Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Monday, 23 July 2007

SABAR DENGAN UJIAN

Sabar dengan ujian.

Abdul Kadir bin Abdul Aziz bertanya kepada Imam As Syafiee r.a. “manakah yang lebih utama : sabar atau diuji atau diberi keteguhan hati?” Jawabnya, “ Diberi keteguhan hati adalah darjat nabi-nabi. Dan tidak ada keteguhan itu melainkan sesudah diuji. Apabila sudah bersabar maka teguhlah hati. 

Tidaklah engkau lihat bahawa Allah Taala menguji Nabi Ibrahim a.s. kemudian Ia memberikannya ketetapan hati dan menganugerahinya kerajaan, maka ketetapan hati itu adalah darjat yang paling utama.”                     
Syeikh Mustafa Sabri iaitu ulamak sewaktu pemerintahan Othmaniah berkata:
“Barang siapa yang berasa aman dari cubaan Allah nescaya akan hina.”
Maryah Jameelah seorang islam yang dahulunya seorang wanita kafir Yahudi berkata:
“Menurut ajaran Islam hidup ini bukalah satu perjalanan yang penuh kesenangan akan tetapi ia adalah satu peperiksaan. Setiap minit kita diuji dan apa sahaja penderitaan dan bala yang menimpa kita bukanlah bencana yang mutlak akan tetapi hanya salah satu dari ujian tersebut. Allah SWT tidak menjadikan kita untuk bergembira dan bersuka ria akan tetapi untuk melihat kita sama ada berjaya atau gagal dalam peperiksaan ini yang mana keputusannya tidak kita ketahui hinggalah ke hari akhirat”.
            
 Rasulullah pernah bersabda:
“Apabila Allah kasihkan seseorang, Allah mengenakan dengan suatu cubaan sehingga Allah mendengar rengekan permintaan yang bersungguh-sungguh.”
                                                                             (Dari Masnad Firdaus oleh Dailami)
             
Berkata Abul Asy’ats ash Shan’aani r.a. bahawa Nabi saw bersabda:
Allah telah berfirman:
“Apabila Aku menguji salah seorang dari hamba-hamba Ku yang mukmin, lalu ia memuji Ku atas apa yang telah Aku ujinya, nescaya Aku akan perintahkan kepada Malaikat Ku agar ‘Kamu catatkan pahala-pahala dari amalannya, seperti yang biasa kamu catatkan sebelum ini’”.
                                                               (Riwayat Ahmad, Hakim dan Abu Nu’aim)
             
Berhubung ujian Allah, hayatilah firman Allah dalam surah-surah berikut bermula dengan surah Al Ankabut: 2-3:
2- Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

3- Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Al Baqarah: 155- Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Al Kahfi: 7- Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

Al Kahfi: 31- Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.

Hud: 7- Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang ArasyNya berada di atas air. Dia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan demi sesungguhnya! ...

Al An’aam: 165- Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
           
Perlulah diingat juga bahawa bukan semua ujian itu adalah pahit, getir dan memberatkan malahan Tuhan juga menguji hambanya dengan kemewahan dan kemuliaan serta kekuasaan dan sebenarnya ujian berbentuk ini adalah lebih berat sebagaimana Firman Allah:
Al Fajr: 15- (Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku!

Al Fajr:16- Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku!

Al Anbiyaa’: 35- Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Allah berfirman lagi di dalam surah Al Baqarah: 214.
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
            
 Ingatlah bahawa apabila seseorang tidak suka mendekatkan diri kepada Allah, maka akan diseret supaya ingat kepada Allah dengan musibah.
            
Dalam banyak hal, setiap ujian adalah juga merupakan bala / musibah sebagaimana yang dinyatakan Allah dalam surah Al Baqarah: 49.
Ertinya: Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
 
Bala bencana / musibah yang menimpa manusia pula adalah tidak lain tidak bukan berpunca dari kesilapan kita sebagaimana yang dinyatakan Allah dalam surah An Nisaak:111.

Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Dan seperti yang Allah nyatakan di dalam surah Thaahaa: 124,
Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.

