Gambar 1: Kitab sesat Mujarobat
MENGAPA KITAB MUJARROBAT SESAT DAN MENGAMALKANNYA JUGA SESAT??
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani.
Semoga dipermudahkan Allah saya menulisnya dan dipermudahkan juga orang yang membacanya untuk memahami dan mengamalkannya.
Tulisan ini adalah sambungan dari bahagian pertama tulisan saya iaitu
PENJELASAN MUJARROBAT SESAT & MENGAMALKANNYA JUGA SESAT?? . Tulisan insyaAllah menjadi pelengkap atau pun penutup bagi persoalan yang dibangkitkan tentang kitab sesat Mujarrobat. Silalah membaca terlebih dahulu tulisan ini.
Konsep rubububiah Allah ini ada saya perjelaskan lagi dalam artikel saya iaitu INGAT ALLAH DAPAT RAHMAT, INGAT AYAT KURSI AZAB BERTAMBAH. Bagi mereka yang masih belum membacanya, silalah luangkan masa untuk membacanya kerana artikel ini amat penting bagi kita semua membincangkan topik mujarrobat ini.
Sekali lagi saya tegaskan di sini, secara mudah, konsep rububiah Allah ini boleh dijelaskan sebagai “Allah sahaja yang berkuasa dalam mencipta dan mentadbir alam semesta ini”.
Berdasarkan konsep rububiah Allah ini, setiap sesuatu selain Allah SWT tidak mempunyai kekuatan atau kuasa!. Maksudnya:
Manusia, makanan, ubat, ayat Al-Quran dan segala sesuatu selain Allah SWT tidak mempunyai kuasa dan sebarang daya kekuatan.
Pengertian ini adalah selari dengan ucapan hauqalah
لاَ هَوْلَ وَلاَ قُوَّتَ اِلاَّبِاللّهِ
(Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata)
Melalui kefahaman yang lurus berdasarkan ilmu rububiah Allah, angin yang kuat mencabut pokok adalah kerana kuasa yang diberikan Allah, ubat tidak ada kuasa menyembuh penyakit kerana kesembuhan adalah sebenarnya milik Allah. Manusia boleh sembuh tanpa ubat atau pun orang sakit yang sudah banyak berubat tidak akan sembuh sekiranya tidak diberikan rahmat sembuh dari Allah.
Sekiranya kita beranggapan penyakit sembuh kerana makan ubat, ia adalah satu tanggapan yang salah dan membawa kesan besar iaitu kerosakan akidah. Sepatutnya, apabila seseorang sakit, Allah perintah agar manusia berusaha mencari ubatnya dan selepas memakan ubat ini bertawakkallah kepada Allah kerana Allah sahaja yang layak memberikan kesembuhan bukannya ubat. Apabila sembuh jangan pula puji ubat tetapi pujilah Allah SWT yang menurunkan ubat dan memberikan kesembuhan.
Begitulah juga Allah perintah bila lapar, makanlah dari rezeki yang halal lagi baik yang dikurniakan Allah. Selepas makan bertawakkallah kepada Allah kerana hanya Allah yang akan memberikan rahmat kenyang, sihat dan sebagainya.
Begitulah, segala makhluk / sesuatu termasuk manusia, makanan, minuman, ubat, elektrik, Al-Quran dan enjin kereta tidak ada sebarang kekuatan atau kuasa sekiranya tidak diberikan oleh Allah.
Sekiranya kita beranggapan Al-Quran mempunyai kekuatannya sendiri dan mampu menghalau syaitan dan jin, maka ini adalah satu kerosakan akidah kerana Allah sesungguhnya tidak mempunyai sekutu atau rakan untuk mentadbir alam ini. Allah juga tidak memerlukan Al-Quran sama ada dalam bentuk tulisan atau bacaan untuk menghalau syaitan atau jin. Bila Allah berkehendak akan sesuatu perkara, maka berlakulah.
