Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Friday, 6 December 2019

USIA 73 TAHUN, ANGAN-ANGAN MACAM ORANG MUDA, AKHIRNYA KECEWA

Impian memiliki emas berkilo-kilo, bersuamikan suami muda kaya raya

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَوَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Limpahkanlah selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad SAW dan juga keluarganya sebagaimana engkau limpahkan kepada Ibrahim.
Dengan nama Allah yang tidak ada satu pun yang memudaratkan dengan namanya di bumi mahupun di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Insya-Allah kali ini saya bakal memaparkan kisah benar seorang hamba Allah saya namakan Minah (bukan nama sebenar), seorang wanita yang sudah menjangkau 74 tahun sebagai tauladan dan iktibar bagi kita semua. Hayatilah firman Allah S.W.T:
"Maka barang siapa yang beramal (dengan amal yang baik) walaupun sebesar zarah (atom) akan dibalas kebaikan baginya dan barang siapa yang beramal (dengan amal yang jahat) walaupun sebesar zarah (atom) akan dibalas dengan kejahatan." [Al-Zalzalah: 7-8]

Di usia saya hari ini yang melebihi 63 tahun, banyak sekali pengalaman berguna bagi saya sentiasa mengingati akan kebesaran Allah serta janji-janjiNya. Apabila kita membuat kebaikan selari dengan kehendak Islam, sesungguhnya balasan dari Allah adalah lebih hebat dan ini adalah selari dengan hadis berikut;
Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman: Aku selalu mengikuti sangkaan hambaKu, dan Aku selalu menyertai dia di mana ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih senang menerima taubat hambaNya dari seorang yang mendapat kembali barangnya yang hilang. Dan barangsiapa yang mendekat kepadaku sejengkal, aku mendekat kepadanya sehasta. Dan siapa yang mendekat kepadaku sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan bila ia datang kepadaku berjalan, Aku datang kepadanya dengan berjalan cepat (HR. Bukhari dan Muslim)

Apabila kita melakukan sesuatu perbuatan diredhai Allah setakat ukuran sejengkal namun kebaikan atau balasan baik dari Allah adalah sehasta ukurannya. (1 hasta = 2 jengkal). Mahasuci Allah.
Saya sudah mengenali Minah untuk tempuh lebih 30 tahun. Minah sudah berkahwin tetapi tidak dikurniakan Allah anak. Pasangan ini kalau ditanya agama yang dianutinya, pasti jawapannya ialah Islam. Namun suami Minah tidak pernah saya lihat solat Jumaat hatta sekali pun. Sepengetahuan saya, suaminya pun tidak solat solat-solat fardu lainnya. Minah ada juga kelihatan solat fardhu 5 waktu tetapi tak tahulah sama ada  cukup 5 solat sehari.

Suami Minah waktu dahulu waktu bersara dari swasta, dapatlah duit caruman pekerjaannya, jutawanlah dia. Waktu bersara, suami Minah mempunyai kereta buruk tidak seperti isterinya kereta cantik dan baharu. Lepas bersara suami Minah kerap ke Indonesia dan Filipina, orang kata dia mencari wanita untuk dijadikan pasangan di sana. Tidak lama lepas tu kedengaran suami Minah membela wanita simpanan orang Indonesia khabarnya.

Suami Minah ini minatnya ialah minum arak. Begitulah kata orang ramai, tetapi saya tidak pernah melihatnya. Cuma ada kalanya saya dan isteri nampak suami Minah mabuk terbaring depan pintu gate rumahnya. Suami Minah dari kereta buruk akhirnya kehabisan duit, langsung tiada kenderaan. Wanita simpanan pun hilang. Namun tabiat keluar malam untuk sesi minum sentiasa ada sahaja orang menjemput dan menghantarnya balik. Kadang kadang orang Cina sudah berusia menghantar suami Minah balik ke rumah naik motosikal.

Pernah lama suami Minah tidak kelihatan. Minah mengadu kepada saya dan isteri rupanya suaminya duduk serumah dengan seorang wanita tua rakannya. Begitulah kehidupan suami Minah, hidup di dunia tanpa sebarang peraturan, apa sahaja nak dilakukan boleh sahaja.

