Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang
Assalamualaikum wbh sekelian pembaca Laman Emjay
Alhamdulillah dan terima kasih kepada hamba Allah yang telah bersama-sama membantu menyediakan artikel ini. Semoga Allah sahaja yang membalasnya.
Pada 29 Mei 2007 alhamdulillah saya telah menerbitkan artikel bertajuk
Penjelasan berkenaan Selawat Syifak dan Selawat Tafrijiah. Saya dan hamba Allah lain telah menerbitkan artikel ini bukan atas dasar dengki khianat kepada mana-mana individu. Ia telah ditulis secara ilmiah adalah semata-mata untuk menjadi nasihat dan pedoman semoga sekelian kita berjalan dan beramal dengan amalan yang diredhai Allah yang boleh membawa kita semua ke syurga Allah.
Ekoran ini laman emjay telah mendapat reply dari
mcbatistuta dan semalam saya telah mendapat email rasmi dari webmaster
********
Alhamdulillah dengan rahmatNya, berikut adalah penjelasan lanjut persoalan yang berkaitan Selawat Syifak dan Selawat Tafrijiah.
SEJARAH SELAWAT
1. Allah dan malaikat berselawat ke atas Nabi SAW berdasarkan keterangan dari Al Quran surah Al Ahzab:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا
56. Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi Segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang Yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta Ucapkanlah salam sejahtera Dengan penghormatan Yang sepenuhnya.
2. Adakah Islam memerintahkan umatnya untuk berselawat ke atas Nabi SAW?
Dari keterangan ayat Al Quran di atas, Allah SWT menyuruh / memerintahkan kita semua untuk berselawat ke atas Nabi SAW. Melalui ayat perintah ini, adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk berselawat ke atas Nabi SAW.
3. Apakah waktu yang sesuai untuk berselawat ke atas Nabi SAW?
Islam telah mengajarkan waktu untuk berselawat ke atas Nabi SAW dan antaranya ialah apabila:
a. Bila disebut nama Nabi Muhamad SAW, hendaklah kita berselawat.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. bahawa Nabi saw bersabda :
رغِم أنفُ رجلٍ ذُكرتُ عنده فلم يصلِّ عليَّ
“Semoga digosokan hidungnya dengan debu bagi lelaki yang di peringatkan aku disisinya akan tetapi tidak berselawat diatas ku”
[hadith Riwayat al-Tirmudzi #3545, dikelaskan sebagai sahih oleh al-albani didalam Irwa’ al-Ghaleel, #6].
b. Hendaklah kita berselawat ke atas Nabi SAW di dalam solat iaitu ketika tasyahud awal dan akhir
c. Hendaklah berselawat ketika hendak berdoa kepada Allah.
4. Apakah yang akan kita perolehi apabila kita berselawat ke atas Nabi SAW?
Ganjaran pahala berselawat ke atas Nabi saw sangat besar. Dari Abu Hurairah ra. bahawa Nabi bersabda :-
من صلى عليَّ واحدة صلى الله عليه بها عشراً
“Barangsiapa yang berselawat keatas aku 1 kali, Allah akan berselawat keatasnya 10 kali” [hadith sahih riwayat Muslim].
5. Apakah maknanya atau kupasan “Allah berselawat ke atas orang yang berselawat ke atas Nabi saw”??
Mengikut ayat Al Quran dari surah Al Ahzab: 43 mafhumnya
43. Dia lah Yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan kamu dari kegelapan (kufur dan maksiat) kepada cahaya Yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah ia sentiasa melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang Yang beriman (di dunia dan di Akhirat).
Berdasarkan ayat ini, dijelaskan bahawa selawat Allah kepada manusia yang berselawat ke atas Nabi SAW adalah membawa erti mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang.
6. Maksud kegelapan dan adakah penyembuh (syifak) dan tafrijiyah (membuka ikatan) termasuk dalam maksud selawat Allah ke atas manusia?
Jawapan kepada persoalan ini dapat dilihat dari lafaz Adzzulumat yang terdapat di dalam Al Quran seperti berikut :
Al Baqarah:257 Mafhumnya
257. Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang Yang beriman. ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). dan orang-orang Yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut Yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Al Maidah:16 Mafhumnya
16. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa Yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) Yang terang-benderang, Dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan Yang lurus.
Al An’am:1 Mafhumnya
1. Segala puji tertentu bagi Allah Yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; Dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu Yang lain) Dengan Tuhan mereka.
Al An’am: 39 Mafhumnya
39. dan orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka adalah bisu dan tuli, di Dalam gelap-gelita. sesiapa Yang Allah kehendaki: akan disesatkannya (menurut peraturan tetapNya), dan sesiapa Yang ia kehendaki: akan dijadikannya atas jalan Yang betul lurus.
