Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Thursday, 13 December 2012

Lagi Penjelasan Tentang Kesesatan Selawat Syifa

Assalamualaikum wbh

Berikut saya paparkan artikel tambahan bagi menjelaskan kesesatan Selawat Syifa

Elakkan dari mengamalkan atau redha dengan selawat sesat ini. kembalilah kepada selawat yang dianjurkan oleh nabi Muhamad saw sebagaimana dalam hadis

Berkata Zaid B. Kharijah:

Aku bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau pun bersabda: Berselawatlah ke atasku dan bersungguh-sungguhlah di dalam berdoa dan katakanlah:


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


Terjemahan: Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad.

Rujukan: Hadis Riwayat an-Nasaa’i, 5/67, no. 1275. Disahihkan oleh Syaikh al-Albani, Shohih Sunan an-Nasaa’i, 3/436, no. 1292.

Kalau nak panjang lagi, amalkan selawat sebagaimana dalam solat tu yang juga mendoakan Nabi Ibrahim.

Alhamdulillah saya juga telah  pun menulis dua artikel berkenaan selawat sesat ini di :

http://laman-emjay.blogspot.com/2007/05/penjelasan-berkenaan-selawat-syifak-dan.html dan

http://laman-emjay.blogspot.com/2007/06/2-penjelasan-berkenaan-selawat-syifak.html

Emjay

Artikel 1:

Suara al-Sunnah
Buletin Jabatan Mufti Negeri Perlis
Bil. 1 April 2007


Perkataan Selawat Syifa' sering kita dengar dan lihat dalam masyarakat kita. Selawat ini pada mulanya telah terbudaya di kalangan masyarakat Islam di Malaysia sebagai bacaan eksklusif dan peribadi, tetapi kelihatan menjadi semangkin popular sehingga ada yang menjadikannya zikir dan doa selepas solat fardhu atau sebagai pembuka ucapan secara kekal. Lafaz selawat yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:

اللهمّ صَلِّ على سَيِّدِنَا مُحَمَّد طِبِّ القُلُوْبِ وَدَوَائِهَا وَعَافِيَةِ الأبْدَان وَشِفَائِهَا وَنُوْرِ الأبصَارِ وَضِيَائِهَا وَعَلى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ

Maksudnya: "Ya Allah! Selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, penawar hati dan pengubatnya (hati), penyihat badan dan penyembuhnya (badan), pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya, juga ke atas ahli keluarga dan sahabat Baginda serta berkati sejahterakanlah." (Prof. Dr. Harun Din & Amran Kasimin, Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan al-Sunnah, hal. 32)

Terjemahan yang didasarkan kepada kedudukan i'rab ini seolah-olah telah menyifatkan Nabi Muhammad saw dengan sifat maha perawat, maha pengubat, maha penyihat maha penyembuh, maha peberi cahaya, dan maha pemancarnya. Persoalannya, apakah harus menyifatkan Nabi Muhammad saw dengan sifat demikian, sedangkan ia adalah sifat-sifat khusus bagi Allah swt yang tidak boleh dikongsi oleh sebarang makhluk ? Apakah alasan yang mewajarkan penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat-sifat tersebut?
Prinsip ilmu tauhid telah menetapkan bahawa Alah swt itu maha esa dan wajib diesakan pada sifat-sifatnya sebagaimana dia juga wajib diesakan pada rububiyyahnya dan uluhiyyahnya. (al-Uthaimin, Muhammad bin Soleh, Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ter. Muhamad Yusuf Harun)

Nama-nama dan sifat-sifat yang khusus bagi Allah swt tidak boleh dikongsi dengan sebarang makhluk kerana perkongsian itu berakna mensyirikkan (menyekutukan) sifat makhluk dengan sifat al-Khaliq. (al-Qahtani: Sa'id Ibn 'Ali, Syarh Asma' al-Husna fi Dau' al-Kitab wa al-Sunnah, hal. 51)
Allah swt berfirman:
Maksudnya: "Tiada sesuatu yang sebanding dengan (Zat, Sifat-sifat dan pentadbiran)Nya, dan Dialah yang maha mendengar lagi maha melihat." (al-Syura: 11)

Allah swt juga berfirman:Maksudnya: "Dan apabila aku sakit, Maka dialah (Allah swt) yang menyembuhkan penyakitku." (al-Syu'ara:80)

Dalam sebuah hadith baginda saw mengajar umatnya agar membaca doa berikut:

Maksudnya: "Ya Allah tuhan sekelian manusia, maha penghilang segala penyakit, sembuhkanlah ! Engkaulah maha penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan engkau dan tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhan engkau. (sembuhkanlah) dengan suatu sembuhan yang tidak meninggalkan penyakit sedikitpun." (Riwayat al-Bukhari)

Ungkapan: "Engkaulah yang maha penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan engkau." jelas menunjukkan bahawa sifat penyembuh itu adalah sifat khusus bagi Allah swt yang tidak boleh dikongsi oleh makhluk. Struktur ayat yang mengandungi nafy (penafian) dan huruf nafy (La) dan diikuti ithbat (penetapan) dengan huruf istithna' (illa) memberi konsekuensi penafian dan penetapan yang kuat, sama seperti ungkapan kalimah Tauhid La Ilaha Illallah yang menfikan segala tuhan selain Allah dan menetapkan ketuhanan itu padanya semata-mata.

Dengan perkataan lain, doa yang diajarkan oleh Nabi saw ini menafikan sifat penyembuh bagi selain Allah swt dan menetapkan sifat itu padaNya semata-mata, sedangkan lafaz Selawat Syifa' itu pula menetapkan sifat penyembuh itu pada baginda saw jesteru, lafaz Selawat Syifa' itu dilihat mengandungi unsur-unsur syirik yang jelas bercanggah dengan prinsip Tauhid al-Asma wa al-Sifat.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Artikel 2:

Dr Azwira Abdul Aziz, Pensyarah di Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.


