Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Friday, 18 November 2011

Syukur alhamdulillah, penghargaan untuk gogol7551 dan amirlia3

Syukur alhamdulillah, penghargaan untuk gogol7551 dan amirlia3  
Bismillah hir-Rahman nir-Rahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Assalamu Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh kepada semua muslim dan muslimat dan laknat Allah kepada iblis dan para penyokongnya.
Sesungguhnya setiap orang berdakwah tak kiralah dakwah kearah sesat atau kearah jalan lurus yang diredhai Allah SWT. Apa tidaknya, mari kita lihat contoh-contoh kes berikut:
1.      Para sahabat Nabi SAW berdakwah menyebarkan ajaran Islam  semoga Allah meredhai mereka semua.
2.      Iblis serta tenteranya pun berdakwah semata-mata mengajak manusia dan jin untuk masuk neraka. Berdakwah juga.
3.      Orang merokok sentiasa mengajak/ berdakwah kepada orang lain supaya  merokok macam  dia agar dapat dosa.
4.      Orang berzina sentiasa mengajak berdakwah kepada kawan-kawannya agar turut sama berzina macam dia.
5.      Orang kaki rasuah sebagaimana dalam agensi-agensi kerajaan tertentu akan terus menerus / mengajak / berdakwah kepada staf lain agar menyertai mereka bergelumang dengan rasuah.
6.      Orang tareqat yang saya amat ANTI kepada golongan ini sentiasa berdakwah mengajak orang lain agar jadi macam dia juga. Kini satu golongan seperti ini menubuhkan Yayasan Sofa Negeri Sembilan untuk mengajak orang ramai menyertai mereka. Kini yayasan ini kerap menulis di akhbar Utusan Malaysia untuk meramaikan golongan macam mereka.
7.      Orang dari fahaman kuasa minda akan terus menerus berdakwah / mengajak orang ramai untuk sesat macam mereka juga.
8.      Orang kaki ilmu mengarut macam yang percaya kepada keris sakti berdakwah untuk mengajak orang ramai menyertai mereka menjadi sesat. Di Laman Emjay pun ramai yang menentang saya kerana mereka adalah spesis yang gemar dengan keris sakti.
9.      Orang yang kaki ilmu kitab mujarrobat pun berdakwah untuk mencari ahli baru agar turut sama menyertai mereka di neraka.
10.  Datok nenek, ibu bapa serta sedara mara yang mengamalkan amalan khurafat seperti meletak tangkal kepada bayi, meletak surah yaasin pada bayi dan segala yang sewaktu dengannya akan berdakwah secara paksa kepada ibu bapa yang baru mendapat bayi agar turut sama sesat seperti mereka.
Begitulah sekali lagi saya tegaskan bahawa  setiap orang berdakwah mengikut ilmu mereka tak kiralah sama ada dakwah mereka ini akan membawa ke syurga atau ke neraka. Itulah sebabnya mereka yang memberikan reply di Laman Emjay adalah terdiri daripada dua golongan iaitu golongan yang membawa ke neraka dan satu golongan lagi yang membawa ke syurga. Sekiranya kita adalah jahil, adalah mudah sekali untuk mengikut golongan yang berdakwah untuk ke neraka.
Hari ini saya membuka inbox Laman Emjay dan saya mendapati tulisan reply dari dua orang hamba Allah:
1.      Dari  amirlia3 wrote on Nov 11 2011 dihttp://laman-emjay.blogspot.com/2007/08/sayangnya-aku-dengan-keris-puaka.html  telah diedit sedikit.
Salam kepada semua sedara penentang mj. Mj dah kata n dah terangkan panjang lebar pun masih x paham lagi ke? Korang ni masa belajar dulu mesti bodoh dan bebalkan. Susah betul nak masuk otak dan paham. Benda simple jerr pun.. Nak ulang berapa ratus kali??
Okay, pasal keris n segala barang2 mistik tu pun. Sebenarnya wujud ke benda tu semua? Aku ni dulu sebenarnya adalah orang yang taksub dengan benda2 mistik n jin2 ni. Walaupun mak n pak aku orang kuat agama dan disegani di daerah aku tuttt. Aku sungguh berminat nak tangkap jin konon nak bela. Nak cari benda mistik konon yang ada jin. Sapa x nak klu dapat bela jin ni macam2 kita bleh buat woo. Kita suma pun maklum apa jin boleh buatkan..
So sumanya bermula bila aku joint satu persatuan yang di namakan ttuttt. Bila dah joint maka banyaklah kenal konon tok guru power2 kat malaysia ni. Antaranya KSS (kesaktian suci sejati) di shah alam. Nama cikgu zul tuttt. Sebabkan aku ada skit pengaruh maka dapatla ampu belaja ngan cikgu ni (ada pengaruh tu sebab aku ni ada banyak pengikut yang setia ngan aku setelah joint persatuan tutttt tu.. Cikgu tu pikir dengan pegang aku maka ramailah anak murid dia nanti). Paksu tuttt (kajian hak) kat prai. Dan banyak lagi beberapa nama yang bermula ngan ayahanda di pangkal gelarannya. X boleh nak petik dengan detail sangat takut jadi issue.
Macam2 ada aku blaja. Ilmu kebal laa., panggil qarin la, amik toyol la, lembutkan hati orang, pemikat gadis, bunoh jin la, ubat orang ngan air jampi la dan berbagi lagi. Aku belajar sehingga khatam walaupun terpaksa berulang dari kl ke prai tiap2 minggu selama berbulan sampai selesai. Setakat tinggal anak bini tu perkara biasa.
Berapa tahun Kemudian aku terjebak pulak dengan perniagaan barang2 mistik plak. Asalnya kenal ngan seorang dato. Ni dato betul ye. Bukan datuk tua kerepot. Dato ni pun ngan geng2 dia (ada yang dato jugak) nak cari barang kebal yang ada khadam. Maka dengan kabel yang aku ada kononnya maka daptlah aku beberapa barang. Ada yang import dari indonesia. Delima merah la, rantai/cemara babi la, geliga lipan la, besi kuning la, keris berdiri la dan sgala macam merapulah. Semua deal tersebut tak jadi. Ada yang kata jin larilah time akad. Barang jadi cairlah. Kebal x jadi kebal. Tembus x nampak tembus. Delima masuk air x jadi merah laa.. Duit memang berjutalah stanby dato ni semua. Dengan bodyguard dia, dengan tester dia. Kadang tu pengurusan deal jadi sampai berbulan bulan lamanya. Tunggu tester datanglah. Barang tunggu acara ritual dari indonlah.  
Hasilnya...... Setelah bertahun2 aku hidup dalam benda ni apa. Yang aku dapat ialah kesedarannn...!!!
Aku sedar benda2 ni suma x wujud pun. Hanya manusia bodoh jer yang percaya. Punya banyak kat indon tu penipu.. Diorang siap ada kilang keris berdiri dan segala jenis macam barang penipu yang lain termasuk jenglot pon diorang buat sendiri. Tu belum cita bab pengalaman terjebak ngan tokek pulak tu.

