang disebut oleh Muahammad bin Khafif (Thabaqat as-Sufiyyah,
halaman 308)
Pada
abad ke-lima hijriyyah, golongan bertasawwuf mula menggunakan nama Hallaj secara
terang-terangan ketika menyebut ajarannya dan hasil-hasil karyanya seperti
memperakui keutamaan dan keluasan ilmunya. Abu Hamid al-Ghazali, Ibnu ‘Arabi,
Abdul Ghaniy an-Nablusi dan semua ahli tasawwuf pada abad itu telah menyanjungi
Hallaj. Pada zaman moden ini pula telah diterbitkan sebuah buku berjudul
“Al-Hallaj Syahid At-Tasawwuf Al-Islami” (Hallaj Korban Syahid Tasawwuf Islam)
oleh Thaha Abdul Baqi Sarwar yang menyifatkan al-Hallaj sebagai penentang
kefasidan, reformis masyarakat dan pendakwah Islam yang menyeru manusia kembali
kepada ajaran Allah Ta’ala.
Di
sana memang terdapat ramai tokoh tasawwuf lain yang sebulu dengan aqidah Hallaj,
tetapi mereka menyembunyikannya. As-Syibli pernah berkata: “Aku dan al-Husain
bin Mansur menganut perkara yang sama. Cuma dia melahirkannya dan aku
menyembunyikannya.” (Al-Hallaj, karya Abdul Baqi Sarwar, halaman
104)
Di antara
ajaran kebatinan Hallaj yang terdapat di dalam bukunya at-Thawasiin
ialah:
1) Makhluk
yang paling beribadah ialah Iblis dan Rasulullah s.a.w. Iblis telah diperintah
sujud kepada Nabi Adam a.s, tetapi ia enggan. Yang mendorongnya bersikap
demikian ialah kehendak dan paksaan tuhan ke atasnya, serta keyakinan bahawa
tiada yang wujud melainkan Dia. Kejauhannya dari tuhan dan kehampiran kepadanya
adalah sama sahaja, kerana tiada yang sebenar melainkan Allah. Di langit Iblis
menyeru malaikat kepada perkara-perkara yang baik, manakala di bumi ia menyeru
kepada perkara-perkara yang tidak baik. Sebenarnya Iblis hanya menjalankan tugas
mengikut kehendak (masyii’ah) tuhan! Sementara Rasulullah s.a.w telah diperintah
Allah di langit supaya memandangnya, tetapi baginda tidak berbuat demikian.
Kesimpulan ini dibuat oleh Hallaj berdasar kepada tafsirannya terhadap firman
Allah: “ما زاغ البصر وما طغي” (سورة النجم: اية 17). Maksudnya lebih kurang: “Tidak salah pandangan Muhammad dan
tidak pula melampauinya.” Ayat ini menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w telah
melihat Jibril dalam rupa bentuknya yang asal seperti mana yang diciptakan
Allah. Semasa memandang Jibril itu, pandangan Baginda s.a.w tidak menyimpang dan
tidak melewatinya. Tetapi Hallaj telah mentafsirkan ayat ini bahawa Baginda
s.a.w tidak memandang kepada Allah, kerana menurutnya Allah tidak mempunyai zat
tersendiri, sebaliknya zat Allah itu ialah zat yang terdapat pada segala yang
wujud!
Bukti
lain yang dikemukakan oleh Hallaj mengenai Rasulullah s.a.w sebagai makhluk yang
paling beribadah ialah kononnya Baginda s.a.w telah bersabda: اللهم بك اصول وبك اجول وبك اقول"“yang bermaksud: “Ya tuhanku! DenganMu aku menerkam, denganMu
aku berangkat dan denganMu aku berkata.” Sebenarnya ungkapan ini dari ciptaan
Hallaj sendiri yang diceduk dan diubah suai dari sepotong hadits riwayat Abu
Daud di dalam Sunannya dari Anas bin Malik. Lafaz asal hadits ini
ialah:
"كان رسول الله صلي الله عليه وسلم أذاغزا قال: اللهم انت عضدي ونصري. بك
اجول, وبك اصول وبك اقاتل".
Ertinya:
Apabila Rasulullah s.a.w berghuzwah, baginda bersabda: “Ya Tuhanku! Engkau
lenganku dan Engkau pembantuku, denganMu aku berangkat keluar, denganMu aku
menerkam dan denganMu aku berjuang!”
Maksud
Rasulullah s.a.w di sini ialah sama dengan ungkapan “لآ
حول ولا قوة الا بالله”. Tetapi Hallaj telah menyelewengkannya untuk disesuaikan dengan
akidahnya yang batil dengan mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda demikian
kerana Baginda yakin bahawa Dia itulah Dia, iaitu Dia ialah
Allah!
2) Berguru
kepada Iblis dan Fir’aun untuk mengumumkan akidahnya yang batil. Fenomena ini
beliau namakan “maqam al-futuwwah”. Menurut katanya, seperti yang terdapat di
dalam karyanya ‘at-Thawaasiin’, beliau telah berbincang dengan Iblis dan Fir’aun
mengenai ‘futuwwah’ iaitu keberanian memaparkan akidah kepercayaannya kepada
umum secara terus terang, dan Iblis telah menjawab: “Andainya aku sujud kepada
Adam nescaya gugurlah dariku nama al-futuwwah!” Fir’aun pula menjawab: “Andainya
aku menarik balik dakwaanku dan kata-kataku nescaya aku gugur dari persada
al-futuwwah!” Iblis berkata: “Aku lebih baik daripada Adam apabila mendapati
yang lain lebih baik daripadanya.”
Fir’aun
pula berkata: “Aku tidak tahu kamu mempunyai tuhan selainku” apabila mendapati
tiada sesiapa dari kalangan kaumnya yang boleh membezakan di antara yang haq
dengan yang batil. Aku pula berkata: “Andainya kamu tidak mengenalinya maka
kenalilah kesan-kesannya, dan aku itulah kesannya. Akulah al-Haq kerana aku
sentiasa kekal benar dengan al-Haq!! Sahabatku dan guruku ialah Iblis dan
Fir’aun. Iblis telah diancam dengan api neraka, tetapi dia tetap tidak berpatah
balik dari dakwaannya. Fir’aun pula telah ditenggelamkan di dalam lautan, tetapi
dia tetap tidak menarik balik dakwaannya dan tidak memperakui wasithah sama
sekali. Andainya aku dibunuh dan disalibkan atau dipotong kedua belah tangan dan
kedua belah kakiku, aku tetap tidak akan menarik balik dakwaanku.”
(At-Thawasiin, halaman 52)
Hallaj
sentiasa berusaha untuk mendapatkan sokongan dari golongan bertasawwuf yang lain
supaya mengikuti jejak langkahnya mengumumkan secara terus terang akidah
tasawwuf yang dipeloporinya itu. Di dalam ar-Risalatu al-Qusyairiyyah ada
disebutkan beliau telah menemui Ibrahim al-Khawwas dan bertanya: “Apakah yang
engkau buat di dalam pengembaraan dan penjelajahanmu di bumi-bumi yang kering
kontang itu?” Ibrahim al-Khawwas menjawab: “Aku sentiasa bertawakkal dan
sentiasa memperbetulkan diriku di dalam pengembaraanku itu.” Lalu Hallaj
berkata: “Engkau telah musnahkan usiamu di dalam kemakmuran batinmu. Di manakan
fana’ di dalam mentauhidkannya?”
Di
dalam Akhbaru al-Hallaj ada disebutkan bahawa pada suatu ketika Hallaj memasuki
sebuah masjid di kota Baghdad dan mendapati Junaid sedang berkhutbah di atas
mimbar. Junaid ialah penghulu golongan sufi pada masa itu tetapi Hallaj telah
menegurnya: “Wahai Abu al-Qasim! Sesungguhnya Allah tidak meredhai ilmu orang
alim sehinggalah ia menemuinya di dalam ilmunya itu. Andainya engkau berilmu,
maka berdirilah di tempatmu itu. Jika tidak, turunlah dari situ!” Junaid lantas
turun tanpa mengucapkan sepatah kata pun, dan telah membisu selama
sebulan!
Teguran
Hallaj itu merupakan suatu tamparan kepada Junaid dan suatu cabaran supaya
melahirkan kepada umum akidah kebatinan yang dipegangnya itu. Maksud dari
kata-katanya “andainya engkau berilmu, maka berdirilah di tempatmu itu” , ialah
jika Junaid telah benar-benar sampai kepada hakikat akidah tasawwuf maka
bolehlah ia meneruskan ucapannya di mimbar dan mengumumkan akidahnya itu! Di
sini Hallaj tidak mengecam Junaid kerana kesalahannya yang nyata itu, tetapi
mengecamnya kerana memaparkan ilmu-ilmu syariat kepada umum yang bertentangan
dengan akidah tasawwuf yang telah diketahui Junaid. Kerana itulah selepas
peristiwa tersebut Junaid telah menyembunyikan diri dari orang ramai dan tidak
bercakap-cakap dengan mereka selama satu bulan. Junaid tidak melahirkan kepada
umum apa yang telah dilahirkan oleh Hallaj, kerana dia menyedari akan akibatnya
yang buruk kelak.
Abu
Abdurrahman as-Salimi di dalam bukunya “Thabaqat as-Sufiyyah” telah menyebut
kata-kata Junaid kepada Syibli: “Jika engkau pulangkan perkaramu kepada Allah
nescaya engkau merasa lega.” Jawab Syibli; “Wahai Abu al-Qasim, andainya Allah
pulangkan kepadamu perkaramu nescaya engkau merasa lega.” Junaid pun berkata:
“Mata pedang Syibli mengalirkan darah.” (Thabaqat as-Sufiyyah, halaman
343)
Maksud
kata-kata Junaid ialah jika Syibli menyerah bulat kepada Allah tanpa berikhtiar
dan berusaha, nescaya Syibli akan merasa lega dan tenteram. Sementara maksud
ungkapan balas Syibli pula adalah lebih jelas dari ungkapan Junaid, kerana
itulah Junaid menjawab “mata pedang Syibli mengalir darah” (maksudnya, dengan
berterus terang tentang akidah kepercayaan itu bakal mendedahkan dirinya kepada
hukuman bunuh!!)
Sebagai
buktinya, ketika Hallaj diheret untuk dibunuh dan disalibkan, orang-orang
bertasawwuf telah dihimpunkan dan dipaksa menyumpah dan menyeranahnya. Di antara
yang dibawa ke perhimpunan itu ialah Syibli. Mereka telah menarik kain yang
terbalut di leher Syibli dan mengheretnya ke depan Hallaj supaya mengutuknya.
Apabila Syibli kelihatan enggan melakukannya, askar-askar yang berkawal
memintanya supaya menyuruhkan orang lain mewakilinya berbuat demikian. Syibli
pun menyuruh seorang wanita yang bertasawwuf supaya berkata kepada Hallaj,
“Sesungguhnya Allah telah mengamanahkan kepadamu satu daripada rahsia-rahsiaNya.
Tetapi engkau telah menyebarkannya. Oleh itu rasalah akibat perbuatanmu itu!!”
(Akhbar al-Hallaj)
Jalan Sampai
Ke Ilmu Kebatinan
Ramai
orang menyangka ilmu kebatinan itu hasil dari amalan soleh, ketakwaan dan
sentiasa bertasbih dan berzikir. Dengan berbuat demikian secara berterusan,
mereka menyangka telah mengikuti jejak langkah golongan sufi dan akan
memperolehi apa yang telah diperolehi golongan tersebut. Sedangkan pada
hakikatnya mereka tidak memperolehi sedikitpun apa yang mereka inginkan itu.
Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin ada menyebut perkara ini dengan
berkata: “Diceritakan bahawa pada suatu hari seorang saksi lelaki yang
berkedudukan dari kalangan orang-orang terkemuka penduduk Bastam yang sentiasa
mengikuti majlis ilmu Abu Yazid al-Bastami telah berkata kepada gurunya itu,”
Sejak tiga puluh tahun lalu, hamba sentiasa mengamalkan puasa dan tidak berbuka.
Hamba berjaga malam kerana beribadah dan tidak tidur. Tetapi hamba tidak
memperolehi sedikitpun ilmu yang tuan guru sebutkan itu. Sedangkan hamba
mempercayainya dan menyintainya.” Abu Yazid menjawab: “Andainya engkau berpuasa
300 tahun sekalipun dan engkau berjaga pada malam-malamnya dengan beribadat,
engkau tidak akan memperolehinya walau sebesar debu! Lelaki itu bertanya:
“Mengapa?” Jawab Abu Yazid: “Kerana engkau terhijab dengan dirimu.” Bertanya
lagi lelaki itu: “Adakah penawarnya?” Jawab Abu Yazid: “Ya.” Lelaki itu berkata:
“Sebutkanlah supaya hamba mengamalkannya.” Jawab Abu Yazid: “Engkau tidak akan
sanggup menerima.” Lelaki itu mendesak, “Sebutkanlah supaya hamba
mengamalkannya.” Jawab Abu Yazid: “Pergilah kepada tukang gunting. Cukur
kepalamu dan dagumu. Tanggalkan pakaianmu ini dan pakailah baju kubung.
Gantungkan di lehermu uncang berisi kacang kemudian himpunkan kanak-kanak di
sekelilingmu dan katakanlah kepada mereka, “Sesiapa yang menamparku satu kali
aku akan memberinya sebiji kacang.” Masuklah ke pasar dan kelilinglah
pasar-pasar semuanya di depan mata orang dan sesiapa yang mengenalimu dan engkau
dalam keadaan demikian. Lelaki itupun berkata: “Subhanallah! Tuan guru
mengatakan demikian kepada hamba.” Jawab Abu Yazid: “Ucapanmu Subhanallah itu
adalah suatu syirik.” Lelaki itu bertanya: “Mengapa pula?” Jawab Abu Yazid:
“Kerana engkau telah menyanjung dirimu dan mensucikan dirimu dari perbuatan
jahat dan tidak mensucikan tuhanmu.” Lelaki itu berkata: “Hamba tidak dapat
berbuat demikian. Tunjukkanlah kepada hamba amalan selain itu.” Jawab Abu Yazid:
“Mulakanlah dengan apa yang telah aku sebutkan itu dahulu.” Kata lelaki itu:
“Hamba tak berdaya melakukannya.” Jawab Abu Yazid: “Sudah aku katakan padamu.
Engkau tidak akan sanggup menerimanya.” (Ihya’ Ulumuddin, jilid 4 halaman
358)
Cerita ini
menunjukkan di sebalik amalan berpuasa sepanjang masa dan berjaga malam hari
kerana beribadat dengan harapan akan sampai kepada ilmu golongan bertasawwuf,
lelaki yang soleh itu telah tidak didatangi sebarang lintasan dan bisikan
mengenainya. Ia merasa hairan dan bingung dengan keadaannya itu lalu ia
mengadukan jalan kepada Abu Yazid yang terus menjawab, “Engkau tidak akan
memperolehinya walau sebesar debu.” Ini ialah kerana lelaki tersebut melakukan
semua ibadat itu dengan menganggapkan dirinya seorang abid kepada Allah,
sedangkan mengikut akidah golongan bertasawwuf, Allah itulah yang membangunkan
anda beribadat dan Dialah yang memilihkan ibadat untuk anda. Itulah iradatNya.
Anda tidak mempunyai sebarang iradat dengannya, sebaliknya pula anda hendaklah
percaya bahawa Allah telah membangunkan pemaksiat-pemaksiat melakukan
kemaksiatan, orang-orang kafir melakukan kekufuran dan iblis melakukan kegodaan!
Apabila lelaki itu menyebut “Subhanallah!” , Abu Yazid menegaskan sebutannya itu
suatu syirik! Apabila lelaki itu menanyakan sebabnya, Abu Yazid menjawab:
“Kerana engkau telah mensucikan dirimu dari perbuatan jahat dan engkau tidak
mensucikan Allah yang mengadakan kejahatan dan menghendakinya serta membangunkan
manusia melakukannya. Menurut akidah Abu Yazid al-Bastami, lelaki tersebut
menyanjung dirinya sendiri apabila ia enggan melakukan amalan yang Allah
lakukan, yang dikehendakinya dan yang disukainya!! Kerana itulah Abu Yazid
menyuruh lelaki itu melakukan perkara-perkara yang menyusahkannya jika ia mahu
sampai kepada hakikat tasawwuf. Dengan wasilah yang dianggap mujahadah itu, akan
tercapailah dengan sepenuh keyakinan ilmu kebatinan
tersebut!