Beberapa tahun lepas, suami Minah dimasukkan ke hospital, kata Minah suaminya nyanyuk dan hilang ingatan. Minah sebenarnya sudah sangat lama bertahun tahun bersendirian, ada suami macam tidak ada. Namun Minah kelihatan mewah hidupnya tidak seperti suaminya. Beli kereta tunai dan keretanya juga agak mahal. Pasangan ini masih belum naik haji. Bagi suami Minah, mungkin alasannya ialah”aku solat pun tak buat, inikan pula naik haji”. Bagi isterinya pula mungkin menghidapi satu fobia kerana Minah tidak pandai mengaji baik muqaddam apatah lagi Al Quran.

Pada kira-kira pertengahan tahun 2018 lepas, Minah membelanjakan RM30,000 ke RM40,000 dan mungkin lebih untuk membuat renovasi rumahnya. Memang elok sekali renovasi yang dibuatnya. Dengan kos renovasi sedemikian besar, saya menjangkakan baki simpanan wang Minah di bank mungkin masih ada sekitar RM50,000. Maklumlah Minah sudah tua dan tidak bekerja, dia perlu mempunyai simpanan wang untuk menampung keperluan saki baki hidupnya.

Dengan takdir Allah pada kira-kira bulan Oktober atau November 2018, saya ternampak Facebook Minah menceritakan keadaan rumahnya yang cantik setelah sempurna renovasinya. Apabila melihat perilaku Minah menceritakan rumah yang baharu siap di renovasi lengkap dengan pelbagai gambar dan keterangan, saya amat merasa sedih kerana menjangkakan perbuatan riak Minah menceritakan kisah renovasi rumahnya di Facebook hanya akan mendatangkan kerugian dalam bentuk bala musibah dari Allah. Saya merasa sedih adalah kerana berdasarkan hadis yang bermaksud;
Diriwayatkan daripada Jundub al-Alaqiy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang (melakukan satu amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, Allah akan memperlihatkan kecacatannya. (Bukhari & Muslim: 1720)

Pada awal tahun ini agaknya dalam bulan Februari, Minah datang ke rumah berjumpa saya dan isteri. Minah minta nasihat  bagaimana untuk memohon fasakh atau minta cerai dari suaminya. Minah memberi alasan bahawa suaminya sudah sekian lama tidak lagi memberi nafkah, lama menghilangkan diri dan mindanya sudah tidak sihat / nyanyuk. Saya pun menjelaskan sekadar mampu bagaimana prosesnya untuk memohon fasakh di pejabat agama.

Setelah dikorek-korek lagi kisah Minah suami isteri ini sehingga memohon fasakh, alhamdulillah terkeluarlah cerita  bahawa Minah akan berkahwin dengan seorang pemuda Amerika berusia 40an dan bakal migrate atau berpindah negara ke Amerika mengikuti suami baharu ini. Pada waktu ini pun Minah sedang menunggu kiriman barang dari satu negara teluk Arab milik suaminya iaitu emas yang berkilo-kilogram.

Saya tergelak besar mendengar kisah pemuda Amerika usia 40an kaya raya nak mengirim berkilo-kilogram emas dari negara teluk kepada Minah sebagai simpanan dan kemudian kahwin dan seterusnya migrate ke Amerika. Orang putih kata too good to be true!!! Ini macam cerita Cinderella dan mengalahkan cerita dongeng 1001 malam. Saya katakan kepada Minah “Kak Minah sudah kena SCAM ni, bahaya ini!!” Namun Minah menafikan sama sekali bahawa kesemua ini adalah satu SCAM. Saya sekadar mampu menasihati sahaja. Tidak mampu memaksa dan tiada kekuasaan untuk menghalang takdir Allah.

Saya memikirkan diri saya sendiri yang sudah diberikan Allah swt usia 63+, kalau nak kahwin lagi sekalipun, buat apalah nak cari dan kahwin dengan wanita tua berusia pada ketika itu 73 tahun??? Bukankah banyak wanita janda dan anak dara yang masih muda bawah usia 40an sebagai pilihan untuk dijadikan isteri??? Mengapa seorang pemuda kononnya dari Amerika yang kaya raya bersusah payah ingin mencari jodoh nak berkahwin dengan seorang wanita tua 73 tahun nun jauh dari Malaysia???? Pelik memang sungguh pelik dan tidak munasabah dan tidak masuk akal. Begitulah perancangan dan pentadbiran Allah SWT. Tiada sesuatu pun yang dapat melarikan diri dari perancangan pentadbiran Allah swt.

