Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Friday, 6 July 2007

Petua untuk menjatuhkan hati orang lain (jatuh cinta)

Assalamualaikum wbth sekalian pembaca Laman Emjay

Pada suatu masa dahulu saya dan arwah guru dikunjungi oleh seorang tetamu wanita. Pada waktu ini saya sedang dilatih oleh arwah guru. Ya Allah, ampunilah segala dosa arwah guru saya ini. Waktu ini saya masih mempunyai sebuah kedai komputer. Lepas mengajar, banyak masa dihabiskan untuk ke kedai komputer.

Wanita Melayu berugama Islam ini meminta pertolongan kami kerana seorang rakan sekerja wanita ini yang berugama Kristian berasal Sarawak ingin masuk Islam. Perempuan Kristian Sarawak ini berusia sekitar 23 dan baru bercerai dengan suaminya seorang Cina Kristian. Saya dan arwah guru bersetuju untuk menolong wanita Melayu ini untuk menguruskan urusan pertukaran agama di Pusat Islam Johor Bahru.

Pada hari yang dijanjikan, kami membawa wanita Kristian ini ke Pusat  Islam untuk urusan pertukaran agamanya. Urusan dokumentasinya mudah dan kami semua berpuas hati.  Kemudian kami bertanya kepada pegawai bertugas di Pusat Islam untuk kami mendaftarkan mualaf ini ke PERKIM. Barulah kami tahu bahawa Negeri Johor tidak mempunyai PERKIM untuk membantu para mualaf. 

Kami bertanya seterusnya kepada pegawai berkenaan tentang kaedah bagaimana untuk mendidik mualaf ini menjadi seorang Islam beriman. Jawapannya sangat menghampakan kami. Dari semasa kesemasa Pusat Islam ada menyediakan kursus untuk para mualaf dan mereka boleh mendaftar diri bagi menyertai program ini. Kami sangat kecewa dengan sistem pendidikan mualaf ini dimana ia dilakukan tanpa kesungguhan dan pro aktif untuk benar-benar membantu mualaf.

Pada pandangan kami, para mualaf perlu sekali dibantu secara agresif dan pro aktif kerana pada situasi perubahan ini, mereka ini sangat lemah dan mudah menjadi sasaran syaitan. Kecewa dengan sistem pendidikan para mualaf ini, saya pun mencari seorang guru agama yang kami sangat hormati berusia dalam lingkungan 60 tahun. Setelah kami menerangkan bahawa wanita ini berusia sekitar 23 tahun, seorang janda, tiada pengangkutan, tiada saudara mara di johor bahru dan ingin belajar secara berseorangan sahaja dengan ustaz ini, maka jawapan ustaz ini ialah dia tidak mahu mencari penyakit. 

Ustaz menjelaskan kata-katanya dengan berkata “nak jatuh cinta bukannya susah. Saya ambil berat dengan bersungguh-sungguh ke atas segala hal ehwal wanita ini, insyaAllah selepas satu waktu, cinta akan berputik. Cinta tidak mengenal usia, miskin atau cacat seperti buta”. Begitulah jawapan ustaz yang kami hormati ini. Memang benarlah segala apa yang dikatakan oleh ustaz ini.

Saya waktu jatuh cinta dengan seorang wanita  di UM dahulu pun (kini isteri) sebenarnya memenuhi kriteria seperti yang dikatakan oleh ustaz tersebut. Mula-mula kenal, terpaut hati, banyak mengambil berat urusan orang ini, saling jatuh cinta dan akhirnya berkahwin. Jatuh cinta antara seorang bujang dengan anak dara tidak banyak menimbulkan masalah  dan semoga orang bujang dan anak dara ini berkesudahan dengan berkahwin. 