Perkara ghaib seperti ini memerlukan dalil sahih dari Al Quran atau hadis sahih. Mempercayai adanya sesuatu yang sama kuasanya atau lebih berkuasa daripada Allah SWT adalah syirik hukumnya!. Mengharapkan bantuan daripada sesuatu yang mana hal tersebut merupakan hak Allah semata-mata juga adalah jelas syirik hukumnya!
Itulah sebabnya ramai ustaz dan ustazah di Malaysia telah silap besar dengan mengajarkan bahawa apabila ayat Kursi dibacakan dengan makhrajnya dan waqafnya yang betul, ia akan dapat membakar syaitan / iblis atau menghalau syaitan / iblis dengan sendirinya. Fahaman seperti ini adalah satu kerosakan akidah yang sangat besar dan bercanggah sama sekali dengan konsep rububiah Allah SubhanahuwaTaala.
Seandainya seseorang membacakan ayat Kursi atau sebarang ayat Al-Quran lainya dengan beranggapan bahawa ayat-ayat tersebut mampu memberikan perlindungan atau menghalau syaitan, suatu kesilapan akidah yang besar sudah berlaku dan ini menimbulkan kemurkaan Allah. Akibat dari kemurkaan Allah ini, orang yang membacakan ayat Kursi atau ayat Al-Quran lainnya akan mendapat bala musibah dari Allah dan bukannya mendapat rahmat dari Allah. Akibatnya ialah bacaan ayat Kursi ini akan mengakibatkan orang yang dibacakan jampi ini bukannya semakin sembuh namun apa yang kerap berlaku ialah seolah-olah orang yang diganggu ini seperti bara api disiram minyak maka tambah teruklah orang yang diganggu syaitan ini. Sebaliknya sekiranya jampi ini dilakukan dengan betul, rahmat Allah akan turun dan orang yang diganggu syaitan tersebut akan kembali pulih.
Sekali lagi saya ulang tulisan dari artikel tersebut iaitu bahawa membaca AlQuran dengan iktiqad bahawa bacaan ini boleh menghalau hantu dan syaitan adalah menyalahi akidah Islam dan ini amat selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW berikut:
Al Bayan: 584 - Hadis Sahl bin Hunaif r.a: Diriwayatkan daripada Yusair bin Amr katanya: Aku bertanya kepada Sahl bin Hunaif: Adakah engkau pernah mendengar Nabi s.a.w menceritakan tentang Khawarij? Sahl menjawab: Aku mendengarnya sambil menunjuk dengan tangannya ke arah timur. Suatu golongan membaca al-Quran dengan lidah mereka, tetapi tidak sampai ke otak mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan.
Memang amat sesuai hadis ini yang menceritakan bahawa orang yang membaca Al-Quran pun diberikan Allah balasan terkeluar dari Islam kerana membaca Al-Quran dengan iktikad bacaan ini mampu menghalau hantu dan syaitan, perbuatan ini telah merosakkan akidah lalu mensyirikkan Allah dan orang syirik sebenarnya telah terkeluar dari Islam sesuai dengan hadis di atas. Menghalau hantu syaitan hanya semata-mata kuasa dan bidang kerja Allah swt bukannya kuasa kekuatan dari Ayat tertentu atau bacaan Al-Quran.
Allah SWT tidak pernah memberikan rububiahNya kepada mana-mana ayat Al Quran sebagaimana dinyatakan dalam kitab Mujarobat ini.
Jika perbomohan itu sesuatu yang dikaitkan dengan membaca jampi atau disebut sebagai ruqyah dalam bahasa Arab, maka pada asasnya kita perlu jelas bahawa amalan berjampi dengan syarat-syaratnya yang betul adalah dibenarkan dalam agama. Bahkan Rasulullah s.a.w. melakukannya dan dianggap sebagai sunnah untuk beramal dengannya. Di dalam Sahih Muslim, dalam kitab al-Salam, ada bab yang disebut sebagai Istihbab Ruqyah al-Maridh (Bab digalakkan menjampi orang yang sakit).