Pada awal tahun ini iaitu 2019 mungkin dalam bulan Mac, isteri saya bertanya kepada seorang kenalannya mengapa kereta cantik Minah sudah lama tidak ada di rumahnya, adakah rosak masuk bengkel atau Minah berjalan makan angin. Satu kejutan besar bagi isteri saya apabila diberitahu bahawa kereta cantik Minah sudah dijual bagi membolehkan dia mendapat wang tunai. Untuk tujuan apa pun kami tak tahu mengapa kereta kesayangannya sampai perlu dijual, mungkin hutang, tak tahulah kami. Isteri lagilah terkejut taufan apabila juga diberitahu bahawa Minah juga berusaha mendapatkan pinjaman dari seorang jirannya berjumlah RM60,000. Mengapa Minah sampai perlu meminjam wang dengan jumlah yang sangat besar? Dengan pendapatan apa Minah akan membayar balik sekiranya diberikan wang RM60,000 tersebut? Minah bukan ada pendapatan tetap atau sebarang sumber kewangan lain!!! Waktu Minah membuat renovasi rumah pada tahun lepas, saya menjangkakan Minah masih ada simpanan wang yang banyak. Mengapa tiba-tiba tidak berduit???

Saya tidak terbayang akan kesusahan yang sebegitu rupa yang dialami oleh Minah. Tahun lepas 2018 usianya 73 tahun, tahun ini sudah masuk 74 tahun. Penyakit Minah pun macam-macam yang menghampiri antaranya sakit gout. Kenderaan sudah tidak ada. Nak ke pasar atau membeli belah sudah tiada kereta cantik miliknya. Isteri saya ada juga kadang-kadang membelikan  makanan untuk minum pagi bagi Minah. Namun apabila isteri saya menemui Minah, beliau seakan-akan tidak mengalu-alukan kehadiran isteri saya. Agaknya mungkin takut isteri saya bertanyakan berbagai soalan seperti;
1.             Emas berkilo-kilo dari negara Arab sebagaimana dijanjikan oleh pemuda Amerika sudah sampaikah?
2.            Bila nak berkahwin dengan jejaka Amerika umur 40an yang kaya raya tu?
3.             Bila nak migrate ke Amerika
4.             Mana kereta cantik kesayangan milik Minah dahulu?
5.            Minah ada sebarang masalah kewangan-kah?
6.            Sudah dapat-kah sijil fasakh dari suami?
7.            Minah sudah kena SCAM kah? Kalau kena SCAM, berapa jumlah yang hangus?

Saya dan isteri menjangkakan bahawa Minah sudah kena SCAM dan duitnya sudah hangus lebur adalah dalam jumlah yang besar. Angan-angan memanglah manis sekali macam angan-angan Mat Jenin. Sebagai wanita berusia 73, kalaulah benar dapat kahwin dengan pemuda kaya raya dari Amerika lalu dibawa migrate ke Amerika, memang satu impian yang manis dan indah. Tidak terkira nikmatnya kalau impian ini menjadi realiti.

Minah bukan tidak ada pendidikan. Namun musibah besar seperti ini bukan sekadar berlaku ke atas Minah sahaja. Seorang wanita yang saya kenali, seorang guru berijazah yang mengajar di sebuah sekolah besar, seorang janda juga pernah kena scam, kalau tak salah saya sampai dua kali. Kali pertama beliau dijanjikan untuk dibawa migrate ke UK bersama 3 orang anaknya. Begitulah kehendak Allah berlaku ke atasnya sebagai musibah.

Seorang lagi yang saya kenali iaitu seorang guru yang juga berijazah yang keseorangan juga kena SCAM. Seorang pensyarah wanita di Pulau Pinang kerugian RM30,400 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran dan pegawai polis boleh dibaca di sini.

Sebanyak 523 kes penipuan ‘scammer’ dilaporkan di negeri Pahang sepanjang Januari hingga November tahun lalu melibatkan kerugian lebih RM8.5 juta. Boleh baca di sini. Mungkin jumlah wang hangus kena tipu oleh SCAMMER di Malaysia sepanjang tahun 2018 melebihi RM100 juta. Besar sungguh jumlah ini.

