Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Wednesday, 8 August 2007

Manusia dalam perut buaya








Saya telah menerima email daripada sdr shah benz tentang foto berikut yang dirakamkan di Sabah sewaktu kerja-kerja pemasangan paip di sana. Gambar ular itu juga mengerikan.

Terima kasih Shah benz

Emjay

Monday, 6 August 2007

Memalukan atau memang tidak tahu malu

Memalukan atau memang tidak tahu malu


Assalamualaikum wbh

Pada Isnin 23 Julai 2007, akhbar tabloid KOSMO telah menyiarkan berita ”bomoh dapat lampu hijau JAIP” pada muka surat 3. Berikut adalah cerita lengkap dari berita ini.


~~~~~~~~~~
TELUK INTAN – Tiada unsur syirik apatah lagi menipu seperti yang didakwa!

Malah orang ramai khususnya pesakit yang ingin mendapatkan khidmat bomoh cilik, Nur Atiqah Rosli, 6, tidak perlu bimbang mengenai cara rawatan yang digunakan kerana ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Penolong Pengarah, Unit Akidah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Mustafa Jaafar berkata, hasil pemeriksaannya di rumah nenek kanak-kanak itu di Langkap di sini baru-baru ini mendapati teknik rawatan yang dijalankan Nur Atiqah bebas daripada unsur penipuan dan pemujaan.
“Selepas tersebar berita kehebatan Nur Atiqah mengubati pelbagai penyakit, saya bersama sepasukan pegawai JAIP berkunjung ke lokasi beliau membuat rawatan dan saya mengesahkan khidmatnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

“Kami telah melihat malah mencuba sendiri rawatannya ketika kunjungan tersebut,” katanya kepada KOSMO! semalam.

Ujarnya, rawatan yang dijalankan Nur Atiqah iaitu menggunakan telur, dikatakan sekadar ‘teknik biasa’ pengamal perubatan tradisional.

“Kami tidak nampak penggunaan telur menyalahi ajaran Islam kerana dia langsung tidak menggunakan api, kemenyan atau unsur-unsur mistik bahkan tiada mentera memuja unsur lain digunakan,” jelasnya.
Kepada yang sudah sembuh, beliau berharap mereka menganggapnya ia daripada Allah dan bukan meletakkan kanak-kanak itu sebagai kuasa yang menyembuhkan.

Sebelum ini, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria telah mengeluarkan kenyataan cara pengubatan tradisional termasuk yang menggunakan telur tidak menyalahi hukum Islam, selagi ia tidak bercampur dengan anasir yang jelas memesongkan akidah.

Dalam pada itu, tinjauan di rumah nenek Nur Atiqah yang dijadikan lokasi rawatan setiap hujung minggu mendapati, orang ramai termasuk dari luar Perak masih berpusu-pusu ke situ.

Neneknya, Aini Othman, 60, berkata, meskipun ada dakwaan sebelum ini cucunya melakukan penipuan, rumahnya masih menjadi tumpuan orang ramai sehinggakan yang terbaru, sistem nombor giliran elektronik terpaksa dipasang bagi memudahkan setiap sesi rawatan.

“Saya tidak tahu apakah salah kami sehinggakan keikhlasan cucu saya merawat pesakit dibalas dengan tohmahan dan khabarnya telah dilaporkan kepada polis baru-baru ini.

“Mungkin inilah kuasa Allah, lagi dituduh yang bukan-bukan, lebih ramai yang menagih khidmat Nur Atiqah. Mungkin dengan adanya sistem elektronik ini, tidak ada lagi yang tidak berpuas hati jika giliran mereka terlepas dan sebagainya, katanya.
~~~~~~~~
Satu ketika dahulu seorang bekas perdana menteri berkata lebih kurang begini ”tak pa lah biar segala dosa orang yang berjudi lumba kuda biar saya yang tanggung”. Dengan kata-kata begini, berlumba-lumbalah rakyat Malaysia tidak kira agama bermain judi lumba kuda. Persoalan saya adakah dengan kata-kata ini, segala dosa orang berjudi akan dipindahkan kepada bekas perdana menteri ini?

Dalam satu forum di tranungkite http://www.tranungkite.net/ , pernah dipaparkan satu gambar yang sangat memalukan di Malaysia ini iaitu:



Adakah dengan membaca tanda halal pada tin babi cincang tersebut, maka kandungan babi pada tin tersebut sudah menjadi halal?? Kalau kita umat Islam tidak berilmu, memang mudahlah menjadi mangsa penipuan syaitan ini.

Kembali kepada persoalan bomoh kecil yang disiarkan akhbar Kosmo di  atas, adakah dengan mendapat pengiktirafan dari Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP) sebagaimana dinyatakan di dalam akhbar tersebut maka amalan oleh bomoh kecil ini sudah halal di sisi Islam????? Kalau orang tidak berilmu memang begitulah bakal mudah di tipu oleh syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia masuk ke neraka.

Saya pernah terlihat satu ketika dahulu di dalam TV bagaimana seorang kanak-kanak India mampu merawat pesakit mirip macam kemampuan adik Nur Atiqah Rosli ini. Adakah amalan rawatan oleh kanak-kanak India yang beragama bukan Islam juga boleh dihukumkan dibenarkan dalam Islam???