Al-Imam Muslim meriwayatkan hadith-hadith yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. berjampi dan menyuruh sahabat berjampi, termasuk menyuruh isteri baginda iaitu `Aishah r.a. Dalam riwayat daripada Jabir bin `Abdullah, baginda menyuruh berjampi dengan katanya “Sesiapa yang dapat memanfaatkan saudaranya maka lakukanlah” . Kata al-Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim: “Adapun jampi dengan dengan ayat al-Quran dan zikir-zikir yang ketahui, tidak dilarang bahkan sunnah”. Syarat-syarat jampi itu hendaklah
1. ‘Aqidah yang mengamalkannya hendaklah betul dan bersih dari unsur syirik dan khurafat dengan yakin bahawa hanya Allah Penentu dan Penyembuh.
2. Kedua: Bacaan jampi difahami maksudnya agar tidak terdapat padanya unsur-unsur salah yang pengamalnya tidak tahu.
3. Inti kandungan jampi memenuhi tuntutan akidah Islam iaitu tidak mengandungi unsur syirik dan sesat. Ini seperti apa yang sebut dalam hadith Muslim dan Abu Daud: Kata ‘Auf bin Malik al-‘Asyja‘i: Kami dahulu berjampi ketika jahiliyyah lalu kami bertanya: Wahai Rasululullah! Apa pendapat engkau mengenai hal ini? Sabda Nabi s.a.w.: “Bentangkan kepadaku jampi kamu. Tidak mengapa dengan jampi sekiranya tiada padanya kesyirikan”.
Mungkin ada yang berjampi atau mengamalkan perubatan secara batin ini yang mengikut peraturan. Namun malangnya amalan jampi, yang sebahagiannya dipelopori oleh mereka yang menyandarkan diri kepada agama Islam (seperti yang ada title profesor dan Dr dsb) telah melampaui batas. Mereka menjampi untuk perkara-perkara yang baginda s.a.w sendiri tidak dapat lakukan. Sebagai contohnya seperti menjampi agar seseorang menjadi baik dan mendapat petunjuk. Misalnya menjampi agar anak yang nakal menjadi baik, suami yang jahat menjadi baik dan seumpamanya. Dengan meminum segelas air atau beberapa biji kismis diharapkan seseorang mendapat petunjuk.
Penulis sebenarnya tidak percayakan pada jampi yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat pertunjuk. Jika ini benar, mengapakah Rasulullah s.a.w sendiri tidak menjampi agar Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Talib untuk masuk Islam?. Kalau ini benar tentu Nabi s.a.w. menjampi telaga zam-zam pada malam hari dan siangnya apabila Quraish meminumnya, akan terus mendengar nasihat baginda. Ini adalah kekarutan yang disandar atas nama agama. Sama juga yang menjampi air atau kismis untuk anak menjadi baik dan soleh. Nabi sendiri, bapa saudaranya Abu Talib mati dalam keadaan tidak beriman, baginda tidak mampu menjampinya untuk mendapat petunjuk.
Firman Allah surah al-Qasas ayat 56: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”
Sekiranya jampi menjadi sebab punca seseorang mendapat petunjuk, mengapa tidak jemput sahaja orang-orang berkemampuan ini untuk menjampi seluruh empangan air minuman di Malaysia supaya masyarakat umum mendapat hidayah!! Sebenarnya hidayah datang melalui sebab dakwah dan kehendak individu itu sendiri dengan izin Allah.
Berdasarkan hujah inilah saya ingin menjelaskan bahawa menyediakan, menjual, membeli dan meminum air Musoffa dan air ANNUSHRAH adalah sesuatu yang bidaah dan lebih menjurus kepada syirik. Sila rujuk web air musoffa dan web Annushrah.