Kekeliruan Pertama:

Ada yang berpendapat masih ada jalan untuk lari daripada maksud penyamaan sifat itu dengan cara metakdirkan (mengandaikan) wujudnya perkataan solat antara perkataan Muhammad dan perkataan Tibb. Mengikut andaian ini, maka lafaz selawat itu berubah menjadi seperti berikut:

اللهمّ صَلِّ على سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلَاةَََ طِبِّ القُلُوْبِ وَدَوَائِهَا وَعَافِيَةِ الأبْدَان وَشِفَائِهَا وَنُوْرِ الأبصَارِ وَضِيَائِهَا وَعَلى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ

Dalam lafaz ini, perkataan solat itu berada pada kedudukan maf'ul mutlak (kata kena buat mutlak) yang berfungsi sebagai penguat atau penentu bagi jenis kata kerja salli (selawatkanlah), disamping ia juga berada pada kedudukan mudhaf i (yang disandarkan) kepada perkataan tibb. Berdasarkan kedudukan ini, maka lafaz selawat yang diandaikan itu difahami dengan maksud:
"Ya Allah! selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, dengan suatu selawat yang boleh menjadi rawatan bagi hati dan apa yang boleh menjadi ubat baginya (hati)...sehingga akhir." Berdasarkan maksud ini, maka tidak berlaku lagi apa yang dikatakan sebagai penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat Allah swt, kerana yang dilihat memberi khasiat perubatan bukan lagi zat nabi Muhammad saw, tetapi selawat yang diucapkan itu. Oleh kerana membaca selawat itu adalah sejenis amal soleh, maka ia termasuk dalam jenis tawasul dengan amal salih yang disyariatkan oleh syara' dengan maksud ini. Maka penyamaan sifat yang dipersoalkan itu tidak berlaku kerana memang tidak ada penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat penyembuh.

Jawapan Kekeliruan Pertama

Pertama: Sayugia diingatkan bahawa sesuatu ungkapan yang mengelirukan itu hanya perlu kepada takdir lughawi (andaian Bahasa) bagi mengelakkan kekeliruan, sekiranya ia memang merupakan nas syara' yang sahih dari al-Quran ataupun al-Sunnah. Adapun ungkapan yang bukan dari nas al-Quran ataupun al-Sunnah (seperti lafaz Selawat Syifa'), maka ia tak perlu kepada takdir lughawi (andaian bahasa) kerana asal usulnya adalah lemah, dan kerana kelemahan itu maka tidak perlu bersusah payah difikirkan andaian bahasa untuknya.

Kedua: Jika diandaikan masih ada kewajaran untuk membuat takdir lughawi bagi lafaz selawat itu dengan alasan kerana ia dicipta dan diamalkan oleh sebahagian ulama, maka perlu ditegaskan bahawa sebarang andaian bahasa mesti disokong oleh kaedah bahasa yang mantap. Mengikut kaedah bahasa arab, jika perkataan maf'ul mutlak hendak dihazafkan (dibuang), maka perkataan yang menggantikan tempatnya mesti dibaca dengan fathah (baris atas). (al-Najjar: Muhamad 'Abd al-'Aziz, Diya' al-Salik Ila Audah al-Masalik li Ibn Hisyam, 2: 127-129)

Dalam hal ini, jika diandaikan berlaku penghazafan (pembuangan) perkataan solat, maka perkataan tibb yang berada pada kedudukan 'pengganti' bagi perkataan solat itu mesti di baca dengan fathah (baris atas). Oleh kerana perkataan tibb yang terdapat di dalam lafaz asal Selawat Syifa' (sebelum dibuat andaian) dibaca dengan kasrah (baris bawah), maka itu menunjukkan bahawa tidak berlaku sebarang penggantian antara perkataan tersebut dengan perkataan lain. Jesteru, andaian kononnya ada perkataan solat sebelum perkataan tibb tidak boleh diterima kerana ia jelas menyalahi kaedah bahasa.


Kekeliruan Kedua

Mungkin ada yang berkata bahawa perkongsian sesuatu sifat Allah dan makhluk tidak semestinya membawa kepada penyamaan sifat tersebut, kerana persamaan nama sifat tidak semestinya menggambarkan persamaan hakikat sifat berkenaan. Dengan perkataan lain jika berlaku perkongsian beberapa sifat seperti sifat hidup, mendengar, melihat dan sebagainya antara Allah dan makhluk maka ia mesti difahami dalam konteks yang berbeza, bersesuaian dengan zat masing-masing. Jika sifat maha hidup, maha mendengar, dan maha melihat Allah swt boleh difahami dalam konteks yang berbeza dengan sifat hidup, mendengar dan melihat makhluk, maka sifat maha penyembuhnya juga boleh difahami dalam konteks yang berbeza antara kedua-duanya.

Jawapan Kekeliruan Kedua:

Pertama:
Memang diakui bahawa perkongsian sesuatu sifat antara Allah dan makhluk tidak semestinya membawa kepada penyamaan sifat tersebut, seperti yang berlaku pada sifat hidup, mendengar, melihat, bercakap, dan sebagainya. Tetapi persoalannya di sini, sifat 'penyembuh' yang diberikan kepada Nabi saw itu diungkap melalui gaya bahasa yang mengandungi unsur mubalaghah (bersangatan). Maka itu, bagaimanakah sifat maha penyembuh yang diberikan kepada Nabi saw itu boleh difahami dengan maksud yang tidak menimbulkan kesyirikan dengan sifat maha penyembuh Allah swt?

Kedua: Bagaimana hendak digambarkan bahawa Nabi Muhammad saw yang telah wafat boleh berfungsi sebagai maha perawat, maha pengubat, maha penyihat dan maha penyembuh kepada orang yang masih hidup?


Kekeliruan Ketiga:
Mungkin ada yang mengatakan bahawa orang yang mengamalkan selawat ini tidak bermaksud menyengutukan sifat nabi Muhammad saw dengan sifat Allah swt, kerana kebanyakan yang mengamalkannya tidak memahami maknanya, atau memahaminya dalam konteks yang tidak ada unsur tasybih.

