Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Friday 2 March 2007

Hidup sesat, mati disusahkan dan dimalukan Allah


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.


Pada Jumaat 23 Feb lalu saya menghadiri mesyuarat strategik Fakulti di A Famosa Resort Melaka yang berlangsung hingga Ahad 25 Feb. Ketika sedang bermesyuarat pada petang Jumaat tersebut, tiba-tiba telefon saya berbunyi “Emjay, ini X bercakap. Boleh minta tolong tak”.

“Insya-Allah kalau mampu” saya menjawab.

“Ni ha, nenek saya tu sakit teruk, dah bawa ke hospital, doktor dah suruh bawa balik dah tiada harapan. Sekarang ini orang kampung sampai dah buka atap, engkau fahamlah, tetapi nenek saya macam itu juga macam orang koma. Engkau datanglah tolong.” Rayu X kepada saya. Memang menjadi kebiasaan orang membuka atap dengan harapan orang yang sakit tersebut mudah untuk meninggal dunia.

“Saya sekarang berada di Melaka, mesyuarat, nanti petang Ahad 25 Feb engkau ambil saya dirumah”. Jelas saya.

Pada hari ahad, bas membawa kami pulang dari A Famosa bertolak kira-kira pukul 1.30 ptg. Pukul 5.15 ptg bas kami sampai ke UTM. Saya bergegas mengambil kereta saya, menghantarkan rakan sekerja ke Pulai Indah dan terus ke rumah. Saya menelefon X untuk menunggu di rumah untuk menjemput saya pada pukul 5.45 ptg. Setelah bergegas mandi dan mengambil wudhu, saya pun menaiki kereta X menuju ke rumah makcik X dimana nenek X sedang terlantar.

Sepanjang perjalanan X menceritakan berbagai cerita berkenaan neneknya. Kira-kira 6.20 ptg, kami sampai dan terus ke rumah makcik X. Rumah makcik X ini bersebelahan dengan rumah ayah X. Saya terus memberi salam dan minta izin masuk ke rumah. Ditengah ruang tamu nenek X sedang terlantar tidak sedarkan diri di atas katil bujang. Matanya bulat terjegil tidak berkedip. Badannya sangat kurus tinggal kulit dengan tulang sahaja. Wajahnya mengerikan dan beliau bernafas melalui mulut. Saya cuba menegurnya tetapi langsung tiada respons.

Saya mengumpulkan waris terdekat iaitu makcik X bersama suaminya serta beberapa orang lain untuk bertanya soalan-soalan berkaitan nenek ini.

Saya memulakan sesi perbincangan dengan menjelaskan bahawa saya adalah insan yang lemah dengan sedikit ilmu yang Allah berikan sekadar ingin mengongsikan ilmu.

Seterusnya saya memulakan soalan “sepanjang hidup nenek ini pernah nampak barang yang sangat nenek ini sayangi?”.

Makcik X menjawab “saya adalah anak yang paling rapat sewaktu hidupnya. Sepanjang pengetahuan saya tidak nampak sebarang objek yang disayangi nenek ini”

Saya menambah lagi “Ada kah pernah nampak barang seperti keris, pedang, kain kuning, bungkusan, kayu, besi, kertas dan sebagainya yang menjadi milik nenek?”

“Sepanjang yang saya tahu memang saya tidak pernah nampak” jawab makcik X

Saya nampak keadaan menjadi agak rumit kerana masih belum berjumpa barang yang saya jangkakan bakal dijumpai. Saya berzikir dalam hati dan terus berdoa juga dalam hati semoga urusan kali ini dimudahkan Allah.

Saya datang ke rumah ini dengan hasrat untuk membantu sekadar mampu. Jika mengikutkan pengalaman lalu, jikalau ditemui sebarang objek seperti tangkal, azimat, senjata dan sebagainya, insya-Allah selepas diambil, orang yang sakit akan meninggalkan dunia dalam tempuh 40 hari. Kalau jumpa insya-Allah urusan menjadi mudah tetapi macam mana kalau tidak jumpa? Bagi kes tidak jumpa sebarang objek, saya belum ada pengalaman untuk menanganinya..

Saya menyambung soalan “sewaktu nenek ini berjalan walaupun usia dah lebih 80 tahun, adakah dia berjalan dengan kuat dan gagah, macam berjalannya orang lelaki?”.

Makcik X menjawab “memang dia gagah berjalan dan macam orang lelaki berjalan”. Saya mula mendapat jawapan yang positif.

“Boleh tak ceritakan pengalaman-pengalaman yang pelik sewaktu nenek ini hidup?” saya menyambung soalan.

