Apa ada pada nama.
Assalamualaikum wbh pembaca Laman Emjay sekelian .
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang
Menamakan nama anak dengan nama yang baik merupakan satu sunnah Nabi . Sebagai contoh, cucu-cucu Nabi diberi nama Hasan dan Husein. Termasuklah nama ‘Abdu’ yang digabungkan dengan nama-nama Allah seperti Abdullah, Abdul Rahman Abdul Hadi, Abdul Ghani dsb. Begitu juga nama-nama para Nabi; Adam, Daud, Ibrahim dan juga nama-nama para sahabat. Sunnahnya adalah memberi nama anak dengan nama yang baik. Di dalam sebuah hadith ada menyebut bahawa Nabi bersabda : “Sesungguhnya kamu dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama kamu dan nama bapa kamu, dari itu elokkanlah nama-nama kamu.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Ahmad).
Sebagai Muslim kita percaya kepada hari kebangkitan atau hari akhirat. Sesungguhnya nama diberikan kepada anak di dunia kekal digunakan di akhirat. Setiap anak Adam dibangkitkan dan dipanggil dengan nama seperti nama di dunia.
Pemilihan nama anak secara tidak langsung melambangkan identiti ibu bapa. Ibu bapa bertanggungjawab memilih nama anak mereka dengan penuh teliti dan berhemah. Nama yang baik adalah doa dan harapan ibu bapa kepada anak mereka. Dengan memberikan nama yang baik, ia mencerminkan niat suci ibu bapa supaya anaknya menjadi manusia yang baik seperti tersirat di sebalik namanya. Sebaliknya, nama yang bermaksud buruk diumpamakan seperti sumpahan. Nama buruk mencemarkan taraf kedudukan manusia sebagai makhluk paling mulia di muka bumi. Setiap ibu bapa ingin melihat permata hati mereka membesar dan hidup dalam baik, berjaya dan selamat. Permulaan hasrat itu perlu dilakukan dengan memilih nama yang baik. Nama dapat memberi pengaruh terhadap orang yang diberi nama. Memilih nama baik untuk diberikan kepada anak adalah kewajipan ibu bapa.
Rasulullah pernah ditanya oleh seorang sahabat mengenai kewajipannya sebagai ayah. Lalu Rasulullah menjawab dengan sabda bermaksud: ‘Hendaklah kamu memperelokkan namanya, didik dan asuhlah dia serta letakkan dia di tempat sebaik-baiknya.’ (Hadis riwayat at-Tausi).
Proses memberi nama anak perlu dilakukan sebaik mungkin mengikut garis panduan yang diberikan Islam. Jangan pakai ikut suka hati meniru pengaruh Barat. Kini semakin ramai ibu bapa tertarik dengan nama berbau kebaratan yang didakwa lebih moden dan sedap. Pada zaman Rasulullah, ramai sahabat mempunyai nama yang tidak elok maknanya. Nama buruk itu dipilih oleh ibu bapa ketika zaman jahiliah lagi yang tidak peduli soal pemilihan nama untuk anak. Justeru, Rasulullah mencadangkan nama baru untuk menggantikannya. Diceritakan oleh Aisyah seperti diriwayatkan Tarmizi, bahawa Rasulullah biasa mengubah nama yang tidak baik kepada nama yang baik.
Malah nama baik juga diberikan Rasulullah kepada nama tempat atau bandar. Rasulullah pernah menukarkan nama anak perempuan Umar al-Khattab daripada Ashiyah yang bermaksud penderhaka kepada Jamilah bererti cantik.
Diriwayatkan juga pernah Rasulullah menukar seorang bernama Hazan (duka cita) kepada nama Sahel yang bermaksud mudah. Namun pemuda itu tidak mahu menukarkan nama diberikan bapanya itu. Akibatnya, dia sendiri mengakui perasaan duka cita tidak pernah lekang daripada dirinya.