Jawapan Kekeliruan Ketiga:

Pertama:
Alangkah mujurnya jika keadaan si pengamal selawat itu benar-benar seperti yang diandaikan, tetapi adakah realiti mereka sedemikian? Ramai yang cuba berbaik sangka dengan semua amalan umat Islam, lalu mereka rasa tidak perlu untuk menjelaskan kekeliruan mereka. Di sini, perlu ada kesedaran bahawa perkara aqidah tidak boleh diambil mudah atau didiamkan begitu sahaja dan sikap berbaik sangka perlu ada had sempadannya. Jika dipakai alasan berbaik sangka dalam hal sebegini maka bermakna kita terpaksa biarkan semua ajaran sesat, khurafat dan bid'ah dengan alasan yang sama. Jika alasan berbaik sangka itu boleh diterima dalam persoalan akidah, maka kenapa perlu digezetkan ajaran wahdatul wujud, Martabat tujuh, Hakikat Nur Muhammad dan lain-lain sebagai sesat? (Kesesatan fahaman-fahaman seumpama ini telah dijelaskan oleh pihak berwajib. Lihat Mustafa Abdul Rahman, 2000, Mengenal Ajaran Sesat Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur, hal: 3-7)

Kedua: Dalam kes akidah seumpama ini, bukankah wajar digunakan kaedah Saad al-Zarai' (menutup pintu-pintu kemudaratan) sebagai langkah berwaspada terhadap keselamatan akidah masyarakat Islam? Nabi saw bersabda (maksudnya):
"Jika kamu melampaui memuji ku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuji Isa bin Maryam as. Aku hanyalah seorang hamba Allah, maka katakanlah : seorang hamba dan pesuruh Allah." (Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadith ini, Baginda saw melarang para sahabat ra. memujanya sebagaimana golongan Nasrani memuja Nabi Isa as. Sebaliknya baginda menyuruh mereka berpada setakat menyatakan statusnya sebagai seorang hamba dan rasul sahaja. Larangan Nabi saw itu termasuk dalam kaedah Saad al-Zarai' kerana kita sedia maklum bahawa cara para sahabat ra. memuji baginda tidaklah sampai ke tahap menyamakan sifat baginda dengan sifat Allah swt, sebagaimana cara pemujaan kaum Nasrani terhadap Nabi Isa as. Tetapi baginda saw tetap melarangnya kerana bimbang sekiranya perbuatan itu akan membawa kepada kesyirikan dan kekufuran tanpa disedari, sepertimana yang berlaku kepada golongan Nasrani. Pendekatan Nabi saw melarang para sahabat r.a. daripada memujinya secara berlebihan adalah antara contoh paling tepat yang menunjukkan keperluan mengaplikasikan kaedah Sad al-Zarai' dalam menangani persoalan akidah.


* Artikel ini adalah ringkasan dari artikel 'Menilai Salawat Syifa' tulisan Dr Azwira Abdul Aziz, Pensyarah di Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Thursday, 29 November 2012

Selamat tinggal Laman Emjay di Multiply dan selamat datang Laman Emjay di Blogspot

Assalamualaikum wbh

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Kali ini saya menulis dengan rasa terharu dan cukup emosi kerana maklumlah tempat jatuh lagi dikenang inikan pula Laman Emjay di Multiply. Laman Emjay di Multiply yang dahulunya dapat di akses di http://emjayjb.multiply.com/  tidak akan lagi beroperasi disebabkan Multiply tidak lagi sanggup untuk berkhidmat sebagai laman sosial. Mulai 1 Dec 2012 laman sosial Multiply akan menutup khidmatnya untuk memberi fokus kepada perniagaan lain. Walau bagaimana sedih sekali pun, saya tetap bersyukur alhamdulillah kerana Multiply telah sudi memberi khidmat mengendalikan laman sosial ini semenjak tahun 2006. Apabila Laman Emjay kena hack beberapa kali, pihak Multiply dengan cekapnya telah banyak membantu saya menanganinya.

Suka tak suka saya tiada pilihan dan saya perlu membuat pilihan segera untuk mencari tapak di laman sosial lain yang reliable semoga peristiwa ini tida lagi berulang. Alhamdulillah Laman Emjay kini sudah 80% siap dan sudah boleh diakses di http://laman-emjay.blogspot.com/ .

Apabila membangunkan Laman Emjay di Multiply dahulu, saya tidak  sedar bahawa saya telah membangunkan sesuatu yang setelah beberapa tahun, ia sudah menjadi amat besar untuk saya kendalikannya bersendirian. Ia amat terasa apabila saya ingin memindahkan segala kandungannya ke site baru di Blogspot. Namun saya amat berterima kasih alhamdulillah diatas kurnia nikmatNya dimudahkan saya migrate berpindah ke Blogspot ini. Terima kasih kepada Allah SWT tidak terhingga diatas rahmatNya.

Apabila mendapat notis arahan dari Multiply menyatakan bahawa mereka akan menamatkan khidmat sosial di Multiply ini beberapa bulan lalu, saya sebenarnya semacam sudah kecewa untuk mengendalikan Laman Emjay. Ingin menulis artikel baru pun sudah hilang minat. Itu yang saya tidak mengirim posting baru semenjak bulan Mei lalu disamping kekangan lain. Namun saya bermohon semoga Allah SWT memberikan saya semangat baru serta kekuatan untuk mengendalikan Laman Emjay baru di http://laman-emjay.blogspot.com/.  Mengendalikan blog satu hal dan untuk menghadapi musuh Allah SWT melalui rply mereka yang menguji kesabaran adalah satu hal lain.

Demi untuk mencari saham akhirat maka saya teruskan perjuangan, sekali melangkah semoga terus melangkah semoga saya dikurniai balasan dariNya. Bagi mereka yang sering berkunjung ke Laman Emjay, saya pohon sokongan dalam bentuk doa untuk saya semoga dapat mengendalikan Laman Emjay ini dengan sebaik mungkin. Dan dalam menangani puak Abu Jahal dalam Laman Emjay ini, saya mohon juga dapatlah kiranya para pembaca membantu memberikan reply sewajarnya. Dalam hal ini saya ingin mengucapkan syukur alhamdulillah atas bantuan pembaca yang telah banyak memberikan sokongan dan turut berjuang bersama-sama memberikan reply menjelaskan kepada golongan Abu Jahal ini. Walaubagaimana pun sebenarnya ramai golongan Abu Jahal yang pada awalnya amat menentang Laman Emjay alhamdulillah telah bertaubat dan ada antara mereka yang telah menjadi rakan rapat. Terima kasih Allah SWT. Inilah tujuan sebenar Laman Emjay ditubuhkan untuk meneruskan perjuangan arwah guru saya untuk menentang kesesatan dan perbomohan.

Ya Allah, berikanlah rahmat, berkat, petunjuk, taufik, hidayah dan pertolongan kepada  saya dan semua pembaca Laman Emjay. Permudahkanlah saya mengendalikan Laman Emjay. Berikan kekuatan, perlindungan dan kesabaran. Tunjukkilah kami semua jalan lurus jalan yang Engkau redhai dan jauhilah kami semua dari jalan sesat iaitu jalan yang engkau murkai dan matikanlah kami semua dalam iman. Masukkan kami semua kesyurgaMu. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhamad SAW serta semua keluarganya.