Isu Fuqaha’
Dan Qadar
Tidak
syak lagi salah faham mengenai isu qada’ dan qadar telah menimbulkan banyak
angkara dan kekacauan di kalangan orang ramai. Puncanya ialah tidak dapat
membezakan di antara ilmu Allah yang azali dan segala ketetapan yang telah
dibuatnya mengikut ilmunya itu di alam buana ini serta Allah mengetahui apa yang
akan berlaku dan bagaimana ia berlaku, dengan ikhtiar serta pilihan dan kehendak
hamba-hambanya yang telah dijadikan oleh Allah sebagai asas dan dasar bagi
tanggungjawab serta hisab kelak. Hamba Allah mempunyai kemahuan tertentu di mana
ia melakukan perbuatan yang ia mahu tetapi bukan melakukannya kerana paksaan
dari Allah tanpa ia sendiri yang menghendakinya.
Ketaatan
dan kepatuhan kepada Allah adalah dengan taufik dan hidayah dari-Nya.
Kemaksiatan pula adalah dengan keizinan dan masyiah-Nya kerana tiada suatu yang
berlaku melainkan dengan masyiah-Nya atau kehendak-Nya belaka. Allah s.w.t
itulah yang berkuasa menghalang orang kafir dari berkufur dan orang jahat dari
melakukan kejahatan. Tetapi di sana ada ujian, ada ikhtiar dan pilihan, dan ada
tanggungjawab.
Gollongan
bertasawwuf tidak memahami akidah syar’i yang telah diterangkan. Allah di dalam
al-Quran dengan secukupnya dan yang telah dihuraikan Rasulullah s.a.w dengan
selengkapnya. Mereka menyangka kejahatan, maksiat dan kedurjanaan itu adalah
dikehendaki Allah kerana sukakannya, sedia menerimanya dan meredhainya. Mereka
tidak tahu semua perkara itu tunduk kepada kehendak dan masyiah Allah
semata-mata, tetapi bukan bererti pelakunya terpaksa melakukannya kerana Allah
menghendakinya melakukan demikian dan tidak berupaya menahan dan menghalang
dirinya dari melakukannya. Iradat Allah itu ialah iradat berlakunya sesuatu
perkara itu, dan masyiah-Nya ialah keizinan dan kebenaran berlakunya. Di sebalik
itu ada pula balasan kepada pelakunya di dunia dan di akhirat, ada celaan, ada
kutukan dan ada larangan supaya menjauhi kejahatan dan
maksiat.
Kerana
tidak memahami akidah syar’i inilah golongan bertasawwuf berpendapat perbuatan
orang-orang kafir dan orang-orang jahat secocok dengan kehendak dan kesukaan
Allah!! Demikianlah Hallaj mendakwa Iblis dan Firaun telah mengenal hakikat dan
kedua-duanya bertindak dengan perintah Allah! Kerana itulah Iblis enggan sujud
hormat kepada Nabi Adam a.s, dan Firaun enggan beriman kerana mendakwa dirinya
itulah tuhan dan seterusnya enggan berpatah balik dari dakwaannya
itu!!
Lebih
aneh lagi golongan bertasawwuf yang salah faham terhadap isu qada’ dan qadar
sehingga terseret kepada akidah yang batil itu telah mendakwa pula bahawa
fahaman mereka adalah hasil dari kasyaf dan “ilmu ladunni” serta limpahan
amalan, dan bahawa Allah s.w.t telah mewahyukan kepada mereka mengenainya!!
“Ilmu ladunni” yang mereka dakwakan itu adalah diceduk dari firman Allah Taala
mengenai Nabi Khaidir a.s iaitu: “وعلمناه من لدنا علما” (surah al-Kahfi ayat 65). Maksudnya lebih kurang: “…….. Dan
Kami ajarkannya ilmu dari sisi Kami.” Lafaz “لدنا” yang bererti “sisi Kami” itulah yang dijadikan istilah ilmu
ladunni oleh golongan bertasawwuf, yang mereka maksudkan sebagai penyingkapan
ilmu ghaib dan hakikat dunia dan akhirat kepada mereka!!
Ilmu
Kebatinan Syeikh An-Nablusi
Andainya
generasi bertasawwuf lama telah mentaqdiskan ilmu kebatinan sedemikian rupa
dengan menjadikan ilmu syariat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w
sebagai ilmu khusus untuk orang ramai dan ilmu kebatinan sebagai ilmu yang
khusus bagi golongan khawas atau golongan pilihan yang memperolehinya secara
langsung dari Allah melalui penyingkapan hijab kelalaian yang mereka dakwakan,
maka generasi bertasawwuf kebelakangan pula mengambil sikap yang lebih
keterlaluan dengan menjadikan ilmu syariat sebagai satu peringkat bagi ilmu
kebatinan serta dengan menegaskan bahawa barangsiapa berhenti setakat ilmu
syariat dan terikat dengan gambaran luarannya sahaja nescaya ia tidak akan
terselamat di akhirat, bahkan ia dianggap seorang yang lalai dari agama yang
dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Keadaannya sama dengan keadaan orang
kafir!!
Syeikh Abdul
Ghani an-Nablusi seorang pemuka tasawwuf telah berkata: “Setiap orang yang sibuk
dengan ilmu-ilmu lahiriyah dan tidak percaya di sebalik ilmu-ilmu feqah, hadits
dan tafsir yang dipelajarinya ada tersembunyi hakikat-hakikat dan ilmu-ilmu
kebatinan yang dibayangkan secara simbolik oleh tuhan di belakang ilmu-ilmu yang
nampak atau kelihatan itu, sedangkan yang tersembunyi itulah yang dimaksudkannya
kerana ianya penyelamat di sisi Allah, maka dia adalah seorang yang lalai
terhadap Allah dan jahil tentang agama yang dibawakan oleh Nabi Muhammad s.a.w,
serta termasuk di dalam firman Allah: “يعلمون ظاهرا من الحياة الدنيا وهم عن اللأخرة هم غافلون” (surah ar-Rum ayat 7), maksudnya lebih kurang; “Mereka
mengetahui yang nyata dari kehidupan duniawi dan tentang akhirat mereka lalai.”
(Buku al-Fathu ar-Rabbani wa al-Faidhu ar-Rahmani, halaman
133).
Kata-kata
Syeikh an-Nablusi menunjukkan ilmu-ilmu feqah, hadits dan tafsir itu adalah
ilmu-ilmu mengenai kehendak dunia nyata. Leka dengan ilmu-ilmu ini sehingga
lalai terhadap ilmu kebatinan bererti leka dengan ilmu-ilmu dunia dan
perhiasannya sehingga lalai terhadap hakikat-hakikat
akhirat!!
Syeikh
an-Nablusi di dalam muqaddimah bukunya telah menulis mengenai dosa menurut ilmu
kebatinan. Katanya: “Ketahuilah bahawasanya dosa itu mempunyai hakikat. Apabila
diketahui hakikatnya, diketahuilah rahsianya. Apabila diketahui rahsianya yang
tersembunyi, diketahuilah yang zahirnya. Ia mempunyai hal dan maqam, dan
mempunyai bahagian-bahagian. Aku memperkatakan kepadamu sekarang mengenainya
menurut yang tiba kepadaku sebagai suatu terjemahan terhadap lontaran rahmani.”
(al-Fathu ar-Raabbani wa al-Faidhu ar-Rahmani, halaman 51)
Syeikh
an-Nablusi mendakwa apa yang dituliskannya mengenai pengertian dosa itu
semata-mata merupakan terjemahan terhadap lontaran rahmani kepadanya secara
langsung tanpa perantaraan, yang mana beliau mengungkapkannya sebagai wahyu atau
ilham atau kasyaf.
Menurutnya
lagi, ilmu-ilmu syariat semata-mata tidak boleh menyelamatkan manusia dari
siksaan di akhirat, andainya ia tidak menyelami hakikat-hakikat dan ilmu-ilmu
kebatinan yang terdapat di dalam ilmu-ilmu syariat secara simbolik tanpa
dinaskan itu. Setelah menyelaminya barulah ia terselamat dari azab Allah pada
hari qiamat kelak!! Beliau mendakwa juga bahawa pernyataannya ini sebenarnya
merupakan terjemahan terhadap lontaran rahmani kepadanya!! (al-Fathu ar-Rabbani
wa al-Faidhu ar-Rahmani, halaman 133). Beliau menolak sama sekali ianya sebagai
hasil ijtihad dan pandangan sendiri!!
Syeikh
an-Nablusi juga turut memperjuangkan konsep wahdatul wujud yang dipelopori oleh
Ibnu Arabi. Ini jelas apabila beliau menegaskan bahawa seseorang itu dianggap
berdosa apabila menyangka ia mempunyai kewujudan yang berasingan dari kewujudan
Allah! Kerana barangsiapa yang menyangka demikian bererti ia telah melakukan
suatu kejahatan dan kekejian dan mengatakan sesuatu yang ia jahil mengenainya.
Lebih dari itu, beliau mendakwa bahawa melakukan dosa itu bererti menghampirkan
diri kepada Allah, bukan berjauhan darinya!! Menurutnya, orang yang berdosa
semasa melakukan dosa adalah lebih hampir kepada Allah daripada keadaannya
semasa mentaatinya. (al-Fathu ar-Rabbani wa al-Faidhu ar-Rahmani, halaman
49).
Antara
Zindiq Dan Siddiq
Untuk
menjelaskan lebih jauh tentang ilmu kebatinan, Syeikh an-Nablusi menyediakan
satu bab berasingan yang panjang di dalam bukunya itu dengan membandingkan di
antara orang yang zindiq dan orang yang siddiq (yang membenari). Intipati isi
kandungannya ialah orang zindiq ialah orang yang menganggapkan kekufurannya dan
kefasikannya lahir dari dirinya sendiri sahaja dan ia bersendirian dengan
kekufuran itu. Sementara orang siddiq pula ialah orang yang beranggapan bahawa
semua pelaku hamba-hamba Allah adalah terbit dari Allah s.w.t, dan bahawa orang
yang beriman, orang yang kafir, yang fasiq dan yang baik itu semuanya merupakan
gambaran luar yang berlainan bagi hakikat tuhan yang maujud semata-mata.
Buktinya ialah firman Allah: “ما
ترى فى خلق الرحمن من تفاوت” (surah al-Mulk ayat 3). Maksudnya lebih
kurang:
“Engkau
tidak melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah itu sebarang percanggahan.”
Menurut
Syeikh an-Nablusi, orang yang beriman dan orang yang kafir itu adalah dari
ciptaan Allah, tiada beza antara kedua-duanya. Barangsiapa mengetahui hakikat
ini maka ianya dianggap seorang siddiq. Barangsiapa yang jahil tentangnya dan
menyangka orang kafir itulah yang melakukan kekufurannya dan mengadakan sendiri
perbuatannya serta bebas mengurusi dirinya maka ia adalah seorang zindiq! Syeikh
an-Nablusi kemudian menegaskan: “Ketahuilah bahawa semua agama di alam ini, bagi
mereka yang beragama di kalangan makhluk, adalah terbahagi kepada dua; agama
sebenar yang satu, iaitulah agama Islam, dan agama-agama yang lain semuanya
batil. Bagi Khaliq s.w.t pula semuanya agama yang benar dan yang batil itu
adalah makhluknya belaka. Dialah yang menciptanya.” (Syeikh an-Nablusi telah
menerangkan hal ini dengan panjang lebar di dalam bukunya itu di halaman
85-86)
Berhubung
dengan ayat di dalam surah al-Mulk di atas, ternyata Syeikh an-Nablusi
menggunakan sebahagian sahaja dari ayat sepenuhnya iaitu:
“الذى خلق سبع سماوات طباقا ما ترى فى خلق الرحمان من تفاوت فارجع البصر
هل ترى من فطور”
Maksudnya
lebih kurang: “Yang telah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat, engkau
tidak melihat pada ciptaan ar-Rahman Yang Maha Pemurah itu sebarang
percanggahan. Maka ulanglah melihatnya, adakah engkau lihat di sana
percanggahan?”
Maksud
“تفاوت” (percanggahan) ialah percanggahan atau ketidaksesuaian di dalam
penciptaan langit dan bumi, bukan percanggahan pada perbuatan manusia seperti
yang difahami oleh Syeikh an-Nablusi. Kerana setiap orang yang berakal tahu
bahawa perbuatan manusia itu berbeza-beza, dan berlainan. Kekufuran dan keimanan
tentunya tidak sama!
Pendeknya,
dari keterangan Syeikh an-Nablusi di dalam bukunya itu, tergambarlah di depan
mata kita dengan jelas akan akidah kebatinan yang cuba di tanam dan disuburkan
oleh golongan bertasawwuf di kalangan umat Islam. Menurut dakwaan mereka, akidah
kebatinan itu merupakan suatu keyakinan bahawa yang wujud di alam buana ini
ialah gambaran luar bagi hakikat yang satu, iaitulah Allah! Segala perbuatan dan
perilaku tidak saling bertentangan dan berlebihan melainkan dari kacamata
makhluk. Bagi Allah sebagai Khaliq, semua itu adalah benda yang satu yang
menunjukkan kepada Zat Yang Satu!
Melalui
akidah kebatinan, golongan bertasawwuf telah memusnahkan agama dan syariat serta
menghalalkan segala yang haram. Perlu diingatkan bahawa akidah atau ilmu
kebatinan ini sebenarnya membawa kepada penamaan kufur dan iman, malahan
menjadikan zuhud yang merupakan peringkat pertama di dalam amalan tasawwuf tulin
sebagai syirik tersembunyi terhadap Allah!
Mungkin ada
pihak yang menyangka bahawa ilmu kebatinan ini tidak lebih daripada akidah
berupa teori sahaja. Sebenarnya ia adalah suatu realiti yang diamalkan di dalam
kehidupan seharian golongan bertasawwuf sejak dahulu hingga ke hari ini. Umat
Islam diingatkan supaya berwaspada dalam perkara ini.
Bab
10: Hakikat Muhammadiah Dalam Konsep Tasawwuf
Untuk
memahami maksud hakikat Muhammadiah yang diperkatakan oleh golongan bertasawwuf,
kita perlu mengetahui akidah mereka mengenai Allah. Pada penghujung abad ke tiga
hijriah, teori tasawwuf falsafah telah sampai ke tahap mengatakan Allah itulah
kewujudan yang sentiasa berubah-ubah dan bertukar baru iaitulah langit, bumi,
Arsy, Kursi, malaikat, manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Dialah zaman azali
dan zaman abadi.
Ungkapan
kata-kata mereka mengenainya mungkin berbeza. Kadang-kadang mereka mengatakan
dialah roh yang mengalir di dalam semua yang wujud seperti pengaliran bau bunga
mawar di dalam bunga mawar dan kewujudan roh di dalam jasmani. Ada kalanya
mereka mengatakan kewujudan segala yang wujud itulah kewujudan Allah, kerana di
dalam wujud tiada dwalisma khaliq dan makhluk bahkan makhluk itulah ‘ain khaliq
dan khaliq itu jugalah makhluk!
Pembesar-pembesar
golongan bertasawwuf yang terdiri dari para zindiq dan mulhid beriktiqad
demikian dan menyebarkannya di kalangan orang ramai sepertimana yang dibuat oleh
Ibnu Arabi, al-Hallaj, al-Jiili, Ibnu Sab’in dan kuncu-kuncu mereka. Di dalam
karya-karya mereka terdapat kenyataan-kenyataan yang menolak sesiapa yang
mengakui Allah berdiri dengan sendiri lagi beristiwa’ di Arsy dan berbeza dari
segala makhluknya, iaitulah iktiqad kaum muslimin umumnya dan juga sesetengah
pihak yang bertasawwuf. Ibnu Arabi telah memperhebat kecamannya ke atas golongan
yang bertasawwuf yang beriktiqad demikian serta mempersalahkan mereka dan
menyifatkannya sebagai kurang berilmu dan tidak faham. Di dalam bukunya
“التجليات", Ibnu Arabi mendakwa telah menemui tokoh-tokoh tasawwuf
terdahulu di alam barzakh dan telah berbincang mengenai kepercayaan tauhid
mereka. Beliau telah mendedahkan kepada mereka tentang kesalahan mereka dan
beliau pada akhirnya telah memperkenalkan kepada mereka bahawa tiada yang wujud
melainkan Allah dan bahawa Allah dan hamba–hambaNya adalah benda yang satu. Dan
mereka semuanya mengakui perkara tersebut!!