“Kebelakangan ini sebelum nenek sakit, bila dia makan, dia akan makan separuh sahaja dan separuh yang lain akan disimpan untuk dimakan “anak-anaknya”. Kadang-kadang nenek mencari-cari anaknya ini ke sana dan kesini”. Makcik X menjawab dan menjelaskan lagi maksud anak yang nenek maksudkan adalah anak yang hanya kelihatan kepada nenek dan tidak pernah kelihatan kepada mereka semua. Jawapan semakin positif. Kadang-kadang pelbagai bungkusan makanan yang sudah lama tersimpan disegenap pelusuk rumah ditemui oleh makcik yang kononnya disimpan untuk ”anak-anak nenek”.

Kini maklumat sudah sah bahawa nenek ini seperti ada memakai khadam namun masalah saya ialah barang tidak ditemui. Bagaimana hendak diuruskan!!. Saya tidak ingin meninggalkan nenek ini dalam keadaan sedemikian kerana ini kelak akan memberikan peluang lebih ramai bomoh sesat dipanggil bukan untuk menyelesaikan tetapi untuk menambah masalah dan menambah dosa waris-waris.

Saya memulakan jampi yang pernah diajarkan oleh arwah guru. Saya memulakan dengan bacaan taawuz, basmallah dan Al Fatihah. Seterusnya saya menyambung dengan bacaan Surah Al Baqarah sehingga kira-kira dua muka surat. Saya sambung lagi dengan Ayatul Kursi dan tiga surah terakhir dari Al Baqarah. Selepas itu saya melakukan bacaan beberapa ayat Al Quran yang menceritakan sihir sewaktu zaman Nabi Musa. Saya ulang ayat ini banyak kali juga. Menjelang maghrib saya mengarahkan hadirin yang hadir untuk mula mengambil air sembahyang dan seterusnya berjemaah dengan saya.

Bila masuk waktu maghrib, saya azan dengan lantang sekali, alhamdulillah. Saya merasakan sesuatu yang amat pelik seolah-olah rumah ini bergoncang kuat sewaktu saya azan. Saya teruskan azan tersebut. Orang ramai mula menyusun sejadah. Setelah siap, saya mengarahkan salah seorang untuk iqamah. Saya pun mengimamkan solat maghrib berjemaah. Saya membaca sekali lagi 3 ayat terakhir dari surah Al Baqarah dalam solat saya tersebut.

Saya berdoa agar Allah SWT memudahkan urusan saya. Setelah selesai berdoa, saya menyambung bacaan ayat-ayat Al Quran berkaitan sihir. Saya sudahi bacaan Quran saya dengan bacaan dari 4 ayat KUL... Saya akhiri dengan doa saya kepada Allah.

Setelah selesai, saya merasakan begitu lega sekali perasaan saya. Selepas ini saya bertawakkal hanya kepada Mu Ya Allah.

Sesudah selesai urusan awal ini saya menyuruh Mr X mengumpul duit daripada waris-waris nenek yang hadir seberapa ikhlas dari setiap seorang. Saya menjangkakan mungkin lebih dari RM40 terkumpul dan duit tersebut saya suruh Mr X bersama beberapa orang lain menghantarkan kepada satu keluarga yang mempunyai beberapa anak yatim yang berusia bawah dari 13 tahun.

Sekembalinya Mr X dari menghantar wang tersebut, saya pun minta diri untuk kembali. Kalau tidak silap ketika itu jam menunjukkan sudah lebih dari pukul 8.30 malam. Tuan rumah menghulur sampul duit raya berwarna hijau kepada saya tetapi saya menolaknya dengan alasan bahawa bahagian wang upah saya telah pun diminta iaitu wang yang diserahkan kepada keluarga anak yatim di atas.

Mr X menghantar saya kembali ke rumah. Terasa begitu letih sekali. Saya solat isyak dan makan malam bersama keluarga. Sewaktu masih sedang menghadap rezeki, telefon saya berbunyi. Dihujung talian “Haji anak saya menangis dari menjelang maghrib sampai sekarang tidak berhenti” seorang ibu berkata kepada saya dengan nada menangis.

Saya menjawab “datanglah ke rumah bawa budak tu”.

“Haji, boleh tak haji datang ke rumah sebab rumah sekarang sedang habis kecoh” rayu si ibu.

Pada kira-kira pukul 9.30 malam, telefon saya berbunyi lagi. “Haji, alhamdulillah nenek saya sudah meninggal” Mr X memberitahu saya dengan nada amat gembira.

Saya menyahut “alhamdulillah, uruskanlah pengkebumian nenek engkau tu. Saya tidak dapat hadir kerana terlalu letih. Selepas meletakkan telefon saya segera melakukan sujud syukur diatas rahmatNya kepada kami semua termasuk Mr X, arwah dan waris-warisnya.