Jin2 yang aku panggil kononnya, tangkap, potong, semunya dengan perasan jerr.. Rasa didalam hati. Kemudian bayangkan. Para ku chaiitttt!!!! Apa benda semua ni?? Poyo ke apa?? Sehingga sekarang aku x pernah nampak jin pun seumur hidup aku. Pantang aku klu ada orang or bomoh kata nak bagi aku jin. Aku mesti turut (dulu laa). Macam syarat bagi kat aku. Kena duduk dalam hutan kat tepi higway ampang laa (masa tu laa) tunggu sengsorang sampai ada dugaan sampai pagi laa. Mencanak aku tunggu. X de apa punn. Bila di tanya mana toyol tu. Dia kata ada dalam poket aku. Cuba rasa dengan perasaan. Cheihhh!! Penipu!!
Klu nak cita suma pengalaman bodoo aku. Ni 3 hari 4 malam x abis.
Sekarang ni bila ada orang dakwa:-
·         dia boleh nampak jin dia penipu!
·         Dia boleh santau orang. Dia penipu! Ko boleh santau aku klu nak buktikan. Di persilakan.
·         Dia boleh menilik kononnya. Dia penipu! Pernah satu kes ada kecurian pecah kendraan niaga di uptown kota damansara. Tengok bomoh di paya jaras kluar gambo paraut mana tah kat dalam tin milo berisi air. Dia kata tu pencuri (setelah acara ritual tertentu). Aku n geng amik tin tu rupanya dia tampal gambo pasport tah indon mana tah kat bawah tin tu. Kantooiii... Kerana perkara tu bomoh tersebut telah menghalau kami dari rumah beliau di hadapan costumer dia yang tengah beratur menunggu giliran untuk berbomoh. Cstmr dia suma terdiri dari mak cik tua2 kereport nak tngok barang hilang.
·         Kebal pulak nak citer. Suma yang ditetak kat aku ialah kat perut. Belakang tangan (bawah lengan). Suma tu trik jerr.. Kenapa x tetak kat tempat bertulang.
Lagi satu keje bodoh aku buat/blaja ialah ilmu makan kaca. Padahal suma orang boleh makan kaca (kaca mentol jer pun). Dengan syarat gigit sampai hancur. X pasal konon aku dah baca jampi mengarut merapu nak amik ilmu tu konon.
Silat baca jampi boleh bruce lee pulak kononya atau pun boleh pilih nak jadi hang tuah la plak (boleh pilih). Tu suma pun poyo gak. Bila di bagi penampor x bleh plak nak elak..
Apa barang tuu.. Perasaan ko jer sebenornya.
Lagi satu nak tanya tuan mj. Kenapa orang klu histeria bila saya pegang tetek or kemaluan dia, orang itu akan tersedar dari hiteria dia, kemudian marah kita pulak. Sedangkan dia tengah kerasukan so camana dia sedar. Kebanyakan kes macamtu ustaz. Belum lagi satu kes pasal budak remaja kat damansara damai bilamana berlakon kena rasuk balik dari ulu yam jam 2 pagi (berlakon sebab takut kena marah ngan orang tua, sebab kantoi buat zina). Kawan saya yang ubatkan kononya kena buat kenduri kesukuran supaya jin tu pergi. 2/3 hari lepastu betul2 orang tua tu buat kenduri dengan niat nak sruh jin tu balik. Pergghhh... Bodohnya bangsaku.. Padahal budak kena rasuk tu dah mgaku dia berlakon jerr kat kawan saya tu. Aduu kwan saya tu pun dapat dosa subahat skali..
Tu blumm plak sya nak cita trik pasal telur yang di buat oleh kwan saya di kota damansara. Haduhaiii.... Camno masuk jarum on de sport depan cstmr time pecah. Letak titik sirap on d sport jugak depan cstmr time pecah depan mata diorang. Semuanya adalah penipuan semata2.

Oklah tuan, setakt ni dulu. Dah penat menaip. Banyak lagi yang saya nak kongsikan disiniii. Pada kamu suma yang percaya dengan benda mistik tu x payah nak poyooo lahhh. Jadikanlah pengalaman aku yang buang masa aku selama ni, mengabihkan duit aku, dibenci bini (dulu arr) di perbodohkan sebagai iktibar.
Jin tu memang wujud. Tapi klu kita x gangu dia maka dia x kan ganggu kita. Percayalah. Biar dia hidup ngan dunia dia. Kita ngan dunia kita. Kita sebagai manusia biasa x kan mampu nak menguasai/ beri arahan / berkawan ngan jin. Yang wujud hanyalah penipu2 semata mata.
Sebelum tu. Nak tanya. Ilmu sihir tu wujud lagi ke?? Klu ada apa buktinya. Allah swt maha pemurah dan maha pengasih. Aku dah cuba buat n blajar dah dulu. Hi hi.. X jadi punnn... Penipu jugak ke??? Kitab mujarobat tu habis buat dah x de pa per pun yang berlaku. Berbagai petua dan segala amalan kurafat aku buat nak tengok, nak tangkap, nak kawan jin. Tak jadi pun. Cheh. Kenciing suma tuhh!!  
Berbalik pada tadi, kalau ilmu sihir wujud lagi kat dunia nih dah lama dunia ni musnah. Orang boleh membunoh hanya dengan menggunakan gambo fesbook. Mana2 perempuan kaya, mak2 datin dan yang berkerjaya semuanya jadi bini tok2 bomoh sebab diorang pandai ilmu pengasih. Berlaku nya peranng santau menyantau sebab maysarakat melayu nih dengki mendengki. Mana 2 pemimpin yang ada dalam dunia ni boleh dibunoh ngan ilmu santau je, pasal gambo diorang dah bersepah2 ada kat internet n media massa. Pikirlah logikk pun anda dah dapat jawapannya.. Roger...!
2.      Dari gogol7551 wrote on Nov 10 2011 di http://laman-emjay.blogspot.com/2007/03/hukum-mengamalkan-aura-chakra-kuasa.html

 sy pernah blaja sume bende2 d ats... last2 syok sendiri... solat tggl, quran x bace.. dok meditasi je.. power2.. ape yg powernye??!! asyik2 hati msti baik. nk gune hati, kene ade ilmu. baru la x sesat. dh la.. tgglkn la bende2 karut tu.. org bkn islam sibuk peluk islam. org kite plak, dok sibuk ngn bende2 ngarut ni..