Golongan
bertasawwuf yang menyalin teori wahdah al-wujud dari falsafah Aflatun (Plato)
dan beriktiqad dengannya serta menjadikannya sebagai hakikat tasawwuf, telah
juga menyalin teori para filosof Greek purba mengenai permulaan segala kejadian.
Menurut teori ini, benda pertama dalam kejadian ialah atom, dan yang pertama
wujud ialah akal pertama yang mereka namakan “عقل فعال". Dari akal pertama inilah terjadi alam tinggi iaitu langit dan
bintang-bintang, kemudian disusuli dengan kejadian alam rendah iaitu bumi…..dan
seterusnya.
Ibnu Arabi
telah memindahkan teori falsafah lama ini kepada konsep tasawwufnya dengan
menukarkan istilah “عقل فعال” kepada “حقيقة محمّدية” dan mendakwa bahawa kejadian yang pertama sekali ialah atom
atau debu, dan wujud yang pertama sekali ialah hakikat Muhammadiah yang
dikatakan bersemayam di Arsy Illahi! Ini bererti bahawa kedudukan hakikat
Muhammadiah itu sama dengan Allah tuhan pencipta segala makhluk yang bersemayam
di Arsy!! Ibnu Arabi telah memutarbelitkan keterangannya sehingga mengelirukan
kaum muslimin. Beliau telah memindahkan teori para filosof mulhid itu dengan
menggunakan ungkapan-ungkapan baru yang disalutkan dengan pakaian keislaman dan
ayat al-Qur’an. Menurutnya, zat Muhammad itulah zat yang pertama-tama sekali
terjadi dari atom, dan zat itulah yang bertakhta di Arsy Illahi. Dari nur zat
inilah Allah kemudiannya mencipta seluruh kejadian. Para malaikat, langit dan
bumi semuanya diciptakan dari nur zat yang pertama iaitulah zat Muhammadiah
menurut pendapat Ibnu Arabi, atau “عقل فعال” menurut konsep falsafah. Demikianlah Ibnu Arabi telah berjaya
menyeludupkan ketelanjuran-ketelanjuran, kesilapan-kesilapan, dan
khayalan-khayalan kosong para filosof ke dalam dunia kehidupan kaum muslimin dan
ke dalam akidah mereka. Malahan sesudah itu beliau menjadikan akidah ini sebagai
akidah asas bagi kosep tasawwuf seluruhnya.
Bagi Ibnu
Arabi dan para syeikh tasawwuf yang muncul selepasnya, Nabi Muhammad s.a.w.
ialah Allah yang menyerlah di atas Arsy atau gambaran mini bagi Allah, dan
darinyalah segala yang wujud itu memperolehi kewujudannya dan daripadanyalah
terpancar seluruh nur dan segala kejadian serta segala yang wujud!! Maksud Ibnu
Arabi, Nabi Muhammad s.a.w ialah bibit pertama bagi setiap yang wujud. Ianya
seolah-olah sebiji benih bagi sepohon pokok yang berbatang, dahan-dahan,
daun-daun, buah-buahan dan duri-duri. Dari nur Nabi Muhammad s.a.w itu kemudian
diciptakan Arsy, Kursi, langit, bumi, Nabi Adam dan zuriatnya!! Segala kewujudan
itu adalah benda yang satu, yang bercabang-cabang dari asal yang satu atau
sepohon pokok yang berdahan-dahan dan bercabang-cabang berasal dari sebiji benih
(Syarah al-Qasyani ‘ala al-Fusus halaman 266-267)
Ibnu Arabi
telah menerangkan mengenai kepercayaannya itu dengan menyebut; “Permulaan
kejadian itu ialah debu. Kewujudan yang pertama sekali pada debu itu ialah
hakikat Muhammadiah Rahmaniah yang disifatkan bertakhta di Arsy Rahmaniah
iaitulah Arsy Illahi.” (Al-Futuhat al-Makkiyyah,halaman
152)
Siraman Demi
Siraman Nur
Sementara
itu, Ahmad bin Mubarak as-Salajmasi di dalam bukunya “al-Ibriz” telah
menghuraikan akidah hakikat Muhammadiah ciptaan Ibnu Arabi itu yang didengari
dari gurunya Syeikh Abdul Aziz ad-Dibagh. Secara ringkas huraian tersebut
seperti berikut:
Makhluk
pertama yang diciptakan Allah Taala ialah Nur Muhammad s.a.w. Kemudian, dari nur
ini diciptakan Qalam, hijab yang tujuh puluh dan malaikat-malaikatnya. Kemudian
diciptakan Luh Mahfuz. Tetapi sebelum kesempurnaannya dan sebelum digunakan,
diciptakan Arsy, roh-roh, syurga dan alam barzakh. Adapun Arsy diciptakan dari
suatu nur, dan nur ini diciptakan dari nur yang mulia iaitulah Nur Muhammad
s.a.w. Arsy dicipta sebagai sebiji permata delima yang besar yang tidak boleh
diukur dan ditentukan saiz dan nilainya. Di tengah-tengah permata delima itu
diciptakan sebutir permata yang lain. Kedua-dua permata delima dan permata yang
lain itu adalah seperti sebiji telur. Putihnya ialah permata delima dan
kuningnya batu permata yang satu lagi. Kemudian Allah membekalkan batu permata
yang berada di tengah-tengah permata delima itu dengan siraman Nur Muhammad
s.a.w yang menelusi permata delima dan menyirami batu permata yang di
tengah-tengahnya dengan siraman demi siraman sebanyak tujuh kali. Dengan izin
Allah batu permata itu menjadi cair dan mengalir sebagai air dan turun ke bawah
batu delima dan iaitulah Arsy. Nur mulia yang menembusi Arsy hingga sampai ke
batu permata yang mengalir sebagai air itu tidak kembali ke tempatnya. Tetapi
daripadanya Allah mencipta malaikat yang delapan iaitulah pembawa-pembawa Arsy.
Allah menciptakan mereka dari kejernihannya, dan dari keberatannya diciptakan
angin yang mempunyai kekuatan tenaga yang perkasa. Allah memerintahkannya supaya
turun dibawa air dan menetap di situ. Kesejukan mula kuat di dalam air, lalu air
mahu kembali kepada asalnya dan menjadi beku. Tetapi angin tidak membiarkannya,
dan mula memecahkan keretakan-keretakan yang beku itu dan menjadikan keretakan
itu rosak dan berbau busuk. Keretakan itu semakin retak, kemudian ia mula
membesar dan melebar serta menuju ke arah yang tujuh dan ke tempat yang tujuh.
Darinya Allah menciptakan bumi yang tujuh dan air masuk di antaranya dan juga
laut-laut, wap-wap mula naik dari air dengan kekuatan tenaga angin, kemudian
mula bertimbun, lalu darinya Allah ciptakan langit yang tujuh. Kemudian angin
mula memberikan khidmatnya yang besar seperti kebiasaannya pada permulaan dan
penghujungnya. Api mula bertambah besar di udara dari tenaga pembakaran angin
terhadap air dan udara. Setiap kali api menjilat, malaikat-malaikat mengambilnya
dan membawanya ke tempat neraka jahanam hari ini. Itulah puncanya api neraka
jahanam. Keretakan-keretakan yang darinya terbentuk lapisan-lapisan bumi mereka
biarkan dalam keadaannya. Wap-wap yang darinya terjadi langit, juga mereka
biarkan dalam keadaanya. Api yang menjilat ke udara mereka mengambilnya dan
memindahkan ke tempat lain, kerana jika mereka biarkannya nescaya ia akan
membakar retakan-retakan yang mana darinya terjadi bumi yang tujuh, dan wap-wap
yang darinya terjadi langit yang tujuh. Bahkan ia membakar air dan menghirupnya
semua sekali dengan kekuatan tenaga angin. Kemudian Allah Taala menciptakan para
malaikat bumi dengan Nur Muhammad s.a.w. dan memerintahkan mereka supaya mereka
menyembahnya di atas bumi, dan menciptakan para malaikat langit dari Nur
Muhammad s.a.w serta memerintah mereka menyembahnya di langit. Adapun roh dan
syurga, kecuali beberapa bahagiannya, adalah diciptakan dari nur yang dicipta
dari Nur Muhammad s.a.w. Adapun alam barzakh, maka separuh bahagiannya sebelah
atas ialah dari Nur Muhammad s.a.w. Adapun Qalam, Luh Mahfuz, separuh bahagian
alam barzakh, hijab yang tujuh puluh dan semua malaiktanya dan semua malaikat
langit dan bumi adalah diciptakan dari Nur Muhammad s.a.w tanpa wasithah
(perantaraan). Arsy, air, syurga dan roh telah diciptakan dari Nur Muhammad
s.a.w. Selepas itu makhluk-makhluk ini disirami pula dengan Nur Muhammad s.a.w.
Qalam disirami tujuh kali dengan siraman yang besar kerana ia sebesar-sebesar
makhluk yang andainya disingkapkan nurnya kepada jirim bumi nescaya bumi akan
bergegar dan menjadi reput. Air disirami dengan nur itu sebanyak tujuh kali,
tetapi bukan seperti siraman ke atas Qalam. Hijab yang tujuh puluh disirami
secara berterusan. Arsy disirami dengan nur itu sebanyak dua kali. Kali pertama
pada permulaan ciptaannya. Kali kedua apabila ia sempurna diciptakan agar zatnya
bertaut rapat dan kukuh. Syurga juga disirami sebanyak dua kali sama seperti
siraman ke atas Arsy.
Para anbiya’
‘alaihimus solatu was salam dan seluruh orang-orang yang beriman dari kalangan
umat-umat yang terdahulu dan dari umat ini telah disirami dengan nur itu
sebanyak tujuh kali. Kali pertama ialah di alam roh, ketika Allah menciptakan
nur roh-roh sekaligus. Kali kedua disirami ketika roh-roh dibentuk. Setiap satu
roh dibentuk ia disirami dengan Nur Muhammad s.a.w. Kali ketiga pada hari Allah
menanyakanألست بربكم (bukankah Aku tuhan kamu?), maka siapa yang menjawab, Ya!, dari
kalangan roh-roh orang-orang yang beriman dan para anbiya’ ‘alaihimus solatu
wassalam ia disirami dengan Nur Muhammad s.a.w. Di antara mereka ada disirami
dengan banyak dan ada yang disirami dengan sedikit sahaja. Di sinilah letaknya
perbezaan di kalangan mereka; di antara mereka ialah wali dan bukan wali. Adapun
roh orang-orang kafir, ianya tidak sukakan nur itu dan enggan menerimanya.
Tetapi apabila roh-roh yang disirami dengan nur itu menikmati kebahagiaan abadi
dan peningkatan sarmadi (yang kekal) tanpa awalan dan tanpa akhiran, roh
orang-orang kafir itu menyesal dan minta supaya disiramkan dengan nur itu. Lalu
mereka disirami dengan kegelapan. Kali keempat ketika pembentukan janin dalam
rahim ibu dan penyusunan sendi-sendinya serta dibelahkan penglihatannya, maka
zatnya disirami dengan nur yang mulia itu agar sendi-sendinya menjadi lembut,
pendengaran dan penglihatannya terbuka. Tanpa siraman itu, sendi-sendinya tidak
menjadi lembut, manakala pendengaran dan penglihatannya tertutup. Kali kelima
ketika kelahiran bayi. Ia disirami dengan nur itu untuk diilhamkan makan dengan
mulutnya. Tanpa siraman itu nesaya ia tidak akan dapat makan dengan mulutnya
sama sekali. Kali keenam ketika bayi menghisap susu ibunya pada kali pertama
penyusuannya. Kali ketujuh ketika ditiupkan roh ke dalamnya. Andainya zat tidak
disiramkan dengan nur yang mulia itu nescaya roh tidak memasukinya. Kemasukan
roh ke dalam zat itupun berlaku dengan amat susah payah….! (Al-Ibriz, halaman
224-225).
Demikianlah
karutnya huraian mengenai hakikat Muhammadiah yang menjadi akidah pegangan
golongan bertasawwuf. Mereka menganggapkan hakikat Muhammadiah itu sebagai zat
pertama yang darinya lahir zat-zat lain, kejadian-kejadian dan makhluk-makhluk
yang wujud seluruhnya!!
Ahmad bin
Mubarak menambah lagi dengan mengatakan beliau telah mendengar gurunya, Syeikh
Abdul Aziz ad-Dibagh menyebut: “Apabila para anbiya’ alaihimussolatu wassalam
disirami dengan Nur Muhammad s.a.w, mereka tidak menghirupnya dengan sepenuh,
tetapi setiap seorang menghirup sekadar yang patut untuknya sahaja mengikut yang
telah dituliskan baginya. Nur yang mulia itu mempunyai warna yang banyak,
keadaan yang berbagai-bagai dan jenis-jenis yang juga banyak. Setiap seorang
menghirup satu warna yang khusus dan jenis yang tertentu. Nabi Isa a.s.
menghirup sebahagian dari nur yang mulia itu, yang meletakkannya di makam
ghurabah, iaitu makam yang membawa tuannya merantau, tidak menetap di sesuatu
tempat. Nabi Ibrahim a.s menghirup sebahagian dari nur yang mulia itu yang
meletakkannya di makam rahmat dan tawaddu’ disertai musyahadah yang penuh.
Apabila berbicara dengan seseorang, Nabi Ibrahim a.s kelihatan bercakap
kepadanya lemah lembut dan amat merendah diri. Orang yang ditujukan
percakapannya menyangka Nabi Ibrahim a.s merendah diri dan bertawaddu’ kepadanya
pada hal beliau sebenarnya bertawaddu’ kepada Allah kerana kekuatan
musyahadahnya. Nabi Musa a.s meminum sebahagian dari nur yang mulia itu yang
meletakkannya di maqam musyahadah Allah s.w.t pada nikmat-nikmatnya,
kebaikan-kebaikannya yang tidak dapat dinilaikan itu. Begitulah halnya dengan
seluruh para anbiya’ alaihimus solatu was salam dan para malaikat yang mulia.
Wallahua’lam.” (Al-Ibriz, halaman 226).
Tasawwuf
Falsafah
Huraian
mengenai hakikat Muhammadiah mengikut fahaman tasawwuf falsafah itu kelihatan
sedikit sebanyak berbeza di antara satu sama lain. Namun kesimpulannya adalah
sama, iaitu Rasullullah s.a.w ialah yang pertama sekali wujud! Ada di antara
mereka mengatakan Nur Muhammad s.a.w itulah yang pertama wujud! Ada yang
mengatakan zat nuraninya itulah yang bertakhata di Arsy dan kewujudannya dalam
bentuk manusia hanyalah suatu pengenalan dan penjelmaan baru bagi zat
Rasullullah s.a.w! Sesetengah mereka pula menjadikan ‘ain Rasullullah s.a.w dan
zatnya sebagai ‘ain Allah dan zatNya, dan sana tiada hakikat Ilahiah, yang ada
ialah hakikat Muhammadiah! Ada yang menegaskan zat Ilahiah itulah yang telah
mencipta Nabi Muhammad s.a.w sebelum penciptaan makhluk-makhluk lain yang
semuanya dicipta kemudian dari Nur Muhammad s.a.w! Golongan bertasawwuf
kebelakangan pula mengganggapkan zat Rasullullah s.a.w dan hakikat Muhammadiah
itu ialah hakikat Ilahiah juga. Mereka menjadikan Rasullullah s.a.w dalam bentuk
kemanusiaannya sebagai suatu gambaran yang lengkap atau yang lebih sempurna bagi
hakikat Ilahiah. Begitu juga mereka menganggapkan bentuk kemanusiaan Nabi
Muhammad s.a.w itu sebagai satu daripada bentuk-bentuk yang berkemungkinan bagi
Rasullullah s.a.w, dan mereka beriktiqad bahawa Rasullullah s.a.w boleh menjelma
dalam banyak bentuk mengikut yang dia mahu!! (Al-Insanu al-Kamil oleh Abdul
Karim al-Jiili).
Secara
ringkas, penganut-penganut tasawwuf falsafah yang mendewa-dewakan hakikat
Muhammadiah terbahagi kepada tiga golongan:
1. Golongan
yang berpegang kepada konsep wahdah al-wujud yang mengatakan Allah itulah zat
segala yang wujud. Golongan ini menganggapkan Rasullullah s.a.w sebagai makhluk
yang pertama sekali. Darinya dan melaluinya lahir semua yang wujud. Dialah tuhan
yang bersemayam di Arsy! Ini ialah kepercayaan Ibnu Arabi dan
kuncu-kuncunya.
