Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Wednesday, 16 April 2008

AMALAN MENDAPATKAN KHADAM AYAT KURSI

AMALAN MENDAPATKAN KHADAM AYAT KURSI

Bismillahiirahmanirrohim

Dengan Nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.

Hari ini 16 April saya menerima satu email dari salah seorang pembaca Laman Emjay. Berikut adalah email tersebut:

Saya nak tanya sedikit. Saya ada terjumpa tentang cara amalan khadam ayat kursi.

Lepas solat isyak, buat solat sunat dua rakaat

Lepas al-fatihah
baca ayat kursi 21x
inna anzalnahufi lailatil qadr 1x
al-ikhlas 3x
al-falaq 1x
an-nas 1x

sama juga untuk rakaat kedua. Dan apabila selesai solat, baca selawat 11 kali dan baca al-fatihah sedekah kepada rasullullah s.a.w.  dan etc.....

Lepas baca doa...minta pada Allah swt nak khadam tu.... tak silap saya ada doa khusus dan saya tak nampak sebarang perkara yang menduakan Allah swt di dalam doa itu.

Adakah ini dikira haram?

                        ****************************************
Berikut adalah jawapan saya berkenaan perkara ini:
Saya mulakan dengan terjemahan surah 114 An-Nass
[1]:Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia.
[2]:"Yang Menguasai sekalian manusia,
[3]:"Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,
[4]:"Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, -
[5]:"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, -
[6]:"(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".
 
Penghasut dari kalangan jin dan manusia ini telah berjaya membisikkan amalan sesat ini kepada saudara.

Syaitan memang tidak akan berhenti untuk berusaha menyesatkan umat Adam ini. Langkah ini adalah antara berbagai-bagai cara untuk menyesatkan manusia. Sehubungan dengan ini Islam mengajarkan satu nasihat penting iaitu ”tidak akan sesat umat manusia selagi mereka berpandukan Al Quran dan sunnah”. Memanglah apabila kita tidak berilmu maka kita akan menjadi sasaran mudah bagi syaitan menyesatkan manusia. Bagi kebanyakan manusia, apabila menerima bisikan syaitan melalui ajaran di atas, mereka akan melakukannya kerana secara kasarnya memang seronok dan menarik apabila ada khadam. Namun bagi mereka yang berilmu, bisikan syaitan ini adalah semata-mata ibarat perangkap tikus yang bertujuan untuk membunuh tikus sahaja.
 
Jikalau kita membaca Al Quran dalam erti kata sebenarnya iaitu membaca untuk memahami dan mengamalkannya, di dalam Al Quran terdapat ayat tegahan Allah SWT agar umat manusia tidak berurusan dengan jin iaitu: 

Al Jinn: [6]. `Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.
 
Jikalau sudah jelas ditegah oleh Allah SWT sebagaimana ayat Al Quran ini, mengapa perlu menjadikan jin sebagai khadam? Khadam ayat Kursi ini sebenarnya adalah dari golongan jin syaitan yang akan bersetuju membantu manusia apabila manusia sudah menentang agama Islam dengan melakukan amalan yang ditegah Islam. Bagi memudahkan memahami konsep jin ini, silalah membaca artikel terdahulu saya berkenaan jin ini di dalam artikel bertajuk “Iblis, syaitan dan jin” di
http://laman-emjay.blogspot.com/2007/04/iblis-syaitan-dan-jin.html
 
Berkenaan ajaran sesat di atas yang di ajarkan oleh pengirim email ini, dimanakah bahagian ilmu yang menyesatkan?? Mereka yang ilmu tauhidnya senipis kulit bawang memang tidak akan melihat kesesatan di dalam ilmu yang disampaikan ini.
 
Saya jikalau berdoa kepada Allah agar memberikan malaikat tertentu sebagai khadam saya, ini sudah boleh merosak akidah saya. Mengapa fahaman sebegini merosak akidah? Asas akidah atau asas tauhid adalah perlunya manusia mengimani rukun iman yang enam iaitu 

1. Percaya kepada Allah
2. Percaya kepada malaikat
3. Percaya kepada kitab-kitab Allah
4. Percaya kepada Rasul
5. Percaya kepada hari akhirat
6. Percaya kepada qadak dan qadar
 
Meminta malaikat menjadi pembantu manusia adalah merosak akidah kerana bertentangan dengan ajaran Islam di mana malaikat dijadikan Allah SWT dengan sifat kejadian malaikat iaitu mereka sentiasa patuh terhadap apa-apa yang diperintahkan Allah kepada mereka. Mereka tidak diciptakan untuk membangkang atau melawan kepada Allah. Allah menciptakan mereka dari cahaya. Mereka menyembah Allah dan sentiasa taat kepada-Nya, mereka tidak pernah berdosa. Marilah kita fahami dan hayati ayat Al Quran dari surah Saba’:40-41. 