Dan seperti di dalam surah Al An’fal: 25
Ertinya: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Dan Allah menekankan lagi betapa setiap kesalahan di dunia akan di balas setimpal dengannya sebagaimana firman Allah swt berikut dalam surah Ghafir: 40-:
Ertinya: Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka dia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh dari lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung.

Dan surah Yunus: 27: Ertinya:
“Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding / setimpal dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; ........”

Bila Allah mengatakan setimpal ini, ALLAH adalah the best mathematician dan saya ada cerita untuk dikongsikan:
Kes 1
Cerita ini berlaku kira-kira pada tahun 1998 atau 1999. Hamba Allah perempuan ini bekas pelajar saya dan telah dihantar mengajar ke Sabah. Bila cuti beliau balik kerumahnya di salah satu kawasan di Johor. Sebelum balik semula ke Sabah pada hujung Disember, beliau ada menemui saya. Dalam pertemuan ini beliau ada menceritakan bahawa housematenya baru menelefon beliau – rumah mereka dimasuki pencuri dan banyak barang yang telah dicuri. Saya segera panggil beliau masuk bilik dan tanya,
“Nak ilmu tak?”

“Eh nak la!” jawabnya ringkas.

“Kalau nak ilmu kena jawab soalan-soalan saya, boleh tak?” Kata saya.

Selepas sesi soal jawab dan perkiraan guna kalkulator, saya kata “barang awak yang kena curi bernilai kira-kira RM1050” .

Terkejut betul dan dia terus memandang saya begitu lama. Lepas itu dia kata “Tak jauh beza angka yang diberikan?”. (Tak sampai RM50 selisihnya)

Persoalannya ialah bagaimana saya dapat hasilkan angka RM1050 tersebut? Ia adalah nilai yang mana pelajar saya terhutang kepada Allah kerana setiap kali dapat gaji dan elaun seberang laut dan sebagainya, beliau tak keluarkan 2 ½  peratus. Duit yang telah tersimpan genap setahun juga tidak dikeluarkan 2 ½ peratus. Sebagai balasan yang setimpal, Allah ambil semula rezeki yang Allah berikan melalui kejadian kecurian di rumahnya.

Kes 2
Cerita ini  berlaku kira-kira pada tahun 1996/1997. Suami beliau adalah manager satu bank terkenal di satu bandar besar. Isteri menjawat Asistant Manager satu bank besar lain di bandar yang sama. Isterinya mengadu kepada saya bahawa anak sulungnya seorang perempuan belajar di Taylor’s Collegge gila jantan sampai bila hari raya puasa tak ingat nak balik rumah. Saya pun aturkan pertemuan suami isteri ini dengan guru saya. Setelah sesi pertemuan suami isteri dan suami sahaja, punca permasalahan ini telah dikenal pasti. Apa puncanya tuan-tuan? Puncanya apabila bapak kaki betina, isteri kaki gigolo dan anak menjadi kaki jantan (macam bohsia). Allah berikan cukup setimpal.

Daripada ayat-ayat di atas jelas apabila sesuatu keperitan hidup / musibah / bala bencana menimpa anak Adam, ia adalah bersebab kesilapan anak Adam itu sendiri dan Allah menjadikan pembalasan ini sebagai satu ujian yang bakal menjadikan kita umat manusia sama ada menjadi semakin baik, tidak berubah atau semakin jauh dari Allah.

Termasuk di dalam ujian dari Allah ialah sesuatu yang menggembirakan seperti kekuasaan, anak, isteri dan harta seperti yang Allah nyatakan dalam surah Al A’raaf: 168.
Dan Kami pecah-pecahkan mereka berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).

Dengan itu apabila diberikan Allah nikmat janganlah mudah bergembira kerana ada diantaranya yang Allah berikan tidak lain tidak bukan seakan-akan menaiki bangunan tinggi yang sangat menyeronokkan tetapi apabila tiba di puncak, hanya untuk dihumban ke bawah sebagaimana  firman Allah dalam surah Al An’aam: 44. Ertinya
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).