2. Golongan
yang mengatakan bahawa Nur Rasullullah s.a.w ialah yang mula-mula sekali
sebenarnya wujud, dan darinya terpancar nur-nur lain dan tercipta segala
makhluk! Tetapi mereka ini tidak mengatakan zat Rasullullah s.a.w bersemayam di
Arsy.
3. Golongan
yang mengatakan bahawa nur Rasullullah s.a.w ialah yang mula-mula sekali wujud.
Ia adalah makhluk paling mulia dan kerananya Allah mencipta alam buana
seluruhnya. Mereka ini tidak menyatakan alam yang wujud dicipta dari nur
Rasullullah s.a.w, tetapi mengatakan semua diciptakan
kerananya!!
Namun
demikian, ketiga-tiga golongan penganut tasawwuf falsafah tersebut hampir
sepakat mengatakan; dari zat Rasullullah s.a.w itulah melimpahkan segala alam
dan turunnya semua perutusan, dan wahyu yang turun kepada rasul-rasul datangnya
dari Rasullullah s.a.w. Ini mereka nyatakan dengan menyebut para rasul dan para
wali seluruhnya tidak dituruni dan tidak dilimpahi ilmu-ilmu Ilahi melainkan
dari zat Rasullullah s.a.w di azali dan di abadi lagi, iaitu sebelum didapati
zat tanah Rasullullah sa.w di bumi dan selepas didapati zat tanah tersebut
kemudian keluar selepas zat tanah Rasullullah s.a.w dari bumi!! Sesetengah
mereka mempercayai bahawa Rasululullah s.a.w mengetahui segala perkara yang
ghaib dan tiada sesuatu pun samada di bumi atau di langit yang tersembunyi dari
pengetahuannya!!
Namun di
sebalik kekaburan dan kesukaran untuk dijadikan bukti yang boleh diterima akal,
di samping bertentangan dengan akidah Islam yang jelas dan mudah itu, golongan
bertasawwuf tersebut berjaya menyebarkan kepercayaan mereka yang batil itu di
kalangan orang ramai serta mempengaruhi mereka melalui ungkapan-ungkapan yang
mudah dalam bentuk puisi-puisi yang menarik yang mereka gubahkan, umpamanya
ungkapan yang berbunyi:
"لولاك لولاك ما خلقت الأفلاك"
Ertinya:
Andainya bukan keranamu! Andainya bukan keranamu, nescaya cakerawala tidak
tercipta!
Pada suatu
hari dalam tahun 1960, bersamaan tahun 1381 Hijrah, sedang penulis buku ini
berkhutbah di masjid Nabawi, Madinah, mengenai akidah yang wajib dipegang
berhubung dengan diri Rasullullah s.a.w, salah seorang pendengar agak lanjut
usianya dan telah menunaikan fardhu haji bertanya: “Bukankah Allah telah
berfirman:
"لولاك لولاك ما خلقت الأفلاك؟", penulis telah menjawab: “Itu bukan ayat al-Qur’an. Bukan juga
hadits. Mempercayainya demikian adalah syirik terhadap
Allah!"
Di sini
jelas menunjukkan bahawa kepercayaan sesat yang disebarkan melalui
ungkapan-ungkapan puisi yang indah itu boleh mengelirukan orang ramai sehingga
mereka menyangkanya sebagai ayat-ayat al-Quran!!
Begitu juga
kata-kata yang terdapat di dalam munajat kepada Rasullullah s.a.w seperti “Ya
Awwalu Khalqillah, Ya Nur Arsyillah” yang bererti: “Wahai yang pertama-tama
ciptaan Allah, wahai nur Arsy Allah!” Kata-kata ini masih lagi dikumandangkan
oleh sesetengah muazzin di masjid-masjid di beberapa buah negara Islam khususnya
sebelum azan solat subuh. Bagi kaum muslimin biasa, kata-kata ini merupakan
kata-kata yang biasa sahaja. Tetapi bagi mereka yang bertasawwuf,
ungkapan-ungkapan ini benar-benar dihayati pengertiannya sehingga menjadi
pegangan yang teguh bahawa Rasullulullah sa.w itulah yang mula-mula wujud dan
darinya terpancar nur segala yang wujud, Dialah Arsy, kursi, langit, bumi,
malaikat, jin dan manusia, dan Allah tidak menciptakan semua makhluk ini
melainkan kerananya dan Dialah yang bersemayam di Arsy alam
buana!!
Andainya
kaum muslimin membaca al-Qur’an dan memahami isi kandungannya serta mempelajari
hadits-hadits Rasullullah s.a.w dan mengkaji riwayat hidup Baginda s.a.w nescaya
mereka berjaya menjauhkan diri dari berbagai bidaah dan khurafat yang disebarkan
oleh ajaran yang batil ini. Malangnya ramai pula di kalangan kaum muslimin yang
telah terperangkap dengan dakwaan golongan bertasawwuf itu bahawa al-Qur’an
seluruhnya adalah rahsia belaka! Rahsianya terletak pada surah al-Fatihah.
Rahsia surah al-Fatihah terletak pada Bismillah iaitu Bismillahirrahmanirrahim.
Dan rahsia Bismillah terletak pada huruf ba’ dan rahsia huruf ba’ terletak pada
titik “ba’"!! Barangsiapa yang dapat membuka simpulan titik pada huruf “ba’”
itu, ia mengetahui rahsia al-Qur’an!!
Begitu juga
golongan bertasawwuf itu menjadikan pembacaan hadits-hadits Rasulullah s.a.w
sebagai suatu amalan untuk mendapatkan berkat tanpa cuba memahaminya, kerana
barangsiapa cuba memahami hadits bererti ia seorang yang berijtihad sedangkan
pintu ijtihad sudah tertutup selepas zaman imam mazhab yang empat itu, menurut
dakwaan mereka!!
Sementara
pembacaan sejarah hidup Rasullullah s.a.w. pula bagi golongan bertasawwuf itu
tidak lebih daripada mengumandangkan ungkapan-ungkapan puisi yang penuh dengan
kandungan yang berunsur kekufuran, kesyirikan, keterlaluan dan pemujaan terhadap
kedua mata Baginda s.a.w yang bercelak, pipinya yang kemerahan, susuk badannya
yang sasa dan sebagainya. (Adapun sejarah hidupnya yang sebenar, jihadnya,
kehidupan dan pengalaman-pengalaman pahitnya fisabilillah, mereka abaikan dan
seterusnya mengabui mata orang ramai dengan gambaran-gambaran yang lebih
remeh-temeh dan khurafat-khurafat yang disebutkan tadi. Dengan demikian
lenyaplah hakikat sebenar sirah Rasullullah s.a.w dari tengah-tengah masyarakat
kaum muslimin dan tempatnya diambil alih oleh akidah tasawwuf yang sesat
itu).
Iktikad Yang
Wajib Terhadap Rasul
Sebagaimana
yang diketahui, kepercayaan atau keimanan kepada rasul-rasul ialah satu daripada
rukun-rukun iman yang enam seperti yang tersebut di dalam sepotong hadits sahih
mengenai pertanyaan Jibrail kepada Nabi s.a.w dan Baginda telah
menjawab:
"أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الأخر وتؤمن بالقضاء والقدر
خيره وشره من الله تعالى"متفق عليه
Ertinya:
“Hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatnya, kitab-kitabnya,
rasul-rasulnya, hari akhirat dan engkau beriman kepada qada dan qadar, baik dan
buruknya dari Allah Taala."
Di dalam
al-Qur’an, Allah mensifatkan rasul-rasulNya sebagai manusia yang telah dipilih
untuk menyeru manusia beribadah kepadanya. Para Rasul itu makan dan minum,
menghadapi dan menangani persoalan-persoalan hidup serta berusaha di muka bumi
seperti manusia-manusia lain. Tiada seorang pun di antara mereka yang mengetahui
perkara-perkara ghaib atau bertindak sewenang-wenang dalam alam buana mengikut
sesuka hati atau membawakan makanan dari alam ghaib pada bila-bila masa yang
mereka mahu, kecuali pada suatu mukjizat yang dianugerahkan Allah kepada Nabi
Isa a.s selepas Allah mengancam dan berjanji menimpakan mala petaka ke atas
sesiapa yang kufur setelah makanan itu diturunkan dari langit, iaitu Allah akan
menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah ditimpakan ke atas sesiapa di alam
semesta ini. Perkara itu ada tersebut di dalam surah al-Maidah ayat-ayat
112-115.
Mukjizat ini
merupakan bukti kerasulan dan kebenaran Nabi Isa a.s. sebagai pemimpin seruan
agama Allah kepada kaumnya dan dia adalah hamba Allah dan pesuruhnya. Sejarah
hidup para rasul menunjukkan dengan jelas bahawa mereka semua adalah
manusia-manusia yang telah mengalami apa yang telah dialami manusia-manusia lain
seperti sakit, pedih, derita, fitnah, ujian dan dugaan. Mereka bermohon kepada
Allah, berdoa kepadaNya, takut kepadaNya, menyintaiNya dan meminta pertolongan
dan bantuan dariNya. Penamat rasul-rasul dan nabi-nabi, iaitu Nabi Muhammad
s.a.w adalah rasul yang paling sempurna dalam merealisasikan ubudiah kepada
Allah s.w.t. Baginda s.a.w bersolat pada malam hari hingga kedua tapak kakinya
menjadi bengkak. Baginda s.a.w dianiaya dengan seberat-berat penganiayaan semasa
beribadat. Baginda s.a.w disingkir dari Kota Mekah, bumi tempat kelahirannya,
oleh kaum musyrikin Quraisy. Baginda s.a.w dimusuhi dengan seketat-ketat
permusuhan oleh golongan munafik di Madinah, dan dimaki hamun dengan
seburuk-buruk perkataan. Golongan munafik telah memfitnahkan isterinya dengan
seburuk-buruk fitnah. Baginda s.a.w hidup dalam keadaan serba tidak kecukupan.
Sayyidatina Aisyah pernah berkata seperti tersebut di dalam Sahih al Bukhari:
“Datang anak bulan dan anak bulan dan anak bulan. Tiga anak bulan dalam dua
bulan, dan rumah-rumah Rasullullah s.a.w tidak dinyalakan api!” Lalu beliau
ditanya, “Apakah makanan kamu?” Beliau berkata: “(ألأسودان)", iaitu tamar dan air."
Rasullullah
s.a.w pernah mengikatkan dua biji anak batu diperut Baginda untuk menahan lapar.
Baginda s.a.w pernah berlapar bersama-sama sahabatnya dan bersabar bersama-sama
mereka menahan kelaparan. Ketika sakit, Baginda s.a.w kelihatan keletihan dan
mengaduh kesakitan seperti keadaan pesakit-pesakit lain di kalangan kaum
muslimin. Pendeknya kehidupan Baginda s.a.w adalah terdedah dan tidak
tersembunyi dari pengetahuan umum. Urusan-urusannya berhubung dengan hal ehwal
agama sudah sememangnya mesti diketahui ramai. Namun yang lebih jelas lagi,
Baginda s.a.w tidak pernah meminta sesiapa pun dari kalangan para sahabat
manyanjungi Baginda atau memberinya sesuatu yang hanya Allah berhak menerimanya
seperti memberinya penghormatan dengan cara rukuk atau sujud atau bangun
beramai-ramai ketika Baginda s.a.w datang kepada mereka. Anas Bin Malik telah
menegaskan bahawa sahabat-sahabat Rasullullah s.a.w amat menyintai Baginda,
tetapi mereka tidak pernah bangun berdiri menghormatinya kerana mereka takut
Baginda amat benci perbuatan sedemikian. Apa yang telah disebutkan ini merupakan
sebahagian sahaja daripada bukti-bukti yang menunjukkan Baginda s.a.w seorang
manusia biasa yang mengecapi asam garam kehidupan seperti mana manusia-manusia
yang lain.
Rasul-rasul
dan nabi-nabi yang lain juga demikian. Sepertimana manusia-manusia yang lain,
para rasul dan nabi juga tidak mengetahui perkara-perkara ghaib sebagaimana yang
difirmankan Allah:
"قل لا يعلم من في السماوات والأرض الغيب إلا الله وما يشعرون أيان
يبعثون” (النمل، اية 65(
Maksudnya
lebih kurang: “Katakanlah, wahai Muhammad! Sesiapa yang ada di langit dan di
bumi tidak mengetahui perkara ghaib melainkan Allah, dan mereka tidak sedar bila
mereka akan dibangkitkan."
Begitu juga
doa para anbiya’ dan rasul itu bukan semua dikabulkan. Nabi Nuh a.s telah berdoa
kepada Allah memohon syafaat untuk anaknya, tetapi Allah telah menolak
sebagaimana tersebut di dalam al-Qur’an:
"ونادي نوح ربه! فقال إن ابني من أهلي وإن وعدك الحق وأنت أحكم الحاكمين.
قال يا نوح إنه ليس من أهلك، إنه عمل غير صالح فلا تسئلن ما ليس لك به علم إني أعظك
أن تكون من الجاهلين” (سورة هود، اية 45- 46(
Maksudnya
lebih kurang: “Dan Nuh menyeru tuhannya, lalu katanya: “Wahai Tuhanku!
Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku, sesungguhnya janjiMu itu benar dab
Engkau seadil-adil hakim.” Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu
bukan dari keluargamu, kerana ia mengerjakan pekerjaan yang tidak baik. Sebab
itu janganlah engkau minta kepada Aku sesuatu yang engkau tidak ketahui,
sesungguhnya Aku mengajarimu supaya engkau tidak termasuk di dalam golongan
orang-orang yang jahil!"
Nabi Ibrahim
a.s telah menyeru bapanya agar turut menganut agama Allah yang ditablighkannya,
tetapi bapanya Azar menolak seruannya itu. Di dalam sahih al-Bukhari terdapat
hadis yang menyebut bahawa Nabi Ibrahim a.s pada hari kiamat kelak akan menemui
bapanya yang ketika itu berpakaian bergetah dan wajahnya berlumuran debu dan
gelap. Lalu Nabi Ibrahim a.s pun berkata kepadanya: “Wahai ayahku! Bukankah
anakanda telah meminta agar ayahanda tidak menolak seruan anakanda!?” Azar
menjawab: “Wahai anakku! Sekarang ini ayahanda tidak lagi menolak seruanmu"!
Lalu Nabi Ibrahim a.s pun berdoa kepada Allah: “Wahai Tuhanku! Engkau telah
menjanjikan kepadaku bahawa engkau tidak akan menghinaku pada hari manusia
dibangkitkan semula. Tiada kehinaan yang lebih besar daripada keadaan bapaku.”
Lalu dikatakan kepada Nabi Ibrahim a.s: “Wahai Ibrahim! Sesungguhnya aku telah
mengharamkan syurga kepada orang-orang kafir. Lihatlah di bawah kedua kakimu!
Nabi Ibrahim a.s pun melihat ke bawah dan mendapati bapanya telah menjadi seekor
binatang buas yang berlumuran dengan darah. Ia diangkat dengan keempat-empat
kakinya dan dicampakkkan ke dalam api neraka!.
Begitu juga
isteri Nabi Nuh a.s dan isteri Nabi Luth a.s. Kedua-dua mereka adalah kafir, dan
semata-mata menjadi isteri kepada seorang nabi tidak boleh menukarkan
kedudukannya sebagai seorang kafir. Nabi Muhammad s.a.w telah memohon syafaat
bagi bapa saudaranya Abu Talib, tetapi Allah tidak menyahut permohonannya selain
mengeluarkannya dari tempatnya di dalam neraka dan dipindahkan ke tempat lain
yang berhampiran dengan api neraka dan kepalanya menggelegak kepanasan. Baginda
s.a.w juga telah bersabda, maksudnya: “Aku telah meminta izin dari tuhanku untuk
menziarahi kubur ibuku, dan Allah telah mengizinkan. Aku telah meminta izinNya
untuk beristigfar bagi ibuku, tetapi Allah tidak mengizinkan.” Baginda s.a.w
telah bersabda kepada puterinya Fatimah yang ertinya: “Aku tidak dapat
mengelakkanmu sedikitpun dari siksaan Allah, pintalah aku seberapa yang engkau
mahu dari hartaku!"
Apabila
Baginda s.a.w bersabda yang ertinya: “Tiada seorang kamu pun akan masuk syurga
dengan amalannya", para sahabat bertanya: “Walaupun anda, wahai Rasullullah?”