Amat sayu hati saya membaca kedua-dua reply di atas, sedih gembira melihat dua hamba Allah ini telah membuat u-turn kembali kepangkal jalan meninggalkan amalan–amalan yang menyesatkan. Doa saya kepada mereka adalah semoga Allah memberikan rahmat hidayah kekuatan serta pertolongan untuk mereka terus berada dijalan lurus jalan Allah redha dan dimatikan mereka dan saya dalam iman.
Saya dengan memohon kerjasama dari  sdr amirlia3 dan juga gogol7551 agar terus menulis diruangan khas yang saya sediakan ini melalui reply semoga kesilapan mereka berdua dahulu menjadi iktibar bagi kita semua.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada mereka berdua menulis reply di sini.
Sekian wallahuaqlam

Emjay

Thursday, 27 October 2011

Setiap saat kita mendapat sial dan dosa percuma, aduhhhhhh!



Bismillah hir-Rahman nir-Rahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamu Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh kepada semua muslim dan muslimat dan laknat Allah kepada iblis dan para penyokongnya.

Saban hari agama Islam di Malaysia dicabar dengan sedemikian rupa. Kalau dahulu pemimpin berani mempermainkan janggut nabi SAW. Kini hudud dipermainkan lagi. Umat Islam sudah berani mempersoal perlaksanaan hudud. Hukum tentang hudud amat jelas iaitu “Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Maaidah, sebahagian dari ayat 45).  Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir. (Surah al-Maaidah, sebahagian dari ayat 44).

Di Malaysia secara amnya terdapat dua pihak dimana satu pihak memperjuangkan perlaksanaan hukum hudud (Pas menjuarainya) manakala satu pihak lagi menentang perlaksanaannya (UMNO menjuarainya). Akibat dari persengketaan kedua-dua pihak ini, masyarakat Islam di Malaysia juga terbahagi kepada dua dimana satu golongan menyebelahi PAS dan satu golongan lagi menyebelahi UMNO. Sebelum kita bercerita tentang perkara ini lebih lanjut lagi, mari kita lihat maksud hadis 1 berikut:

1. Barangsiapa melihat suatu kemungkaran hendaklah dia merobah dengan tangannya. Apabila tidak mampu, hendaklah dengan lidahnya (ucapan), dan apabila tidak mampu juga hendaklah dengan hatinya (membenci) dan itulah keimanan yang paling lemah (hr Muslim)

Dalam kes hudud ini, sebaik-baik tindakan segenap umat Islam di Malaysia hendaklah merubah dengan tangan. Setengah ulamak memberikan maksud kuasa. Kita sewajarnya berusaha dengan kemampuan kita untuk menegakkan agar hukum hudud ini ditegakkan di bumi Malaysia. Saya sedang berusaha dengan kemampuan saya menulis artikel ini.

Sekiranya kita tidak mampu melakukannya, hendaklah kita bertindak melalui lisan dengan menasihati agar kita semua sama-sama menegakkan hukum hudud di Malaysia. Sekiranya untuk menasihati dan berkempen pun tidak berupaya, hendaklah kita semua membenci. Dalam bab ini amat perlu kita membenci semua pihak yang bertindak untuk menentang perlaksanaan hudud. Tak kiralah UMNO ke atau sesiapa sahaja yang menentang hudud. 

Membenci adalah keimanan yang paling lemah. Ini memberi makna sekiranya seseorang tidak membenci kemungkaran, maka orang tersebut sudah tiada iman berdasarkan maksud hadis ini.

Membenci kemungkaran adalah selemah-lemah iman dan lawan kepada membenci adalah rela atau redha dengan kemungkaran tersebut. Islam telah menetapkan bahawa rela atau redha dengan sesuatu  kemungkaran adalah sama beratnya dengan melakukan kemungkaran  tersebut. Marilah lihat maksud hadis 2 berikut:

2. Perbuatan dosa (oleh seseorang) mengakibatkan sial terhadap orang lain (yang tidak melakukan dosa tersebut). Kalau dia (orang lain) mencelanya maka boleh terkena ujian. Kalau mengumpatnya dia berdosa dan kalau dia menyetujuinya maka seolah-olah dia turut melakukannya. (hr: Ad Dailami).

Marilah kita sama-sama memahami maksud hadis ini. Sesungguhnya apabila seseorang melakukan kemungkaran, orang lain yang tidak melakukanya mendapat SIAL. Bahasa lain bagi sial adalah celaka,  nasib malang atau mendapat perkara buruk.

Bagaimana pula orang lain yang tidak melakukan dosa tersebut mendapat SIAL? Sial ini boleh diperolehi oleh orang yang tidak melakukan dosa ini melalui tiga cara iaitu:

AMengata / mencela orang yang melakukan dosa tersebut boleh mengakibatkan ujian terkena kepada orang yang mengata. Contohnya mengata / mencela orang yang mempunyai anak suka bermaksiat, kelak anak sendiri diuji Allah SWT suka bermaksiat.

B. Mengumpat orang yang melakukan sesuatu maksiat adalah dilarang dalam Islam dan perbuatan mengumpat menyebabkan diberikan Allah SWT dosa. Perlu diingat bahawa dosa mengumpat adalah lebih berat dari dosa berzina.

C. Setuju atau redha atau rela dengan perbuatan maksiat adalah sama seperti melakukan perbuatan maksiat itu sendiri.

Aduh berat sekali kita semua. Untuk mengelakkan perkara A atau B atau C adalah sukar. Seandainya kita termasuk dalam salah satu kumpulan ini maka sial lah kita, malang sekali. Mengata atau mencela tak boleh, mengumpat tak boleh dan redha dengan perbuatan tersebut pun tak boleh. Jika demikian apa yang boleh dilakukan oleh kita semua?? Jawapannya ialah kembali kepada hadis 1 di atas iaitu bertindak guna tangan atau mulut atau sekadar membenci.