Ketika Rasulullah tiba di Madinah, nama tempat itu ialah Yathrib yang bermakna ‘keburukan’. Lantas, Rasulullah menyatakan kepada penduduknya agar ditukar kepada nama baru iaitu Madinah yang membawa makna ‘yang indah’. Jika nama tempat pun tidak boleh di namakan dengan nama buruk, tentulah lebih lagi kepada manusia. Maruah manusia banyak bergantung kepada namanya. Penggunaan nama baik lambang betapa Islam amat mementingkan kepada imej baik. Nama baik diharapkan memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemilik nama untuk berkelakuan baik seperti namanya.
Pendapat lain mengatakan nama bayi perlu diberikan pada hari ketujuh selepas kelahirannya. Hujah ini berdasarkan kepada hadis yang menyebut setiap anak bergantung kepada akikahnya, disembelihkan untuknya pada hari ketujuh kelahirannya dan dinamakan serta dicukur kepalanya.
Pemilihan nama anak mestilah indah disebut dan membawa makna yang baik. Maksud indah ialah senang disebut, mudah diingati dan ringkas. Nama itu hendaklah melambangkan nama yang biasa digunakan orang Islam. Nama yang biasa digunakan orang kafir sebagai melambangkan agama mereka hendaklah dielakkan. Sesetengah ulama mengharamkan penggunaan nama yang jelas melambangkan penganut agama lain. Namun, nama orang Islam tidak semestinya dalam bahasa Arab seperti yang difahami sesetengah orang. Bagaimanapun, lebih elok jika nama yang dipilih untuk anak dirujuk maknanya mengikut bahasa Arab. Ia penting bagi mengelak makna buruk dalam bahasa Arab.
Didapati banyak nama Melayu apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Arab mempunyai makna buruk dan mengaibkan, biarpun amat baik bunyinya dalam sebutan Melayu.
Nama binatang, perbuatan buruk, maksud buruk dan nama berhala banyak dinamakan kepada anak tanpa diketahui maksudnya oleh ibu bapa ketika menamakan anak mereka. Nama dalam bahasa Arab hendaklah dieja dan disebut betul-betul. Tambahan atau tertinggal satu huruf membawa makna berbeza. Justeru, elok jika dirujuk dahulu kepada pakar bahasa Arab bagi mendapatkan ejaan dan sebutan tepat nama untuk mengelak salah makna. Sekarang ini ramai ibu bapa yang sengaja menambah huruf kepada ejaan nama anak supaya kelihatan agak pelik dan panjang. Penambahan huruf q, e, y, f dan z banyak dilakukan kepada nama kerana dikatakan menarik. Banyak masalah timbul akibatnya.
Pemilihan nama anak juga perlu menunjukkan perbezaan jantina. Pemilihan nama anak lelaki dengan nama melambangkan anak perempuan adalah tindakan mengaibkan anak. Anak akan berdepan dengan masalah pengenalan identiti jantina. Biarpun dalam masyarakat Islam di Malaysia penggunaan bin dan binti untuk membezakan lelaki dan perempuan, penggunaannya hanya digunakan dalam urusan rasmi atau ketika nama ditulis, sedangkan ketika panggilan harian tidak disebut bin atau binti.
Islam menegah sama sekali ibu bapa melakukan sesuatu yang mengaibkan anak. Hanya ibu bapa tidak senonoh memilih nama tidak baik untuk anaknya.
Nama Allah berjumlah 99 juga perlu dihindari daripada diberikan kepada anak. Nama itu hanya tertentu untuk Allah. Dijelaskan bahawa Rasulullah pernah menukarkan nama seorang sahabat yang digelarkan Abul Hakam kepada Abu Syuraih. Nama Abul Hakam seperti nama Allah al-Hakam yang bermaksud terserah kepada-Nya segala hukum. Nama yang boleh menimbulkan rasa sombong juga ditegah diberikan kepada anak. Ini berdasarkan kepada kisah Rasulullah yang bertemu seorang wanita bernama ‘Barrah’ bererti ‘Yang selalu berbuat baik’. Lantas Rasulullah memanggil nama wanita itu Juwairiyah.