[40]Dan (ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Ia bertanya kepada malaikat: "Adakah orang-orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu dahulu?"
[41]Malaikat menjawab: "Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah (yang kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami bukan mereka. (Tidak ada hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi)".

Malaikat menjelaskan di dalam ayat di atas bahawa manusia yang kononnya meminta pertolongan dari malaikat (menyembah) sebenarnya adalah menyembah jin syaitan!!
 
Meminta sesuatu yang bukan-bukan seperti meminta sebahagian sifat Allah sebagaimana ajaran setengah tarekat juga merosak akidah kerana bercanggah dengan ajaran Islam. Memang mudah sebenarnya untuk rosak akidah seperti meminta agar Allah SWT tidak menjadikan hari pembalasan iaitu hari akhirat.  Sekiranya saya berdoa kepada Allah SWT agar tidak dijadikan hari pembalasan iaitu hari akhirat, maka saya sudah merosakkan akidah saya.
 
Dalam kes persoalan yang diutarakan melalui email di atas, amalan ilmu tersebut sememangnya adalah perangkap syaitan dan apabila seseorang manusia mengamalkan amalan tersebut, insya-Allah akan datang jin syaitan yang mengaku kononnya beliau adalah khadam ayat Kursi tersebut yang bersedia untuk membantu orang yang berhajat ini sebagai balasan kerana menjadi kafir ingkar kepada Allah dengan melakukan tegahan Islam iaitu memohon pertolongan dari jin.
 
Bacalah dan hayatilah ayat dari surah Al Anaam:128 berikut:
dan (ingatlah) hari (kiamat Yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian Kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) Dengan sebahagian Yang lain (Syaitan-syaitan), dan Kami telah sampailah kepada masa Kami (hari kiamat) Yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa Yang dikehendaki Allah". Sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha mengetahui.
 
Dari semasa ke semasa orang yang membela khadam ini akan terus meminta pertolongan dari khadamnya yang sebenarnya adalah jin syaitan dan ini akan menjadikan pelakunya tetap kekal syirik kerana memohon pertolongan dari selain Allah iaitu kepada jin syaitan. Perkara ini Allah jelaskan di dalam Al Quran berikut:
 
Al Anaam:100. Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah Yang mencipta jin-jin itu;
 
Sebagai kesimpulan dari perkara ini, ambillah yang paling mudah dari ajaran Islam iaitu jikalau Nabi Muhamad SAW tidak buat, tidak usahlah kita melakukannya. Nabi tidak pernah berkhadam. Setiap peperangan dengan tentera kufar, Nabi SAW pun tidak ada contoh menggunakan khadam. Ilmu kebal dan pelbagai ilmu sakti pun Nabi SAW tidak pernah mengajar dan mengamalkannya. Yang menggunakan khadam jin sebagaimana dijelaskan didalam Al Quran hanyalah Nabi Sulaiman namun Nabi Sulaiman berdoa agar kemampuan mengendalikan jin ini hanya diberikan kepadanya sahaja dan Allah SWT telah mengizinkannya. Itulah sebabnya Nabi Muhamad SAW tidak pernah mencontohkan mengkhadamkan jin atau membunuh jin. Pernah satu ketika Nabi Muhamad SAW memegang jin di dalam sembahyangnya namun akhirnya dilepaskan oleh baginda kerana teringatkan doa Nabi Sulaiman ini agar ilmu mengendalikan jin ini tidak diberikan kepada orang lain (termasuk Nabi Muhamad SAW) sebagaimana ayat Al Quran berikut:

Saba’
[12]: Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan baginya matair dari tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka.
[13]: Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): "Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur

Saad
[35]: Katanya: " Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya ".
[36]: Maka (
Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya;
[37]: Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan; (ia memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing).
[38]: Dan Jin-jin Syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai belenggu.
[39]: (Serta Kami katakan kepadanya): " Inilah pemberian Kami (kepadamu), maka berikanlah (kepada sesiapa yang engkau suka), atau tahankanlah pemberian itu; (terserahlah kepadamu) dengan tidak ada sebarang hitungan (untuk menyalahkanmu)".