Baginda s.a.w menjawab: “Aku juga tidak, selagi Allah tidak mencurahiku dengan
nikmat dan kurniaan dariNya."
Hadits-hadits
itu terhimpun di dalam kedua-dua kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Ayat
al-Qur’an yang menerangkan tentang hal ehwal para rasul dan keperluan mereka
kepada tunjuk ajar dari Allah serta teguran dan celaan Allah ke atas mereka
kerana perbuatan mereka yang bertentangan dengan perbuatan yang lebih utama
adalah amat banyak, seperti firman Allah kepada Rasulnya Muhammad s.a.w yang
bermaksud lebih kurang: “Kalau tidaklah kerana Kami tetapkan pendirianmu,
sesungguhnya engkau hampir condong kepada mereka, jika demikian nescaya Kami
rasakan kepadamu hukuman berlipat ganda semasa hidup dan berlipat ganda semasa
mati. Kemudian engkau tidak memperolehi penolong menentang kami.” (Surah Isra’
ayat 74-75)
Begitu juga
Allah Taala berfirman yang bermaksud lebih kurang: “Kalau tidaklah kerana
kurniaan Allah dan rahmatNya ke atasmu, nescaya bercita-citalah satu golongan di
antara mereka itu untuk menyesatkanmu. Pada hal mereka tidak menyesatkan
melainkan diri mereka sendiri, dan mereka tidak membahayakanmu sedikitpun. Allah
telah menurunkan Kitab dan hikmat kepadamu dan mengajarmu apa yang engkau tidak
tahu. Kurniaan Allah ke atasmu itu adalah amat besar.” (Surah An-Nisa’, ayat
113)
FirmanNya
lagi yang maksudnya lebih kurang: “Allah telah memaafkan engkau kerana engkau
mengizinkan mereka.” (Surah at-Taubah ayat 43)
Begitu juga
firmanNya yang bermaksud lebih kurang: “Dia bermasam muka dan berpaling, ketika
didatangi seorang buta.” (Surah ‘Abasa ayat 1-2). “Dan engkau sembunyikan dalam
dirimu apa yang Allah telah nyatakan dan engkau takutkan manusia sedangkan Allah
lebih berhak engkau takuti.” (surah al-Ahzab ayat 37).
Begitu juga
terdapat banyak ayat al-Quran di mana Allah menerangkan tentang kurniaanNya ke
atas hambaNya dan rasulNya Muhammad s.a.w. Di antaranya firman Allah yang
maksudnya lebih kurang: “Tidakkah Dia menemuimu seorang anak yatim lalu diberi
tempat tinggal, dan mendapatimu kesesatan lalu Dia memberi hidayah.” (Suran
ad-Dhuha ayat 6-7).
Andainya
Allah telah menyebutkan demikian, maka bagaimana pula golongan bertasawwuf itu
boleh mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah wujud sebelum kewujudan
makhluk-makhluk lain seluruhnya, dan dari nurnya seluruh para anbiya’
memperolehi ilmu-ilmu mereka? Allah juga telah berfirman yang bermaksud lebih
kurang: “Engkau tidak tahu apakah Kitab dan apakah iman itu? Tetapi Kami
jadikannya (al-Quran) sebagai nur yang memberi petunjuk dengannya siapa yang
Kami mahu dari kalangan hamba-hamba Kami.” (Surah as-Syura ayat
52).
Yang
pentingnya, barangsiapa menatapi al-Quran dan mengetahui dengan sebenar ajaran
agama Islam serta mempelajari riwayat hidup Rasulullah s.a.w, dia pasti tahu
bahawa Nabi Muhammad s.a.w seorang hamba Allah dan pesuruhNya, dan Baginda s.a.w
wujud di muka bumi sebagai seorang manusia, sama seperti manusia-manusia lain,
dan Baginda s.a.w tidak sedikitpun tahu apa yang berlaku di Mala’il-A’laa’
seperti mana firman Allah:
قل هو نبأ
عظيم, أنتم عنه معرضون, ما كان لي من علم بالملأ الأعلى إذ يختصمون, إن يوحي إلي
إلا أنما أنا نذير مبين, إذ قال ربك للملائكة إني خالق بشرا من طين, فإذا سويته
ونفخت فيه من روحى فقعوا له ساجدين. (سورة صو اية 67-72(
Maksudnya
lebih kurang: “Katakanlah wahai Muhammad! Ia iaitu al-Quran, adalah berita yang
agung. Tetapi kamu berpaling darinya. Aku tidak mempunyai pengetahuan tentang
‘Al-Mala’il-A’laa’ (alam malaikat), ketika mereka berbalah, tidaklah diwahyukan
kepadaku melainkan aku seorang pemberi ingat yang nyata. Ketika tuhanmu berkata
kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku menciptakan manusia dari tanah dan
apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya dari ruhKu, maka
meniarap sujudlah kepadanya."
Di dalam
ayat di atas, Allah telah memerintahkan rasulNya Muhammad s.a.w supaya
mengatakan yang Baginda s.a.w tidak mengetahui sedikitpun apa yang berlaku di
Mala’il-A’laa’ ketika Allah memerintahkan para malaikat sujud kepada Adam a.s,
lalu mereka pun sujud kecuali Iblis.
Malahan
apabila didatangi Jibril di Gua Hira’ pada kali yang pertama, Rasulullah sa.w
tidak mengenalinya dan Baginda s.a.w menyangkanya syaitan! Keadaan ini telah
menyebabkan Baginda s.a.w tergesa-gesa pulang ke rumah dengan seluruh tubuh
badannya menggeletar sambil meminta isterinya Sayyidatina Khadijah r.a.
menyelimutkannya sambil menyatakan kebimbangannya terhadap kemungkinan sesuatu
yang buruk bakal menimpa dirinya.
Baginda
s.a.w menyangka malaikat Jibril yang mendatanginya di Gua Hira’ itu sebagai
syaitan yang merasuk kahin-kahin) tukang nujum) dan tukang-tukang sihir.
Andainya Jibril a.s. itu makhluk yang diciptakan dari nur Rasulullah s.a.w
seperti yang didakwakan oleh golongan bertasawwuf itu, maka tentulah Rasulullah
s.a.w akan mengalu-alukan kedatangannya kerana Jibril diciptakan dari nur
Baginda s.a.w sendiri! Dan tentulah Baginda s.a.w tidak merasa takut dan
gementar ketika itu.
Golongan
Filosof
Penulis
percaya, sesiapa yang menatapi riwayat hidup Rasulullah s.a.w dan kuat berpegang
kepada akidah Islam yang diajarkan oleh Baginda s.a.w tidak akan mudah
terpengaruh dengan kepercayaan karut golongan bertasawwuf mengenai diri
Rasulullah s.a.w. Sebenarnya golongan bertasawwuf itu lebih berupa golongan
filosof yang percayakan kekarutan-kekarutan dan dongengan-dongengan Greek purba.
Mereka telah mengenepikan ajaran Islam dan akal fikiran yang sihat. Mereka telah
memperkenalkan kepada umat Islam khurafat-khurafat dan perkara–perkara yang
karut marut dengan cara menyelitkannya di celah-celah ajaran Islam yang suci
murni itu. Mereka telah berjaya menyebarkan aqidah Hakikat Muhammadiah yang
bathil sesat itu dengan menggunakan hadits-hadits maudhu’ atau palsu sebagai
bukti dakwaan mereka. Di antara hadits-hadits maudhu’ itu yang berbunyi:
“كنت أول النبيين في الخلق وأخرهم في البعث” Ertinya: “Aku ialah pertama-tama Nabi diciptakan, dan yang
terakhirnya diutus.” Hadits ini telah disebutkan oleh as-Syaukani di dalam
bukunya “الأحاديث الموضوعة” (hadits-hadits palsu). Sepotong hadits lagi yang menjadi hujjah
golongan bertasawwuf itu ialah yang berbunyi:
"كنت نبيا وأدم بين الروح والجسد” Ertinya: ““Ertinya: “Aku telah menjadi Nabi ketika Adam berada
di antara ruh dan jasad.” Menurut as-Son’aani dan Ibnu Taimiyyah, hadits ini
juga hadits maudhu’. Jika diandaikan hadits ini bukan hadits maudhu’, maka
itupun tidak boleh dianggap sebagai hujjah kerana maksudnya ialah Allah telah
mentakdirkan Muhammad s.a.w menjadi Nabi keika Adam
diciptakan.
Pendek kata,
apa yang disebutkan oleh golongan tasawwuf falsafah itu mengenai Hakikat
Muhammadiah hanyalah berupa khurafat dan khayalan para filosof dan kahin. Ianya
tiada sebarang kaitan dengan agama Islam.
Dari Buku
“الفكر الصوفى في الكتاب والسنة” Oleh Abdurrahman Abdul Khaliq Yusuf.
Bab
11: Nabi Khaidhir A.S Dalam Konsep Tasawwuf
Cerita
mengenai Nabi Khaidhir a.s yang tercatat di dalam al-Quran dan yang tersebut di
dalam as-Sunnah seperti yang tertera di dalam Sahih al-Bukhari dan lain-lainnya,
telah diselewengkan pengertiannya dan tujuannya oleh golongan bertasawwuf.
Mereka menjadikannya salah satu tiang seri akidah tasawwuf dan sebagai bukti
adanya syariat yang zahir dan hakikat tasawwuf yang tersembunyi yang berlainan
daripada yang zahir itu. Mereka menganggapkan penolakan ulama’ syariat terhdap
ulama’-ulama’ hakikat sebagai suatu perkara yang aneh (Nabi Musa membantah
perbuatan Nabi Khaidhir, sedangkan masing-masing berpegang kepada
syariat-syariat yang berlainan!) Golongan bertasawwuf telah menjadikan Nabi
Khaidhir a.s sebagai sumber wahyu, ilham, akidah dan syariat. Segolongan besar
daripada mereka mendakwa menemui Nabi Khaidhir a.s dan memperolehi darinya ilmu
yang mereka sendiri cipta!!
Cerita Nabi
Khaidhir a.s di dalam surah al-Kahfi terdapat pada ayat 60 hingga ayat 82.
Menurut ceritanya, Nabi Musa telah menyatakan kepada budak yang menemaninya
bahawa beliau tidak akan berhenti berjalan sehingga tiba di tempat pertemuan dua
laut. Setelah jauh berjalan dan merasa letih, Nabi Musa a.s pun meminta budak
itu mengeluarkan makanan. Tetapi budak itu menjawab yang dia terlupa memberitahu
Nabi Mua a.s bahawa ikan mereka telah melompat dari bakul dan terjun ke dalam
laut di tempat pertemuan dua laut yang telah mereka lewati. Budak itu menyatakan
syaitanlah yang telah menyebabkannya terlupa memberitahu hal tersebut kepada
Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s pun mengatakan itulah tempat yang mereka cari. Maka
mereka pun berpatah balik menuju ke tempat itu di mana mereka bertemu dengan
Nabi Khaidhir a.s………dan seterusnya hingga ke akhir ayat
82.
Di dalam
Sahih al-Bukhari terdapat dua riwayat utama yang menyebutkan pertemuan di antara
Nabi Musa a.s dengan nabi Khaidhir a.s ini;
Dari Abu
Syihab bahawa Ubaidillah bin Abdullah memberitahu dari Ibnu Abbas bahawa dia dan
al-Hurru bin Qais al-Ghazari telah bertikai mengenai rakan Nabi Musa a.s. Ibnu
abbas berkata: “Dia adalah Nabi Khaidhir.” Sedang mereka bertikai itu, tiba-tiba
lalu di hadapan mereka Ubai bin Kaab. Ibnu Abbas memanggilnya dan memberitahu:
“Kami berdua sedang pertikaikan mengenai rakan Nabi Musa a.s yang beliau mencari
jalan untuk menemuinya. Adakah engkau mendengar Rasulullah s.a.w menyebut
tentangnya?” Ubai bin Ka’ab menjawab: “Ya, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w
bersabda: “Ketika Musa berada di tengah-tengah kumpulan Bani Israil, seorang
lelaki menemuinya dan bertanya: “Tahukah engkau seorang yang lebih berilmu
daripadamu?” Jawab Musa: “Tak tahu!” Maka Allah pun mewahyukan kepada Musa:
“Bahkan dia ialah hamba kami al-Khaidhir.” Lalu Musa bermohon agar ditunjukkan
jalan untuk menemuinya. Allah menjadikan ikan sebagai tanda serta dikatakan
kepada Musa, andainya ikan itu hilang maka kembalilah ke tempat ia hilang
nescaya beliau akan menemui al-Khaidhir. Musa pun menjejaki tempat di mana
ikannya terjun ke dalam laut. Budak yang menemani Nabi Musa a.s telah berkata
kepadanya: “Ingat tak semasa kita berada di atas batu besar tadi? Aku lupa
memberitahu, ikan itu melompat terjun ke dalam laut di situ, dan tiada yang
melupakanku melainkan syaitan.” Musa pun berkata: “Itulah tempat yang kita
cari.” Kedua-dua mereka pun kembali berjalan ke tempat itu sambil bercerita, dan
mereka pun menemui al-Khaidhir. Mengenai merekalah yang diceritakan Allah dalam
kitabnya itu."
Ali bin
Abdullah memberitahu bahawa dia diberitahu oleh Sufyan, katanya: “Kami
diceritakan oleh Umar bin Dinar yang berkata: “Aku telah diberitahu oleh Sa’id
bin Jubair yang berkata: “Aku telah berkata kepada Ibnu Abbas bahawa Nauf
al-Bukali mendakwa Musa rakan al-Khaidhir bukanlah Musa Bani Israil, tetapi Musa
yang lain.” Ibnu Abbas lalu menjawab: “Musuh Allah telah berdusta. Kami telah
diberitahu oleh Ubai bin Ka’ab dari Nabi s.a.w bahawa Musa telah bangun berucap
kepada Bani Israil lalu ditanya: “Siapakah manusia yang paling berilmu? Musa
menjawab: “Aku.” Lalu Allah mencelanya kerana tidak mengatakan Allah lebih
mengetahui tentangnya serta berfirman kepadanya: “Bahkan aku ada seorang hamba
di tempat pertemuan dua laut yang lebih berilmu darimu!” Musa pun berkata:
“Wahai Tuhanku bagaimanakah aku boleh menemuinya?” Allah berfirman: “Engkau
bawalah seekor ikan di dalam bakul, di mana ikan itu hilang, di situlah dia
berada.” Musa pun membawa seekor ikan di dalam bakul dan berjalan bersama-sama
budaknya Yusya’ bin Nun, sehingga tiba ke sebuah batu besar dan menyandarkan
kepala mereka kepadanya. Musa telah tertidur dan ikan itu bergerak dan melompat
keluar dari bakul dan terjatuh ke dalam laut serta meluncur berenang. Tetapi
Allah menahannya mengikuti arus air menyebabkannya terapung seperti pelampung.
Kedua-dua mereka kemudiannya meneruskan perjalanan sepanjang hari dan malam.
Pada keesokan hari, Nabi Musa meminta budaknya mengeluarkan makanan kerana
mereka lapar setelah berjalan jauh. Tetapi budak itu menjawab: “Ingatkah tuan
ketika berada di batu besar? Ikan itu melompat keluar dari bakul dan saya
terlupa memberitahu tuan, dan tidak ada yang melupakan saya melainkan syaitan.
Ikan itu telah menuju ke laut dengan cara yang aneh!” Musa pun berkata: “Itulah
tempat yang kita cari.” Lalu kedua-duanya berpatah balik sambil bercerita,
hinggalah sampai ke batu besar tadi. Tiba-tiba di situ ada seorang lelaki yang
berpakaian labuh. Nabi Musa memberi salam kepadanya, dan lelaki itu menjawabnya
dan berkata: “Dari bumi mana salam mu itu?” Nabi Musa pun menjawab: “Aku Musa.”
Lelaki itu bertanya: “Musa Bani Israil?” Nabi Musa menjawab: “Ya. Aku
mengunjungimu agar engkau mengajar ilmu yang betul yang telah diajarkan
kepadamu.” Lelaki itu berkata: “Wahai Musa! Sesungguhnya aku mengetahui dari
ilmu Allah yang diajarkannya kepadaku yang engkau tidak mengetahuinya. Dan
engkau mengetahui dari ilmu Allah yang diajarkannya yang aku tidak
mengetahuinya!” Nabi Musa lalu bertanya: “Bolehkah aku mengikutimu?” Lelaki itu
menjawab: “Engkau tidak akan dapat bersabar. Bagaimanakah engkau boleh bersabar
melihat sesuatu yang engkau tidak tahu menahu tentangnya?” Nabi Musa berkata:
“Insya-Allah engkau akan mendapatiku bersabar dan aku tidak akan membantah.”