Ibu bapa juga dinasihatkan mengelak daripada menggunakan nama panjang yang mengandungi gabungan beberapa nama. Ia biasanya berlaku apabila ibu dan bapa tidak sepakat memilih nama terbaik. Ibu dan bapa perlu bertolak ansur untuk menentukan nama bagi anak yang baru dilahirkan. Bersabarlah, nama pilihan masing-masing boleh digunakan kepada anak seterusnya.
Islam tidak membenarkan penggunaan nama yang mendatangkan masalah untuk disebut dan diingati. Pemilihan nama panjang membuktikan kecelaruan fikiran ibu bapa dalam memilih nama anak. Soal memilih nama anak bukan perkara mudah. Berilah nama yang terbaik dan menggembirakan anak apabila dewasa nanti. Ada anak berusaha menukar nama selepas menyedari masalah timbul akibat nama yang diberikan oleh ibu bapa.
INTIPATI
1. Nama diberikan kepada anak di dunia kekal digunakan di akhirat.
2. Ibu bapa bertanggungjawab memilih nama anak dengan penuh teliti dan berhemah.
3. Islam menegah sama sekali ibu bapa melakukan sesuatu yang mengaibkan anak.
4. Ada nama Melayu diterjemahkan ke bahasa Arab mempunyai makna buruk dan memalukan.
5. Nama baik boleh memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemilik nama untuk berkelakuan baik seperti namanya.
(telah di petik dari http://zulkiplyharun.com/php/modules.php?name=News&op=NEPortable&sid=86)
Islam melalui Nabi SAW telah mengajarkan umatnya agar memberikan nama orang dan tempat dengan nama yang baik. Ini bermakna bahawa apabila kita memberikan nama selain dari orang dan tempat juga hendaklah dilakukan dengan penuh teliti dan berhemah. Maksudnya ialah hendaklah kita semua menamakan apa sahaja seperti nama bangsa, negara, kenderaan, haiwan kesayangan dengan nama-nama yang baik sebagaimana telah dikupas panjang lebar di atas. Apakah akan memberikan kesan buruk apabila nama sesuatu kaum atau nama sebuah negara diberikan dengan nama yang buruk???
Saya ingin memulakan kupasan tentang nama yang telah diberikan kepada sebuah bangsa iaitu MELAYU. Bangsa Melayu adalah merupakan bangsa yang menjadi majoriti di Malaysia. Perkataan Melayu adalah berasal dari kata asas LAYU. Menurut Kamus Dewan, layu memberi maksud:
1. kering dan kecut, tidak berseri atau tidak segar lagi.
2. orang yang pucat dan lesu, tidak bergaya, tidak sihat, merana.
Perkataan layu adalah kata sifat dan apabila ditambah penambahan ‘me’ dihadapan, ia akan menghasilkan perkataan baru iaitu melayu yang membawa maksud proses layu yang sedang berjalan. Berdasarkan Kamus Dewan di atas, perkataan Melayu kini boleh dimaksudkan sebagai:
1. Tumbuhan yang kering dan kecut, tidak berseri atau tidak segar lagi.
2. Orang yang sedang / semakin pucat dan lesu, tidak bergaya, tidak sihat, merana.
Daripada takrifan ini, perkataan Melayu sememangnya membawa maksud yang tidak baik yang patut sama sekali dielakkan daripada diberikan sebagai nama kepada suatu kaum yang bermaruah yang mendiami Malaysia ini. Saya merasa begitu sedih dan malu bahawa sesungguhnya saya juga adalah salah seorang daripada bangsa Melayu.
Sebagai seorang bekas guru (5 tahun) dan kini sudah hampir 20 tahun menjadi pensyarah, saya sememangnya banyak bergaul dengan bangsa Melayu di UTM ini sama ada kakitangan atau pelajar selain dari bangsa lain seperti Cina dan India. Isteri pula masih seorang guru semenjak 1981. Berdasarkan pengalaman bergaul dengan pelbagai bangsa termasuk Melayu, Cina dan India ini dapatlah saya rumuskan bahawa penggunaan perkataan Melayu sebagai nama bangsa saya sememangnya telah banyak memberikan kesan yang begitu negatif. Mungkin ia telah menjadi satu harapan atau doa semoga bangsa saya ini semakin layu apabila perkataan Melayu ini disebut selalu.