Al An’am:122
122. dan Adakah orang Yang mati (hatinya Dengan kufur), kemudian Kami hidupkan Dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) Yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara Yang benar Dengan Yang salah, dan dapatlah) ia berjalan Dengan suluhan cahaya itu Dalam masyarakat manusia, (adakah orang Yang demikian keadaannya) sama seperti Yang tinggal tetap di Dalam gelap-gelita (kufur), Yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang Yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang Yang kafir itu akan keelokan apa Yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan Segala jenis maksiat).
Ar Raad: 16
16. Bertanyalah (Wahai Muhammad): "Siapakah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi?" Jawablah: "Allah". Bertanyalah lagi: "Kalau demikian, Patutkah kamu menjadikan benda-benda Yang lain dari Allah sebagai Pelindung dan Penolong, Yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri, dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya?" Bertanyalah lagi: "Adakah sama, orang Yang buta Dengan orang Yang celik? atau Adakah sama, gelap-gelita Dengan terang? atau Adakah makhluk-makhluk Yang mereka jadikan sekutu bagi Allah itu telah mencipta sesuatu seperti ciptaanNya, sehingga ciptaan-ciptaan itu menjadi kesamaran kepada mereka?" katakanlah: "Allah jualah Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa".
Dan banyak lagi diterangkan maksud adzzulumat di dalam ayat Al Quran lainya seperti Ibrahim:1, 5, Al Anbia:87, Al Ahzab:43, Fathir:20, Al Hadid: 9 dan At Thalak:11
Menurut kitab tafsir Al Jalalain, adzzulumat adalah bermaksud kekufuran manakala menurut tafsir Ibnu Kathsir, ia membawa maksud kejahilan dan kesesatan.
Jelaslah disini bahawa mengikut potongan-potongan ayat di atas serta tafsir ulama yang muktabar, selawat Allah ke atas manusia adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kufur, jahil atau sesat. Tidak ada kaitan langsung dengan penyembuhan (syifa’) dan membuka ikatan (tafrijiah).
7. Apakah maksud atau erti kepada “malaikat berselawat ke atas manusia” sebagaimana dijelaskan Allah dalam surah al-Ahzab : 56 di atas?
Mengikut tafsir ulama di atas, malaikat berselawat ke atas manusia yang berselawat ke atas Nabi SAW. Mereka berdoa kepada Allah untuk orang-orang yang beriman dan beristighfar kepada Allah untuk mereka ini sebagaimana firman Allah dalam surah Ghafir/Mukmin:7.
7. Malaikat Yang memikul Arasy dan malaikat Yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhannya; dan beriman kepadanya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang Yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! rahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang Yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.
Jelas dalam ayat di atas bahawa doa malaikat untuk manusia kepada Allah ini tiada kaitan langsung dengan penyembuhan (syifa’) dan membuka ikatan (tafrijiyah).
8. Apakah lafaz selawat yang diajarkan islam untuk umatnya mengamalkannya??
Persoalan ini adalah jelas bahawa berdasarkan hadis-hadis, Nabi Muhamad SAW telah mengajarkan kepada umatnya bagaimana untuk berselawat.
215 - Diriwayatkan daripada Abu Humaid As-Saidi r.a katanya: Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk kami ucapkan selawat untukmu? Baginda bersabda: Bacalah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Riwayat Ahmad (hadis no. 18129,18130,18152), Bukhari (hadis no. 3190,4519,5996), Muslim ( hadis no. 406 (66)), Abu Daud (hadis no. 976),Tirmizi (hadis no. 483), Nasaie (hadis no.1287,1288,1289), Darimi (hadis no.1342),Ibn Hibban dlm sahih (hadis no. 912,1957,1964), Syafie dlm Musnad (hadis no. 172), al-Hakim dlm Mustadrak (hadis no. 4710), al-Humaidi dlm Musnad (hadis no.711), Thahawi dlm Mskl Athar (hadis no.1860) dan lain-lain, semuanya dari jalan kaab bin Uzraht dgn lafaz yg sedikit berbeza.
اللهم صل على محمد وعلى آل محمد كما صليت على إبراهيم وآل إبراهيم إنك حميد مجيد وبارك على محمد وعلى آل محمد كما باركت على إبراهيم وآل إبراهيم إنك حميد مجيد
اللهم صل على محمد وعلى آل محمد كما صليت على آل إبراهيم وبارك على محمد وعلى آل محمد كما باركت على آل إبراهيم في العالمين إنك حميد مجيد
Hadis dgn matan diatas (fil alamin) diriwayatkan dari Abi Masud al-Ansari, dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (hadis no. 22406), Muslim (hadis no. 405 (65)), Malik dlm Muwattho’ (hadis no. 292), Tirmizi (hadis no. 3220), Nasaie (hadis no. 1285), Darimi (hadis no. 1343), Ibn Hibban (hadis no. 1958,1965), Tabarani dlm Mu’jam Kabir (hadis no. 697,725), Abd Razak dlm Musannaf (hadis no. 3108), al-Baihaqi dlm Syuab al-Iman (hadis no. 1547) dan Sunan Kubra (hadis no. 2671,1208,9876,11423) dan lain-lain.