Jauhilah usaha mencari khadam kerana tidak ada dan tidak pernah diajarkan oleh Nabi Muhamad SAW sama ada khadam apa pun dari kalangan jin dan juga malaikat dan usaha ini sekiranya dilakukan hanya akan menyesatkan manusia.

Satu perkara mudah dan penting di sini ialah amalan sebagaimana diajarkan di dalam email di atas sebenarnya adalah satu ibadah bukan untuk Allah SWT sedangkan Islam mengajarkan bahawa setiap ibadah adalah semata-mata hanya untuk Allah SWT! Begitulah juga orang yang ingin mendapatkan ilmu kebal perlu berpuasa memutih selama 40 hari dan ini adalah satu ibadah yang bukan disuruh oleh Allah SWT. Setiap ibadah didalam agama Islam adalah telah diperintah oleh Allah SWT yang dianjurkan melalui Al Quran dan sunnah. Sembahyang adalah ibadah dan terdapat perintah untuk manusia mengerjakannya. Berbuat baik sesama manusia adalah ibdah dan terdapat perintahnya. Namun tidak ada perintah untuk puasa memutih selama 40 hari untuk dapat ilmu kebal dan sebenarnya puasa memutih ini adalah satu ibadah untuk syaitan!!! 

Dengan itu, ajaran sebagaimana email di atas adalah sebenarnya satu ibadah untuk syaitan kerana Islam tidak pernah menganjurkannya. Itulah sebabnya sami hindu juga perlu berpuasa sebulan sebelum upacara Thaipusam agar ilmu sihirnya menjadi semasa mencucuk pelbagai objek ke tubuh penganut Hindu waktu perayaan tersebut.

Sekian wassalam wallahuaqlam

Emjay


Emjay

Tuesday, 15 April 2008

Anda bakal menghadapi masalah yang sama sekiranya ……..

Anda bakal menghadapi masalah yang sama sekiranya ……..


Assalamualaikum wbh

Atas dasar membantu sesama umat, saya telah menyediakan kemudahan analisis kesihatan melalui artikel saya bertajuk “Ingin mengetahui tahap kesihatan kidney, lung and heart anda??” yang boleh diakses melalui http://laman-emjay.blogspot.com/2007/03/ingin-mengetahui-tahap-kesihatan-kidney.html. Didalam artikel ini saya menyediakan borang kaji selidik bagi membolehkan saya menganalisis tahap kesihatan.

Alhamdulillah ramai pembaca yang menghantar borang kajian untuk di analisis oleh saya. Pada peringkat permulaan, boleh dikatakan hampir kesemuanya dapat saya analisis namun apabila semakin banyak yang menghantar, saya memohon maaf kerana ada yang saya reply dan ada juga saya tidak dapat mereplynya kerana faktor kesibukan. Maklumlah saya ada tugas hakiki yang perlu saya laksanakan.

Kebanyakan pembaca yang menghantar borang kaji selidik adalah mereka yang memang sedar bahawa tahap kesihatan mereka adalah memang menghadapi masalah namun ramai dari mereka kecewa kerana apabila dibuat pemeriksaan doktor, masalahnya masih belum dapat dikenalpasti. Memang begitulah, kebiasaannya doktor hanya dapat mengenalpasti masalah apabila tahap kerosakan pada buah pinggang, jantung dan paru-paru sudah mencapai tahap kronik.

Melalui ilmu yang dipelajari dari arwah guru, saya mengucap syukur alhamdulillah diatas segala limpah rahmatNya dapatlah saya memantau tahap kesihatan diri saya, ahli keluarga serta mereka yang memerlukannya.

Pada hari ini selasa 15 April 2008, seorang pengunjung Laman Emjay yang mengenalkan dirinya hanya sebagai Ms Za iaitu seorang wanita berusia 28 tahun telah menghantar borang kaji selidik melalui email untuk saya analisis dan bantu mana yang termampu. Apa yang ingin saya kongsikan kali ini ialah bahawa sekiranya saudara pembaca Laman Emjay sekelian mengamalkan amalan sebagaimana yang telah diamalkan oleh Ms Za ini, insya-Allah sdr juga bakal menghadapi masalah yang sama.