Pada tahun lalu kes seperti adik Nur Atiqah Rosli pernah berlaku dan berduyun-duyun pesakit mengunjunginya dan akhbar turut mengambil kesempatan menyiarkan ceritanya. Adakah setiap kes ini juga dibenarkan dalam Islam??

Merujuk kepada perubatan yang dijalankan oleh Nur Atiqah Rosli ini, marilah kita bincangkan mengapa kaedah amalan ini tidak dibenarkan dalam Islam:
  1. Seandainya kita semua menerima kaedah rawatan Nur Atiqah Rosli  yang berusia 6 tahun ini, maka ini bakal membenarkan orang Islam lain mendapatkan rawatan cara ini dari kanak-kanak bukan Islam sama ada orang India, Cina atau kafir kristian. Apalah yang boleh diharapkan dari kanak-kanak ini, sembahyang pun mungkin belum tahu nak melakukannya. Adakah boleh dikategorikan kanak-kanak ini sebagai orang beriman? 
  1. Kanak-kanak 6 tahun seperti Nur Atiqah Rosli belum lagi mengetahui hukum hakam dalam agama Islam. Rawatan kaedah Nur Atiqah Rosli yang mengandungi amalan menggunakan telur untuk merawat secara mistik dan penggunaan tangkal minyak memang tidak dapat dinilai oleh seorang budak kecil seperti ini.
  1. Faktor yang sangat jelas menyesatkan ialah penggunaan tangkal minyak dalam botol. Pada zaman sekarang memang penggunaan tangkal minyak dan minyak wangi dalam botol memang sangat berleluasa dan lihatlah gambar berikut:

Setengah minyak dari jenis tangkal adalah untuk disapu seperti minyak dagu dari mayat nenek moyang yang dijemur di atas pantai yang menjadi amalan segolongan bumiputera di Sarawak (walau pun sudah masuk Islam) dan setengah minyak tangkal ini hanyalah untuk disimpan sahaja seperti minyak di atas.


  1. Apa rasionalnya menggunakan telur dalam perubatan adik kecil ini? Memanglah rawatan bomoh sesat lainnya banyak menggunakan telur seperti alin telur diatas perut dan memindahkan penyakit melalui telur. Semua amalan rawatan menggunakan telur seperti ini adalah dilakukan oleh bomoh sesat tetapi bagaimanakah apabila dilakukan oleh adik kecil ini,  mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria boleh mengatakannya sebagai tidak menyalahi hukum Islam?? 
  1. Fenomena yang berlaku kepada adik kecil ini kerap berlaku di Malaysia dan ia boleh berlaku kepada budak kecil, remaja, orang dewasa atau orang tua. Setengah orang mendapat ilmu perubatan seperti ini melalui mimpi yang didatangi orang tua yang memberikan sesuatu. Setelah menerima sesuatu daripada orang tua ini dalam mimpi, pada keesokan harinya, orang yang menerima sesuatu di dalam mimpi ini terus mampu mengubat dan mengusai berbagai ilmu ghaib lainya. Inilah yang dinamakan ilmu saka. 
Ilmu saka ini  selalunya berasal dari seseorang yang mengamalkan ilmu sesat seperti ilmu mengubat (bomoh). Selalunya apabila orang ini mati, kalau ada keturunannya yang sanggup menerima ilmu ini ketika dia hampir mati, maka ilmu ini juga akan berpindah tangan (tuan) dan ia juga dipanggil ilmu saka. Ilmu saka yang diterima secara ini atau secara mimpi seperti di atas pada kebiasaannya akan jatuh kepada anak, cucu atau anak saudara yang paling disayangi oleh pengamal ilmu tersebut ketika beliau masih hidup. 
Ciri-ciri yang berlaku kepada adik kecil Nur Atiqah Rosli mirip macam orang yang menerima saka dari keturunannya.

                        *************************************

Pada suatu ketika saya mengunjungi rumah satu hamba Allah di Kuantan, Tidak lama selepas itu tuan rumah ini dikunjungi pula oleh seorang sarjan TLDM di Kuantan. Bila masuk maghrib, saya dan sarjan TLDM sembahyang berjemaah dimana dia yang lebih berusia dari saya ketika itu menjadi imam. Sesudah selesai solat beliau memberikan secebis kecil kayu yang lebih kecil dan pendek berbanding kayu mancis kepada saya untuk di simpan. Tanpa sebarang jampi dan sebarang akad apatah lagi tidak diminta pun oleh saya, kayu ini adalah sejenis tangkal kerana ada harapan dari pemberi dan ada harapan dari penyimpannya. Namun selepas itu saya dah buang kayu ini.

Sebagai contoh lain, saya membeli sekilo garam kasar dari kedai lalu menabur keliling rumah baru saya tanpa sebarang jampi serapah dan mantera, namun garam ini sudah jadi tangkal kerana sebenarnya perbuatan saya ini mengandungi harapan keberkatan dan ini adalah sejenis tafaul.
Sebagai contoh mudah lain ialah dengan amalan meletakkan penyapu secara terbalik di belakang pintu di waktu malam dengan  harapan tidak di pukau sewaktu tidur. Amalan meletakkan penyapu ini memang dilakukan tanpa sebarang jampi serapah namun ia adalah satu perbuatan yang merosak akidah kerana telah berharap kepada sesuatu. 

