Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Thursday, 9 January 2020

Bahayanya lidah. Berhati-hatilah dengan tutur kata. Membayar kafarah sumpah

Jagalah lidah / mulut / tutur kata

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَوَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Limpahkanlah selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad SAW dan juga keluarganya sebagaimana engkau limpahkan kepada Ibrahim.
Dengan nama Allah yang tidak ada satu pun yang memudaratkan dengan namanya di bumi mahupun di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Saya mulakan dengan hadis berikut; Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Amal yang paling banyak memasukkan manusia ke surga ialah taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Baginda ditanya lagi, “Apa penyebab banyaknya manusia masuk neraka?” Rasulullah SAW menjawab, “Mulut dan kemaluan. (Riwayat at-Tirmidzi).

Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW Baginda bersabda, Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Sahl bin Sa'd RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda: "Sesiapa yang menjamin bagiku apa yang ada di antara tulang dagunya (mulut dan lidah) dan apa yang ada di antara dua kakinya (kemaluan), maka aku menjamin baginya syurga.(Hadith riwayat al-Bukhari, No: 6474, 6807, at-Tirmizi, No: 2408, Ahmad, No: 21757)


Pengajaran Hadith :

  1. Allah SWT telah mencipta syurga dan neraka di akhirat sebagai destinasi abadi seseorang hamba. Apabila dia melakukan amal kebaikan, balasan syurga akan menanti dan sebaliknya jika melakukan amal kejahatan maka nerakalah tempat kembali.
  2. Jaminan syurga kepada seseorang Muslim yang dapat menjaga mulut, lidah dan kemaluannya. Menjaga mulut ialah menjauhi makanan dan sumber yang haram. Menjaga lidah pula dengan memperbanyakkan berzikir, memohon keampunan dan bertaubat daripada dosa-dosa yang telah dilakukan. Seterusnya menjaga kemaluan daripada hubungan yang tidak halal dan yang diharamkan.
  3. Keutamaan menjaga lidah kerana daripadanya akan lahir perbuatan yang akan membawa kepada dosa-dosa kemaluan dan sebagainya. Awasilah dalam berkata-kata. Jangan disebabkan tergelincir dan kelembutan lidah yang tidak bertulang menjadi punca dosa dan dimasukkan seseorang ke dalam neraka.
Begitulah Mulut atau lidah atau tutur kata adalah amat penting. Tidakkah engkau mahu aku beritahu dengan sesuatu yang sangat menentukan dengan itu semua?” Rasul lalu memegang lisannya dan mengatakan, “peliharalah ini.” Mu’adz kemudian mengatakan, “Ya Rasulullah, apakah kita akan dihukum dengan apa yang akan kita katakan?” Ia menjawab, “Wahai Mu’adz, apakah akan dijerumuskan ke neraka di hadapan mereka, kecuali karena apa yang diucapkan lisannya, “ (HR. Turmudzi). 

Hanya dengan kata-kata, apa yang diharamkan oleh Allah SWT iaitu zina menjadi halal melalui akad nikah.

Hanya dengan kata-kata, seorang bukan Islam menjadi Islam iaitu melalui ucapan dua kalimah syahadah.

Hanya dengan kata-kata, seorang Islam terkeluar dari agamanya melalui berbagai-bagai ucapan seperti “aku benci Islam” atau “aku nak keluar dari Islam”.

Hanya dengan kata-kata, suami isteri bercerai seperti “aku ceraikan engkau dengan talak satu”.

Ambillah iktibar dari satu hamba Allah, pada tahun 1977, dia pernah berkata kepada teman sebiliknya ketika belajar di universiti ‘room mate, dapat kahwin dengan orang Cina elok juga ya”. Pada ketika ini, hamba Allah ini sudah pun bertunang. Beliau menyatakan ucapan tersebut hanya sekali sahaja. Pada tahun 1981, beliau berkahwin dengan tunangnya tersebut. Apa yang perlu dipelajari di sini ialah pada tahun 1990, hamba Allah ini berkahwin  dengan seorang wanita Cina tulen iaitu seorang anak Cina yang dijadikan anak angkat kepada orang Melayu. Begitulah, setelah kira-kira 13 tahun Allah berikan apa yang dituturkan oleh hamba Allah tersebut. Maka hamba Allah ini ada dua isterilah. Begitu besar sekali kesan dari kata-kata.