Lelaki itu berkata: “Jika engkau mengikutku, janganlah engkau tanyakan kepadaku
tentang apa-apa pun sehingga aku terangkan kepadamu sebabnya.” Lalu kedua-duanya
pun berjalan ke pantai dan menemui sebuah perahu. Mereka meminta orang-orang di
perahu itu membawa mereka bersama-sama. Orang-orang itu kenal akan al-Khaidhir
dan bersetuju membawa mereka tanpa upah. Apabila kedua-dua mereka berada di atas
perahu itu, datang seekor burung dan bertenggek di tepi perahu itu sambil
mematuk air laut sekali atau dua kali. Al-Khaidhir pun berkata: “Wahai Musa!
Ilmuku dan ilmumu tidak mengurangkan ilmu Allah sedikit pun sama seperti burung
itu tidak mengurangkan air laut dengan patukan muncungnya!” Ketika itu
al-Khaidhir mengambil sebilah kapak dan mengopak sekeping papan perahu tersebut.
Musa pun bertanya: “Apakah yang engkau lakukan? Orang itu menumpangkan kita
dengan percuma, tetapi engkau merosakkan perahu mereka supaya mereka tenggelam
lemas. Engkau telah melakukan sesuatu yang merbahaya!” Al-Khaidhir menjawab:
“Bukankah sudahku katakan engkau tidak akan dapat bersabar bersama-samaku?” Musa
pun berkata: “Janganlah engkau menyalahkanku kerana suatu yang aku lupa dan
janganlah menyusahkan aku dengan sesuatu yang sukar!” Setelah mendarat mereka
temui pula seorang anak muda yang sedang bermain-main dengan kanak-kanak.
Al-Khaidhir lalu memegang leher anak muda itu dan memulas begini…(Sufyan
menunjukkan dengan jarinya seolah-olah memetik sesuatu). Nabi Musa berkata:
“Patutkah engkau membunuh seorang yang tidak berdosa? Sesungguhnya engkau telah
melakukan sesuatu yang mungkar.” Al-Khaidhir menjawab: “Bukankah sudah aku kata,
engkau tidak akan dapat bersabar bersama-samaku?” Musa berkata: “Andainya aku
menyatakan sesuatu lagi selepas ini, maka janganlah engkau berkawan lagi
denganku. Sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan dariku.” Kedua-duanya
pun meneruskan perjalanan mereka hingga tiba di sebuah kampung. Mereka meminta
penduduknya memberi mereka makanan, tetapi orang-orang kampung itu menolak
permintaan mereka. Kemudian kedua-duanya mendapati sebuah dinding condong yang
hampir roboh, al-Khaidhir lalu menahannya dengan tangannya begini…….(Sufyan
memberi isyarat seolah-olah menyapu sesuatu dari bawah ke atas). Musa pun
berkata: “Kaum ini kita datangi dan mereka tidak memberi kita makanan dan tidak
juga menjadikan kita sebagai tetamu, tetapi engkau menyandarkan diri ke dinding
mereka yang condong, agar ia tidak runtuh. Sedangkan kalau engkau mahu, engkau
boleh meminta upah dari mereka kerana pertolongan itu.” Al-Khaidhir berkata:
“Inilah bandingan antara aku dengan engkau. Sekarang aku akan memberitahumu
pengertian yang tersembunyi dari perbuatan-perbuatanku yang engkau tidak dapat
bersabar melihatnya itu…."
Faktor-
Faktor Penting
Di sana
terdapat beberapa faktor penting di dalam cerita pertemuan Nabi Musa a.s dengan
Nabi Khaidhir a.s seperti yang disebutkan oleh al-Quran dan yang terdapat di
dalam Sahih al-Bukhari. Faktor-faktor tersebut ialah:
Allah s.w.t
mahu mengajar Nabi Musa a.s yang mengaku dirinya paling berilmu di atas bumi.
Sepatutnya beliau mengatakan Allah itulah yang Maha Mengetahui tentang
segala-galanya. Allah s.w.t menyatakan kepadanya bahawa di sana ada seorang
hamba Allah yang tidak dikenali Nabi Musa a.s dengan yang memperolehi ilmu dari
Allah yang tidak diketahui oleh Nabi Musa a.s. Inilah punca pertemuan di antara
Nabi Musa a.s dengan Nabi Khaidhir a.s.
Setelah
bertemu, Nabi Musa a.s diberitahu oleh Nabi Khaidhir a.s bahawa ilmu kedua-dua
mereka tidak mempunyai sebarang erti dibandingkan dengan ilmu Allah, dan
ilmu-ilmu mereka tidak sedikitpun mengurangkan ilmu Allah sama seperti air laut
yang tidak kurang sedikitpun kerana diminum burung.
Syariat yang
dianuti oleh Nabi Khaidhir a.s pada hakikatnya tidak berbeza dari syariat yang
dibawakan oleh Nabi Musa a.s. Hanya yang tidak diketahui oleh Nabi Musa a.s
ialah dorongan di sebalik perbuatan-perbuatan Nabi Kahidhir a.s. yang kelihatan
ganjil itu. Kerana itulah apabila Nabi Khaidhir a.s. menerangkan sebab-sebab
yang mendorongnya merosakkan perahu, membunuh seorang anak muda dan menegakkan
dinding yang hampir roboh, Nabi Musa tidak membantah sedikitpun kerana semua
alasan itu dibenarkan oleh syariat yang dibawanya. Merosakkan sebahagian harta
benda dan menyelamatkan sebahagian yang lain adalah diharuskan. Umpamanya anda
mewakilkan seseorang menjaga harta anda, kemudian datang perompak untuk menyamun
semua harta itu, manakala orang yang anda wakilkan supaya menjaganya tidak
mempunyai jalan mempertahankannya selain menyerahkan sebahagian harta itu agar
tidak disamun seluruhnya. Maka perbuatan itu tidak dianggap salah dari segi
syarak dan orang itu tidak dikecam bahkan perbuatannya dianggap bijak dan betul.
Apa yang dilakukan oleh Nabi Khaidhir a.s terhadap perahu tersebut tidak
melebihi daripada itu. Beliau telah merosakan sebahagian perahu itu agar
kelihatan kepada pembantu-pembantu raja yang kejam bahawa perahu tersebut tidak
sesuai untuk digunakan dan seterusnya ditinggalkan. Dengan demikian
terselamatlah perahu itu dari dirampas. Tidak syak lagi perbuatan Nabi Khaidhir
a.s itu merupakan suatu kebaikan kepada tuan punya perahu kerana Allah
memperlihatkan kepadanya apa yang berlaku kelak, iaitu raja yang zalim itu akan
merampas perahu-perahu yang baik keadaannya.
Pembunuhan
ke atas anak muda itu juga tidak bertentangan dengan syariat, kerana anak muda
itu akan menjadi seorang penganiaya kepada kedua ibubapanya yang mukmin dan
memaksa kedua-duanya supaya menjadi kafir. Inilah yang telah diperlihatkan Allah
kepada Nabi Khaidhir a.s. Oleh itu pembunuhan terlebih dahulu ke atas anak muda
itu diharuskan, kerana syariat mengizinkannya, walaupun syariat tidak menyuruh
penjahat dibunuh kecuali apabila dia telah menceroboh dan bertindak ganas. Anak
muda itu tidak melakukan sebarang pencerobohan pada ketika itu, tetapi
pembunuhan ke atasnya dilakukan atas perintah Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui
akan apa yang telah berlaku dan yang akan berlaku. Perintah Allah ini merupakan
suatu rahmat dariNya ke atas dua orang hambaNya yang soleh yang tidak mahu
didedahkan kepada angkara anak mereka yang menderhaka itu sehingga mereka
mengalami dua kepiluan. Pertama pilu kerana anak mereka menderhaka kepada
mereka, dan pilu yang kedua ialah kerana kemungkinan mereka menjadi kafir dengan
paksaan si anak. Tetapi Allah menghimpun kedua-dua kepiluan itu menjadikannya
satu kepiluan sahaja iaitulah kehilangan anak tersebut. Ini merupakan satu
kebaikan kepada kedua ibubapa itu. Tidak syak lagi kesabaran kedua-duanya
terhadap kehilangan anak mereka juga merupakan sesuatu yang baik bagi mereka.
Allah Maha Mengetahui akan hal tersebut dan menyampaikannya kepada Nabi Khaidhir
a.s yang kemudiannya telah melaksanakan perintah Allah itu. Semua ini selaras
dengan syariat yang dibawakan oleh Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad s.a.w dan
syariat para anbiya’ a.s seluruhnya. Kerana itulah apabila ditanyakan kepada
Ibnu Abbas mengenai perkara ini;” Haruskah anak-anak dibunuh?", beliau menjawab:
“Jika anda tahu sebagaimana diketahui oleh Nabi Khaidhir, maka lakukanlah!” Ini
bererti perbuatan demikian diharuskan oleh syarak. Tetapi siapakah manusia yang
diperlihatkan oleh Allah perkara-perkara ghaib sepertimana yang diperlihatkan
kepada Nabi Khaidhir a.s?
Menegakkan
dinding yang hampir runtuh di sebuah kampung kepunyaan kaum yang kedekut yang
enggan memberi makanan dan layanan yang sepatutnya kepada tetamu adalah suatu
tindakan berbudi kepada yang tidak berbudi. Ini ialah satu daripada akhlak yang
dianjurkan oleh syariat Islam, Masihi dan Yahudi. Di dalam al-Quran terdapat
firman Allah:
“ولا تستوى الحسنة ولا السيئة، ادفع بالتى هى احسن فاذا الذى بينك وببينه
عداوة كانه ولى حميم”
Maksudnya
lebih kurang: “Tidak sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah kejahatan dengan
cara yang sebaik-baik. Apabila engkau berlaku demikian, maka orang yang menaruh
rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah teman
yang rapat."
Di dalam
Injil ada tersebut perkataan: “Perlakukan kebaikan kepada sesiapa yang
menyakitimu dan berkatilah orang-orang yang mengutukmu.” Allah telah berfirman
menceritakan kata-kata Nabi Musa a.s kepada kaumnya: “للناس حسنا وقولوا” Maksudnya lebih kurang: “Dan katakanlah kamu kepada manusia
perkataan yang baik."
Perbuatan
Nabi Khaidhir itu ialah perbuatan ihsan kepada suatu kaum yang bersikap buruk
terhadapnya. Dinding yang diselamatkan ialah dinding rumah dua orang anak yatim
yang bapa mereka adalah seorang lelaki yang soleh. Mereka tinggal di sebuah
kampung yang penduduknya kejam lagi kedekut. Andainya dinding rumah mereka
roboh, nescaya terbongkarlah harta yang tersembunyi di bawahnya. Dan sudah tentu
ia akan menjadi rebutan penduduk kampung yang kedekut itu, menyebabkan kedua-dua
anak yatim tersebut tidak dapat mewarisinya. Tindakan Nabi Khaidhir a.s
menegakkan dinding itu sememangnya disuruh oleh syariat, yang dibawakan oleh
para anbiya’ a.s yang menganjurkan supaya kebaikan, ihsan dan perlindungan
diberikan kepada anak-anak yatim dan hak-hak mereka dipelihara dengan
baik.
Tindakan
Nabi Khaidhir a.s itu tidak sepatutnya menimbulkan kehairanan kepda sesiapa.
Hakikat yang diperlihatkan kepada Nabi Khaidhir a.s yang tindakan zahirnya
kelihatan bertentangan dengan syariat Nabi Musa a.s sebenarnya adalah selaras
dengan syariat itu, begitu juga selaras dengan syariat yang dibawakan oleh Nabi
Muhammad s.a.w, bahkan selaras dengan semua syariat Allah yang diturunkan kepada
para rasul dan nabi. Perkara ini perlu difahami dengan
sebaik-baiknya.
Pegangan
Nabi Khaidhir kepada bukan syariat Nabi Musa a.s adalah sesuatu yang harus
kerana ia merupakan satu daripada sunnah-sunnah atau undang-undang Allah sebelum
perutusan Nabi Muhammad s.a.w. Setiap nabi pada masa itu diutus khusus untuk
kaumnya sahaja. Nabi Musa a.s merupakan rasul bagi Bani Israil, bukan sebagai
pesuruh Allah untuk penduduk alam sejagat. Kerana itulah apabila Nabi Musa a.s
memberi salam kepadanya, lantas Nabi Khaidhir a.s bertanya: “Dari bumimu yang
mana engkau membawa salam?” Nabi Musa a.s menjawab: “Aku ini Musa.” Nabi
Khaidhir a.s pun bertanya: “Musa Bani Israil?” Maksudnya: Engkau diutus kepada
Bani Israil dan engkau dari kalangan mereka? Nabi Musa menjawab: “Ya.” Ini
menunjukkan syariat Nabi Musa a.s tidak wajib dipegang oleh Nabi Khaidhir a.s
dan tidak juga manusia-manusia lain pada zaman itu. Adapun selepas perutusan
Nabi Muhammad s.a.w, maka menurut syarak, tidak sepatutnya ada sesiapa yang
keluar dari syariat yang dibawakannya, kerana Baginda s.a.w adalah pesuruh Allah
kepada seluruh alam jagat hingga ke akhir zaman. Nabi Khaidhir atau sesiapa jua
pun yang hidup pada zaman Nabi Muhammad s.a.w atau selepas zamannya, mesti
beriman kepadanya dan mesti mematuhi segala ajaran agama Allah yang
dibawakannya. Kerana itulah selepas perutusan Nabi Muhammad s.a.w, Nabi Khaidhir
atau sesiapa yang seumpamanya tidak wujud sama sekali.
Tindakan-tindakan
Nabi Khaidhir a.s adalah hasil wahyu sebenar dari Allah s.w.t, bukan cuma
khayalan atau ilham. Ini ialah kerana pembunuhan ke atas seseorang tidak boleh
dilakukan sewenang-wenang kerana sangkaan buruk. Sebab itulah Nabi Khaidhir a.s
berkata: “Apa yang telah aku lakukan itu bukan kehendakku sendiri.” Ini bererti
beliau hanyalah menjalankan perintah Allah yang sebenar dan wahyunya yang
qath’i. Perintah dan wahyunya qath’i dari Allah sudah terputus sejak kewafatan
Nabi Muhammad s.a.w. Barang siapa mendakwa adanya lagi wahyu selepas kewafatan
Nabi Muhammad s.a.w bererti dia telah kufur, kerana dakwaannya itu bertentangan
dengan keterangan al-Quran. Allah telah berfirman:
"ما كان محمد أبا أحد من رجالكم ولكن رسولالله وخاتم النبيين وكان الله
بكل شيء عليما"
)سورة الأحزاب: اية 40(
Maksudnya
lebih kurang: “Muhammad bukan bapa sesiapapun dari kalangan kamu, tetapi pesuruh
Allah dan penamat nabi-nabi. Allah adalah Maha Mengetahui segala
sesuatu."
Dari
keterangan-keterangan di atas ternyata kepada kita gambaran sebenar cerita Nabi
Khaidhir a.s dan iktikad yang wajib mengenainya berdasarkan keterangan al-Quran
dan as-Sunnah. Tetapi golongan bertasawwuf telah menjadikan cerita ini sesuatu
yang berlainan sama sekali. Mereka mendakwa, Nabi Khaidhir a.s hidup sepanjang
masa! Beliau adalah tuanpunya suatu syariat dan ilmu kebatinan yang berbeza dari
ilmu-ilmu syariat yang zahir! Beliau seorang wali dan bukan nabi! Manakala
ilmunya ialah “ilmu ladunni” yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya tanpa
melalui wahyu yang diterima para anbiya’! Ilmu-ilmu ini diturun kepada semua
para wali sepanjang masa sebelum dan selepas perutusan Nabi Muhammad s.a.w!