Berikut adalah amalan seharian serta permakanan seharian Ms Za untuk iktibar pembaca sekelian:

Panduan
4: sangat kerap / favourite / sangat benar
3: kerap/ benar
2: sederhana
1: sekali sekala / sometimes
0: tiada / tidak pernah

1. Jumlah air diminum sehari ( mengikut ukuran botol air mineral 500 ml ): 2 botol
2. Kacang tanah - 2, kacang bergaram -1, mee kuning 1, roti canai -1, mee segera -1, makanan rapu dan namakan (Super Ring, Twisties, Double Decker ) - 4, cokelat-2, air bergas -1, jambu batu -1, jeruk kering(asam boi, buah kana dsb) -1, jeruk basah 1, telur masin -1, ikan masin -1, organ dalaman (hati, hempedal, paru-paru, telur ikan)1, pulut, ubi, keladi, keledek -3, tembikai -1, mangga siam -3, durian rambutan -3(ikut musim), oren sunkist -2, cendawan -1, petai jering -1, teh kedai -1, sunquick(orange squash) -1, limau kasturi -1, buah-buah dalam tin seperti laicee, longan -2, nescafe -1
3. Ais krim cornetto / vanilla / strawberry / cokelat / jagung -3
4. Margarine -1 , soft margarine -1, Buttercup -1, kek -2, krim kek -1, lemak daging (tetel) -2, kulit ayam -1, bontot ayam -1, makanan bergoreng -4, minyak jelantah -2, susu pekat manis -2, krimer -1.
5. Burger -3, Sosej -3, Nuget -3, KFC-3, Mc Donald -3, Pizza -3, kentang goreng -3
6. Tahan kencing -2
7. Mandi malam (selepas matahari terbenam) -4, minum air batu -2
8. Mandi selepas makan -1
9. Peria -1, sawi pahit -1, kailan -1, ulam raja -1, Pegaga -1, pucuk ubi -1, kacang botor -1, kacang panjang -1

Masalah yang dihadapi oleh Ms Za ialah :
  1. kencing kotor, asthma(apabila demam selesema diikuti batuk berkahak,mudah kena asthma,dalam keadaan biasa tiada asthma)
  2. Migrain / sakit kepala: 
    Waktu kena:kiri kanan,sakit biasa,tapi kerap
  3. Bangun tidur: sakit belakang -4, lengoh-lengoh badan -4. Kekerapan -4 kali sebulan/seminggu
  4. Kerap batuk -1, batuk lambat untuk sembuh -1
  5. Kebas/cramp awal pagi: betis, tapak kaki, peha, tangan.
  6. sakit pinggang bila angkat beban berat atau kerja berat -3. Mudah kebas kaki bila duduk -4
  7. bengkak kaki -1.
  8. Mencungap  -4, mudah letih -4.
  9. kulit selalu gatal
  10. Alah kepada kesejukan (kurang minat sejuk) -2, alah kepada panas terik matahari -2
  11. Jari tangan ketar -1
  12. Dada sakit mencucuk -2  (chest pain)
Saya umur XX, belum berkahwin,mempunyai masalah haid(senggugut yg teruk pada hari pertama-ke2, sehingga setiap bulan mesti mengambil ponstan 2-3biji sehari, untuk mengelakkan sakit perut, muntah, sudah menjalani pemeriksaan di hospital, namun apabila di scan tidak ada apa2 tanda ketumbuhan/yg merbahaya. Namun masih sakit sejak sek menengah sehingga sekarang. Jadi, saya mengambil Evening Primrose utk mengurangkan, tapi masih belum nampak perubahan. Saya juga mempunyai masalah jerawat besar2 (bernanah), tak pernah baik, lalu ada pharmaciest cadangkan saya ambil Biolife Anti-FR-selenium utk membersihkan darah dan Milk Tistle, tonik utk hati. Namun masih juga jerawat belum hilang. Pada masa yg sama badan saya kerap gatal, sebelum tidur, puas menggaru sehingga timbul bintik2 dan bercalar, tapi keesokan tiada bekas pada gatal, jika saya makan suplement Biolife tersebut, tiada gatal lagi. Kalau tak makan Biolife tersebut gatal kembali.