Segala apa yang setiap manusia lakukan dan ucapkan akan sentiasa direkodkan oleh para malaikat sebagaimana tertulis dalam al Quran “Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, (iaitu) ketika dua orang Malaikat mencatat amal perbuatannya. Seorang duduk disebelah kanan dan yang lain duduk disebelah kiri. Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di dekatnya Malaikat pengawas yang selalu hadir”. [Qaf : 16-18]

Bayangkan apakah yang bakal berlaku apabila seorang ibu atau bapa memanggil anaknya dengan ucapan buruk seperti “BODOH”? Apatah lagi seandainya ucapan tersebut dibuat berulang-ulang kali. Kata-kata itu adalah doa, maka ingatlah selalu untuk menjaga kata-kata yang  diucapkan. Terlajak perahu boleh diundurkan, terlajak kata amat buruk sekali padahnya.

Berikut saya paparkan kisar benar yang berlaku kepada satu hamba Allah wanita saya namakan Mimah yang berlaku kira-kira 10 tahun lepas.

Mimah berkahwin sewaktu beliau masih di menara gading sedang menghabiskan pengajian ijazah pertama di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Duduklah Mimah bersama suami yang sudah bekerja. Dengan pendapatan hanya dari suaminya, agak sukar juga mengharungi kehidupan di Kuala Lumpur. Segalanya memerlukan duit. Apabila merasai keperitan hidup sebenar, tersembullah kata-kata dari mulut Mimah kepada suaminya “abang, selagi kita belum beli rumah sendiri dan ekonomi kita belum mantap, kita tangguhkan dahululah hajat untuk nak ada anak”. Kata-kata ini tidak diulang dan hanya sekali sahaja diucapkan. Namun hakikatnya ialah ada malaikat di kanan dan kiri Mimah yang mencatatkan kata-kata tersebut. Ingatlah bahawa kata-kata adalah doa.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, ibu bapa mertua Mimah tak sabar menunggu berita Mimah mengandung. Setelah bulan berganti tahun dan Mimah masih tetap tidak mengandung, kerisauan ibu bapa mertua Mimah sudah tidak dapat dibendung. Perbincangan sudah dibuat secara terbuka antara ibu bapa mertua dengan Mimah dan suaminya. Apabila masuk tahun kedua Mimah masih belum mengandung, ibu mertua Mimah membawanya menemui doktor pakar hospital swasta yang terkemuka untuk dikenal pasti masalah sebenar yang menyebabkan Mimah tidak boleh mengandung.

Setelah dibuat pemeriksaan oleh doktor pakar ini, didapati bahawa telur atau ovum Mimah tidak mampu menjadi matang. Ukuran pembesaran diameter telur/ovum berhenti selepas satu tahap dan tidak mencapai tahap matang. Ini adalah masalah besar bagi Mimah. Berbagai-bagai ubat subur perlu diambil oleh Mimah melalui rawatan kesuburan dibawah seliaan doktor pakar ini. Namun dalam pemeriksaan berkala, keputusannya ialah telur atau ovum Mimah masih belum mampu untuk menjadi matang. Kalau terus gagal maka jawabnya Mimah bakal memakai gelaran isteri mandul. Satu kenyataan yang perit bagi seorang bernama isteri.

Apabila masalah Mimah ini dirujukkan kepada saya, sebagaimana biasa saya akan mencari punca penyebab mengapa Allah SWT masih belum mahu memberikan zuriat kepada Mimah. Akhirnya dapat dikenal pasti punca masalahnya bahawa Mimah pernah mengucapkan kata-kata “abang, selagi kita belum beli rumah sendiri dan ekonomi kita belum mantap, kita tangguhkan dahululah hajat untuk nak ada anak”. Inilah kata-kata yang pernah diucapkan Mimah beberapa tahun dahulu. Allah sudah memproses kata-kata yang menjadi doa Mimah dan sudah pun dimakbulkan.

Bagi mereka yang melakukan kemungkaran, Allah menyediakan pintu taubat agar orang ini kembali ke jalan yang benar. Bagi orang yang terlanjur dengan ucapan yang sebenarnya mengundang bencana sebagaimana kes seperti Mimah ini, apakah yang perlu mereka lakukan??? Jawapannya ialah bayarlah kafarah sumpah.

Apakah itu sumpah?  Dari sudut Islam, sumpah bermaksud menyatakan dengan penuh kesungguhan perkara yang mungkin berlaku dan mungkin tidak berlaku yang diperkukuhkan dengan menyebut nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya.

Kalau seseorang berkata: “Aku bersumpah dengan nama Allah bahawa aku akan melakukan perkara berikut.” Maka ia adalah sumpah, tidak kira sama ada lafaz itu diniatkan sebagai sumpah ataupun tidak diniatkan apa-apa, kerana lafaz tersebut pada kebiasaannya hanya digunakan untuk sumpah.