Menurut mereka, ilmu ladunni dan kebatinan ini lebih besar dan lebih agung
daripada ilmu-ilmu yang ada kepada para anbiya’! Bahkan ilmu-ilmu para anbiya’
itu tidak dapat menandinginya dan tidak setaraf dengannya! Oleh kerana Khaidhir
itu seorang wali dan bukan nabi, maka dia adalah lebih berilmu dari Nabi Musa
a.s! Begitu jugalah halnya dengan para auliya’ dari kalangan umat Nabi Muhammad
s.a.w; mereka lebih berilmu daripada Nabi Muhammad s.a.w sendiri kerana Nabi
Muhammad s.a.w mengetahui syariat-syariat yang zahir sahaja. Sementara wali
mengetahui hakikat tasawwuf yang batin! Para ulama’ hakikat adalah lebih berilmu
daripada para ulama’ syariat! Demikian dakwaan mereka.
Golongan
bertasawwuf itu juga mendakwa al-Khaidir telah bertemu dengan para wali dan
mengajar mereka tentang hakikat-hakikat tasawwuf dan mengikat mereka dengan
perjanjian-perjanjian sufi!! Hakikat-hakikat tasawwuf berlainan daripada
hakikat-hakikat syariat yang dibawakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Kerana itulah
setiap wali mempunyai syariatnya tersendiri!! Apa yang dianggap maksiat menurut
syariat seperti minum khamar, berzina dan liwat, maka ia adalah hakikat tasawwuf
dan taqarrub kepada Allah menurut ilmu kebatinan! Begitu juga berhubung dengan
akidah dan persoalan-persoalan kebatinan; masing-masing wali ada kasyafnya yang
khusus mengenai perkara-perkara tersebut yang berbeza dari wahyu
nabawi!!
Demikianlah
golongan bertasawwuf menjadikan kisah Nabi Khaidhir a.s ruang yang luas untuk
memasukkan segala jenis kekarutan, kezindikan, kejahilan dan pembohongan.
Kekarutan ini tiba di kemuncaknya apabila ada di antara mereka mendakwa bahawa
Nabi Khaidhir a.s masih hidup dan bersolat mengikut syariat yang khusus baginya!
Ada pula yang mendakwa, Nabi Khaidhir bersolat mengikut peraturan solat mazhab
Hanafi! Sementara sufi yang lain mendakwa dia telah melihat Nabi Khaidhir a.s
bersolat mengikut peraturan mazhab Syafi’e! Malah lebih daripada itu ada yang
mendakwa Nabi Khaidhir a.s itulah yang mengajarnya zikir dan wirid
tarikat-tarikat Idrisiyyah dan Sanusiyyah!!
Demikianlah
Nabi Khaidhir menjadi mainan golongan bertasawwuf. Mereka tidak berpada dengan
itu sahaja, malahan mereka menjadikan hampir di setiap tempat di muka bumi ini
suatu sudut yang mereka dakwa Nabi Khaidhir duduk di situ atau telah dilihat
oleh seorang sufi berada di situ!
Kerana
itulah banyak tempat di bumi dunia Islam yang menjadi tempat lawatan atau makam
di mana binatang-binatang disembelih dan kurban-kurban dipersembahkan. Kononnya
Nabi Khaidhir pernah dilihat berada di tempat-tempat
tersebut!
Pendeknya,
kisah sebenar Nabi Khaidhir a.s di dalam al-Quran dan as-Sunnah itu telah
bertukar kepada cerita-cerita dongeng dan khurafat yang mana dikatakan beliau
mensyarakkan orang ramai mengadakan berbagai-bagai jenis ibadat dan qurban,
mengajarkan zikir-zikir, mengadakan tarikat, tasawwuf, merestui wali-wali dan
qutub-qutub, melantik dan memecat sesiapa sahaja yang dia mahu dari kalangan
wali-wali itu!! Bagi golongan bertasawwuf itu, andainya anda mahu menemui Nabi
Khaidhir, memadailah bagi anda membacakan sekumpulan zikir tertentu ciptaan
mereka, nanti akan muncullah Nabi Khaidhir di depan anda dengan serta merta; dia
akan membawa kepada anda berbagai-bagai berita gembira yang anda mahukan dan
melantik anda sebagai wali serta menganugerahkan kepada anda ilmu-ilmu ladunni
yang tidak diketahui oleh rasul-rasul, bahkan yang tidak terlintas di hati
mereka mengenainya!!
Pencipta
Cerita Al-Khidhir Tasawuf
Tokoh
pertama yang mengada-adakan cerita al-Khidhir tasawwuf ialah Muhammad bin Ali
bin al-Hasan al-Tirmidzi, yang terkenal dengan panggilan “al-Hakiim” di kalangan
golongan bertasawwuf. Beliau hidup dan meninggal dunia pada abad ketiga Hijrah.
Di dalam bukunya “Khatamul Wilayat” (Penamat Kewalian), iaitu buku tasawwuf yang
dianggap paling bahaya, beliau telah menjawab pertanyaan-pertanyaan mengenai
tanda-tanda para wali dengan menyebut bahawa Nabi Khidhir a.s. sendiri yang
menyelia urusan-urusan para wali sejak mula kejadian lagi, mengenali mereka
sejak takdir dituliskan dan suka menemui mereka. Untuk hal-hal seperti inilah
maka beliau dihidupkan sehingga ke zaman umat Nabi Muhammad s.a.w! Nabi Khidhir
a.s. telah ada sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. dan ada pada zaman Zul Qarnain yang
telah berjuang dan mengembara untuk mencari mata air hayat yang barang siapa
meminumnya ia tidak akan mati untuk selama-lamanya! Zul Qarnain gagal
menemuinya, tetapi sebaliknya Nabi Khidhir a.s. yang bersama –sama berjuang
dengannya berjaya menemuinya, dan kerana itulah ia hidup untuk selama-lamanya!!
(Khatamul Wilayat, Halaman 326)
Cerita ini
jelas diada-adakan. Ianya suatu khurafat, suatu kejahilan dan dongengan yang
disalin dari khurafat dan dongengan Yahudi yang mengatakan Nabi Adam a.s. ketika
diciptakan Allah di surga telah memakan buah pohon Makrifat, lalu ia menjadi
seperti Allah yang mengetahui segala kebaikan dan kejahatan. Kemudian Allah
takut dia memakan buah dari pohon hayat yang boleh menyebabkan hidup
selama-lamanya dan tidak mati, lalu Allah menghalaunya dari syurga! (Kitab
Taurat al-Ashah Ketiga).
Dari
jenis-jenis dogengan Yahudi ini, Muhammad bin Ali al-Tirmidzi telah menggubah
cerita mengenai Nabi Khidhir a.s. yang kemudiannya dikutip oleh golongan
bertasawwuf dengan menambahkan kepadanya apa saja yang mereka mahu! Yang
pentingnya di sini ialah dakwaan bahawa Nabi Khidhir a.s. hidup selama-lama dan
turut berjuang bersama-sama dengan Zul Qarnain!! Kita tidak tahu di mana Nabi
Khidhir a.s. berada selama ia masih hidup mencari rezeki hingga ke akhir hayat.
Adakah Nabi Khidhir a.s. telah menyaksikan peperangan- peperangan Badar, Uhud,
Khandaq dan peperangan-peperangan jihad yang lain? Mengapakah dia tidak
menyertai dalam penaklukan kota Qadisiah dan Yarmuk? Mengapakah dia tidak
bertemu dengan Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq dan Sayyidina Umar bin al-Khatab?
Mengapakah dia tidak bertemu dengan Rasulullah s.a.w. andainya dikatakan dia
hidup selama-lama dan meninjau segala hal – ehwal wali-wali sejak mula kejadian
lagi? Bahkan mengapakah dia hanya bertemu dengan para pendusta sesat seperti
Muhammad bin Ali al-Tirmidzi yang mendakwa isterinya telah didatangi wahyu dan
memberitahunya dia akan menjadi penamat wali- wali sebagaimana Nabi Muhammad
s.a.w menjadi penamat nabi-nabi!! Muhammad bin Ali al-Tirmidzi ini juga mendakwa
wali-wali berkuasa menggulung bumi, berjalan di atas air dan berwawancara dengan
Nabi Khidhir a.s. yang dia dakwa seluruh bumi, darat, laut, lembah dan
gunung-ganang melipatkan diri bagi memudahkan Nabi Khidhir a.s. menjadi wali
yang dia sangat rindukan!! (Khatamul Wilayat, Halaman 361).
Sejak
tersebar cerita Nabi Khidhir a.s. ciptaan Muhammad bin Ali al-Tirmidzi dengan
segala pendustaan dan kepalsuannya ini, golongan bertasawwuf telah menokok
tambah pada cerita tersebut dengan berbagai-bagai lagi khurafat dan kekarutan
yang telah mempengaruhi akal fikiran orang ramai yang alpa dengan keterangan
–keterangan al-Qur'an dan as-Sunnah.
Nabi Khidhir
A.S. Bermazhab Syafie
Di antara
cerita-cerita paling aneh mengenai Nabi Khidhir a.s. ialah yang disebutkan oleh
Ahmad al-Faruqi as-Sarhindi di dalam bukunya “al-Muntakhabat Min al-Maktubat".
Ahmad al-Faruqi mendakwa, beliau telah melihat Nabi Khidhir a.s. dan Nabi Ilyas
a.s. di dalam suatu kelas pengajian, dan Nabi Khidhir a.s. memberitahunya bahawa
kedua-dua mereka datang dari alam arwah dan mereka menjelma di dalam berbagai
bentuk mengikut yang mereka mahu dan as-Sarhindi telah bertanya kepada Nabi
Khidhir a.s: “Adakah kamu bersolat mengikut mazhab Syafie?” Nabi Khidhir a.s.
menjawab: “Kami tidak ditaklifkan dengan syariah- syariah!! Tetapi oleh kerana
Qutub al-Zaman itu bermazhab Syafie, kami telah bersolat berimamkannya mengikut
mazhab Syafie.” Berdasar kepada jawapan ini, Ahmad al- Faruqi as-Sarhindi
mengumumkan bahawa kesempurnaan kewalian dikhususkan mengikut mazhab Syafie.
Adapun kesempurnaan kenabian, maka ia adalah dari keistimewaan mazhab Hanafi!!
Kerana itulah apabila Nabi Isa bin Mariam a.s. turun kelak, ia bersolat dan
beramal mengikut mazhab Hanafi! (al-Muntakhabat al- Maktubat, halaman 19,
Cetakan Turki).
Nabi Khidhir
A.S. Bermazhab Hanafi.
Ternyata
Ahmad al-Faruki al- Sarindi yang bergelar “alim rabbani” di kalangan golongan
bertasawwuf melalui kasyafnya yang merendahkan martabat mazhab Syafie dan
meninggikan martabat mazhab Hanafi dengan mengatakan mazhab Syafie untuk para
auliya' dan mazhab Hanafi untuk para anbia' itu, tidak mengetahui kasyaf al-
Sya'rani yang mendakwa bahawa Nabi Khidhir a.s. bermazhab Hanafi, bukan
bermazhab Syafie! Menurut al-Sya' rani, Nabi Khidhir a.s. telah menghadiri
kuliah fekah Imam Abu Hanifah pada setiap hari selepas solat Subuh dan
mempelajari syariah darinya. Apabila Abu Hanifah meninggal dunia, Nabi Khidhir
a.s. telah memohon kepada tuhan supaya dikembalikan roh Abu Hanifah ke kuburnya
agar ia dapat meneruskan pengajian dalam ilmu syariah. Nabi Khidhir a.s. datang
menemui Abu Hanifah di kuburnya seperti biasa pada setiap hari dan belajar ilmu
syariah darinya. Keadaan demikian berlangsung selama lima belas tahun sehingga
sempurna pengajian!! (Maarij al- Albab, halaman 44).
Anda pembaca
bolehlah melihat betapa palsu dan dustanya cerita-cerita ini! Mengapakah Nabi
Khidhir a.s. yang mereka dakwakan hidup pada zaman Rasulullah tidak mempelajari
ilmu syariah dari Baginda s.a.w? Mengapakah ia tidak menjadi murid kepada para
Khulafah Rasyidin pada hal para Khulafah Rasyidin itu merupakan manusia yang
paling alim dalam ilmu syariah? Imam Abu Hanifah sendiri pernah berkata:
“Ketepikan kata-kataku dan utamakan kata-kata para sahabat Rasulullah s.a.w.
kerana mereka lebih mengetahui tentang ilmu Tanzil al-Qur'an.” Andainya Imam Abu
Hanifah sendiri telah menyuruh kita mengetepikan kata-katanya dan mengutamakan
kata-kata para sahabat Rasulullah s.a.w, maka bagaimanakah Nabi Khidhir a.s.
dakwaan golongan bertasawwuf itu boleh mengetepikan pengajian ilmu syariah dari
Rasulullah s.a.w. dan dari para sahabatnya, tetapi sebaliknya terus hidup
menanti kemunculan Imam Abu Hanifah untuk mempelajari ilmu syariah darinya?
Adakah Khidhir tasawwuf yang mereka dakwakan itu seorang murid yang bebal hingga
menyebabkannya berguru kepada Imam Abu Hanifah sepanjang hayatnya, tanpa dapat
menguasai keseluruhan ilmu syariah, sehingga terpaksa pula bermohon kepada Allah
agar diteruskan Abu Hanifah hidup di dalam kuburnya supaya ia dapat
menyempurnakan pengajian dengan berulang -alik ke kuburnya selama lima belas
tahun lagi?!! Kemudian bagaimanakah al-Khidhir yang mereka dakwakan seperti ini
boleh membekali para aulia' dengan ilmu pengetahuan dan menjadikan guru mereka
sedangkan ia sendiri bebal dan kurang hafalan?
Sesungguhnya
orang-orang yang mengada-adakan cerita al-Khidhir tasawwuf ini tidak menyedari
kenyataan-kenyataan ini, kerana mereka tidak mempunyai akal yang sihat. Imam
Syafie rahimahullah pernah berkata: “Seseorang yang bertasawwuf pada awal siang
akan menjadi angkuh pada akhir siang.” Katanya lagi: “Seseorang yang menemani
orang sufi selama empat puluh hari tidak akan berakal untuk
selama-lama.”
Lebih aneh
lagi, khurafat–khurafat dan kekarutan-kekarutan seperti ini masih wujud dan
tersebar luas hingga ke hari ini. Di antaranya ialah yang terdapat di dalam buku
“Ad- Darr al- Mukhtar” (Mutiara Pilihan) di mana penyusunnya, al- Hasfiki
al-Hanafi, mendakwa bahawa al-Khidhir telah meletakkan kertas–kertas ajaran
mazhab Hanafi di Sungai Jimun (terletak di Asia Tengah) sehingga waktu turunnya
Nabi Isa a.s. yang akan mengambil kertas-kertas tersebut dan mempelajari mazhab
Hanafi darinya dan beliau akan memerintah dengan hukum-hukumnya pada akhir
zaman!!.
Al-Khaidhir
Mengajar Zikir Tasawuf
Al-Khaidhir
tasawuf yang didakwakan itu hampir berada di semua sudut tasawuf. Dialah ampunya
kasyaf! Dialah penghulu wali! Dialah penerima segala perjanjian! Dialah mursyid
sekalian makhluk dan dialah guru segala zikir!! Ahmad bin Idris berkata, “Aku
telah bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w. dalam sebuah pertemuan bayangan dan
bersama-sama Nabi Khidhir a.s. Lalu Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh al-Khaidhir
a.s. mengajarkanku zikir-zikir tarekat Syaziliah. Dia pun mengajarkanku dengan
kehadiran Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. berkata kepada
al-Khaidhir a.s: “Wahai al-Khaidhir! Ajarkanlah kepadanya yang mengandungi
kebaikan semua zikir, solawat dan istighfar serta lebih utama pahalanya!!”
(Mafatihu Kunuz as-Samawat Wa al-Ardha - oleh Soleh Muhammad al-Ja'fari,
halaman: 8)
Patut
disebutkan bahawa zikir-zikir tarekat Syaziliah mengandungi
pengertian-pengertian yang boleh membawa kepada kesyirikan dan kekufuran. Di
antara zikir-zikirnya ialah selawat Ibnu Masyisy yang berbunyi: “اللهم انشلن من اوحال التوحيد وأغرقني في عين بحر الوحدة”
Ertinya: Ya
Allah! Tariklah aku keluar dari lopak-lopak ketauhidan dan tenggelamkanlah aku
di dalam mata air lautan kesatuan wujud!.
Di dalam
selawat itu juga disebutkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. asal segala kewujudan
dan makhluk yang pertama sekali di dalam kewujudan dan darinya terpancar semua
nur dan lahir semua yang wujud!!
Yang
pentingnya al-Khaidhir tasawuf itu bukan Nabi Khidhir a.s. yang disebutkan Allah
di dalam al-Qur'an al-Karim dan yang terdapat keterangan di dalam as-Sunnah.