Namun apabila seorang lelaki yang sudah berkahwin jatuh cinta dengan seorang anak dara, ada orang kata ini adalah rahmat tetapi ada orang lain kata ini sudah masuk masalah besar! Kalau seorang isteri jatuh cinta dengan suami orang, apa pula yang bakal terjadi? Mungkin zina atau meruntuh masjid untuk membina masjid baru?

Sebelum saya berkenalan dengan isteri saya dahulu, saya ada seorang best friend seorang wanita yang saya sanjung hingga kini semenjak kami darjah 3 sampai kami di tahun pertama IPTA (11 tahun). Darjah 3 – 6 sekolah yang sama. Tingkatan 1-3 kelas yang sama. Saya masuk Sekolah Alam Shah tetapi masih meneruskan hubungan dengan kawan baik ini. Setiap kali cuti sekolah saya tidak dating macam orang muda lain tetapi secara gentleman pergi ke rumahnya bersembang dengannya di depan mata keluarganya. Ahli keluarganya semua saya kenal. Saya banyak mengambil berat tentangnya tetapi saya benar-benar tidak bercinta. Ayah ibu kawan baik saya ini sudah menaruh harapan yang besar terhadap saya sebagai calon menantu.

Kami berkawan rapat bercerita tentang kehidupan masing-masing kerana kami memang berkawan baik semenjak kecil. Tidak pernah bercerita tentang cinta sebab saya tidak pernah timbul rasa cinta ke atasnya. Saya benar-benar berkawan rapat dengan hamba Allah ini sebagaimana saya berkawan rapat dengan seorang lagi kawan lelaki rapat saya dahulu bernama Ayub  Shukur. Rupanya inilah namanya pengalaman mahal saya dilatih untuk menjatuhkan hati seorang wanita. Apabila kita rapat dengan seseorang wanita, banyak mengambil berat tentang dirinya, secara otomatik salah satu pihak atau kedua-dua pihak akan jatuhlah hatinya dan cintanya.

Hubungan kami menjadi panas apabila pada tahun kedua kami di IPTA, saya memperkenalkan kekasih saya kepada sahabat baik ini. Saya dengan kebodohan saya tidak mengetahui bahawa hubungan rapat saya dengan kawan baik wanita ini rupanya telah membuahkan sesuatu yang saya tidak duga, iaitu cinta. Siapa yang tidak marah apabila tidak semena-mena saya memperkenalkan buah hati kepada seseorang yang sudah menaruh harapan untuk satu tempuh yang sangat lama.

Alhamdulillah saya berkahwin dengan buah hati ini dan sahabat baik saya ini juga sudah berkahwin dengan orang lain namun saya sudah sangat lama tidak menemuinya. Saya berdoa agar sahabat baik saya ini serta keluarganya sentiasa diberikan rahmat dan perlindungan Allah dan saya berdoa agar kami dapat dipertemukan Allah sebagai sahabat dalam situasi yang harmoni. 

Apa yang ingin saya tegaskan sekali lagi di sini ialah cinta insyaAllah akan berputik setelah ada sikap mengambil berat akan seseorang lain walaupun sikap tersebut dilakukan benar-benar ikhlas kerana Allah SWT. Sebagai contoh seorang lelaki ketua jabatan (KJ) dengan seorang wanita bekerja sebagai pembantu peribadinya (setiausaha), kedua-duanya sudah ada keluarga masing-masing. KJ ini sangat berhati perut dan pandai berbudi bahasa. Segalanya dibuat dengan ikhlas kerana Allah SWT. Apabila makan tengahari kadang-kadang KJ ini membelikan  makanan tengahari berbungkus untuk setiausahanya. Apabila setiausahanya bermasalah seperti rosak kereta, dengan bersungguh-sungguh KJ ini akan mencarikan orang untuk menyelesaikan masalah setiausaha ini. Apabila ada sebarang masalah keluarga, KJ akan mengambil masa untuk menasihati agar masalah keluarga  ini dapat diselesaikan segera. Sekiranya segala kebaikan ini serta kebaikan lain berterusan untuk satu tempuh yang lama, berapa lama lagi hati setiausaha ini dapat bertahan kalau tidak jatuh hati atau cair dengan segala kebaikan yang diberikan oleh KJ ini. 

