Makluman

Laman perkongsian ilmu, pemurnian akidah, membanteras perbomohan, tolong menolong dan perubatan alternatif menurut Islam dan tradisional untuk mencari redha Allah SWT
Free Image Hosting

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ pembaca mukmin sekelian

.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Selamat datang ke Laman Emjay. Selamat membaca dan semoga Allah memberikan taufik, hidayah, rahmat dan berkat kepada para pembaca sekelian.

Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Sunday, 5 November 2006

Akidah Bahagian 5

Penyalahgunaan wasilah.


Pengertian
wasilah ialah perantara, jalan, sebab yang dapat memperdekat kepada yang lain. Salah satu kata kembangan dari wasilah ialah tawasul dan bertawasul iaitu meminta kepada sesuatu sebagai perantara, jalan, sebab yang dapat memperdekat kepada yang lain.

Tawasul yang dibenarkan dalam Islam menurut Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah adalah seperti berikut.

1.      Tawassul dengan perantara atau jalan beriman kepada apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dengan cara melakukan apa yang  disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah. Cara ini sesuai dengan firman Allah pada surah Al Maaidah : 35;

Wahai orang-orang yang beriman!
Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

2.     Tawassul dengan cara memohon doa dari orang hidup sama ada Nabi SAW atau sesiapa sahaja.

Tidak salah untuk meminta ibu bapa, guru, suami, isteri, anak atau mana-mana orang soleh yang masih hidup untuk mendoakan sebarang hajat yang diminta seperti apabila bermusafir, belajar atau melakukan satu perkara seperti membuat rumah. Ini juga banyak dilakukan oleh sahabat Nabi ketika Nabi SAW masih hidup tetapi budaya ini tidak dilakukan lagi sesudahnya Nabi SAW wafat.

3.     Tawassul dengan cara memohon doa kepada Allah SWT agar diberikan keizinan  Nabi Muhammad kelak memberikan  syafaatnya di padang mahsyar. Ini tidak langsung menyalahi hukum kerana yang kita pohon adalah kepada Allah. Analogi ini boleh diceritakan melalui kes orang yang sedang memohon pekerjaan lalu berdoalah ia “Ya Allah Engkau bukakanlah hati En Mahad pengurus besar syarikat XYZ semoga beliau memberi peluang aku bekerja di syarikatnya”

Tawassul yang dilarang di dalam Islam seperti dinyatakan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah ialah seperti yang banyak dilakukan oleh orang ramai masa kini dengan jalan bersumpah dengan nama Rasulullah, orang-orang yang soleh seperti Syeikh Abdul Kadir Jailani lalu meminta-minta kepadanya walaupun orang
ini sudah tidak ada di muka bumi ini. Budaya ini sebenarnya sama dengan apa yang diamalkan oleh orang Cina dari agama menyembah nenek moyang. Mereka akan memohon dari nenek moyang yang telah meninggal segala permohonan sama ada di kuburan atau di depan gambar nenek moyang (leluhur) mereka. Kini orang Melayu Islam sudah mula mengadu nasib menceritakan masalah hidup mereka kepada arwah
ibu atau bapa mereka  di depan kuburan lalu meminta arwah mereka memberikan pertolongan menyelesaikan masalah.

 Diantara contoh Doa songsang ini ialah:

1.      Allah Humma bihaqqi Nabiyyika ............

“Ya Allah, atas berkat Nabi Mu, atas hak NabiMu, dan seterusnya.


2.      Ya Allah, dengan berkat yang Dikau berikan kepada penghuni kubur ini aku bertawassul kepadanya, agar Dikau limpahkan kepada kami.............

3.      Allahhumma kullisai ing kadir. Kun fayakun salluyyah. Cahaya aku cahaya nabi Yusuf, di muka aku cahaya Ali, di badan aku cahaya Muhammad.
(nama orang tersebut) memandang aku, kasih jiwa  Allah, berkat aku memakai doa cahaya Nabi Yusuf. Bukan dengan kata aku dengan kata Allah, berkat kalimah Laillaha illallah Muhammadarasulullah. Amin. Ulang tiga kali. Baca semasa memakai bedak.

Menurut Sheikhul Islam Muhammad bin Sulaiman At-Tamimi menyatakan;

“Sesungguhnya ibadah terhadap wali-wali dan orang-orang soleh dengan jalan mengharapkan doa-doa dan pertolongan mereka setelah wafatnya dan
bertawassul dengan mereka ini adalah perbuatan syirik dan bertabarruk (mencari barkah) dengan pokok-pokok dan batu-batu serta perkuburan para wali itu adalah perbuatan syirik”

Sehubungan dengan ini Allah berfirman melalui surah Al Isra’:56

Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya.

