Perigi Buta |
Assalamualaikum wbth
Sewaktu saya kecil dahulu, saya masih berkesempatan menggunakan air perigi untuk mandi, minum, membasuh pakaian dan sebagainya. Menceduk air perigi dengan timba logam yang agak besar yang diikat pada tali hanya sesuai untuk orang dewasa memang mencabar bagi saya yang bertubuh kecil. Bagi saya yang masih kecil ketika itu, ia adalah pengalaman perit untuk memenuhkan setempayan air untuk mandi. Paras air dalam perigi pula adalah kalanya mencecah 15 kaki dalam.
Selagi sesuatu perigi terus digunakan, airnya akan terus bersih dan terjaga. Perigi yang sudah lama tidak digunakan lama kelamaan akan menjadi perigi buta. Air dalam perigi buta selalunya berwarna kehitaman kerana kesan dari sampah dan bahan buangan lain yang dicampakkan ke dalam perigi ini. Pendek kata perigi buta ini sebagai penjelasan mudahnya ialah sebuah perigi lama yang mengandungi sampah sarap dan sudah lama tidak digunakan dan airnya pula kehitaman. Lumpur pula sudah mula terkumpul di dalam nya. Tiada orang yang sanggup mengunakan air dari mana-mana perigi buta ini sama ada untuk membasuh pakaian apatah lagi kalau untuk diminum.
Apabila kita ingin membersihkan mana-mana perigi buta semoga airnya dapat dimanfaatkan, prosesnya adalah sangat mencabar. Perigi buta pada permulaan waktu hendak dibersihkan, tidak terdapat sebarang bau yang busuk serta keadaan airnya sekadar berwarna kehitaman namun tidak keruh kerana segala kekotoran telah termendak ke dasarnya. Apabila perigi ini mula dibersihkan, antara cabaran yang perlu dihadapi ialah kesanggupan seseorang untuk turun ke dalam dan kesanggupan orang lain untuk membantu di bahagian atas perigi untuk membantu proses pembersihan ini.
Apabila sahaja proses pembersihan dimulakan dengan mula menceduk lumpur serta membuang sampah sarap di dalamnya, inilah pengalaman yang paling mencabar. Kalau sebelumnya tidak ada bau busuk yang keluar, kini pelbagai bau busuk akan mula keluar apatah lagi kalau sebelumnya ada ayam atau kambing yang mati dalam perigi buta ini. Mungkin pada ketika ini , kalau ada ular yang menjadikan perigi buta ini sebagai sarangnya juga akan menjadi marah dan mula menyerang orang yang sedang membersihkan perigi buta ini. Keadaan air pula akan menjadi sangat keruh macam warna kopi susu.
Pendek kata pada peringkat permulaan proses pembersihan perigi buta ini, cabaran yang dialami atau tindak balas yang diberikan oleh perigi buta ini adalah sangat mencabar. Keadaan perigi buta ini akan menjadi jauh lebih kotor, busuk dan banyak perkara negatif lain di awal proses pembersihan ini. Stamina untuk membersihkan perigi ini pula bukan calang-calang. Maklumlah nak membongkok mengisi lumpur dan pelbagai sampah untuk di isi ke dalam timba memerlukan kesabaran gred A. Orang di atas pula perlu bertungkus lumus menarik timba berisi lumpur dan pelbagai sampah keluar dari perigi. Perlu pula orang lain membantu untuk membuang lumpur dan sampah sarap ini ke kawasan khas, kerana sekiranya tidak dilakukan, sampah sarap dan lumpur ini akan masuk semula ke dalam perigi sewaktu hujan.
Perlu ada perancangan rapi, strategi, kerjasama, kesabaran, stamina, masa, tenaga, istiqomah, wang ringgit dan doa yang bersungguh-sungguh untuk membuat projek pembersihan perigi buta. Sekiranya selepas cabaran yang dialami, pasukan pembersihan perigi buta ini berputus asa dan berhenti dipertengahan jalan, maka segala usaha tersebut akan menjadi satu usaha yang sia-sia sahaja.
Sekiranya pasukan pembersihan ini berjaya bertungkus-lumus mungkin selama dua hari penuh dengan tangan yang menggelupas dan mungkin ada yang luka dan sebagainya barulah keadaan mata air sudah semakin kelihatan bersih dan selepas tugas selesai dan dibiarkan beberapa hari barulah insya-Allah air perigi ini akan dapat dimanfaatkan semula.
Begitulah proses membersihkan perigi buta. Cabaran proses pembersihan di awal proses ini adalah sangat memeritkan. Keadaan perigi buta akan menjadi semakin kacau bilau dan semakin kotor dan berlumpur dan berbau busuk dan semua ini menjadikan perigi buta ini lebih negatif berbanding keadaan asalnya sebagai perigi buta di peringkat awal pembersihan. Ini lah satu ilmu mahal yang ingin saya kongsikan untuk para pembaca Laman Emjay kali ini. Ini lah juga yang dimaksudkan dengan dengan peribahasa yang bulat tidak akan datang menggolek, yang pipeh tidak akan datang melayang. Kalau tidak dipecahkan rembia, pastinya tidak akan dapat sagunya.