Marilah kita sama-sama kita renungi sebuah hadis mafhumnya:
Hakim itu ada tiga, dua orang di neraka dan seorang lagi di surga. Seorang yang tahu kebenaran dan ia memutuskan dengannya, maka ia di surga; seorang yang tahu kebenaran, namun ia tidak memutuskan dengannya, maka ia di neraka; dan seorang yang tidak tahu kebenaran dan ia memutuskan untuk masyarakat dengan ketidaktahuan, maka ia di neraka." Riwayat Imam Empat. Hadits shahih menurut Hakim.

Bagi mufti Perak tu saya memang tidak terperanjat langsung atas tindakan beliau ini kerana maklumlah orang yang menyokong fahaman tarekat!

Sekian wassalam wallahualam

Emjay

Thursday, 2 August 2007

Lagi tentang email berantai

Assalamualaikum wbh

Pada beberapa hari lepas saya mendapat pertanyaan melalui email dari seorang pembaca Laman Emjay. Pembaca ini ingin bertanya tentang forwarded email yang diterima olehnya seperti berikut:

~~~~~~~~~~
Assalammualaikum...  
Sebarkan TUJUH nama ALLAH SWT ini...pada tujuh orang,Insyaallah keinginanmu dipenuhi..!!!!  
1. Al-Qayyum
2. Al-Majid
3. Al-Wajid,
4. Al-Wahid
5. Al-Ahad
6 As-Samad
7. Al-Qadir,

Sesungguhnya semua adalah kehendakNYa...    

~~~~~~~~~~

Sebelum saya kupas persoalan ini , mari lihat dahulu makna-maknanya

1. Al-Qayyum = Yang Memiliki Mutlak sifat Maha Mandiri
2. Al-Majid = Yang Memiliki Mutlak sifat Maha Mulia
3. Al-Wajid, = Yang Memiliki Mutlak sifat Maha Penemu
4. Al-Wahid = Yang Memiliki Mutlak sifat Maha Esa
5. Al-Ahad = (Ini bukan nama Allah) Kalau Al Wahiid tu adalah الواحد
6 As-Samad = Yang Memiliki Mutlak sifat Maha Diperlukan, Tempat Meminta
7. Al-Qadir, = Yang Memiliki Mutlak sifat Maha Menentukan, Maha Menyeimbangkan

1. Amalan ini yang menjanjikan sekian dan sekian tiada nasnya. Kalau ada nasnya beritahulah saya. Amalan yang tiada nas ditakuti diajarkan oleh syaitan.

2. Sekiranya seseorang melakukan sesuatu perkara kerana Tafa’ul (fa’lu) iaitu harapan akan datang kebaikan atau rahmat atau berkat / barokah (ong dalam bahasa Cina) yang disebabkan oleh perkara atau perbuatan tertentu.  

3. Penggunaan perkataan Insyaallah keinginanmu dipenuhi..!!!!   tidak menolak penggantungan rahmat di atas amal perbuatan ini. Sila rujuk Al Baqarah:[165]:
(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).

Dengan penambahan perkataan
Insyaallah keinginanmu dipenuhi..!!!! ,ini bermakna pelaku amalan ini memang percaya kepada Allah SWT namun selain dari percaya kepada Allah pelaku ini juga percaya bahawa amalan ini boleh mendatangkan kebaikan iaitu keinginanmu dipenuhi..!!!!  sesuai dengan Al Baqarah : 165 di atas.

Perbuatan ini sama dengan menyimpan tangkal di kalangan orang Melayu di Malaysia. Orang seperti ini percaya kepada Allah SWT tetapi disamping percaya kepada Allah SWT, mereka juga percaya bahawa tangkal ini boleh memberikan kebaikan kepada mereka. Ia adalah syirik!

Agama Islam adalah sebenarnya agama paling mudah untuk dianuti iaitu jikalau di dalam Al Quran dan sunnah tidak didapati sesautu amalan, janganlah lakukannya!!

Tafaul merosak akidah dan dengan memanjangkan email berantai di atas ia boleh merosak akidah.

Mengapa tidak ambil jalan mudah yang sudah sahih nasnya iaitu kalau ingin keinginanmu dipenuhi :

1. Peliharalah akidah
2. Lakukanlah segala yang disuruh dan elakkan dari melakukan yang dilarang
2. Beristigfarlah
3. Berzikirlah seperti subhanallah, alhamdulillah dan allahuakbar
4. Berdoalah dan mintalah apa sahaja yang diingini dan tidak semestinya doa ini dalam bahasa Arab!!.
5. Kalau banyakkan solat sunat dan solat malam lagi baik

Sekian untuk kali ini wassalam wallahualam

Emjay

Monday, 30 July 2007

Pemimpin bagai pokok dedalu

Assalamualaikum wbh

Pada minggu lepas saya dan rakyat Malaysia lainya tumpang bergembira apabila Nicol David dan Mohd Azlan Shah Iskandar menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di di The Curve, Mutiara Damansara. Sila baca keterangan lanjut di http://utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm.

Kejohanan skuasy ini adalah kejohanan peringkat antarabangsa yang disertai oleh juara-juara dunia. Dengan kejayaan Nicol David ini, kedudukannya sebagai peneraju world ranking semakin mantap dan agak sukar digugat oleh pemain lain. Ini barulah world class.

Malaysia dengan saiz fizikal Nicol David yang sekadar bersaiz kebiasaan orang asia yang pendek, sudah mampu menewaskan pemain dunia lainnya terutama sekali dari Australia dan England.