Walau pun hadis-hadis yang diajarkan Nabi sebagaimana dalam hadis-hadis ini terdapat sedikit perbezaan lafaz, sebenarnya dari segi maksud dan makna adalah sama. Kesemuanya mendoakan ke atas Nabi Muhamad SAW, Nabi Ibrahim serta keluarga mereka.
9. Berapa kerap kita disuruh untuk berselawat ke atas Nabi Muhamad SAW?
Berdasarkan sebuah hadis yang sahih mafhumnya: Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah saw “Berapa kali saya perlu berselawat ke atas mu wahai rasulullah SAW?”. Maka Nabi SAW menjawab “suku daripada zikir mu”. Sahabat menjawab lagi “Aku boleh lebih daripada itu ya Rasulullah”. Nabi menjawab “Separuh dari zikir mu”. Sahabat menjawab lagi “Aku boleh lebih dari itu Ya Rasulullah” sehingga Nabi SAW berkata “Jadikanlah zikir mu berselawat ke atas ku. Jikalau kamu berbuat demikian, maka Allah akan memberi kecukupan kepada kamu dan Allah akan memberikan seperti apa saja yang diminta oleh orang-orang lain”.
Rumusan
1. Wajib berselawat ke atas Nabi Muhamad SAW.
2. Allah dan malaikat akan berselawat ke atas kita apabila kita berselawat ke atas Nabi SAW. 1 kali berselawat di balas dengan 10 kali selawat oleh Allah dan malaikat. Inilah satu pelaburan yang sangat menguntungkan.
3. Selawat Allah ke atas kita adalah untuk mengeluarkan kita dari kekufuran atau kejahilan atau kesesatan kepada cahaya keimanan.
4. Berselawat ke atas Nabi bakal mengundang selawat dari Allah dan malaikat yang bakal mengundang pula pelbagai rahmat dari Allah SWT dan bukan dari Nabi Muhamad SAW. Ini adalah asas ilmu tauhid dan bertepatan dengan keterangan dari Al Quran surah An Nisaak:79 mafhumnya
79. apa jua kebaikan (Nikmat kesenangan) Yang Engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana Yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. dan Kami telah mengutus Engkau (Wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).
5. Lafaz selawat telah diajarkan jelas oleh Nabi SAW dan dengan itu janganlah menciptakan selawat yang baru kerana perbuatan ini adalah seperti tidak menghargai ajaran Rasulullah SAW atau pun seolah-olah menyatakan bahawa Nabi SAW telah tidak menyampaikan ajaran Islam dengan sempurna sebagaimana telah dijawab oleh imam Maliki ketika manusia hendak menambah amalan berzikir yang tidak diajar Rasulullah SAW. Dalam bahasa kasar berhubung beramal dengan selawat-selawat ciptaan baru ini ialah seolah-olah orang yang menambah dan menciptakan selawat baru ini serta mereka yang beramal dengannya lebih hebat dan pandai berbanding Nabi Muhamad SAW dan Allah SWT. Nauzubillahiminzalik!
Sehingga kini telah terdapat begitu banyak selawat-selawat yang bertentangan dengan apa yang diajarkan Nabi SAW seperti selawat Syifa’, selawat Tafrijiah, Selawat Fateh dll.
6. Perlu memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW seberapa yang mampu sehingga selawat ini diamalkan sepanjang masa bukan sekadar 3 kali, 7 kali dsbnya.
7. Jikalau seseorang hamba berselawat ke atas Nabi SAW dengan lafaz yang diajarkan (bukan selawat ciptaan baru) serta beriktikad bahawa balasan selawat itu datangnya dari Allah dan bukannya daripada Nabi dan memperbanyakkan lafaz selawat itu sehingga menjadikannya zikir sepanjang masa, maka insya-Allah seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah saw sebagaimana hadis di atas, akan Allah berikan kepadanya KECUKUPAN dan segala rahmat Allah seperti yang diminta oleh orang-orang lain.
Berikut ini ada saya selitkan video ucapan Dr Mohd Asri Zainalabidin tentang selawat syifa ini:
Sekian untuk kali ini. Wassalam wallahualam.
Emjay