Cerita saya di atas adalah sekadar KJ yang berbudi kepada seorang wanita setiausahanya. Sekiranya sebaliknya pula seorang setiausaha terlalu dedicated kepada boss-nya (lelaki) sehingga segala-galanya termasuk briefcase untuk mesyuarat dijaga dengan rapi bagai menatang minyak yang penuh, tambahan pula isteri di rumah tidak pandai melayan suami, berapa lama hati seorang lelaki boleh bertahan sebelum jatuh hati dan cair dengan kebaikan dan hati budi seorang wanita apatah lagi kalau wanita ini anak dara?

Kes jatuh hati ini akan lebih cepat berlaku sekiranya kedua-dua pihak saling menjaga dan mengambil berat antara satu sama lain. Memang kes berat kalau macam ini.

Di sekolah dan di pejabat, bab menjaga kebajikan opposite sex (jantina berlawanan) memang telah, sedang dan akan berterusan. Apabila seorang guru wanita mula mencurahkan masalah kepada seorang guru lelaki dengan alasan untuk mendapat pandangan balas  dan guru lelaki ini pula ingin membuat kebajikan (niat baik) untuk membantu sesama manusia, inilah yang akhirnya akan membuahkan bibit cinta. Kalau bujang dengan anak dara tidak mengapa tetapi kalau satu pihak atau kedua-dua pihak sudah berkeluarga apakah kesudahan dari senario ini?

Bagi kaunselor kaunseling lelaki dengan klien wanita, perkara yang sama juga berlaku. Akibatnya banyak kaunselor terjebak dengan cinta terhalang. Orang bermasalah sebagai contoh seorang wanita sudah bersuami mengadukan masalah rumahtangganya yang kronik kepada seorang kaunselor lelaki. Memang pertemuan ini sangat dinantikan oleh isteri bermasalah kerana mungkin di rumah mereka sudah tidak boleh lagi di bawa berbincang suami isteri. 

Apabila klien berbincang dengan kaunselor ini, si wanita merasakan seperti berjumpa dengan malaikat kerana rupanya ada lelaki yang boleh dibawa berbincang tidak seperti suaminya di rumah. Kaunselor pula akan berusaha sedaya upaya dengan ilmu yang dipelajari untuk membantu wanita bermasalah ini. Dengan sikap mengambil berat dari kaunselor ini, wanita bermasalah mana yang tidak terjatuh hati dan cair. Wanita bermasalah adalah bagaikan orang yang hampir kelemasan di laut. Orang begini kalau jumpa seurat rambut untuk berpaut, pastinya peluang ini tidak akan dilepaskan. Apatah lagi kalau apa yang ditemuinya bukan seurat rambut tetapi satu bongkah kayu yang lebar yang sedang hanyut terapung.

Inilah yang pernah diajarkan oleh arwah guru saya lama dahulu. Isteri arwah hanya suri rumah dan tiada duanya. Dalam tempuh arwah mengubat dan membantu orang yang bermasalah, ramai wanita yang kaya dan hartawan menyerahkan diri hanya untuk dikahwini oleh arwah guru. Ada yang siap janji bagi elaun setiap bulan kepada arwah guru untuk menjadi suami. Siapa yang tidak terpaut apabila kerap dianiaya  lelaki tiba-tiba terjumpa lelaki sejati yang berhati mulia. Arwah guru saya tidaklah handsome dan tidak pula segak namun kerana tanggungjawabnya membantu orang bermasalah, inilah yang menjadi punca hati wanita terjatuh dan cair. Arwah guru saya tinggal di Kuala Lumpur.