Tidak akan lulus mengharungi ujian Allah ini melainkan dengan sabar. Dalam menangani kerenah manusia ini, Imam Hassan Al Banna mengajarkan:
“ Jadilah kamu seperti pokok, mereka melempar pokok dengan batu tetapi pokok melemparnya dengan buah”

Latihan :
  1. Cuba bincangkan mengapa Allah menurunkan bala penyakit JE kepada industri ternakan babi satu masa lalu?
  2. Mengapa Allah turunkan azab melalui penyakit selsema burung yang menyerang ayam dan penyakit kuku dan mulut yang menyerang lembu.
  3. Mengapa Allah turunkan penyakit siplis, gonorea dan AIDS ?
  4. Mengapa satu ketika dahulu Malaysia ditimpa masalah jerebu yang serius ?
Sebenarnya, sebesar-besar ujian untuk kita semua menjadi orang yang lebih baik di sisi Allah adalah untuk menjadikan diri ini lebih baik pada hari esok dan seterusnya.


Sekian untuk kali ini, wassalam wallahualam

Emjay

6 comments:

  1. Bagaimana caranya membantu orang yang sangat mudah berputus asa setelah ditimpa sesuatu ujian berat? Contohnya seorang hamba Allah ni,kemalangan jalan raya yang menyebabkan kehilangan nyawa teman paling baik.Dia menunggang moto dan temannya pembonceng.kena langgar trailer. walaupun sekarang dah ok, tapi msih tak mau tunggang moto.
    Katanya belum masanya lagi untuk dia tuggang moto semula,dan tak mau tunggang kat kawasan tempat tinggal dia,kat kampung boleh la..

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum wbh

    Orang ini kena belajar ilmu asas tauhid termasuk mempelajari rububiah Allah SWT dan mungkin boleh merujuk artikel saya bertajuk Akidah Bahahian 2 di http://emjayjb.multiply.com/journal/item/3.

    Kalau ayah kita merotan kita sewaktu kecil dahulu, jangan marahkan ayah. Kalau guru marahkan kita dahulu, jangan marahkan guru tetapi salahkan diri sendiri.

    Kalau Allah SWT menguji kita dengan sesuatu ujian yang berat, pastinya ia berpunca dari salah silap kita juga dan semoga dengan peringatan dari Allah SWT tersebut dapat membantu diri kita menjadi orang yang lebih mulia di sisi Allah SWT.

    Setiap yang Allah berikan kepada kita samaada yang baik atau buruk adalah bertujuan baik.

    Sekian wassalam wallahuaqlam

    Emjay

    ReplyDelete
  3. kalau manusia ini boleh menyalahkan diri apabila musibah menimpanya dan sanggup muhasabah diri bukankah ini jalan penyelesaian terbaik bagi dirinya dan ucaplah astaghfirullah banyak2

    ReplyDelete
  4. as..kum ..sabar itu tidak lemah-tidak lesu-tidak mengalah..biarpun di uji tetap istiqomah,berdiri teguh tidak goyang kerana adanya 3 konsep tadi....punyai ikatan antara satu sama lain.. disitu letaknya iman tadi berlandaskan aqidah...

    ReplyDelete
  5. salam, suami saya telah dibuang kerja kerana ditipu dan sekarang hanya saya yg bekerja menampung keluarga. suami saya masih trauma dan masih tetap murung walau sudah setahun kejadian tersebut. kewangan selalu menghimpit. walaupun saya redha dengan ujian Allah kadang2 saya merasa tersangat letih dan seakan berputus asa. suami sepatutnya ketua keluarga dan bertanggungjawap mencari nafkah tetapi dia masih tidak berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan dan membiarkan saya seorang bertungkus-lumus. Apakah yang saya patut buat Ustaz. Tolonglah saya. Hamba Allah.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam wbh

    Kalau boleh datang kerumah saya di JB lebih elok. Bawa suami sekali. Banyak yang nak kena betulkan.

    Emjay

    ReplyDelete