Saya yang lemah dan kerdil.

Emjay


Monday, 9 July 2012

Bolehkah kita amalkan doa "Rabbi Yassir Wala Tuaassir, Ya Karim"


Bolehkah kita amalkan doa "Rabbi Yassir Wala Tuaassir, Ya Karim"
Bismillahirrohmanirrohim (Updated 14 Januari 2020)
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Assamualaikum warohmatullahiwabarokatuh
Hari ini saya sudah menyempurnakan tugasan penting setiap semester iaitu memasukkan markah, Alhamdulillah. Adalah masa untuk mebelek Laman Emjay. Di dalam Guestbook Laman Emjay terdapat soalan berbunyi begini:
“Tuan Emjay.Maaf,sy nk tanya satu soalan.Bolehkah kita amalkan doa "Rabbi Yassir Wala Tuaassir, Ya Karim" utk memudahkan urusan.Caranya dgn di wiridkan doa tsb sebyk mungkin.Sy difahamkan doa ini menjadi amalan kumpulan tarikat tertentu. Atau adakah doa ini sahih dr Rasulullah? Amalan wirid doa ini mmg byk diguna oleh rakyat negara kita.”
Rabbi Yassir Wala Tuaassir, Ya Karim. Wahai tuhanku permudahkanlah dan janganlah kau susahkan
Soalan “adakah doa ini sahih dr Rasulullah?.
Jawapan saya:
Menurut dari seorang yang saya rujukkan soalan ini, beliau berkata bahawa doa ini adalah dari hadith. Menurut beliau lagi dalam Al Quran juga terdapat doa yang mirip doa ini walau pun bukan dalam perkataan yang sama tetapi maksudnya adalah sama.
Kini saya cuba menjawab solan utama daripada penanya soalan ini “Bolehkah kita amalkan doa "Rabbi Yassir Wala Tuaassir, Ya Karim" utk memudahkan urusan. Caranya dgn di wiridkan doa tsb sebyk mungkin
Mengamalkan doa ini adalah dibenarkan kerana terdapat dalam hadis. Sekiranya tidak terdapat dalam hadis pun, doa ini sememangnya boleh di amalkan kerana selari dengan konsep doa. Dalam doa ini, orang yang berdoa meminta segala urusannya dimudahkan dan bukan dipersusahkan oleh Allah SWT.
Namun apa yang penting adalah bahawa orang yang beramal dengan doa ini hendaklah BERDOA dan bukan MEMBACA DOA. TV dan radio boleh membaca doa tetapi tidak boleh berdoa manakala manusia sepatutnya berdoa dan bukannya membaca doa.
Apa yang berlaku dewasa ini di Malaysia, ramai orang membaca doa dan bukannya berdoa. Ramai orang mengamalkan membaca doa "Robbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar"
("Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka".) QS. Al Baqoroh 201.
Sememangnya Allah SWT telah mengajarkan umat manusia untuk beramal dengan doa ini sebagaimana di dalam Al Baqorah 201. Namun kita sebagai umat Islam perlu memahami apakah itu DOA? Doa bererti memohon atau meminta sesuatu yang baik daripada Allah s.w.t yang Maha Pemurah. Allah s.w.t. menyuruh orang-orang Islam berdoa atau meminta sesuatu kepadaNya seperti firman di bawah yang bermaksud:
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kepada Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Al-Mu’min:60)
Dalam ritual doa, pemohon berkomunikasi dengan Allah SWT samaada secara lisan atau didalam hati menggunakan satu bahasa yang difahami untuk memohon sesuatu hajat. Sekiranya seseorang beramal dengan doa Robbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar hanya kerana diajarkan pak ustaz bahawa doa ini amat baik sekiranya diamalkan tanpa memahami apakah maksud sebenar doa ini, maka sesungguhnya pengamal ini telah membaca doa dan tidak berdoa.
Allah SWT melalui Surah Al-Mu’min:60 di atas menyuruh hambaNya berdoa dan bukan membaca doa!! Kalau kita sekadar membaca doa dan tidak berdoa, bagaimana Allah SWT akan memperkenankan doa tersebut??
Untuk memahami lebih lanjut, marilah kita (orang yang tidak memahami bahasa Arab @ tidak mengerti maksud doa Robbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar ) semua berdoa dengan bahasa “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka”. InsyaAllah sesudah kita berdoa dengan doa ini, hati kita akan terasa sayu dan tersentuh. Inilah antara kesan dari berdoa  dan kesan atau impak ini tidak akan diperolehi oleh orang yang sekadar MEMBACA DOA walau pun doa tersebut adalah doa yang baik sama ada dari Al Quran atau Al Hadis. Masalah sebegini tidak akan berlaku kepada orang Arab atau orang yang memahami bahasa Arab kerana sesungguhnya mereka berdoa kerana mereka mamahami apa yang telah mereka perkatakan kepada Allah SWT.
Tambah memudaratkan kepada mereka yang mengamalkan doa bahasa Arab tanpa memahami doa tersebut adalah apabila mereka beriktikad/berkeyakinan bahawa “doa ini amat baik dan boleh memberikan rahmat / perkenan”. Mereka ini sama sekali tidak memahami konsep doa dan menyangkakan bahawa amalan doa ini boleh mendatangkan perkenan bukan dari Allah SWT tetapi dari amalan doa tersebut. Inilah konsep yang diamalkan oleh orang yang membaca mantera seperti “Niat engsoon matakaji .......”. Hanya dengan membaca amalan mantera pembaca beriktikad amalan ini dapat memberikan sesuatu perkenan”. Dalam cerita Harry Porter pun terdapat banyak amalan membaca mantera yang mereka sendiri tidak faham maksudnya namun mereka beriktikad bahawa amalan membaca mantera ini akan memberikan perkenan. Ini adalah suatu perbuatan syirik.
Iblis yang masih hidup dari zaman tok Adam dahulu amat memahami perkara ini. Itulah yang diajarkan kepada rakan-rakan mereka di kalangan manusia untuk mengamalkan banyak sekali amalan sesat seperti umpamanya amalan membaca bismilah 6. 