Pada minggu lepas dan minggu sebelumnya pula Malaysia dirundung kesedihan apabila pasukan bolasepak yang  bertanding dalam kejohanan Piala Asia mengalami kekalahan yang memalukan kepada China dan Uzbekistan.

Ekoran kekalahan mengecewakan ini, Timbalan Presiden FAM iaitu Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga anakanda Sultan Pahang yang memegang jawatan Presiden FAM telah meletakkan jawatan dengan serta-merta dan jawatan-jawatan lain dalam FAM.

Bagi saya perletakan jawatan Timbalan Presiden FAM oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah suatu tindakan yang amat mulia dan wajar sekali. Kalau dibanyak negara dunia, hal yang kecil menyebabkan seorang menteri meletakkan jawatan sebagai tanda kebertanggungjawaban. Sebagai tanda hormat, seorang lagi anggota bebas majlis FAM Khairy Jamaluddin juga telah meletakkan jawatannya dengan serta-merta.
Dalam surat kepada Setiausaha Agung FAM, Khairy, yang menjadi anggota bebas FAM pada 2005, berkata, beliau membuat tindakan itu sebagai tanda hormat kepada keputusan Tengku Abdullah meletakkan jawatan daripada persatuan itu.
Tindakan ini juga pada pandangan saya adalah wajar. Namun persoalan saya ialah adakah dengan perletakan jawatan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Timbalan presiden dan Khairy Jamaluddin sebagai anggota bebas majlis FAM dapat merubah situasi pasukan bola sepak Malaysia yang kini menduduki ranking  tangga 149 dalam ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas berada pada kedudukan ke-118 beberapa tahun lepas? Pada pendapat saya, tindakan kedua-dua orang penting FAM ini tidak akan membawa sebarang perubahan di dalam FAM!!

Sila baca artikel saya bertajuk IKTIBAR DARI KEPIMPINAN FAM DI MALAYSIA di http://laman-emjay.blogspot.com/2007/01/iktibar-dari-kepimpinan-fam-di-malaysia.html

Di dalam artikel tersebut saya ada menceritakan ilmu yang amat berguna iaitu “kalau di hulu sungai airnya begitu keruh, di kuala bertambahlah keruhnya ”. Maksudnya ialah kalau bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Kalau bapa kaki betina, insya-Allah anak-anaknya kalau perempuan menjadi bohsia dan kalau lelaki menjadi bohjan.

Selagi FAM dipimpin oleh
Sultan Ahmad Shah, selagi itulah FAM akan semakin tenat. Itulah sebabnya selama 23 tahun FAM diterajui oleh Sultan Ahmad Shah, ranking pasukan bola sepak Malaysia tidak pernah naik malahan merosot dan terus merosot.

Dalam artikel KTIBAR DARI KEPIMPINAN FAM DI MALAYSIA saya ada menceritakan mengapa SRAM atau persatuan Skuasy Malaysia begitu cemerlang dengan Nicol David, Ong Beng Hee dan Mohd Azhar Iskandar. Tidak lain tidak bukan adalah kerana SRAM di pimpin oleh seorang yang mempunyai akhlak dan peribadi yang cemerlang. Saya tidak mengenali presiden SRAM ini. Orang ini tidak menonjol langsung di dada akhbar dan TV namun orang ini bagus sekali kepimpinannya dan ini dibuktikan dari pelbagai kejayaan Nicol David dan lain-lainnya. Orang ini tidak lain tidak bukan ialah Dato' A. Sani Karim.





Nak tahu seorang pemimpin, lihatlah meraka yang di pimpin. Nak tahu orang yang di pimpin, lihatlah pemimpinnya.  Atas dasar inilah cukup menjelaskan mengapa  penyampai berita di  stesen-stesen TV tidak menghormati Islam dengan tidak memakai tudung dan mendedah aurat.


Didalam  kita memuji Nicol David dan
Mohd Azlan Shah Iskandar diatas kejayaan mereka, janganlah lupa mengucapkan tahniah kepada pemimpinnya iaitu Dato' A. Sani Karim.

Didalam kita sedih dan marah kepada pemain bolasepak negara dalam kejohanan bolasepak Piala Asia yang baru berlalu, jangan lupa untuk turut marah kepada pemimpinnya iaitu
Presiden FAM Sultan Ahmad Shah sultan Pahang. Selagi FAM di pimpin oleh orang seperti ini, tunggulah kucing bertanduk untuk melihat peningkatan mutu bolasepak negara.

Pasukan bolasepak IRAQ tanpa kemudahan dan persediaan yang first class ditambah pula keadaan negara yang huru hara telah menjuarai kejohanan bola sepak Piala Asia semalam kerana selain mempunyai pemain yang baik, pasukan ini juga dipimpin oleh pemimpin yang berkualiti sebagaimana berkualitinya pimpinan Dato' A. Sani Karim.

Malaysia telah mempunyai pemimpin  / leader berkualiti sebagaimana
Dato' A. Sani Karim namun persoalan saya bilakah pemimpin seperti "pokok dedalu" yang sedang menerajui FAM akan disingkirkan? Jangan lah tunggu sehingga pokok perumah mati baru nak buang pokok dedalu ini!!