Saya juga mengambil Spirulina, kerana sebelum ini pernah mengalami sakit kaki, bengkak bahagian atas tapak kaki, tak tahu punca, namun melalui pemeriksaan darah, urik acid tahap normal. Melalui ujian darah, doktor kata, saya mengalami anemia defenciensi, jadi badan selalu rasa sengal/sakit2 badan.hampir 2-3bulan sakit, akhirnya pulih. Atas saranan rakan2 saya ambil spirulina utk menguatkan badan dan menambah darah. Ini adalah kerana, saya juga mengalami masalah haid yg lambat, kadang2 kitaran nya sehingga 44hari, jadi apabila saya fikir, mungkin saya kurang darah, jadi saya ambil spirulina, jadi kitaran haid saya kembali normal 29-33hari..kalau saya termiss makan spirulina saya akan kembali lewat datang haid. Kelihatan badan saya amat bergantung pada supplemen2 yg saya sebutkan tadi.apa pandangan saudara?

Sekarang ini,saya sudah 3minggu sakit bahagian lutut, terutama belah kiri, kanan sakit sikit2..nak bengkok kaki sakit, sembahyang boleh tahan lagi, masih boleh sujud dan duduk antara 2 sujud boleh lagi, taklah sakit sangat, tapi rasa sengal, berdenyut2 dibagian lutut, dan peha bagian atas lutut.sehingga sakit satu kaki.Tidur pun termimpi2 pasal sakit kaki, kerap terjaga sebab nak beralih sakit lutut. Jadi saya terbaca artikel saudara. Sejak sakit ni, saya kurangkan makan benda yg saudara sebutkan, tapi sebelum ini memang saya boleh kata tiap2 minggu makan McD, keropok kentang, pizza..

Susu baru2 ni saya minum, sbb sakit kaki, takut kurang calcium(itupun yang hi calcium low fat) taktahu pula saya kena ambil yg full cream(berat badan saya mencecah 70,tinggi 158cm). Sejak sakit kaki, saya cuba kurangkan makan Biolife yg saya sebutkan, jerawat ada kurang, mungkin sbb dah kurang mkn McD/piza. Takut buah pinggang tak larat proses ubat-ubatan. Saya kerap sakit belakang, kaki(kalau banyak berjalan), sakit pinggang. Saya teramat jarang buat exercise.dahulu ada, sekarang takda. Saya juga setiap malam kipas mesti pasang, dan mandi malam. Banyak tabiat tak sihat yg saya sedar.Sekali lagi apa pandangan saudara? Terima kasih saya dahulukan.


Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Ms Za di atas, berikut adalah jawapan yang saya berikan kepada Ms Za melalui email saya:

~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum wbh

Melihat data yang sdr berikan, saya mengucap astagfirullah hal aziem!! Banyak sekali sdr perlu bertaubat dari segala dosa yang pernah dilakukan. Mudah-mudahan sdr diberikan rahmat kesihatan oleh Allah SWT.

Berikut adalah analisis saya.

1 Sdr menghidap masalah pada buah pinggang yang agak serius. Pada tahap ini selalunya hospital masih tidak dapat mengenalpastinya dan kebiasaannya hospital hanya dapat mengenalinya apabila tiba tahap kronik

a) Punca masalah sdr ialah kerana

i) Minum air amat sedikit iaitu sekitar 1 L sehari
ii) Kacang tanah -2, kacang bergaram -1, mee segera -1, makanan rapu dan namakan (Super Ring, Twisties, Double Decker ) -4, cokelat -2, pulut, ubi, keladi, keledek -3, mangga siam -3, durian rambutan -3(ikut musim), oren sunkist -2, nescafe -1
iii) Kurang makan sayuran berkhasiat seperti daun ubi, sawi pahit, kailan, peria dan sebagainya.
iv) Gemar menahan air kencing
v) Gemar makan fast food