Perigi buta yang cuba saya kisahkan diatas boleh membawa maksud seseorang yang bermasalah dari segi amalan agama Islamnya seperti orang yang tidak bersembahyang, orang yang suka berbomoh, orang yang bencikan setengah ajaran Islam, merokok, berzina, mendedah aurat, berjudi, rasuah, pornografi, mencuri, ber"make up" seperti memakai lipstick dan pelbagai amalan negatif lain. Orang yang melakukan perbuatan negatif ini boleh diibaratkan sebagai perigi buta yang tidak dapat membawa kebaikan.
Membersihkan perigi buta ini untuk menjadi sebuah perigi yang dapat memberi manfaat, sebenarnya membawa maksud proses bertaubat dari melakukan perkara maksiat tersebut. Diperingkat awal proses taubat ini sebenarnya adalah satu keadaan yang amat krikital kerana masalah ini bukan terus selesai tetapi masalah adalah akan menjadi semakin rumit diperingkat awal proses pemulihan ini. Bagi seorang perokok, berbagai cabaran perlu dihadapi diperingkat awal seperti semakin pening, berpeluh, jadi tidak menentu, keluh kesah dan pelbagai cabaran lain yang perlu dihadapi dipermulaan proses pemulihan ini. Kawan-kawan dari kalangan perokok pula akan terus menerus memujuk supaya perokok ini kembali menjadi perokok semula. Hanya dengan perancangan rapi, strategi, kerjasama, kesabaran, stamina, masa, tenaga, istiqomah dan doa yang bersungguh-sungguh akan insya-Allah membuahkan hasil yang dihajati iaitu berhenti dari merokok.
Begitulah juga dengan seorang perempuan yang memakai lipstick yang ingin bertaubat. Berbagai cabaran perlu di alami. Pelbagai rakan dari kalangan yang berlipstick mungkin akan saling bergilir menasihati agar kembali memakai lipstick. Mungkin ada pula yang memberi komen "Engkau ini muka macam mayat, kenapa tak pakai lipstick". Mungkin ada yang berkata "Hari ini muka engkau jadi 10 tahun lebih tua". Mungkin juga ada yang berkata "muka engkau macam lebam saja" dan mungkin juga yang berkata "engkau ni macam orang sakit nak mati aje!". Begitulah antara cabaran yang perlu dilalui oleh orang yang ingin berhenti dari memakai lipstick.
Begitulah juga seseorang yang tidak pernah membaca Al Quran beserta terjemahan dimana sejak kecil hingga berusia 30 tahun sekadar membunyikan Al Quran sahaja tanpa sebarang usaha untuk memahaminya. Pada permulaan hasrat membaca Al Quran beserta terjemahan, pelbagai mainan diminda akan diolah oleh syaitan. Syaitan akan membisikkan bahawa membaca terjemahan Al Quran sulitlah, mengantuklah, tiada tumpuanlah, susah fahamlah, gangguan anak dan isterilah serta pelbagai cabaran lain yang perlu dilalui diperingkat awal. Segalanya adalah berpunca dari syaitan yang memang tidak redha dengan usaha manusia memperelokkan amalan agama Islamnya. Kalau boleh syaitan akan berusaha agar manusia terus jauh dari jalan lurus yang diajarkan Allah dan NabiNya. Memang itulah matlamatnya agar manusia sama-sama masuk neraka dengan mereka.
Janganlah ada yang memandang bahawa urusan meluruskan jalan kehidupan yang bermatlamatkan Allah dan akhirat itu mudah. Itulah sebabnya syurga itu bukan sesuatu yang mudah dan percuma. Syurga adalah mahal dan untuk memasukinya perlu melalui pelbagai ujian dari Allah sebagaimana surah Al Ankabut: 2-3:
2- Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
3- Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
Al Baqarah:
155- Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
155- Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Perumpamaan orang bermasalah yang saya analogikan sebagai perigi buta seperti di atas sebenarnya juga boleh diibaratkan sebagai satu keluarga, satu jabatan, satu institusi, organisasi hatta satu kerajaan. Kerajaan Turki dibawah kepimpinan sekarang lebih mirip kearah Islam namun perubahan yang mereka lakukan menghadapi cabaran yang amat getir apabila tentera Turki mendesak agar fahaman sekular diteruskan di Turki.
Marilah kita semua memperbaiki amalan kehidupan hidup didunia agar selari dengan kehendak Allah dan rasulNya semoga kita semua dibalas Allah dengan syurgaNya. Namun, hakikatnya ialah kita perlu membersihkan pelbagai perigi buta. Antara perigi buta yang menjadi cabaran kita semua antaranya ialah perigi buta radio, televisyen, aurat wanita, percampuran lelaki dan wanita dan bersubahat redho dengan kemungkaran.
Sekian untuk kali ini wassalam dan wallahua'lam.
Emjay
Satu catatan yg sangat menarik. Terima kasih
ReplyDeleteAlhamdulillah
ReplyDeleteAmat berguna artikel ini , terima kasih ustaz
ReplyDeletesemoga anda diberkati Allah..
Sangat berguna. Alhamdulillah. Sebagai tambahan, teramat molek lagi jika amalan membaca al-Quran beserta tafsir ini dipelajari dengan kuliah2 tafsir di masjid2 atau di mana sahaja agar pemahaman lebih kemas lagi. Kadang kala orang awam macam saya tidak mampu memahami atau menghuraikan ayat dari tafsir Al-Quran. Oleh itu guru agama boleh dijadikan tempat penyelesaian.
ReplyDeleteJazakallah khairan kathiro
ReplyDelete