Siapa yang suka diberikan musibah oleh Allah SWT? Elakkanlah kita semua dari sifat perangai buruk sangka terhadap Allah SWT. Musibah diberikan Allah SWT adalah atas dasar cinta kasih sayang Allah SWT kepada umatNya sebagaimana hadis Jika Allah mencintai suatu kaum maka mereka akan diuji (HR. Ath-Thabrani dalam Mu’jamul Ausath, 3/302. Dishahihkan Al-Albani dalam Shahih Al-Jami’ no. 285)

Pelbagai musibah Allah SWT berikan kepada saya, saya ucapkan syukur alhamdulillah, terima kasih Allah SWT kerana memberikan saya pelbagai musibah dan semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa saya. Bila kita banyak melakukan dosa, ia hanya akan kembali kepada kita sebagai musibah sebagaimana surah An Nisaak:111.
Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Dan seperti yang Allah nyatakan di dalam surah Thaahaa: 124,
Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.

Dan surah Asy Syura: 30 pula;
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Marilah kita semua menjadikan musibah berat bagi Minah ini sebagai iktibar agar musibah yang sama tidak menimpa diri kita. Antara senarai semak yang boleh kita lakukan, saya sertakan sebagai berikut;

            
1.       Keluarkanlah infak. Rujuklah surah Al Baqarah ayat 215 bermaksud “Mereka bertanya tentang apa yang mereka infaqkan. Jawablah: "Apa saja harta yang kamu infaqkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapak, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan. Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya”. Kalau gaji RM5,000 sebulan keluarkanlah infaq minima 2.5% iaitu  RM125 atau lebih sebagai infaq.

             2.       Zakat wang. Kalau simpanan wang paling rendah dalam satu tahun adalah RM20,000, keluarkanlah zakat bernilai 2.5% iaitu sebanyak RM500 saja. Bagi tahun 2019, nilai nisab zakat ialah bersamaan nilai emas sebanyak 85 gm iaitu bernilai 13,968.00 di Kuala Lumpur. Kalau wang simpanan terendah tahun tersebut adalah Cuma RM10,000, tidak wajiblah membayar zakat sebab belum cukup nisab.

             3.       Zakat emas. Kalau jumlah emas dipakai dalam sekitar 200gm bayarlah zakat emas sekitar RM830. Bukan banyak pun. Namun ramai bijak pandai di Malaysia yang berpendapat bahawa sekiranya barang emas tersebut adalah dipakai atau pernah dipakai dalam tempuh setahun, maka tidak perlu dikeluarkan zakat. Mengikut pandangan mereka, sekali pun anda mempunyai emas berjumlah 10 kilo, asalkan dalam setahun tu pernah dipakai hatta sekali sahaja maka tidak perlulah keluarkan zakat emas!!!! Maka kalau mengikut pandangan ini,  tak perlulah kita simpan duit berjuta dalam nilai wang tunai tetapi tukarkanlah kepada emas perhiasan, biarlah menjadi 20 kilo atau 50 kilo, cuma perlu isteri dan anak-anak pakai sekali setahun, maka tak perlulah bayar zakat emas!!!! Buanglah jauh-jauh pendapat ini, keluarkanlah zakat emas perhiasan kalau melebihi 85gm. InsyaAllah Allah swt bakal menjaga emas perhiasan anda walau pun jumlah beratnya berkilo-kilo. 

Pada tahun 1987, saya pernah menasihati seorang guru wanita agar beliau membayar zakat emasnya. Beliau lalu membuat semakan dengan ustaz dan ustazah di sekolahnya tentang zakat emas yang dipakai ini. Ustaz dan ustazah ini mengatakan tidak perlu bayar zakat emas kalau dipakai. Tidak lama selepas itu rantai leher yang agak tebal milik guru wanita ini telah diragut orang. Selepas itu wanita ini kekal membayar zakat emas setiap tahun. Emasnya banyak dan bertambah namun alhamdulillah Allah SWT menjaga dan melindunginya.

            4.       Elakkanlah riak. Riak ada berbagai definisi antaranya
a.       Melakukan sesuatu bertujuan ingin dipuji oleh orang lain
b.      Menunjuk-nunjuk atau menunjukkan kelebihan diri sendiri kepada orang lain untuk mendapat perhatian, sanjungan, kedudukan, dan pujian.
c.       Dll.