Kembali kepada kes hudud di Malaysia, memang banyak sekali sial nya kepada umat Islam di Malaysia. Redha dengan kumpulan penentang perlaksanaan hudud boleh merosak akidah berdasarkan hadis 1 di atas. Manakala berdasarkan hadis 2 pula adalah seolah-olah turut sama  menentang perlaksanaan hudud itu sendiri. Menentang hukum hudud sememangnya merosak akidah dan itulah sebabnya hadis 1 dan hadis 2 tidak bertentangan malahan saling menguatkan.

Tentang bab redha / rela terhadap kemungkaran adalah sama seperti mengerjakan kemungkaran tersebut, dalam Islam ada satu istilah lain dipanggil subahat. Orang yang melakukan satu perbuatan dosa dan orang yang bersubahat dengannya adalah dikira sebagai dosa yang sama. Persoalan ini dikuatkan lagi oleh hadis  3 yang bermaksud:

3. Apabila suatu kesalahan dilakukan di muka bumi maka orang yang melihatnya dan tidak menyukainya seolah-olah dia tidak berada di situ, dan orang yang tidak melihat kejadian kesalahan itu tetapi redha / rela maka seolah-olah dia melihatnya (hr Abu Dawud)

Berdasarkan hadis 3 ini, bagi orang yang melihat satu kemungkaran dan orang ini membencinya, maka seolah-olah dia tidak melihat dan berada di tempat itu dan terlepaslah orang ini dari dosa bersubahat. Ini sesuai dengan hadis 1 di atas iaitu selemah-lemah iman adalah membenci kemungkaran. Namun bagi orang yang tidak melihat sesuatu kemungkaran tetapi meredhai kemungkaran tersebut maka orang ini mendapat dosa bersubahat seolah-olah melihat kemungkaran tersebut berlaku.

Aduh kalau begini sial lah kita semua apabila:

a. Melihat wanita Islam membuka aurat, kita tumpang seronok melihat aurat wanita.
b. Melihat pembaca berita wanita Islam tidak bertudung, tidak tersentuh hati, tidak membenci.
c. Melihat artis di televisyen berlakun dedah sana dedah sini, kita semakin hilang mengantuk, tidak membenci.
d. Melihat menteri wanita atau isteri pemimpin tidak bertudung, kita kata bergaya sungguh mereka, tidak membenci.
e. Melihat penipuan oleh rakyat Malaysia dari golongan buruh hingga pak menteri, kita pun kata “biarlah mereka”!!
f. Perbuatan mencuri merompak di tukarkan kepada istilah KOMISYEN, kita kata “biarlah mereka”
g. Merasa suka / gembira bila melihat pondan (orang lelaki dengan penampilan wanita). Ada pula yang bangga menjemput pondan menjadi mak andam untuk anak-anak mereka.
h. Mengetahui berbagai penjualan benda-benda khurafat di internet seperti di http://tenaga-kota-tauhid.blogspot.com/2018/01/batu-hikmat-sakti.html tetapi mengambil sikap “biarlah mereka”.
i. Pengamal perbomohan bertitle dato dsbnya membuka klinik mampu mengeluarkan dan mencuci organ seperti jantung dsbnya, kita kata “biarlah mereka” maklumlah para mufti pun tak kata apa pun. Menteri agama Malaysia pun tak kata apa-apa.
j. Pengamal perubatan yang kononnya merawat secara Islam menggunakan garam, lada hitam, paku, limau, tahi besi dsbnya, kita semua kata “biarlah mereka”!!
h. Si doktor dengan ilmu bertentangan dengan agama Islam iaitu ilmu rahsia tarikh lahir si Azizan tu ramai sekali redha dengan mempelajarinya dan bersetuju dengannya.

Saya mewujudkan Laman Emjay adalah paling utama motifnya agar saya tidak terkena SIAL dengan meredhai kemungkaran-kemungkaran yang berlaku di Malaysia. Saya alhamdulillah mampu menulis maka saya bertindak dengan menulis. Semoga Allah SWT memudahkan saya terus menulis.

Saya menasihati diri saya dan para pembaca sekelian, bagi tujuan mengelakkan sial, apabila melihat sesuatu kemungkaran, lakukanlah:

1. Menghalang dan membetulkan atau menentang kemungkaran tersebut dengan kemampuan kita secara fizikal dan boleh dilakukan dengan menulis
2. Menghalang dan membetulkan kemungkaran dengan cara berdakwah dan nasihat menasihati.
3. Membenci perlakuan kemungkaran tersebut.
4. Apabila berjumpa pelaku kemungkaran, jadikanlah muka berwajah masam sesuai dengan  hadis bermakud “Sayyidina Ali RA berkata: Rasulullah SAW menyuruh kami bila berjumpa dengan ahli maksiat agar kami berwajah masam” (Hr Ath Thahawi)
5. Elakkan dari sikap “biarlah mereka”
6. Elakkan dari menyebelahi / menyokong pelaku kemungkaran kerana ini hanya akan menyebabkan mendapat dosa subahat yang sama besarnya dengan dosa pelakunya.
7. Belajarlah ilmu yang Allah SWT redha supaya kita tidak tersalah menyokong golongan yang mungkar kerana dosa menyokong kemungkaran adalah sama dengan dosa melakukannya.
8. Tidak ada pengecualian melalui “saya jahil dan saya tidak mengetahui ilmu ini” kerana Islam mewajibkan menuntut ilmu. Melakukan kemungkaran dalam kejahilan juga memerlukan taubat sebagaimana dinyatakan dalam Al Quran 6 Al An'aam ayat 54 dan An-Nisaa' ayat 17.
9. Perbanyakkanlah mengucap istigfar semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa kita.

Sesungguhnya setiap saat kita semua terdedah dengan sial akibat perlakuan kemungkaran oleh orang lain. Jangalah kita meredhai perbuatan tersebut. Paling kurang kita perlu membenci agar kita tidak memungut dosa percuma dan mendapat sial.

Wallahuaqlam wassalam semoga kita semua tidak terkena SIAL dari pelaku-pelaku kemungkaran disekeliling kita .


Emjay


Thursday, 15 September 2011

Gajah Depan Mata Tak Nampak Tetapi Kuman Diseberang Laut Jelas Nampak.