Seorang Sultan wajar sekali dihormati sebagaimana juga Sultan Pahang namun apabila Sultan Pahang ini sudi mencemar duli dengan memimpin FAM, maka beginda perlu sanggup menerima akibatnya. Kalau bolasepak negara maju, kita akan memujinya, tetapi jikalau sebaliknya, kenalah letak jawatan atau dipecat. Jangan malu dan takut mengatakan "enough is enough" kepada pemimpin seperti pokok dedalu.

Sekian wassalam wallahualam

Emjay  

 

Thursday, 26 July 2007

kes minda bawah sedar Prof Dr Ibrahim - kajian kes dan latihan untuk pembaca

Assalamualaikum wbh semua pembaca Laman Emjay

Baru sebentar tadi saya mendapat email dari seorang pembaca Laman Emjay Che Lah bertanyakan:

Assalamualaikum tn haji...
semoga tn hj dan keluarga sehat dan dilindungi Allah sepjg masa adanya..
 nk tanya ckit....
kemana menghilang hingga laman mj x di kemaskini....

Memanglah beberapa minggu ini saya sangat kesibukan kerana semester sudah bermula. Kena mengajar dan pelbagai urusan fakulti lainya.

Sebagai mengisi ruang di Laman Emjay, kali ini saya meminta semua pembaca pula membuat latihan pengukuhan agar semua pembaca juga mantap. Latihan dan ujian ni baik sebagaimana saya memberikan latihan dan ujian kepada pelajar-pelajar saya.

Latihan kali ini ialah berhubung artikel yang ditulis oleh Prof Dr Ibrahim yang keluar di Utusan Malaysia

Sekian wassalam wallahualam

Emjay

Utusan Malaysia, 14/02/2004

Keluarga


Mengenal diri - Guna teknik Minda Bawah Sedar

SEBAGAI ibu bapa, apabila berhadapan dengan anak-anak yang degil, tidak mendengar kata atau malas tentu sahaja memeningkan. Namun sikap negatif si anak boleh diubah dengan menggunakan teknik minda bawah sedar anda sendiri. 

"Teknik mengawal minda bawah sedar boleh membuatkan orang lain mengikut apa yang terniat atau kehendak kita, tetapi harus diingat, biarlah untuk perkara-perkara yang baik,'' ujar pengamal perubatan alternatif Prof. Dr. Ibrahim Ahmad, ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, bagi memanfaatkan minda ini, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah seseorang itu sendiri perlu berfikir dan berkata-kata positif sama ada pada diri sendiri atau orang lain. Ia bukan sahaja mempengaruhi diri tetapi juga mereka yang berada disekeliling apabila seseorang itu mengamalkan sikap ini.

Menerangkan lebih lanjut, beliau berkata, minda bawah sedar banyak melakukan tugas untuk kita, iaitu apa sahaja yang terlintas dalam fikiran, akan ditangkap dan disimpan.

Melaluinya juga ia boleh bertindak menjaya atau menggagalkan misi seseorang itu, justeru mereka perlu tahu niat dan apa yang dikehendaki.

Beliau memberi contoh paling mudah ialah bagaimana untuk meluahkan hasrat atau perasaan hati mereka kepada seseorang.

Ini boleh dilakukan sama ada kepada anak-anak, suami atau isteri, ketua, rakan atau sesiapa sahaja menggunakan minda bawah sedar.

Kaedah ini juga boleh digunakan untuk semua tujuan seperti membaiki hubungan suami isteri, kerjaya, keuntungan perniagaan, menyembuhkan penyakit dan sebagainya.

"Caranya mesti betul, insyaallah sesiapa sahaja boleh mencubanya, asal sahaja ia dilakukan dengan syarat-syarat tertentu," ujarnya.

Memperjelaskan maksudnya itu, beliau berkata, seseorang itu mesti membersihkan diri, jiwa dan fikiran, sentiasa berkomunikasi dengan diri sendiri, serta perlu ada keyakinan dan kepercayaan.
Adalah lebih baik katanya, ia dilakukan pada tengah malam kerana ketika itu diri berada pada tahap yang paling tenang dan tenteram, tanpa ada sebarang gangguan.

"Lebih elok jika dilakukan selepas sembahyang sunat kerana diri kita ketika itu masih bersih,'' ujarnya.

Sambil memberi contoh ibu bapa yang menghadapi anak-anak bermasalah seperti tidak mendengar kata, malas belajar dan lasak boleh mengikut kaedah ini.

"Ia boleh dimulakan dengan memberi salam untuk menjemput minda bawah sedar si anak datang dengan meletakkan kedua-dua tapak tangan ke kepala anak.

"Bayangkan si anak betul-betul berada di hadapan, duduk menanti apa yang ingin disampaikan. "Kemudian katakan perlahan-lahan bahawa kita amat memerlukan dia menjadi anak yang baik, mendengar kata dan apa sahaja yang anda inginkan pada diri si anak. Luahkan apa sahaja perasaan anda ketika itu seperti dia betul-betul berada di hadapan," saran Ibrahim lagi.

Seboleh-bolehnya kata beliau lagi, kawal minda bawah sedar si anak. Ketika bercakap dengannya gunakan perkataan-perkataan yang baik, bahasa dan nada yang lembut dan jelas.

"Jangan sesekali meninggikan suara atau menyebut perkataan yang tidak elok semasa berinteraksi,'' ujarnya.

Beliau menambah teknik ini paling cepat kesannya, jika dilakukan dengan penuh yakin, percaya, tenang dan niat yang positif.