Kes membantu wanita pertama yang kami ambil di Johor Bahru  ialah seorang wanita berstatus tinggi yang sudah berkeluarga. Wanita ini memang sangat bermasalah dengan suami dan anak-anak. Wanita ini mengaku kerap berzina. Setiap minggu akan kami uruskan pertemuan antara wanita ini dengan guru dan saya. Dalam pertemuan ini pelbagai aspek termasuk ilmu agama, ilmu melayan suami dan ilmu melayan anak-anak akan diterapkan. Setiap aduan dan perkembangan dari wanita ini akan diberitahu kepada saya melalui telefon atas arahan guru saya. Setiap hal termasuk sakit di mulut, leher, buah dada dan kemaluan akan diberitahu kepada saya dan ini adalah sebagai tanda-tanda kafarah yang diberikan Allah melalui taubat yang dibuat oleh wanita ini. Saya sebagai seorang yang setia dengan arwah guru saya akan melayani dan cuba membantu setiap masalah yang dikemukakan oleh wanita ini. Rupa-rupanya inilah yang cuba diajarkan oleh arwah guru secara praktikal terus kepada saya. Semakin lama semakin rancak wanita ini menelefon dan semakin banyak masa saya kena korbankan untuk mendengar pelbagai masalah termasuk masalah kerja di pejabat. Nampak benar perubahan wanita ini dan dah mula manja-manja dan merajuk pula dengan saya.  Inilah namanya terjatuh cinta. Saya bersyukur alhamdulillah kes ini tidak berlanjutan, kalau tidak susah juga menangkis cinta manusia isteri orang.

Dalam kerja seharian, saya akan didatangi oleh pelajar wanita. Ada yang kurang menarik, ada yang lebih menarik dan ada pula yang sangat menarik. Ada yang pandai menggoda dan mencairkan hati lelaki pula. Satu ketika dahulu saya gunakan teknik cantas di peringkat awal dengan memanggil seorang wanita ini dengan sesuatu gelaran yang sangat tidak digemari  mereka iaitu memanggil “makcik” kepadanya. Wanita ini memangnya menarik, pandai senyum dan memikat lelaki. Sebelum hati saya terjatuh atau hati wanita ini terjatuh, saya memanggilnya dengan gelaran makcik termasuk di dalam kelas untuk mencantas merebaknya virus yang akan mencairkan hati manusia. Alhamdulillah teknik ini memang sangat berjaya. Apabila berjumpa mana-mana pelajar wanita yang menarik dan menawan, saya dengan berat hati membahasakan mereka ini "makcik". Alhamdulillah berkesan.

Kesimpulan dari cerita saya kali ini ialah, kalau nak seseorang jatuh cinta, ambil beratlah tentang diri serta kehidupan seseorang itu dan tolonglah dia bersungguh-sungguh. InsyaAllah berputiklah cintanya. Namun ilmu ini adalah sangat merbahaya sekiranya digunakan hanya sekadar untuk menawan wanita dan seterusnya merosakkannya.

Kalau tidak hendak atau langsung tidak ingin seseorang jatuh cinta kepada anda, elakkanlah dari menolong dan mengambil berat akan seseorang. Gunakanlah sebarang teknik mencantas di peringkat awal untuk membunuh virus cinta.

Namun apa akan jadi kalau semua orang menjauhi wanita atas dasar takut terkena virus cinta? Ini sudah masuk bab fardhu kifayah untuk menolong manusia lain tidak kira lelaki atau wanita. Untuk ini kenalah berguru untuk dilatih secara praktikal mantap atau tidak jatuh hati dan adakah mampu menahan virus cinta.

Sekian untuk kali ini, wassalam wallahuaqlam

Emjay yang menyayangi semua pembaca Laman Emjay.
Tanpa perasaan kasih sayang (dan rahmat Allah), tidak mungkin saya mampu menulis begitu banyak artikel yang saya sendiri pun tidak menjangka saya mampu melakukannya. Alhamdulillah dan terima kasih Ya Allah!