Kononnya dengan mengamalkan bismillah 6 ini maka mereka akan memperolehi:
Fadhilat dan fungsi bismillah 6


  1. Makbul segala hajat dan cita-cita
  2. Luas rezkinya
  3. Menang dalam peperangan
  4. Penerang hati
  5. Dijauhkan dari segala penyakit.
  6. Dibaca 70 kali tiap-tiap hari aman dari ancaman raja-raja dan pembesar yang zalim yang hendak membunuhnya.
  7. Dibaca ditempat yang suci nescaya dapat melihat malaikat, jin dan syaitan.
  8. Dibaca dimalam jumaat 20 kali boleh melihat orang didalam kubur.
  9. Aman daripada binatang2 buas.
  10. Air laut menjadi tawar.
  11. Terlepas daripada terkena bunuh jika dibaca kepada tubuh badan.
  12. Jika ditulis dan dijadikan azimat atau dibaca pada sawah aman daripada ancaman babi, tikus atau burung.
  13. Terselamat daripada bahaya musuh dan seteru.
  14. Terselamat dari karam dilaut.
  15. Jika dibaca pada minyak malam jumaat tiga kali boleh memudahkan perempuan beranak jika meminumnya.
  16. Orang yang pekak jika dibaca pada telinganya selama 7 hari nescaya mendengar.
  17. Orang gila atau yang dirasuk oleh iblis apabila dibaca ditelinga tiga kali insyaAllah lari iblisnya.
  18. Boleh tawarkan segala jenis bisa termasuk bisa sengat binatang seperti lebah, ular dan ikan.
  19. Boleh tawarkan segala jenis racun dan santau, seperti yang diperbuat daripada miang rebung, ulat buku mati beragan, hempedu katak dan sebagainya.
  20. Terkeluar daripada penjara apabila dibaca bersungguh-sungguh.
  21. Dijadikan jampi untuk menghalau jin dan syaitan.
Sebenarnya apabila ada seseorang menyampaikan sesuatu amalan seperti amalan Bismillah 6 ini, semaklah sama ada amalan ini ada dalilnya atau tidak. Maksudnya ialah adakah ilmu amalan ini sahih diajarkan Oleh Allah SWT melalui Al Quran atau hadis sahih. Jika tidak ada sebarang dalil sahih maka sebenarnya siapakah yang bakal memberikan 20 fadilat sebagaimana senarai fadilat di atas? Fahamilah ayat Al Quran Surah Fussilat [23]
"Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!"

Sesungguhnya mengamalkan bismillah 6 ini hanya akan membawa pengamalnya kepada syirik kerana berharap dan bertawakal bukan kepada Allah tetapi kepada amalan bismillah 6. Inilah apa yang Al Quran maksudkan melantik Tuhan baru selain Allah SWT. Tuhan baru ini ialah amalan bacaan bismillah 6. Fahamilah Al Quran surah Saba' [22] Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu dakwakan sebagai tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi, ...."

Terjemahan bacaan Bismillah 6 hanya menjelaskan sifat Allah dan tiada sebarang doa pun di dalam bacaan tersebut. Amalan ini bukan diajarkan oleh Nabi Muhamad SAW tetapi diajarkan oleh Iblis. Kalau benarlah manfaat membaca bismillah 6 sebagaimana tulisan di atas, umat Islam hari ini sudah menguasai dunia kerana tidak ada musuh yang dapat membunuh, semua umat Islam kaya raya, sihat walafiat, sentiasa menang peperangan, bijak pandai kerana terang hatinya dsbnya. Perlulah diingat bahawa umat Islam termasuk umat Islam di Malaysia adalah sangat lemah. Nak bersaing dengan bangsa Cina dalam ekonomi pun tak terkejar.
Amalan membaca doa yang salah adalah ibarat mengamalkan bismillah 6. Kedua-dua amalan adalah syirik kerana melantik tuhan baru iaitu berharap / berdoa / bertawakal kepada amalan. Samalah dengan beramal puasa 40 hari PATIGENI dimana pengamal berharap / berdoa / bertawakal kepada amalan untuk selain Allah SWT.

Selain amalan sesat Bismillah 6 ini, terdapat pelbagai varian lain diciptakan iblis seperti Bismillah 5. Cukuplah. Tinggalkanlah segala amalan sesat syirik ini. Berat dosanya. Lebih berat apabila dihumbankan ke Neraka dan kekal abadi di sana.


Amalan berikut ada dalil sahihnya;


بِسْمِ اللَّهِ الَّذِى لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَىْءٌ فِى الأَرْضِ وَلاَ فِى السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Artinya:
“Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan berbahaya, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Dibaca 3 x)
Faedah: Barangsiapa yang mengucapkan dzikir tersebut sebanyak tiga kali di pagi hari dan tiga kali di petang hari, maka tidak akan ada bahaya yang tiba-tiba memudaratkannya. 
(HR. Abu Daud no. 5088, 5089, Tirmidzi no. 3388, dan Ibnu Majah no. 3869. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahwa sanad hadits ini hasan.)
Memandangkan hadis ini adalah hadis hasan maka bolehlah beramal dengannya. InsyaAllah semoga Allah menunaikan janjiNya apabila seseorang beramal dengannya.
Amalan sebagaimana hadis  ini terkandung di dalam bismillah 5.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Dengan nama Allah Yang Menyembuhkan
Dengan nama Allah Yang Mencukupkan
Dengan nama Allah Yang Memberikan kesihatan yang baik
Dengan nama Allah yang tidak memberi kemudaratan dengan namanya akan sesuatu pun di dunia dan di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
Mari kita lihat Bismillah 5 serta fadilat yang diyakini oleh orang ramai.
Bismillah 5 adalah pendinding dan ayat penyembuh (syifa) segala penyakit serta amat bermanfaat dan amat baik dijadikan sebagai amalan seharian.


Fadhilat Bismillah 5


Kelebihan dan kebaikan ‘Bismillah 5’ adalah seperti berikut:


1. Menghalang jin dan syaitan

2. Terpelihara dari bahaya dan musuh

3. Penawar pelbagai racun dan bisa.

4. Penawar penyakit gila meroyan.

5. Melegakan bengkak dan benjol.

6. Penawar kepada penyakit bisa-bisa tulang

7. Mengubati penyakit bisa-bisa di dalam badan.

8. Penawar segala jenis racun, santau dan bisa binatang

9. Boleh digunakan untuk mengubati penyakit yang tidak diketahui puncanya.


Komen saya berkenaan Bismillah 5 ini ialah ;
1. Meyakini Bismillah 5 adalah pendinding adalah merosak akidah. Pendinding atau pelindung bagi manusia hanyalah Allah SWT. Fahamilah Al Quran Az Zumar ayat 3; Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. 
Mengharapkan bantuan daripada sesuatu yang mana hal tersebut merupakan hak Allah semata-mata adalah syirik!! Orang Hindu dan Budha juga mengharapkan perlindungan  dan pertolongan daripada berhala.