Apabila seseorang bersumpah, menjadi kewajipannya untuk melaksanakan sumpah tersebut. Seandainya ingin membatalkan sumpah tersebut, sila rujuk firman Allah swt:
Maksudnya:
Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah dan jagalah peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur. (al-Maidah:89)

Dalam kes kata-kata oleh Mimah ini adakah ia satu sumpah? Pada pandangan peribadi saya, YA. Itulah yang diajarkan oleh arwah guru saya. Seandainya tidak bersetuju dengan pandangan saya ini, ia boleh pula termasuk dalam perkara syubhah. Dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir radhiallahuanhu dia berkata, Saya mendengar Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam bersabda, "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan haiwan gembalaannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang  Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa dia adalah hati “. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Jadi sekiranya kata-kata Mimah ini adalah sumpah, maka bayarlah kafarah sumpah. Kalau ragu-ragu sama ada ia termasuk dalam kategori sumpah atau tidak, atau dalam kata lain syubhah, bayar sajalah kafarah sumpah, bukan banyak pun. Sekiranya kata-kata Mimah tersebut bukan sejenis sumpah dan bukan perkara yang ragu-ragu atau syubhah, jadi bagaimana caranya untuk membatalkan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Mimah tersebut?

Jadi saya pun menasihati Mimah agar membayar kafarah sumpah sebagaimana dalam ayat Al Quran Al Maidah ayat 89 di atas semoga Allah menarik balik kata-kata atau sumpah yang kurang elok tersebut dan seterusnya memberikan Mimah zuriat. Bagi membantu Mimah melaksanakan bayaran kafarah sumpahnya, saya mencadangkan agar Mimah sekadar membayar harga makan malam untuk 10 orang kepada saya dan biarlah saya menguruskan pembelian makanan malam untuk 10 orang miskin. Lagi pun saya memang ada membiayai anak-anak yatim yang miskin yang melebihi 10 orang. Mimah bersetuju dan memberikan wang tersebut kepada saya. Sebagaimana biasa, saya dan isterilah yang bakal menguruskan pembelian dan pengedaran makanan untuk makan malam anak yatim miskin tersebut.

Beberapa bulan selepas itu, berita menarik dari Mimah diterima, ujian air kencingnya alhamdulillah positif mengandung. Sehingga hari ini Mimah sudah diberikan tiga orang anak oleh Allah SWT. Segala puji hanya bagi Allah. Begitulah bahana ucapan dari mulut. ia boleh mengundang kebaikan atau keburukan.

Bagi menjaga mulut, amalkanlah perkataan “insyaAllah” ketika bersumpah kerana ini tidak memerlukan pembayaran kafarah sumpah sebagaimana hadis berikut: 
مَنْ حَلَفَ فَقَالَ : إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَمْ يَحْنَثْ
“Siapa yang bersumpah dan dia mengucapkan: InsyaaAllah, maka dia tidak dianggap melanggar.” (H.r. Ahmad, Turmudzi, Ibn Hibban dan disahihkan Syu’aib al-Arnauth)

Berbagai bagai perkara diberikan Allah kepada saya akibat tutur kata. Bagi mengundang keuntungan, lebih baik selalu menyebutkan perkataan yang baik seperti anak bertuah atau sebarang kata-kata baik yang lain. Apabila marahkan orang, marahlah dengan menuturkan kata-kata yang baik seperti “panjang umur kau” dan sebagainya. Kalau tak tahu apa yang nak dituturkan terutama sekali apabila marah, adalah lebih baik diam sebagaimana saranan hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim diawal tulisan saya diatas..

Saya masih teringat pernah menuliskan sesuatu di atas kertas lama dahulu. Lapan tahun kemudian saya dapat apa yang saya tuliskan tersebut. Alhamdulillah saya menulis kata-kata yang baik. Bukan sekadar kata-kata yang perlu kita berhati-hati, tulisan juga perlu berhati-hati.

Oleh kerana itu, dalam sebuah syair disebutkan :

Aku menulis dan aku yakin pada saat aku menulisnya
Tangan ku akan lenyap, namun tulisan tangan ku akan abadi
Bila tangan ku menulis kebaikan, akan dibalas dengan setimpal
Jika tangan ku menulis keburukan, tinggal menunggu balasan.
Semoga Allah SWT sentiasa menolong dan  melindungi saya dari sebarang tulisan yang buruk.


Semaklah kita akan apa jua kata-kata yang pernah diucapkan. Kalau kata-kata yang baik alhamdulillah. Seandainya pernah mengatakan perkataan yang buruk, bayarlah kafarah sumpah. Bukan banyak pun duitnya. Kalau dibelikan nasi ayam untuk 10 orang miskin, baru RM70. Semoga dengan membayar kafarah sumpah ini kita bakal dibimbing Allah SWT menjadi orang yang sentiasa berhati-hati dengan tutur kata.

Sekian buat kali ini.


والله أعلم



وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Emjay