23 comments:

  1. Assalamulaikum Ustaz Emjay dan terima kasih berkongsi pengalaman dgn kami semua.Mmg benar kata2 dari pengalaman emjay yg mana bila kita betul2 ikhlas nak tolong orang terutamanya kaum Hawa,mereka akan jatuh hati tanpa disedari.kalau kaum Hawa tu boleh memahami perasaan kauam Adam itu senanglah kesudahannya,tapi kalau dia dah mula lupa agenda asal kaum Adam ini iaitu sekadar menolong dgn ikhlas maka susahla kesudahannya.Saya ada baca satu artikel dlm majalah tenis US mengenai jurulatih atau coach seorang pemain tenis wanita (jeniffer Capriati) yg mana coach ini telah melatih
    pemain tenis wanita ini semenjak dari umurnya dlm 7 tahun lagi.
    Dan apabila pemain tenis ini mula menceburi bidang tenis pro
    maka pemain tenis wanita terpaksa menukar jurulatih yg lebih pro.
    maka jurulatih yg asal ini meluahkan rasa dukacitanya yg tak terkira,
    tetapi tiada kejadian negatif yg berlaku diantara mereka cuma walaupun
    jurulatih yg asal ini merelakan penghijrahan pemain tenis wanita ini
    kepada jurulatih yg lebih pro namun saat2 dia melatih bersama dgn pemain tenis wanita
    ini amat sukar beliau lupakan,kesimpulan saya dari cerita ini ialah -
    golongan yg pro pun ade tercampur perasaan emosi semasa menjalankan tugas
    inikan pula kita yg didalam golongan orang2 biasa yg tidak begitu terlibat
    dalam dunia laju atau fast world.
    Saya selalu diberi ingatan utk tidak menjadi hero atau menolong berlebih-lebihan.
    Cukup sekadar buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali.

    Sekian Wasallam.

    ReplyDelete
  2. Saya setuju dengan pendapat tuan ini. Dulu pernah saya buat satu teori bahawa lelaki dan perempuan tidak akan boleh berkawan tanpa sedikit sebanyak pasti timbul perasaan. Teori saya ini kedengarannya kolot, tapi baru-baru kajian yang dibuat di barat menyokong teori ini.

    ReplyDelete
  3. Teori engkau tu memang saya fazrul911. Namun orang tertentu contohnya arwah guru saya yang kerjanya mendakwah dan mengubat termasuk mengubat dan merawat orang perempuan, arwah guru dapat bertahan namun orang yang kena dakwah tu (perempuan la) ramai yang ajak arwah guru saya kahwain.

    Emjay

    ReplyDelete
  4. imamasseyka@yahoo.co.id
    www.imamasseyka.multiply.com
    saya bersedia bertukar pengetahuan dan pelajaran ilmu-ilmu kebatinan

    ReplyDelete
  5. Ass... ust.. saya adalah seorang wanita muslim, dan saat ini saya sedang dekat dengan seorang lelaki yang berasal dari sarawak beragama kristian.. bagaimanakah menurut pandangan ust?? saya sangat2 memerlukan pendapat dan nasihat.. sebab saya tidak ingin hubungan ini hanya sekedar main2.. perlukah saya mengajarkan ia tentang agama islam terlebih dahulu??? kerana ia pun bersedia untuk masuk Islam demi cinta kami.. terima kasih

    ReplyDelete
  6. emel saya yanie_sweet87@yahoo.com

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum wbh aderahim

    Al Baqarah [221]
    Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman; dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).

    Seorang lelaki atau perempuan yang masuk Islam hanya kerana cinta sebenarnya tidak ada nilainya di sisi Islam kerana mereka masuk Islam bukan kerana kesungguhanan hati. Orang yang masuk Islam kerana cinta adalah sememangnya orang yang tidak atau belum lagi beriman. Sama ada mereka mengaku Islam atau tidak, mereka tetap sama dan tidak beriman. Jikalau menurut ayat di atas, tidak boleh mengahwinkan perempuan Islam dengan lelaki mushrik adalah satu larangan dari Allah SWT.