Berikut adalah pengamatan yang saya perhatikan amat bersangkut paut dengan perkataan Melayu di dalam “bangsa Melayu”:
- Bangsa Melayu kini memang seolah-olah tumbuhan yang layu kering dan kecut, tidak berseri atau tidak segar lagi kerana ramai atau majoriti bangsa ini tidak cukup air di dalam tubuh badan mereka. Bayangkan, pokok layu adalah pokok yang tidak cukup air di dalam tumbuhan tersebut dan kebetulan dari pengamatan saya, ramai bangsa Melayu juga tidak cukup air di dalam tubuhnya kerana mereka tidak minum air dengan secukupnya. Pernah saya temui seorang sampel wanita ketika membuat kajian di MRSM Balik Pulau, tidak minum sebarang air minuman semenjak pagi hingga kira-kira 2 – 3 petang. Ramai orang Melayu lain hanya minum sekadar 1 hingga 1½ Liter air sehari. Ramai juga yang minum jumlah air tidak sampai 1 Liter sehari. Tidak ramai sampel kajian saya di kalangan orang Melayu yang minum air melebihi 2 Liter sehari. Penemuan ini adalah sejajar dengan perkataan MELAYU bagaikan pokok yang layu tidak cukup air.
Tubuh badan manusia dijadikan Allah memerlukan sekurang-kurangnya 2 Liter air sehari bagi membolehkan anggota tubuh badan menyempurnakan fungsi mereka dengan sewajarnya. Bagi yang aktif dan bekerja kuat, mereka memerlukan jauh lebih banyak air minum. Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan pengamatan saya ini, silalah menjenguk ke setiap sekolah di Malaysia dan perhatikanlah berapa peratus pelajar anak-anak Melayu yang membawa bekal air minum secukupnya ke sekolah. Kebanyakan mereka (lebih 75 %) tidak membawa sebarang bekal minuman ke sekolah dan hanya bergantung kepada 1 gelas minuman di kantin untuk tempuh dari pagi hingga ke petang. Sebagai perbandingan, cuba perhatikan pula anak dari bangsa Cina. Mereka masing-masing (hampir 100%) membawa pelbagai botol air minuman dan ada yang membawa bekalan air minum melebihi 1.5 Liter. Amalan kaum Cina ini adalah satu amalan yang amat wajar diikuti. Amalan mereka ini berkekalan sehinggalah mereka masuk ke UTM. Di UTM juga pelajar Cina membawa bekal air ke kuliah sedangkan kaum Melayu jarang atau tidak ada sebarang botol bekalan air minum.
Saya masih teringat seorang pelajar perempuan Cina yang membawa bekalan air minum sebanyak 1 ½ Liter dan air minuman ini selalunya dihabiskan pada sekitar pukul 3 petang.. Begitulah, kaum Cina bagaikan pokok yang segar bugar manakala kaum Melayu bagaikan pokok layu yang kering dan kecut akibat tidak cukup air.
- Semenjak 3 tahun lepas, saya giat menjalankan kajian berkaitan buah pinggang, jantung dan paru-paru dan melalui soal selidiknya memang kebanyakan orang Melayu tidak cukup minum air. Dari kajian tersebut saya juga mendapati bahawa peratusan orang Melayu adalah lebih ramai berbanding peratusan orang Cina yang mengidap penyakit berkaitan buah pinggang, diabetes, gout dan artritis. Kajian secara pemerhatian (bukan secara kuantitatif) di hospital juga mengesahkan dapatan saya ini. Dapatan ini menunjukkan bahawa ramai orang Melayu sedang / semakin pucat dan lesu, tidak bergaya, tidak sihat, merana sebagaimana dijelaskan sebagai maksud Melayu di atas.