Assalamualaikum wbh kepada semua umat Islam dan laknat Allah ke atas Iblis dan pengikut-pengikutnya.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Semoga dimudahkan  Allah SWT saya menulis posting ini.

Alhamdulillah segala puji bagi Alah SWT yang dengan limpah kurnianya saya diizinkan menulis pada hari ini setelah sekian lama tidak menulis. Dengan tanggungjawab baru menjadi bendahari Koperasi UTM, urusan anak-anak, menerima menantu kedua pada bulan Ogos lalu dan urusan insyaAllah menjadi Datok maka saya telah berhenti menulis buat seketika. Ramai juga yang menegur saya mengapa tiada posting baru di Laman Emjay. Namun saya hanya Emjay seorang insan kerdil yang amat lemah. Tanpa rahmat dariNya apalah yang mampu saya lakukan.

Selama menyendiri beberapa bulan ini Alhamdulillah saya sihat dan begitulah juga dengan semua ahli keluarganya. Terima kasih Ya Allah. Semoga pembaca Laman Emjay sekelian diberikan Berkat dan Rahmat jua dari Allah SWT.
Alhamdulillah anak saya yang kelima baru-baru ini berjaya mendapat bantuan pinjaman MARA untuk melanjutkan pendidikannya. Saya pun terpaksalah bersama anak saya ini dan anak bongsu bertiga pergi ke Bangunan MARA bersebelahan Pertama Complex di Jalan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur. 

Saya dahulu sewaktu membuat first degree pun dengan bantuan MARA dan Alhamdulillah kini anak kelima saya pun mendapat bantuan MARA. Dahulu pejabat MARA terletak di Komplek Pertama tetapi kini Pejabat MARA sudah jauh berkembang di Bangunan Mara bersebelahan Komplek Pertama. Kini Bangunan Mara sudah membesar lagi dengan bangunan baru lain bagi menempatkan pejabat bagi peniaga Melayu berurusan di bangunan terbaru ini.

Urusan di bahagian Pendidikan Mara ini serta urusan yang berkaitan dengannya mengambil masa agak lama dan saya terpaksa menunaikan solat jamak qasar zohor dan asar di surau bangunan MARA ini yang terletak ditingkat 2. Surau ini dikelilingi oleh kedai-kedai Melayu yang kelihatan suram sahaja.

Apabila saya masuk ke surau tersebut, saya terlihat dua notis peringatan agar mereka yang masuk surau ini mematikan handphone mereka. Saya sempat mengambil gambar kedua-dua notis tersebut seperti gambar berikut.
Gambar asal telah hilang. Saya gantikan dengan imej yang hampir serupa ini.

Notis yang dibawah berbunyi “Telefon bimbit tidak dibenarkan” manakala notis yang di atas berbunyi “Perhatian, semasa berada didalam surau, sila matikan telefon bimbit anda atau tukarkan ke mod senyap. Kerjasama anda supaya tidak mengganggu jemaah yang sedang solat adalah amat dihargai. Terima kasih. ”

Adakah sebarang kesilapan atau sebarang keburukan yang timbul dari dua notis tersebut?? Sebenarnya tiada cacat celanya dengan kedua-dua notis tersebut. Saya amat menyetujui kedua-dua notis tersebut. Kalau sudah tiada silap atau keburukan atau cacat cela dengan notis tersebut, mengapa pula saya nak menulis artikel berkenaan dengannya? Teruskanlah membaca untuk mengetahuinya..

Apa yang ingin saya tegaskan disini ialah membuat bising seperti deringan handphone hatta membaca Al Quran dengan kuat / keras sehingga mengganggu jemaah lain beribadah adalah ditegah sama sekali apabila dilakukan di dalam masjid. Masjid dibina untuk ibadat dan menjadi hak dan milik semua orang Islam. Oleh itu tiada siapa berhak mengganggu ketenteraman mereka seperti melalui bacaan zikir, bacaan Al Quran, bacaan doa dan sebagainya yang dilakukan dengan suara yang kuat apatah lagi dengan mikrofon dan pembesar suara kerana perbuatan ini mengganggu orang lain yang sedang beribadat.

Imam Ibnu Taimiah menyatakan:
“Tidak seorang pun boleh menyakiti ahli-ahli masjid iaitu orang yang bersolat, membaca Al Quran atau berzikir atau berdoa atau seumpamanya kerana masjid dibina untuk maksud-maksud tersebut. Dan tiada seorang pun boleh melakukan di dalam masjid atau di pintu-pintu masjid sebarang gangguan kepada ahli masjid bahkan Rasulullah telah keluar menemui sahabat-sahabatnya yang sedang bersolat dengan mengeraskan suara bacaan lalu bersabda mafhumnya:
Wahai manusia, semua kamu sedang bermunajat dengan Tuhannya, maka janganlah sebahagian kamu mengeraskan bacaan ke atas sebahagian yang lain”

Apabila Rasulullah SAW melarang orang yang bersolat dengan mengeraskan bacaan Al Qurannya ke atas yang lain yang juga sedang bersolat maka bagaimana pula halnya dengan perbuatan gangguan lain?? Orang yang mengganggu ketenteraman ahli masjid atau yang melakukan sesuatu yang membawa kepada perkara yang demikian itu hendaklah dicegah menurut Ibnu Taimiah.

Abu Said AlKhudri ra meriwayatkan katanya:
Rasulullah SAW beriktikaf di dalam masjid, maka ia mendengar orang-orang menyaringkan bacaan Al Quran lalu baginda membuka tabir dan bersabda: Ketahuilah bahawa kamu semua bermunajat dengan Tuhan, maka janganlah sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain dan janganlah sebahagian mengangkat suara atas sebahagian yang lain dengan bacaan Al Quran. (Hadis riwayat Abu Daud)

Hadis seperti ini juga ada diriwayatkan oleh Malik.
Di dalam satu hadis, dan kepada Ali ra Rasulullah bersabda mafhumnya:
Wahai Ali janganlah engkau mengeraskan suara bacaan mu  dan doa mu sewaktu orang sedang bersolat kerana yang demikian itu akan merosakkan solat mereka.