    Nasihat saya ialah jauhilah lelaki kristian ini kerana mereka hanya akan menjerumuskan sdr ke neraka sebagaimana ayat di atas.

    Berdoalah untuk berkahwin dengan seorang lelaki beriman yang dapat membimbing sdr ke syurga.

    Jikalau menurut pentadbiran agama negeri, asalkan seseorang Lelaki mengaku bersyahadat di depan pegawai Pejabat Agama Islam, dah islamlah dan layak dikahwini tetapi persoalannya, adakah mereka ini sudah beriman? Kalau tidak tahu sembahyang serta hukum hakam Islam lain, bila dia ni nak belajar dan mampukah sdr untuk mengajarnya??

    Jikalau menurut saya, jauhilah sahaja lelaki kristian ini yang hanya ingin memeluk Islam kerana cinta dan bukan kerana Allah SWT. Kalau kahwin dengan seorang lelaki kristian yang sudah memeluk Islam selama 3 tahun dan lelaki ini memeluk Islam semata-mata kerana Allah SWT, dan sudah mahir selok belok islam dan sudah pandai sembahyang dsbnya, bolehlah sdr berkahwin dengan lelaki seperti ini.

    Sekian wassalam wallahuaqlam

    Emjay

    ReplyDelete
  8. salam.. tn hj, ni tentang petua membuatkan orang jatuh hati.. tp sy tercari-cari petua utk bersihkan hati.. mksud sy utk hndarkan dr perasaan hasad, dendam, iri hati, sakit hati etc.. sy xtahu mana silapnya, smakin sy nk hindarkan "pnyakit hati" ni, smakin dkt ia menarik2 sy.. ape yg sy lakukan skrg bla sy trasa yg sy ada perasaan xbaik cpat2 sy istighfar.. tn hj ada x ptua utk m'buang jauh perasaan xbaik nie.. sbb sy rsa senak seandainya ada rasa dendam, iri hati etc... sy nk buang jauh2 sume ni... sbb sy rsa tenang tnpa "pnyakit hati" ni.

    ReplyDelete
  9. assalammualaikum.....bagus cadangan ust tuu!...bleh pratik pasni!...heee3!...buat n110686...ya memang betul susah nak hilangkan sikap2 demikian....bagi saya perkara ini lumrah manusia, iaitu hendak memiliki sesuatu lebih dari pada orang..! kadang-kadang kita dengki kat orang lein sbb kelebihannya..kadang-kadang kita dendam kat seseorang disebabkan tingkahlakunya...kadang-kadang kita sakit hati kat seseorang disebabkan pergaulannya....perkara ini akan berputar dan saling kait-mengait.....petuanya...senyumlah selalu...!..banyak faedahnya...sambil mengingati Allah..insyaallah jiwakan menjadi tenang!..saya teringat hadis yang terakhir...di dalam Shahih Bukhari...yang berbunyi........
    كلمتان حبيبتان الى الرحمن خفيفتان على اللسان ثقيلتان في الميزان سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم....

    ReplyDelete
  10. Waalaikumussalam wbh

    Memang betullah sebagaimana kata habrashid tu. Penyakit ini memang ada pada semua orang (asalnya) namun sekiranya kita bersungguh-sungguh mengatasinya, insya-Allah ia akan hilang.

    Katakanlah saya ada seorang kawan baik pada zaman persekolahan, masuk U sama-sama dan kemudian bekerja dan berkahwin. Bila kawan kita tu beli kereta lebih mahal dari kita, mulalah dengki. Bila kawan lain pula beli rumah lebih besar dan mahal dari kita sedangkan gaji kawan ini sama dengan kita, pun timbul perasaan dengki.