- Walaupun bangsa Melayu adalah bangsa majoriti di Malaysia namun hakikatnya kedudukan penguasaan ekonomi tidaklah melambangkan mereka sebagai kaum yang segar agresif merebut pelbagai peluang. Bangsa Melayu seakan-akan sedang layu dan lesu untuk bersaing dengan kaum Cina yang kelihatan begitu bernafsu dan bertenaga. Kalau tidak ada GLC dan kerajaan dari orang Melayu, entah berapa peratuslah ekonomi yang mampu dikuasai oleh orang Melayu.
- Bahasa Melayu yang diamalkan oleh bangsa Melayu ini amat jelas sekali sedang terlentok layu tidak bermaya apatah lagi selepas dasar bahasa Inggeris untuk mata pelajaran sains dan matematik dilaksanakan lima tahun lampau. Kini seolah-olah bahasa Mandarin lebih segar bermaya berbanding bahasa Melayu. Bahasa Inggeris jangan dipersoal lagi kerana ia terus segar mencengkam akarnya di segenap sudut kerana dibaja dan disiram air secukupnya oleh pelbagai pihak. Kini orang Melayu yang mampu berbahasa Inggeris dan Mandarin lebih bernilai berbanding graduan yang tidak menguasainya.
Bahasa Melayu semakin hari semakin layu entah berapa tahun lagi mampu bertahan sebelum berkubur. Beberapa rakan sejawat berbangsa Melayu kini lebih menekankan bahasa Inggeris di rumah sehingga anak-anak mereka tidak boleh lagi bercampur dengan kanak-kanak Melayu lain kerana mereka hanya mampu bertutur dengan bahasa Inggeris. Kalau Melayu tidak lagi menghargai bahasa Melayu, usah diharap kepada bangsa lain untuk memartabatkan bahasa Melayu!
- Perkara yang akan disampaikan ini amat jelas sekali menggambarkan bahawa ramai orang Melayu telah layu yang tidak mampu dipulihkan lagi dan hanya menunggu saat untuk dikuburkan sahaja. (Kamus Dewan - Melayu: Orang yang sedang / semakin pucat dan lesu, tidak bergaya, tidak sihat, merana.)
Orang Melayu jenis ini yang masih hidup pun layak dipanggil sebagai mayat hidup. Mereka adalah Melayu mat gian yang menagih dadah. Menurut laman pemuda UMNO http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=5518 :
Profil penagih-penagih yang dikesan untuk tahun 2005 adalah seperti berikut (AADK) :-
· 98.92% lelaki
· 67.30% Melayu
· 71.87% terdiri daripada golongan belia (berusia 19-39) dan majoriti adalah berumur antara 25-29 tahun.
Di dalam negara yang diperintah oleh majoriti orang Melayu, majoriti anggota polisnya adalah bangsa Melayu, majoriti pegawai kerajaannya juga orang Melayu tetapi sedihnya 67.30% penagih dadah adalah dari bangsa Melayu. Tidak bolehkah kita mengambil iktibar dari jiran terdekat Singapura bagaimana mereka mampu menangani gejala penagihan dadah pada tahap minimal?
Mungkin bukan salah pemimpin, polis atau kakitangan kerajaan lainnya tetapi salah nama MELAYU yang melekat pada bangsa tersebut.
- Satu ketika dahulu di Malaya dan Malaysia, Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Mungkin kerana penganut Islam di Malaya dan Malaysia ini ramainya adalah dari bangsa Melayu (sedang layu), maka pegangan amalan ajaran Islam juga semakin layu dan pudar. Kalau satu ketika dahulu orang Melayu murtad jarang sekali kedengaran tetapi kini bilangan yang murtad dan sedang memohon untuk murtad amat mengerikan. Melayu Islam semakin layu, amalan agama macam bersimpang prenang, bidaah macam dah jadi sunnah.
- Orang Melayu amat mudah layu apabila disogokkan dengan wang ringgit dan barangan material lain (rasuah lah tu) tidak seperti jiran kita di seberang tambak tu. Sekarang semakin ramai orang Melayu yang diheret ke mahkamah. Hakim dan peguam syarie juga tidak ketinggalan mengamalkan rasuah.