b) Rawatan mengatasi masalah

i) Perlu minum air dengan jumlah kesemuanya adalah melebihi 2L sehari. Pastikan minum segelas air suam sebelum tidur. Adalah baik bangun sekitar 2- 4 pagi untuk terkencing.
ii) Elakkan minuman bergas dan teh kedai
iii) Perlu kerap kencing dan jangan lagi menahan kencing.
iv) Elakkan kacang tanah, kacang bergaram, mee segera, makanan rapu, cokelat, pulut, ubi, keladi, keledek, mangga siam, oren sunkist dan yang sewaktu dengan nya, nescafe, minuman sunquick dan orange squash atau perasa minuman lainnya, jeruk kering, jeruk basah, durian, tembikai
v) Makanlah apel hijau 2 biji seminggu
vi) Minum teh misai kucing 2 paket sehari selama 4 bulan dan selepas itu makan 1 paket sebulan seterusnya.
vii) Makan kapsul habbatussauda 2 biji sehari selama 2 bulan dan 1 biji sehari selepasnya.
viii) Makan sayuran yang berkhasiat tetapi elakkan bayam, petola, buncis, cendawan, cauliflower, petai dan jering.
ix) Jangan makan kerap dan banyak ubi, kentang, keladi, pulut dan keledek.
x) Elakkan makan ikan berbisa seperti keli dan pari
xi) Kurangkan pengambilan dan kekerapan udang, kerang, sotong dan ketam. Kalau makan udang, setakat 2 ekor sahaja.
xii) Kurangkan pengambilan supplement tetapi spirulina boleh
xiii) Kurangkan kopi

2 Sdr menghadapi masalah dengan jantung sdr. Sama seperti buah pinggang, hospital dan doktor insyaAllah hanya dapat mengenalpastinya apabila tahapnya sudah kronik. Tahap jantung sdr sudah agak serius juga.

a) Punca masalah sdr ialah

i) Ais krim cornetto / vanilla / strawberry / cokelat / jagung_3_
ii) Margarine -1, soft margarine -1, Buttercup -1, kek -2, krim kek -1, lemak daging (tetel) -2, kulit ayam -1, bontot ayam -1, makanan bergoreng 4, minyak jelantah -2, susu pekat manis -2, krimer -1.
iii) Burger -3, Sosej -3, Nuget -3, KFC -3, Mc Donald -3, Pizza -3, kentang goreng -3
iv) Mandi selepas makan.

b) Rawatan
i) Elakkan sama sekali punca masalah seperti di atas
ii) Ambil segenggam kacang hijau, rendam kira-kira 10 minit, rebus sehingga masak tetapi tidak pecah kulitnya. Bukan direbus sehingga lembut seperti buat bubur kacang. Jangan bubuh garam. Selepas masak, buangkan airnya. Makanlah sepanjang hari. Lakukanlah setiap hari selama 2 -3 bulan

3 Paru-paru sdr juga sudah bermasalah.

a) Punca ialah

i) Mandi malam iaitu antara masuk maghrib hingga 5 pagi
ii) Ais krim
iii) Air batu
iv) Tidur bawah kipas yang laju (kelajuan 3)

b) Rawatan

i) Elakkan segala punca yang dinyatakan di atas
ii) Minum susu segar atau susu fullcream
iii) Elakkan merokok


Segala amalan yang saya sebutkan di atas sebenarnya adalah mudah untuk dilakukan sekiranya diizinkan oleh Allah SWT tetapi ramai yang sukar melakukannya kerana Allah SWT tidak mengizinkannya. Bagi memudahkan amalan ini dilakukan, elakkan dari melakukan segala dosa dan kerjakanlah segala perintahNya. Semoga sdr diberikan rahmat oleh Allah SWT.

Dalam situasi sekarang, kalau sdr berkahwin pun banyak mendatangkan masalah kepada suami dan anak-anak dengan situasi kesihatan sdr.

Sekian

emjay
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Jikalau saya melalui lebuh raya dari Skudai, insya-Allah saya akan sampai ke kuala Lumpur, begitulah lazimnya. Jikalau seseorang melalui jalan hidup dan permakanan yang serupa dengan Ms Za, apabila cukup tempuhnya insya-Allah bakal mendapat masalah yang serupa.

Berdasarkan ini jugalah maka arwah guru mengajarkan saya bahawa tidak ada penyakit keturunan iaitu penyakit yang diwariskan daripada ibu bapa kepada anak-anak. Namun apa yang diajarkan sebagai pengganti ilmu ini ialah, sekiranya seorang ibu atau bapa menghidap penyakit seperti diabetes, jikalau anaknya mengamalkan cara hidup dan permakanan yang serupa dengan ibu bapanya, insya-Allah anak ini bakal mendapat penyakit yang serupa iaitu diabetes.