"Insyaallah, si anak akan sedar apa yang dikehendaki oleh ibu atau bapa terhadap dirinya dengan mengubah tingkah laku dan sikap kepada yang lebih positif," katanya.

Ibrahim menegaskan sesiapa sahaja boleh mempelajari teknik ini kerana kaedah seumpamanya ini tiada kaitan langsung dengan kuasa ghaib, hantu atau jin. 

Sebaliknya ia menggunakan sepenuhnya kekuatan minda yang ada pada diri setiap orang.

"Kita sebenarnya adalah apa yang kita fikirkan. Jadi jangan sesekali fikirkan sesuatu yang buruk kerana apabila kita sering memikirkan perkara yang buruk, sudah tentu perkara yang buruk terjadi," ujarnya sambil menegaskan apa sahaja yang terlintas di fikiran, bermakna seseorang itu telah menghantar isyarat supaya ia terjadi.

"Kejayaan mudah dicapai berbanding kejayaan yang diperoleh melalui saingan sedar.

"Ini kerana melalui minda bawah sedar, anda tidak akan perasan pun yang anda sedang bersaing, walaupun hasilnya mungkin mengambil masa yang agak lama," ujarnya yang memilikki kelayakan dalam bidang perubatan alternatif dari Open International Universty For Alternative Medicines, India.

Sambungnya lagi, dengan menguasai minda di bawah sedar, seseorang itu boleh memilih apa sahaja yang mereka ingin jadi atau hasratkan.

"Anda boleh berjaya jika mahu atau mengubah diri anda kepada sikap yang lebih positif. Ini kerana minda adalah organ pengesan yang menerima apa saja input secara berterusan,'' ujarnya.

Beliau memberitahu antara kaedah yang digunakan untuk menguasai minda di bawah sedar ialah dengan menggunakan dua cara, iaitu melalui pemerhatian dan kedua,penulisan. 

Penulisan adalah kaedah terbaik untuk memprogramkan semula minda. Ini boleh dilakukan dengan menulis hasrat anda setiap hari di dalam sebuah buku. 

Misalnya, anda ingin sentiasa gembira, sihat, menjadi pekerja yang baik, mendapat markah lebih baik untuk pelajar, mewujudkan perhubungan yang lebih baik dan sebagainya.

Tulislah sekurang-kurangnya tiga hingga 10 baris menggunakan ayat yang sama setiap hari atau diulang setiap hari.

Katanya, melalui kaedah ini anda boleh melihat perubahan diri dalam tempoh 90 hari, sama ada perubahan kecil malah tidak mustahil keinginan anda menjadi realiti. 

"Setiap individu dibekalkan oleh Allah dengan kelebihan begitu, namun tidak ramai yang tahu memanfaatkan kelebihan yang dimiliki dan tidak tahu teknik menggunakannya.

"Perkara-perkara berkaitanlah yang sering saya tekankan ketika memberi ceramah," katanya yang mengendalikan program itu melalui syarikat miliknya, Positive Mind Resouces sejak dua tahun lalu. 

"Apabila anda sudah kenal siapa diri anda, kelebihan dan kekuatan, insyaallah anda akan lebih yakin apabila berhadapan dengan orang lain," ujarnya.

Bengkel Minda Bawah Sedar pertama beliau di Kuala Lumpur akan diadakan pada 6 Mac ini bertempat di Hotel Kuala Lumpur International (KLI). Bagi yang berminat mengikutinya boleh menghubungi talian 019 2551363 atau 019 4244333.

Tuesday, 24 July 2007

Meninggal Di Masjid Nabawi


Assalamualaikum wbh

Lihatlah bagaimana didunia lagi Allah tunjukkan bagaimana hambanya yang taat dicabut nyawanya ketika sujud.

Mudah-mudah hamba Allah ini diredhai Allah dan diterima segala amal ibadahnya dan dimasukkan ke dalam syurga.

Saya menerima forward email ini daripada sdr Mohamad Sidek Shara. Terima kasih daun keladi.

Emjay

Monday, 23 July 2007

Mesej dari Allah yang tidak mahu difahami!!!

Mesej dari Allah yang tidak mahu difahami!!!

Assalamualaikum wbh skelian pembaca Laman Emjay yang dikasihi

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang

Beberapa hari lalu saya mendapat email dari seorang pembaca dan di dalam email ini tertulis ”Pertamanya saya mintak maaf banyak-banyak sebab lambat balas email ustaz, computer saya diserang virus (sbb saya ni jahat sket, pergi lawat laman web tak senonoh).”. Alhamdulillah memang saya begitu gembira menerima tulisan email seperti ini. Semoga penulis email ini sentiasa dirahmati Allah. Dia sedar kesalahannya melayari internet perkara tak senonoh mengundang kemurkaan Allah sehingga ditadbirkan Allah komputernya rosak diserang virus

Setiap yang Allah berikan sebagai ujian mengandungi pelbagai mesej tertentu. Silalah baca artikel saya bertajuk SABAR DENGAN UJIAN.