2. Meyakini  Bismillah 5 adalah ayat penyembuh merosak akidah kerana syirik. Berubat dibenarkan tetapi ia adalah sekadar usaha. Hanya Allah sahaja yang berhak memberikan kesembuhan. Fahamilah ayat Al Quran surah 
Asy-Syu'araa' [80] "Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;.
Mengharapkan bantuan kesembuhan daripada Bismillah 5 yang mana hal tersebut merupakan hak Allah semata-mata adalah syirik!! Orang Hindu dan Budha juga mengharapkan kesembuhan daripada berhala mereka.
3. Sembilan (9) fadilat sebagaimana diatas adalah sesuatu tafsiran yang melampau untuk menceritakan hadis Abu Daud dan Tirmizi diatas iaitu segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan berbahaya kepada pengamalnya. Sekiranya ingin beramal dengan hadis ini, silakanlah tetapi elakkanlah dengan meyakini 9 fadilat tersebut.
Begitulah juga didalam Kitab Sesat Mujarrobat sebagai satu contoh diajarkan bahawa sesiapa yang membaca doa nabi Ibrahim ........ maka akan diselamatkan dari fitnah dunia seperti kebakaran, tenggelam, diserang musuh, kecurian atau sakit. Kalau berhutang akan selesai hutang. Kitab sesat ini mengajarkan kita membaca “mantera” dimana pengamal akan membaca doa mantera tanpa mengerti pun maksud bacaannya. Mereka berharap / bertawakkal kepada amalan ini dan mereka sama sekali tidak berdoa kepada Allah sebagaimana diajarkan Islam.
Untuk memahami lebih lanjut duduk perkara yang dipersoalkan, marilah kita memahami mengapa JAKIM menetapkan peraturan persilatan sebagaimana di http://www.silatmelayu.org/profiles/blogs/garis-panduan-silat-menurut , rujuk perkara 3.2.1 :
(a)    Semua perkara yang wajib dilakukan atau ditinggalkan oleh seorang Islam, yang mukallaf tidak boleh dijadikan syarat di dalam silat seperti sembahyang, puasa, jangan durhaka kepada ibubapa, sehingga mendatangkan anggapan bahawa perkara wajib tersebut menjadi wajib hanya apabila dijadikan syarat.  
Pada zaman dahulu ramai  tok guru silat kerap berkata “wahai anak murid, kalau tidak mahu amalan silat kamu merosot, kamu semua kamu hendaklah menjaga solat, puasa dan segala amal ibadah lain”. Akibat dari nasihat tok guru silat ini ramai anak muridnya menjaga solat, puasa dan ibadah lainya kerana mereka takut ilmu silat mereka merosot. Maka mereka semua ini telah melakukan solat, puasa dan ibadah lainnya bukan kerana Allah SWT tetapi semata-mata kerana menjaga ilmu persilatan. Syiriklah mereka. Kalau pun mereka mengamalkan solat, puasa serta ibadah lain untuk Allah serta menjaga ilmu persilatan mereka, mereka juga sudah pun SYIRIK kerana mengamalkan ibadah untuk selain Allah atau dalam bahasa lain melantik tuhan baru.
Islam juga telah menetapkan bahawa segala ibadah HANYA untuk Allah. Amalan Puasa PATIGENI selama 40 hari adalah puasa bukan untuk Allah tetapi untuk mendapatkan ilmu tertentu. Allah tidak pernah memerintahkan amalan ibadah puasa patigeni 40 hari. Melakukan sebarang ibadah untuk selain Allah SWT telah ditetapkan ulamak sebagai sebagai perbuatan merosak akidah.
Orang-orang yang jahil seperti ini akan tercari-cari sepanjang hidup mereka doa-doa khas untuk tujuan tertentu seperti berjaya dalam temuduga, doa untuk mencari pasangan hidup, doa untuk sembuh penyakit, doa untuk melindung harta dari kecurian, doa untuk menggunakan kenderaan yang baru dibeli dsbnya. Pada mereka doa mesti dalam bahasa Arab seolah-olah Allah SWT hanya memahami bahasa arab sahaja!
Mengamalkan doa "Rabbi Yassir Wala Tuaassir, Ya Karim" bagi orang Arab atau orang Melayu yang memahami bahasa Arab atau yang mengerti terjemahannya tidak menjadi kesalahan atau diharuskan. Juga tidak menjadi kesalahan bagi orang Melayu beramal dengan doa “Wahai tuhanku permudahkanlah dan janganlah Kau susahkan, Ya Karim”. Namun bagi saya, lebih menyarankan berdoa dalam bahasa Melayu iaitu “Wahai tuhanku permudahkanlah dan janganlah Kau susahkan, Ya Karim” kerana ianya lebih tepat dipanggil sebagai doa iaitu komunikasi antara hamba dengan tuhannya menggunakan bahasa yang difahami oleh orang yang berdoa. Kaedah ini juga dapat membantu kita mengelakkan diri dari mengamalkan doa dengan kaedah yang salah dan juga mengelakkan berdoa dengan doa sesat seperti minta kepada wali, malaikat dan nabi-nabi.
Semoga menjawab pertanyaan
Wallahu’alam
Emjay

Thursday, 3 May 2012

Pelaris pelingkup perniagaan. Sedikit nasihat kepada MARA.