Apa yang saya cuba perjelaskan adalah sama seperti yang telah disebut oleh MAZA iaitu “Meyakini Ayat Al-Quran mempunyai kuasa menghalau hantu syaitan atau boleh menyembuhkan adalah membawa kepada syirik” dan adalah selari dengan maksud tulisan MAZA di atas iaitu ‘Aqidah yang mengamalkannya hendaklah betul dan bersih dari unsur syirik dan khurafat dengan yakin bahawa hanya Allah Penentu dan Penyembuh’.
Itulah sebabnya di dalam artikel saya bertajuk Adakah membaca Yaasin malam Jumaat satu tafa'ul? Saya ada mengatakan bahawa sekiranya Surah Yaasiin tersebut dibaca apabila bermasalah, sedih, buntu dan kacau bilau dengan mengharapkan sesuatu berkat rahmat kaifiyat dari bacaan tersebut atau perbuatan mereka itu, maka ini adalah satu tafaul dan tafaul adalah syirik!
KHASIAT BISMILLAH
Bismillahirrohmanirrohim
a. SAWAH TERJAGA DARI PENYAKIT.
Bila Bismillah anda tulis pada kertas sebanyak 101 kali, kemudian dimasukkan ke dalam botol dan disumbat, lalu ditanam di tengah sawah, maka insya Allah sawah anda itu selamat dari penyakit-penyakit apa pun yang membahayakan.
b. TERJAGA DARI GANGGUAN SYAITAN, PENCURI DAN MATI MENDADAK.
Bila anda baca 21 kali ketika hendak tidur, insya Allah semalam anda dijaga oleh Allah dari gangguan syaitan, pencuri dan mati secara mendadak.
c. MENCERDASKAN FIKIRAN.
Bila anda baca 786 kali pada waktu malam dengan menghadapi air digelas, kemudian pagi harinya ketika matahari terbit air tersebut diminum, insya-Allah anda menjadi cerdas. Ini harus anda lakukan hingga 7 hari.
Dari contoh ini jelas bahawa tujuan sebenar kitab Mujarrobat diciptakan ialah untuk mengalihkan penggantungan manusia terhadap Allah sebagai pencipta dan pergantungan ini dialihkan kepada usaha dan tangkal tersebut. Perkataan insya-Allah yang dimasukkan di penghujung arahan dalam kitab Mujarrobat sekadar seperti kertas pembungkus yang baik dan cantik tetapi digunakan untuk membungkus najis. Rata-rata bomoh sesat di Malaysia juga menggunakan insya-Allah di hujung dan bismillah di awalnya dalam rawatan mereka sekadar untuk mengabui mangsa.
Mari kita lihat contoh petikan dari Mujarrobat lainnya:
MENGUSIR JIN DAN SYAITAN DARI RUMAH
Firman Allah S.W.T :
Rujuk Al Quran AL-A' RAAF : 97 - 99),
(AFA-AMINA AHLUL QURAA AYYA'TIYAHUM BA’ SUNAA BAYAATAN WAHUM NAA-IMUUNA. AWAAMINA AHLUL QURAA AYYA'TIYAHUM BA'SUNAA DLUHAN WAHUM YAL'ABUUNA. AFA-AMINUU MAKRALLAAHI FALAA YA'MANU MAKRALLAAHI ILLAL QA UMUL KHAASIRUUNA. SURAH AL-A' RAAF : 97 - 99),
KHASIAT:
Apabila ayat ini ditulis pada kertas, menulisnya pada permulaan bulan Muharram, lalu dihapus dengan air dan airnya dipercikkan ke empat sudut rumah. Maka insya Allah jika di rumah itu ada jin atau syaitan tentu akan keluar.