Apabila Allah sayang kepada umatNya, semakin banyak ujian yang diberikan kepada umat tersebut semata-mata agar umat ini menjadi lebih baik. Untuk memahami perkara ini, saya ingin memberikan satu analogi:

Kita semua sangat sayang kepada anak-anak kita, betul tak? Atas dasar sayang ini kita telah bersusah payah menghantar anak-anak kita semuanya pergi ke sekolah. Mengapa kita semua sebagai ibu bapa menghantar anak-anak pergi ke sekolah? Bukankah rumit dan mahal untuk menghantar anak ke sekolah? Semuanya ini kita lakukan tidak lain tidak bukan atas satu dasar agar anak-anak ini sentiasa diuji melalui sistem persekolahan sekolah. Pelbagai ujian disediakan di sekolah seperti soalan lisan, mencongak, latihan di rumah, ujian bulanan, ujian pertengahan tahun, ujian akhir tahun, peperiksaan UPSR, PMR, SPM dsbnya. Ujian ini bersambung lagi dengan ujian di matrikulasi dan ujian yang lebih mencabar iaitu ujian di universiti. Semua ujian ini adalah mencabar dan pastinya kita semua bersungguh-sungguh memastikan anak-anak ini menjalani ujian-ujian ini semoga pulangan yang diperolehi dari sistem pelbagai ujian ini ialah untuk mendapatkan pekerjaan yang baik selain mendapat pelbagai kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.

Allah menyediakan pelbagai ujian untuk manusia sebagaimana analogi saya di atas adalah atas dasar Allah SWT yang pengasih lagi penyayang semoga semua manusia menjadi orang yang beriman dan sebagai ganjaran mahal dari Allah ialah dimasukkan ke dalam syurga. Kena sakit adalah ujian. Kena saman polis juga adalah ujian. Terluka di tangan juga ujian. Anak patah tangan adalah ujian. Tidak lulus periksa juga adalah ujian. Kesempitan wang adalah ujian. Hati yang tidak tenteram adalah ujian. Dinaikkan pangkat adalah ujian. Diturunkan pangkat adalah ujian. Statik (gaji tidak naik dan tidak turun) juga adalah ujian. Kemalangan kereta adalah ujian. Begitu banyak ujian yang diberikan oleh Allah kepada umatnya agar umat ini insaf dan sentiasa menjadi semakin baik.

Nabi Yunus diberikan ujian berat oleh Allah SWT sehingga ditelan oleh ikan nun kerana kesilapan bersangka buruk terhadap umatnya. Selepas lulus ujian ini dan melakukan banyak zikir yang digemari Allah sebagaimana di dalam Al Quran “lailahailla anta subhanaka inni kuntu minazzolimin .... tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah orang yang zalim”. Alhamdulillah saya berada di kedudukan sekarang ini juga setelah banyak sekali  ujian yang saya telah lalui. Setengah dari ujian ini tersangat berat namun mengapalah perlu takut dengan ujian yang berat kerana kalau berat ujiannya, insyaAllah berat juga faedahnya. Ujian peringkat sarjana dan PhD adalah berat namun ganjarannya adalah lumayan. Allah juga telah menegaskan dalam Al Quran “sesungguhnya setiap keburukan ada kebaikan!”.

Ujian berat dari Allah seperti cerita artikel saya Pengalaman bersama orang yang kerasukan () di mana hamba Allah ini diberikan kerasukan di sekolah, dirumah dan di mana-mana adalah satu ujian yang sekiranya lulus, hamba Allah ini bakal mendapat kehidupan masa hadapan dengan akidah yang mudah-mudahan lurus. Setelah ujian ini lulus, hamba Allah ini diuji dengan kesempitan wang. Alhamdulillah dah lulus. Diuji pula dengan kemalangan kenderaan. Mudah-mudahan lulus. Diuji pula dengan penyakit, alhamdulillah semakin baik dan berilmu. Diuji Allah dengan anak yang pandai, mula-mula gagal kini dah semakin lulus. Diuji dengan anak yang lemah, dahulu gagal kini dah semakin lulus. Begitulah Allah akan menguji dari masa ke semasa kepada hamba Allah ini agar hamba Allah ini menjadi hamba Allah yang semakin baik.

Sekiranya satu hamba Allah sudah lulus ujian dan sudah melayakkan diri untuk masuk ke syurga, Allah tetap akan memberikan pelbagai ujian lagi kerana Allah perlu menilai dari setiap ujian yang baru sama ada hamba Allah ini boleh dimasukkan ke syurga yang lebih mulia atau tidak.

Begitulah, dalam setiap ujian Allah ada mesej tertentu yang Allah ingin sampaikan.
Antara pelbagai ujian dari Allah, ujian gout dan penyakit kencing manis adalah salah satu ujian yang heavyweight. Terdapat dua kes di mana hamba Allah ini menghidap  kencing manis namun dalam tempuh 2 bulan, penyakit in sembuh, alhamdulillah. Kedua-dua orang ini mantap akidahnya, jadi apabila diajarkan ilmu perubatan, senang ilmu ini untuk diamalkan dan berakhir dengan kesembuhan dari Allah.

Satu ketika saya membantu pasangan yang menghidap penyakit kencing manis yang masing-masing sudah berusia lingkungan 60an. Isterinya tidak bertudung dan sangat moden. Siap pakai rambut palsu. Bila diajak sembahyang berjemaah di rumah saya, rupa-rupanya sudah lama mereka tidak bersembahyang. Saya mengajarkan ilmu perubatan tanpa mengajarkan ilmu agama. Rupanya usaha ini menjadi sia-sia sahaja. Pasangan ini juga sudah biasa bertangkal, pendinding, pelaris dan berbagai lagi pekerjaan syirik. Allah memberikan penyakit dengan mesej tertentu namun hamba Allah ini lebih gemar mencari keseronokan dunia sahaja. Sebagaimana janji Allah, Allah akan memberikan “suul khotima” iaitu kehidupan saat tua  yang perit sebagaimana sedang dihadapi sekarang dan mungkin keperitan ini ini akan ditambahkan lagi oleh Allah.