Sekian untuk kali ini semoga pembaca Laman Emjay sekelian diberikan Allah SWT rahmat kesihatan.

Wassalam wallahuaqlam

Emjay


Friday, 4 April 2008

Kalau nak sihat, elakkan makan krimer (non dairy creamer)

Kalau nak sihat, elakkan makan krimer (non dairy creamer)

Assalamualaikum wbh

Beberapa hari lepas saya dikunjungi oleh seorang pelajar lelaki tahun akhir. Sudah beberapa bulan pelajar ini tidak bertemu dengan saya. Pelajar ini mengemukakan beberapa masalah kumpulannya untuk diselesaikan oleh saya sebagai seorang penasihat akademiknya. Alhamdulillah masalah dapat diselesaikan.

Selepas hajat terlaksana, pelajar ini yang saya namakan sebagai Ahmad menukar topik kepada topik kesihatan dirinya. Beliau mengadukan masalah dirinya. Beliau dapat merasakan kemerosotan tahap kesihatan dirinya. Berikut adalah antara tanda-tanda yang dapat dikenalpasati:

  1. Kerap berdebar tidak menentu masa. Kadang-kadang waktu membaca tiba-tiba jantung / dada berdebar dengan laju.
  2. Bila jantung berdebar ini berlaku, ia akan diikuti dengan dahi berpeluh
  3. Beliau juga kerap merasakan kesakitan pada dadanya.
  4. Sering mencungap dan kadang-kadang kala sewaktu sembahyang pun mencungap.
  5. Semakin tidak tahan atau alah dengan panas terik matahari dan jikalau kena panas, badannya akan banyak berpeluh dan tidak selesa.
  6. Jikalau tahun lepas, kekerapan simptom-simptom di atas agak jarang namun kebelakangan ini, kekerapan kejadian semakin kerap sehingga satu kali serangan dalam setiap 2/3 hari.
  7. Tapak tangannya.semakin basah.

Berdasarkan simptom yang saya perolehi saya terus menyoal tabiat permakanannya. Selepas mendapat data yang dikehendaki saya pun memberikan penjelasan “Ahmad, engkau ni walau pun usia masih muda, jantung engkau sudah bermasalah. Punca masalah engkau ini adalah kerana engkau kerap meminum Nescafe 3 in one. Nescafe adalah tidak baik dan merosak buah pinggang manakala krimer yang terdapat di dalam campuran ini sangat merosak jantung. Krimer ini bukan diperbuat dari susu tetapi adalah dibuat dari kelapa sawit (non dairy creamer)”

Selanjutnya saya menasihati Ahmad untuk melakukan perkara berikut untuk merawat jantungnya:
  1. Elakkan dari meminum Nescafe yang merosak buah pinggang dan elakkan sama sekali apa jua jenis krimer yang dibuat dari selain susu (non dairy creamer)
  2. Elakkan dari mengambil coffee mate kerana ia adalah non dairy creamer
  3. Elakkan makan ais krim kerana mengandungi krimer yang tinggi
  4. Elakkan susu pekat manis yang mengandungi krimer dari selain susu.
  5. Elakkan memakan sebarang makanan yang mengandungi margarine
  6. Elakkan memakan burger, naget, kentang goreng, potato chip dan segala yang sewaktu dengannya
  7. Elakkan mandi selepas makan
  8. Amalkan amalan:  Ambil segenggam kacang hijau, rendam dalam air kira-kira 10 minit, selepas itu rebus asal masak dan bukan rebus sehingga pecah tanpa membubuh garam. Selepas itu buang air rebusan dan makanlah kacang hijau ini dan amalkan amalan ini setiap hari.
  9. Boleh beli jintan hitam dan makan setiap hari atau pun belilah yang sudah siap diproses atas nama habbatussauda
  10. Amalkan makan sayuran pahit seperti kailan, peria, pegaga, daun ubi, pucuk betik, ulam-ulam dsbnya.
  11. Kurangkan makan nasi lemak terutama sekali nasi lemak di kedai kerana mereka mencampurkan minyak masak kepada nasi lemak agar nasi lemak ini kelihatan cantik berderai dan tidak melekat.

Kepada yang mulai menghadapi masalah dengan jantungnya atau yang sudah lama bermasalah jantung, bolehlah mengamalkan amalan di atas.

Sekian wassalam wallahuaqlam


Emjay