Kalau beginilah mudahnya untuk mengusir jin dan syaitan, pastinya kita boleh lakukan kepada rumah Dato’ Samy Vellu, dan selepas seminggu dirawat dengan kaedah ini, ia akan menjadi orang yang baik dan sudah bersedia untuk belajar menganut agama Islam. Kita buat pula air ini di rumah kediaman bekas perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir, dia terus baik dan isterinya terus berkeinginan untuk menutup aurat dan anak-anaknya termasuk Marina Mahathir terus menjadi orang beriman. Ini semua adalah perbuatan bidaah dan kerja syirik untuk menjerumuskan umat Islam ke Neraka.
Seterusnya kita lihat pula petikan dari kitab Mujarrobat seterusnya:
SUPAYA BANYAK REZEKINYA (pelaris)
Firman Allah Ta'ala :
Sila rujuk gambar di atas
Walaqod makkannaakum fil-ardli waja'alnaa lakum fiihaa ma'aayisya qoliilam maa tasykuruun.
Hikmahnya :
Ayat tersebut jika ditulis lalu ditempelkan pada pintu rumah atau toko (kedai), insya Allah banyak rezekinya, Menulisnya pada hari Jum'at, waktunya sesudah Shalat, Jumaat.
Jikalau begini mudahnya untuk mendapat rezeki, pastinya sekarang ini umat Melayu Islam sudah menguasai ekonomi dunia dan menafikan kaum kapitalis dan Yahudi dari memerintah dunia dengan kuasa ekonominya. Namun dengan begitu banyak orang Melayu Islam yang berniaga dan mendapatkan pelbagai jampi dan tangkal pelaris, hakikatnya lebih banyak peniaga Melayu yang jatuh bankrap. Salah satu puncanya adalah kerana MurkaNya Allah kerana peniaga ini mensyirikkan Allah.
Kini kita lihat pula ilmu Mujarrobat yang kini sudah dipermodenkan dan dikeluarkan secara skala besar melalui kilang. Lebih tepatnya ialah kilang buat air syirik atau air syaitan seperti AIR MUSOFFA DAN AIR ANNUSHRAH:
BAHAN PENJERNIH HATI DAN MENCERDASKAN AKAL (Penerang hati)
Firman Allah Ta'ala :
Sila rujuk gambar di atas
Hikmahnya :
Hikmah ayat ini, bila ditulis di piring dengan memakai tinta misik za'faron dengan air mawar, lalu dilebur (dijirus) dengan air, terus diminumkan orang itu, diusahakan sampai tujuh hari, Insya Allah orang yang lembam dalam berfikir (bebal otaknya) akan jadi terang. Demikian pula orang suka pelupa atau was-was. Silakan anda amalkan.
Mari kita lihat pula amalan sesat selanjutnya melaui gambar berikut:
Mudahnya untuk sihat? adakah dengan mengamalkan amalan sebegini kita akan terlindung dari segala penyakit? Sesungguhnya Allah SWT memberikan penyakit dan Allah SWT sahaja yang menyembuhkan.
Menurut hujah akal dengan pemikiran logik, sekiranya amalan sesat sebegini dapat mengelakkan sebarang penyakit maka seluruh umat manusia di dunia ini akan semuanya sihat. Dengan mengamalkan amalan tertentu dan azimat tersebut maka terlindunglah dari segala penyakit?? Mereka yang mempercayai perkara khurafat seperti ini sebenarnya otaknya ada yang tidak betul. MANA MAMPU AMALAN DAN AZIMAT INI MENGELAKKAN MANUSIA DARI TERKENA AZAB PENYAKIT DARI ALLAH?
Amatlah cantik ayat-ayat Al Quran berikut dari surah Al A'raaf, bacalah dan fahamilah terjemahannya:
[194]
Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk
seperti kamu. Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat
memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.
[195] Adakah benda-benda (yang kamu sembah) itu mempunyai kaki yang mereka dapat
berjalan dengannya, atau adakah mereka mempunyai tangan yang mereka dapat
memegang (menyeksa) dengannya, atau adakah mereka mempunyai mata yang mereka
dapat melihat dengannya, atau adakah mereka mempunyai telinga yang mereka dapat
mendengar dengannya? Katakanlah (wahai Muhammad): "Panggilah benda-benda
yang kamu jadikan sekutu Allah, kemudian kamu semua jalankan tipu daya
terhadapku, serta jangan pula kamu bertangguh lagi.