Begitulah Allah melarang orang membuat bising yang mana akan mengganggu ahli masjid yang sedang beribadah sehingga larangan ditetapkan untuk berjual beli di dalam masjid hatta bertanya barang yang hilang.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa rasulullah bersabda mafhumnya:
Barangsiapa menanyakan barang yang hilang di dalam masjid maka katakanlah, Allah tidak akan memulangkan kepadamu.

Berdasarkan hadis-hadis yang disampaikan di atas jelas bahawa kita semua tidak boleh:

1.  Mengeraskan bacaan al Quran sewaktu solat berseorangan ketika ada orang lain juga sedang solat bersendirian. Juga ketika solat berjemaah, makmum dilarang mengeraskan bacaan sehingga mengganggu jemaah lain. 

2.  Mengganggu seperti membuat bising dan deringan handphone sewaktu ahli masjid sedang solat, membaca Al Quran, berzikir dan berdoa apatah lagi mengajar kelas agama dengan mikrofon dan pembesar suara sewaktu ahli masjid sedang melakukan ibadat tersebut.

3.  Membaca Al Quran dengan lantang sewaktu orang lain sedang solat, membaca Al Quran, berzikir dan berdoa

4.  Berzikir dan berdoa dengan kuat apatah lagi menggunakan mikrofon dan pembesar suara sewaktu ahli masjid sedang solat, membaca Al Quran, berzikir dan berdoa.

Sudah menjadi adat kebiasaan di Malaysia bahawa imam dan makmum berwirid beramai-ramai selepas solat dengan suara lantang dan kini ditambah pula dengan penggunaan mikrofon dan pembesar suara dengan diaminkan beramai-ramai oleh makmum.  Ia  seolah-olah sesuatu perbuatan yang wajib atau sebahagian daripada kesempurnaan solat. Jika tak dilakukan dipandang suatu aib atau berdosa. Oleh kerana itu masjid dan surau menjadi hingar bingar mengalahkan pasar ikan selepas setiap solat berjemaah sehingga mengganggu orang lain yang sedang beribadah. Mereka tidak menghiraukan langsung orang-orang masbuk yang sedang solat atau orang yang baru hendak solat. Mereka terus berwirid dan berdoa sampai tamat dengan kuat dengan bantuan mikrofon dan pembesar suara pula. Jelas bahawa perbuatan ini adalah satu perbuatan yang sangat tercela dan wajib dihentikan.

Nabi Muhamad SAW dan para sahabatnya tidak membaca wirid-wirid beramai-ramai dengan suara keras dan terus menerus pada setiap selepas solat dan tidak pula membaca doa dengan suara kuat dan diaminkan oleh makmum pada setiap selepas solat. Nabi dan para sahabat hanya membaca wirid dan doa dengan kuat / keras diwaktu mengajar makmum. Imam Al-Syafi'i menulis dalam kitabnya Al Umm bahwa mereka mengeraskan suara hanya beberapa waktu lamanya untuk mengajar sifat cara zikir, bukan bererti mereka terus-menerus mengeraskan bacaan zikir. Adapun pandangan yang terpilih adalah bahawa imam dan makmum sama-sama membaca zikir dengan suara perlahan kecuali bertujuan untuk mengajar zikir tersebut kepada orang-orang terutama sekali apabila  ada dikalangan jemaah adalah orang yang baru memeluk Islam.

Allah berfirman ertinya:  Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan cara merendahkan diri dan dengan suara perlahan, sesungguhnya Ia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas (Al-A‘raf:55).

Menurut sunah ialah memperlahankan suara pada semua zikir kecuali talbiah iaitu  Labbaika Allahumma labbaik. Labbaika laa syariika laka labbaik. Innal hamda, wan-ni'mata, laka wal mulk, laa syariika laka. Disunatkan berzikir dan berdoa secara perlahan dan mengeraskan suara  dengan bacaan zikir dan doa selepas salam imam hanyalah untuk mengajar orang mukmin dan apabila mereka telah belajar, maka hendaklah diperlahankan. Imam Syafiee mengagungkan hadis-hadis yang menyatakan berwirid dengan suara yang keras ialah terhadap orang yang mengajar sahaja.

Apabila imam membaca ayat Al Kursi secara perlahan untuk dirinya sendiri atau salah seorang makmum membaca Al Kursi secara bersendirian dan perlahan, maka ini adalah satu amal saleh dan tidak mengubah syiar Islam. Begitulah juga apabila sesiapa membaca bersendirian wirid dari Al Quran, doa dan zikir selepas solat dengan perlahan.

Tentang bacaan ayat Al Kursi beramai-ramai selepas solat jamaah, Ibnu Taimiah berkata:  Ada diriwayatkan sebuah hadis mengenai bacaan ayat Al Kursi selepas solat tetapi hadis itu dhaif oleh kerana itu ia tidak diriwayatkan oleh penyusun-penyusun kitab yang muktamad. Hadis ini tidak boleh digunakan untuk menetapkan hukum dan Nabi serta sahabat-sahabat serta khalifah tidak pernah mengeraskan suara dengan bacaan ayat Al Kursi dan tidak juga dengan ayat-ayat AL Quran lainnya.

Menggunakan akal pemikiran logik mudah pun sudah memadai. Sekiranya orang awam boleh memandang perkara tidak menutup handphone apabila memasuki surau atau masjid adalah satu perkara gangguan yang salah dalam Islam sebagaimana notis larangan didalam gambar di atas, inikan pula berzikir, berwirid, berdoa dengan kuat keras serta menggunakan mikrofon dan pembesar suara di dalam masjid ketika orang lain sedang solat, membaca Al Quran, berzikir berwirid dan melakukan ibadah lainnya. Perbuatan ini adalah tetap salah menurut logik akal dan menurut hadis pun sudah dijelaskan kesalahannya.

Itulah sebabnya saya memberikan bidalan kuman seberang laut nampak itu sebagai  mengetahui kesilapan menggunakan handphone di dalam masjid / surau tetapi tidak nampak kesalahan yang didepan mata  melakukan zikir wirid doa kuat keras menggunakan mikrofon semasa orang lain sedang solat, zikir doa dan membaca Al Quran sebagai tidak nampak gajah yang berada di depan mata.

Memang begitulah lumrahnya, gajah depan mata tak nampak tetapi kuman diseberang laut jelas nampak. Amalan dari tok nenek memang sukar untuk dibuang walau pun ia jelas bercanggah dengan ajaran Islam. Pada zaman Nabi Muhamad dahulu pun orang arab jahiliyah sukar untuk lari dari amalan tok nenek mereka. Mereka ramai-ramai menentang ajaran Nabi Muhamad SAW.