    Belajarlah (termasuk saya) apabila rakan dan jiran serta sedara mara mendapat rahmat dari Allah SWT sama ada pangkat, kenderaan, anak, rumah dsbnya, ucapkanlah alhamdulillah berterima kasih kepada Allah SWT kerana memberikan rahmat kepada kawan kita tu.

    Emjay

    ReplyDelete
  11. macam habrashidni nak balaja lagi keluarga tak izinkan sebab adik-adik iri hati, kalu diikutkan perasaan hendak sahaja dirini terjun dalam sungai, nasib baik cetek airnya..tapi insayaallah habrashid nak blaja banyak dengan ust mj....ikutlah resam...kita puyu jadilah puyu janganlah hendak menduga helang diatas sana!...teringat cerita penarik beca....

    ReplyDelete
  12. Assalammualaikum...ust habrashid nak tanya satu soalan bleh tak?...habrashid nak tahu sangat....sirah tentang pemerintahan Muawiyah yang telah di selewengkan oleh puak2 yang tidak bertanggungjawab!...habrashid di sini hendakkan kisah yang sebenar...soalannya siapakah Al-Faitu Al-Baaghiah? yang dimasudkan dalam hadis rasullullah...Aduhai Ammar!!! Engkau akan dibunuh oleh golongan derhaka"...adakah hadis ini ditujukan kepada Muawiyah atau sebaliknya?...mungkin habrashid boleh blaja sesuatu yang berharga dari ust!..

    ReplyDelete
  13. Waalaikumussalam wbh

    Bab ini saya kena rujuk orang lain. Maaf bukan bidang saya.

    Emjay

    ReplyDelete
  14. minta maaf banyak-banyak ust!......kerana soalan diatas!...

    ReplyDelete
  15. Nampaknya ilmu uncle MJ sgt luas, dari hal2 biologi sampai ke soal hati...tahniah uncle MJ...teruskan usaha murni uncle...semoga rahmat Allah senantiasa bersamamu. Ameen.

    ReplyDelete
  16. Alhamdulillah aldebaran924

    Emjay

    ReplyDelete
  17. Assalamualakum, saya ibu tunggal lingkungan 30an, jiran saya mulanya niat nak menolong telah membuatkan kami jatuh cinta. sayangnya jiran saya suami orang. isterinya kerja di luar daerah dan dia pulang pada isterinya hujung minggu sahaja. sekarang saya amat menyintainya dan taknak kehilangannya kerana saya tidak pernah kenal lelaki yang baik sepertinya, tapi pada masa yang sama saya taknak runtuhkan rumahtangganya. apa yang harus saya lakukan?

    ReplyDelete
  18. Waalaikumussalam wbh

    Islam adalah agama yang sempurna. Islam membenarkan poligami. Apa salahnya sdr berpoligami? Berpoligamilah.

    Namun dalam keadaan hari ini, ramai orang berpoligami bagaikan menempah neraka di dunia. Punca utama mereka ialah kerana berbomoh untuk berpoligami. Ada pulak ustaz SESAT menawarkan ilmu bukan-bukan untuk orang berpoligami. Seorang ayah kepada seorang mufti menawarkan tangkal untuk suami yang berpoligami. Inilah dia tiket untuk masuk neraka di dunia dan akhirat.

    Apa yang harus sdr buat adalah peganglah dengan teguh Islam, berdoalah kepadaNya dan lakukan ibadah terutama solat malam agar laluan sdr berpoligami dimudahkan Allah SWT.

    Emjay

    ReplyDelete
  19. assalamualaikum,
    sye nk tawu bgaimne cre nk hlangkn sfat pndendam sy ni pd kaum adam....sy dh pnat mnprmainkn ati kaum adam dsbkn dndam sy yg pnah dkcewakn oleh bkas suami sy sndri...dn msalah utama sy sy sdah jtoh cnta pd sesorg dn msalahnye dndam sy mengtasi sgala2nye hgga sy menafikan perasaan sy ni pd dia....