Nabi Khidhir a.s. yang terdapat ceritanya di dalam al-Qur'an dan yang
diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah seorang nabi yang mentauhidkan
Allah s.w.t, seorang mukmin yang diajarkan Allah dari ilmu-Nya melalui wahyu,
seorang yang hidup dan mati pada zamannya dan seorang yang membawa dan bertindak
mengikut syariah dan ajaran Allah. Adapun al-Khaidhir tasawuf itu, seperti mana
yang telah kita lihat, merupakan sumber khurafat, kekarutan, kejahilan dan
kesyirikan. Di dalam tulisannya: “رسالة زيارة القبور واستنجاد بالمقبور” (Risalah lawatan ke kubur dan memohon pertolongan dari si
mati)
Imam Ibnu
Taimiyyah menegaskan: “Nabi Musa tidak kenal Nabi Khidhir a.s. dan Nabi Khidhir
a.s. tidak kenal Nabi Musa a.s.. Bahkan apabila Nabi Musa a.s. memberi salam
kepadanya, Nabi Khidhir a.s. segera bertanya: “Dari bumi mu yang mana salammu
itu?” Nabi Musa a.s. menjawab: “Aku Musa!” Nabi Khidhir a.s. bertanya lagi:
“Musa Bani Israel?” Jawab Musa: “Ya.”
Nama dan
berita mengenai Nabi Musa a.s. telah tiba kepada Nabi Khidhir a.s. tetapi dia
tidak mengenali orangnya. Barang siapa mengatakan Nabi Khidhir a.s. itu penghulu
wali-wali dan menjadi guru mereka, maka sesungguhnya ia telah mengatakan perkara
yang batil. Yang betulnya mengikut para penyelidik ialah Nabi Khidhir a.s. telah
wafat dan tidak menemui agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Andainya ia ada pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. nescaya wajib baginya beriman
kepada Rasulullah s.a.w. dan berjihad bersama-samanya sebagaimana yang
diwajibkan Allah ke atas Baginda s.a.w. dan ke atas selainnya, dan nescaya Nabi
Khidhir a.s. berada di Mekah dan Madinah bersama-sama para sahabat untuk
berjihad bersama-sama mereka. Membantu mereka menegakkan agama Allah adalah
lebih utama baginya daripada berada bersama-sama orang-orang kafir untuk
menyelamatkan perahu mereka dan menyembunyikan diri dari sebaik-baik umat
manusia. Nabi Khidhir a.s. pernah berada di tengah-tengah kaum Musyrikin dan
tidak tersembunyi dari mereka. Sementara itu kaum muslimin tidak berhajat
kepadanya untuk mempertahankan agama Allah dan kehidupan dunia mereka. Mereka
mengambil ajaran agama dari Rasulullah s.a.w yang ummi yang mengajar mereka
al-Qur'an dan hikmah. Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda kepada
mereka:
“لو كان موسى حيا ثم اتبعتموه وتركتموني لضللتم”
Ertinya:
“Andainya Musa hidup, kemudian kamu mengikutinya dan meninggalkan aku, nescaya
kamu menjadi sesat!"
Andainya
Nabi Isa bin Maryam a.s. turun dari langit, nescaya ia akan menghukum manusia
mengikut al-Qur'an dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Kaum muslimin tidak
memerlukan Nabi Khidhir a.s. atau orang lain dalam perkara ini. Nabi Muhammad
s.a.w. telah memberitahu mereka mengenai turunnya Nabi Isa a.s. dari langit dan
kehadirannya bersama-sama kaum muslimin. Baginda s.a.w. telah
bersabda:
“كيف تهلك أمة أنا أولها وعيسى أخرها"
Ertinya:
“Bagaimana umat boleh binasa, sedangkan aku berada di permulaannya dan Isa
berada di akhirnya?"
Andainya
kedua-dua nabi yang mulia ini bersama-sama dengan Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa
a.s. dan Nabi Nuh a.s. yang semuanya merupakan semulia-mulia rasul di samping
Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan penghulu sekalian anak Adam dan mereka tidak
menghilangkan diri dari umat manusia, samada manusia biasa atau manusia yang
khawash (khas), maka bagaimana orang yang tidak semartabat dengan mereka boleh
menghilangkan diri sedemikian rupa? Andainya Nabi Khidhir a.s. hidup
selama-lama, mengapakah Nabi Muhammad s.a.w. tidak ada menyebutkan tentang
halnya, dan tidak juga disebutkan oleh para Khulafah Rasyidin
selepasnya?
Mengenai
kata-kata bahawa Nabi Khidhir a.s. itu penghulu wali-wali, maka bolehlah
dinyatakan kepada orang yang mengatakannya: “Siapakah yang melantiknya sebagai
penghulu wali-wali?” Sebaik-baik wali ialah para sahabat Rasulullah s.a.w. dan
di kalangan mereka tidak terdapat Nabi Khidhir a.s.
Kesimpulan
dari cerita-cerita Nabi Khidhir a.s. ini ialah sesetengahnya dusta, sesetengah
yang lain pula berdasarkan sangkaan orang umpamanya seseorang itu ternampak
seorang lelaki yang disangkanya Nabi Khidhir a.s, lalu ia mengatakan orang itu
Nabi Khidhir a.s, sama seperti golongan Syiah Rafidhah yang ternampak seorang
yang mereka sangkakan imam yang ditunggu-tunggu lagi maksum atau mereka mendakwa
demikian. Diriwayatkan dari Imam Ahmad bin Hanbal bahawa apabila disebutkan
kepada beliau mengenai Nabi Khidhir a.s, beliau telah menjawab barangsiapa yang
memberitahu mu mengenai perkara-perkara yang ghaib, bererti ia tidak berlaku
jujur kepadamu. Tiada yang melontar perkara sedemikian kepada mulut orang
melainkan syaitan.” Demikian menurut kata Ibnu Taimiyyah.
Bab
12: Darihal Kasyfu Tasawwuf
Di antara
ajaran pokok agama Islam dan kaedah keimanan ialah anda mempercayai bahawa
perkara-perkara ghaib itu hanya diketahui Alah Taala semata-mata dan Allah
sendiri yang memperlihatkan mana-mana perkara ghaib yang dikehendaki kepada
mana-mana nabi dan rasul yang dikehendakinya sahaja. Para anbiya’ dan rasul
tidak mengetahui perkara ghaib kecuali mana-mana yang diberitahukan Allah kepada
mereka. Allah telah berfirman kepada Rasulullah s.a.w:
“قل لا املك لنفسي نفعا ولا ضرا الا ما شاء الله ولو كنت أعلم الغيب
لاستكثرت من الخير وما مسني السوء إن أنا الا نذير وبشير لقوم يؤمنون".
Maksudnya
lebih kurang: “Katakanlah wahai Muhammad! Aku tidak memiliki bagi diriku sesuatu
yang bermanfaat dan yang membahayakan kecuali yang dikehendaki Allah. Andainya
aku tahu perkara ghaib, nescaya aku perbanyakkan kebaikan dan tidaklah aku
sentuhi keburukan. Sesungguhnya aku hanyalah pemberi ingat dan pembawa berita
baik bagi kaum beriman.”
Allah juga
telah memerintahkan RasulNya Muhammad s.a.w supaya memberitahu orang ramai
bahawa baginda bukan malaikat, tidak memiliki khazanah-khazanah Allah dan tidak
mengetahui perkara ghaib, seperti mana firman Allah:
“قل لا أقول لكم عندى خزائن الله ولا أعلم الغيب، ولا أقول لكم إني ملك
إن اتبع إلا ما يوحى إلي، قل هل يستوي الأعمى والبصير افلا تتفكرون” .
Maksudnya
lebih kurang: “Katakanlah wahai Muhammad! Aku tidak mengatakan kepada kamu
bahawa ِaku
mempunyai khazanah-khazanah Allah dan aku tidak mengetahui perkara ghaib, dan
aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawa aku ini malaikat, aku hanyalah
mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku. Katakanlah wahai Muhammad! Adakah sama
orang yang buta dan orang yang celik? Tidakkah kamu berfikir?”
Nabi Nuh a.s
juga telah menyebutkan demikian sebagaimana firman Allah:
“ولا أقول لكم عندي خزائن الله ولا أعلم الغيب، ولا أقول إني ملك، ولا
أقول للذين تزدري أعينكم لن يؤتيهم الله خيرا، الله أعلم بما فى أنفسهم إني إذا لمن
الظالمين".
Maksudnya
lebih kurang: “Aku tidak mengatakan kepada kamu; di sisiku ada khazanah-khazanah
Allah. Dan aku tidak mengetahui yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku
malaikat, dan tidak mengatakan kepada mereka yang kamu pandang hina bahawa Allah
tidak akan mendatangkan kebajikan kepada mereka. Allah mengetahui apa yang di
dalam hati mereka. Jika aku katakan demikian nescaya aku termasuk orang-orang
yang zalim.”
Di dalam
sahih al-Bukhari ada diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a, bahawa Baginda s.a.w telah
bersabda yang bererti: “Anak-anak kunci perkara ghaib itu lima, tidak
diketahuinya melainkan Allah; Tidak diketahui apa yang dikandungkan rahim,
melainkan Allah. Tidak diketahui apa yang akan berlaku esok melainkan Allah.
Tidak diketahui bila hujan akan turun melainkan Allah. Sesuatu diri tidak
mengetahui bila dia akan mati melainkan Allah. Dan tidak diketahui bila akan
berlaku qiamat melainkan Allah.” Hadits ini selaras dengan firman
Allah:
“إن الله عنده علم الساعة وينزل الغيث ويعلم ما في الأرحام وما تدري نفس
ماذا تكسب غدا وما تدري نفس بأي أرض تموت إن الله عليم خبير” .
Maksudnya
lebih kurang: “Sesungguhnya Allah berpengetahuan mengenai qiamat, dan dia
menurunkan hujan, dan dia mengetahui apa yang ada di dalam rahim, dan sesuatu
diri itu tidak mengetahui apa yang akan diperolehinya esok, dan sesuatu diri itu
tidak tahu di bumi mana dia akan mati, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi
Maha Mengerti.”
Di dalam
Sahih al-Bukhari juga terdapat riwayat dari Sayyidatina A’isyah r.a yang
berkata: “Barang siapa memberitahu anda bahawa Nabi s.a.w telah melihat
tuhannya, maka dia telah berdusta, kerana Allah telah berfirman: “لا
تدرك الأبصار” (Dia tidak ditangkap penglihatan). Dan barangsiapa memberitahu
anda bahawa Nabi s.a.w mengetahui apa yang akan berlaku esok, maka sesungguhnya
dia telah berdusta kerana Allah telah berfirman: “قل
لا يعلم من فى السموات وللأرض الغيب إلا الله” (Katakanlah wahai Muhammad! Tiada siapa di langit dan di bumi
yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah).
Ayat-ayat
al-Quran dan hadits-hadits seperti yang telah disebutkan di atas amat banyak. Ia
secara tegas menunjukkan bahawa tiada sesiapapun yang berada di langit dan di
bumi yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib selain Allah. Bahkan malaikat
yang hampir kepada Allah dan juga nabi atau rasul tidak mengetahuinya, kecuali
mana yang diperlihatkan oleh Allah Taala kepadanya. Sewaktu Allah mencipta Adam,
para malaikat sama sekali tidak tahu hikmah dari ciptaan tersebut. Allah telah
memaparkan kepada mereka benda-benda tertentu dan meminta mereka menamakannya
andainya mereka sememangnya benar di dalam dakwaan mereka. Tetapi mereka
menjawab: “Maha Suci Mu, kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa
yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya hanyalah Engkau, Engkau yang
Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Allah mengajarkan nama-nama itu kepada
Nabi Adam yang kemudiannya mengajarkannya pula kepada para
malaikat.
Seperti yang
telah disebutkan di atas, tiada seorang pun dari kalangan para nabi dan rasul
yang mengetahui perkara ghaib kecuali yang diperlihatkan Allah s.w.t kepadanya.
Nabi Nuh a.s tidak tahu anaknya bukan dari keluarganya dan isterinya tidak
menganut agama yang didakwahkannya. Nabi Ibrahim a.s tidak tahu beliau
dikurniakan seorang anak lelaki melalui isterinya Sarah melainkan setelah
didatangi malaikat yang memberitahunya perkara itu. Pada suatu kali,
malaikat-malaikat di dalam bentuk manusia mendatangi Nabi Ibrahim a.s, dan
mereka telah dijamu oleh Nabi Ibrahim a.s dengan menyembelih seekor anak lembu,
tanpa beliau mengetahui hakikat mereka, sehinggalah mereka sendiri
memperkenalkan diri. Nabi Ibrahim a.s juga tidak tahu tujuan kedatangan mereka
sehinggalah mereka memberitahunya bahawa kedatangan mereka ialah untuk
memusnahkan perkampungan kaum Nabi Luth. Sementara Nabi Luth a.s pula tidak
senang dengan kedatangan mereka, kerana tidak tahu mereka ditugaskan untuk
menyelamatkannya dari kebinasaan yang menimpa kaumnya. Nabi Luth a.s tidak
mempunyai kasyaf yang khas yang membolehkannya mengetahui hakikat mereka dan
tujuan kedatangan mereka.
Nabi
Muhammad juga telah mengalami banyak peristiwa yang dengan jelas menunjukkan
bahawa Baginda s.a.w tidak mengetahui perkara-perkara ghaib kecuali mana yang
diwahyukan Allah kepadanya. Ketika buat pertama kali baginda didatangi malaikat
Jibril di gua Gunung Hira’, Baginda s.a.w menyangkanya iblis. Lalu beliau
menyatakan kepada isterinya Khadijah bahawa beliau bimbang terjadi sesuatu yang
buruk ke atas dirinya. Adalah di luar pengetahuannya sama sekali bahawa yang
mendatangainya itu malaikat Jibril, sehinggalah Waraqah bin Naufal, sepupu
isterinya Khadijah, memberitahunya dan menegaskan percakapan yang dibawakan oleh
Jibril kepadanya itu serupa dengan percakapan yang diturunkan kepada para rasul
dan nabi sebelumnya. Begitu juga tidak terlintas di dalam hati Baginda s.a.w
yang ianya akan disakiti dan terhalau keluar dari Kota Mekah, bumi tempat
kelahirannya, sedangkan Baginda s.a.w telah berta’abbud di Gua Hira’ itu sejak
beberapa tahun lamanya. Tetapi bagi kalangan yang bertasawwuf, sesiapa yang
membalut kepalanya dengan kain dan duduk di tempat gelap gelita, akan melihat
Allah dan mengetahui segala yang ghaib serta boleh menyaksikan alam buana di
atas dan di bawahnya!
Nabi
Muhammad s.a.w berdakwah di Kota Mekah, bumi kelahirannya selama tiga belas
tahun, tanpa mengetahui ke mana Baginda s.a.w akan berhijrah kelak. Kemudian
selepas berhijrah ke Madinah, Baginda s.a.w pada suatu hari keluar untuk menemui
Abu Sufyan, tetapi gagal, sebaliknya bertembung dengan sepasukan tentera
musyrikin dan Nabi s.a.w tidak mengetahui terlebih dahulu pertemuan ini.
Beberapa orang kaum musyrikin terkemuka telah datang ke Kota Madinah dan
mendakwa telah beriman dan meminta Baginda s.a.w menghantar ke Mekah orang-orang
yang boleh mengajarkan al-Quran. Baginda s.a.w pun menghantarkan qari-qari yang
terbaik, tetapi malangnya mereka telah diserang hendap di tengah jalan dan
dibunuh. Mula-mulanya empat puluh orang qari dibunuh oleh kaum musyrikin ini.
Pada kali yang keduanya pula seramai tujuh orang yang dibunuh. Andainya
Rasulullah s.a.w mengetahui urusan Allah atau mengetahui terlebih dahulu
orang-orang arab kafir itu berdusta dan akan mengkhianatinya, nescaya sudah
tentu Baginda s.a.w tidak menghantar sahabat-sahabatnya untuk mereka
dibunuh.
Peristiwa-peristiwa
seperti ini dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang lain menunjukkan dengan
jelas bahawa Rasulullah s.a.w, yang merupakan semulia-mulia makhluk Allah itu
sendiri, tidak mengetahui sesuatu pun tentang perkara ghaib kecuali mana yang
diperlihatkan Allah kepadanya berdasar kepada kenabiannya.