Jikalau saya menjadi Perdana Menteri, antara langkah pertama yang akan saya ambil ialah menukar nama bangsa Melayu ini kepada satu nama yang membawa maksud yang mulia. Mungkin saya menukarkan perkataan Melayu kepada SEGAR. Kalau nama SEGAR ini tidak dipersetujui ramai, saya akan mengadakan pertandingan untuk mencari nama baru yang paling sesuai untuk menggantikan perkataan Melayu.
Selain perkataan Melayu bagi merujuk satu kaum di Malaysia, saya juga sebenarnya merasakan bahawa nama Malaysia adalah tidak wajar sekali digunakan untuk menamakan bumi bertuah ini. Malay adalah perkataan dalam bahasa Inggeris dan dalam bahasa Melayu membawa maksud Melayu. Sia di hujung Malaysia pula semacam menjadi bahan ejekan di kalangan kaum Cina kerana si dan bahasa Cina membawa maksud mati. Sia dengan itu membawa maksud mati aaa. Bila digabungkan Malay dan sia, ia seolah-olah membawa maksud Melayu mati aaa.
Saya tidak menganggap perkara ini kecil seandainya bangsa Melayu di Malaysia adalah satu bangsa yang benar-benar bermaruah berbanding bangsa-bangsa lain di Malaysia. Menurut pandangan peribadi berdasarkan fakta sebagaimana saya jelaskan di atas, Melayu seolah-olah makin mati aaa. Mati dari sudut ekonomi, bahasa, agama, penagihan dadah dsbnya. Melayu amat mudah layu apabila disogokkan dengan wang ringgit dan material (rasuah la tu).
Nama Malaysia apabila disebut selalu seolah-olah mendoakan agar ayam di kepuk mati kelaparan dan itik di air mati kehausan. Sebagai perbandingan, mari kita lihat nama negara seberang tambak iaitu Singapura. Singapura yang kecil dan amat kecil jika dibandingkan keluasan Malaysia namun sungguh garang dan maju, jauh lebih maju dari Malaysia. Negara Singapura tidak ada pun hutang luar sedangkan hutang luar Malaysia adalah begitu banyak. “On paper” orang luar dan pengkaji ketenteraan mengatakan bahawa jika Malaysia berperang dengan Singapura, sekejap sahaja mereka dapat menewaskan Malaysia. Teknologi ketenteraan mereka amat canggih. Walau pun mereka tidak ada minyak, getah dan kelapa sawit, jalan rayanya begitu canggih tanpa tol. Tol di tengah bandar di kawasan paling sibuk dijalankan dengan teknologi moden menggunakan “gantry” tanpa operator sekadar untuk mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut dan kaedah ini amat berkesan mengawal kesesakan di kawasan tersebut.
Perkataan Singapura adalah gabungan dua perkataan iaitu singa dan pura. Singa adalah sejenis haiwan yang kerap dikaitkan dengan raja di rimba yang begitu gagah dan segak terutama sekali singa jantan. Pura pula adalah mengikut Kamus Dewan boleh dimaksudkan sebagai kota. Jika digabungkan kedua-duanya, ia menjadi kota bagi singa. Kalau satu kota dipenuhi singa (Singapura) ingin dibandingkan dengan Melayu mati aaa (Malaysia), memanglah dari sudut bahasa kota singa jauh lebih gagah dan sedia untuk membaham Melayu mati aaa.
Jikalau saya menjadi Perdana Menteri, saya juga akan menukarkan nama negara bertuah tempat tumpah darah ku ini menjadi mungkin negara Gagahpura. Kalau ramai tidak mempersetujuinya, saya akan mengadakan pertandingan mencari nama paling sesuai untuk menamakan semula negara tercintaku Malaysia. Satu nama baru yang melambangkan negara tercinta ku yang mempunyai penduduk gagah yang mampu bersaing dengan negara dan bangsa lain di dunia.
Hidup dan maju bangsa, agama dan negara ku.
Sekian wassalam wallhuaqlam
Emjay