    ReplyDelete
  20. Waalaikumussalam wbh

    Dendam adalah satu penyakit berat. Dendam boleh mengakibatkan pelbagai kerugian seperti kena penyakit darah tinggi, pemarah dan mengalami pelbagai musibah dari Allah yang sebenarnya ingin mendidik.

    Sebagai contoh, seorang isteri yang mendendam suaminya kerana berkahwin satu lagi hanya akan mengakibatkan isteri ini akan dipinggirkan oleh suami disamping pelbagai musibah yang bakal diberikan Allah SWT.

    Pendendam juga akan menjadikan seseorang bagaikan orang gila. Manakan tidak, hanya kerana seorang lelaki iaitu bekas suami buat sesuatu perkara yang tidak elok, maka sdr membuat perkara yang tidak elok kepada ramai lelaki lain. Ia seumpama rumah sdr kena masuk pencuri dan kerana itu sdr menjadi pencuri dan masuk ke rumah orang lain untuk mencuri. Ini adalah satu perbuatan bodoh dan gila.

    Hentikanlah perbuatan gila anda tersebut. Bertaubatlah. Buatlah solat taubat 2 rakaat minta Allah ampun segala perbuatan gila sdr menganiaya ramai lelaki. Tanpa lelaki sdr tidak akan wujud didunia dan adakah sdr juga perlu berdendam kepada ayah sdr kerana ayah sdr juga seorang lelaki?

    Selepas bertaubat, buanglah segala perkara yang tidak elok di dalam diri anda semoga sdr hidup selari mengikut peraturan Islam kerana selagi sdr tidak patuh dan melanggar hukum Islam, sebenarnya Allah akan mempermain-mainkan hidup sdr kelak. Kelak Allah akan menghantar lelaki jahat untuk mempermainkan hidup sdr. Sebenarnya Allah sudah banyak mempermainkan hidup saya dahulu kerana saya melanggar peraturanNya.

    Emjay

    ReplyDelete
  21. Assalamualaikum ustaz. Saya seorang isteri kpd seorang lelaki yg sgt sibuk. Saya memang menyayanginya. Namun, pd satu hari saya telah berkenalan dengan seseorang, atas dasar kerja. Beliau merupakan suami orang. Dan entah mcm mana, kami telah jatuh cinta. Sy suka pada die, saya pon mcm tu juga. Namun, saya tak pernah luahkan perasaan sy malah hanya melayannya seperti rakan. Die pon tak pernah luahkan pada saya, namun sy ketahui dari rakannya dan cara die melayan saya.

    Saya tak tahu berapa lama lagi saya boleh bertahan. Sehari tak jumpa n tak dengar suara die, hati n jiwa raga saya tak tenteram. Setiap saat sy terbayangkan die, walau suami di depan mata. Risau juga kalau2 saya terkena buatan orang. Apa pendapat ustaz?

    ReplyDelete
  22. Waalaikumjussalam wbh

    Anda sesungguhnya sudah terkena penyakit buatan orang dan orang tersebut namanya ialah wanny14985.

    Antara punca utama orang terkena masalah ini ialah:

    1. Memakai lipstick
    2. Tidak menutup aurat.
    3. Berhias muka dan pakaian serta barang perhiasan
    4. Memakai bau-bauan
    5. dll

    Sekian, taubatlah semoga Allah memberkati merahmati sdr.

    Emjay

    ReplyDelete
  23. Assalamualaikum...
    Pengalaman mengajar erti kehidupan,
    Adalah lebih baik bergelumang dlm lupur bernajis dari berselisihan bahu dengan.............
    dan berhati-hatilah dng anak2 panah syaitan...

    Hamba yang sering alpa ... aku malu dengan diri sendiri..

    ReplyDelete