Pelaris pelingkup perniagaan. Sedikit nasihat kepada MARA.
Bismillah hir-Rahman nir-Rahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Assalamu Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh kepada semua muslim dan muslimat dan laknat Allah kepada iblis dan para penyokongnya.
Semoga Allah swt memberikan rahmatNya agar berjaya dimasukkan ke Laman Emjay artikel yang bakal ditulis ini.
Kebelakangan ini  saya banyak berjumpa kes yang berkaitan pelaris yang diamalkan oleh orang Melayu yang kononnya mengaku beragama Islam. Sedih saya. Ramai sekali peniaga yang inginkan rezeki tetapi apa yang diperolehi mereka adalah SYIRIK selain bisnes yang mereka usahakan lingkup serta STRESS yang melampau. Ada yang sempat menjalankan bisnes untuk tempuh 5 bulan sahaja.
Beberapa bulan dahulu saya berkesempatan melawat sebuah kilang yang diusahakan oleh pengusaha Melayu yang saya namakan hamba Allah ini sebagai Malek (bukan nama sebenar). Malek ini dahulu menjadi orang penting di satu kilang miik orang Cina yang mengeluarkan produk K. Banyaklah ilmu yag dicurahkan oleh Malek untuk memajukan perniagaan usahawan Cina ini.
Habis madu sepah dibuang. Apabila semua ilmu sudah diperolehi oleh usahawan Cina ini, maka usaha dimulakan untuk membuang Malek. Malek berjaya dibuang dari kilang milik Cina tersebut.
Dengan berkat usaha gigih mengumpul dana serta pinjaman dari MARA, Malek berjaya mendapat sebuah kilang (saya tidak pasti sewa atau milik sendiri) untuk mengeluarkan produk yang sama iaitu produk K. Setelah sekian lama berusaha maka beroperasilah kilang milik Malek ini memasarkan produk K ke pasaran dalam negeri dan juga tidak ketinggalan pasaran luar Negara.
Pada hari yang dirancang, saya dibawa melawat ke kilang milik Malek ini. Gembira hati tidak terkata melihat seorang Bumiputra yang masih muda belum masuk 40 tahun sudah  menjadi pemilik kepada perusahan mengeluarkan produk K ini.  Di dalam kilangnya terdapat ramai juga pekerja sedang asyik memproses produk K. Ketika itu saya berdoa ketika itu semoga lebih ramai orang Melayu yang berjaya macam Malek.
Saya dibawa ke dalam bilik mesyuarat dan seterusnya Malek menceritakan operasi kilangnya serta tidak ketinggalan bercerita tentang pasaran produknya di dalam dan luar Negara. Namun pasaran diluar Negara masih belum stabil maklumlah produknya masih baru di pasaran. Pelanggan mengharapkan produk yang berkualiti.
Sesudah sesi taklimat oleh Malek dan soal jawab, kami pun beredar dari bilik mesyuarat tersebut. Saya pun agak terkilan juga kerana kami tidak diberikan sampel produk K. Apalah salahnya setiap kami diberikan sebungkus produk K, bukan rugi pun malahan hadiah ini amat baik dari sudut promosi dan semoga kami terus mendoakan kejayaan perusahaan Malek ini.
Sewaktu saya membuka pintu  keluar dari premis kilang Malek ini saya tertoleh bahagian atas pintu tersebut dan saya amat sedih dan terperanjat melihat azimat/tangkal yang kemas tergantung dalam bingkai mirip macam gambar di atas. Amat sedih saya apabila Malek mengamalkan tangkal/azimat seperti ini, insyaAllah lazimnya perniagaannya akan lingkup.
Saya mengambil kesempatan menasihati Malek bahawa usaha seperti  menggunakan pelaris ini hanya akan membawa kerugian dan kehancuran semata-mata (bisnes lingkup). Malek memberi tahu bahawa tangkal azimat tersebut adalah pemberian datuknya. Saya menjelaskan bahawa tidak kira usaha sendiri atau pemberian datuk, hukum telah jatuh iaitu syirik.
Saya menasihati Malek untuk belajarlah asas tauhid di rumah saya dan saya pun meninggalkan nombor telefon  untuk Malek hubungi.
Di dalam kereta untuk kembali ke Johor Bahru, saya berborak dengan beberapa rakan Malek. Saya menjelaskan bahawa usaha melalui tangkal azimat adalah salah di sisi agama Islam dan membawa kepada syirik. Saya berkata bahawa selalunya pada tahap ini Malek lumrahnya sudah berat diseksa di azab oleh Allah SWT kerana kesilapan diri Malek sendiri. Mendengar kata-kata saya tersebut, seorang sahabat Malek bercerita bahawa memang kedudukan kewangan Malek amat runcing sekali. Sudah beberapa kes, barang makanan produk K yang dihantar ke pelanggannya di dalam dan diluar negeri telah rosak – basi / bercendawan. Bayangkanlah makanan satu kontena perlu dibuang ke tong sampah. Kes ini pula berlaku berulang kali.
Lumrahnya kalau berniaga makanan menggunakan pelaris, makanan akan cepat rosak, basi, tertumpah, tidak sedap, termasin, terkurang garam dan berbagai masalah lain. Ini semua sebenarnya adalah musibah pentadbiran Allah SWT yang mentadbir makanan-makanan tersebut rosak sebagai satu azab sebagai balasan dosa mensyirikkan Allah.
Saya pun membayangkan pinjaman berjuta ringgit yang dibiayai MARA berkemungkinan besar akan terpaksa dilupuskan kerana usaha oleh Malek ini akan menjadi sia-sia bagaikan kata-kata peribahasa berniaga buluh kasap, dapat hujung pangkal lesap atau dalam bahasa lain, bisnes lingkup.
Ramai sudah peniaga Melayu yang saya kenali bungkus / lingkup perniagaan mereka akibat mengamalkan pelaris. Meletakkan ayat seribu dinar di premis perniagaan sudah dianggap sebagai pelaris dan sudah jatuh syirik hukum nya.
Ada satu usahawan Melayu yang baru berniaga sendiri namun perniagaan tidak mampu melepasi tempuh satu tahun. Apabila diselidiki, pengusaha ini mengamalkan bacaan ayat 1000 dinar sebagai pelaris. Inilah padahnya. Sepatutnya kita berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT tetapi mereka berdoa dan bertawakal kepada amalan membaca ayat 1000 dinar. Inilah bahananya orang tidak berilmu, mudah sangat ditipu iblis.
Alhamdulillah saya telah pun menulis artikel berkenaan isu yang sama bertajuk “PELARIS HARAM DAN SYIRIK” di http://laman-emjay.blogspot.com/2007/09/pelaris-haram-dan-syirik.html . Alhamdulillah juga saya telah memasukkan artikel menarik di Laman Emjay semoga Allah memurahkan rezeki kita semua bertajuk KUNCI-KUNCI REZEKI Menurut Al Quran dan As-sunnah melalui tulisan oleh Syaikh DR. Fadhl Ilahi Zhahir di http://laman-emjay.blogspot.com/2008/01/kunci-kunci-rezeki.html
Kini usaha menggunakan pelaris seakan-akan mendapat booster apabila tukang menggalakkan penggunaan pelaris ini adalah mereka yang mempunyai gelaran ustaz dan mempunyai latar belakang pendidikan agama Islam.
Tidak cukup dengan “Ustaz penyesat” ini, kini terdapat “ikhtiar” yang kononnya islamik yang bila diamalkan boleh memajukan perniagaan seperti yang diajar oleh Haji Saat Jais melalui laman internet  ini iaitu http://saatjais.files.wordpress.com/2011/01/doa-untuk-perniagaan.pdf.  Amalan yang diajarkan oleh laman ini sesat kerana:
1.       Ibadah ini tidak pernah diajarkan oleh mana-mana Nabi hatta Nabi Muhamad SAW atau para sahabat.  Perlu diingat bahawa setiap ibadah adalah haram kecuali yang ada sandarannya.