Syeikh Mubarak Ibnu Muhammad menyatakan:

“Semua hadis yang menerangkan tentang bentuk-bentuk tawassul kepada
orang yang telah meninggal dunia menurut penelitian ahli-ahli hadis, semuanya adalah daif atau mauduk (tertolak)”

Kalau nak bertawassul juga, Allah ada mengajarkan iaitu bertawassul kepada Asmaul Husna seperti di dalam surah Al ‘Araaf:180

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

            Khalifah Umar Radhiallahu “alaihim berkata bahawa beliau bertawasul dengan Nabi SAW sewaktu  Nabi SAW masih hidup untuk solat hujan minta kepada Allah diturunkan hujan tetapi selepas Nabi SAW wafat, Umar bertawasul pula kepada Abbas lalu Abbas minta hujan melalui solat hujan. Kalau dibolehkan
bertawasul kepada orang mati sudah pasti Umar akan memohon kepada arwah Nabi SAW.


            Di Malaysia, bertawassul secara salah seperti sudah menjadi asam garam bagi pengamal ajaran pelbagai kumpulan tariqat.



Ghalu / ghulu


Ghalu adalah satu bentuk taghut. Definisinya ialah keterlaluan dalam memuja-muja, menyanjung, membesarkan dan menyayangi seseorang dengan kata-kata, perbuatan atau iktikad sehingga ia membawa tahap penyembahan.

            Contoh jelas ghalu ialah bagaimana kaum Kristian telah ghalu terhadap Nabi Isa hingga
dianggap anak Tuhan. Contoh lain ialah seperti memanggil raja dengan panggilan Duli Yang Maha Mulia, menyanjung Nabi Muhammad SAW secara berlebih-lebihan dan ghalu terhadap kiai atau orang-orang soleh sama ada yang hidup atau yang mati.

Ibnu Abbas Ridzwanullah ‘alaihim berkata:


“Jauhilah pintu-pintu raja kerana kamu tidak akan memperoleh bahagian daripada dunia mereka kecuali dengan mengorbankan lebih banyak bahagian akhirat mu”.

            Ditambah pula oleh Maimun bin Mahran Rahimahullahu ‘alaihim dengan katanya:

“Berkawan dengan raja mengandungi dua bahaya:

1.      Jika engkau mengikutinya, maka ia berbahaya bagi agamamu.

2.      Jika engkau membantahnya, maka berbahaya kepada dirimu”

            Nabi SAW telah berkata dalam hadis mafhumnya :

“Dari Anas bin Malik, sesungguhnya seorang lelaki berkata: Wahai Muhammad, wahai tuan kami , wahai anak tuan kami dan anak orang baik kami. Maka bersabda Nabi SAW: Wahai manusia hendaklah kamu jaga kata-kata kamu, jangan sampai kamu diperdayakan oleh syaitan. Aku adalah Muhammad bin Abdullah, hamba Allah dan utusanNya. Demi Allah SWT, aku tidak suka kamu mengangkat kedudukan aku lebih dari yang telah “Azza wa jalla” mengangkat untuk aku”.

Sewaktu hidupnya juga Nabi bersabda :

“Jangan kamu angkat saya berlebihan sebagaimana kristian mengangkat Isa
Ibnu Maryam”

Contoh-contoh lain ghalu:

a.       Ghalu terhadap orang soleh seperti Ashaari (Al Arqam) sehingga mengiakan segala katanya.

b.       Ghalu terhadap kubur orang-orang soleh sehingga iktikaf  di kubur. Dalam ajaran Islam,  iktikaf hanya
       boleh dilakukan di masjid.

Nabi bersabda mafhumnya :

“Dari Atha’ bin Yasir berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : Ya
Allah janganlah engkau jadikan kuburku berhala yang disembah. Allah terlalu
marah terhadap kaum yang menjadikan kubur Nabi mereka sebagai masjid”.

c.       Ghalu terhadap pemimpin.

d.      Ghalu terhadap orang-orang yang mendakwa dirinya tahu hal-hal ghaib seperti bomoh.

e.       Ghalu terhadap orang-orang yang dipuja (termasuk artis).

f.        Ghalu terhadap kegemaran keduniaan seperti hobi sehingga membazir, membuang masa dan
meninggalkan syarak seperti bola sepak, golf dan memancing ikan. (Lebih pentingkan bola dari sembahyang)




No comments:

Post a Comment