“Yang paling aku takuti atas kalian adalah syirik kecil” Para sahabat bertanya, “wahai Rasulullah, apakah syirik kecil itu?” Baginda menjawab, “Riak” (HR Ahmad).
Berhubung dengan kes Minah, kes riak inilah yang saya amat takuti bakal mengundang musibah berat kepadanya apabila Minah menceritakan renovasi rumahnya. Saya melihat pelbagai posting gambar dan penceritaan tentang renovasi rumahnya pada kira-kira Oktober dan November tahun 2018. Dengan takdir Allah, awal tahun ini Facebook Minah senyap sunyi tiada posting. Waspadalah dengan hadis berikut;
“Diriwayatkan daripada Jundub al-Alaqiy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang (melakukan satu amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, Allah akan memperlihatkan kecacatannya” (Bukhari & Muslim: 1720)

 5.       Jadilah orang beriman dan beramal soleh. Lakukanlah apa jua yang diperintah Allah dan jauhilah apa jua yang ditegahNya. Pelajarilah Al Quran. Lancarkanlah bacaannya. Fahamilah maksudnya. Amalkanlah sesuai AL Quran. Pelajarilah hadis, fahamilah maksud hadis. Jadikanlah usia muda untuk mempelajari Al Quran dan hadis. Jangan tunggu tua untuk baru nak belajar Al Quran. Kalau dah masuk usia 73 tahun macam Minah baru nak belajar Al Quran, susahlah. Apatah lagi sekarang ini kereta cantik sudah tiada dan duit pun amat ketat. Suami Minah pula diberikan Allah SWT musibah yang lebih berat. Apa untungnya zina dan arak pada usia muda dahulu? Apa untungnya meninggalkan Islam dengan tidak solat dan amalan wajib lainnya? Tanpa Islam, jadi jutawan pun sekadar 3 tahun, selepas itu kembali papa.

Tidak dinafikan, sebenarnya memang rumit menjadi orang Islam yang benar-benar beriman dan melakukan amal soleh. Menjadi non Muslim mudah, terlepas daripada segala hukum dan larangan. Ini selari dengan hadis sahih daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ، وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Maksudnya: “Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir” riwayat Muslim di dalam Sahih-nya (2956). Orang Islam sentiasa terikat dengan pelbagai hukum dan peraturan. Namun marilah kita bayangkan perjalanan trafik di bandaraya Kuala Lumpur sekiranya tidak ada sebarang peraturan untuk di patuhi!!!

Manusia sebenarnya amat memerlukan peraturan dan segala peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT adalah sebaik-baik peraturan untuk kebaikan manusia itu sendiri baik di dunia dan juga di akhirat, baik di zaman muda dan baik di zaman tua.

Begitulah kehidupan. Realitinya ialah bahawa untuk masuk syurga adalah sulit, perlu bersabar dan istiqamah untuk mematuhi segala hukum peraturan Allah. Fahamilah Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira”. [al-Zumar:10]. Sedarlah bahawa syurga bukan percuma. yang percuma adalah neraka. Tiket ke syurga mahal harganya dan perlu dibeli dengan kesabaran, keimanan dan kepatuhan melaksanakan segala perintah Allah SWT serta menjauhi laranganNya. Sekiranya banyak melakukan dosa, bertaubatlah kerana Umar sahabat Rasulullah SAW pun asalnya adalah pendosa.

Kita tidak tahu bila kita akan dipanggil oleh Allah. Kini usia Minah sudah 74 tahun. Entah bila akan dipanggil Allah. Sekiranya Allah mematikan Minah pada usia 84 tahun maka bermakna 10 tahun lagi dengan keperitan hidup yang entah bagaimanalah Minah bakal melaluinya. Bayangkan seandainya Minah adalah sebagai diri kita, aduhhhh tak terperi azabnya.

Mulakanlah hari ini untuk kita semua rujuk kembali kepada Allah SWT. Kita tidak ada pilihan lain sebenarnya. Sebagaimana Minah dan suaminya, azabnya adalah amat pedih melarikan diri dari Allah. Itu balasan di dunia, diakhirat????

Tidak ada yang percuma dalam dunia. Semuanya perlu diusahakan. Saya ulang kembali ayat al Quran di awal tulisan maksudnya; "Maka barang siapa yang beramal (dengan amal yang baik) walaupun sebesar zarah (atom) akan dibalas kebaikan baginya dan barang siapa yang beramal (dengan amal yang jahat) walaupun sebesar zarah (atom) akan dibalas dengan kejahatan." [Al-Zalzalah: 7-8]

Buat kebaikan dibalas Allah swt dengan kebaikan dan buat kejahatan dibalas Allah swt dengan musibah.

والله أعلم


وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


EMJAY

No comments:

Post a Comment