Begitulah antara diari kehidupan saya. Di atas setiap segala ilmu yang begitu sedikit Allah berikan kepada saya kelak akan ditanya Allah “apa yang kamu buat Muslim dengan ilmu yang AKU berikan kepada mu?”. Mudah-mudahan saya dapat menjawab “Ya Allah mudah-mudahan Engkau redha usaha yang saya buat selama ini dan ilmu yang telah saya panjangkan tersebut”.

Allah menyusahkan orang tertentu di saat kematian sebagai iktibar untuk dipelajari oleh orang yang hidup bahawa ingatlah bahawa kita akan mati menghadap Allah satu ketika kelak. Seandainya kita mengamalkan pelbagai ilmu sesat seperti memakai susuk, membela khadam dan sebagainya ia adalah perbuatan syirik dan menjerumuskan pelakunya ke neraka dan waktu mati kelak akan dimalukan oleh Allah.


Sekian untuk kali ini.


Wassalam wallahua'lam


Emjay

5 comments:

  1. Assalamualaikum....

    kalau kita tahu seseorang tu ada khdam/qarin/apa saja yg tak terlihat dimata kasar, cemana cara nak suruh orang tu buang semua benda tu?....
    Apa langkah yang perlu dilakukan?

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam wbh

    Cara untuk membantu seseorang membuang khadamnya ialah dengan mengajarkan ilmu agama. Kalau orang ini tidak mahu membaiki agamanya, mustahil dia ini untuk membuang pelbagai khadam.

    Apabila berdakwah kepada orang ini, janganlah tetapkan objektif yang terlalu tinggi kerana ingatlah bahawa Nabi Muhamad sendiri tidak berjaya mengubah pakcik kesayangannya iaitu Abu Talib.

    Sekian wassalam wallahuaqlam

    Emjay

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum....
    Saya nak tanya sikit, cerita ni saya baru dengar dari ibu saya di kampung, ceritanya tentang orang di kg saya yang boleh jugaklah dikatakan agak warak le jugak. Mulanya saya kurang percaya dengan cerita ibu saya sebab ingatkan saya salah dengar ke nama org tu tapi memng dia. Anak perempuannya ingin berkahwin dengan seorang lelaki tapi parents tak setuju. ( Tak sure atas reason apa). Kemudian, mereka berjumpa bomoh dan mengambil "pembenci" ( ye la kot nama nye macam ni). Dengan harapan diorang tak jadik kawen. Tapi kuasa ALLAH, diorang kawin jugak. Tapi, ALLAH mungkin nak duga, masa anak dia dah ada 2 anak, and dia pun dah suka dengan menantu dia tu, tiba2, anak dia bencikan suami dia..pandang muke pun dah tak boleh. Dengar kata ilmu yang dia buat kat anak dia tu baru nak menjadik. Tak tahulah plak kan. So, sekarang ni diorang dah bercerai, anak dia berkawin pulak dengan somebody dan mak dia sendiri mengakui bahawa anak dia telah pun berkahwin dengan suami orang. Dalam hal macam ni kan, parents dia of course lah kena mintak ampun pada ALLAH kan, tapi mesti tak diorang minta ampun pada anak sendiri? Saya rasa macam kesal lah dengan benda2 mcm ni sebab anak dia tu kawan saya. Anak dia tu entah kat mana sekarang ni sebab marah ngan parents dia bila dapat tahu. Saya tak naklah komen pasal akidah dia sebab orang kuat agama pun boleh percaya benda syirik cuma saya marah sebab dia sanggup buat pada anak sendiri.Darah daging sendiri. Sekian, wassalam...( Just nak share)

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam wbh

    Kat Malaysia ini ramai sangat orang yang kelihatan warak tetapi sebenarnya sesat dan menyesatkan. Kalau saya senaraikan di sini mungkin ada yang marah dengan saya.

    Memadai saya nak cerita tentang seorang kiyai dan anaknya seorang mufti. Kiyai ini mengajarkan orang yang bermadu agar isteri-isterinya berbaik sesama mereka sebagaimana berikut: "Ambil rambut isteri pertama pakai gunting waktu isteri tidur, ambik juga rambut isteri kedua dan ambik juga rambut sendiri, gabungkan dan ikat bersama. Simpanlah dan insya-Allah isteri-isteri akan baik".

    Resepi yang di ajarkan oleh tok kiyai ini adalah resepi untuk membuat tangkal. Menyimpan rambut sebegini adalah syirik tetapi inilah yang diajarkan oleh tok kiyai ini. Subhanallah.

    Zaman sekarang jangan mudah percaya kepada alim ulamak (bukan semua). Setengah alim ulamaklah yang mengajarkan tarekat, mengajarkan ilmu bukan-bukan dan setengahnya mengajar untuk menjadi bomoh.

    Sekian wassalam wallahuaqlam

    Emjay

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum, saya agak keliru kenapa boleh pakai kelapa muda tapi garam tidak boleh? tq.

    ReplyDelete