Seorang hamba Allah kerja kerajaan berjawatan tinggi, ketika umur 30an sudah belajar ilmu perbomohan sesat dari seorang bomoh lelaki yang saya kenali. Beberapa tahun selepas itu belajar pula “merawat secara Islam” dari seorang tokoh terkenal Prof Dr H**** D**. Saya memang sudah lama marah dengan Pusat Rawatan Islam ini kerana nama sahaja Islam tetapi kerjanya menyesatkan manusia. Ujian berat dari Allah kepada hamba Allah ini ialah kini dia telah dibuang dari perkhidmatan awam ketika pendapatan bulanannya sudah melebihi RM7000. Usia sudah hampir 50 tahun. Gaji hilang, gratuiti hilang dan pencen juga hilang. Anak masih ramai yang sedang belajar. Mudah-mudahan hamba Allah ini sedar dan dapat memahami mesej dari Allah iaitu beliau banyak mengerjakan kesalahan.

Seorang hamba Allah juga pegawai di satu jabatan kerajaan, sewaktu usianya muda belum 30 tahun dengan bangga menceritakan rasuah yang diterimanya kepada saya dahulu. Kira-kira 4 tahun lepas saya bertemu lagi dengan hamba Allah ini tetapi saya amat membenci perbualannya yang penuh dengan pelbagai amalan sesat. Buat begini-begini dapat sekian banyak duit. Zikir sekian banyak akan dapat wang sekian banyak. Dalam hati saya berkata “bahaya aku berkawan dengan dia ni!”. 

Bulan lepas saya mendapat berita bahawa hamba Allah ini pada usia kira-kira 45 tahun juga disingkirkan dari perkhidmatan awam. Hutang dengan satu agensi yang berkemungkinan hangus kira-kira hampir RM40,000.00. Itu belum kira hutang dengan pelbagai bank dan institusi kewangan lainnya. Itulah ujian berat dari Allah kepada hamba Allah ini dengan mesej yang jelas agar segera bertaubat dan jangan lagi melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini.

Seorang hamba Allah yang mengamalkan rawatan mirip "rawatan Islam" Da*** S**** dan seorang pensyarah/guru agama yang sudah hampir pencen sedang menghadapi masalah keluarga yang rumit dan hampir bercerai. Sudah ada cucu namun hampir bercerai. Walau pun seorang guru agama, hamba Allah ini gemar berjumpa dan berurusan dengan bomoh!. Allah memberikan mesej yang jelas bahawa ada sesuatu perbuatan hamba Allah ini yang Allah tidak redha dan perlu taubat.

Dahulu saya amat ingin membantu untuk membantu pesakit gout, gastrik dll di Laman Emjay tetapi kini saya sedar sekali bahawa sekiranya saya ajarkan ilmu perubatan bagi menyembuhkan penyakit tersebut namun tanpa kesedaran, taubat dan kembali ke pangkal jalan bagi pesakit ini, bagaimanalah Allah akan memberikan kesembuhan! Apa yang saya perhatikan di kalangan pesakit-pesakit golongan ini banyak sekali telah berurusan dengan berbagai bomoh. Tidak cukup dengan pelbagai tangkal azimat, rantai tangan yang kononnya menyehatkan badan pun dipakai. Tidak sekali pun rasa malu salah seorang hamba Allah ini sebagai seorang penjawat awam berpangkat tinggi memakai gelang tangan syirik di tangan. Berurusan dengan bomoh untuk menyelesaikan penyakit kencing  adalah bagai mengejar fatamorgana di padang pasir yang panas.

Seorang lelaki tua berusia 60an yang belajar agama dengan saya sehingga menyerahkan tangkal azimat serta tidak lagi mengamalkan amalan sesat seperti zikir “Kau Jakan” serta amalan lain telah menghidapi gout yang serius sehingga lama tidak boleh berjalan. Alhamdulillah dalam tempuh dua bulan, hamba Allah ini telah mampu memandu kereta dan berjalan ke rumah saya. Alhamdulillah insyaAllah sekiranya akidah Islam dianuti dengan baik, bila Allah memberikan ujian melalui penyakit gout yang serius, bila diajarkan ilmu rawatannya, mudah untuk Allah memberikan kesembuhan.

Begitulah Allah dengan segala kebijaksanaanNya mentadbir manusia dan alam ini. Berbuat jahat dibalas Allah dengan dosa serta pelbagai musibah di dunia. Buat kejahatan kecil mendapat musibah kecil dan membuat kerosakan besar melayakkan mendapat balasan ujian berat dari Allah.  

Sekian kali ini semoga kita semua diberikan Allah kemudahan untuk membuat muhasabah diri ke atas segala salah silap kita dan semoga seterusnya mudah kita memahami pelbagai mesej dari Allah swt semoga hari esok kita sentiasa lebih baik dari hari ini.

Sekian wassalam wallahua'lam

Emjay