Kalau di UTM dahulu, Sheikh Muhamad Abdul Kadir Al Mandili iaitu salah seorang imam di MasjidilHaram pernah diharamkan untuk menjejakkan kakinya lagi ke UTM kerana “kesilapannya” sewaktu menjadi imam di Masjid UTM tidak melakukan wirid zikir dan berdoa beramai-ramai memakai pula mikrofon. Jadi kalau di menara gading yang ramai para ustaz dengan PhD  mereka pun bersikap demikian, inikan pula dimasjid kampung dan Felda.

Sekian wallahuaqlam. Segala yang baik sememangnya dari Allah SWT dan yang buruk tu memangnya dari kelemahan saya jua.

Emjay


Monday, 7 March 2011

Hei God, do you really exist?? (Hei tuhan, adakah engkau benar-benar wujud?)

Assalamualaikum wbh

Beberapa bulan lalu pada tahun 2010, saya mengetuai beberapa staf Fakulti Pendidikan menjalankan kerja amal mengadakan gerai jualan di Pesta Konvokesyen UTM untuk meningkatkan tabungan Badan Kebajikan Staf Fakulti Pendidikan. Kami menjual Nasi lemak, ayam goreng, burger, air minuman dan berbagai makanan lain. Selama 4 hari kami bertungkus lumus dari awal pagi hingga ke lewat petang. Saya sendiri bersama beberapa petugas memasak nasi lemak dan sambal ikan bilisnya sebagai bahan jualan utama kami setiap hari.

Setiap malam (kecuali satu malam) saya memasak nasi lemak di rumah untuk terus dibawa ke gerai jualan keesokan harinya. Selalunya saya memulakan urusan berkenaan memasak nasi lemak ini selepas pukul 9.00 malam sesudah solat isyak.  Penat menjual seharian perlu dilupakan. Nasi lemak untuk hari esok kena dibereskan. Sedang saya leka memasak nasi lemak ini kira-kira 9.30 malam, seorang hamba Allah menelefon saya menceritakan bahawa seorang anak perempuannya yang belajar di tingkatan 4 di sebuah sekolah berasrama penuh kerasukan. Tambah parah anak  ini sudah 7 hari tidak boleh tidur. Hamba Allah  ini meminta saya segera menolong datang ke rumahnya membantu masalah anaknya.

Nasi lemak belum boleh ditinggalkan. Penat badan belum pulih namun kini bertambah tanggungjawab untuk dilaksanakan. Saya bertawakal kepada Allah SWT dan meminta kekuatan dariNya. Saya bersetuju untuk pergi ke rumah hamba Allah ini sesudah saya menyelesaikan urusan nasi lemak.

Alhamdulillah kira-kira pukul 10.30 malam saya bertolak ke rumah hamba Allah ini.  Sesampainya saya di rumah hamba Allah ini, hamba Allah ini menunjukkan anak perempuannya terbaring di atas katil sangat keletihan tetapi tidak dapat tidur. Mangsa baring di atas katil keletihan terkebil-kebil matanya tetapi tetap tidak boleh tidur. Hamba Allah ini mengambil anaknya dari sekolah berasrama penuh siang tadi setelah diberitahu oleh pihak sekolah. Anaknya sudah mula kerasukan pada siang hari tadi setelah tidak tidur selama tujuh hari.

Sebagaimana biasa saya melakukan fasa kedua iaitu melakukan pembersihan rumah tersebut dari segala gambar manusia,  haiwan, loceng dan patung. Alhamdulillah beberapa hasil diperolehi termasuk satu patung teddy bear besar kepunyaan mangsa. Kesemuanya saya letakkan di luar rumah untuk dibawa pulang bagi dilupuskan.

Sesudah itu saya masuk ke fasa ketiga iaitu berbincang lanjut dengan hamba Allah untuk mengetahui lebih lanjut masalah berkenaan anak perempuanya. Berbagai-bagai cerita termasuk cerita 3 orang guru agama lelaki di sekolah asrama penuh berkenaan yang mengamalkan berbagai-bagai ilmu songsang. Dua orang dari mereka mampu melakukan scan benda ghaib. Bagi saya 2 orang ustaz ini memang sudah jauh tersasar. Mereka kerap menakut-nakutkan mangsa kononnya dalam badan mangsa ada “saka” setelah melakukan scanning ke atas mangsa. Inilah bahana ajaran songsang ustaz garam.

Setelah memperolehi cukup bahan berkenaan mangsa dari hambaAllah, saya meminta izin untuk memanggil mangsa keluar untuk diajak berbincang. Hasil perbincangan antara saya dengan mangsa dapat disimpulkan sebagai berikut:


  1. Mangsa memang sangat mengantuk setelah 7 hari tidak boleh tidur
  2. Hari ketujuh, mangsa kerasukan
  3. Mangsa lemah ilmu tauhidnya.
  4. Kedua-dua ustaz garam di sekolahnya banyak kali menakut-nakutkan mangsa dengan melakukan “scanning” dan seterusnya memberitahu bahawa dalam badan mangsa ada saka.
  5. Kedua-dua ustaz serta ustaz ketiga sering menawarkan bantuan untuk membantu buang saka dari badan mangsa. Mangsa tambah ketakutan.
  6. Mangsa sering kali didedahkan oleh ketiga-tiga ustaz tentang cerita hantu, saka, syaitan, jin dan sebagainya dimana ini menambahkan lagi ketakutan pada diri mangsa.
  7. Pelajar lain juga ditakutkan oleh ustaz-ustaz ini tentang cerita hantu, jin syaitan dan sebagainya. Apabila pelajar bersembang sesama mereka cerita menakutkan ini selalu berkisar antara mereka dan ini menambahkan lagi ketakutan pada diri mangsa.
  8. Mangsa ada mengalami masalah berkaitan keluarganya.
  9. Kegelisahan sekian lama akibat cerita karut-marut dari ustaz-ustaz dan rakan-rakan menjadikan diri mangsa semakin tertekan dan ketakutan. Klimak dari tekanan, ketakutan serta masalah yang tidak berpenghujung membuahkan satu hasil yang amat mengejutkan. Mangsa tersasul berkata dalam bahasa Inggeris menyoal “Hei God, do you really exist??” Dalam bahasa Melayu  membawa maksud “Hei  tuhan, adakah engkau benar-benar wujud?”
  10. Selepas mangsa menyoal soalan tersebut, mangsa terus tidak dapat tidur sehingglah selama 7 hari berterusan.