[196] "Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab
(Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat
kebaikan"
[197] Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu,
bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri.
[198] Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat
petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya; dan engkau nampak
benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.
Kegagalan disediakan untuk manusia yang suka mencari jalan pintas untuk berjaya dan kejayaan disediakan untuk manusia yang sabar, redha dan bertekun melaksanakan perintah Allah. Mujarrobat serta jampi sesat dan tangkal adalah jalan pintas untuk berjaya tetapi sebenarnya jalan pintas untuk mengalami azab musibah Allah di dunia dan ia juga adalah jalan pintas untuk ke neraka. Tidak ada jalan (mudah) pintas untuk ke SYURGA dan sentiasa ada jalan mudah untuk ke NERAKA.
Ibnu Qayyim Al Jauziah Rahimahullahu ‘alaihim pernah berkata, untuk mengeratkan hubungan manusia dengan Allah SWT sebagai penciptanya ialah melalui:
1. Menguatkan keyakinan tentang Rububiah Allah SWT.
2. Menguatkan keyakinan tentang tauhid uluhiah.
3. Menguatkan tauhid di dalam bentuk menguatkan kefahaman di dalam ilmu-ilmu yang berhubung dengan iktikad.
4. Mensucikan Allah daripada sangkaan-sangkaan bahawa Allah lah yang menzalimi hamba-hambanya atau pun Dia yang menghukum hamba-hambanya;
5. Pengiktirafan hamba bahawa dialah (manusia) sebenarnya yang zalim.
6. Bertawasul kepada Allah dengan sesuatu paling Allah sukai iaitu dengan menggunakan nama-nama dan sifatNya.
7. Meminta pertolongan denganNya semata-mata.
8. Meletakkan pengharapan kepadaNya semata-mata.
9. Bertawakal sepenuhnya kepada Allah dan penyerahan yang sepenuhnya kepadaNya dan mengiktiraf bahawa Allah melakukan apa yang dia sukai dan menghukum mengikut apa yang Dia sukai dan Dia adil dengan ketetapanNya.
Pengajaran asas akidah terutama bab rububiah dan uluhiah di Malaysia adalah kebanyakannya tidak mantap. Tambah merosak lagi apabila rububiah dan uluhiah tidak diajarkan, tetapi yang diajarkan pula ialah ilmu sifat 20. Dengan asas akidah yang lemah ini, umat Islam di Malaysia menjadi sasaran mudah untuk dipermainkan oleh syaitan dan iblis. Kini ramai umat Islam sudah tidak peka dengan hukum berjumpa bomoh. Kini serangan akidah terbaru melalui Prof Dr Ibrahim dan Prof Dr Norhisham dan ramai lagi profesor yang sealiran dengan mereka masih belum di jawab dan diulas oleh mana-mana mufti, pejabat agama dan Jakim.
Kini makin ramai umat Melayu mengamalkan ilmu dari Mujarrobat termasuk Air Musoffa dan air AnNushrah juga masih belum dijawab oleh mufti dan ulamak melainkan MAZA yang pernah menyuarakan bantahan terhadap air Musoffa namun Mufti yang kononnya hebat dari Perak pula jadi juara menggalakkan orang menggunakan produk AnNushrah. Sila lihat surat sokongan Mufti ini di SOKONGAN TERHADAP PENGELUARAN AIR ANNUSYRAH. Begitulah kalutnya senario kesesatan di Malaysia, yang seorang menyokong, yang seorang membantah, yang ramai membisu, rakyat berpusu-pusu membeli air musoffa dan air Annushrah.
Sekian wassalam wallahua'lam
Emjay