2.       Konsep tawakkal sudah lari. Sepatutnya tawakkal adalah kepada Allah namun ilmu ini mengajarkan tawakal kepada amalan bacaan tertentu (walau pun dari Al Quran).

3.       Petikan dari laman tersebut “Dibaca di dalam kedai sebanyak 35 kali , insya-Allah akan dapat melariskan perdagangan anda. Di baca 35 kali di dalam rumah dapat mengharmoniskan hubungan kekeluargaan.”  Ilmu ini adalah ilmu sesat. Banyak sekali ilmu seperti ini di dalam kitab sesat Mujarrobat. Tuhan baru dalam amalan ini ialah “amalan membaca bismillah sebanak 35 kali”. Amalan seperti ini salah dan sama seperti amalan “meletakkan penyapu secara terbalik dibelakang pintu dengan harapan tidak terkena perbuatan sihir dan pukau”. Tuhan baru ciptaan manusia bagi kes ini ialah amalan metakkan penyapu dibelakang pintu. Bacalah bismillah 35 kali atau 3500 kali atau 35,000 kali namun kalau hidup bergelumang dosa, bagaimanalah Allah SWT akan memberikan rezeki??

ELAKKAN DARI MENGAMALKAN SEBARANG AJARAN DARI LAMAN Pati Rahasia – Haji Saat Jais INI KERANA BOLEH MEMBAWA KEPADA KEROSAKAN AKIDAH.
Laman sesat berikutnya yang mengajarkan pelbagai ilmu untuk sesat dan syirik ialah http://fadhilat-al-quran.com/tag/pelaris-perniagaan/. Alhamdulillah laman ini kini telah ditutup.
Berikut adalah petikan sebahagian dari laman sesat tersebut ;
Khasiat ayat 39 Surah Al kahfi.
Bacalah ayat ini sebelum memasuki rumah atau kedai. InsyaAllah diluaskan rezeki ahli rumah tersebut. Sebaiknya ditulis di atas pintu rumah atau kedai. Bacalah ayat ini sebanyak 45 kali pada binatang. InsyAllah terpelihara dari sebarang wabak penyakit. Jika dibaca ayat ini sebanyak mungkin, ketika menghadapi kesusahan khususnya untuk mendapatkan apa-apa hajat. InsyaAllah ditunaikan oleh Allah s.w.t segala hajatnya. 
Kalau betullah ilmu ini sangat mujarab, PASTINYA semua peniaga Islam di dunia ini kaya raya mengalahkan kekayaan Bill Gates. Apa tidaknya, buatlah apa saja perniagaan, amalkan amalan ini, bukan susah pun amalannya, dan seterusnya  apa saja hajat akan terlaksana. Kelak dapat pakai BMW 7 series, bini empat, rumah banglo ada 5 dan duit simpanan adalah 15 juta. Namun yang pastinya sekiranya ada yang mengamalkan amalan ini untuk perniagaan mereka, insyaAllah perniagaan bakal lingkup.
ELAKKAN DARI MENGAMALKAN SEBARANG AJARAN DARI LAMAN Khasiat dan Fadhilat Al Quran INI KERANA BOLEH MEMBAWA KEPADA KEROSAKAN AKIDAH.
Pandangan saya tentang amalan menggunakan pelaris ini sebenar juga adalah selari dengan pangan yang diberikan oleh Hafiz Firdaus melalui lamannya di https://hafizfirdaus.com/kolum-bulanan-mainmenu-110/daracom-mainmenu-121/soal-jawab-agama-mainmenu-90/621-pelaris-perniagaan.html



Artikel yang juga berkaitan dengan tajuk hari ini ada terdapat dalam Laman Emjay bertajuk PENJELASAN MUJARROBAT SESAT & MENGAMALKANNYA JUGA SESAT??  
Sebenarnya terlalu banyak laman-laman di internet yang mengajar ilmu sesat pelaris selain dari dua yang saya jelaskan di atas seperti:
3.      https://shopee.com.my/Minyak-Pelaris-Perniagaan-Paling-Mujarab-i.135700651.2041199074 Kini minyak pelaris RM430 sudah boleh dibeli di Shopee
4.      http://www.aurailahi.com/ibuduit-bunian/ (Apa yang para mufti buat dengan laman sesat seperti ini?)
Terkini seorang hambaAllah telah disekat sama sekali segala rezekinya oleh Allah SWT dan hutangnya pula tidak dapat dijelaskan dan apabila disemak ternyata hamba Allah ini juga menggunakan pelaris serta pelbagai jenis tangkal. Jauhilah pelaris serta tangkal lainnya kerana ia pasti sebagaimana janji Allah SWTakan membawa kesengsaraan di dunia dan akhirat. Pelaris yang diajarkan oleh Islam ada saya ajarkan di dalam artikel saya yang lalu di  http://laman-emjay.blogspot.com/2008/01/kunci-kunci-rezeki.html.
Kepada MARA iaitu satu oraganisasi yang banyak membantu bumiputra, saya mencadangkan agar diwajibkan setiap ahli perniagaan yang ingin meminjam darinya untuk menyertai kursus wajib asas tauhid agar perniagaan yang mereka ceburi diberikan rahmat oleh Allah SWT. Jika perlu, saya suka menawarkan diri untuk mengajar bab ini kepada bakal peniaga yang bakal menjadi peminjam MARA. Semoga mudah-mudahan pengusaha Melayu Islam ini bakal menjadi pengusaha yang berjaya yang murah rezekinya.
Sekian. Hidup bahagia dengan takwa tanpa tangkal dan azimat serta pelaris.
Emjay