Alhamdulillah terima kasih Ya Allah, segala pujian hanya untuk Allah SWT yang mengurniakan rahmatNya sehingga dapat dikenalpasti punca masalah sebenar mangsa. Dalam fasa berikut ini, saya menjelaskan punca permasalahan yang  melanda diri mangsa sebagai:


  1. Kurang ilmu tauhid
  2. Tiga ustaz di sekolah mangsa kerjanya berkempen untuk iblis menakutkan pelajar dengan ilmu tak senonoh.
  3. Akibatnya mangsa takut benda bukan-bukan seperti syaitan, hantu, sihir, saka, gangguan syaitan dan sebagainya. Sesungguhnya takut hantu melebihi takut Allah SWT adalah syirik. Orang seperti ini sudah luput takut dan harapannya kepada Allah. Allah macam tak wujud dan perkara besar dalam minda mereka hanya hantu syaitan.
  4. Ditambah rumit masalah diri mangsa dengan sedikit masalah keluarganya.
  5. Mempersoal kewujudan Allah SWT sudah sama sekali menggugurkan keimanan dan menjadikan mangsa sudah terkeluar dari agama Islam dan menjadilah mangsa sebagai seorang orang kafir. Layaklah si mangsa menerima balasan azab dari Allah SWT.
  6. Allah SWT apabila diajukan soalan dari mangsa “Hei God, do you really exist??”, sebenarnya seolah-olah Allah SWT terus menjawab soalan tersebut secara sinis kepada mangsa berbunyi “kalau engkau tidak percaya kewujudan ALLAH selama ini yang memberikan engkau pelbagai rahmat seperti tidur dsbnya, engkau tadbirlah diri engkau sendiri untuk tidur”. Sesungguhnya tidur adalah satu rahmat besar dari Allah SWT yang memberikan rahmat dan mentadbir segala sesuatu. Tanpa rahmat dari Allah serta pentadbiranNya, kita semua tidak akan mampu untuk tidur atau melakukan sesuatu apa pun.
  7. Allah SWT sahajalah yang menjadi pelindung kepada kita semua dari gangguan syaitan. Di dalam Al Quran disebutkan dalam banyak ayat seperti Al Baqarah [257]:
        Allah Pelindung (Yang melindungi dan menolong) orang-orang yang beriman.
Apabila Allah SWT melindungi kita maka terhindarlah kita dari gangguan syaitan. Selama ini mangsa tidak pernah kena kerasukan kerana Allah SWT sentiasa melindunginya. Apabila mangsa mempersoal kewujudan Allah yang selama ini melindunginya, Allah menarik balik satu rahmat iaitu perlindungan dari syaitan lalu mangsa kena kerasukan akibat diganggu oleh syaitan.

Maka sesungguhnya Allah telah menjawab persoalan yang dikemukakan oleh mangsa ini dengan tidak memberikan rahmat tidur selama 7 hari dan tidak lagi melindungi mangsa sehingga beliau kena kerasukan iaitu satu bentuk gangguan oleh syaitan.

Hamba Allah cukup terkejut dengan soalan gila yang dikemukakan oleh anak perempuan kesayangannya. Inilah bahananya mempersoalkan kewujudan Allah SWT. Namun disebalik azab perit ini terselindung satu pengajaran amat berharga kepada mangsa dan keluarganya agar jangan sekali-kali mempersoal kewujudan Allah SWT.

Setelah selesai menceritakan punca permasalahan dan Alhamdulillah sudah jelas difahami oleh mangsa, saya pun beredar ke fasa berikutnya iaitu pelan tindakan yang saya ringkaskan sebagai berikut:


  1. Mangsa perlu mengucap syahadah semula kerana sesungguhnya beliau telah terkeluar dari Islam.
  2. Ambil wuduk
  3. Mangsa perlu terus melaksanakan solat taubat dikuti dengan istigfar serta pengakuan kesalahan-kesalahan beliau terutama sekali kesalahan mempersoal kewujudan Allah SWT. Mangsa perlu minta ampun diatas segala keterlanjuran dosa berat yang telah dilakukan olehnya.
  4. Saya menganjurkan istigfar, tasbih, tahmid, takbir, ucapan  haukalah iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH (TIDAK ADA DAYA DAN UPAYA KECUALI DENGAN PERTOLONGAN ALLAH), selawat lalu diikuti permohonan doa mangsa terutama sekali minta semula rahmat tidur serta perlindungan Allah dari kerasukan. Ulangkan semula bermula dari istigfar. Buat sebanyak-banyak sehingga tidur.
  5. Mangsa serta hambaAllah perlu belajar ilmu tauhid di rumah saya.
Alhamdulillah saya meninggalkan mangsa pada awal pukul dua belas malam. Esok saya ada tugas berat menunggu menguruskan gerai jualan Fakulti Pendidikan saya. Keesokan harinya saya menelefon hambaAllah bertanyakan hal anaknya. Alhamdulillah tidak lama selepas saya balik, anak beliau sudah dapat tidur. Pada waktu saya menelefon, anaknya pun sedang tidur lena selepas solat subuh maklumlah kepenatan tidak tidur  selama 7 hari.

Malamnya Hamba Allah dan mangsa datang ke rumah saya belajar ilmu asas tauhid. Alhamdulillah kerasukan tidak lagi berulang dan rahmat nikmat tidur sudah diberikan semula oleh Allah kepada mangsa. Malam berikutnya mangsa dan hamba Allah meneruskan belajar ilmu tauhid.

Setelah beberapa hari belajar ilmu tauhid, keadaan diri mangsa sudah semakin stabil dan pada hari Sabtu, hamba Allah menghantar anaknya kembali semula ke sekolah asrama penuh untuk menyambung pelajarannya setelah satu minggu cuti.

Alhamdulillah begitulah kisah remaja yang mempersoal kewujudan Allah SWT. Kini setelah lebih 6 bulan berlalu, 3 hari lepas saya bertemu semula dengan hambaAllah. Keadaan mangsa sudah normal, Alhamdulillah. Semoga Allah SWT terus memberkati merahmati diri hambaAllah dan anaknya.

Semoga kisah benar ini menjadi iktibar untuk kita semua.

Wallahuaqlam

Emjay